Sunday, March 31, 2013

ANDA IRAS SIAPA ?

Saya pernah beberapa kali kena tegur oleh seseorang yang menyangka saya ni kawan dia atau orang yang dia kenal.  Saya percaya anda pun pernah begitu. Dan saya pun pernah tertegur orang yang salah. 

Setelah saya beritahu saya ini siapa, muka insan yang menegur tadi berubah malu-maluan seraya meminta maaf dan berlalu. Ada juga yang berkata ..

 " sori .. saya ingatkan awak ni Dato' Anu tadi",  atau pun 

" maafkan saya ... tapi muka encik sebijik macam muka Erra Fazira".


 Di kopipes dari entri lama.

Saya juga pernah berjumpa dengan seorang yang sebijik rupanya dan juga   suaranya dengan seorang arwah saudara saya. Bila berbual dengan dia, terus saya teringat dengan arwah saudara saya itu.

Anak saya Haiqal yang bongsu pula ada iras-iras Mark Zuckerberg  pengasas Facebook. Kalau tak percaya tengok dan bandingkan gambar mereka berdua di bawah. Semoga bila Haiqal besar nanti dia pun akan kaya macam Zu itu juga.

.
 Betul tak kata saya, mereka berdua ada sikit iras-irasan.


Sekarang saya nak tanya .. anda ada iras siapa ? Tak kiralah iras siapa tu orang yang beritahu atau anda perasan sendiri.

Friday, March 29, 2013

BOLEHKAH KITA LULUS TUJUH SARINGAN ?



Gambar hiasan hasil carian Google.

Saya terjumpa sebuah hadis yang agak panjang dari Muaz bin Jabal berkenaan amalan yang tertolak. Saya bercadang untuk membuatnya dalam dua entri tapi saya bimbang kalau entri sambungannya tidak terlaksana atas pelbagai sebab di luar kawalan saya. Maka jadilah entri ini agak panjang dari biasa.

...........................................................................

Menurut Nabi Muhammad s.a.w, Allah s.w.t telah mencipta 7 malaikat sebelum Dia mencipta langit. "Pada setiap langit terdapat satu malaikat penjaga pintu, jadi setiap pintu langit mempunyai penjaga pintu, mengikut darjat pintu dan keagungannya".

Dengan demikian, malaikatlah yang menjaga amalan bagi seseorang hamba. Kemudian, pencatat ini membawa amalan si hamba ke langit dengan kemilau cahaya bak matahari dan malaikat Hafazah (pencatat amalan) memuji amalan-amalan itu. Tetapi setibanya di pintu langit pertama , malaikat penjaga pintu berkata kepada malaikat Hafazah:

"Lemparkan amalan ini ke muka pemiliKnya. Aku adalah penjaga orang-orang yang suka mengumpat. Aku diperintahkan agar menolak amalan orang yang suka mengumpat. Aku tidak mengizinkan untuk sampai ke langit seterusnya"

Keesokan harinya malaikat Hafazah membawa catatan amalan orang lain hingga langit ke dua. Dia lulus langit pertama kerana pemiliknya tidak mengumpat.

Malaikat penjaga pintu di langit kedua berkata:

"Berhenti ! Lemparkan sahaja amalan ini kepada pemiliknya kerana dia beramal dengan mengharapkan kebaikan dunia. Allah memerintahkan aku agar amalan ini tidak sampai ke langit berikutnya".

Hari berikutnya, malaikat Hafazah kembali naik ke langit membawa amalan seorang hamba yang amat memuaskan, penuh sedekah, puasa dan pelbagai kebaikan yang menurut malaikat Hafazah sangat mulia dan terpuji. Setibanya di langit ketiga, malaikat penjaga berkata:

"Berhenti! Lemparkan sahaja amal itu ke wajah pemiliknya. Aku malaikat penjaga kibr (sombong). Allah telah memerintah aku agar amalan seperti ini tidak boleh melepasi pintuku dan tidak sampai ke langit berikutnya. Ini adalah kesalahan dirinya sendiri, dia takabbur di dalam majlis"

Ringkasnya malaikat Hafazah naik ke langit lagi membawa amalan hamba yang lain pula. Amalan itu bak bintang kejora, mengeluarkan suara gemuruh penuh dengan tasbih, puasa, sembahyang, ibadat haji dan umrah. Setibanya di langti keempat, malaikat penjaga langit berkata:

"Berhenti ! Lemparkan sahaja amalan ini ke wajah pemiliknya. Aku adalah malaikat penjaga 'ujub. Allah memerintahkan kepada aku agar amalan ini tidak mendapat kelulusan aku. Ini kerana amalannya selalu disertai ujub".

