Saturday, June 28, 2014

AKHIRNYA PUAN LOLA DIJATUHI HUKUMAN.



 Saya sungguh bangga dengan orang-orang Malaysia seperti saudara ini yang sangat prihatin dengan nasib Firdaus remaja OKU yang malang itu.


Disebabkan sentimen rakyat Malaysia yang inginkan pengadilan segera dilakukan keatas Puan Lola yang dituduh mengabaikan anakya Firdaus yang OKU itu, mahkamah telah membuat perbicaraan serta keputusan dengan segera dan menjalankan hukuman berlainan dari kaedah yang biasa dipakai sebelum ini.

Dipendekkan cerita, setelah pertuduhan dibacakan dan Puan Lola mengaku bersalah, hakim menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada puan Lola. Maka gegak gempitalah bangunan mahkamah kerana mereka yang menyaksikan perbicaraan bersorak gembira dengan hukuman yang dijatuhkan. 

Hakim pun menetapkan hukuman rejam itu akan dijalankan oleh orang ramai dan hukuman akan diadakan secara terbuka di Stadium Merdeka. Hakim menetapkan masa menjalankan hukuman tepat jam 11 pagi pada keesokan harinya dan menjemput orang awam supaya datang mengambil bahagian.

Pada hari yang ditetapkan ramailah orang berkumul di dalam stadium itu. Sebelum hukuman dimulakan, Firdaus dibawa berjumpa ibunya. Dia memeluk emaknya dengan kuat sambil meraung seolah-olah berkata,

"Saya sayang emak saya, tolonglah jangan dipengapakan dia. Saya sudah tiada ayah lagi dan saya tidak mahu pula kehilangan dia. Walaupun dia telah mengabaikan saya namun dia tetap ibu saya dan saya telah pun memaafkan dia. Kalau boleh ambillah nyawa saya"

Beberapa ketika selepas itu, petugas mahkamah membacakan tuduhan dan juga hukuman yang akan dijalankan. Puan Lola yang sudah diikat badannya di sebatang tiang mengangguk lesu tanpa berkata apa-apa.

Kemudian hakim pula tampil kehadapan untuk membuat arahan dengan berkata, 

"Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Sekarang hukuman rejam akan dimulakan.  Sesiapa yang berhajat ingin melakukannya silalah pergi mengambil batu seorang sebiji yang telah dilonggokkan di sana dan kemudian pergi berdiri dibelakang garisan yang telah ditandakan di atas padang dan tunggu arahan selanjutnya dari saya".

Maka berebut-rebutlah orang ramai mengambil batu dari tempat longgokan tersebut dan seterusnya bergegas pula mengambil tempat seperti yang ditetapkan betul-betul berhadapan dengan Puan Lola yang sudah kelesuan terikat di tiang.

Kemudian hakim mengeluarkan arahan selanjutnya dengan berkata,

"Tetapi sebelum rejaman dimulakan saya menetapkan syarat bahawa hanya mereka yang tidak pernah berbuat sebarang kesalahan dan yakin tidak akan membuat sebarang kesalahan di masa hadapan sahaja yang dibenarkan membuat rejaman. Saya mahu tuan-tuan berlaku jujur dengan diri sendiri. Mula-mula saya mahu tuan-tuan yang pernah berbuat sebarang kesalahan sebelum ini supaya berundur ke belakang".

Separuh dari orang yang sedang berkobar-kobar hendak melakukan rejaman berundur kebelakang secara perlahan-lahan.

Selepas itu, hakim berkata pula kepada baki mereka yang masih berada di atas padang, "Baiklah, sekarang sesiapa di antara tuan-tuan yang yakin tidak akan berbuat sebarang kesalahan pada masa hadapan, sila undur ke belakang".

Kesemua  orang yang masih  tinggal tadi berundur ke belakang seorang demi seorang, hinggakan tiada seorang pun yang tinggal untuk melakukan rejaman.

Maka sangatlah gembira hati Firdaus melihat keadaan itu.

Cerita selanjutnya pembaca rekalah sendiri kerana cerita ini pun hanyalah khayalan saya sahaja termasuklah nama Puan Lola dan Firdaus itu.



