Monday, December 31, 2012

SOROTAN KOMEN SEPANJANG TAHUN 2012.


Secara umumnya komen-komen yang saya terima semakin hari semakin berkurangan walaupun jumlah pengunjung sentiasa meningkat. Saya tahu puncanya - malas blogwalking. 

Saya berterima kasih kepada semua yang sudi memberi komen yang rata-rata menyenangkan dan menggembirakan hati saya. Namun begitu, ada satu komen dalam entri saya yang bertajuk "Cukup-Cukuplah Tu PTD" telah benar-benar berjaya menyesakkan nafas saya.

Bukannya saya tidak pernah mendapat komen menghentam sebelum ini, tapi komen dari Encik 2a5d6fac-3d91-11e1-97e2-000bcdcb5194  dalam entri tersebut telah menusuk qalbu  dan menggoncang kewarasan saya buat seketika kerana dia menyentuh taraf saya sebagai pesara.  Kalau dia nak komen, komen sahajalah. Apa kena mengena pulak dengan kedudukan saya sebagai orang pencen. Hina sangatkah orang pencen ini di mata dia ? Sudah tidak ada harga lagikah orang pencen ini ?

Saya telah pun menjawab komennya dalam entri ini dan sehingga hari ini si pengomen sudah tidak lagi berani menunjukkan mukanya. 


........................................................................................................

Sub-Entry: Malam Ini Malam  Tahun Baru .




akan ada pertemuan
akan ada perhimpunan
akan ada rempit-rempitan
akan ada sorak-sorakan
akan ada nyanyi-nyanyian
akan ada tari-tarian
akan ada minum-minuman
akan ada himpit-himpitan
akan ada keriangan
akan ada pergaulan
akan ada percampuran
akan ada yang tidak karuan.

akan ada sorak-sorai menghitung hari berganti
akan ada pertunjukan bunga-bunga api
namun acara masih belum berhenti
akan diteruskan sampai ke dinihari
mungkin terlajak sampai ke terbit matahari.
kita lihatlah hasilnya selepas 9 bulan nanti.

hasil apakah yang akan mari?
itu lu kena pikirlah sendiri.


(Entri kitar semula)





Sunday, December 30, 2012

ANTARA ZIZAN RAJA LAWAK, NAJIB RAZAK DAN LISA SURIHANI, SIAPA LEBIH POPULAR ?

 

 Sumber:  Di sini.

Sungguh saya tak sangka, Dato' Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia berada di kedudukan nombor 3, selepas Zizan Raja Lawak. Akan tetapi bilangan orang yang memperkatakannya pula, mengalahkan Zizan dan Lisa Surihani. Apa makna semuanya ini ?

Friday, December 28, 2012

TUNTUTLAH ILMU SEBELUM BERIBADAT.



Beribadat tanpa ilmu adalah sia-sia manakala berilmu tetapi tidak beribadat adalah rugi. Dengan itu menuntut ilmu dan beribadat adalah sama-sama penting bak kata Imam al-Hassanul Basri:

"Tuntutlah ilmu tanpa melalaikan ibadat. Dan beribadatlah tanpa melalaikan tuntutan mencari ilmu"

Namun begitu yang manakah yang patut didahulukan. Tentulah menuntut ilmu perlu didahulukan sebelum beribadat agar segala ibadat kita sempurna syarat dan rukunnya moga-moga diterima oleh Allah SWT. Insya-Allah.

Selanjutnya saya petik tulisan yang sangat menarik dari buku "Minhajul Abidin - Wasiat Imam Ghazali" akan kepentingan menuntut ilmu, seperti berikut:

" ... Terdapat sebuah cerita yang mengisahkan tentang dua orang lelaki, yang seroang adalah orang yang berilmu yang tidak pernah beribadat dan seorang lagi adalah orang tidak berilmu tetapi menjalankan ibadat. Kemudian, keduanya diuji oleh seseorang tentang berapa kadar kejahatan bagi kedua orang tersebut. Maka, si penguji itu pun mendatangi keduanya dengan mengenakan pakaian yang megah.

