Sunday, February 15, 2015

TERKENANG SEMASA DULU 88: PENGALAMAN MEMANDU KERETA MERCEDES DI AMERIKA.

Allah telah merancang hidup saya dengan baik sekali bahkan lebih baik dari apa yang saya impi dan jangkakan. Semua yang telah ditakdirkan untuk saya adalah yang terbaik. Syukur sangat-sangat kepadaNya.

Menghimbau kembali kenangan lama, beberapa tahun sebelum saya membeli kereta Mercedes baru di USA, saya menghabiskan cuti penggal saya dengan menoreh getah di kebun milik orang. Kebun getah milik sendiri belum ada. Hasilnya tidaklah sebanyak mana dan rasa tidak setimpal dengan kepayahan dan keletihan, kerana selain hasil  jualan kena dibahagi dua, harga getah pula pada masa itu adalah sangat rendah.

Cuma selepas peperiksaan akhir di Universiti Malaya baru saya berhenti menoreh getah kerana mula mencari pekerjaaan. Tapi pada masa itu mencari kerja adalah sangat mudah. Minta 3 jawatan, tiga-tiga dapat. Boleh pilih-pilih lagi. Dan ada jawatan yang kita tidak minta pun dapat.

Mula-mula saya mendapat tawaran menjadi Pengajar (Pembantu Pensyarah) di Universiti Malaya. Kerja ini tidak saya pohon sebaliknya ditawarkan kepada saya oleh seorang pensyarah yang pernah mengajar saya di UM sebelum ini. Kami bertemu semasa saya bekerja di sebuah restoran di Jalan Pantai Baru dan dia singgah makan tengah hari di situ.



Gambar 1. Kad kampus ini akan menjadi kenangan buat selama-lamanya kepada saya yang pernah menjadi Pengajar di Universiti Malaya pada tahun 1977.

Setelah beberapa bulan betugas sebagai Pengajar, saya mendapat tawaran  jawatan PTD. Pada masa itu, saya pun tidak tahu apa itu PTD, tapi atas pengaruh rakan-rakan yang mendapat tawaran yang sama, saya membuat keputusan berhenti menjadi Pengajar dan memilih PTD dan kekal dalam perkhidmatan itu sehingga saya bersara secara pilihan pada tahun 2007. 

Sesudah 3 tahun berkhidmat sebagai pegawai PTD, saya memohon untuk bekerja dengan Jabatan Penuntut Malaysia. Selepas melalui proses pemilihan, saya berjaya dan ditempatkan di Washington D.C berkuatkuasa mulai 1 Disember 1981.

Setelah bekerja kira-kira setahun setengah saya pun menurut jejak kawan-kawan membeli sebuah kereta Mercedes Benz dari kilangnya di German kerana inginkan kereta pemanduan sebelah kanan. Kalau beli di USA, semua kereta sterengnya di sebelah kiri. Kalau bawak balik ke Malaysia nanti akan bermasalah. Membawa kereta stereng di sebelah kanan semasa di sini juga ada masalahnya seperti semasa hendak membayar tol atau parking, tapi masalah itu kecil dan sementara sahaja. Sementara berada di sini.



Gambar 2:  Inilah model kereta yang terbaru pada masa itu. Saya membelinya dengan pinjaman kerajaan. Kalau tak silap harganya  cuma RM18 ribu sahaja tidak termasuk kos insuran dan shipment dari kilangnya di German.


Gambar 3:  Kelihatan dibelakang adalah pohon-pohon yang sudah tidak berdaun menunjukkan musim gugur dan memasuki musim sejuk. Sungguhlah kurus badan saya pada masa itu.


Gambar 4: Tidur dalam kereta  semasa dalam perjalanan makan angin ke Kanada kerana tidak berjumpa hotel yang ada kekosongan pada masa itu.

Pengalaman mengambil kereta dari pelaburahan Baltimore adalah suatu pengalaman yang indah dan mendebarkan. Dengan dihantar oleh seorang kawan saya, saya pergi  mengambilnya di pelabuhan yang tidaklah berapa jauh sangat dari pejabat saya.  Teruja sungguh melihat kereta itu buat kali pertama dan memandunya balik ke pejabat selepas itu.

Ketika kereta itu muncul dari kawasan simpanan di pelabuhan, hati melonjak gembira dan merasa satu macam kepuasan. Seperti ketika pertama kali melihat wajah anak sulung rasaya.  Di luar khayal saya sendiri yang baru beberapa tahun sebelum ini bergelumang dengan getah, kini menjadi seorang pemilik sebuah kereta Mercedes baru dan memandunya di Amerika Syarikat. Sesungguhnya pengalaman itu sangat manis dan tidak akan terlupakan hingga ke akhir hayat saya.