Malaikat Hafazah naik ke langit lagi membawa amalan hamba yang lain pula. Amalan itu sangat baik dan mulia. Dia berjihad, melakukan ibadat haji dan umrah sehingga berkilau bak matahari. Setibanya di langit kelima, malaikat penjaga mengatakan:

"Aku malaikat penjaga sifat hasad. Meskipun amalannya bagus, tetapi dia suka hasad terhadap orang lain yang mendapat nikmat Allah s.w.t. Ini bererti dia membenci yang meredhai yakni Allah. Aku diperintahkan agar amalan seperti ini tidak melepasi pintu ku"

Malaikat Hafazah naik ke langit lagi dengan membawa amal seorang hamba. Dia membawa amalan berupa wudhuk yang sempurna, sembahyang yang banyak, puasa, haji dan umrah. Setibanya di langit yang keenam, malaikat penjaga berkata:

"Aku malaikat penjaga rahmat. Lemparkan sahaja amalan yang kelihatan bagus ini ke mukanya. Selama hidup dia tidak pernah mengasihi orang lain, bahkan apabila ada orang ditimpa musibah, dia merasa senang. Aku diperintahkan Allah agar amalan ini tidak melepasiku dan agar tidak sampai ke langit berikutnya"

Kemudiannya malaikat Hafazah kembali naik ke langit dan kali ini adalah langit ketujuh. Dia membawa amalan yang tidak kurang baiknya dari yang lalu seperti sedekah, puasa, sembahyang, jihad dan warak. Tetapi setibanya dia pada langit ketujuh, malaikat penjaga bekata:

"Aku malaikat penjaga sum'at (sifat ingin terkenal.) Sesungguhnya pemilik amal ini menginginkan darjat yang tinggi di kala berkumpul dengan kawan sebaya., ingin mendapat pengaruh dari para pemimpin. Aku diperintahkan agar amal ini tidak melepasiku dan sampai kepada yang lain kerana ibadat yang dilakukan bukan kerana Allah adalah riak. Allah tidak menerima ibadat orang-orang yang riak".

Kemudian, malaikat Hafazah naik lagi ke langit membawa amal dan ibadat seorang hamba berupa sembahyang, puasa, haji, umrah, akhlak mulia, pendiam dan suka berzikir kepada Allah Taala. Dengan diiringi oleh para malaikat, malaikat Hafazah sampai di langit yang ketujuh hingga menembusi hijab-hijab dan akhirnya sampailah di hadapan Allah. Para malaikat itu berdiri di hadapan Allah dan menyaksikan bahawa amalan itu sahih dan ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Taala. 

Kemudian Allah Taala berfirman:

"Hai Hafazah, malaikat pencatat amal hambaku, Akulah yang mengetahui isi hatinya. Dia beramal bukan untukKu, tetapi diperuntukkan bagi selain Aku. Dia tidak berniat ikhlas untukKu. Aku lebih mengetahui daripada kalian. Aku melaknat mereka yang menipu orang lain dan menipu kalian (para malaikat Hafazah). Tetapi aku tidak tertipu olehnya. Akulah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib. Aku mengetahui segala isi hatinya. Segala yang samar, tidak samar bagiKu. Setiap yang tersembunyi, tidak tersembunyi bagiKu. Pengetahuan Aku atas  segala yang terjadi sama dengan pengetahuanKu atas segala yang belum terjadi lagi. PengetahuanKu atas segala yang telah lepas atau berlalu sama dengan pengetahuanKua atas segala yang akan datang. PengetahuanKu atas orang-orang yang terdahulu sama dengan pengetahuanKu atas orang orang-orang yang kemudian.

Aku lebih mengetahui atas segala sesuatu yang samar dan rahsia. Bagaimana hambaKu boleh menipu dengan amalnya. Mereka boleh menipu sesama makhluk tetapi Aku mengetahui segala perkara yang ghaib. Aku tetap melaknatnya .. !!!

