Thursday, April 29, 2010

WAHAI SUAMI ... TOLONGLAH JANGAN MAIN BENDA INI !



Pelakon Menangis Suami Main Kayu Tiga


Crying 2

Wednesday, April 28, 2010

ADA OTAK TAK ?


(Awas ... sesiapa yang berjiwa ayu, jangan tengok !)

Satu pagi tu kan, tetiba saya teringat nak makan gulai otak (lembu punyalah). Saya memang cukup gemar makan gulai otak masak lemak cili padi campur daun kunyit .. ala-ala masakan Padang. Saya tahu ia tak berapa baik untuk kesihatan, tetapi sekali sekala tak mengapa kot ! Apa kata Dr Singa ?

Lalu terus saya pergi ke pasar Ampangan (pasar fevret Tijah). Sesampai saja di gerai menjual daging, saya pun bertanya:

Ada otak tak bang ?

Awak cakap baik-baik sikit ye !

tak der tak pe lah bang ... tak yah lah nak cakap kuat-kuat !!!

( Saya pun heran, apasal lak abang ni pepagi lagi nak marahkan orang. Tak kan tanya sikit pun tak boleh kot )

 

Sunday, April 25, 2010

ALANGKAH BAGUSNYA KALAU DAPAT BUAT MACAM NI SELALU ...!


Hari ini penduduk Hulu Selangor memilih YB yang baru.

Alangkah bagusnya kalau pilihanraya kecil ni dapat di buat selalu. Kalau boleh setiap bulan ... bergilir-gilir dari satu kawasan Parlimen ke satu kawasan Parlimen yang lain. Adapun sebab-musabbabnya saya berkata demikian adalah kerana:


- kalau dulu tak ada duit, masa ni duit berlebih-berlebih,
- kalau dulu tak boleh buat, masa ni semua dah boleh buat,
- kalau dulu lambat, masa ni semua berdesup,
- kalau dulu orang tak kisah, masa ni semua orang dah kisah,
- kalau dulu orang tak pandang, masa ni semua orang
berebut-rebut nak pandang,
- kalau dulu orang tak hairan, masa ni semua orang hairan (saya pun hairan),
- kalau dulu tak ada masa, masa ni tetiba jer lapang,
- kalau dulu berlubang-lubang, masa ni dah habis rata,
- kalau dulu .......... (sila sambung sendiri)




p/s: tak sangka Yunus Badawi ada kedai gambar !

Saturday, April 24, 2010

NO ENTRY LAGI ...




MAAF ...   TIADA ENTRI DI SINI HARI RINI.

TUAN RUMAH MASIH LAGI BERADA DI SINI !

Thursday, April 22, 2010

TERKENANG SEMASA DULU 7 - KRUGER, AFRIKA SELATAN



Mendekati haiwan liar di Kruger

Ingat tak entri saya tak lama dulu tentang pengalaman saya melawat Afrika Selatan (klik di sini). Dan baru-baru ini bila terbaca dan terlihat gambar di atas, saya segera teringat bahawa saya pernah sampai dan bermalam di sana. Satu malam yang amat menyiksakan di Kruger Park. Bukan semua pengalaman melawat keluar negeri menyeronokkan. Kalau tak silap, 'hotel' yang kedua dari kiri itulah tempat saya menginap dahulu.



Tempat penginapan @hotel secara lebih dekat.



Salah sebuah "hotel" yang saya pernah bermalam.


Kenapa menyiksakan ?

Pertama: saya tidak bersedia dengan pakaian panas (sejuk ?). Cuaca di malam hari menghampir paras beku. Hotel ini tidak ada pemanas. Sebelum itu saya di fahamkan bahawa cuaca sudah tidak sejuk lagi kerana sudah bulan Jun.

Kedua: Bilik air juga tidak mempunyai alat pemanas air. Selepas ambil sembahyang, muka rasa kebas akibat kesejukan.

Ketiga: Nasi tak ada di jual di sini. Pagi petang siang malam makan "fish n chip". Perut saya pun bunyi "chip chip chip". Perut Melayu nak pekena nasi juga. Nak makan daging, siapa sanggup makan hippo ! Bila balik sahaja ke Pretoria, saya melepas dendam makan nasi briyani. Di sana banyak restoran milik orang Pakistan yang menjual makanan halal. Bahkan saya di fahamkan Restoran Nando's juga turut menjual makanan halal.

Pada malamnya perut saya tunjuk perasaan. Rasanya berpuluh-puluh kali saya berulang alik ke bilik air .. sampai dah tak ada benda lagi yang tinggal dalam usus saya. Sejak itu saya tak pernah lupa membawa pil 'pocai' setiap kali saya keluar stesyen walaupun cuma dalam negara sahaja.

