Tuesday, July 31, 2012

LAWATAN H20.

Kelmarin program lawatan kerja  H20 (Hisyammuddin Tun Hussien Onn) ke Lavender Heights yang menjadi tempat tinggal saya sejak kira-kira 7 tahun lalu, telah berlangsung dengan jayanya. Terima kasih kepada  Dato' Abd Rahim Radzi (Ketua Setiausaha, Kementeri Dalam Negeri) yang memandu persiapan dan Rukun Tetangga, Lavender Heights serta  penduduk Lavender Heights yang telah membantu menjayakannya. 

Bila saya bangun pagi tadi baru terasa letihnyanya. Sebenarnya saya tidak ada apa-apa jawatan dalam Rukun Tetangga atau Surau tetapi sekadar kenalan lama kepada KSU yang dijadikan penghubung dengan Rukun Tetangga dan orang-orang kampung. Di tempat saya tidak ada Persatuan Penduduk. Pernah ada suatu masa dulu, tapi telah tidak bergerak sejak sekian lama.

Saya gemar memerhatikan karektor manusia dalam mana-mana komuniti semasa membuat persiapan dan juga pada hari langsung program lawatan orang kenamaan ke tempat mereka. 

Antaranya:

1. Ada individu yang sebelum ini tak kisah nak campur  orang, tetiba menjadi pak sibuk pada masa persiapan dan juga pada hari langsung, seoalah-olah majlis itu  dia yang punya.  Dunia .. dunia !

2. Ada individu yang tidak  diundang dalam pertemuan tertutup kerana sikap mereka yang selalu 'anti-klimaks' dan gemar tunjuk pandai,  tetapi dengan muka yang tidak malu, tetiba muncul lebih awal dari orang lain menyambut ketibaan orang kenamaan tersebut.  Dunia .. dunia !

3. Dan sebagaimana biasa, ada juga bahkan ramai sebenarnya, mereka yang cuma bekerja senyap-senyap di belakang tabir dengan iklhas tanpa mengharapkan pujian dan publisiti. Mereka inilah yang mengubat hati saya bila berhadapan dengan gelagat orang-orang di nombor 1 dan 2 di atas.


Gambar 1: Kain rentang yang mengalu-alukan ketibaan H20 yang memberi  harapan kepada penduduk agar sesuatu yang positif dan konkrit akan terhasil dari lawatan kerja singkat tersebut.


Gambar 2: Walaupun notis lawatan adalah amat singkat, namun atas komitmen dan bantuan dari Dato' Abd Rahim dan juga orang kuatnya Dato' Mohd Asri, segala-galanya menjadi mudah.


Gambar 3:  Datin isteri KSU memberi macam kueh raya sebagai tanda terima kasih atas kunjungan H20 ke rumah beliau sejurus selepas sesi dialog hati hati ke hati secara tertutup dengan H20.


Gambar 4: YB Khairy Jamaludin (KJ) juga turut hadir. Beliau adalah juga MP bagi kawasan ini. Perempuan yang duduk itu, kalau tak silap macam Makngahnya.

 

 Gambar 5: H20 memberikan ucapannya yang membawa kelegaan dan harapan kepada warga Lavender Heights yang sejak akhir-akhir ini diselubungi kebimbanghan akan keselamatan terutamanya harta benda mereka.


Gambar 6: Sebahagian penduduk yang turut hadir dengan sabarnya menunggu ketibaan H20. Terima kasih semua.


Gambar 7: Kaum ibu yang banyak memberi sokongan moral, mengabadikan kenangan bersama dengan H20. 



Gambar 8: Pengerusi dan penasihat RT Lavender Heights di barisan hadapan bergambar bersama H20 dan KSU.


"SELAMAT MENERUSKAN PUASA DAN BERSEMBAHYANG TARAWIH"



Saturday, July 28, 2012

ESOK MENTERI NAK DATANG !

Esok Menteri Dalam Negeri dijangka membuat lawatan kerja singkat ke taman perumahan kami. Sebagai orang pencen saya melibatkan diri dalam mengaturkan persiapan yang tidak sepertinya dan membantu di mana perlu, agar majlis esok dapat berjalan dengan lancar. 

Sebab itu sejak 4-5 hari yang lepas saya langsung tak sempat hendak melawat blog rakan taulan. Komen anda di entri saya sebelum ini pun belum berjawab. Harap maafin saya.

Selamat meneruskan puasa.