Tuesday, June 24, 2014

JAUHI PERLAKUAN AL-GHIBAH DAN AL-NAMIMAH.

Di bawah adalah satu contoh umpat keji dari beribu-ribu umpat keji yang dilemparkan kepada Puan Lola ibu kepada Muhammad Firdaus Dullah remaja OKU yang kita semua tahu ceritanya.

Mungkin Puan Lola ada bersalah dengan anaknya atau berdosa dengan Allah SWT, tetapi jika anaknya memaafkan dan Allah mengampunkan jika dia memohon, maka bereslah masalah dia. Yang kita tak fasal-fasal mencari dan mengumpul dosa kering, apa hal ? Kemana dan kepada siapakah kita hendak meminta ampun ?


Apakah perasaan anda jikalau ibu anda dikatakan perempuan sial ?
.
Sehubungan dengan itu, saya rasa terpanggil untuk menurunkan sepenuhnya rencana yang ditulis oleh Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak di dalam risalah "Irsyad Hukum" terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis - Bil 16/2014 untuk menjadi panduan dan peringatan kepada pembaca dan juga terutamanya sebagai peringatan kepada diri saya sendiri supaya tidak terjerumus ke dalam dosa Al-Ghibah dan Al-Namimah.

Rencana ini juga memberi panduan jalan keluar kepada kita jika kita telah terlanjur melakukan kesalahan Ghibah dan Namimah.

......................................................................................

JAUHI DARI MEMAKAN DAGING MANUSIA.

Tahukah anda, ada dua perkara yang boleh menjadi sebab kita susah di dalam kubur, diazab dan diseksa Allah SWT. Jika kita berjaya bebas dari dua sebab ini, kita telah terlepas dari dua sebab popular seseorang dikenakan azab di dalam kubur. Apakah dua perkara itu.

Pertama di namakan sebagai Al-Ghibah.

Ramai di kalangan kita, saban hari melakukan Ghibah tetapi dia tidak menyedarinya. Seseorang menyebut tentang seseorang lain, dalam perkara yang tidak disukai oleh orang itu dan di luar pengetahuannya. Jika dikatakan kepadanya "Jangan suka mengata orang .." secara spontan dia akan menjawab: "Aku sebut benda betui apa .." Dia tidak sedar, atau mungkin juga dia tidak tahu bahawa sebenarnya dia telah melakukan Ghibah kepada saudaranya.

Ketahuilah, yang dikatakan Ghibah itu bukan bermakna anda mereka-reka certita tentang seseorang. Sebaliknya ghibah ialah apabila anda menceritakan keaiban seseorang di belakangnya, dan perkara itu benar-benar ada pada orang tersebut.

Jika perkara yang anda ceritakan itu tidak ada pada orang yang menjadi tajuk cerita, perkara itu dinamakan sebagai Buhtan iaitulah cerita palsu atau dusta yang lebih dahsyat dan lebih besar dosanya berbanding Ghibah. Kita sekarang tidak berbicara tentang Buhtan, sebaliknya bicara kita tentang Ghibah. Nabi SAW bersabda, (mafhumnya):

"Apakah kamu semua tahu, apa itu Ghibah?" Para Sahabat menjawab: "Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahui!" Baginda menjawab Al-Ghibah ialah, (mafhumnya): "Cerita kamu tentang saudara kamu, apa yang tidak disukainya". Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana jika apa yang saya katakan itu sememangnya terdapat pada orang tersebut "? Baginda menjawab, (mafhumnya): "Jika pada suaudara kamu itu sememangnya ada seperti apa yang kamu katakan, maka itulah kamu telah melakukan Ghibah kepadanya. Jika perkara itu tidak ada, maka kamu telah melakukan Buhtan kepadanya".

Sebahagian daripada kita sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya melakukan Ghibah, cerita tentang orang itu dan orang ini, cerita tentang selebriti itu dan selebriti ini, cerita tentang pemimpin itu dan pemimpin ini sehingga perut dia kenyang dengan memakan daging orang-orang tersebut. Kemudian dia pulang ke rumah dengan rasa puas hati dan lega, merasakan dia akan selamat di dalam kubur kelak !? tidak .. tidak .. tidak semudah itu.

