Friday, August 30, 2013

SUDIKAH ANDA KALAU MENERIMA KOMEN MACAM INI ?





Entri ini langsung tidak bertujuan untuk menyindir sesiapa. Jadi saya amatlah berharap janganlah hendaknya ada sesiapa yang terasa hati. Ia berbentuk umum, ringan dan bertujuan untuk melawak. Jadi 'take it easy'. Wokey  !

Sejak akhir-akhir ini atau lebih tepat lagi sejak saya menjadi admin kepada Kelab Peminat Adat Perpatih (K-PAP),  saya sudah tidak lagi punya kesempatan untuk ziarah dan meninggalkan komen di blog kengkawan. Jadi kepada kengkawan yang sudi ziarah dan meninggalkan komen, yang salah dua orang daripadanya ialah Fairus dan Muhammad Syahmi (yang paling regular) saya ucapkan berbanyak terima kasih.

Saya mungkin boleh ziarah 100 blog dan tinggalkan komen dalam masa kurang dari sejam. Tapi komen saya akan berbunyi lebih kurang begini:


"salam singgah"

"moga ceria selalu"

"pekaba tuan rumah"

"nice entry"

"wakaka"


Nota kaki:

Entri berkaitan pernah saya tulis yang saya jamin anda suka adalah  b.a.c.a-k.e-t.a.k-b.a.c.a-n.i ? 



.

Wednesday, August 28, 2013

WW # 83: MUKA ORANG KETINGGALAN BOT.


Tuesday, August 27, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 82: LAWATAN RASMI KE SABAH

Semasa saya bekerja di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak pada tahun 1980 - 1981, saya pernah dibawa menyertai rombongan lawatan muhibbah ke pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah pada tahun 1981. Tarikh sebenar saya tidak ingat lagi. Berikut adalah beberapa keping gambar mengenai lawatan tersebut yang masih ada dalam simpanan saya.


Gambar 1: Saya tak pasti tarikh gambar yang tepat. Apa yang saya pasti, masa ini angin bertiup agak kencang. Kelihtan nun jauh di belakang sana bangunan Yayasan Sabah berdiri megah.


Gambar 2: Di aras bawah bangunan Yayasan Sabah.  Silakanlah kalau nak komen rambut saya !


Gambar 3: Makan tengah hari di bangunan Yayasan Sabah.



Gambar 4: Makan malam sambil menikmati persembahan tarian yang menarik. Kalau saya yang buat pasti terkepit kaki.


Gambar 5: Inilah bos yang sangat saya sayangi dan hormati almarhum  Dato' Syed Rosli Syed Abu Bakar. Dialah yang menyokong kuat permohonan saya untuk bertugas di luar negeri padahal pada masa itu saya bekerja di bawahnya belum pun sampai setahun.



Gambar 6: Kebetulan semasa lawatan kami, Sabah sedang merayakan sambutan "Sabah 100 Tahun". Maknanya kini Sabah sudah berusia 131 tahun.


Gambar 7: Sempena 100 tahun Sabah itu, ada pertunjukkan sarkas. Kami juga di berikan tiket percuma untuk menontonnya.


Gambar 8: Ahli-ahli rombongan dari pejabat persekutuan di Sarawak bergambar ramai.



Pada masa ini boleh dikatakan saya sudah terputus hubungan dengan mereka semua.  Kalau buat 'reunion' pasti meriah bercerita tentang pengalaman dan kisah-kisah lama semasa bekerja di Sarawak.

Monday, August 26, 2013

SIBUK DUA HARI.

Saya tahu entri kali ini agak panjang dan tentu ramai yang tidak sanggup membacanya sampai habis. Tak mengapa kerana entri ini saya anggap sebagai diari terbuka saya.

Pada hari Sabtu, 24 Ogos 2013 mungkin rekod tertinggi saya mendapat jemputan untuk menghadiri pelbagai majlis. Semuanya ada 9 jemputan. Tiga daripadanya saya gagal untuk menghadirinya kerana tidak terkejar.

Apa sangatlah yang saya sibukan ? Ceritanya mengiringi setiap gambar di bawah.


Gambar 1. Pepagi buta lagi saya sudah pergi ke pasar Ampangan membeli santan untuk membuat lemang yang dibuat secara bergotong royong oleh ahli-ahli persatuan penduduk taman perumah saya. Yang lelaki membuat lemang dan yang wanita membuat rendang. Kita membakar lemang menggunakan alat berupa oven seperti di atas. Ini pertama kali saya menengok orang bakar lemang gunakan alat ini. Dengan menggunakan alat ini, tidak perlulah kita berasap dan berpanas seperti memasak lemang dulu-dulu. Ia menggunakan kayu arang sebagai bahan bakarnya. Saya bergambar sebelum pergi ke jemputan kenduri kahwin di Komplek Belia dan Sukan (KOMBES), Paroi. 

 
  
Gambar 2. Makngahnya sedang menikmati 'Cendol Songkok Tinggi' di KOMBES, Paroi. Selesai di sini, saya bergegas mengikut jalan LEKAS untuk ke jemputan kenduri kahwin yang kedua di Bangi. (Gambar ini saya ambil sendiri secara curi-curi)



Gambar 3.  Sebelum itu kami sempat singgah cuci kereta separa automatik kerana keadaan kereta yang sangat kotor yang tidak sesuai untuk di bawa ke luar negeri Sembilan.



 Gambar 4. Sempat juga bergambar dengan emak ayah pengantin yang merupakan jiran saya semasa tinggal di Putrajaya dulu. Kemudian saya bergegas pula ke jemputan rumah terbuka di Kajang. 

 

Gambar 5: Di rumah terbuka Che Murad di Kajang, yang pernah bekerja bersama saya suatu masa dulu. Saya makan daging kambing tergolek di sini dengan cendol yang saya buat sendiri supaya dapat betul-betul makan cendol dan bukan hanya mengemam ais sahaja. Dari sini saya memecut ke rumah terbuka seterusnya iaitu jiran saya di Lavender Heights.


Gambar 6: Saya tertarik untuk bergambar di depan papan tanda ini kerana  sebelum ini saya belum pernah pergi ke rumah terbuka yang yang ada papan tanda. Kemudian saya pergi ke sebuah lagi rumah terbuka tidak jauh dari rumah ini, tetapi saya terlupa nak ambil gambar. Selepas itu saya balik ke rumah. Jam sudah melebihi 6 petang. Dan saya harus bersedia pula untuk ke jemputan majis perkahwinan di Dewan Puspanita, Putrajaya di sebelah malamnya. Kira-kira jam 7 malam saya dengan isteri bergerak ke Putrajaya dan sembahyang Maghrib di surau Presint 8, Putrajaya. 

 

Gambar 7: Kami satu rombongan dari Lavender Heights, Senawang disediakan satu meja khas oleh keluarga pengantin di dewan Sri Endon/Dewan Puspanita yang indah ini. Terima kasih tuan rumah kerana tidak meletakkan saya di sebelah jemputan dari Korea.

    
Gambar 8: Terus terang saya katakan, saya tidaklah berminat sangat hendak bergambar dengan dia. Akan tetapi tempat orang beratur untuk bergambar dengannya  betul-betul di sebelah meja saya, maka saya pun dengan rasa sedikit malu-malu turut mengambil peluang bergambar dengan dia.

Usai majlis saya balik ke Senawang dan sampai di rumah jam sudah melepasi 11 malam dan tiba masanya untuk berehat.

...............................................................................

Aktiviti pada 25 Ogos 2013.

Hari ini juga dari pagi sampai ke malam tidak kurang sibuknya berbanding hari semalamnya. Dari kira-kira 8 pagi saya sudah membantu rakan menyusun kerusi meja untuk jamuan hari raya taman kami anjuran Persatuan Penduduk, yang bermula dari jam 2 - 5 petangnya. Berhenti sekejap untuk menziarahi jiran yang meninggal dunia.