Dia berkata kepada orang yang rajin beribadat: "Wahai hambaKu, aku telah mengampuni seluruh dosamu. Maka sekarang engkau tidak perlu beribadat lagi". Ahli ibadat menjawab: "Ooooh, itulah yang aku harapkan darimu ya Tuhanku". Ahli ibadat menganggap si penguji sebagai Tuhan, sebab dia tidak mengetahui sifat-sifat sebenar Tuhannya.

Selanjutnya, sang penguji mendatangi orang yang berilmu, yang ketika itu dia sedang minum arak. Penguji berkata: "Wahai manusia, Tuhanmu akan mengampuni dosamu!". Dengan geram dia menjawab: "Kurang ajar ! (sambil mencabut pedangnya), engkau fikir aku tidak kenal siapa Tuhan".

Demikiannlah, orang yang berilmu tidak akan mudah tertipu dan sebaliknya orang yang tidak berilmu begitu mudah tertipu dan terpedaya ...

Kesimpulannya, ilmu memang merupakan inti (asas) yang perlu didahulukan dan kemudian diikuti dengan ibadat. Ini kerana, ibadat tanpa ilmu akan dihinggapi banyak penyakit yang merosakkan. Mengetahui dahulu zat yang harus disembah, baru kemudian menyembahNya.  Tanpa mengetahuiNya akan menimbulkan suul khatimah (mati tanpa beriman kepda Allah) dan hasilnya ibadat itu menjadi sia-sia belaka ... " 


Minhajul Abidin - Wasiat Imam Ghazali, Terbitan Victory Agencie, 2004. Muka surat 21-22.


Sekian. Moga-moga entri ringkas ini ada manfaatnya kepada kita semua.

Wednesday, December 26, 2012

WW # 56: DULU, TAK LAMA DULU DAN BARU-BARU INI.









TERJUMPA ROKIAH DI SAIGON.

Ini adalah sambungan dari entri ini.  Harap maaf kerana entri ini ada banyak gambar kerana saya ingin menghabiskan stok. 

 

Gambar 1: Di sekitar kawasan masjid ini banyak kedapatan kedai makanan halal lagi sedap. 

 

Gambar 2: Nampak tak tulisan di bawah nombor 2, sudut kiri bawah sekali. Jalan Pintar 5, Jaman Universiti. Patutlah dia orang tak jadi ambil. 


Gambar 3: Tempat jual minyak dan plaster koyok.




Gambar 4: Bangunan apa dah lupa .. kalau tak silap bangunan Dewan Bandaraya Ho Chi Minh dengan senibina Eropah.


Gambar 5: Bangunan Opera  Van Java  tinggalan senibina Perancis.


Gambar 6:  Kedai kat Malaysia pun kadang-kadang tak ada tulis Selamat Datang.


Gambar 7: Saya tertarik dengan peringatan dalam Bahasa Melayu "Kamera Litar Tertutup (CCTV) Beroperasi".  Mungkinkah sebelum ini ada orang kita yang panjang tangan ?


Gambar 8: Kalau dah tahan sangat .. kat mana pun boleh. Bukan kat Saigon je, kat Malaysia pun selalu jumpa !


Gambar 9: Sebelah tv nipis ada komputer nipis tapi masa untuk berblog juga adalah sangat nipis.


Gambar 10: Oleh kerana saya tak berapa pandai membaca tulisan Vietnam, saya gunakan benda ni main agak-agak je.



Gambar 11: Majoritinya orang-orang sini lampai. Sebenarya saya nak tunjuka gambar Majalah Nona dan Keluarga kat sudut kiri belah bawah gambar di atas. Nampak tak ?


Gambar 12: Bukan sahaja orangnya lampai, bangunannya juga banyak yang lampai. Misalnya hotel yang kita duduk tu, satu tingkat ada 4 bilik sahaja.


Gambar 13: Ini bukan Rokiah, tapi tiga orang pelajar UM yang mengembara dari Vietnam Utara sampai ke Saigon menaiki keretapi. Yang tak bertudung nampak kepala tu, tokeh kedai nak enter frame. Mula-mula teruja juga jumpa orang Melayu dari Malaysia dan terus bergambar, tapi lepas tu hilang keterujaan kerana berjumpa orang Malaysia di mana-mana.


