Tuesday, January 31, 2017

BAHASA MELAYU TIDAK PELIK # 11: KETAKUTAN DENGAN KEMALUAN.



Masa ni ramai orang takut nak guna perkataan 'kemaluan' kerana ia punya makna yang boleh memberi kesipuan kepada yang menggunakannya. Sebenarnya perasaan itu berpunca dari salah faham yang sudah berterusan sejak sekian lama. Entah siapa yang memulakan tradisi itu, saya pun tak tahu. 


Perkataan kemaluan tiada bezanya dari segi struktur ejaan dengan perkataan 'ketakutan', 'kekuatan', 'kekayaan' dan sebagainya.


Cetakan skrin dari laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu, DBP.

Adapun mengikut kamus DBP,  yang saya buat cetakan skrin seperti di atas, kemaluan itu juga bermaksud "berasa sangat malu".  Makna itu diletakkan lebih dahulu sebelum memberi makna kedua iaitu alat kelamin. Ayat,  "jikalau si Tuah ada, dapatlah ia menghapuskann kemaluan ku" itu adalah kata-kata Sultan Mansur Shah yang menyesal kerana mengarahkan Hang Tuah dibunuh kerana termakan dengan hasutan pendengki. Maknanya sejak zaman Hang Tuan perkataan itu telah digunakan mengikut konteks yang sesuai tanpa masalah.

Contoh ayat yang diberi DBP itu dipetik dari buku Sejarah Melayu (Sulalat al-Saladin). Kalatu tak silap ingatan saya, buku itu menjadi salah satu buku teks saya semasa di tingkatan 6 dahulu. Masa itu tiada pun timbul kesipuan kepada kami yang membacanya. Saya petik dari satu sumber lain untuk cerita lebih lanjut seperti cetakan skrin di bawah.


Pada hari raya tahun lepas, ada seorang rakan fesbuk saya tulis kat salah satu post  saya begini:

"Saya teringin nak datang rumah Pak Ngah, tapi malu"

Kalau saya jawab:

"Datanglah bila kemaluan awak dah hilang nanti", 

harus gegak gempita saya diketawakan padahal apa bezanya dengan ayat:

"Datanglah bila ketakuan awak dah hilang nanti" atau

"Datanglah bila kesibukan awak dah hilang nanti".

Bahasa Melayu tidak pelik tapi unik.




Sunday, January 29, 2017

KISAH SAYA CEPAT NAK KETAWAKAN ORANG DI TYSONS CORNER.

Tysons Corner adalah nama sebuah tempat di Virginia yang punya banyak tempat untuk membeli belah. Kawasannya luas dan tidak sesak. Tempat meletak keretanya pun mungkin beribu banyaknya dan pada masa saya tinggal di sana ia masih percuma.


Gambar 1: Saya cari melalui Google tempat bernama Tysons Corner, dan saya jumpa gambar ini yang dirakamkan pada tahun 1969


Gambar 2: Ini papan tanda hendak ke Tysons Corner. Saya tinggal di area McLean yang terletak lebih kurang 4-5 km jaraknya (kalau tak silap) dengan Tysons Corner.


Gambar 3: Gambar saya sekeluarga di McLean Central Park yang terletak tak jauh dari rumah saya. (Gambar kitar semula)

Satu hari saya pergi beli barang di sebuah kedai di Tysons Corner.  Cara beli barang kat sini agak berlainan dari tempat kita. Barang yang dijual adalah seperti barang-barang letrik, perkakasan dapur, beg, teropong, barangan kaca, cerderamata, jam, barang kemas dsb. Ia diperagakan di tempat yang disediakan dengan setiap barang ada kod pengenalannya. Kalau kita nak beli barang yang kita berkenan, kena isi borang dan masukkan ke lubang yang khusus. Nanti nama kita akan dipanggil bila barang yang dipesan itu sudah ada di kaunter tempat pungutan. Kadang-kadang saya datang ke sini bukan nak beli barang pun tapi untuk menjamu mata sambil berangan-angan.