 Gambar 10. Kelihatan sebahagian pengunjung yang turut menziarahi salah seorang jiran yang meninggal dunia dan saya turut menyembahyangkanya di surau di tempat kami pada jam 11 pagi.  Seterusnya jam 11.30 pagi saya ke rumah salah seorang penduduk kerana ada majlis tahlil di rumahnya.


Gambar 11. Pada sebelah petangnya bermula jam 2, bermulalah majlis rumah terbuka anjuran Persatuan Penduduk dan Rukun Tetengga taman kami. Kelihatan barisan penyambut tetamu berbaju Melayu bersiap sedia untuk bertugas.  Saya masih pakai baju Melayu yang saya pakai malam sebelumnya kerana belum  merasa puas memakainya lagi.


Gambar 12: Kelihatan tetamu sedang mengambil makanan yang di sediakan. Sambutan dari penduduk tahun ini lebih ramai dari tahun sebelumnya. Banyak makanan yang habis pada jam pertama terutamanya satay. Kira-kira jam 5.30 petang saya balik ke rumah kerana sebelah malamnya saya buat  kenduri tahlil dan makan-makan sesama adik beradik di rumah saya.


Gambar 13. Selepas Sembahyang Maghrib kita duduk sembang-sembang sebelum masuk waktu Isyak. Kemudian makan dan setelah mereka balik baru saya rasa nak pengsan.

Alangkah bagusnya kalau dapat buat rumah terbuka pada sepanjang tahun dan tidak tertumpu kepada bulan-bulan tertentu sahaja. Mungkin boleh saya cadangkan kepada sesiapa yang nak membuat rumah terbuka supaya membuatnya mengikut bulan kehahirannya. Misalnya sahaja. Kalau tidak setuju tidak mengapa. Jangan pulak kerananya saya tidak dijemput ke rumah terbuka anda. 

Dan itulah sebabnya saya sendiri tidak membuat rumah terbuka pada tahun ini dan juga pada tahun sebelumnya seperti juga dengan tahun-tahun  sebelumnya. Saya sudah memberikan sebabnya secara panjang lebar di entri ini dahulu. Saya jamin anda akan bersetuju dengan rasional yang saya berikan di entri tersebut.




Thursday, August 22, 2013

SONYUM SOKOJAP 62: KISAH CHE WEL TENGOK ORANG TUKAR TAYAR KERETA.




Satu hari Che Wel terserempak dengan Che Ngang yang sedang cuba menukar sebuah tayar keretanya yang bocor dengan tayar spare yang ada. Dia melihat sahaja apa yang dibuat oleh Che Ngang.  Tetiba sebuah kereta yang dipandu laju nyaris melanggar kereta Che Ngang. Akibatnya habis semua skru tayar keretanya yang diletakkan di atas jalan terpelanting masuk ke dalam semak samun berhampiran.

Puas Che Ngang mencarinya namun sebiji pun tidak berjumpa. Lalu dia duduk  termenung memikirkan apa cara hendak memasang tayar spare itu.

Tetiba Che Wel  yang membisu selama ini, bersuara ..

Che Wel: Boleh aku beri cadangan ?

Che Ngang: Ha ha ha ..  orang gila nak beri cadangan .. ha ha ha ..

Che Wel: Engkau nak dengar ke tidak ?

Che Ngang: Ok lah .. apa cadangan engkau ?

Che Wel: Dengar betu-betul .. cuba engkau ambil satu skru dari setiap tayar kereta engkau dan pasang kat tayar spare tu. Dengan itu setiap tayar akan ada 3 skru dan itu sudah cukup buat sementara waktu untuk sampai ke kedai tayar .. lepas tu kau bolehlah beli skru baru kat situ nanti ...

Che Ngang: Ye tak ye juga .. kenapa akau tak terfikir tadi .. tak sangka kau ni bijak juga ya ! 

Che Wel: Memanglah aku gila tapi tak bangang macam engkau !

Che Ngang: &#?*&&xgrrr ..


Wednesday, August 21, 2013

WW # 82: BERMAIN-MAIN DENGAN KAMERA HENFON BARU TAPI MODEL LAMA.








Monday, August 19, 2013

PERISTIWA MENCEMASKAN YANG TIDAK BOLEH DILUPAKAN.



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Peristiwa ini berlaku semasa saya berada di sekolah rendah. Walaupun ia telah sangat lama berlalu, namun saya tetap mengingatinya kerana ia sungguh mencemaskan saya. Kisahnya begini. Pada suatu malam saya telah dibawa oleh abang dan kakak sepupu saya pergi ke rumah orang yang membuat persediaan untuk mengadakan kenduri kahwin keesokan harinya. 

Oleh kerana kerja-kerja persiapan itu berlarutan ke lewat malam, saya tertidur di satu ruang di atas lantai. Satu ketika saya tersedar sendiri, dan cuba untuk bangun. Namun pandangang saya gelap dan saya tidak berupaya mengangkat kepala saya. Beberapa kali saya cuba mengangkat kepala, namun tidak juga berjaya. Saya sungguh cemas pada masa itu. Di manakah aku ? Sudah matikah aku ? Saya tertanya-tanya dalam hati.

Kemudian setelah saya betul-betul sedar dan bertenang barulah saya tahu rupanya kepala saya sehingga paras bahu telah termasuk ke bawah sebuah almari. Bawah almari itu elok-elok je muat kepala dan badan saya. Agaknya almari itu serupa dengan gambar di atas.  Kemudiannya secara perlahan-lahan saya pun mengensotkan badan saya keluar dari bawah lemari tu. Sebaik kepala terkeluar dan nampak cahaya lampu  .. fuh lega. 

Saya tidak tahu samada saya sendiri secara tidak sedar, kerana tidur lasak, telah bergerak sendiri ke bawah almari tersebut atau ada orang yang menolak saya ke situ. Saya pun tidak tahu sampai sekarang. Kalau saya tahu, mungkin saya akan menuntut bela.

Tentu anda juga punya pengalaman berdepan dengan detik-detik yang mencemaskan. Ceritalah sikit !

Saturday, August 17, 2013

PRODUK K-PAP.




Tolo murah = telur murah. 

Hari tu saya pernah cerita di sini tentang K-PAP.  Sebaik tertubuh kelab itu, tumpuan utama saya ialah mengumpulkan dialek-dialek Negeri Sembilan dengan bantuan ahli-ahli kelab. Alhamdulillah, setelah bertungkus lumus lebih dari dua bulan, saya telah berjaya mengumpulkan hampir 600 buah dialek yang masih lagi digunakan oleh orang Negeri Sembilan. Ini baru pusingan pertama kerana dialek-dialek itu perlu dimurnikan lagi dari segi maksudnya, ejaan dan juga contoh penggunaannya.

Saya dengan bangganya menyenaraikan dialek-dialek yang telah dikumpulkan seperti di bawah. Sekiranya ada yang ingin menambah, menegur atau memberi cadangan, saya amat alu-alukan. Terima kasih.

-------------------------------------------------------------------------------

KAMUS RINGKAS DIALEK NEGERI SEMBILAN.

By Hamzah Abd Hamid in Kelab Peminat Adat Perpatih ( K - PAP ) (Files) · Edit doc · Delete

Bagi membolehkan sebutan yang lebih hampir kepada tepat sebagaimana yang diucapkan oleh orang Nismilan, huruf ' ĕ ' pepet (contoh - lĕmak ) ditukarkan menjadi huruf ' o ' (lomak) dan huruf ' e ' taling (contoh - lempeng) kekal begitu. 


A.

Angka- Suhu badan seperti hendak demam
Aka-aka - Dipermain-mainkan.

B.