Gambar 14:  Ada nampak kereta tak ? Saya ingat Mat Rempit kita pun angkat tangan kalau naik motor kat sini.


Gambar 15: Inilah Rokiah yang saya maksudkan, tapi masa saya sampai dia belum sampai.


Gambar 16: Semasa kat airport nak balik ke Malaysia, saya terlihat sekeluarga orang kita tengah makan nasi bekal sendiri.

Inilah adalah entri yang terakhir (kot) dari 5 entri sebelum ini mengenai cerita saya pergi Saigon tempoh hari.  Bila dah jadi blogger ni, setiap benda yang dilihat boleh dijadikan modal. Kadang-kadang jadi masalah juga .. tak tahu bila dan di mana nak berhenti.

Nota kaki: Saya telahpun membuat penjelasan kepada entri saya yang bertajuk  "Siapakah Yang Paling ?" sebelum ini. Harap maklung !

Monday, December 24, 2012

SIAPAKAH YANG PALING ?




1. Siapakah yang paling banyak mempunyai kedai roti ? En Bakri.

2. Siapakah yang paling banyak mempunyai pelabuhan ? Puan Marina.

3. Siapakah orang paling paranoid ? Orang yang menyangka ada orang sentiasa ikut dia dari depan !

4. Antara Imam dan Muazzin (bilal) siapakah yang selalunya paling kejam ? Muazzin.

Saya agak mesti ada yang tak faham ni !



Saturday, December 22, 2012

BERCUTI BOLEH MENIMBULKAN KETEGANGAN.



Adapun tujuan kita pergi bercuti adalah untuk melepaskan ketegangan fikiran dan merehatkan badan dari tugas harian ( orang putih kata "to unwind").

Akan tetapi setiap kali saya nak bercuti atau sedang bercuti atau balik dari bercuti, fikiran saya bertambah tegang dan badan saya bertambah penat. 

Saya beritahu kenapa ?

1. Duit habis beli tiket, hotel, membeli-belah, hilang, kena curi, kena tipu  dan orang pesan beli barang.

2. Rumah tinggal  - risau takut ada orang curi atau dihempap pokok semasa ribut atau atap bocor semasa hujan.

3. Ikan/kucing/burung/gajah peliharaan tinggal. Harapkan jiran atau saudara tolong beri makan. Entah dia beri makan atau tidak, entah cukup atau tidak. 

4. Kesian kat pokok bunga dan pokok terung tak ada siapa nak siram. Kalau harapkan jiran atau saudara, masalah seperti no. 3 di atas akan berulang.

5. Leceh kena buat atau perbaharui paspot. Kena cari parking, kena ambil nombor, kena beratur, kena bayar, kena sembur.

6. Bangun pagi nak kejar flight. Ini satu yang saya cukup terseksa. Kadang-kadang flight jam 5.30 pagi. Kena bangun 2 pagi, tidur pula jam 1 pagi lepas packing kain baju.

7. Kalau kena 'air pocket' atau ribut semasa di udara, bila turun kapalterbang, pening 4-5 hari. Pergi bercutinya pula cuma 3-4 hari je. 

8. Nak cari makanan halal dan menepati selera kerap juga menjadi satu masalah besar. Kadang-kadang terpaksa berjalan berbatu-batu baru jumpa. Bila balik hotel dah lapar balik.

9. Kaki melecet dan seluruh badan letih dan longlai. Ini khusus bagi Warga Emas yang malas bersenam.  Nak pulih kembali kena tiga empat minggu jugak.

Itu dalam kes sayalah - orang lain saya tak tahu. Adakah anda serupa ? 

Harap-harap tidaklah begitu, nanti tak ada pulak orang nak pergi melancong. Tetapi kalau serupa, bolehlah kongsikan di sini. Saya boleh senaraikan banyak lagi sebab-sebanya tapi cukuplah setakat 9 sebab dari saya.

 .....................................................................................................