Friday, July 27, 2012

ADA KE ORANG TIDAK BERUMAH DI MALAYSIA ?

Setelah tidak puas hati dengan Harian Metro, saya membeli akhbar The Star pula. Kiranya berbaloi juga entri saya sebelum ini kerana dari 20 juta hasil carian Google, entri saya berada di tangga ke -3 teratas. Harap2 adalah orang Harian Metro baca dan ambil perhatian tentang komen-komen yang anda berikan di entri tersebut.



Gambar 1: Cetakan skrin hasil carian Iklan Metro di Google.

Dalam akhbar The Star bertarikh 19hb baru lalu,  ada di muatkan rencana di muka depan tentang fenomena orang tidak berumah khususnya disekitar Lembah Kelang atau khususnya di Kuala Lumpur.

Ia menjawab soalan saya seperti di tajuk entri ini. Rupanya ramai sekali orang yang tidak berumah di Kuala Lumpur. Saya percaya tentulah di bandar-bandar besar lain pun ada juga. Mulanya saya macam tak percaya dengan bilangannya. Yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat sahaja adalah seramai 1,387 orang.

Tetapi menurut NGO yang terlibat dalam kebajikan mereka ini, bilangannya di anggarkan mencecah 10 ribu orang di Lembah Kelang sahaja. Dan setelah membaca rencana dan gambar-gambar yang ditunjukkan,  maka mahu tidak mahu saya harus percaya.


Gambar 2: Yang ini dari sisipan Metro akhbar The Star bukan Harian Metro.


Gambar 3: Di sebelah kiri adalah gambar rupa rumah tinggal yang menjadi tempat berteduh mereka yang tidak berumah dan  gambar sebelah kanan pula keadaan tempat mereka makan dan tidur.



Gambar 4: Ada dikalangan mereka yang tidak berumah ini  terdiri dari orang kita yang mengandung. Alangkah peritnya kehidupan yang mereka lalui, lebih-lebih lagi di bulan puasa dan menjelang hari raya. Lebih memilukan bila dilaporkan ada juga orang yang mengambil kesempatan menipu mereka ini yang sepatutnya diberikan pertolongan dan perlindungan.







Gambar 5: Melihat gambar diatas, saya sebak bila memikirkan keperitan dan ketidakselesaan yang mereka hadapi saban hari dan betapa bersyukurnya saya kepada Allah di atas kesenangan yang diberikan kepada saya.

Dalam pada itu, saya menjadi hairan kerana di saat ramai pendatang asing samada dengan izin atau tanpa izin mengaut kekayaan di negara kita, fenomena  yang merunsingkan ini terjadi di depan mata kita. 

Mengapa terjadi demikian ? Di mana silapnya ?  Salah kerajaankah ? Salah masyarakatkah ? Salah sendirikah? Apakah peranan kita sebagai anggota masyarakat ? Apakah jalan penyelesaiannya ? Atau harus dibiarkan sahaja ? Bagaimana kalau salah seorang dari mereka adalah dari darah daging kita sendiri ?


Namun mereka ini saya kira masih bernasib baik kerana cuaca di negara kita nyaman sepanjang tahun. Kalaulah cuaca di negara kita ada musim sejuk seperti di Sweeden misalnya, rasanya ramai yang mati kaku kesejukan. 

Saya menjadi lebih hairan bila membaca akhar Utusan Malaysia online pagi ini. Dilaporkan pelabur Malaysia membeli hartanah di London bernilai kira-kira RM6.5 billion, mengatasi pembeli British sendiri dan juga pelabur dari Amerika Syarikat dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini.

Saya jadi "bodoh" untuk mencari jawapan kenapa ada orang kita yang masih tidak berumah dan pada  masa yang sama pelabur Malaysia menjadi pelabur utama dengan amaun yang bukan sedikit di London. Mungkin ada pembaca yang boleh memberi jawapannya. 


Utusan Online - 26/7/2012.


 

Wednesday, July 25, 2012

WW # 39: CIMB PASTI TIP-TOP SEBAB SELALU BUAT "SYSTEM MAINTENANCE".

HARUSKAH KITA MINTA MAAF KALAU MINAT KITA TAK SAMA ?


Gambar hiasan hasil carian Google - orang main mahjong.


Minat kita tidak sama dijadikan Tuhan. Itu hakikat. Saya tidak kisah orang nak minat apa asalkan benda yang dia minat itu tidak bertentangan dengan ajaran agama dan undang-undang. Dan paling penting - tidak menyusahkan orang.