Gambar 5: Ini adalah kereta saya sebelum bertukar ke Mercedes. Bagus kereta ini walaupun saya beli sekenhen kerana sepanjang memandunya hingga ke Bloomington, Indiana, tidak pernah menimbulkan masalah. 

Kereta Mercedes itu saya bawa balik ke Malaysia dan selepas 5 tahun saya menjualnya kepada abang sepupu saya dan dia juga selepas beberapa lama, menjualnya kepada orang lain. Kalau benda baik, memang tak susah nak jual. Ada sahaja orang yang berkenana nak beli.




Friday, February 13, 2015

NAK BACA SAIYYIDINA KE TIDAK SEMASA BERSELAWAT NABI ?

Semasa kita berselawat Nabi terutamanya semasa membaca tahiyat dalam sembahyang, ramai ustaz mengatakan tidak perlu baca saiyyidina kerana nabi Muhammad tidak mengajarkan kita demikian. Maka ramailah orang yang tidak membaca atau menyebut perkataan Saiyyidina itu semasa bertahiyat.

Semalam saya meneruskan membaca tafsir al-Azhar susunan HAMKA, tibalah kepada tafsir ayat 28 dalam surah Al-Ahzab yang mengupas sedikit persoalan ini.



يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزۡوَٲجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدۡنَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيۡنَ أُمَتِّعۡكُنَّ وَأُسَرِّحۡكُنَّ 
 سَرَاحً۬ا جَمِيلاً۬

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut`ah (sagu hati) dan aku lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya"

Mari kita sama-sama baca sedutan tulisan HAMKA seperti di bawah yang saya salinkan sepenuhnya dan mengambil kesimpulan sendiri terhadap pandangan beliau itu.


"Maka disuruhkan Allahlah kepada nabi agar menyampaikan kepada isteri beliau: "Wahai Nabi"! (pangkal ayat 28). Kita ulang yang kesekian kalinya, bahawa Tuhan tidak pernah memanggil NabiNya dan RasulNya itu dengan langsung menghimbau namanya. Tidak ada dalam al-Quran terdapat "wahai Muhammad!". Yang ada selalu wahai Rasul, wahai orang yang berkelumun, wahai orang yang berselimut. Kalau namanya disebut, adala sebagai orang yang ketiga, misalnya "Muhammadur Rasulullah". Muhammad itu adalah Rasul Allah. Ini pun satu pendidikan bagi kita sendiri. Maka kalau ada orang yang menambahkan kalimah (tuan kami, tuan kita) kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam mengucapkan shalawat, meskipun Nabi tidak mengajarkan demikian, dapatlah kita fahami jalan fikiran mereka. Yaitu sedangkan Allah lagi menghormatinya, apa lagi kita ummatnya".


Sekian. Semoga catatan ringkas ini dapat membantu anda menimbang dan memilih pendirian sendiri dalam melakukan amal ibadah kepadaNya.



Wednesday, February 11, 2015

WW # 117: MACAM NILAH RUPANYA KALAU ORANG LELAKI SIDAI KAIN.


Monday, February 9, 2015

SIAPA YANG TAK SUKA MAKAN DURIAN ?




Kalau kita sukakan sesuatu, jangan kita ingat orang lain pun turut suka macam kita juga. Misalnya kalau kita suka yang amat sangat makan buah durian, sanggup beli walaupun di mana dan berapa harganya,  janganlah pulak kita hairan kalau ada orang lain yang tidak suka. Lebih-lebih lagi janganlah sampai kita mengatakan orang yang tak suka makan durian itu bangang.

Begitulah sebaliknya kalau kita sangat tidak suka makan durian. Jangan pulak cuba pengaruhi orang lain supaya ikut sama tidak suka serta merasa hairan kalau melihat ada orang lain yang suka. Lebih-lebih lagi janganlah sampai kita mengatakan orang yang suka makan durian itu bangang.

Sebenarnya orang yang mengatakan kesukaan orang lain itu bangang, itulah  yang bangang.

Nota kaki: Durian itu hanyalah sebuah metafora.

Friday, February 6, 2015

KALAULAH KEMARAU BERPANJANGAN.

Sebelum ini kita telah diuji dengan bencana banjir di beberapa negeri. Tidak sedikit harta benda bahkan nyawa yang menjadi korban. Hingga ke hari ini kesannya masih kelihatan dan langkah-langkah pemulihan sedang giat dijalankan.

Sekarang ini pula saya kira negara kita sudah masuk musim kemarau. Di tempat saya, sudah lebih dari sebulan hujan tidak turun. Sawah sudah mula merekah. Tali air pun sudah mula kekeringan. Rumput yang dulu menghijau sekarang sudah bertukar warna menuju saat kematian.