Sayidina Muaz (yang meriwayatkan hadis ini) kemudian menangis tersedu-sedu, lau berkata: "Ya Rasulullah, bagaimana aku mampu selamat dari segala yang engkau ceritakan tadi?"

Jawab Rasululllah: "Hai Muaz, ikutilah Nabimu dalam masalah keyakinan"

Aku (Muaz) bertanya: "Engku adalah seorang Rasul sedanglan aku hanya Muaz bin Jabal. Bagaimana aku mampu selamat dan berjaya untuk melepasti segala bahaya itu?"

Berkatalah Rasulullah s.a.w: "Memang begitulah, bila ada kelalaian dalam amal ibadatmu, maka jagalalah mulutmu, jangan sampai mengejek orang lain, terutama sekali kepada sesama ulama. Ingat diri sendiri apabila hendak mengejek orang lain, sehingga sedar bahawa diri kamu sendiri mempunyai banyak aib.  Jangan menutup kekurangan dan kesalahanmu dengan mengejek orang lain. Jangan mengangkat diri dengan menjatuhkan orang lain. Jangan riak dalam beramal dan jangan mementingkan dunia sehingga mengabaikan akhirat. Jangan bersikap kasar dalam majlis. Jangan suka mengungkit-ungkit peribadi orang lain, kelak engkau akan dihancurkan oleh anjing jahanam"

.............................................................................

Ulasan saya. Saya rasa untuk lulus dan lepas saringan peringkat pertama di langit pertama pun susah kerana mulut ini kerap sangat mengumpat baik secara sedar mahupun secara tidak sedar, apalagi saringan di pintu 2 hingg ke 7. Semoga Allah mengampuni dosa saya dan melebarkan rahimNya kepada saya. Sesungguhnya Dia maha mengampun lagi mengasihani.

Sumber: Minhajul Abidin - Wasiat Iman Al Ghazali, Victory Agencie m.s. 430 -437. 

ADAKAH KITA TERLEBIH PERAMAH ?


Buat apa tu kak ?


Orang Melayu sangat berbudi bahasa. Siapa kata ? Kitalah yang kata. Biasalah. Macam jam Rolex juga kata dia yang terbaik. Takkan jam Seiko nak kata jam Rolex yang terbaik pulak kan.

Antara budi bahasa yang saya maksudkan ialah, kita gemar menyapa atau bertanya perkara yang kita sudah tahu dengan jelas akan jawapannya.

Contohnya bila kita nampak orang sah-sah isi minyak kereta kat stesyen minyak, kita sapa:

"Isi minyak kereta ke bang !"

Bila kita nampak orang yang sah-sah menyapu sampah kat laman rumah dia, kita tegur:

"Sapu sampah ke kak ?"

Namun begitu akibat suka sangat menyapa, saya pernah terkena. Kisah ni sudah sangat lama tapi  ia masih segar dalam ingatan. Memang begitulah agaknya darjah ingatan orang yang pernah terkena.

Ceritanya begini. Satu hari saya tanya seorang pakcik yang sedang menunggu bas sambil memegang bakul di sebuah perhentian bas:

"Tunggu bas ke pakcik ?"

Saya menjangka dia akan mengiyakan sahaja pertanyaan saya itu,  tapi sebaliknya dia menjawab:

" Tak .. pakcik sedang pegang bakul ni !" .. sambil dia menunjukkan bakul yang dia pegang.



Club ClubClub

Wednesday, March 27, 2013

WW # 66 : BELUM READY NOMBOR 3.


Tuesday, March 26, 2013

ADAKAH ANDA BAIK HATI ? UJIAN 1.


Gambar kuih koci untuk pengetahuan mereka yang tidak pernah melihatnya.


Adakah anda seorang yang baik hati? Saya ada ujian. Sila jawab dengan jujur dan ikhlas tanpa rasa ragu-ragu dan bimbang kerana tiada siapa yang akan mengambil tindakan jika anda gagal.

Ujian 1: Katalah anda sedang beratur untuk  mengambil minuman dan kuih selepas perasmian satu mesyuarat di kampung atau pejabat anda.

Bila sampai giliran anda, cuma ada seketul kuih koci sahaja yang tinggal dan dibelakang anda masih ada 5-6 orang lagi sedang beratur menanti giliran masing-masing. Dan kebetulan pula kueh koci adalah kueh yang paling menjadi kegemaran anda.