Ada orang minat memancing. Dalam masa yang sama, sangat ramai orang yang tak minat memancing. 

Ada orang minat kat Minah. Orang lain pulak minat kat Leha. Adalah sangat tak cerdik kalau kita mempertikaikan minat orang lain dan lebih sangat tidak cerdik kalau kita mahu orang lain meminati apa yang kita minat. 

Kalaulah misalnya orang yang minat main mahjong  memandang rendah orang yang minat memancing atas alasan membuang masa, saya memang kecik hati dan boleh bertukar menjadi baran. Saya juga boleh mengata orang yang suka main mahjong itu adalah orang yang gemar buat kerja sia-sia .. dah elok-elok bina, kemudian runtuhkan ! 

Saya berpendapat banyak hikmahnya kita tidak mempunyai minat yang sama. Cuba bayangkan kalaulah semua orang kecuali saya minat kat Siti Nurhaliza, mahu tercetus perang saudara berebutkannya.

Atau misalan yang lain, kalaulah semua orang  minat bermain golf, mungkin tak cukup padang yang ada di Malaysia ini. Terpaksalah korbankan ladang getah, kelapa sawit atau sawah padi untuk membuatnya.  Kan ke jadi masalah besar nanti kalau sawah padi bertukar menjadi padang golf. Dahlah pada masa ini pengeluaran beras  tak cukup dan kita terpaksa mengimport.

Nasib baiklah minat kita tak sama. Maka dengan itu, orang yang minat main mahjong atau golf misalnya, patut menggalakan orang yang minat memancing supaya terus memancing dan janganlah memandang rendah kepada mereka yang minat memancing !


.

Tuesday, July 24, 2012

TERKENANG SEMASA DULU 56: SAHUR AWAL PUASA DI JAKARTA.

Saya pernah dihantar berseminar di Jakarta, Indonesia beberapa tahun dahulu (2001). Mula-mulanya saya seronok bila nak dihantar kerana sebelum itu saya belum pernah menjejakan kaki di mana-mana tempat di Indoesia. Tapi memandangkan seminar itu dijalankan di penghujung bulan Syaaban, saya rasa agak keberatan kerana malas nak menyambut puasa di tempat orang. Sudah pasti juga saya akan terlepas program mantai.

Memang benar seminar saya tamat sehari sebelum puasa. Maknanya saya bersahur pada malam pertama puasa di Jakarta. Tak seronok betul rasanya. Tapi apa nak buat - SYMP.

Berikut saya kongsikan beberapa keping gambar yang masih ada dalam simpanan saya. Sila perhatikan cerita di bawah setiap keping gambar.


Gambar 1: Di lapangan terbang Soekarno-Hatta di Jakarta sewaktu hendak berlepas pulang. Beberapa petugas yang di lapangan terbang menanyakan samada saya ada membawa CD Siti Nurhaliza. Apa yang lebih menarik adalah semasa ketibaan. Saya ketinggalan kot saya di dalam kapalterbang. Setelah keluar dan ingin memasuki kereta petugas yang menyambut kami, baru saya sedar. Kemudian saya masuk semula dan meminta bahagian yang berkenaan mendapatkannya untuk saya. Saya dilayan dengan amat baik dan tak sampai 10 minit rasanya saya telah ditemukan semula dengan kot saya. Saya kagum juga dengan kecekapan mereka.


 

 Gambar 2: Di sinilah tempat saya berseminar (PUSPITEK). Letaknya tak berapa jauh dari kotaraya Jakarta. Kalau suruh saya pergi sekali lagi, usah harap saya boleh sampai.

 

 Gambar 3: Di sini juga saya tidak menyangka akan berjumpa seorang pegawai yang pernah bersama saya berkursus di Seoul sebelum ini. Saya pernah membuat entri mengenai kursus di Korea Selatan itu di sini. Gambar beliau juga ada di entri tersebut. Betapa kecilnya dunia ini.


 

Gambar 4: Memang sahabat-sahabat kita dari Indonesia ternyata orang yang periang. Lihat gambar di atas, semuanya tersenyum kecuali saya seorang. Di sebelah kiri saya gadis yang bertudung yang rapat dengan saya itu bukan Makngahnya. Gambar ini diambil selepas menghadiri jamuan makan malam di luar tempat seminar. Tak silap di kawasan Ancol yang popular itu.