Kesimpulannya.


Alangkah bertuahnya kita yang tinggal di bumi Malaysia. Cuacanya sepanjang tahun sedang elok sahaja ... tidak sejuk dan tidak terlalu panas. Belum ada lagi saya dengar orang mati kesejukan. Lainlah kalau dia sengaja nak bunuh diri masuk ke dalam peti ais. Makanan pula, pergilah ceruk mana, nasi pasti ada !

p/s: Maklumat tambahan. Untuk ke Taman Negara Kruger, saya kena naik kapalterbang ke Johannesburg.  Kemudian saya ke bandar Pretoria , ibu negara Afrika Selatan dan bermalam di sana. Dari sana saya menaiki kenderaan darat untuk ke Taman Negara Kruger yang mengambil masa seharian.  Seronok juga melihat kiri kanan pemandangan kebun buah-buahan yang sungguh indah sekali.

Tuesday, April 20, 2010

SAKIT TELINGA - " ITU TIDAK BERMAKNA .."

Sakit betul telinga saya bila dengar orang menyalah guna frasa -

" itu tidak bermakna "

Contoh:

"walaupun dulu saya pernah minum arak, itu tidak bermakna saya seorang yang jahil tentang ugama"


Komen saya:


Orang yang bercakap macam ni, mahu rasanya di simbah asid kat mukanya dan kemudian kita minta maaf dan kita cakap macam ni:

" walaupun saya menyimbah asid kat muka awak, itu tidak bermakna saya marah kat awak"


Macam mana, setuju ? Jangan setuju ... mana boleh kita simbah asid kat orang !

.
.

SONYUM SOKOJAP 13 - SIU MAN HILANG ...!


'Pulanglah nak' - Remaja masih bersekolah dipercayai dilarikan 2 teman lelaki Isnin lalu.



Persoalannya siapakah dia yang melarikan Siu Man itu ?



Tidak syak lagi bahawa budak Tak Siu Man lah
yang melarikannya ...!

Friday, April 16, 2010

KAU KATAKANLAH C.H.E.R.I.T.A. ITU SEMUA DUSTA !

Kau katakanlah cerita di bawah ini dusta.
Kau katakanlah cerita di bawah ini cuma sandiwara.
Mana boleh ada orang merempat akibat kemiskinan.
Mana boleh kandang lembu di jadikan rumah.
Mana mungkin ia terjadi di negara Malaysia yang kaya raya ini.
Saya tidak percaya.
Ia langsung tidak masuk akal !


Kuala Terengganu 4 Mac - Zailani sekeluarga merempat akibat kemiskinan ...
Gambar mereka berteduh di sebuah pondok di taman rekreasi
bersebelahan Istana Maziah di Kuala Terengganu.

Mana mungkin ia berlaku di Terengganu -
sebuah negeri pengeluar minyak.


Pasir Putih 10 April - Kandang lembu dijadikan rumah. 11 beranak jalani hidup serba daif
sejak di halau keluarga lima bulan lalu !

Mana mungkin perkara ini di biarkan begitu sahaja.
Mana mungkin ia terlepas pandang sampai lima bulan.
Mana mungkin tergamak keluarga mereka menghalau mereka.

Atau adakah surat khabar itu berbohong ?


Entahlah ...

Tapi apalah nak di herankan. Di negara maju pun bukan tak ada orang yang hidup bergelandangan. Di Amerika Syarikat pun ramai. Jadi tak perlulah nak di bising-bisingkan sangat !



Salah seorang dari mereka yang tidak berumah berhampiran "Rumah Putih", Washington D.C. USA.
Percayalah pada gambar ini kerana saya sendiri yang mengambilnya.


p/s: kalau lah cerita ini berlaku di Hulu Selangor sekarang ini ... !

Thursday, April 15, 2010

SEEKOR IKAN DI KONGSI EMPAT ...!



Seekor ikan di kongsi empat untuk berjimat.


Setelah membaca  penderitaan yang dialami oleh Puan Mazizull, terbit rasa bersyukur saya kepada Allah di atas segal rezeki yang di kurniakanNya kepada saya dan keluarga selama ini.



 Dan  rasa  bersalah pun ada,  bila memikirkan anak-anak di rumah(yang belum baligh) selalu sahaja makan tak habis dan kadang-kadang membazir. 



Bapa dan emaknya pun lebih kurang gak. 
Tengok lah !
 Makanan sampai penuh meja dan berlebih-lebih.
Kemudiannya makan sampai tak hengat donia !

