Sunday, November 30, 2014

A.K.U K.E.L.I.R.U - 31 : SEPARUH UMUR ?



Kita boleh berkata minyak kereta kita masih ada lagi separuh tangki, sebab kita tahu penuh tangki tu setakat mana. 

Atau semasa kita dalam perjalanan balik kampung yang jaraknya katalah 200 batu, kita boleh berkata kita sudah separuh perjalanan bila sampai pada jarak 100 batu.

Akan tetapi bila saya dengar ada orang mengatakan saya "separuh umur",  saya jadi keliru.

Dia tahu ke umur penuh saya berapa tahun nanti ?  Maknanya kalau pada umur 60 tahun saya dikatakan separuh umur, maka umur penuh saya adalah 120 tahun !

Hakikatnya kita hanya boleh tahu umur penuh seseorang itu bila orang itu telah mati.

Macamlah dia tahu pada umur berapa saya akan mati. Pandai-pandai je kata saya separuh umur.
 
Dan lagi, kalau kita boleh berkata orang itu "separuh umur" maknanya kita juga boleh berkata orang lain "suku umur" atau "tiga suku umur" !

Jadi janganlah anda mudah berkata orang ini atau orang itu "separuh umur" !

Ingat umur kita ni minyak petrol ke ?




Friday, November 28, 2014

SEDIKIT FAKTA TENTANG RATU CANTIK.



Gambar hiasan yang ada kena mengena dengan entri ini.

Sebenarnya yang jadi ratu cantik itu adalah calon yang tercantik dikalangan mereka yang masuk bertanding. Kalau semuanya, katalah ada 40 orang ambil bahagian, maknanya yang jadi ratu itu adalah yang tercantik di kalangan 40 orang itulah.

Lagi satu kalau setiap pengadil atau juri ditanya pendapat peribadi mereka tentang calon yang telah terpilih menjadi ratu, saya percaya akan ada perbezaan pendapat di antara seorang pengadil dengan pengadil yang lain akan pilihan masing-masing.

Maknanya apa ? Maknanya cantik itu adalah suatu sifat yang sangat subjektif. Lain orang lain ukuran kecantikannya. 

Bagi saya cantik yang sebenar adalah cantik peribadi. Ia boleh bertahan sampai ke hujung nyawa. Cantik diwajah atau bentuk badan, umumnya tidak bertahan lama. Ia ibarat hantaran yang dibuat dari gula walaupun rasanya  manis dan cantik pada pandangan mata, ia akan cair dimakan hari.


Ia sangat cantik dipandang tapi tahan hanya beberapa hari cuma.

Jadi kalau anda tidak terpilih mengambil bahagian dalam pertandingan  ratu cantik, janganlah rasa rendah diri. Mungkin pada pandangan mata orang lain, anda lebih cantik dari ratu cantik yang terpilih dengan syarat peribadi dan tingkah laku anda mestilah cantik. 


" Biar buruk rupa jangan buruk perangai. Tapi kalau cantik rupa dan cantik perangai, lagi cantik "

Nota kaki: Entri ini juga sesuai untuk golongan lelaki, cuma tukarkan perkataan cantik itu dengan hensem.


Wednesday, November 26, 2014

WW # 113: BELUM READY NOMBOR 13.


Monday, November 24, 2014

BOLEH JALAN.

Perhatian: Ini bukan entri akademik.

Perkataan JALAN cukup banyak maknanya dalam Bahasa Melayu bergantung kepada konteks dan intonasi suara penutur.

Mengikut kamus DBP, perkataan JALAN dijelaskan seperti berikut:




Dalam pada itu banyak perkataan jalan yang membawa makna yang agak berbeza dari makna perkataan jalan yang diberikan DBP itu. Antaranya:

- Boleh jalan.   Apa ? nak pinjam kereta aku, boleh jalan da.

- Tak jalan.  Puas aku pujuk dia nak pinjam kereta Ferrarinya, tapi tak jalan juga. 

- Dah jalan.  Budak yang eksiden semalam tu, dah jalan pagi tadi.

- Tak ada jalan. Oleh kerana dah tak ada jalan nak cari duit, dia terpaksa mencuri.

- Pergi jalan.  Pergi jalanlah dengan teori ekonomi engkau tu.

