Friday, August 31, 2012

SEPULUH PERANGAI TERHODOH..



Akhbar The Star : 24/7/2012.

Berikut adalah 10 perangai terhodoh orang Malaysia (termasuklah saya) mengikut akhbar The Star, dan saya setuju. Saya buat terjemahan saya sendiri. Kalau kurang jelas maksudnya, sila rujuk teks asal seperti gambar di atas. 


1. Bersikap biadap dan memandu cara membahaya seperti menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat dan membunyikan hon secara melampau.

- Sekali sekala saya pernah buat perangai ini mungkin secara tak sedar atau terlupa.

2. Tidak mematuhi papantanda, makan dalam LRT, merokok di kawasan larangan merokok, membuang sampah merata-rata dan meletak kereta di tempat di zon bukan tempat meletak kereta. 

- Saya tak pernah makan dalam LRT, tidak merokok dan cukup berhati-hati membuang sampah. Bahkan kertas pembalut gula-gula HACKS pun saya simpan dalam poket. Dalam pada itu  saya baru kena saman kerana meletak kereta di tepi jalan kat Padang Besar masa raya tempoh hari. Saya telah pun membayar samannya sebanyak RM100 sahajaaaa .. tunai.

3. "Merampas" tempat meletak kereta  sedangkan orang lain sudah lama menunggu. 

- Saya tak pernah buat kerja samseng macam ini tetapi banyak kali kena.

4. Orang muda tak beri tempat duduk (dalam kenderaan awam) kepada perempuan mengandung atau orang-orang tua.

- Saya sendiri sudah layak mendapat tempat duduk kerana telah tergolong dalam zon orang-orang tua.

5. Tidak memberi ruang kepada penumpang pengangkutan awam  seperti bas dan keretapi turun terlebih dahulu sebelum mereka memasukinya.

- Sudah berpuluh tahun saya tidak naik bas dan keretapi. Cuma tahun lepas saya naik bas rombongan ke Kelantan menghantar anak buah berkahwin di sana.

6. Bercakap dengan kuat melalui henfonya di tempat awam seperti dalam pawagam.

- Sejak saya ada henfon saya belum lagi pernah menonton wayang di pawagam.

7. Tidak memegang pintu atau pintu lif untuk orang lain memasukinya selepas mereka masuk atau keluar.

- Rasanya saya akan buat begini kecuali orang itu musuh ketat saya. 

8.  Tidak mengucapkan terima kasih selepas menerima sesuatu yang elok dari orang lain.

- Rasanya saya tak pernah lupa mengucapkan terima kasih kecuali terlupa.

9.  Amalan tidak bertimbang rasa seperti meninggalkan troli membeli-belah di tempat letak kereta, mencangkung di atas tandas duduk atau mengotorkan tandas awam.

- Kalau saya mencangkung atas tandas duduk, alamat hancur lebur mangkuk tandas itu.

10.  Sering lewat.

- Ini masalah sikit sebab selalunya penganjur akan letak ketibaan tetamu satu jam lebih awal dari sepatutnya. Misalnya mereka tulis ketibaan jemputan 8.00 pagi sedangkan majlis hanya bermula pada jam 9 pagi. Alasannya, kalau letak jam 9 pagi, orang akan datang pukul 10 pagi. Akibatnya kita tidak tahu waktu mana patut datang.


Wednesday, August 29, 2012

WW # 41: SEMBRONG HANCUR - TASIK CINI MERANA - SEREMBAN PUNAH.




Tuesday, August 28, 2012

CARING SOCIETY, NOT !

 

"Orang Malaysia pernah menganggap diri mereka sebagai orang yang bertimbang rasa dan berbudi bahasa, tapi kini anggapan itu tidak lagi benar. Pemandu kenderaan berkelakuan buruk di jalan raya dan  remaja juga mempunyai kurang kesedaran sivik"

Itulah kenyataan dalam akhbar The Star pada 3/8/2012 yang lalu. Adakah anda bersetuju ?


 Ibu bapa sepatutnya menanamkan nilai-nilai murni dikalangan anak-anak mereka - saran The Star lagi. 

Cuba lihat 3 keping gambar yang ditunjukkan oleh akhbar tersebut ikut pusingan jam. Gambar 1 - Bungkusan sampah diletakkan betul-betul di hadapan tempat menunggu bas. Gambar 2 -  Sebuah kereta diletakkan dibawah pokok menghalang laluan pejalan kaki. Gambar 3 - Beberapa buah kereta berhenti di tempat yang tidak sepatutnya berhenti ( garisan kuning) di lampu isyarat.