(Tempat: Restoran Sederhana, Bandung, Indonesia)

Wednesday, April 14, 2010

SEKALI SEKALA TAK KAN TAK BOLEH KOT !


Satu hari di Plaza Tol Senawang.
(Gambar hiasan .. ihsan pakcik gugel )



Boleh tak saya tak nak bayar tol hari ni ?

Mana boleh !






Alaaa .. boleh lah ek !

Tak boleh !






Apa fasal pulak tak boleh ?

Dah macam tu lah .. semua orang kena bayar kecuali bomba, ambulan dan ...






Tapi saya dah lima tahun berulang alik dari Senawang ke Putrajaya ...
tak pernah sekali pun saya tak bayar ...
tak kan lah sekali tak bayar pun tak boleh ?
Lagi pun hari ni saya tak ada duit.

Kalau tak ada duit, jangan lalu !






Sombongnya !


pon pon hon hon tit tit woi !!!

Tengok orang belakang dah bising tu!

Leceh lah awak ni, langsung tak boleh berunding ... nah lah !




p/s: keadaan yang serupa juga kalau kita tak nak bayar sewa rumah atau astro ... walau pun dah lima tahun kita tak pernah miss bayar sewa rumah atau astro pada setiap bulan !

Tuesday, April 13, 2010

SELAMAT ULANG TAHUN HARI KELAHIRAN IBU DAN ANAK ..!


  
Gambar 1: Isteri saya bersama doktor dan jururawat selepas melahirkan anak ke dua (kakngah). Gambar saya tak ada, sebab saya yang ambil gambar mereka !
Tapi saya yang tolong doktor potong tali pusat kakngah.
Nasib baik saya ada !


Gambar 2: Isteri saya semasa berumur 5 bulan
(maaf .. gambar kurang memuaskan, jangan betulkan komputer anda !)



Gambar 3: Kakngah semasa berumur 5 bulan
(posing pun macam emak dia)


Isteri saya di lahirkan pada 13hb. April di Malaysia. Dan Kakngah pula di lahirkan pada 12hb April, di Fairfax County Hospital, Virginia, USA.

Pada waktu kakngah dilahirkan, tarikh di Malaysia telah pun 13hb kerana kita cepat sehari. Maknanya Kakngah lahir pada 13hb kalau ikut tarikh di Malaysia. Makanya saya anggap mereka berdua ini lahir pada hari yang sama.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Kelahiran kepada mereka berdua. Semoga sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah swt jua.


Gambar 4: Makngah berkaraoke dalam salah satu majlis Puspanita.


Gambar 5: Gambar Makngahnya Dulu-Duluuuuuu !


Gambar 6: Akhirnya ... selepas ayah dia hampir sesak nafas !
(Dalam seminggu dah dua kali kakngah kena promosi)


Gambar 7: Yang ni tak pasti .. kakngah nangis ke ketawa !

Friday, April 9, 2010

SONYUM SOKOJAP 12 - BALAI POLIS TERLEKAT ?

Saya menerima e-mel di bawah yang di forward oleh seorang kawan. Saya bukan tak simpati atau hendak mentertawakan kes ini, tapi saya tak boleh elak dari tersenyum bila membacanya. Kalau dalam entri saya dulu ada balai polis bergerak, kali ini balai polis terlekat pula. Macam mana polis nak tolong, balai dia pun terlekat !
-----------------------------------------------------------------------------

Dear Friend,


朋友们,

Halo, kawan-kawan,



If you found the girl as below, please pass her to nearest police station or contact to your state police hot line.

如您有发现这位小女孩,请您把她送到附近的警察局,还是连络州属的警察热线。

Jikalau kamu terjumpa budak perempuan seperti nyata di bawah,

Sila tolong hantar dia ke balai polis yang terlekat,

Ataupun berhubung dengan hot line polis negeri kamu.



She was missing since 19/11/2009 at KL Ipoh road.



Her name: Ng Kah Yee.

她的姓名:伍嘉仪

Namanya: Ng Kah Yee.



Age: 13 years old.

13 岁。

13 tahun.

Thursday, April 8, 2010

KAKNGAH BERTUNANG !

Pada hari Sabtu 3hb April lepas, Kakngah (panggilan kepada anak kedua saya) bertunang. Buat kenduri kecik dengan mengajak saudara mara terdekat dan kawan2 kakngah sahaja. Nak buat majlis pertunangan pada 12 hb April sempena tarikh lahirnya, tak sesuai sebab hari tu hari bekerja. Lagi pun dia bekerja di Singapura.