Soalannya adakah anda akan mengambil kuih koci itu ?

a. Ya.

b. Tidak.

Kalau jawapannya 'ya', saya rasa anda adalah orang yang tak berapa baik hati.

* Saya sendiri mungkin gagal ujian ini.

Monday, March 25, 2013

HARAP-HARAP TAK ADALAH PAHAT YANG BERBUNYI SELEPAS INI.

Kami rancang untuk mengadakan Malam Ramah Mesra dan Pelancaran PWLH lebih sebulan yang lalu.

Beberapa kali mesyuarat dan perbincangan telah diadakan secara berkala dan juga secara 'ad-hoc' membuat perancangan dan mengatur gerak kerja agar majlis tersebut berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan penduduk. Kadang-kadang saya turut mempengerusikan mesyuarat semasa ketiadaan tuan pengerusi.
 
Akhirnya pada 23hb Mac seperti yang dirancangkan majlis tersebut telah dapat dijalankan dengan jayanya dan mendapat sambutan penduduk. Pada anggaran kasar saya, kira-kira  600 orang penduduk  telah hadir. Ia amat menggembirakan kami kerana tidak mudah untuk mengajak dan mengumpulkan orang seramai ini dalam  satu majlis seumpama ini.


Gambar 1: Kain rentang pemberitahuan Malam Ramah Mesra dan Pelancaran Persatuan Warga Lavender Heights.

 
 Gambar 2: Keadaan kerusi meja pada sebelah pagi.
   

Gambar 3: Keadaan khemah dan kerusi meja yang tersusun rapi pada sebelah petangnya.
.

Gambar 4: Beberapa orang AJK sedang sibuk menyusun hadiah sukan dan cabutan tiket bertuah.


Gambar 5: Sebahagian dari hadirin sedang menikmati jamuan secara buffet.


Gambar 6: Saya menyemak paspot keratan tiket sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan tiket bertuah.


Gambar 7:  Makngahnya turut dijemput  menyampaikan hadiah kepada pemenang permainan congkak dan batu seremban.

  
Gambar 8:  Pemenang cabutan tiket bertuah menerima hadiah utama berupa sebuah jentolak tv.

 
   
Gambar 9: Geylang si paku geylang ..
  

Gambar 10: Entah mengapa bila melihat gambar ini hati saya merasa sayu .. yang saya pergi ambil  gambar ni buat apa !


Persembahan khas oleh artis jemputan Fredo .. sila jangan klik pada gambar jika tak mahu mendengar nyanyian dia.

Di sepanjang menguruskan aktiviti ini, saya bertemu dan berurusan dengan 4 jenis manusia (biasalah seperti dalam mana-mana organisasi atau komuniti).

1. manusia yang cakap tak banyak, tapi buat kerja banyak - 95%.
2. manusia yang cakap banyak tapi apa pun tak boleh harap - 2 %
3. manusia yang cakap banyak dan dia buat kerja pun banyak - 2 %
4. manusia yang cakap tak banyak dan buat kerja pun tak banyak - 1 %.

Di samping itu saya juga mendapati terdapat 2 jenis jemputan/hadirin.

1. mereka yang datang, beramah mesra dengan jemputan lain dan tunggu majlis sampai habis.
2. mereka yang datang hanya untuk makan dan terus balik dengan mengambil bekalan untuk dimakan dalam perjalanan.
...............................................................................................................................

Sub entri: Menghadiri kenduri di tepi tasik di Ampang Hilir.


Tengah hari semalam saya bersama Makngahnya ke Ampang Hilir memenuhi jemputan kenduri kahwin rakan lama yang menerima menantu sulung. Kendurinya dibuat di tepi tasik yang meniupkan angin sepoi-sepoi bahasa. Harap-harap majlis mereka berjalan lancar kerana semasa kami hendak meninggalkan majlis, hujan sudah mula nak turun cepat-cepat angkat jemuran.



Sunday, March 24, 2013

FREDO, SAYA DAN MAKNGAHNYA.


Fredo sedang menyanyi dan makngahnya sedang menjamu selera.
 

Adapun kelmarin, malam tadi dan hari ini saya agak sibuk dari biasa. Segala yang dirancang lebih sebulan yang lalu mencapai kemuncaknya malam tadi. Letih dan mengantuk belum hilang, tapi hati puas. 