 

 Gambar 5: Saya juga berkesempatan melawat "Pasar Seni Jaya Ancol" tempat menjual barangan cenderatamata, lukisan dan juga tempat karyawan seni membuat persembahan. Dalam perjalanan saya ke sini, saya lihat ramai sekali penjaja makanan, majalah/surat khabar, penyanyi jalanan berkejaran-kejaran menacari pelanggan di setiap persimpangan lampu isyarata. Saya belas melihat keperitan mereka berusaha gigih ke hulu ke hilir ditengah-tengah terik matahari dan kesesakan yang merimaskan, demi mencari sesuap nasi.


 

Gambar 6: Saya juga dibawa oleh kawan yang sama berkursus di Korea itu ke rumahnya di Bogor pada malam terakhir saya berada di sana. Di sebelah kanan saya ialah suaminya.  Saya melihat betapa sesaknya jalan dan perumahan sepanjang jalan dari Jakarta ke Bogor di mana di setiap simpang kedapatan ada orang yang membantu menguruskan kenderaan yang hendak keluar masuk.


Gambar 7: Saya juga dibelanja oleh pasangan tersebut makan di restoran "BebekBali". Kalau taksilap saya bebek itu adalah itik dalam bahasa kita.

  
Gambar 8: Dalam perjalanan saya balik ke hotel di hantar oleh pasangan tersebut, saya juga sempat singgah di Planet Hollywood, Jakarta kerana anak ada pesan supaya di belikan baju T. Tapi rasanya saya tak jadi beli.

Pada malam terakhir itu saya tidur di sebuah hotel di tengah kotaraya Jakarta berseorangan. Entah jam berapa saya terbangun kerana terdengar bunyi bising di bawah. Bila saya tinjau melalui tingkap, kelihatan anak-anak muda memukul gendang mengejutkan orang untuk bersahur. Saya pun bersahur dengan makanan yang dibekalkan oleh kawan saya tadi. Pada masa ini saya teringat keluarga di rumah serta tanah air dan segera menyelinap persaan sangat bersyukur atas kemewahan dan kesenangan hidup kita di bumi Malaysia.

<

Sunday, July 22, 2012

PALING.



1. PALING MENGGEMBIRAKAN.

Lulus STP dan kemudian masuk Universiti.

2. PALING MENYEDIHKAN.

Kehilangan ibu.

3. PALING MENDEBARKAN.

Setiap kali nak ambil periksa.

4. PALING GERAM.

Cari barang yang kita sendiri simpan tapi tak jumpa.

5. PALING SAKIT.

Leher.


Friday, July 20, 2012

TUTORIAL 2: BAGAIMANA MAHU MENGGUNAKAN PERISIAN "QURAN EXPLORER"

Walaupun teramat sedikit kecewa kerana tiada siapa yang mahu mencuba apa yang saya tutorialkan lewat entri ini dahulu, saya harap tutorial saya kali ini, akan ada yang ingin mencubanya.

Kali ini saya nak tunjukkan kepada mereka yang belum tahu bagaimana hendak memanfaatkan perisian "Quran Explorer". (Betul ke istilah perisian ?)  Bagi yang sudah mahir, terima kasih kerana sudi singgah dan harap gunakannya selalu. Saya sendiri sering menggunakannya bila tersangkut semasa membaca Quran.



Langkah 1: Untuk kemudahan anda semua, untuk memulakannya pergi sahaja ke sudut atas sebelah kanan blog saya. Klik kat Quran Explorer. Selepas itu bolehlah buat "bookmarks"



Langkah 2: Sila klik ikon "play" di sudut kiri bawah dan by default ia akan memaparkan surah al-Fatihah dengan terjemahan dalam Bahasa Inggeris.


Langkah 3: Kalau kita tidak mahu mendengar audio terjemahannya dalam Bahasa Inggeris, sila pilih 'hide' dan klik. Dan kalau kita mahu terjemahan secara tulisan dalam bahasa lain dari Inggeris, silalah pilih bahasa yang dikehendaki dari 14 bahasa yang di sediakan. 

 

Langkah 4: Untuk mendengar bacaan, ada 15 Qari yang boleh dipilih.  Saya suka dengan bacaan Sheikh Abdul Bassit kerana ia membaca secara berlahan dan berlagu. Kalau kita tidak pilih siapa-siapa, by default dia akan berikan bacaaan dari Sheikh Mishari-Rashid. Bacaan  Mishari agak laju sedikit, sesuai untuk yang sudah cekap.