Mula-mula saya ingatkan dia nak buat entri. Takkan saya pulak nak buat sebab bukan saya yang bertunang. Tapi rupanya dia pun tak buat. Saya pun draf dan cadang nak pos hari ni. Malam tadi rupanya dia buat satu entri dalam blog dia. Saya tak sempat semak. Semalam tidur awal sebab demam nak dapat menantu. Jadi alang-alang dah di draf, saya publishkan disini.


Gambar 1: Selepas selesai "make over" .

video

Video 1. Acara menyarung cincin. Video guna henfon blackcurry saya.


Gambar 2 : Ayah dia pun nak enter frame gak !


Gambar 3: Sebahagian Kawan Perempuan Kakngah


Gambar 4: Sebahagian Kawan Lelaki Kakngah.


Gambar 5: Macam-macam perangai .. ( ikut siapa ntah !)
.
.

Wednesday, April 7, 2010

SIAPA NAK TENGOK KONSERT ?

"Saya sedang merancang untuk menganjurkan sebuah konsert penghargaan buat arwah bapa saya. Saya mahu mengumpulkan para penyanyi 1960-an yang masih hidup pada konsert itu"
- Mohd. Fareed anak arwah M. Shariff, penyanyi 60 an.

Komen saya.

1. Ye lah, lain orang lain cara dia membuat penghargaan kepada arwah bapa dia. Ada orang buat tahlil, ada orang beri sedekah kepada anak-anak yatim. Terpulanglah ..!

2. Elok juga di kumpulkan penyanyi yang masih hidup tu. Kalau di kumpulkan penyanyi yang tidak hidup lagi, takut tak ada orang pula nak pergi tengok konsert tu. Nanti rugi pulak .. !


.

Monday, April 5, 2010

JANGAN INGAT UMUR 56 TAHUN TU DAH TUA SANGAT !


Nenek 129 tahun manusia tertua.

Umur saya sekarang sudah 56 tahun. Orang kata dah tua.  Saya pun rasa begitu juga. Tapi bila tengok nenek seperti gambar di atas telah berusia 129 tahun, saya terus rasa  muda. Bahkan rasa terlalu muda. Mana tidaknya, umur dia 73 tahun lebih tua dari saya. Kalaulah saya dapat hidup sampai 129 tahun, bermakna saya ada 73 tahun lagi untuk hidup.

Di masa tu Sharamli sudah pun berumur 93 tahun ... Tak jauhlah beza umur kita kan !

Tetapi bila membaca berita arwah Yanie (peserta program Mentor) meninggal pada usia 25 tahun dan di susuli dengan arwah Din Beramboi pada usia 43 tahun, saya segera sedar bahawa  saya juga boleh di jemputNya pada bila-bila masa. Kalau nanti saya tidak membuat entri dalam seminggu dua tanpa apa-apa pesan sebelumnya, mungkin juga saya sudah mengikut jejak langkah mereka berdua.

Maka oleh hal yang demikian:

1. Kepada yang sudah berumur, jangan padamkan semangat untuk mencuba sesuatu yang baru. Jangan ada istilah sudah terlewat untuk memperbaiki diri, menuntut ilmu atau mencari rezeki dengan alasan "aku sudah tua, tak lama lagi nak mati  ..!

2. Kepada yang masih muda (atau rasa masih muda) jangan ada istilah masih awal  untuk membuat sesuatu kebaikan samada kepada keluarga, agama dan bangsa dengan alasan "aku muda lagi, lambat lagi nak mati ...!

Kesimpulannya, yang muda harus tanpa berlengah menyediakan bekalan untuk ke sana .. apa lagi yang tua,  kerana Allah boleh memanggil kita pada bila-bila masa tak kira di usia berapa. Tiada siapa yang boleh menolaknya. Tidak akan tercepat walau sesaat dan tidak juga terlambat barang sesaat.

Tiada siapa menjangka dalam gelak ketawa kita melihat telatahnya menjadi juri rancangan Raja Lawak dan mendengar lakonannya dalam program "drama sebabak" di radio tiba-tiba dia telah pergi buat selama-lamanya. Al-Fatihah.

p/s: Dan jangan ingat umur 56 tahun tu dah tua sangat tau !!!

Friday, April 2, 2010

SONYUM SOKOJAP 11 - BUSH, BLAIR & BANGLA ?



Bush, Blair & Bangla Bang Ngah

LADIES AND GENTLEMEN .
MAY I HAVE YOUR ATTENTION PLEASE.
SILA JANGAN PERCAYA DENGAN ORANG YANG BERDIRI
DI
KIRI DAN KANAN SAYA KERANA MEREKA INI
YANG SEBENARNYA ADALAH PATUNG JE !