Lepas ni nak pergi ke Ampang pula menghadiri jemputan kenduri kawin anak kawan lama. 

Entri ini sekadar hendak mengemaskini status entri ini sahaja. Sekian.


Saturday, March 23, 2013

GILA BERMAIN SALJI 1 (GAMBAR SLIDE)

* sila klik sekali pada gambar untuk membesarkan saiznya dan klik sekali lagi untuk kembali ke saiz asal. 
.

My Slideshow: Hamzah’s trip from Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia to United States was created by TripAdvisor. See another United States slideshow. Create your own stunning free slideshow from your travel photos.



Wednesday, March 20, 2013

WW # 65 :BELUM READY NOMBOR 2.





Monday, March 18, 2013

MAKIN DEKAT MAKIN SIBUK DAN TERUJA.

Taman kami akan mengadakan Majlis Ramah Mesra dan Pelancaran Persatuan Warga Lavender Heights pada 23 Mac ini. Pada malam itu, selain makan malam, akan diadakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan sukan, persembahan dari penduduk, penyampaian hadiah kepada pelajar cemerlang dalam PMR dan SPM dan cabutan bertuah.

Saya terlibat secara langsung dalam mesyuarat dan perbincangan persediaan ke arah malam tersebut. Makanya hujung minggu lepas dari pagi sampai ke malam aktiviti saya boleh dikatakan penuh.



Gambar 1: Kain rentang memberitahu dan menjemput penduduk ke majlis tersebut telah digantung sejak seminggu yang lalu.

video

Video 1: Pertandingan congkak yang dikhususkan untuk peserta wanita sahaja sedang berlangsung dengan meriahnya.



Gambar 2: Pertandingan Batu Seremban yang bermain di Seremban sedang berlangsung di beranda surau kami.


Gambar 3: Pada petang Sabtu, saya menghadiri perjumpaan kecil bekas pelajar di Sekolah lama saya di Jelebu. Saya kecewa sedikit kerana tiada kawan sekelas saya yang hadir. Kebanyakkan yang hadir adalah senior saya. Tak mengapa, mungkin lain kali.


Gambar 4: Sebahagian dari rakan sekolah saya yang turut serta sedang menganyam ketupat bersembang.


Gambar 5: Pada sebelah malamnya dilangsungkan permainan yang paling tenang dan aman. Tak ada sorak sorai pemain dan juga penonton.



Gambar 6: Pertandingan futsal berlangsung dengan gamatnya pada hari Ahad. Sudah tentulah pasukan remaja yang menguasai perlawanan.


Gambar 7: Pada petang Jumaat 15/3 sebelum itu, anak saya Ifa terpaksa dimasukkan ke hospital SALAM berdekatan rumah kerana sakit apendiks. Kini masih lagi berada di hospital. Isteri saya tidur di hospital menemaninya pada setiap malam. Bil kemasukan saya ke hospital yang sama sedikit masa dulu baru sahaja dilunaskan.



Gambar 8: Inilah rupa benda yang telah dibuang oleh doktor. Menurut doktor, walaupun telah dibuang tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan negatif kepada kesihatan. Doktor sendiri tidak tahu apakah fungsi organ itu. Hanya Allah sahaja yang tahu rahsia mengapa ia diciptakanNya. Subhanallah.

Itulah sedikit cerita mengenai kegiatan orang pencen pada hujung minggu lalu. Hanya cerita-cerita biasa sahaja.

Sunday, March 17, 2013

MANA LEBIH SAKIT ?


Mana lebih sakit ?

"Server not found" atau

 tangan kena cucuk ?

.........................................................................................

 * pernah dengar Arus Baru tak ?  kalau belum, sila klik sini.

........................................................................


Saturday, March 16, 2013

JANGAN LUPAKANNYA BILA DAH TAK SUSAH.


Lumrahnya manusia ini hanya ingat akan Allah bila berada dalam kesusahan. Kemudian setelah musibah itu berlalu, kita terus melupakanNya ataupun kalau ingat hanya sementara sahaja.

Sikap ini diakui sendiri oleh Allah melalui firmannya dalam surat Yunus di ayat 22 dan 23 seperti di bawah.