- Mana boleh jalan. Buatlah ayat sendiri, mana boleh jalan macam ni saya sahaja yang buat contoh.

Terlanjur sebut fasal jalan ni, jemputlah jalan-jalan kat blog saya yang ini pulak ya. Best tau !








Friday, November 21, 2014

AKU KELIRU 31 - NEGERI KE NEGARA ?


Cetakan skrin Portal Rasmi Kementerian Luar Negeri, Malaysia.

Kalau kita nak pergi melancong, katalah ke England, kadang-kadang ada orang kata nak keluar negara dan kadang-kadang ada juga orang kata nak keluar negeri.

Begitu juga kalau ada orang yang belajar dan mendapat ijazah di sana. Ada yang kata, orang itu lulusan luar negeri dan ada juga sesetengah orang kata lulusan luar negara.


Malaysia ni sebuah negeri ke sebuah negara. Saya rasa Malaysia ni adalah sebuah negara kerana sejak sekolah rendah lagi saya sudah diajar menyanyikan lagu Negara Ku. 

Tapi kalau negara, kenapa pulak agensi yang menguruskan hal ehwal luar negara, kita namakan Kementerian Luar Negeri ?





Wednesday, November 19, 2014

WW # 112: ADEGAN YANG KITA TIDAK DAPAT LIHAT DI BANDAR.


Monday, November 17, 2014

PECAH KEPALA MENGURUSKAN KEMENTERIAN PECAH.

Selepas PRU ke 12 dulu, beberapa Kementerian telah dipecahkan menjadi dua. Misanya, Kementerian Dalam Negeri berpecah dua menjadi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. Kini kementerian-kementerian tersebut telah disatukan semula seperti sebelumnya.

Saya tidak mahu mempersoalkan rasional kenapa keputusan pemecahan itu dibuat walaupun saya rasa itu adalah tindakan yang tidak bijak dan tergesa-gesa, tetapi apa yang saya nak ceritakan ialah masalah yang timbul hasil perpecahan tersebut. Pada masa Kementerian Dalam Negeri dipecahkan, saya menjadi ketua di bahagian pentadbiran. Entri ini menceritakan pengalaman saya sebagai seorang pegawai kerdil yang terlibat secara langsung dalam usaha menyediakan kemudahan untuk dua kementerian yang asalnya satu, agar masing-masing dapat berfungsi dengan efisyen dan segera tanpa gangguan.


Akibat pemecahan itu, tiba-tiba saya kena urus dua Menteri, 4 Timbalan Menteri, dua Setiausaha Parlimen, dua Ketua Setiausaha dan secara amnya dua kementerian dari segi penyediaan prasana, kemudahan, perkhidmatan, aset dan kelengkapan pejabat kerana ketua bahagian pentadbiran di kementerian yang baru belum dihantar lagi oleh JPA. Buat sementara waktu (2-3 bulan juga rasanya) saya terpaksa membahagikan kasih sayang masa untuk mengurus dua kementerian. Tugas pentadbiran adalah tugas serta merta yang harus dilakukan pada itu juga.

Bangunan pejabatnya yang itu juga. Keluasan ruang pejabat seluas itu juga. Bilangan tempat letak kereta banyak itu juga. Buku di perpustakaan banyak itu juga sedangkan semuanya harus dibahagi dua. Saya masih ingat lagi, pada sebelah petang hari pengumuman perpecahan kementerian itu dibuat, beberapa orang pegawai dari pejabat seorang Timbalan Menteri yang baru telah mencari saya menanyakan di mana bilik boss dan bilik mereka, tempat letak kereta dan nama-nama surat khabar yang ingin dibekalkan kepada mereka. Mana hendak ditempatkan Timbalan Menteri itu kerana tiada siapa tahu sebelum itu akan keputusan pemecahan kementerian ini. Semuanya berlaku dengan tiba-tiba dan tiba-tiba juga saya terbeban untuk menyediakan segala kemudahan kepada semua anggota di kementerian yang baru.