Nota kaki: Entri di atas diilhamkan dari soal-jawab saya dan Ida Mahmud seperti di bawah:




Friday, December 21, 2012

TIPU HELAH SYAITAN DAN PANDUAN UNTUK MENEPISNYA.

Di surau tempat saya pada masa ini, pada hari Ahad selang seminggu, ada kuliah subuh yang disampaikan oleh Ustaz Zaidi, mantan Timbalan Mufti  Negeri Sembilan menggunakan kitab Minhajul Abidin karangan Imam al Ghazali seperti gambar di bawah. Hari minggu yang lalu, pelajaran telah sampai kepada fasal mengenai tipu helah syaitan.


Kitab yang kami gunakan sebagai rujukan.


Menurut Imam al-Ghazali, syaitan mempunya tujuh strategi atau pelan yang digunakan untuk menipu daya manusia. Kalau pelan pertama gagal, dia mencuba pelan ke - 2 pula, dan begitulah seterusnya. Maka berbahagialah orang-orang dapat "membaca" dan menepis ke tujuh-tujuh gerak langkah syaitan tersebyt yang semata-mata untuk memperdayakan kita sebagai manusia yang lemah ini.

Berikut saya salinkan karangan imam al-Gahazali tentang tipu daya tersebut serta cara-cara untuk kita melawannya. Walau pun bahasanya menggunakan Bahasa Melayu lama, namun saya percaya semua pembaca boleh memahaminya.

" Adapun fasal tipu daya dan tipu helah daripada syaitan maka perjalanan demikian itu dan misalnya: bahawa tipuan dan helah syaitan terhadap anak adam supaya meninggalkan taat kepada Allah Taala ada tujuh wajah (jalan):

1. Bahawa syaitan menegah ia anak Adam daripada taat kepada Allah Taala, maka siapa-siapa yang dipelihara oleh Allah daripada syaitan akan menolaknya syaitan itu dengan bahawa katanya (anak Adam): "aku amat berhajat sekali kepada demikian (beribadat dan taat kepada Allah) kerana tak dapat tiada aku mesti mengambil bekal daripada dunia yang fana ini untuk akhirat yang kekal abadi tidak ada kesudahan baginya"

2. Syaitan menyuruh ia anak Adam supaya melewat-lewatkan ibadah atau menempoh-nempohkan ibadah. Maka jika siapa-siapa yang dipelihara oleh Allah Taala daripada syaitan akan menolaknya syaitan itu dengan katanya: "ajalku bukanlah pada tanganku (kuasaku) dan jika aku takhirkan amalan hari ini kepada esok hari maka amalan esok hari, bilakah aku hendak kerjakan ? Pada tiap-tiap hari ada amalannya yang tertentu (yang tersendiri)".

3. Syaitan menyuruh anak Adam supaya bersegera mengerjakan amalan maka berkatalah syaitan baginya segeralah cepat-cepatlah mengerjakan amalan baik supaya engkau dapat mengerjakan bahagian-bahagian daripada amalan yang lain pula, maka jika dipelihara oleh Allah Taala ditolaknya syaitan itu dengan katanya: "sedikit amalan yang dikerjakan dengan sempurna segala rukun dan syaratnya adalah lebih baik daripada amalan yang banyak yang tidak sempurna segala rukun dan syaratnya" 

4. Syaitan menyuruh anak Adam supaya mengerjakan amalan baik dengan sempurna hal keadaannya kerana hendak diperlihatkan kepada manusia (kerana riya'), maka jika dipelihara oleh Allah Taala ditolaknya syaitan itu dengan katanya:"apakah faedahnya aku perlihatkan amalanku kepada manusia ? Tidakkah memadai aku perlihatkan kepada Allah Taala?"