سُوۡرَةُ یُونس
هُوَ ٱلَّذِى يُسَيِّرُكُمۡ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ‌ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا كُنتُمۡ فِى ٱلۡفُلۡكِ وَجَرَيۡنَ بِہِم بِرِيحٍ۬ طَيِّبَةٍ۬ وَفَرِحُواْ بِہَا جَآءَتۡہَا رِيحٌ عَاصِفٌ۬ وَجَآءَهُمُ ٱلۡمَوۡجُ مِن كُلِّ مَكَانٍ۬ وَظَنُّوٓاْ أَنَّہُمۡ أُحِيطَ بِهِمۡ‌ۙ دَعَوُاْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ لَٮِٕنۡ أَنجَيۡتَنَا مِنۡ هَـٰذِهِۦ لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ (٢٢) فَلَمَّآ أَنجَٮٰهُمۡ إِذَا هُمۡ يَبۡغُونَ فِى ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ‌ۗ يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّمَا بَغۡيُكُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُم‌ۖ مَّتَـٰعَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ ثُمَّ إِلَيۡنَا مَرۡجِعُكُمۡ فَنُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ (٢٣)

"Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur. (22)

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan" (23)

Prof HAMKA dalam tafsir al-Azharnya membuat kesimpulan tentang dua ayat di atas seperti berikut:

"Maka kedua rangkaian ayat ini memberi bahan bagi kita, bahawasanya kita hidup di dunia ini adalah dalam pelayaran. Kitapun selalu mendengar ungkapan tentang Bahtera Hidup. Kita akan bertemu kegoncangan dan ketenangan. Orang yang meraung-raung ketika menghadapi bahaya, banyak yang menjadi sombong bila terlepas dari bahaya, dan lupa bahawa pelayaran ini belum selesai. Sebab itu hendaklah bertenang, dapat mengendalikan jiwa dan merapatkan hubungan dengan Tuhan, baik di waktu genting-gentingnya bahaya ataupun di waktu ombak kehidupan itu sedang tenang".  HAMKA - Tafsir al-Azhar,  Juzu' 11 - muka surat 187.


Moga-moga kita tergolong dalam kalangan manusia yang sentiasa mengingatiNya baik di masa susah lebih-lebih lagi semasa senang. 

 

PEMINTAS CERITA.


 Gambar hiasan hasil carian Google.

Ada seorang kawan saya tu suka sangat memintas bila saya bercerita. Saya pun tak tahu dia keturunan apa. 

Katalah kita tengah berkobar-kobar nak cerita tentang pancing yang baru dibeli, dia pun memintas ..

"aku pun baru beli satu semalam .. murah je sebab kedai tu buat sale penghabisan stok .. bla bla bla bla".
 
Atau pun kita tengah berkobar-kobar nak cerita tentang kereta anak kita melanggar pagar pasaraya Tesco, dia pun memintas ..

"anak aku pun sama .. cukup lalai, entah dah berapa kali kereta dia eksiden .. kereta dia kemek sana kemek sini .. bla bla bla bla".


Akhirnya kita pulak yang kena dengar cerita dia. Menyampah betul.

Kadang-kadang saya rasa nak sumbat je mulut dia dengan bantal peluk sebelum saya mula bercerita. Tapi takut pulak dia kecik hati.

 Adakah anda punya kawan macam itu ? Saya percaya anda tidak begitu. Kan?


WW # 64: BELUM READY NOMBOR 1.


Monday, March 11, 2013

KISAH ISTERI KEDUA YANG SERING DIANAKTIRIKAN.

Sering terjadi dalam hidup ini, orang yang kita abaikan atau kurang diberi perhatian akhirnya dialah yang paling banyak berjasa kepada kita. 

Itulah yang telah terjadi kepada saya yang telah menganaktirikan blog pu.e.c.orang x. re.t. (Puisi Orang Tak Reti) milik saya. 

Masa saya banyak dihabiskan di blog KomenSen. Blog Puisi ini kurang saya tumpukan perhatian dan juga layanan. Saya cuma masuk ke sana bila ilham untuk berpuisi tiba. Pada lain masa, ia langsung saya tidak jenguk berhari-hari kecuali kalau ada komen yang terperangkap. Sejak akhir-akhir ini, saya hanya membuat satu entri sahaja secara purata dalam sebulan.

Akan tetapi sekejap tadi saya tergerak untuk memeriksa statistik kunjungan atau pageview. Saya agak terperanjat bila saya bandingkan antara dua blog itu dari bilangan pageview kepada sesuatu entri.  Tidak saya sangka sama sekali, entri saya yang paling banyak mendapat pageview bukanlah dari blog KomenSen tetapi sebaliknya dari blog Puisi itu.