Pada suatu hari, saya ternampak ada macam seorang Melayu sedang menulis sesuatu kat kaunter membuat tempahan. Saya pun mendekatinya dan selepas melihat apa yang dia tulis saya menegurnya.

"Orang Malaysia ke ?"

"Dak aih .." jawabnya pendek dalam Bahasa Melayu loghat utara yang agak pekat.

Saya  rasa macam nak tergelak masa itu kerana mendengar jawapannya yang kelakar. Saya ingatkan dia nak melawak, tetapi bila melihat mukanya yang lurus dan serius saya tak jadi senyum apa lagi ketawa tapi kerut di dahi saya tidak dapat dinormalkan dengan serta merta.

"Tadi saya curi-curi tengok you tulis nama kat order form tu ..". Saya cuba menjelaskan kenapa saya bertanya begitu.

"Oh .. memang ibu bapak saya asai dari Kedah. La ni dah jadi warga Arab Saudi. Saya pun lahir di sana", jelasnya selepas menyedari kekeliruan saya.

"Oh .. ok. Faham. Faham". Jawap saya terhanguk-hangguk. Rasa malu dan kesal pun ada kerana ingin mentertawakan dia tadi.

Lepas itu saya dah tak ingat cerita selanjutnya kerana insiden ini berlaku sudah terlalu lama.

Moral cerita:  Jangan tergesa-gesa buat penilaian dan kesimpulan.


Monday, January 23, 2017

SONYUM SOKOJAP # 84 : KOPI YANG TAK BOLEH DIMINUM.

Senarai kopi yang tidak boleh diminum:

1. Fotokopi
2. Kopipes
3. Kopiah
4. Kopimana (kau pi mana)
5. Kopikirlahsendiri

Ada satu lagi kopi tapi namanya agak panjang sikit. Kalau nak tau apa dia kopikirlahlamalama.

Ceriakan awal minggu anda dengan senyuman.😆✌



Friday, January 20, 2017

DARI FESBUK # 11: TERUS DIA BERHENTI MEROKOK.





Thursday, January 19, 2017

BUKAN SENANG NAK TAMATKAN KONTRAK.

Gambar hiasan hasil carian Google.


Setelah mengikuti entri seorang kawan yang baru bersara tetang pengalaman suka dukanya menguruskan projek pembangunan di agensinya semasa masih bekerja, mengingatkan saya akan pengalaman menamatkan kontrak seorang kontraktor yang melaksanakan projek di agensi tempat saya bertugas. Saya fikir elok saya tidak sebutkan nama projek dan juga lokasinya untuk mengelakkan masalah berbangkit kemudian hari. Cukup saya katakan bahawa projek ini berprofil tinggi dan nilai projek dimaksudkan lebih RM200 juta. 

Projek ini dianugerahkan kepada kontraktor tersebut secara rundingan terus. Maknanya tidak melalui proses tender seperti kebiasaannya. Kemudiannya ia dijual sepenuhnya (total sub) kepada sebuah syarikat lain dengan membuat keuntungan segera yang sangat lumayan. Rasanya tujuh keturunan pun tak habis makan.

Dipendekkan cerita setelah projek siap kira-kira 60%, timbul pertelagahan diantara kontraktor utama dengan sub-connya tentang pembahagian bayaran hinggakan projek tersebut tidak bergerak atau tiada kemajuan. Berlakulah kelewatan atau "behind schedule" yang menyebabkan pengguna resah. 

Ada beberapa pilihan untuk menyelamatkan  projek ini. Senarai pilihan itu dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri tempat saya bertugas dengan memberi pro dan kontra bagi setiap pilihan. Dan YAB PM telah memilih untuk menamatkan kontrak dan menawarkan kepada sub-con yang telah pun menjalankan projek ini separuh jalan. Pilihan ini dirasakan yang terbaik untuk menyiapkan projek yang telah tertangguh berbulan-bulan lamanya. Dari mula projek ini terhenti, hingga berjaya disambung semula, kalau tidak silap saya memakan masa hampir setahun.