 Lihatlah cara pemandu ini meletakkan kereta. Ini bukan kerja budak-budak. Yang sedihnya gambar ini saya rakam di  hadapan sebuah sekolah Agama Islam di Seremban. Jikalau ibubapa yang sepatutnya menanamkan nilai-nilai murni kepada anak-anak berkelakuan begini, apakah yang boleh kita harapkan daripada generasi kita di masa akan datang. Saya pesimis. Sungguh.

Dalam peristiwa lain yang berkaitan, saya masih ingat dan bila teringat rasa marah masih belum padam. Kisahnya mengenai seorang anak muda yang singgah sembahyang di R & R Pedas. Dia meletakkan kasutnya di atas rak yang disediakan di atas tempat mengambil air sembahyang untuk meletakkan barang-barang peribadi seperti  kopiah,  cermin mata, henfon atau songkok Sampai sekarang saya menyesal kerana tidak membalingkan kasut tersebut ke dalam longkang !

Monday, August 27, 2012

BERAYA DI NEGERI SEMBILAN PULAK.

Ustaz saya kata Hari Raya Aidilfitri hanya sehari sahaja. Itu sebab kita digalakkan mula Puasa Enam secara berturut-turut di bulan Syawal  mulai pada dua Syawal lagi. Kalau begitu halnya, apa yang selalu disebut di tv,  drama berikut akan ditayangkan pada pada hari raya ke 8, dan sebagainya tak begitu tepatlah rasanya kalau dibincangkan dari sudut ugama. Namun begitu saya merasakan bahawa sambutan hari raya selepas 1 Syawal adalah budaya kita yang baik dan berfaedah dari segi merapatkan silatulrahim sesama keluarga dan handai taulan.

Dalam entri sebelum ini saya hanya muatkan cerita dan gambar-gambar saya berhari raya di Perlis sahaja. Namun begitu berhari raya di Negeri Sembilan pun tak kurang juga hebatnya. Di bawah saya kongsikan beberapa keping gambar sambutan hari raya di NS pula. Ada yang datang sorang dua atau sekeluarga dan ada juga yang datang bergerombolan.

 

Gambar 1: Gerombolan yang pertama seramai 23 orang berkunjung pada hari Jumaat, 6 Syawal. Mereka sampai semasa saya dalam perjalanan balik dari rumah terbuka di Tampin.


Gambar 2: Gerombolan kedua seramai 13 orang ini pula tiba pada 7 Syawal, 5 minit lagi sebelum masuk waktu Maghrib.


Gambar 3: Di majlis akad nikah anak kawan yang tinggal setaman pada 7 Syawal sebelah pagi. Nampak tak pengantin perempuan di sebelah kiri gambar tu.
 

Gambar 4: Rumah terbuka sahabat lama saya tak jauh dari Tampin. Yang kat pintu masuk tu sedang asyik berkaraoke lagu raya.


Gambar 5: Menunggu jenazah seorang sahabat dari hospital di Kuala Lumpur yang meninggal kira-kira pukul 4 petang kelmarin. Rumah arwah hanya selang 4-5 buah rumah dari rumah saya. Gambar malam tadi.

Secara keseluruhannya memang tak menang tangan dan tak cukup masa untuk melayan tetamu dan juga pergi ke rumah terbuka dan kenduri kahwin di tambah pula dengan menziarah dan menghadiri kenduri tahlil di rumah sahabat yang baru meninggal. Hari ini baru lega sikit. Tapi dah sibuk pula dengan urusan anak sekolah.

Itu sebabnya saya masih malas nak buat rumah terbuka atas sebab-sebab seperti yang pernah saya nyatakan dahulu dalam sebuah entri yang sangat menarik di sini.  Sudi-sudikanlah baca kalau sudi.


Sunday, August 26, 2012

SURAT CINTA DI PADANG BESAR.

Hari Raya Puasa tahun ini saya sambut di rumah mertua saya di Perlis. Balik ke Perlis pada hari Khamis sebelum raya dan balik semula ke Negeri Sembilan pada hari Khamis selepas raya. Mulai hari itu sampai sekarang ini berterusan menghadiri rumah terbuka dan juga memenuhi jemputan kahwin. Minta maaf banyak-banyak kalau saya tak dapat mengunjungi blog kengkawan dalam tempoh tersebut.