Baginda Nabi SAW pernah satu ketika melalui sebuah kubur yang penghuninnya sedang diazab oleh Allah SWT, bagina bersabda, (mafhumnya): "Sesungguhnya penghuni kubur ini, dahulunya dia sering memaka daging orang ramai".

Cuba fikirkan, apa faedah yang anda perolehi dengan menceritakan tentang orang itu dan orang ini, dibelakang mereka dan diluar pengetahuan mereka ? Bagaimana pula jika orang lain menceritakan tentang anda perkara yang anda tidak suka di belakang anda ? Apa anda rasa ? Atau apakah anda merasakan anda seorang yang begitu sempurna ?

Renungkan hadis ini sebelum anda berbicara tentang orang lain. Anas berkata, sabda Nabi SAW, (mafhumnya):

"Ketika mana saya dimikrajkan, saya telah melalui satu kaum yang memiliki kuku dari tembaga sedang mencakar muka dan dada mereka, lalu saya bertanya kepada Jibril "Siapakah mereka ini wahai Jibril?". Jawab Jibril, (mafhumnya):

"Mereka itu adalah orang-orang yang memakan daging orang lain, mereka (dahulunya) suka duduk dan menjatuhkan maruah orang lain".

Justru, fikirkanlah apakah faedah yang anda dapat dengan melakukan Ghibah ?

Tahukah anda, jika anda melakukan Ghibah terhadap seseorang, ini bermakna anda telah memberi orang itu pahala yang ada pada anda, anda menghadiahkan kepadanya pahala anda sehingga jadilah anda seorang yang miskin pahala. Jika habis kesemua pahala anda, orang itu pula akan menghantar dosanya kepada anda. Kerana itu ketika seseorang lelaki mengadu kepada Al-Fudhail bin 'Iyadh, ada orang melakukan Ghibah terhadapnya. Kata Al-Fudhail, (mafhumnya): "Sesungguhnya orang itu telah membawa kepadamu, pahala yang banyak". Seolah-olah Al-Fudhail mengucapkan tahniah kepada orang yang diGhibah itu.

"Abdul Rahman Al-Mahdi pula berkata, (maksudnya):

"Kalaulah bukan kerana aku tidak sukakan berlakunya maksiat, sudah pasti aku akan bercita-cita tidak ada seorang pun di bandar ini melainkan dia melakukan Ghibah tentang ku, apakah lagi yang lebih menggembirakan seseorang, jika dia mendapati tercatit pahala di dalam buku catitan amalannya pada hari kiamat, suatu yang tidak dilakukannya dan diketahuinya"

Aduh, alangkah hairan dan pelik, orang-orang yang sanggup duduk berjam-jam lamanya, sambil mengagih pahala mereka kepada orang lain, sejak bermula bicara Ghibahnya, dia agihkan kepada orang itu dan orang ini kesemua pahalanya, pahala solatnya, puasanya, sedekahnya, zikirnya dan semuanya. Dia amat pemurah mengagihkan pahalanya kepada orang lain.

Al-Hasan Basri berkata, (maksudnya):

"Sekiranyg aku melakukan Ghibah tentang seseorang, lebih patut aku Ghibah tentang bapaku dan emakku" kerana kedua orang itu lebih berhak mendapat pahala yang telah kita lakukan bukan orang lain.

Demikian itulah Ghibah. Berikutnya apakah pula perkara kedua yang menjadi sebab popular seseorang diazab dalam kubur ? Ia lebih bahaya dari Al-Ghibah.

Perkara kedua itu dinamakan pula sebagai Al-Namimah. Apakah Al-Namimah?

Al-Namimah ialah memindahkan cerita dari seorang kepada seorang yang lain. Sebagai contoh, anda memberitahu kepda seseorang: "Orang itu bercerita tentang engkau demikian dan demikian". Atau "Orang itu, mengata tentang engkau, demikian dan demikian". Atau kita memberitahu kepada seseorang: "Orang itu tidak sukakan engkau" bertujuan mewujudkan rasa marah dan permusuhan sesama mereka.