Memang tidur saya kurang lena selagi tugasan ini belum selesai terutamanya menyediakan ruang pejabat untuk menteri, timbalan-timbalannya dan seterusnya sampai ke bawah untuk pegawai dan kakitangan di kementerian yang baru. Kenalah pulak menteri yang baru ini sangat cerewet. Ye lah dia menteri. Semua kehendaknya kena dipatuhi (dengan segera) tanpa dakwa-dakwi. Setelah pegawai baru tiba untuk mengetuai bahagian pentadbiran di kementerian yang baru, barulah tugas dan tanggung-jawab saya beransur-ansur lega. Tapi dia sampai pun setelah semua kerja-kerja yang saya sebutkan itu selesai dan kementerian baru telah dapat berfungsi sebagaimana sepatutnya. Untunglah dia.

Setakat ini sahajalah saya nak cerita kerana kalau cerita panjang-panjang nanti ada yang bosan. Lagipun apa nak diungkitkan kerana gaji saya dibayar untuk buat kerja. Bagaimanapun untuk makluman, tiada gaji atau elaun tambahan kepada saya sepanjang membuat dua kerja tersebut.

Saya pernah membuat sebuah seloka menggambarkan rencam kerja di Bahagian Pentadbiran dan telah diterbitkan dalam buletin kementerian tempat saya bekerja dulu.  Saya salin semula kerana teks asalnya tidak jelas bila diimbas.


Saya percaya mereka yang sedang atau yang pernah berkhidmat di Bahagian Pentadbiran atau sekarang lebih dikenali dengan nama Khidmat Pengursan setuju dengan seloka yang tulis itu.


Thursday, November 13, 2014

BAHASA MELAYU TIDAK PELIK # 2: GULAI LEMBU.


Bahagian mana yang dikatakan lembu itu ?

Selalu kita dengar orang kita jawab 'gulai lembu' atau 'lauk lembu' kalau kita tanya apa lauk dia makan di rumah orang kenduri tadi. Jawapan itu adalah berbentuk umum tapi maksudnya khusus iaitu gulai daging lembu. Maknanya bila dikatakan gulai lembu itu kita faham ia adalah gulai daging lembu, walaupun pada seekor lembu ada juga orang buat gulai dari perut lembu, hati lembu, paru-paru lembu, ekor lembu dan otak lembu dan lain-lain lagi.

Kalau mengikut terjemahan orang putih lembu itu 'cow' dan daging lembu itu dipanggil 'beef'. Oleh kerana ada istilah itu, sudah tentulah orang putih tak kata dia makan 'cow' tapi  'beef' untuk memberitahu menu makan tengahari atau makan malam mereka. Bahasa mereka lebih khusus tapi bahasa kita perlukan imaginasi. Cuma orang yang hidup dalam masyarakat dan menyintai budaya  Melayu sahaja yang akan dapat memahami maksudnya.

Jadi tak perlulah kita tanya 'bahagian mana' kalau kawan kita kata dia makan gulai lembu tengahari tadi. Faham-faham sahajalah.





Wednesday, November 12, 2014

WW # 111: TAJUK ENTRI BUKAN MAIN LAGI, BILA MASUK PENUH IKLAN.


Monday, November 10, 2014

PATUT KE TAK PATUT DIA ORANG BUAT KITA CENGGITU ?


Gambar hiasan. Laluan jogging saya.


Saya rasa anda patut jawab 3 soalan berikut ini dengan tulus ikhlas.

1. Patut ke tak patut orang yang minta tolong, marahkan orang yang lambat menolong dia ?

2. Patut ke tak patut orang yang nak pinjam duit, marahkan orang yang tak bagi pinjam duit kat dia ?

3. Patut ke tak patut blogger yang membuat pertanyaan, tapi tutup kotak komen kat blog dia ?

Sekian. Terima kasih.


Sunday, November 9, 2014

LOBAI SALLEH PART 2: SUKA TIDUR DARI BACA QURAN.


Gambar sekadar hiasan.

Saya sambung lagi kisah Lobai Salleh. Kalau ada yang inign mengetahui siapa dia lobai Salleh ini, silalah ke entri Part 1 sebelum ini di sini.

Part 2:  

Masa ni lobai Salleh lebih suka tidur dari baca al-Quran selepas seorang ustaz jemputan yang baru balik dari membuat Sarjana Muda al-Quran dari luar negara beritahu, adalah sia-sia membaca al-Quran tanpa mengetahui maknanya. Dia fikir daripada membuat kerja sia-sia lebih baik dia tidur kerana tidur orang yang berpuasa dapat juga pahala. 


Sekian buat sementara waktu. Part seterusnya akan menyusul. 