Baru sekarang dapat mengemaskini blog selepas serombongan kakak dan anak-anak serta cucu-cucunya selesai beraya di rumah saya sebentar tadi. Berikut adalah cerita dan gambar-gambar hari raya saya tahun ini di Perlis.


Gambar 1: Balik dari sembahyang raya dari Masjid Al-Saadah, Perlis.


Gambar 2: Dalam perjalanan ke Alor Star beraya di rumah besan. Seronok bila ada orang bawa kereta dan kita hanya duduk menikmati pemandangan di sepanjang perjalanan.

  
Gambar 3: Di rumah besan saya di Alor Star. Masa ini anak sulung  belum sampai lagi dari rumah mertua dia di Muar.


Gambasr 4: Besan saya dengan keluarganya membalas lawatan pada 2 Syawal.


Gambar 5: Berlatarbelakangkan ladang tebu di Chuping, Perlis dalam perjalanan ke Padang Besar.


Gambar 6: Kompleks membeli belah di padang besar sendat dengan pengunjung.


Gambar 7: Tempat meletak kereta penuh. Pengunjung meletak kereta di mana-mana sahaja ada ruang kosong.


Gambar 8: Dengan sebahagian sanak saudara Makngahnya selepas majlis BBQ.


Gambar 9: Dalam perjalanan balik ke NS, sempat bergambar di pekan Arau.

Gambar 10: Surat cinta yang saya maksudkan akibat kesalahan meletak kenderaan.

Perjalanan balik saya ke Negeri Sembilan berjalan lancar dan selesa. Tiada sebarang kesesakan berpanjangan atau kemalangan ditempuhi. Rumah yang ditinggalkan juga selamat dari sebarang pencerobohan.  Kalau tidaklah kerana surat cinta tersebut, sambutan hari raya saya tahun ini sempurna sekali.



Friday, August 17, 2012

SUDAH SELAMAT SAMPAI DI PERLIS.

Semalam rancangan asalnya nak bertolak balik ke Perlis sebaik selepas Subuh, tapi akhirnya mula bergerak dah hampir pukul 10 pagi. Selalu macam tu.

Saya dan anak bujang saya bersetuju memandu separuh-separuh jalan.  Saya memandu dari Seremban hingga ke Rawang dan dia pula memandu dari Rawang hingga ke Perlis.


Gambar 1: Sepanjang perjalanan jalan sangat lengang dan lancar. Macam tak nak raya je. Cuma ada berjumpa satu kemalangan kecil. Gambar atas kat plaza tol lepas Seberang Perai. Kelihatan kereta dari arah utara pulak yang banyak.



Gambar 2:  Melintasi pintu gerbang sempadan Kedah dan Perlis. Rasa bersyukur kerana perjalanan yang lancar dan selamat. Terima kasih kepada semua yang telah mendoakan keselamatan perjalanan kami.


Gambar 3: Rumah keluarga isteri saya iala di Jalan Alor Sena. Lebih kurang 7-8 km dari pekan Kangar arah ke Padang Besar.


Gambar 4: Selesai sembahyang Jumaat. Malam tadi sembahyang terawih juga di sini. Ada 3 orang imam yang muda bertugas, seorang mengimamkan sembahyang Isyak, seorang lagi sembahyang Tarawih dan seorang lagi sembahyang Witir. Sedap bacaan mereka macam bacaan orang Arab.



Gambar 5: Inilah rumah keluarga isteri saya tempat beliau dibesarkan. Rumah ini sudah tidak berpenghuni sejak bapa mertua saya tinggal dengan saya di Seremban. Ibu mertua pula sudah lama meninggal.

Saya gembira dapat bersiaran dari Perlis dengan menumpang talian internet jiran sebelah rumah. Selamat meneruskan puasa hingga ke penamat dan bertarawih sekali lagi pada malam ini.



Wednesday, August 15, 2012

AMPUN MAAF DIPINTA.



Besok pagi-pagi, saya sekeluarga akan memulakan perjalanan jauh balik ke kampung isteri saya di Perlis untuk menyambut hari raya puasa. Mohon didoakan perjalanan kami selamat pergi dan balik dan juga  selamat rumah dan harta benda kami dari sebarang musibah.

Saya tidak pasti samada saya akan dapat on line atau tidak dari sana. Oleh itu pada kesempatan ini, saya  ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf dari anda semua, sekiranya sejak setahun yang lalu, kedapatan tulisan saya dalam entri atau ruangan komen yang terkasar bahasa atau keterlaluan cara.