Sekarang cuba kita bayangkan senarionya jika hujan tidak turun berlanjutan selama 4-5 tahun.  Pada masa itu, saya percaya semua tempat menghadapi kekurangan air yang sangat kritikal. Bukan sahaja untuk mandi atau membasuh pakaian, untuk minum pun berhempas pulas mendapatkannya. Sungai, tali air, kolam bahkan empangan juga turut kekeringan. Tumbuh-tumbuhan dan binatang ternak sudah tiada lagi yang mampu hidup. Kerajaan juga agaknya sudah tidak mampu lagi untuk membekalkan air kerana tiada lagi sumber air untuk  diambil untuk diagihkan kepada semua orang. 

 

  Gambar 1: Beginilah keadaan muka bumi yang tidak ditimpa hujan selama bertahun-tahun.


Gambar 2: Di sini dahulunya adalah sebuah tasik yang dipenuhi ikan, sudah kering kontang dan berdebu.


Gambar 3: Sungai ini yang dulunya air mengalir deras di bawah jambatan itu juga sudah menjadi padang jarak padang tekukur.



Gambar 4: Air di empangan juga sedang menanti masa untuk kering sepenuhnya.


Gambar 5: Tempat ini yang dulunya menjadi tempat tambatan bot rekreasi dan meriah dengan pelbagai aktiviti air, kini sudah ditinggalkan sepi.


Gambar 6: Kolam yang banyak terdapat di sawah-sawah padi juga sudah merekah seribu


Gambar 7: Bangkai lembu bergelimpangan di sana sini akibat mati kehausan.
 


Gambar 8: Manusia yang kehausan bergerak ke hulu hilir sepanjang hari mencari sumber air untuk di bawa pulang kepada anak isteri yang menunggu dengan penuh harapan di rumah.

 


Gambar 9: Setelah gagal mencari air, ada yang duduk termenung memikirkan apa lagi yang harus dilakukan jika hujan tidak juga turun.


Kalau banjir kesannya tidak menyeluruh. Orang-orang di tempat lain yang tidak terlibat, boleh membantu mangsa banjir seperti yang berlaku baru-baru ini. Tapi kalau kemarau, seluruh negara  terlibat tanpa kecuali. Tiada siapa nak mahu datang bantu. Masing-masing berusaha sendiri untuk memenuhi keperluan sendiri. Bahkan istana negara dan juga kediaman perdana menteri pun sudah tidak mendapat bekalan air paip dan terpaksa dihantar melalui lori tangki.

Sumber air hanyalah dari perigi-perigi yang terdapat di kampung-kampung di pinggir hutan. Itu pun kedalamannya sudah beratus-ratus kaki.  Maka ramailah orang yang tinggal dibandar-bandar besar terutamanya yang mendiami bangunan yang tinggi balik ke kampung. Bagi yang tiada kampung terpaksalah mengongsi tanah orang kampung atau menceroboh tanah kerajaan dengan membuat khemah berhampiran sumber air. Pada masa ini baru kita tahu bahawa duit berlori sudah tidak bernilai dan tidak bermakna apa-apa. 

Sekiranya air perigi juga kekeringan, tidak tahulah bagaimana kita hendak meneruskan hidup. Sekali fikir rasanya lebih baik banjir dari kemarau berpanjangan.

Bersyukurlah kita kerana masih lagi mendapat bekalan air yang cukup bahkan mampu untuk mengekspot lagi. Kalau ada tempat yang terputus air, ia bukan kerana tiada sumber air tapi kerana masalah pengagihan (distribution) atau salah urus.

Dan saya menjadi ngeri bila memikirkan kalau kemarau itu benar-benar terjadi di negara kita. Kepada siapakah tempat kita meminta pertolongan ? Siapakah yang boleh menolong kita kecuali DIA. 





Wednesday, February 4, 2015

WW # 116: SAYA PUN SUKA TAHU.

Tuesday, February 3, 2015

BAHASA MELAYU TIDAK PELIK TAPI UNIK # 5 - BETUL KE BENAR ?




Kadang-kadang ada perkataan yang selama ini kita rasa sama sahaja maksudnya dengan perkataan lain. Contohnya perkataan betul dan benar

Memang betul pada kebanyakan masa maksudnya adalah sama tetapi maknanya jadi berlainan bahkan boleh menjadi bertentangan kalau  dibuat penambahan di awal dan di hujung perkataan tersebut. Mari saya berikan contoh.


1. Sama


1.1 Dia bercakap betul.

1.2 Dia bercakap benar.


2. Berlainan.


2.1 Dia telah mendapat kebenaran untuk memancing di kawasan larangan itu. 

2.2 Dia telah mendapat kebetulan untuk memancing di kawasan larangan itu. (Ada ke perkataan macam ni ?)


3. Berlawanan.


3.1 Ustaz Kudin membenarkan bacaan Quran Lobai Salleh

3.2 Ustaz Kudin membetulkan bacaan Quran Lobai Salleh.



Jadi gunakanlah perkataan betul atau benar pada tempat yang betul.