Baeh- Baling
Bajau- Tidak tinggal setempat
Baju prat- Baju T
Banga - Bau busuk yang mengisi ruang.
Baning - Degil yang teramat sangat
Bayang - Tak stabil, nak tumbang .
Bega - Degil yang amat sangat
Bengot - Herot, senget
Bentong - Kecik tak mau besar-besar.
Biaweh- Jambu batu
Biak- Lecah, lopak air
Bincau- Kecoh sambil marah
Bincut- Benjol kecil
Bidik - Baling, lempar, locut.
Binga- Pekak
Binjek - Jamah atau cubit sikit makanan untuk merasa. Sobinjek - secubit.
Bintat- Bekas gigitan serangga
Bobek - Balut
Bobenta : Berpusing-pusing. Contoh: berbenta den dek mencari kunci keto tah mano tersusup ea
Bobok- Menekan atau memasukkan dalam air (orang)
Bocompogho- Mandi dengan suka ria
Bocoghabih - Banyak cakap
Bocoghidau - Membising, becok.
Bocokak - Bekelahi
Boda- Pukul
Bodahagi - Susah, leceh, payah
Bodamar - Perit (akibat kena tampar)
Bodocit - Berbunyi. Tak bodocit - tak berbunyi.
Bodaso - Berbaloi
Bodobau- Bunyi jatuh dalam air
Bodobin - Bunyi sesuatu agak besar (seperti buah nangka) jatuh ke tanah.
Bodoghau - Berdebar kerana terkejut
Bodosup - Laju
Boduk - Pukul
Boepak-epak -Berlambak-lambak
Bogaghit - Bergerak; berusaha. Contoh: pueh sey ngojut an, pait kok bogarit deh...
Boghengge - Bertenggek, melepak
Boghipuk - Bertimbun (kain baju yang berlonggok)
Boghoghok - Bergaduh, bertengkar
Boghombik/bojombik - Banyak (bernyawa). Contoh: Ikan tilapia yang dibolo eh beghombik kek kolam simen tu.
Boghojin - Naik angin, marah.
Bogholek- Kenduri kahwin
Boghonjeng/boghonjit - Menari-menari bergurau senda dalam kumpulan dengan riang.
Bogho - Warna dan mimik muka berubah kerana termalu, merah padam.
Bogik - Degil
Bogomunto -Bunyi bising ( budak-budak berlari dalam rumah berlantai papan)
Bojangek - Lama menunggu
Bojoghumun -Kain baju yang berslunggun-lunggun.
Bojooh- Buat kerja ramai-ramai dengan suka ria
Bojoman- Menunggu untuk tempoh yang lama
Bojonggeng/bolonggeng - Berjemur
Bokiak - Bergerak hendak pergi ke mana-mana. Contoh: potang tadi dek ngadap an budak2 kek dlm ruma nia..lom dapek nk berkiak ke mano
Bokighah - Bergerak
Boko - Bekas untuk letak dodol atau wajik untuk dibawa "menyembah" (bagi orang baru kahwin).
Bokonak - Berkumpul anak beranak, saudara mara untuk membincangkan persiapan kenduri kahwin.
Botating - Mengidang makanan.
Bokocapuih - Bergerak dengan terburu-buru
Bokolelong- Sakit yang amat sangat
Bokotunjang - Menahan sakit yang amat sangat
Bokuak- Mengarahkan orang supaya ke tepi
Bokolintau - Bepusing-pusing ditempat yang sama
Bokoludat - Keruh, air berkarat
Bokoputak - Bau (busuk) yang terperangkap
Bolengkar- Tidur merata-rata
Bokotenteng - Terlompat atau terloncat-loncat.
Bokotinjah - Memijak-mijak sesuatu dengan sesuka hati
Bokotupeh - Bersegera membuat sesuatu
Bokotuntang - Cemas, panik, kelam kabut
Bokotutuih - Becok.
Bokundo-kundo- Bergerak beramai-ramai ke satu destinasi.
Boleng- Tidak memakai baju; bogel
Bolimpap - Kain baju yang berlonggok dan belum berlipat.
Bolo- Membersihkan haiwan selepas disembelih
Bololah- Berkejar
Bolong - Bocor yang besar
Bolongging - Tak pakai baju
Bonak - Bodoh, jahil
Bonda- Parit, tali air
Bondong - Angkut, punggah.
Bongak - Tipu. Pemongak - penipu.
Bongka- Bangun, bangkit
Bontuih - Kenyang dek minum
Bonyo - Biskut yang direndam terlampau lama
Bopinau - Pening
Bosoka - Gula yang berlebih pada kueh wajik
Bosoko - Merayau tanpa tujuan.
Bosolehet - Comot, kotor
Bosolopeng - Kerak hingus yang melekat di pipi
Bosolopet- Najis yang tak habis dicuci yang terlekat pada punggung
Bosolepot - Duduk atas lantai
Bosolighit - Menunjukkan keadaan banyak seperti buah atau pakaian.
Bosolumak - Comot pada mulut
Bosomemai - Bersepah
Bosomumeh - Mulut yang bersepah nasi
Bosonghayang - Bergelandangan
Botenggong - Duduk atas sesuatu seperti pangkin atau batang kayu yang rebah dsb
Botighai - Kain yang koyak rabak
Bototam - Bergasak, berhimpit-himpit atau berkerumun melihat sesuatu (excited, curios)
Bughan - Buang air besar, bantai, belasah.
Bukat - Air yang berkeladak.
Bumin - Gelap pekat
Bungkeh- Tercabut
Bungko- Bodoh
Buntang - Mata orang/binatang yang terbuka luas setelah mati.

C.

Cangap- Cabang pada hujung galah
Capar- Selipar
Capuk - Bertompok-tompok, tak rata
Cegak/cigak - Segar
Cekadak- Ragam
Celait- Lampu suluh, lampu picit
Cemat- Rotan, sebat
Cembeng- Muka seperti nak menangis
Ceme- Bintil pada mata; sebelah mata jadi kecil
Ceneke- Menipu
Cibir- Menjelir lidah
Cikun -Curi
Cilut - Curi (benda-benda kecil)
Cobau - Tetak.
Cogheng- Comot
Coghuh- Lumat
Cokau- Tangkap
Colang/Cogholang - mata yang terbuka dan bersinar. Contoh: Balik surau malam tadi sey ternampak mencogholang mato apo ontah ateh pokok dian tu.
Colungap - Makan dengan gelojoh
Compogho - Mandi manda. Bercompogho - bermandi manda.
Congkuit- Pengikut
Congkut - Hangus, berkerepot
Copot - Sejemput (ambik dengan tangan dengan kadar yang sedikit)
Cuci - Rosak, punah
Cucut- Sedut
Cuek- Pacak, tegak.
Cupil - Tepi sangat, nyaris nak jatuh

D.

Dengket/k- Cetek
Dengkot- Terhincut-hincut
Diang - Memanaskan badan dekat dengan api.
Dobuih - Tak mengenai sasaran
Domut - Lemah, lembab
Dudut - Minum terus tanpa cawan

E.

Eden, ese, sey, den,se - Saya
Eleh- Manja
Engkoh - Mengurus, peduli
Ensot - Bergerak perlahan
Entaher- Mengiyakan sesuatu
Epong - Gigit

G.

Gaduh- Risau
Gaha- Sental dengan kuat atau dengan benda keras. Contoh. Mulut tu jago sikit .. den gaha kek jalan tu kang !
Ghahai- Rosak
Ghayat/rayat - Orang asli. Perhatian: Istilah ini tidak disukai oleh masyarakat orang asli. Ia dimasukan ke dalam kamus sekadar untuk pengetahuan dan makluman sahaja.
Ghewai- Hayun
Ghembat- Bergaduh, baling sesuatu ke dinding
Ghemah - Nasi yang bersepah selepas makan
Ghembeh - Sejenis cangkul, tajak
Ghepeng - Penyek
Ghobeh- Hujan renyai-renyai
Ghoman- Raut wajah
Gombeh- Mengada-ngada yang keterlaluan
Ghoboih - Seluar atau baju yang jauh lebih besar dari badan.
Ghopeh - Makan
Ghosan - Hampir basi. Contoh: Lauk semalam tu dah ghosan, jangak dimakan lak, kang kok sakit porut.
Ghenceh - Makhluk yang kononnya memotong kepala (untuk menakutkan kanak-kanak)
Ghinso - Badan rasa tidak selesa kerana panas atau lambat mandi.
Ghontian -Tidak ingin, tidak suka, tidak hairan, jangan harap.
Ghopong - Alat menghembus (kayu) api di dapur, alat untuk mengambil air yang dibuat dari tempurung kelapa.
Ghopui - Rapuh
Ginco - Gaul
Godang- Besar
Godek- Kacau air
Gogot - Terus minum dari bekas
Goleme - Lemak pada daging lembu atau kerbau
Golo - Teruk, susah.
Golo de'eh - Susahlah macam ni.
Gombeh- Mengada-ngada yang keterlaluan
Gombung- Sakit perut kerana masuk angin, kembung
Gomeng - gomol, menggoncang atau menggoyang kepala
Gunjai - Tinggi lampai

H.