5. Syaitan menghendaki menjatuhkan anak Adam di dalam 'ujub (menghairankan diri sendiri), di dalam hati hati orang yang beramal maka berkata ia: "betapa bersarnya martabat engkau ! dan betapa sedar engkau daripada kelalaian (ghaflah)! dan betapa banyaknya kelebihan engkau ! maka jika dipelihara oleh Allah Taala ditolaknya syaitan itu dengan bahawa berkata ia: "nikmat yang besar dan banyak itu bagi Allah Taala pada demikian (yakni pada kebesaran darjat dan kesedaran hati daripada kelalaian dan banyak kelebihan) itu bukanlah perbuatanku maka semuanya itu Allah taalalah yang memberi taufiknya kepada ku untuk membolehkan aku mengerjakan amal yang amat berharga dengan kurniaannya dan ihsannya dan kalaulah tanpa kurniaannya maka apalah harganya amal ku ini dengan dibandingkan banyaknya nikmat Allah taala atasku manakala dosaku pula amat banyak sekali baginya ?"

6. Syaitan berkata dan membisik dihati anak Adam: "hendaklah engkau bersunguh-sungguh mengerjakan ibadat didalam sir (yakni tersembunyi) jangan diketahui oleh orang lain kerana Allah Taala akan menzahirkan amal sir engkau itu kepda orang lain dan mereka akan memuji engkau dan mereka akan mengatakan bahawa engkau hamba Allah yang ikhlas". Dan syaitan itu mencampur adukan terhadap setiap orang yang beramal akan amalannya dengan tipu dayanya dan helahnya secara halus dan lemah lembut, dan bermaksud syaitan itu dengan demikian (dengan perkataan dan bisikan yang tersebut) supaya memasukan sebahagian daripada riya'.  Maka siapa-siapa yang dipelihara oleh Allah Taala ditolaknya dengan katanya: "wahai malhun (yang jauh dari rahmat Allah) sampai sekarang engkau datang (mengekori ) aku dengan cara (jalan) merosakkan amalku, dan sekarang engkau datang kepadaku dengan cara (jalan) berpura-pura untuk memperbaiki amalanku pada hal maksud engkau untuk merosakkan amalku.  Sesungguhnya aku hamba Allah taala dan ia Subhanahu wataala tuhanku  dan Ia yang mencipatan aku, dan jika Allah berkehendak menzahirkan (menyatakan) amalku atau menyembunyikannya dan ia berkehendak menjadikan aku mulia atau menjadikan aku hina dan demikan itu semuanya (yakni pekerjaan menzahir/menyembunyi itu) terserahlah kepadanya (kerana semuanya itu urusannya) dan aku tidak peduli (tidak hiraukan) jika menzahir ia amalku itu kepada manusia atau tidak menzahirkannya kepada mereka kerana itu bukanlah urusan mereka dan dan tidak ada sesuatu di sisi mereka samada manfaat atau mudharat".

7. Kemudian datang pula syaitan kapda anak Adam dengan wajah yang ketujuh setelah gagal mempengaruhi dengan wajah yang keenam, dan berkata ia: "tidak berhajat lagi bagi engkau menyusahkan diri untuk mengerjakan ibadat kerana bahawasanya jika engkau telah dijadikan dan ditetapkan oleh Allah pada azali bahagia nescaya tidak memberi mudharat meninggalkan amal (yakni engkau tetap jadi orang yang berhagia), dan jika dijadikan dan ditetapkan engkau oleh Allah pada azali orang celaka nescaya tidak memberi manfaat kepada engkau beramal dan tetaplah engkau jadi orang celaka". Maka jika siapa-siapa dipelihara oleh Allah taala daripada syaitan itu ditolaknya dengan katanya: "sesungguhnya aku ini seorang hamba dan berhak (berkewajiban) atas hamba mengikut suruhan (perintah) bagi kehambaannya (perintah tuhannya) dan tuhan itu lebih mengetahui dengan ketuhanannya menghukumkan sekehendaknya dan berbuat ia apa sahaja yang dikehendakinya, dan amal aku itu tetap memberi manfaat bagiku walaubagaimana pun keadaan aku (yakni samada berbahagia atau pun celaka) kerana jika aku dijadikan (ditetapkan) seorang yang berbahagia maka aku amat berkehendak kepadanya (kepada amal itu) untuk menambahkan pahalaku di akhirat, dan jika aku dijadikannya seorang yang celaka maka aku pun berkehendak kepadanya juga supaya aku tidak mencaci (mencercakan) diriku dengan meninggalkan perintah tuhanku itu, selain itu bahawa Allah Taala tidak menyiksakan aku atas taat dengan segala hal (kelakuan), dan tidak mudharat bagiku atasnya jika aku dimasukan ke neraka pada hal aku taat kepada Allah Taala, lebih suka (senang) bagiku bahawa dimasukan ke neraka pada hal aku bermaksiat kepada Allah taala".