Oleh yang yang demikian perbezaan antara Al-Ghibah dan Al-Namimah ialah Al-Ghibah anda menyebut tentang seseorang sesuatu yang tidak disukainya dibelakangnya. Manakala Al-Namimah anda memindahkan percakapan seseorang tentang seseorang lain kepadanya.

Nabi SAW pernah melalui dua buah kubur, lalu baginda bersabda, (mafhumnya)

"Sesungguhnya kedua-dua mereka benar-benar sedang diazab, tidaklah mereka diazab kerana perkara besar untuk dilakukan, iaitulah salah seorangnya tidak bersuci dari buang air kecil dan seorang lagi sering membawa Al-Namimah"

Diringksakan bicara, sesuatu Ghibah mahupun Namimah jika melibatkan seseorang, maka ia berlegar diantara watak di bawah ini.

Samada dia merupakan orang yang melakukan Ghibah atau mangsa yang kena Ghibah atau orang yang mendengar Ghibah orang lain.

Mudah-mudahkan kita tidak termasuk golongan yang pertama. Jika kita termasuk dalam golongan kedua yang menjadi mangsa Ghibah, maka ketahuilah kita adalah yang paling beruntung, kerana kita akan memperolehi pahala orang lain tanpa perlu bersusah-payah. Manakala jika kita termasuk golonga ketiga, maka ketahuilah dihadapan kita ada tugas besar yang perlu dilaksanakan. Jika kita berjaya, maka ia merupakan benteng antara kita dan api neraka di akhirat kelak. 

Yang penting kita semestinya berusaha membela saudara kita dari terkena Ghibah. Apa salahnya jika kita katakan kepada orang yang hendak melakukan Ghibah: "Maaf, orang yang hendak anda bercerita tentangnya itu, tidak ada sekarang, saya tiak mahu bercerita tentang seseorang yang lain". 

Alangkah indah Nabi SAW bersabda, (mafhumnya): "Sesiapa yang menolak sesuatu yang boleh mencemarkan maruah saudaranya, Allah akan menolak wajahnya dari neraka pada hari kiamat".

Selain itu jangan mempercayai Namimah yang sampai kepada anda. Ini kerana Namimah termasuk di dalam dosa besar, pelakunya dikira telah melakukan dosa besar yang menggugurkan kelayakannya sebagai seorang saksi. Di samping itu peliharalah juga pendengaran anda. Jangan biarkan Namimah itu terus didendangkan kepada anda, nanti anda juga akan berbicara tentangnya.

Peliharalah juga lidah anda, jangan anda memindahkan Namimah yang anda dengar termasuk kepada orang yang menjadi mangsa Namimah, jauhi anda dari berkata kepada seseorang, "Orang itu bercerita tentang kamu demikian dan demikian". Jika demikian keadaan anda, maka anda salah seorang pelaku Namimah.

Seorang lelaki datang bertemu dengan seorang ulama dan berkata "Wahai tuan, orang itu berkata tentang tuan demikian dan demikian". Jawab ulama tersebut: "Apakah kamui mahu mewujudkan permusuhan antara saya dan saudara saya?  Demi Allah saya akan menjadikan syaitan marah"  lalu ulama itu berkata: "Ya Allah ampunilah daku dan saudara ku itu".

Yang penting jangan kita terbabit dalam membawa Namimah. Kerana orang yang membawa cerita Namimah, hakikatnya dia adalah salah seorang daripada mereka. Jika sesuatu Namimah diibaratkan seperti sebilah anak panah, ketika ia dimulakan, anak panah itu tidak kena pada sasarnya, kerana mangsa tidak mengetahuinya. Sebaliknya jika kita menyampaikan Namimah tersebut kepada mangsa, maka seolah-olah kita mengambil anak panah yang tersasar tadi lalu kita tusukkannya ke dada saudara kita.