Shaheizy dah kaya,
Zizie jadi datin;
Selamat hari raya,
Maaf zahir batin.


Selanjutnya Nor Iris Qisitna,  cucu saya ingin menyatakan sesuatu .. 
(saya sendiri tak faham satu apa pun)

video


p/s. Terima kasih banyak-banyak kepada tuan/puan semua yang telah memberi ucapan tahniah dan juga mendoakan kebahagiaan perkahwinan saya suami-isteri sempena ulangtahun ke 32 perkahwinan kami dalam entri sebelum ini.



SUDAH ~ 32 ~ TAHUN ~ DIA ~ MENJADI ~ ISTERIKU.

Hari ini adalah hari ulangtahun ke-32 perkahwinan kami. Tak banyak lagi nak cerita tentang sejarah perkenalan dan kehidupan saya suami isteri khususnya di peringkat awal perkahwinan kerana telah saya ceritakan dengan panjang lebar sebelum ini. Di sini saya cuma nak update peristiwa penting dalam kehidupan kami sejak entri yang ini tahun lalu.

Pada 11 Mei 2012, kami  telah mendapat tambahan seorang cucu lagi hasil perkahwinan anak perempuan saya yang ke dua. Kali ini dapat cucu perempuan. Jadinya sekarang kami sudah mempunyai sepasang cucu kerana cucu pertama adalah lelaki. Untuk itu kami amat bersyukur kepada Allah di atas anugerahNya yang tidak ternilai itu.


Gambar 1: Muhammad Khairul Amirin, cucu pertama dengan Nor Iris Qistina, cucu kedua.

Berikut adalah dua keping gambar saya  dengan Makngahnya bersama arwah ibu mertua dan bapa mertua dalam perjalanan dari Perlis ke kampung saya  selepas akad nikah, yang belum pernah tersiar dalam blog ini.




Gambar 2: Bersama Kak Luna isteri kepada sepupu makngahnya di Sungai Petani.



Gambar 3: Singgah rumah Kak Nah dengan anak lelakinya di apartmen beliau di Bricksfield.  Kami pernah duduk berjiran  semasa menyewa di Bangsar sebelum ini. 

 

Gambar 4: Semasa saya bekerja di USA, Kak Nah pernah juga melancong dan singgah bermalam di rumah saya. Kelihatan anak lelakinya di tengah-tengah.


Semoga perkongsian hidup kami kekal aman bahagia, sehingga ajal datang menjemput kami. Insya-Allah.


 

Monday, August 13, 2012

TERKENANG SEMASA DULU 57: BERPUASA DI AMERIKA - JULAI 1982.

Dah nak penghujung puasa, baru saya teringat nak buat entri mengenai pengalaman berpuasa dan berbuka puasa semasa di Amerika dulu.

Kami berbuka secara 'pot luck' dengan bergilir-gilir  di kalangan warga kedutaan dan juga agensi kerajaan Malaysia yang lain di sekitar Washington D.C. Seronok juga kerana bilangan rakyat Malaysia yang bekerja di sana pada masa itu agak ramai. Saya juga tidak terlepas menjadi tuan rumah kepada satu majlis berbuka puasa.

Selanjutnya lihatlah gambar-gambar di bawah untuk melihat suasananya.



Gambar 1: Ada yang makan di ruang tamu tingkat atas. Ramai juga yang selesa bersila di ruang keluarga di tingkat bawah.


Gambar 2: Kebetulan puasa tahun ini (1982) sudah masuk musim panas, maka waktu berpuasanya agak panjang. Kalau tak silap dari jam 4 pagi hingga jam 8-9 malam. Ingatan saya sudah tidak berapa kuat lagi. Namun begitu kita tidak pula terasa lapar dan dahaga  sangat. Itulah dia tanda kasih sayang Allah kepada hambaNya. Subhanallah.


Gambar 3: Ada yang berkopiah putih, ada yang berseluar dan ada juga yang memakai kain sarong. Hubungan kita sangat erat sekali.

 
Gambar 4: Kita makan pun secara berterabur sahaja tak ada saprah atau berdulang/berhidang seperti di tempat kita. Meja makan dan kerusi yang ada tidak mencukupi untuk menampung semua tetamu.


Gambar 5: Yang perempuan seorang duduk atas kerusi tu tengok saja .. uzur agaknya !