Hapah - Apa pun tak ada
Hapik/apik - Peduli, ambil kesah
Hati kaudu - Sangat busuk hati. Contoh: buek laa poghangai ati kudu tu sangek, nnt tak sonang idup.
Hobin- Bantai, hentam, pukul, lanyak
Hojan - Teran
Hongeh - Mengah, penat, kenyang.
Humbeh - Gasak, bantai

I.

Imbeh - Urus, layan

J.

Jalang - Cair, tak pekat
Jamba - Dulang. Sejamba - Sedulang
Jingang- Hairan, terpinga-pinga
Jobo- Berlagak, perasan; malu yang amat sangat
Joghan- Serik
Jogheh- Letih, penat
Jokin- Teramat yakin
Jongkeh- Ketawa bagai nak rak; terkena kejutan elektrik, keras, kaku.
Judu - Pasangan, jodoh
Jujut - Tarik, elak
Junu-janah - Mereka-reka cerita.

K.

Kainsal- Tuala
Kame- Bancuh, uli
Karang - Sekejap lagi, lepas ini, nanti
Kawan- Suami atau isteri
Kayu berakar - Membuat persiapan untuk kenduri kahwin
Kemot - Kemek.
Kenen / mengenen - Mengurat anak dara
Kepeh - Basah kuyup
Kepet - Tidak gebu; kempis
Keset - Biji yang kecil
Kilit- Kelecek bola
Kitai - Libas, kibas
Kobok- Ambil sesuatu di tempat yang dalam tanpa melihat
Kocoloan- Terserempak, kantoi, termalu
Koghobong - Ambil makanan dengan tangan tanpa guna sudu atau senduk.
Koghomau/koghomuih - Ramas, cakar kerana marah
Koghajat - Juadah.
Koghumuih - Menghurung
Koghuntong/kuntung - Bekas mengisi ikan yang diikat di pinggang.
Kokkodek/kokkoghek - Baki biasanya makanan yang tinggal sedikit.
Kolapo - Mencambahkan biji benih
Kolayak- Diterbangkan angin
Kolemot - Tak licin ,tak rata.
Koliha - Kelapangan
Kolikanak - Pintu dari ruang tongah rumah nak menuju ke dapur
Kolokai - Selesaikan yang kusut, diuraikan.
Kololongan- Kesakitan. Misalnya akibat memakan makanan panas, mulut ternganga sambil meniup biar sejuk atau kesakitan kena sengat binatang berbisa.
Kolompong - Kosong, tak berisi (hollow)
Kolongkiak - Serangga yang menggigit dari keluarga anai-anai.
Kolopo - Dilesang atau diserang ayam
Koluhum - Pukul rata; umum
Kolenset - Lipat ke atas; pukul
Kolokati - Kacip pinang.
Kolosar - Buat kerja tidak cermat.
Koluhum - Pukul rata, umum
Koluneh - Kecil
Kolutong/koghutung - Kerumun
Koman - Ketinggalan zaman, tak ada standard, perkara biasa
Komap/gomap - Tergamam dan terdiam.
Komat -Tarikan, kena guna-guna (English: charm)
Komeh- Menghabiskan nasi atau lauk
Kontong/Gontong - Jari pendek, tiada jari
Koporit - Jahat, nakal.
Kopam- Hitam, kotor
Kopiting - Sangat kedekut.
Kopuh - Warna lumpur di badan
Koghopai- Beg
Koting- Betis
Kosan - Rupa, kisah. Contoh: Kosan eh ekau yang mencuri buah dian den yo - rupanya engkau yang mencuri buah durian saya.
Kose - Kunyah.
Kosompokan - Terjumpa secara tidak sengaja
Kotomeneh -Ragam.
Kotulahan- Badi
Koyok - Berlagak
Kua - Kacau nasi supaya masak sekata; menggemburkan
Kucung -Balutan. Contoh: kucung buah nangko mo kain, kalau tak nanti habih di lutap ea dek musang.
Kudap - Makan
Kuei - Pondok tempat simpan padi
Kumam - Mengulum makanan
Kutak-Katik - Buat ikut suka
Kuti- Cubit
Kuyo - Sejenis hama berwarna putih yg melekat pada buah-buahan seperti rambutandan juga tebu.

L.

Landung -Sepak
Laghah- Buruk
Langgai - Tempat membakar lemang.
Lanteh - Tembus
Lantung - Sangat busuk
Lapun - Pukul, belasah
Lecok- Coret
Lelan- Leka
Lele- Cuai. Tolele - Terbiar tanpa diawasi.
Leweh- Lemah
Lilih - Hiris dengan pisau atau benda tajam
Lobong - Berlubang
Locit - Hembus hingus.
Locot - Melecur
Locun- Basah kuyup
Locut- Baling
Lodoh - Hancur, lumat
Logar- Menghantukkan sesuatu dengan kuat
Logat- Menangis sampai tak keluar suara,walau pun mulut ternganga terutamanya budak-budak.
Logeh- Hantuk
Loghoi - Reput, hancur, punah
Loleh - Hiris (potong sesuatu dengan pisau)
Lohong - Berlubang yang agak besar
Lompa - Beranda rumah
Lompung - Tampar
Lonco - Batal atau putus pertunangan.
Longot -Amat hitam, kotor
Lonjan - Lemah lutut/kaki. Contoh: Jauh boto rumah pakngah kau tu, lonjan lutut omak nak sampai ko sanun.
Longkeh - Tertanggal, tidak melekat. Misal. Biji rambutan yang tidak melekat pada isinya.
Longit -Kalah main
Lonjap - Basah. Contoh: Baju tu lonjap laei, jangan dipakai kang kok bokughap.
Lontuih - Panggilan untuk budak degil
Lontung - Langgar, redah.
Losang- Sengat
Lotong- Kotor
Lueh- Muntah
Lukuih- Basah dek peluh
Lukuk - Ketuk kepala dengan jari
Luluk - Selut, lumpur
Luncuih - Tirus
Lunggah- Langgar (bulldoze)
Lutap- Makan
Luyu/kuyu - Mengantuk

M.