Kata Yahya bin Abi Kathir, maksudnya. "Kerusakan yang dibawa oleh pelaku Namimah dalam masa satu jam, adalah suatu yang tidak dapat dilakukan oleh seorang ahli sihir dalam masa sebulan"

Barangkali ada yang berkata, bagaima kalau kami pernah melakukan Ghibah dan Namimah ? Apa yang perlu kami lakukan ? Perlukah kami berumpa dan memberitahu orang yang kami Ghibah dan Namimah itu untuk meminta maaf darinya?

Pandangan yang lebih benar di kalangan ulama ialah anda tidak perlu melakukan sedemikian. Tidak perlu anda menceritakannya. Ini kerana Ghibah dan Namimah itu diharamkan bertujuan mengelak permusuhan di dalangan umat Islam. Maka jangan anda menceritakan Ghibah dan Namimah anda kepadanya yang boleh menimbulkan permusuhan itu. Jika begitu, apa yang perlu kami lakukan ?

Jangan bimbang, jalan keluar dari kesalahan ini masih ada, disebut oleh para ulama. Iaitulah hendaklah anda berdoa untuk orang yang pernah menjadi mangsa Ghibah dan Namimah anda dengan kadar yang seimbang dengan kadar Ghibah dan Namimah anda tentangnya. Agar dari doa anda kepadanya dapat mengimbangi pahala yang diberikan kepadanya di akhirat kelak. Selain itu, jika anda berdoa untuknya tanpa pengetahuannya, akan ada malaikat yang akan mengaminkan doa anda tersebut dengan berkata, (mafhumnya):

"Amin, dan untuk anda juga seperti permohonan yang anda pinta untuknya".

Selain itu berusahalah juga menyebut kebaikan orang yang pernah menjadi mangsa Ghibah dan Namimah kita. Sebutkan kebaikan sebenar orang tersebut kepada orang orang-orang yang mendengar Ghibah dan Namimah dari anda, agar mereka dapat memperbetulkan buruk sangka mereka kepada mangsa tersebut.

Kata Qatadah, (maksudnya):

"Dinyatakan kepada kami bahawa azab kubur itu satu pertiganya dari Al-Ghibah, satu pertiga dari air kencing (yang tidak disucikan) dan satu pertiga lagi dari Al-Namimah".

Ini bermakna, bebas dari Ghibah dan Namimah bermakna kita telah bebas dari 2/3 sebab seseorang diazab di dalam kubur. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesalahan ini.

Wallahu a'lam.


..................................................................


Demikian saya petik secara verbatim tulisan Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak.  Moga-moga ada manfaatnya kepada kita semua dengan tujuan untuk memperbaiki amal ibadat kita.


Sunday, June 22, 2014

PERNAHKAH KELIAN SAMPAI KE WANG KELIAN ?

Pada hari Ahad, 8 Jun yang lalu, saya berdua dengan Makngahnya pergi ke Wang Kelian untuk berjalan-jalan dan melihat-lihat. Tiada cadangan khusus untuk membeli apa-apa.

Sebelum melintasi sempadan, saya perhatikan bas pelancong sudah memenuhi tempat letak kereta. Kereta tak usah cakaplah, berderetan diparkir kiri kanan jalan. Tempat orang berniaga masih jauh lagi. Kalau tinggalkan kereta kat sini, tak sanggup saya untuk menapak. Saya bertawakkal membawa kereta masuk melintasi pos imigresen walaupun diberitahu bahawa tempat letak kereta sudah penuh.

Dalam hati saya berfikir, kalau tak dapat tempat letak kereta nanti, saya buat pusingan 'u' dan balik semula ke rumah. 


Gambar 1: Penyakit selfie sudah berjangkit. Sebelum melintasi pos Imigresen.


Gambar 2: Sedang melintasi pos Imigresen yang hanya selorong.


Gambar 3: Papan tanda mengalu-alukan kedatangan tetamu dari Malaysia.

 

 Gambar 4: Tempat untuk deposit kereta.


Gamnbar 5 : Saba betul ikan ni walaupun kena bakar !


Gambar 6: Saya tidak sampai ke penghujung jalan tempat orang berniaga kerana dah letih.