Oleh kerana saya asyik ambil gambar tetamu, sampai gambar saya sekeping pun tak ada. Gambar isteri saya pun tak ada. Nak buat macam mana - masa bukan boleh dipatah balik. Mungkin juga saya tidak terjumpa gambarnya dari ribuan keping gambar yang ada dalam simpanan saya. (Sebenarnya saya malas nak mencari). 

Nasib baik ada gambar anak sulung saya (budak perempuan yang pakai baju kurung sambil berdiri) dalam Gambar 5 tu sebagai wakil.

LAGI KES ORANG NAK MASUK SYURGA SORANG-SORANG.


Ada seorang jemaah muda belasan tahun cukup rajin sembahyang berjemaah di  surau taman saya. Bagus. Dia juga gemar berada di saf pertama. Tidak seperti sesetengah jemaah lain yang cukup fobia untuk berada di saf pertama, apa lagi kalau berada betul2 di belakang imam.  Memang berada di saf pertama lebih besar ganjarannya dari mereka yang berada di saf kedua. Semua orang tahu. 


Tapi masalahnya dia ni tak pedulikan orang lain untuk berada di saf pertama. Habis semua orang, tak kira tua ke muda, dilangkahnya untuk ke depan. Kadang-kadang ada juga yang tersinggul olehnya. Ada juga masanya dia akan cuba menyelit juga di saf pertama walaupun saf tersebut sudah padat hingga menimbulkan ketidakselesaan kepada orang lain.

Dalam bab ini nampaknya dia telah mengenepikan adat dan akhlak sehingga mengecilkan banyak hati orang lain. Sedangkan menjaga hati orang, saya rasa adalah lebih patut diutamakan dari mengejar saf pertama.

Selain dari itu, saya juga perhatikan dia suka meletak motornya sesuka hati dia sedangkan tempat meletak motor telah disediakan. Lainlah kalau tempat meletak motor itu sudah penuh. Kadang-kadang motornya mengganggu lalulintas jemaah lain untuk ke bilik air atau ke tempat berwuduk. Tentang cara dia membawa motor, malas nak ceritalah.

Dalam pada itu saya tidak pulak nampak batang hidungnya dalam aktiviti kemasyarakatan yang lain seperti gotong royong, mengurus kematian, kenduri kendara, Rukun Tetangga dsb.

Teringat saya semasa mengerjakan haji pada tahun 1997 dahulu. Semasa melontar di Jamrah, ada satu bangsa dari benua Timur Tengah yang berbadan sasa akan merempuh jemaah dari negara lain semasa mereka mara untuk melontar. Kadang-kadang perbuatan mereka ini sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang lain. Ini juga saya kira terang-terangan termasuk dalam golongan yang ingin masuk syurga sorang-sorang.

Saya percaya akan ada orang yang mengatakan entri saya ini mengumpat. Saya berpendapat ia tidak. Saya rasa, saya masih lagi dapat membezakan di antara entri yang mengumpat dengan entri yang cuba memberi peringatan atau kesedaran. Saya amat sedar akan beratnya dosa mengumpat dan sentiasa berusaha untuk mengelakkan dari melakukannya.



Entri ini  adalah susulan dari entri Janganlah Masuk Syurga Sorang-Sorang.

Saturday, August 11, 2012

CEPAT BAYAR HUTANG.



Pada entri ini saya ingin kongsikan sedikit petikan dari buku yang dihadiahkan oleh Tuan Temuk tempoh hari berkaitan dengan hutang. Semoga ada manfaatnya.

...............................................................................

"Roh orang yang mati itu terhalang masuk syurga kalau hutang-hutangnya belum dibayar. Menurut keterangan sebuah hadis, daripada Muhammad bin Abdullah bin Jahsy (r.a), beliau berkata: Rasulullah (s.a.w) duduk manakala jenazah sudah diletakkan. Beliau memandang ke langit, lalu memejamkan matanya. Kemudian beliau meletakkan tangannya di dahi beliau sambil membacakan: Subhanallah, Allah menurunkan al-Tasydid".

Kemudian perawi melanjutkan ceritanya lagi: Kami pun terdiam kerana sudah memahaminya. Pada keesokan harinya saya bertanya kepada beliau apa yang dimaksudkan dengan al-Tasydid yang diturunkan itu. Beliau menjawab: Maksudnya ialah hutang. Demi Allah yang diri Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya, seandainya ada yang mati syahid kemudian dihidupkan semula, selepas itu mati syahid lagi dan hidup semula, selepas itu mati syahid untuk selama-lamanya orang yang seperti ini tidak akan masuk syurga selama hutang-hutangnya belum dijelaskan (dilunasi)".