Maka keadaanya tidaklah seperti demikian kerana janji Allah Taala itu adalah tepat mesti berlaku dan firmannya adalah benar. Dan sesungguhnya Allah Subhanallaha Wa Taala telah berjanji kepada orang yang mengerjakan taat akan diberikan pahala, maka barang siapa bertemu dengan Allah Taala (dengan mati) dalam keadaan beriman dan taat kepadanya tidak dimasukkan ke neraka samasekali, dan masuk syurga, jadi masuknya seseorang itu ke syurga bukanlah kerana perbuatan dengan amalnya tetapi masuknya syurga kerana semata-mata janji Allah yang benar yang maha tinggi lagi maha suci.

Dan bagi ini makna (iaitu masuk dengan semata-mata janji Allah yang maha mulia dan kurniaannya yang besar bukanlah dengan amal) telah firman Allah Taala menghikayatkan keadaan orang yang berbahagia ketika mereka berkata:

 ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى صَدَقَنَا وَعۡدَهُ 

Ertinya: segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjinya kepada kami (yakni dengan dimasukki kami ke dalam syurga).

Maka hendaklah engkau sedar, semoga engkau dirahmati oleh Allah sesungguhnya perkara taat kepada Allah seperti yang engkau lihat dan engkau dengar iaitu banyak sekali godaan dan tipu daya syaitan supaya mengganggukan engkau. Dan kiaslah atas perkara yang tersebut segala kelakuan dan perbuatan, dan pohonlah pertolongan dengan Allah Taala dan mintalah perlindungan dengannya daripada syaitan yang direjam, maka segala sesuatu itu berada di bawah kudratnya dan kuasanya subhanallah wataala, dan kepadanya kita memohon taufik untuk mendapat keredhaanNya ". 

Sekian, semoga entri ini ada manfaatnya kepada kita semua.


Thursday, December 20, 2012

APA YANG SAYA TENGOK DI SAIGON: LAWATAN SEKITAR BANDAR.

Ini adalah sambungan kepada entri ini yang telah lama tersimpan di dalam deraf

Hari ketiga kami di Saigon, kami memutuskan untuk membuat "City Tour" dengan agen pelancongan yang membawa kami ke Delta Mekong sehari sebelumnya. Bayaranya untuk sehari cuma USD12 seorang termasuk pengangkutan dan makanan. Sangat murah dan berbaloi.


Gambar 1:  Di luar Reunification Palace (klik kalau nak tahu lebih lanjut) yang kini dijadikan muzium. Tempat pertama yang di lawati. 
.....................................................................................

Selingan.



Selingan 1:
"Evacuation of CIA station personnel by Air America on April 29, 1975".  Saya petik dari sini.




Selingan 2: "A North Vietnamese tank crashes through the gates of the Presidential Palace in Saigon on April 30, 1975. The taking of the palace marked the fall of the U.S.-backed south and the end to a decade of fighting". 
 Saya petik dari sini.

.............................................................................................................



Gambar 2: Gambar ini saya nak cerita lebih sikit. Saya berdiri di beranda istana membelakangi bandaraya Saigon yang dipenuhi pokok-pokok subur menghijau. Yang menarik hati saya dan mungkin boleh dicontohi, setiap pokok ini ada nombor masing-masing. Kalau ada yang tumbang atau condong, senanglah orang nak buat laporan kepada Dewan Bandarayanya dengan hanya menyebut nombor pokok berkenaan.



Gambar 3: Pentas tempat Presiden menerima menghadap duta-duta asing menyerahkan surat tauliah masing-masing.


Gambar 4: Sebahagian cenderamata di peragakan di satu dinding. Saya cari-cari juga kalau-kalau ada hadiah dari saya di situ.


Gambar 5: Meja makan di rumah saya besar sikit dari meja makan di sini yang besar banyak.