Gambar 7: Walaupun tak cadang beli apa-apa, tapi saya pasti 'cair' bila terjumpa rantai kunci. Yang ini istimewa kerana katanya buatan tangan. Macamlah rantai kunci yang lain buat dengan kaki.

video

Video yang sempat saya ambil menggambarkan suasana kemeriahan  Wang Kelian.

Nota kaki: Saya difahamkan, untuk memasuki Thailand di sekitar kawasan orang berniaga di Wang Kelian ini tidak memerlukan paspot tapi hanya untuk hari Sabtu dan Ahad sahaja.



Tuesday, June 17, 2014

KOMBINASI UBAN DAN CAT.



 Makngahnya menyempurnakan kerja mengecat.
Haiqal pula memindahkan batu.


Petang semalam saya mengecat bahagian luar rumah saya. Dekat pukul 7 malam saya berhenti. Sebelum mandi, saya tanya anak saya Haiqal, 

"Ada nampak cat tak kat kepala ayah?"

"Tak perasan pulak". Jawapnya pendek selepas melihat-lihat rambut saya.

Saya tak puas hati, lalu pergi ke cermin untuk melihat sendiri kerana semasa mengecat tadi saya merasa ada sesuatu terjatuh atas kepala.

Sebaik melihat cermin saya ketawa berdekah-berdekah. Patulah Haiqal tak perasan sebab  rambut saya semuanya putih dan cat pun putih.

Lawak tak ?


Tuesday, June 10, 2014

ATUK DENGAN CUCU DI ZAMAN IT.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah swt kerana telah memanjangkan umur saya dalam keadaan sihat sehingga saya dapat menimang cucu yang kini sudah 3 orang. Dua orang ada bersama saya di Perlis sejak awal Mei lalu kerana anak sulung saya bersalin anak yang ke dua.

Keseronokan menjadi seorang atuk ialah bila dapat bersama dengan cucunya atau cucu-cucunya. Tetapi sejak saya duduk di Perlis kira-kira 3 bulan yang lalu, tak dapatlah saya melihat dengan kerap cucu perempuan pertama saya, Iris, yang duduk di Bandar Saujana Putra.

Namun di zaman IT ini ada pelbagai cara untuk berhubung secara maya. Walaupun begitu, ia sudah tentu tidak sama dengan memeluk dan melihat sendiri telatahnya di depan mata. Lebih-lebih lagi pada peringkat umur dia (2 tahun) yang saya rasa paling seronok kalau dapat mendengar pertututurannya yang masih pelat dan belum terus.

Baru-baru ini dia datang ke Perlis untuk dua malam kerana abah dia menghadiri kenduri kawin adiknya di Alor Star. Dapatlah mengobat rindu.


. Gambar 1: Iris melekap dalam dalam dakapan atuknya di luar dewan majlis persandingan salah seorang makciknya di Alor Star.


Gambar 2: Rumah di Perlis. Risau tengok dia turun naik tangga.

 

 Gambar 3: Segala ceruk yang ada ingin diterokanya.


Gambar 4: Batu jalan yang ada dikutipnya dan dimasukkan ke dalam bajunya.


Gambar 5: Di waktu malam, di atas rumah dia berlari ke sana ke mari tanpa henti. Nak ambil gambar dia pun susah.


Gambar 6: Dia juga turut terpengaruh dengan aksi bomoh VIP.



Gambar 7: Sudah melewati 12 tengah malam, dia masih melekat depan i-padnya.
 


Gambar 8: Masa perpisahan telah tiba untuk dia pulang ke rumahnya.

Baru-baru ini saya mendapat kriman video dia yang sudah diyoutubekan oleh emaknya seperti di bawah. Di antara banyak-banyak video yang dikirimkan, inilah video yang paling saya suka tengok. Entah sudah berapa kali saya tengok, masih lagi ingin tengok keletahnya yang sudah pandai 'menjawab' suruhan emaknya. Jemput lihat sampai dia kata bye. ok !


Panjang umur atuk, dapatlah berjumpa lagi pada hari raya Aidilfitri nanti.


end