Syaikh Abdul Lartif Musytaharty:   Persediaan Menghadapi MATI" - . m/s. 9

..........................................................................

Begitulah .. Islam sangat menitikberatkan tentang tanggungjawab membayar hutang sehingga pahala mati syahid berkali-kali pun pun tidak akan dapat menebus hutang kita dan yang lebih malang ialah kita tidak akan masuk syurga selama hutang-hutang itu belum djelaskan.  Oleh itu janganlah memandang remeh kepada hutang. Segala amal ibadah kita, sembahyang kita, puasa kita, haji kita, zakat kita,  hanya sia-sia sahaja kerana tidak diterima oleh Allah sekiranya hutang-hutang itu belum dijelaskan.

Berkaitan dengan itu, di sinilah pentingnya para waris si mati, segera menunaikan hutang si mati, jika ada, sebelum berebut-rebut membahagi harta peninggalannya jika kasihankan kepada nasib arwah di sana.

Saya masih lagi berhutang iaitu hutang beli kereta. Saya kira ia tidak termasuk dalam kategori hutang yang dimaksudkan kerana kereta itu dicagarkan kepada bank tempat saya meminjam. Seandainya saya mati, bank boleh mengambil balik kereta tersebut kerana ia belum menjadi milik saya. Wallahua'lam.

Akan tetapi kalaulah ada saya berhutang dengan mana-mana pembaca semua selain dari hutang kereta tersebut, silalah tuntut dari saya sekarang.

Tambahan: Entri ini sangat berkaitan. 





Thursday, August 9, 2012

RM5 SAHAJA.


Dalam entri saya sebelum ini ada saya sentuh tentang bayaran sebanyak RM5 yang dikenakan untuk mendaki gunung. Saya rasa bayaran sebanyak itu sepatutnya dihapuskan sahaja kerana ia tidak begitu menguntungkan baik dari segi pendidikan, pelajaran dan juga dari sudut kewangan kepada kerajaan.

Ia juga membebankan bagi golongan yang berpendapatan rendah.  Kalau masuk seramai 6 orang satu keluarga, akan kena bayar RM30.  Kalau sebulan nak masuk 4 kali, dah kena bayara RM 120. Tentulah orang akan berfikir dua tiga empat kali untuk masuk ke hutan. 

Saya fikir kita sepatutnya menggalakkan orang ramai terutamanya golongan muda masuk ke hutan bagi membolehkan mereka menikmati dan menghargai keindahan alam semula jadi. (Sebenarnya saya tidak gemar menggunakan istilah alam semula jadi kerana alam ini tidak terjadi dengan sendirinya tapi sebaliknya dijadikan oleh Allah swt).  Ia adalah lebih baik dari mereka melepak di pusat-pusat membeli belah atau pun merempit.

Saya sendiri tiada masalah untuk membayar RM5 itu, bahkan pada masa kami masuk ke hutan hari itu, kita orang berlumba-lumba untuk membayarkan untuk orang lain. Lagi pun saya sudah tidak larat hendak mendaki gunung kerana lutut  saya tidak mampu menampung berat badan.

Dari segi kewangan juga saya rasa kerajaan tidak mendapat keuntungan yang begbitu besar kerana bilangan yang masuk tidak seramai orang mengunjungi Sunway Lagoon. Kalau ditolak kos pentadbiran dan gaji serta elaun para petugas yang mengutip bayaran tersebut, entah-entah rugi.

Sebelum ini pun kerajaan telah  menghapuskan banyak bayaran yang dikenakan kepada rakyat. Misalnya lesen tv dan radio, cukai jalan bagi motorsikal dan yang terbaru menghapuskan bayaran bagi pesakit luar. Bagi saya bayaran-bayaran tersebut lebih patut dikutip dari bayaran yang dikenakan untuk mendaki gunung atau memasuki hutan.

Kalau pun kerajaan negeri kehilangan hasil akibat penghapusan bayaran sebanyak RM5 itu, saya percaya kerajaan mampu menampungnya. Kalau tidak juga mampu, saya cadangkan kerajaan menaikan cukai rokok SATU SEN sekotak dan minyak petrol SATU SEN seliter kerana mereka inilah antara penyumbang karbon (carbon source) yang mencemarkan udara kita. Sebaliknya hutan bertindak menyerap (carbon sink) kepada asap yang dikeluarkan oleh rokok dan kenderaan.