Mada- Sial, bodoh
Mantai - Acara menyembelih lembu atau kerbau untuk menyambut bulan puasa dan hari raya.
Meong - Kuat merajuk, otak tak berapa betul.
Moncangok/Tercangok - Duduk tanpa tujuan.
Mogang - Satu hari sebelum puasa.
Moghahang - Melalak
Moghahau - Bercakap kuat-kuat
Moghasai - Merana, sengsara.
Moghelo - Panjang. Moghelo-ghelo -Sangat panjang.
Moghewai - Berjalan yang tak lurus
Monghungap - Keadaan nafas yang keletihan
Moghambu - Merayau tanpa tujuan khusus
Moghanduk - Mengharung (air)
Moghaban - Merayau-rayau tanpa tujuan
Mogheban - Menjela-jela. Contoh: Kain kau tu mengheban-gheban bona, tepijak kang kok tosungkam ko tanah.
Monghungap - Mengah, Mencungap. Contoh: Abah Zino monghungap kono kojar dek anjing gilo pagi tadi.
Moghogheh -Benda-benda seperti daun atau rambut yang berguguran atau luruh.
Moghomut - Banyak
Moghonggoh - Pergi kesatu tempat beramai-ramai
Moghoning - Bengkak (kemerah-merahan)
Moghonyok - Merajuk, tunjuk muka tak puas hati sebab terpaksa buat kerja atau tak dapat sesuatu
Moghosit - Mengunyah makanan ringan.
Moghotul - Tukul besi
Moghumbo-ghumbo - Keadaan api marak dan menjulang-julang. Contoh: kalau muek lomang jangan menghumbo-moghumbo api ea...hanguih ado masak ea tidak. 
Moghuboi - Rambut panjang yang tidak terurus.
Moghun - Bakar sampah
Mogun- Termenung
Moladung - Air yang ditadah atau tertadah sudah banyak terkumpul.
Molahu- Merayau, berpeleseran
Molampa - Bertaburan.
Molampuh-Banyak (tak bernyawa). Contoh: Henfon sekenhen melampuh kek kodai Ateng tu
Molehet - Hinggus yang mengalir di pipi
Molondut - Melayut, kendur
Molongoh - Menangis berpanjangan
Molangok- Melepak
Molansit - Tidur
Mombuto - Tidur
Molancur - cirit-birit
Molaghah - Keadaah buah-buahan yang gugur tidak berkutip.
Molayau/moleyak - Keadaan air melempah ke atas lantai
Molesa - Kain yang labuh hingga cecah lantai/tanah
Molese - Suka duduk dekat-dekat atau rapat-rapat dengan orang
Molingkup - Pergi menghilang diri, pergi jalan-jalan, berambus.
Moluha/molaha - Kepedasan
Molukah - Orang perempuan duduk menampakkan bahagian sulit.
Molunggun - Bertimbun.
Mombeko/memeko - Memunya, menguasai
Mombese -Kencing
Momobok -Air/cecair  yang menggelegak disebabkan panas atau sebab lain.
Momboko -Padan muka.
Mombughan- Buang air besar
Mombumbung - Pergi entah ke mana.
Mombungkam - Tidur
Momepe - Bunyi suara yang sumbang dan menyakitan telinga.
Momokak - Membuat bising
Momoghut - Membuang angin atau air besar.
Mompulun- Jatuh
Monabe - Berciciran, tumpah.
Monabir - Darah yang banyak akibat luka
Moncamek- Benci sangat
Moncangut - Susah nak bernafas
Moncibe - Menjelirkan lidah supaya orang sakit hati
Moncieh-cieh- Titisan peluh yang mengalir
Moncipan - Lari dengan deras
Moncoghabih- Cakap tanpa henti, merepek
Moncoghidau - Becok.
Moncolinap - Belari dengan laju
Moncokik- Makan banyak
Moncolongo- Harum
Moncucut- Menyedut
Monculin - Lari yang teramat laju
Moncanak - Lari dengan laju tanpa menoleh kiri kanan
Mondahagi/Bedahagi - Susah untuk diajak membuat sesuatu
Mondaghek - Cerita yang tak berapa lojik, temberang.
Monebeng- Duduk di tepi tembok
Moneneng- Sakit, berdenyut
Mongese/monginding- Mengasak
Mongicak- Meminta-minta
Mongirap - Naik darah
Monghoghik-hoghik- Menyanyi atau bercakap dengan kuat sampai nampak urat leher.
Monghungap - Mengah kerana keletihan
Mongokeh - Kais (perbuatan ayam mencari makanan)
Mongokot - keadaan orang yang kesejukan.
Mongolintau- Mencari sesuatu dengan perasaan cemas
Mongolintin - Menggeletek
Mongolesah/mongolusuh- Gelisah, duduk tak diam
Mongoloce - Melecet pada kaki kerana pakai kasut baru; terkena minyak panas.
Mongonggang/menghonggang - Bernafas dengan laju kerana letih atau kepedasan
Mongoca- Menangkap ikan
Mongolinjang - Terlompat-lompat kerana teruja atau kegembiraan.
Mongolujut - Menggigil disebabkan keletihan.
Mongonye- Mengunyah sesuatu
Mongumba- Patah balik
Monjala - Baring
Monodah - Berjalan ke rumah orang tapi tak kesah nak balik. Contoh: Apo kono e Ujang tu kek umh Milah yo menodah e?
Monogoh - Jalan pergi, datang dengan segera
Mononoi- Bernanah dan amat sakit, merintih kesakitan
Mononong- Berjalan pantas tanpa toleh kiri kanan
Monopung - Hancur, pecah. Contoh: Pogang pinggan tu duo bolah tangan, jatuh kang kok monopung
Montodaghah- Makan yang tiada batasannya
Montegheh- Perut yang kekenyangan
Monteneng- Budak kekenyangan
Montesok- Lusa
Montibang/montobong - Tak tau pergi mana. Contoh: bojoman kau tak balik2..kek mano kau montibang .. sampai tak ingat ghumah tanggo.
Monueng - Mengekor ke mana orang pergi
Monugheh- Tahu
Monyisik - Menyelongar. Sama makna dengan "monyoleme"
Monyolangsang - Bertandang. Contoh: "apolah ghoma na poi monyolangsang umah oghang "
Monyoleme- Menyelongkar.
Monyongit - Bau yang kuat dan tidak menyenangkan seperti dari badan seseorang atau pun dari masakan.
Monyopak- Makan berbunyi
Monyonggau - Rasa kepanasan atau kepedasan; warna merah yang terang.
Monyongit - Bau keras dari sesuatu yang mencucuk hidung, panas terik.
Monyungkam - Jatuh tersadung dengan muka ke bawah
Mondobut/monobut - Sangat laju
Monjeje/monjelejeh - Panjang, melele, menitik
Morengkeh/k - Keadaan orang yang membawa bebanan berat
Morengkoh/moghengkeh - Keadaan berat bawa beban

N.

Nangoi - Anak babi
Ngisai/kisai - Buat sepah, selongkar
Ngongilanan/ngongilan - Buat perangai gila-gila bahasa.
Nompan - Sepadan, sesuai; berpakaian sesuai dan cantik, bergaya; rupa
Nonggok - Duduk.
Nunuk-Nanak - Terkejar kesana-sini dengan pantas mencari sesuatu
Nyaghi - Makan sahur.
Nyinggah - Kena, dapat. Contoh: Kau pasang lukah semalam, ado nyinggah ea tak ?

O.

Ocup/acup - Tenggelam
Oghuk - Bising
Okap- Tamak
Oma- Buah yang hendak busuk
Ongap- Nafas
Ongeh - Mengah
Ongkoh - Iras. Contoh: Anak eh tu ado 'ongkoh2' atuk eh maghin.
Ontok- Diam

P.

Pait- Tak mahu
Panggilan - Jemputan kawin
Panta - Dulang untuk meletak makanan
Pauk - Potong sesuatu pakai parang
Pegheh - Teruk, susah
Pencong - Tak lurus, bengkok
Pengka- Keadaan kaki orang yang tidak lurus bila berjalan atau berdir; kekok
Peta - Memfokuskan mata sebelum membaling sesuatu
Peteng- Tengok, perhati, tuju sebelum menembak dsb (English - aim).
Pewai - Tua ganyut, longlai, penat, letih.
Pighek- Tenyeh, lunyah
Pipir/l - Meleraikan buah dari tangkainya.
Piuh- Pintal; cubit
Pocek- Komen
Podulik ajab- Tidak mengambil endah lagi
Poghak- Kebun kecil untuk tanaman sayur-sayuran
Poghat- Bau yang amat kuat
Pojur - Hujan tak berhenti-henti.
Polak- Panas; jemu, bosan
Poloso- Pemalas
Poluto - Kuat pembohong
Pomola - Lucu, kelakar, lawak
Pemongak - Pembohong.
Poncolek angek- Punca
Pongolan- Galah
Ponggit- Mengada-ngada
Ponggur- Bakar hingga rentung
Pongopan - Sedia. Bolum pongopan - belum sedia
Posuk- Berlubang
Pudek/podok - Sumbat. (Seperti menyumbatkan pakaian kedalam beg atau almari yang sudah pun padat)
Puga - Tenyeh
Pugeh- Main hentam
Pundung - Pondok, dangau
Puntang-panting - Lari lintang pukang

S.