 Entri yang mendapat pageview terbanyak iaitu sebanyak 3478 dalam blog KomenSen.


 Entri yang mendapat pageview terbanyak iaitu sebanyak 5109 dalam blog Puisi.

Begitu juga dari sumbangan pendapatan dari iklan. Walaupun jumlah pendapatan yang terkumpul seciput cuma, tapi dari segi peratusannnya, blog Puisi itu juga memberi sumbangan lebih besar dari blog KomenSen ini.

Tetiba saya rasa bersalah pulak kepada blog Puisi itu. Mungkin saya boleh misalkan kes ini ibarat orang beristeri dua yang salah seorang darinya diberi perhatian yang kurang. Rupanya isteri yang kurang diberi perhatian itulah yang telah banyak menaburkan jasa kepada suaminya secara diam-diam. Jadi kepada mereka yang beristeri dua (atau lebih) berlaku adillah kepada semua isteri anda !

Boleh tak saya gunakan misalan suami dan isteri-isteri tersebut ?

Kalau tak setuju, boleh saja digantikan misalan itu dengan bapa dengan anak-anak atau guru dengan murid-murid.

Sunday, March 10, 2013

BENDA LAIN YANG DICARI, BENDA LAIN PULAK YANG JUMPA.


 Gambar mertun hasil carian Google.

Saya selalu sangat begitu. Bila cari benda lain, terjumpa pulak benda lain yang kita cari selama ini. Contohnya kita nak cari mertun, tapi cari punya cari  terjumpa pulak parang yang sudah bertahun kita mencarinya. Lalu akan terkeluar ungkapan berikut:

 "Laaa .. inilah parang yang aku dok cari selama ini .. di sini dia duduk rupanya"

Pernah juga saya mencari sesuatu di dalam almari pakaian saya, tapi terjumpa sekumpulan duit yang boleh tahan banyaknya. Saya tida tahu dan tidak ingat bilakah saya menyimpannya. Kalau orang lain punya, nasiblah .. siapa suruh sembunyikan dalam almari saya.

Saya rasa anda pun lebih kurang sama macam saya juga kan ?

Baru-baru ini saya pernah mencari gambar di bawah untuk dimasukkan ke dalam entri bertajuk "Melayan Tetamu Dari Tanzania", tapi sampai ke sudah tak berjumpa. Tadi semasa saya cari satu gambar lain untuk dimasukkan ke dalam satu entri baru, terjumpa pulak gambar tersebut yang selama ini duduk berdiam diri di dalam sebuah album saya.


Gambar di atas menunjukan salah sebuah tempat di mana kita dibawa untuk makan tengahari di tengah-tengah hutan bakau di Langkawi. Saya tak pasti samada tempat itu masih ada lagi ke tidak sekarang ini.

Bolehkah saya masukkan gambar di atas ke dalam entri lama berkenaan ? Adakah ia bersalahan dari segi etika berblog ?



Thursday, March 7, 2013

SONYUM SOKOJAP 56 : GAME APA KAU MAIN ?


Che Ngang: Macamana kau buat perut kau jadi kecik ?

Che Wel. "Aku main game hari-hari"

Che Ngang: "Aku pun main game hari-hari, tapi perut aku tak kecik-kecik gak"

Che Wel. "Game apa kau main? "

Che Ngang: "Karom ...!"

Che Wel:  Club


...........................................................................................................

Sub-Entry: Memenuhi Permintaan Faraherda.

Hah! Nape Pakcik edit pic Iris tu? Nak tgk pic penuh die. Pls Pakcikkk! Pleaseeeeeeeeeeee! Lagi satu, nape Pakcik kaburkan muka MakNgah tu? Jgnlah kaburkan. Nak gak tgk pic MakNgah.

Pleaseeeeeeeeee!








* Gambar Makngahnya tak payahlah kot .. dah banyak dah !



Tuesday, March 5, 2013

AKHRINYA SELESAI SUDAH MENYUNTING GAMBAR.

Selepas saya ditegur kerana menunjukkan gambar makngahnya yang mendedahkan aurat, dengan serta merta saya cari dan tarik semua entri yang berkenaan dan convert kepada mod deraf.