Mungkin ada orang yang berkata, hasil kutipan mendaki gunung adalah hasil negeri dan hasil cukai rokok dan petrol hasil persekutuan. Itulah adalah perkara teknikal yang remeh yang boleh diselaraskan dengan mudah, jika sama-sama saling bersetuju,  samada melalui bayaran balik (reimbursement) kepada kerajaan negeri atau dalam bentuk geran tahunan mengikut formula tertentu. Misalnya mengikut keluasan hutan. Dengan itu mungkin kerajaan negeri akan berlumba-lumba mengekal atau menambah hutan kerana ada imbuhan daripada tindakan itu dan kita semua mendapat faedahhnya dalam bentuk udara yang bersih dan cuaca yang lebih sejuk.

Sebagai kesimpulannya saya berpendapat bahawa menghapuskan kutipan sebanyak RM5 seorang untuk masuk ke hutan dan mendaki gunung itu adalah lebih bijaksana dan menguntungkan kepada kita semua. Macam berbahas pulak.

Itu cuma pendapat saya. Orang lain mungkin ada pendapat lain yang lebih bagus. 


Tuesday, August 7, 2012

SEHARIAN DI KENABOI.

Kenaboi adalah nama satu tempat di daerah Jelebu. Untuk sampai ke sana, mengambil masa lebih kurang satu jam dari Seremban dengan kereta. Ia terletak selepas bandar Kuala Klawang, Petaling, Titi dan kalau mahu boleh keluar ke Ulu Langat. Sebelum ada jalan pintas ke Ulu Langat, Kenaboi adalah satu kawasan yang sangat terpencil. Sekarang ini penduduk Kenaboi lebih cepat sampai ke Kajang untuk makan satay berbanding penduduk yang tinggal di pekan Kuala Klawang. Kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini adalah pada tahun 1964 atau 1965.

Kelmarin kira-kira jam 9 pagi, saya bersama 6 orang sahabat setaman telah masuk ke hutan Kenaboi untuk mencari tempat yang sesuai untuk aktiviti perkhemahan/perkhelahan yang sedang diaturkankan untuk  penduduk  yang tinggal di taman kami.


  Gambar 1: Sekarang Kenaboi sudah terkenal di kalangan penggemar kegiatan sukan lasak. Buktinya seperti banner yang saya terjumpa di salah satu tapak perkhemahan.


Gambar 2: Inilah barisan "orang yang tak ado kojo cari kojo", tolak seorang yang tukang ambil gambar. Begambar dihadapan sebuah resort yang baru siap dibina. Cantik resortnya tapi jalan untuk sampai ke sini agak mendukacitakan. Badan saya masih lagi sengal-sengal sampai ke saat ini dilambung kenderaan 4WD yang digunakan untuk sampai ke sini.


Gambar 3: Dimaklumkan Lata Kijang yang menjadi tujuan asal kami ditutup serta merta. Apa asalannya, entah. Bedebah !


Gambar 4: Salah satu tapak perkhemahan yang terdapat di sini. Kami tak bercadang memilih tempat ini kerana terlalu terbuka. Paneh.
 

Gambar 5: Inilah salah satu air terjun yang kami temui. Pastinya ia bukan air terjun Lata Kijang, kerana kalau ini Lata Kijang, macamana kami boleh sampai kesini. Tempat ini walaupun mempersonakan, tapi tak sesuai untuk tapak perkhemahan kerana terlalu sempit kawasannya. Tiada tempat untuk kami bermain futsal.


Gambar 6: Tidak ada yang percuma di dalam dunia ini kecuali udara barangkali. Di tengah hutan rimba pun kena bayar RM5 untuk melihat keindahan alam ciptaan  Ilahi.


Gambar 7: Buat masa ini kami mungkin memilih tempat ini untuk perkhemahan nanti, kerana ia agak redup dan kelihatannya dari darat berpotensi mempunyai ikan. Walaubagaimanapun keputusan belum muktamad. Saya pakai topi mesti senget.




Gambar 8: Dalam perjalanan balik, kami singgah di pekan Kuala Klawang membeli juadah berbuka puasa di PARAM bersebelahan Muzium Adat yang kelihatan di belakang sana.

video

Di atas adalah video air terjun yang membolehkan anda mendengar deruan air yang terjun mencurah dari atas. Ketinggian saya agak adalah kira-kira 10 tingkat bangunan. Bagi yang tak dapat melihat video ini, bayangkanlah sahaja bunyinya berpandukan gambar 5 di atas.