Sanggo - Sambut (dengan tangan)
Sede - Diabai-abaikan, tak ambil berat, ambil mudah, sambil lewa
Sewat - Sambar; rentap
Sempong/Rempong - Robek
Siah - Elak
Siapaleh / chapaleh - Minta dijauhkan dari bahaya, minta selisih Malaikat 44
Sibak - Selak (kain, langsir dsb)
Simbo - Simbah dengan air.
Sitap - Sepet
Sobulek - Dikumpulkan menjadi satu dalam satu tempat
Sodo - Semua. Kosodoalah- Kesemua.
Sojak- Segak, bergaya
Sokolap - Tidur sekejap
So'eh - Kenyang sebab makan
Solala - Sama, sefesyen
Solanjar- Terus-menerus tanpa tersekat atau terhenti.
Somumeh - Comot di mulut.
Sonala - Pada kebiasaannya, selalunya.
Sonegheh - Senonoh, tepat betul.
Songayut - Bergayut
Songkalan - Batu giling (lada dsb)
Songkelet - Sekeh, ketuk biasanya dikepala
Sontot - Pendek
Sopalit - Sikit sangat
Sopah - Makan
Songge - Sengih. Tersongge-songge - Tersengih-sengih
Songkeh/k - Sangat kenyang
Sontak - Hingga, sampai.
Sosah - Pukul
Sotai- Kertas yang hampir hancur dirobek-robek
Sugi- Sental
Suki - Cukup (makan) ikut sukatan/keperluan.
Stemet - Anggaran. (English - estimate)
Sugon - Menenyeh, menyental atau megosokkan sesuatu ke atas permukaan (lantai atau kain)
Sumpih/k - Sumbing, rongak (diguna untuk mata parang, pisau dsb)
Sunu - Perbuatan dengan mengarahkan kepala/muka kepada suatu tempat.

T.

Taek - Sedap sangat
Tak kotawanan - Tak pasti, ragu-ragu (apa yang nak dibuat).
Talo - Belasah, rotan
Tandeh - Kehabisan
Tak solaku - Tak senonoh, tak beradab
Tanjul - Ikat
Tebok/tenok - Ditanduk (oleh kerbau, lembu atau kambing)
Tenang - Menumpukan perhatian sebelum menembak atau memanah sesuatu.
Tiek - Seliuh. Orang tuo-tuo kato, kalau ghoma melawan cakap omak, 'tak patah, tiek'
Timpan - Lepat (sejenis kueh)
Tingkeh - Sudah habih.. Contoh: 'Usahlah kau cari laie buah dian tu....dah tingkeh dah'.
Tobe'eng - Sengkak, terlalu kenyang
Tobek - kolam, danau, paya.
Toboba - Gempar, terkejut.
Toboghongau - Kudis, luka yang terbuka luas.
Toboh - Tempat, kawasan
Toboleghan - Hairan
Tobolengot - Merajuk, sensitif.
Toboleseh - Cepat atau mudah merajuk
Tobo'o -Perasaan tersangat malu
Tocangok/tocongok - Berdiri tiba-tiba tanpa berkata-kata.
Toghoghau -Terkejut besar
Tojolepot/h - Terduduk
Tokoliak/tokoliek - Salah urat kerana tergelincir atau terjatuh.
Tokoneneng - Berpinar-pinar, badan tak stabil.
Togamang - Terperanjat, terkejut.
Tojolubuih - Terperosok, terbolos (jatuh dalam lubang)
Tojoluek -Nak muntah
Tojungkang - Terlentang, terbaring
Tokih - Hampir/nyaris. Contoh: Boreh kek rumah kito dah tokih, poie boli copek.
Tokinyam - Hendak lagi
Tokolayak - Tergelincir.
Tokolebak - Terkoyak, tersiat.
Tokomama - Terkesima, kehairanan
Tokhighap - Tumpah
Tokoluceh - Terlucut, terlepas
Tokung -Potong, kerat. Sotokung ikan - sepotong potong
Toledan-ledan - Melengah-lengahkan kerja
Tolengkang - Terbiar
Tolopo -Terleka sekejap; terbuka. Contoh1 : Pantang tolopo, habih buah rambutan kek topi pagar itu di ambik orang. Contoh 2: asal tolopo jo pintu, masuk la ayam.
Tomoleng - Berpaling. Contoh: .pantang temoleng, langsung losap yo budak ni.
Tona - Riuh, gegak gempita. Contoh: pekso ank eh dapek no 1, tona sokampung..
Tongging - Malu-alah
Tonggong - Besar, tegap.
Tongka - Degil
Tongkuluk - Kain tudung rambut orang perempuan.
Topico - Terbiar. Contoh. Pantang terpico abih dibaham eh ikan tu dek kucing.
Topodok - Terbenam dalam
Topole'ot - Terseliuh, terkehel
Tosunam- Tersungkur muka ke bawah.
Totungek - Terbalik kaki ke atas kepala ke bawah
Tughik - Pekak.
Tumuih -Bonam, tekan. Contoh: "tumuih muko tu ko mejo kang".
Tungka - Pokok tumbang
Tungkun- Kayu untuk hidupkan api
Tuntung - Memasukan air ke dalam bekas
Tutoh - Kerat, cantas

U.

Uncah - Ganggu, kacau
Unggih - Gigit
Uceh - Melepas, tak dapat
Ujo - Cari momentum; acah. Contoh. Kau kono ujo dulu .. bukit tu tinggi tak lopeh naik nanti.
Ulit - Lembab, perlahan
Ulu-ala - Resah gelisah
Umpok - Hak, kepunyaan.

Wednesday, August 14, 2013

MACAMANA NAK TAMBAH NASI KALAU TUAN RUMAH TAK PELAWA ?



 Gambar hiasan dari album peribadi tuan tanah. 

Orang Melayu dikatakan tidak suka berterus terang (direct) kalau mahukan sesuatu. Kalau pergi rumah orang, dan nampak tuan rumah nak ke dapur, kita akan kata:

 "alaaa .. tak payahlah susah-susah" 

walaupun sebenarnya kita sedang kebuluran sebab dah tak makan dua hari. Tapi tuan rumah faham, itu namanya budi bahasa. Kalau kena tuan rumah yang lurus bendul dan jawab:

 "oklah kalau cenggitu". 

Apa akan jadi. Terkulat-kulat jawabnya. Akan tetapi oleh kerana kita satu budaya, kita selalu membaca apa yang tersirat bukan apa yang tersurat atau yang diucapkan.

Kadang-kadang kerana terlalu nak berbudi bahasa dan tak mahu berterus terang, mungkin kita makan tak berapa kenyang. Misalnya, kita nak tambah nasi,  tapi nasi jauh di hujung meja dan tuan rumah buat-buat tak nampak dan tak pelawa untuk tambah. Kita pulak segan nak minta hulurkan nasi. Nak menjangkau, tangan tak sampai. Maka mahu tak mahu, cukuplah makan apa yang disendukkan oleh tuan rumah di awal tadi.

Kalaulah anda berada dalam situasi itu, apakah tindakan anda ?

Monday, August 12, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 81: SAMBUNGAN CERITA MENGURUS JAMUAN HARI RAYA.

Sebelum membaca entri ini saya cadangkan anda membaca entri awal yang berkaitan di sini dahulu. Kalau tidak, anda tidak tahu hujung pangkalnya.



Di sinilah tapak jamuan hari raya tersebut diadakan.