Lalu dengan sangat bersusah payah dan penuh teliti saya telah menyunting  satu persatu semua gambar dalam entri-entri tersebut di mana yang patut setakat termampu dan kemudiannya saya publish semula. Letih giler wooo !

Lihatlah hasilnya seperti dalam beberapa entri di bawah (tak perlu baca sebab semuanya entri lama .. tengok jer gambar-gambar tu laju-laju)



Saya minta maaf sekiranya masih ada gambar-gambar yang telah diedit itu yang masih lagi mengganggu anda bila melihatnya. Tak upaya nak buat lagu mana dah !

Contoh terbaru hasil suntingan saya - gambar Iris dan neneknya.
 

Untuk makluman, budak kecik itu adalah Iris cucu saya.


Sekian di maklumkan. Terima kasih.

Monday, March 4, 2013

AKIBAT MENGHADIRI CERAMAH PKR.


 Gambar Hiasan Hasil Carian Google - gambar saya tak ada di situ.

Sekarang ini kita semua Malaysia sedang menanti masa sahaja Parlimen  dibubarkan dan selepas itu kempen politik secara rasmi akan bermula walaupun kempen secara tak rasmi telah berjalan sejak lebih dari 2 tahun yang lalu atau lebih.

Saya teringat pengalaman menghadiri kempen politik anjuran PKR di salah sebuah dewan orang ramai di Putrajaya beberapa tahun dahulu. Pada masa itu saya masih lagi bekerja makan gaji dengan kerajaan Malaysia.

Esoknya pagi-pagi saya telah dipanggil dan ditegur oleh KSU merangkap boss nombor satu saya kerana muka saya berada di barisan hadapan dalam salah sebuah akhbar di Malaysia. Tapi sayang guntingan akbhar tersebut tak jumpa saya cari .. entah kat mana saya simpan.  (Saya memang cukup pandai menyimpan sampaikan saya sendiri tak boleh jumpa kalau mencari barang yang saya simpan).


Sebenarnya bila saya dipanggilnya menghadap, saya sudah dapat mengagak apa sebabnya.

Berikut adalah lebih kurang dialog kami:

Boss: Kenapa awak hadir ceramah tu ? (muka dia tegang)

Saya: Salah ke boss ?

Boss: Kita pegawai kanan kerajaan mana boleh aktif berpolitik.

Saya: Saya cuma nak tahu je boss ? Macam boss juga baca surat khabar tu ! (kebetulan saya ternampak surat khabar Harakah ada atas meja dia)

Boss: Aku lainlah .. 

Saya: Sebenarnya boss .. saya cuma nak dengar dari belakang-belakang je .. tapi bila saya sampai, beberapa orang petugasnya terus mengiringi saya ke kerusi tetamu di barisan hadapan sekali .. saya nak buat macam mana ?

Boss. Lain kali pandai-pandailah sikit ! (muka dia dah kendur)


Selepas pertemuan itu hati saya berdebar-debar juga memikirkan apakah tindakan yang akan diambil terhadap saya. Tapi tungu punya tunggu, hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, tak ada apa-apa pun .. bahkan dapat Anugerah Khidmat Cemerlang lagi. 

Alhamdulillah.




Sunday, March 3, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 76 - SWITZERLAND (BHG. 3)

Ada kawan saya baru balik dari melancong selama kira-kira 2 minggu ke berapa negara Eropah dengan keluarganya. Dia beri kunci rumah dan keretanya kepada saya untuk tengok-tengok rumahnya dan hidupkan enjin kereta-kereta dia.

Dia baru balik semalam. Katanya cuaca masih sejuk dan masih ada salji di sana. Sebut salji, lalu saya teringat ada lagi baki gambar-gambar saya di Switzerland dulu khususnya gambar-gambar salji adan air batu yang belum saya siarkan. Tetapi sebelum itu saya nak tayang topi yang dibelikan (selain dari barang-barang lain) untuk kami. Dia tahu saya memang penggemar topi. Saya sangat suka sebab belum ada lagi topi fesyen ini dalam simpanan saya.


...............................................................................................................................

Seterusnya nikmatilah gambar-gambar berikut sambil bersantai di hujung minggu. Minta maafkan kalau ada gambar yang terkitar semula.







..................................................................................................................................

Ahli yang ke 888: Terima kasih Anim.