Langkah 5: Kalau kita ada masalah rabun dekat, bolehlah dibesarkan 'font' mengikut saiz yang sesuai untuk mata kita. Cuma klik tanda + atau - pada ikon kanta di sudut kanan atau tengah sebelah bawah.



Langkah 6: Kita juga boleh memilih untuk membaca terjemahannya dalam Bahasa Melayu sebelah menyebelah seperti cetakan skrin di atas.


Langkah 7: Kemudian ulangi langkah-langkah yang disebutkan sebelum ini untuk memilih surah yang lain pulak. Misalnya surah Yaasin seperti di atas.


Semoga tutorial ini ada manfaatnya kepada mereka yang belum tahu dan selalu-selalulah menggunakannya selepas ini.

Thursday, July 19, 2012

MANTAI

MANTAI.


Saya baru balik dari membeli daging dan ayam kampung di tapak Mantai Perdana, Paroi. Mungkin hanya di Negeri Sembilan sahaja yang ada program 'mantai' sempena menyambut puasa dan hari raya.
 
................................................................................................


MAKAN MUSANG KING DI RUMAH MB.



Malam tadi saya menunaikan jemputan untuk makan-makan di rumah rasmi  MB, NS. Bergambar di pintu masuk ke kawasan rumahnya. Rumah rasmi MB itu rasanya adalah bekas rumah rasmi Residen British di Negeri Sembilan, beratus-ratus tahun dahulu. Kelihatan masih gagah dan hebat tak seperti bangunan di bawah yang baru siap beberapa tahun, dah menyembah bumi. Adakah arkitek, jurutera dan kontraktor dulu lebih bagus dari yang sekarang ?

 

Gambar stadium ini saya ambil dari dalam kereta semasa saya pergi mencandat sotong kat Kuala Terengganu baru-baru ini.


Saya cuma makan 4 ulas sahaja walaupun Musang King. Kalau tidak mana nak letak nasi ayam, satay, tempura, rojak, laksa, roti bom, kueh tiau, kambing golek, cendol, teh tarik dll.


MB yang berbaju biru tu sedang memberi ucapan alu-aluan di samping memberitahu perancangan pembangunan yang akan dijalankan di Negeri Sembilan.


 

Mula-mula tu rasa segan juga, tapi bila tengok orang lain berebut-rebut nak bergambar, saya pun tak mahu ketinggalan. 
..........................................................................................

SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA.
 
 
  
bulan mulia menjelang tiba,
tamatkan sengketa bermaafan kita;
berpuasalah kita menurut adabnya,
tidaklah hanya berlapar dahaga.

dari mana hendak ke mana,
tinggilah rumput si dari padi;
bersyukur kita pada Yang Kuasa,
ditemukan puasa sekali lagi.

 anak gelama dalam lautan,
mari dibawa di dalam raga;
moga berpuasa genap sebulan*,
hikmahnya pula jangan dilupa.


* kecuali yang uzur sharie

** di kopipes dari sini


Akhir sekali, sempena dengan kedatangan bulan Ramadhan ini, saya dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf kepada semua pembaca di atas segala kekurangan dan kelemahan blog ini samada dari segi penggunaan bahasa mahu pun dari segi isinya.

Wednesday, July 18, 2012

WW # 38: IKLAN METRO MAKIN MENGARUT, LUCAH DAN MELOYAKAN.

Tuesday, July 17, 2012

SONYUM SOKOJAP # 45: KITA NAK RAYA KAT MANA TAHUN NI ?


Gambar hasil carian Google mungkin ada kena mengena dengan entri ini.

Belum pun puasa lagi, kita dah mula bincang mana nak beraya. Inilah fenomena yang  dialami saban tahun oleh suami isteri yang berasal dari berlainan negeri. Berikut adalah perbualan saya dengan Haiqal anak bongsu saya dalam kereta pada suatu petang dalam perjalanan balik dari sekolah.

Saya: "Kita nak raya kat mana tahun ni .. rumah Wan kat kampong ayah ke, rumah Wan kat Perlis ke  atau kita raya kat rumah kita di Seremban jer ?"

Haiqal: "Sunway Lagoon boleh ?"

Jelaslah dia tidak mendengar soalan atau terdengar apa yang dia ingin dengar !

Sunday, July 15, 2012

PATAH SAYAP TERBANG JUA.