Saturday, November 8, 2014

LOBAI SALLEH PART 1: BUBUR LAMBUK CEPAT HABIS

Mungkinkah ini rupa Lobai Salleh ? Gambar sekadar hiasan.


Mulai bulan puasa yang lalu, saya ada mewujudkan watak Lobai Salleh dengan membawa pelbagai cerita yang mempunyai maksud tersirat di laman fesbuk saya. Saya postkan dalam status saya dari masa ke semasa bila mana ada isu atau bila idea tiba. 

Dia adalah watak rekaan semata-mata berasaskan pergaulan saya dengan orang sekeliling. Dia boleh jadi membawa watak saya dan boleh jadi juga menyamai watak anda.

Memandangkan ia mendapat sambutan yang agak baik dari pembaca, saya memutuskan untuk memindahkan cereka Lobai Salleh itu di blog saya ini untuk bacaan rakan-rakan blogger yang tidak menjadi friends di fesbuk saya. 

Part 1:

Hari ni bubur lambuk cepat habis kat surau sebab Lobai Salleh ambil banyak. Katanya untuk diagih-agihkan kepada jirannya yang tidak datang sembahyang 'Asar berjemaah !


Sekian buat sementara waktu. Part seterusnya akan menyusul. 




Thursday, November 6, 2014

TERKENANG SEMASA DULU 87 - BERDAYUNG DI TASIK ENTAH APA NTAH.

Dalam entri Terkenang Semasa Dulu - 86 yang lalu, Vee Sandi ada membuat permintaan supaya "dapat upkan gambar yang ada pure background di sana" seperti berikut:


Ini kerana gambar-gambar suasana musim panas di Amerika yang saya tunjukkan dalam entri tersebut tidak sangat nampak ia seperti di tempat orang. Sekali pandang suasananya macam di negara kita sahaja.

Tapi mana nak cari gambar lagi sebab semua gambar saya tinggalkan di rumah saya di Seremban. Belek-belek draf entri, terjumpa draf entri berikut yang saya kira dapat memenuhi permintaan Vee Sandi itu

.
Gambar 1: Bergambar sebelum bermain bot di tepi tasik yang saya sudah lupa namanya. Sedikit terlindung adalah bangunan "Thomas Jefferson Memorial".


Gambar 2:  Yang ini lebih jelas menunjukkan bangunan memorial yang tersergam menghadap tasik itu.



Gambar 3: Tasik ini berada di tengah-tengah bandaraya Washington D.C, tidak berapa jauh dari White House.


Gambar 4: Kelihatan jauh di belakang ialah menara Washington.

Puas saya berfikir, siapakah yang tolong ambilkan gambar kami pada masa tu. Kalau dia membaca entri ini, terima kasih banyak-banyak kalau saya terlupa untuk berterima kasih pada masa itu.


Gambar 5: Saya bergambar di taman berlatarbelakangkan bangunan menara Washington.

Satu perkara yang sangat baik dan harus kita contohi ialah tentang bagaimana rakyat di sini sangat menitik-beratkan kebersihan bangunan, tandas, kenderaan dan taman awam. Saya tidak berjumpa sampah bertaburan, tandas yang kotor atau kemudahan awam seperti kerusi  meja yang rosak atau dirosakkan. Saya kira setelah lebih 30 tahun saya meninggalkan Amerika, rakyat kita akan mencapai tahap kesedaran sivik yang sama seperti orang Amerika, tetapi saya agak kecewa kerana kita masih belum banyak berubah, bahkan mungkin lebih teruk dari dulu.

Saya agak pesimif jika ada orang mengatakan bahawa kita akan setanding dengan negara-negara maju dalam aspek kesedaran sivik menjelang tahun 2020 bilamana kita mencapat status negara maju kelak. Kenapa saya berkata begitu, pernah saya luahkan di sini.  Saya harap saya silap.


Tuesday, November 4, 2014

PERNAHKAH ANDA BERADA DALAM SITUASI INI - 4: BERAPA UMUR AWAK ?


 Gambar hiasan hasil carian Google.


Kita berkenalan dengan seorang kawan baru dalam satu gathering. Katalah gathering blogger.

Kita agak umurnya dalam awal 40an. Lalu kita bertanya.

Maaf kalau saya bertanya ... umur awak berapa ?