Gambar 6: Helikopter untuk kegunaan semasa berlaku kecemasan.


   Gambar 7: Di luar bangunan pejabat pos dengan senibina Peranchis.

 

Gambar 8: Di dalam bangunan pejabat pos yang dijaga rapi dan bersih. Terasa macam berada kat Paris pulak.

 

Gambar 9: Di belakang sana kelihatan bangunan seakan-akan menara Telekom di Jalan Pantai Baru atau Burj al Arab di Dubai.


Gambar 10: Di tangga ke tingkat atas pasar yang sendat dan sibuk.

Gambar 11: Di hadapan Muzium Tinggalan Perang.

Gambar 12: Di luar muzium tempat meletakan helikopter, kereta kebal dan lain-lain senjata nak bunuh orang.


Gambar 13: Sebahagian senjata yang digunakan semasa peperangan dengan Amerika dahulu.


Ada satu lagi deraf entri lawatan saya ke Saigon yang masih belum disiarkan. Lepas tu habislah kot ?

Tuesday, December 18, 2012

SONYUM SOKOJAP 53 : "BOOM GATE"




Dalam satu mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan langkah-langkah untuk mencegah kejadian pecah rumah yang sedang berleluasa di sebuah taman perumahan, berbagai cadangan telah dikemukakan dan dibahaskan oleh ahli-ahli mesyuarat.

Ada yang mencadangkan pemasangan CCTV. Ada yang mencadangkan pemasangan 'boom gate'. Ada yang mencadangkan perlantikan pengawal keselamatan swasta dan ada juga yang mencadangkan supaya penduduk sendiri membuat rondaan.

Tetiba seorang peserta yang sejak mula hanya berdiam diri mengangkat tangan dan terus memberikan pendapatnya.

"Dari tadi saya telah mendengar berbagai pendapat dari tuan-tuan bagaimana hendak mengelakkan atau menghalang berlakunya kejadian pecah rumah di taman kita. Barangkali tuan-tuan lupa bahawa kejadian pecah rumah itu dilakukan oleh penjenayah. Jadi kenapa tidak kita kenalpasti sahaja penjenayah itu dan melaporkan kepada polis agar mereka boleh ditangkap dengan segera. Terima kasih"


Nota Kaki:

Kadang-kadang kita sangka seseorang itu tak cerdik kalau dia tak berkata-berkata. Tetapi bila dia sudah berkata-kata,  benarlah sangkaan kita.

 

Sunday, December 16, 2012

TURUN NAIK SEMANGAT BLOGGER.




Saya lihat dari bloglist saya, banyak blogger yang dulunya sangat aktif berblog seperti pemilik blog Matcham-Matcham dan juga tasekM sebagai contoh kini sudah agak dingin. Saya ingatkan saya seorang sahaja yang begitu.  

Sekarang ini bukan sahaja saya malas nak buat entri baru, tapi nak jawab komen apalagi nak BW sangatlah segan. Nasib baik saya ada banyak stok draf entri. Kebanyakan entri saya akhir-akhir ini merupakan deraf entri yang telah ada dalam simpanan sejak sekian lama yang telah saya usahakan semasa saya rajin dulu.

Nasihat saya kepada kawan-kawan yang sedang rajin berblog sekarang ini, buatlah entri banyak-banyak untuk dibuat stok dan diposkan bila tiba musim malas nanti.

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda yang membaca entri ini dan entri-entri sebelumnya lebih-lebih lagi kepada anda yang sudi meninggalkan komen.

Saturday, December 15, 2012

TERKENANG SEMASA DULU 67 : MENGHADIRI MUKTAMAR MISG DI HOUSTON, TEXAS.

Dari 26 hingga 30 Disember, 1983 saya dan beberapa pegawai lain dari Kedutaan Malaysia, di USA telah diarahkan bertugas membuat liputan dan laporan perjalanan "Muktamar Senawi Ke Lapan, Malaysian Islamic Study Group of U.S  And Canada" di Houston, Texas. 