Pada tarikh dan masa yang ditetapkan maka berlangsunglah jamuan hari raya di tempat kerja saya. Tetamu datang berduyun-duyun dari segenap arah kerana tempat jamuan adalah dikelilingi oleh bangunan pejabat. Saya berdebar-debar dari hari sebelumnya. Tidur malam saya tidak berapa nyenyak kerana memikirkan perkara-perakara yang tidak dingini yang mungkin akan berlaku.

Pendeka cerita, secara umumnya jamuan berjalan dengan baik seperti mana diharap dan dirancangkan. Makanan cukup dan sedap. Bilangan tetamu adalah seperti yang dijangkakan - kecuali dua perkara:

1. Seorang menteri kanan dari parti gabungan dalam BN pada mulanya mengatakan tidak dapat hadir. Kita telah membuat pengesahan dua tiga kali dari pejabatnya tentang itu. Tup tup pada hari itu dia muncul dan bertegas mahu duduk di meja utama bersama YAB PM sedangkan namanya tidak ada dalam senarai. Kita cuba untuk meletakan dia di meja lain, tetapi dia tetap tidak berganjak dengan kehendaknya. Saya tidak dapat menyelesaikan masalah ini lalu saya bergegas mencari KSU saya. Dia (KSU) kelam kabut datang ke meja utama dan memeriksa nama-nama tetamu yang akan berada di meja tersebut dan dia membuat keputusan untuk mengeluarkan satu nama dan menggantikan dengan menteri tersebut. Nasib baik tetamu yang namanya dikeluarkan itu belum sampai dan dia ditempatkan di meja VVIP yang lain.

2. Satay tidak sampai ke meja isteri-isteri tetamu VVIP. Masalah ini berpunca dari kelemahan saya yang terlepas pandang tugas ini. Pembekal satay hanya membekalkan satay dan tidak bertanggungjawab mengedarkannya. Saya telah meminta pembekal makanan lain melakukan tugas tersebut tetapi entah macamana dan nak jadikan cerita, petugas telah terlepas pandang sebuah meja isteri-isteri tetamu VVIP. Akibatnya setelah majlis selesai, seorang isteri VVIP telah mendatangi saya untuk menyatakan tidak puas hatinya dan berkata " nanti saya beritahu sama Tan Sri  ... (suaminya)". Saya cuma mampu meminta maaf sahaja sebab majlis telah selesai. Kalau ia berlaku semasa majlis sedang berlangsung, saya tidak keberatan pergi mengambil satay dan membawa ke meja beliau. Saya tidaklah bimbang sangat denan kata-katanya itu kerana takkanlah suaminya hendak memarahi saya dengan isu yang sekecil itu. Memang betul jangkaan saya tersebut kerana tidak ada pula suaminya memanggil saya kemudiannya berhubung dengan perkara ini.

Kesimpulan. Walau macamana rapi sekalipun perancangan kita, sedikit sebanyak tentu akan ada masalah timbul. Bayangkankanlah kalau kita langsung tidak membuat perancangan. Namun masalah adalah untuk kita atasi atau pun dijadikan pengajaran supaya kita tidak mengulanginya pada masa yang aka datang. Kalau masalah yang sama berlaku juga pada masa hadapan walaupun kita telah mengambil tindakan untuk mengelakkannya, itulah yang dinamakan takdir. Terimalah sahaja kerana tentu ada hikmahnya.

DARI FESBUK # 3 - PESANAN KEPADA MEREKA YANG NAK PERGI BERAYA.


Saturday, August 10, 2013

BELUM READY NOMBOR 10: SHRAFMZB - 2013.





.

Friday, August 9, 2013

HATTAN DAH KAYA, ISTERINYA JADI DATIN.

Pejam celik pejam celik kita sudah berada di minggu terakhir berpuasa dan bertarawikh. Teruskan berpuasa (bagi yang tidak uzur), bertarawikh, bertadarus dan berqiamulail hingga ke akhirnya.

Walaupun sehabis daya saya telah cuba membuat entri atau meninggalkan komen yang tidak menyakitkan hati sesiapa, namun sebagai  manusia biasa saya percaya tentu ada entri saya yang tidak disenangi. Oleh itu sempena hari raya Aidilfitri ini saya ingin memohon maaf daripada anda semua pembaca blog ini seandainya ada tulisan saya yang telah menyentuh perasaan anda.

Kepada rakan-rakan yang kerap meninggalkan jejak di blog saya tanpa jemu, saya ucapkan ribuan terima kasih dan minta maaf banyak-banyak jika saya tidak sempat  membalas lawatan anda semua. 

 
Akhirnya terimalah serangkap pantun dari saya:


p/s: manalah tahu, kok ado sesiapa yang sudi nak kopipes pantun di atas, dipersilakanlah !


Tuesday, August 6, 2013

CERITA NAK POTONG KAKI SELUAR.




Gambar hiasa hasil carian Google.

Satu lagi cerita rakyat yang saya baca semasa saya kecik dulu yang saya ingat secara samar-samar ialah kisah seorang budak (katalah namanya Din), yang meminta dipotong kaki seluarnya yang terlebih panjang. 

Din sangat berdukacita kerana besoknya nak raya dan kaki seluarnya masih belum di repair.

Dia pun pergi meminta tolong dari ibunya memotong kaki seluarnya dan menjahit semula.

Din: Mak .. boleh tolong potongkan kaki seluar Din tak ? Din dah ukur, potong  dua inci jer.

Emak: Din tak nampak ke Mak tengah sibuk ni .. pergi minta tolong dengan Kaklong.

Din pun pergi berjumpa Kakaknya yang sulung untuk meminta tolong repair seluarnya. Dia pun mengulangi permintaan yang sama dengan emaknya sebelum ini. Berikut adalah jawapan Kak Longnya.

Kak Long: Kakak tengah sibuk buat kueh bangkit ni .. cuba Din minta tolong dengan Kakngah.

Din pun pergilah berjumpa Kangahnya dan jawapn serupa diberikan oleh Kakngahnya dan dia disuruh pula minta tolong dari Kaklangnya. Dia pun mendapat jawapn yang serupa dari Kaklangnya.

Dipendekkan cerita, Din pun tertidur dengan perasaan kecewa. Pada waktu tengah malam ibunya terjaga dan merasa menyesal dan kesian dengan Din. Perlahan-perlahan dia pun mengambil seluar Din dan memotongnya dan menjahit semula.  Tidak berapa lama Kaklong dia pula tersedar dan membuat perkara yang sama. Begitulah seterusnya sampailah kepada giliran Kaklangnya. Masing-masing kasihan dan ingin membantu Din tanpa berbincang atau memberitahu orang lain.

Pagi esoknya bila Din pakai seluarnya, ia telah senteng sampai paras lutut. Apa lagi Din pun meraung bila memakianya.

Moral cerita. Niat dan tindakan yang baik sahaja belum tentu boleh menghasilkan sesuatu yang yang baik jika ia dibuat tanpa komunikasi dan penyelarasan.



Monday, August 5, 2013

TERKENANG SEMASA DULU 80 :PENGALAMAN MENGURUSKAN JAMUAN HARI RAYA PEJABAT.


Gambar hiasan hasil carian Google.

Hari ini sudah berada di penghujung puasa. Bila masuk bulan puasa, saya teringat pengalaman saya menguruskan persiapan jamuan Hari Raya  di tempat saya bekerja suatu masa dulu.

Kisah ini berlaku sebelum kisah ini dahulu dan boleh juga dikatakan sebagai lanjutan kepada entri itu. Ia mengenai  kisah  suka duka saya menguruskan jamuan hari raya sebuah Kementerian yang besar di Putrajaya. Pada masa itu saya mengetuai Bahagian Pentadbirannya. Menterinya pula pada masa itu adalah juga seorang Timbalan Perdana Menteri. Saya menerima tugasan ini setelah hanya beberapa bulan bekerja di Kementerian ini.