Tak mengapa. Umur saya dah nak masuk 56 dah.


Ye ke ? Tak sangka, nampak masih muda.

Memang kita betul-betul tak sangka dia dah berumur 56 tahun. Kemudian dia pula bertanyakan umur kita.

Umur awak pulak berapa ?


Oh .. saya dah 61 tahun lebih.

Ye ke ? Tak sangka.

Kita pun seronok bila kawan baru kita itu kata begitu, lantas kita pun segera bertanya.

Awak ingat umur kita berapa ?

Saya ingatkan dah 75 tahun.

Bedebah (dalam hati).


Kalau ia terjadi kepada anda, apa agaknya yang anda buat kepada kenalan baru anda itu ?



Sunday, November 2, 2014

BUKAN NIAT SAYA MEMPERSENDAKAN MAT YO.

Mula-mula saya sebagai orang Negeri Sembilan ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan bolasepak Pahang dan Johor yang bertemu dalam perlawanan akhir malam tadi. Apabila mereka terpaksa bermain dalam masa tambahan dan akhirnya melalui tendangan penalti untuk mencari pemenang, bermakna mereka adalah sama-sama kuat. Apa-apa pun tahniah kepada pasukan Pahang kerana dengan hanya 10 orang pemain sahaja telah berjaya menjadi juara.

Sebenarnya saya tak minat bola. Kalau tidak silap, malam tadi adalah kali ke dua saya menonton perlawanan bola sampai habis di tv. Saya menontonnya atas sebab yang mungkin berbeza dengan orang lain. Saya melihat perlawanan bola sebagai satu subjek yang menarik untuk dilihat dan dianalisis dari sudut sosiologi atau sains sosial.

Bila saya buat status di fesbuk bertajuk "Kesian Mat Yo" seperti cetakan skrin dibawah, apa yang bermain dalam kepala saya ialah tekanan jiwa yang terpaksa ditanggung oleh Mat Yo yang gagal menjaringkan gol semasa membuat tendangan penalti. Dia bukanlah gagal sepenuhnya kerana bola  tendangannya tidak tersasar tetapi nasib penjaga gol kali ini adalah baik dapat menyelamatkan bola tersebut.



Berbeza kalau pasukan Johor kalah dalam perlawanan biasa, tekanan perasaan barangkali ditanggung oleh semua pemain. Dalam kes malam tadi, harapan seluruh peminat tertumpu kepada  pemain yang dipilih untuk membuat tendangan penalti. Sudah tentulah setiap pemain yang terpilih itu akan menanggung tekanan perasan yang amat dahsyat kerana seluruh harapan peminat tertumpu kepada mereka. Kalau saya dalam situasi mereka, mungkin sudah lumpuh dan tidak berdaya untuk membuat tendangan.

Saya percaya pemain yang telah gagal membuat tendangan, akan terbeban dengan rasa bersalah walau pun orang lain tidak memikirkan begitu kerana dia telah menghampakan harapan jutaan peminat pasukan mereka.

Di bawah adalah gambar yang saya petik dari sebuah status kawan di fesbuk. Saya tersenyum memikirkan kreativiti orang yang mencipta dialog tersebut. Bola adalah sejenis sukan atau sport dalam Bahasa Inggerisnya. Sepatutnya semua peminat sukan haruslah 'sporting' dan tidak menjadi emosional tak tentu fasal, jika pasukan yang disokongnya kalah kerana ia akan merosak diri sendiri. Lebih-lebih lagi perlawanan antara Pahang dan Johor malam tadi, bolehlah dianggap perlawanan sesama keluarga kerana Tengku Mahkota Pahang yang bakal menjadi Sultan Pahang berkahwin dengan anakanda al-marhum Sultan Iskandar, Sultan Johor sebelum ini. 


Dulu ada peminat yang sampai membakar stadium dan bas misalnya. Kalau tak silap saya, pernah ada dua buah negara di Afrika berperang berpunca dari bola. Takkanlah kita nak jadi macam negara itu pulak kan ?



Nota kaki: Pertama kali saya menonton bola sampai habis ialah semasa perlawanan pasukan Malaysia menentang pasukan Indonesia dalam sukan SEA tiga tahun dulu. Sebab saya menonton bola malam tadi adalah lebih kurang sama seperti yang pernah saya tuliskan dalam entri ini.


~