Pada masa itu, MISG lebih bersimpati dengan perjuangan Parti Pas dan agak kritikal dengan kerajaan BN. Saya tidak tahu apakah pendirian mereka pada masa ini.

Namun begitu, saya amat kagum dengan kemampuan penganjur yang terdiri dari pelajar-pelajar muda kita  'mengambil alih' pengurusan keseluruhan sebuah hotel 5 bintang (Hyatt Hotel, kalau tak silap saya) dan menempatkan semua delegasi pelajar yang menggotai pertubuhan ini dari seluruh USA termasuk Kanada. Mereka juga mengambil alih urusan keseluruhan dapur untuk menyediakan makanan bagi lebih 1,500 orang pelajar.

Nak jadikan cerita saya telah beselisih faham dengan seorang ketua sebuah jabatan yang datang dari Malaysia berpunca dari cara saya menguruskan seorang Timbalan Menteri, sehingga dia membayangkan untuk menghantar saya balik ke Malaysia.  Timbalan Menteri itu sebenarnya datang ke muktamar ini bukan diundang oleh MISG,  tetapi dia datang kerana kebetulan telah berada di USA pada masa itu kerana bercuti. 

Selepas habis muktamar, kami kembali ke tempat masing-masing dan saya pun balik ke Washington D.C.  Rupanya ketua jabatan yang saya ceritkan ini pun turut datang ke Washington D.C. Malangnya beliau telah tersalah tempah hotel Holiday Inn.  Sepatutnya hotel Holiday Inn  di tengah bandar tetapi dia ambil hotel kat airport. Nak buat apa !

Setelah beliau gagal menghubungi semua pegawai lain yang ditemui semasa di Houston sebelumnya, untuk mengambil dia dari hotel tersebut kerana masing-masing bermain golf, mahu tidak mahu kerana terdesak, dia telah menghubungi saya. Nombor telefon saya diperolehinya  dari salah seorang pegawai yang telah dihubunginya. Kebetulan pula saya berada di rumah pada masa itu kerana saya bukan seorang pemain golf dan untuk pergi memancing pula tengah musim sejuk.

Saya agak terperanjat juga bila dihubungi beliau selepas insiden berselisih faham itu.

Dipendekkan cerita saya dengan lapang hati telah pergi mengambilnya dan memindahkan hotelnya dan seterusnya membawa dia ke rumah untuk makan apa yang ada dan juga menghantarnya ke kompleks beli belah dan ke tempat-tempat lain yang dikehendakinya. 

Akhirnya kami telah menjadi sahabat karib dan berterusan sehinggalah saya balik ke Malaysia.


Gambar 1: Tiba di lapangan terbang Houston, Texas.


Gambar 2: Di meja hadapan nombor 2 dari kanan adalah Dato' Khalil Yaakob masa itu Timbalan Menteri Pendidikan,  sekarang menjadi Yang Di-Pertua Negeri Melaka. Yang berkopiah putih itu penceramah dari Parti Pas yang datang dari Malaysia tetapi saya sudah lupa namanya.


Gambar 3: Dato' Khalil sedang menyampaikan ucapannya.


Gambar 4: Beratur untuk mengambil makanan. Saya cukup kagum dengan disiplin dan kesabaran peserta walaupun terpaksa beratur panjang dan makanan pula hanya untuk mengalas perut sahaja. Tidak bermewah-mewah.


Gambar 5: Keseorangan di bilik hotel memerhatikan hutan batu.


Gambar 6. Di masa senggang, kami mengambil peluang berjalan-jalan di sekitar bandaraya Houston.


Gambar 7. Di hadapan sebuah arca yang menarik perhatian kami.


Gambar 8: Walaupun bandaraya Houston sudah jauh ke selatan tapi masa ini angin yang bertiup sangat sejuk .. kata orang sampai ke tulang hitam.

p/s: Walaupun saya tidak minat berpolitik, namun saya tetap mengikuti pekembangan politik. Sehubungan dengan itu, saya cadangkan anda meletakkan blog ini sebagai bloglist anda kerana ia menghimpunkan banyak sekali blog politik yang terdapat di Malaysia bagi membolehkan anda mengikuti "cakap-cakap" politik di luar sana.