Saturday, August 4, 2012

SONYUM SOKOJAP 46: TADARRUS.


Gambar hiasan hasil carian Google.

Semasa sedang menunggu waktu berbuka puasa dua hari lepas, isteri saya bertanya kepada Haiqal, tentang program tadarrus dia, kat sekolah.

Isteri saya: "Dah sampai muka surat berapa dah ?"

Haiqal: "Muka surat 52" (dia menjawab dengan bangganya)

Isteri saya: "Baru muka surat 52 .. kenapa lambat sangat ?" 

Haiqal:  "Kita orang baca dari muka surat satulah mak .."

Saya:  kah kah kah kah kah.


Jika masih juga belum tersenyum, cer pergi kat  sini pulak. 

 

Friday, August 3, 2012

MODEN DAN TRADISI: SATU IRONI.

Kita secara perlahan-lahan meningggalkan amalan dan kegemaran tradisi nenek moyang kita. Buktinya banyak sekali. Antaranya, makanan, bahasa, pakaian, permainan, gaya hidup dan sebagainya. 

Dalam bentuk pemakanan, ramai yang sudah tidak kenal apalagi gemar memakan wajik, dodol, kesighat dan sebagainya sebaliknnya gemarkan burger, pizza, almond london, donut.  Begitu juga cara kita makan pun sudah berubah. Sudah ramai yang lebih selesa makan atas kerusi dan meja dengan memakai sudu dan garfu daripada makan pakai tangan sambil bersila atas tikar.

Bahasa pun begitu juga. Tidak kedengaran lagi perkataan shahdan, kata sahibul hikayat, sebermula"  dan sebagainya dan diganti dengan bahasa ringkas atau sms. Contoh 'lu kt ne skang ?'. Dalam berpakain, lagi jauh kita meninggalkan pakaian tradisi kita. Tidak jumpa lagi orang berjalan memakai tanjak di tengah pekan sambil keris tersisip di pinggang.

Di samping itu, saya difahamkan, ramai juga orang2 yang sudah moden yang berkasut di dalam rumah pada masa ini.

Permainan dulu-dulu seperti gasing, batu seremban, congkak  telah lama dilupakan atau kurang dimainkan, lebih-lebih lagi di bandar-bandar. Sekarang orang-orang muda dan tua main di komputer, gajet-gajet tertentu atau henfoh sahaja.

Begitu juga dengan panggilan tuan hamba dan hamba sudah jarang atau tidak digunakan lagi kecuali dalam filem purba atau pementasan bangsawann di Istana Budaya. Orang lebih selesa dengan I you atau lu gua sahaja.

Tapi ironinya dalam hal pemberian gelaran dari Raja-Raja Melayu seperti yang diamalkan dalam tradisi lama, semakin hari semakin berkembang atau menjadi-jadi pulak.  Tajuk gelaran juga sudah dipelbagaikan. Misalanya pada tahun 50 dan 60 dahulu cuma gelaran Dato' sahaja yang biasa kita dengar. Kini ia bekembang menjadi Dato' Seri, lepas itu Dato' Seri Utama. Mungkin akan datang akan ditambah dengan gelaran Dato' Seri Utama Yang Mulia, kemudiannya mungkin Dato' Seri Utama Yang Teramat Mulia dan seterusnya Dato Seri Utama Yang Teramat Mulai Lela Perkasa dan disusuli dengan gelaran Dato' Seri Utama Yang Teramat Mulia Lela Perkasa Yang Bijaksana Gagah Berani !

Kalau di United Kingdom (UK), gelaran tertinggi yang biasa kita dengar hanya "Sir" sahaja. Saya memang sangat jahil tentang ini. Silalah kalau ada siapa yag tahu memperbetul atau menambahkan maklumat ini. Begitu pun saya difahamkan ramai sekali yang menolak pemberian anugerah ini dari Queen kerana barangkali sebabnya semua orang lelaki di sana dipanggil Sir oleh orang lain. Murid panggil cikgu Sir, pelayan restoran memanggil pelanggannya Sir dan seterusnya. Jadi buat apa nak ada gelaran Sir, kan !


Dan kalau ada sesiapa yang berhajat hendak membeli gelaran dari UK silalah klik di sini.


.

Wednesday, August 1, 2012

WW # 40: 322222@2.27@1/8/2012.