Bilangan jemputannya adalah kira-kira 5,000 orang yang terdiri dari Perdana Menteri, semua Menteri dan Timbalan Menteri serta Setiausaha Parlimen,  semua Ketusa Setiausaha (KSU) dan Ketua Jabatan, Duta-Duta dari negara tertentu, kakitangan kementerian dan jabatan di Parcel yang sama di samping kakitangan kementerian dan jabatan sendiri. Masa jamuan adalah dari jam 12.30 hari hingga 2.00 petang iaitu selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada suatu hari Rabu.

Lebih dari sebulan sebelum majlis tersebut, KSU Kementerian memanggil saya dan menyampaikan arahan. Antara lain katanya ..

"Saya tak mahu jamuan tahun ini jadi macam tahun lepas. Saya mahu semua orang dapat makan dalam masa kurang dari 20 minit, makanannya sedap dan tidak ada yang basi .." .

Saya ringkaskan arahan itu sebagai 3S iaitu jamuan itu hendaklah segera, sedap dan selamat. Ini adalah pengalaman pertama saya menguruskan jamuan yang begitu besar untuk sebuah Kementerian yang besar. Sebelum itu saya bertugas di sebuah Kementerian yang agak kecil di mana menterinya adalah orang Sarawak berketurunan China. Dia sangat simple dan tak banyak songeh.

Apa saya buat.

Pertama mestilah ada Jawatankuasa kerana ini kenduri besar. Tak mungkin saya dapat urusakan seorang diri.  Antara jawatankuasa yang saya tubuhkan ialah Jawatankuasa Jemputan, Jawatankuasa Persiapan dan Logistik, Jawatankuasa Sambutan dan Protokol, Jawatankuasa Persembahan, Jawatankuasa Keselamatan dan sudah tentulah Jawantankuasa Jamuan.

Kemudiannya apakah strategi untuk mencapai hasrat 3S itu.

Kalau nak segera mesti banyakkan meja meletakkan makanan agar jemputan tidak bertumpu kepada satu tempat sahaja. Setelah mencongak-congak bilangan jemputan dengan masa yang ada, saya memutuskan untuk membuat sekurang-kurangnya 20 meja tempat mengambil makanan yang boleh di akses dari dua arah. Maknanya ada 40 barisan tetamu boleh mengambil makanan secara serentak.

Kalau nak sedap mesti pilih pembekal makanan yang sudah terbukti makanannya sedap. Ini bukan masa untuk membuat percubaan untuk katerer baru.

Kalau nak selamat (tak basi) yang boleh menyebabkan keracunan makanan, mesti dibanyakkan bilangan katerer. Bila banyak katerer, masing2 membekal makanan yang tak banyak kuantitinya berbanding jika seorang katerer. Misalnya untuk satay, pembekal khas yang hanya untuk membekalkan satay sahaja telah dilantik. Tahun sebelumnya saya difahamkan hanya seorang katerer yang di lantik untuk menyediakan semua jenis makanan. Oleh kerana bilangan yang nak dijamu ramai dan amaun makanan yang banyak, menyebabkan mereka memasak makanan beberapa hari lebih awal yang barangkali itu yang menjadi punca makanan tercemar.

Manakala untuk tetamu VIP seramai kira-kira 300 orang (termasuk yang merasa diri VIP) saya pilih katerer khas yang sudah biasa menjadi katerer jamuan di rumah Perdana Menteri. Maknanya, makanan, hiasan dan layanan adalah berbeza dengan meja yang lain. Saya fikir, kalau semua VIP ini puas hati, maka saya selamat. Kalau hanya seorang sahaja VIP tak puas hati, saya akan berhadapan dengan masalah besar.

Adakah jamuan itu berjaya seperti dirancangkan ? Apakah masalah yang di hadapi ?   Insya-Allah kalau panjang umur, saya akan sambung. Nak cerita sekali harung kat sini, nanti panjang sangat entri ini.



Sunday, August 4, 2013

SONYUM SOKOJAP 61: MEMANCING PAKAI LUTUT.



 Gambar hiasan hasil carian Google.


Malam tadi saya bawa sejadah yang agak tebal pergi sembahyang kat surau. Sebelum ini saya tak pernah bawa. Lutut saya melecet sikit dan terasa sakit bila sujud. Sejadah tu dapat mengurangkan ketidakselesaan itu. Sesampainya saya di tangga surau, seorang kawan saya mengusik.

Kawan. Ai .. bawa sejadah nampak !

Saya: Lutut aku melecet ..

Kawan: Kalau pergi memancing, boleh pulak !

Saya: Aku memancing tak pakai lutut.

Kawan-kawan lain yang mendengar perbualan kami semuanya serentak mentertawakan kawan saya itu. Dia pun tersipu-sipu tak tahu nak kata apa. 

p/s: sebelum ini ada juga entri saya yang lucu tentang puasa dan raya. Antaranya yang saya rasa menarik adalah seperti di link di bawah:

Kejadian-kejadian lucu semasa sembahyang Tarawikh (2010); dan

Kisah sampul duit raya. (2009)

Friday, August 2, 2013

KALAULAH HANYA ADA WARNA PUTIH.












Silalah nikmati sepuas-puasnya keindahan rama-rama dengan pelbagai warna seperti di atas. Cubalah bayangkan kalau Allah memutuskan untuk tidak menyediakan pelbagai macam warna, apakah rama-rama akan secantik itu ?


سُوۡرَةُ النّحل
وَمَا ذَرَأَ لَڪُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ مُخۡتَلِفًا أَلۡوَٲنُهُ ۥۤ‌ۗ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَةً۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَذَّڪَّرُونَ

Surah An-Nahl ayat 13

"Dan Dia sediakan untuk kamu di bumi ini bermacam warnanya (hue). Sesungguhnya pada yang demikian menjadi tanda bagi kaum yang ingat"


Di dalam ayat tersebut dinyatakan bahawa Dia yang menyediakan untuk kita di bumi ini bermacam warna. Cubalah bayangkan kalau Allah hanya menyediakan warna putih sahaja. Maka semua orang akan berambut puith dan berkulit putih. Warna mata pun semuanya putih, tak ada mata hitam. Bahkan semua benda yang ada di dalam dan di atas muka bumi dan juga di udara baik yang hidup mahu pun yang mati akan berwarna putih sahaja.


Apakah agaknya rupa pelangi kalau semuanya berwarna putih. Tentulah tidak menarik. Siapakah yang mampu mewarnakannya agar ia cantik seperti sekarang. Sesungguhnya tidak ada manusia yang mampu berbuat demikian melainkan Allah s.w.t sebagaimana kata Dr. HAMKA.
 
" Tidak ada keahlian pada manusia buat mencipta warna sebagai warna di udara"


Bendera pula macamana ? Tentulah semuanya berwarna putih. Tidak adalah maknanya bagi negara-negara mengadakan bendera masing-masing kalau semuanya berwarna putih belaka. 

Ikan koi pun tidak berwarna-warni lagi. Semuanya putih. Mungkin tiada siapa  yang mahu membelanya lagi.

 
Lampu trafik  pun tidak guna diadakan kalau setiap pertukaran warna akan berwarna putih.

Rama-rama, bunga-bunga, burung-burung dan berbagai lagi kehidupan di dunia ini tidaklah akan seindah sekarang.

Siapakah yang mencipta warna kalau bukan Allah. Dengan kemajuan sains dan tekonologi seperti yang kita megahkan sekarang ini, adakah sesiapa yang mampu dan sanggup mencipta warna. Kepandaian yang ada kepada kita hanyalah setakat menggunakannya atau pun mengadunkan warna yang telah disediakan oleh Allah s.w.t.

Benarlaha bahawa sesungguhnya pada penciptaan warna itu adalah menjadi  tanda kepada manusia yang mahu ingat akan kebesaranNya. Bagi yang tidak mahu ingat atau tidak mahu berfikir, itu semua tidak memberi apa-apa makna kepada mereka. 

Subhanallah.