Satu masa dulu saya pernah cerita masalah saya dengan blog saya. Hampir saya patah semangat untuk berblog kerana saya tidak dapat membuat entri menggunakan dashboard yang lama. Atas nasihat rakan-rakan blogger, saya menjadikan diri saya pengarang bersama blog surau saya.  Jadi dapatlah saya membuat entri baru menggunakan dashboard blog surau saya.

Maka sekarang saya ada dua dashboard untuk berblog. Satu dashboard untuk saya membuat entri di blog Komensen dan satu lagi untuk membuat entri di blog saya yang satu lagi. Dan sehingga kini saya masih lagi gagal untuk menyatukan mereka berdua.

Di dashboard saya yang asal  sudah terdapat 11,462 profile views.


Manakala di dashboard yang baru ini saya baru terdapat 706 profile views.

Seperti yang saya katakan di atas tadi, sekarang saya boleh membuat dan pos entri atau membuat komen dari dua dashboard. Saya memilih blog kakcik untuk membuat contoh komen saya dari dua dashboard, seperti di bawah.



Faham tak apa masalah yang saya cakapkan ini ? Kalau tak faham tak mengapalah,   kita ambil sahajalah iktibarnya iaitu:

1. Jangan cepat putus asa.

2. Jangan malu untuk bertanya, walaupun kepada orang yang lebih muda kerana tidak ada orang yang tahu semua.

3. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.


LAMBAT DAN CEPAT BERAKAL.

Kadang-kadang ada budak tu, cepat besar dan cepat berakal.
Kalau dapat anak macam ini, senang hati dan mudah tugas ibubapa.

Tetapi ada juga budak yang cepat besar tapi lambat berakal.
Yang ini seriklah sikit ibubapa  untuk mengawasi tindakan dan pergerakan dia.
  
Ramai juga budak yang lambat besar tapi cepat berakal.
Kalau dapat anak macam ini, jenuh ibubapa memberi ubat dan vitamin agar anak cepat besar.

Tetapi ada juga budak yang lambat besar dan lambat berakal.
Ini adalah kes terencat.

Apa-apa pun sifat mereka, samada cepat atau lambat besar atau cepat atau lambat berakal, semuanya  adalah amanah Allah sebagai anugerah dah ujian buat kita semua yang berakal,  yang harus kita terima dengan redha dan rasa syukur.

Kepada pembaca yang masih belum berkahwin atau belum mendapat cahaya mata, ambillah ini sebagai renungan.

.......................................................

Semoga cucu saya Nur Iris Qistina cepat besar dan cepat berakal.



Antara pose terbaru dia. (Gambar di pinjam dari fesbuk saya)


* dah dua tiga hari  saya rasa tak sedap badan.


Thursday, July 12, 2012

KEROPOK HAMPAGAS.

Entri ini adalah sambungan dari entri  ini mengenai trip saya pergi mencandat di Terengganu pada hujung minggu lalu. Dalam perjalanan balik ke KL, kami singgah mengambil keropok yang telah ditempah lebih awal. Kalau tak ada tempahan, mungkin 2 jam menunggu pun belum tentu dapat.


Gambar 1: Entah mengapa bila saya baca notis di atas,  saya rasa ianya macam tak berapa 'mesra pelanggan'. Mungkin saya seorang yang cepat terasa. 


Gambar 2: Deretan periuk besar sedang merebus keropok.  Jenuh juga nak meniup api kalau tak ada kipas angin tu.



Gambar 3: Pemandangan dari luar kedai. Kelihatan beberapa orang pelanggan sedang duduk-duduk dan berdiri-diri menunggu giliran mereka.


Gambar 4: Tempat mengambil tempahan dan ada kemudahan pembungkusan 'hampagas' .. mungkin pertama seumpamanya setakat ini di Malaysia.


Gambar 5: Inilah rupanya keropok yang telah dibungkus hampagas (vacuum pack). Saya beli 3 bungkus. Saya tak menyesal beli 3 bungkus je.


Saya berpendapat, kalau kena caranya, keropok lekor boleh popular menjadi makanan antarabangsa. Mungkin boleh dimulakan dengan sarapan pagi secara mandatori di hotel- hotel 5 bintang di Kuala Lumpur.


Wednesday, July 11, 2012

WW # 37: WAJAH SAYA DIKATAKAN MUNGKIN ADA IRAS ERRA FAZIRA.