Dipendekkan cerita akhirnya projek tersebut berjaya disiapkan dengan baik mengikut jadual yang baru. 

Sebenarnya bukan itu yang ingin saya ceritakan di sini tetapi adalah pengalaman yang menakut dan meresahkan saya sebagai pegawai yang mengetuai bahagian yang menguruskan pelaksanaan projek di agensi saya berkhidmat.  Saya ringkaskan.

1. Menghadapi karenah lobi melobi secara silih berganti antara kontraktor utama dengan sub-con. Kontraktor utama merayu supaya kontraknya tidak ditamatkan tetapi sebaliknya diserahkan kepada syarikatnya untuk meneruskan pelakasaan projek. Kita tidak yakin akan kemampuannya kerana kalau dia mampu berbuat begitu kenapa syarikat dia sendiri tidak melaksanakannya dari semula.

2. Kontraktor utama cuba bermain politik dengan mengatakan dia kononnya punya hubungan baik dengan Perdana Menteri dan pemimpin lain serta beberapa jasanya kepada kerajaan dan negara.

3. Sub-con pula melobi supaya projek ini dianugerahkan kepada dia kerana syarikatnya sudah pun membuat kerja dengan baik sehingga siap 60%. Banyak bahan binaan dan peralatan telah dibeli dan berada di tapak atau sudah ditempah. Kalau dia tidak dapat projek ini tentulah dia akan alami kerugian yang besar walaupun mereka sudah dapat progess payment.

4. Ada lagi pelobi dari luar yang di "dilantik" oleh kontraktor utama atau sub-con untuk mempengaruhi saya menurut kehendak mereka dengan pelbagai nasihat dan tunjuk ajar. Misalnya mereka kata PM suka cara ni dan tak suka cara itu dan sebagainya.

5. Saya juga rasa cuak jika saya atau keluarga diapa-apakan oleh mereka yang tidak berpuashati. Hanya kepada Allah saya berserah dan memohon perlindungan.

6. Saya juga bimbang untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang walaupun di agensi kami ada Penasihat Undang-undang untuk menanganinya. Siapa yang suka naik turun mahkamah walaupun sebagai saksi kerana ia akan merugikan masa untuk membuat kerja teras kita.

7. Banyak masa saya terpaksa digunakan dalam bentuk mesyuarat, lawatan, surat menyurat dan sebagainya sehingga menggangu tumpuan kepada menguruskan projek-projek lain.

Namun akhirnya, selang beberapa tahun, saya telah bersara dengan selamatnya, projek tersebut berjaya disiapkan dengan sempurna dan pengguna gembira. Cakap-cakap kontraktor serta pelobi yang macam-macam tu semuanya auta belaka  kerana apa yang sebenarnya tidak seperti didakwa. Contohnya, Perdana Menteri tak peduli pun si kontraktor itu kerana dia tak mengambil masa yang lama untuk bersetuju menamatkan kontrak syarikat yang kononnya baik dengan dia. Katanya "kalau dia saman kita, kita lawanlah kat court nanti".

Itu baru karenah kontaraktor bagi satu projek. Ada beratus lagi projek yang saya uruskan. Dan ada pelbagai lagi masalah yang perlu ditangani seperti masalah dengan perunding yang dilantik, masalah dengan kerajaan tempatan, masalah dengan kerajaan negeri, masalah dengan setinggan yang menduduki tanah kita, masalah menghidupkan projek yang dah bertahun-tahun terbengkalai, masalah dengan kontraktor bertelagah dengan perunding, masalah kontraktor mendesak percepat bayaran dan pelbagai macam ragam lagi masalah. Tapi kita dilantik untuk menyelesaikan masalah dan bukannya menambah masalah.  Namun nasib baik bukan semua kontraktor yang menimbulkan masalah. Banyak juga kontraktor menjalankan kerja dengan baik tanpa banyak masalah dan projek dapat disiapkan mengikut jadual atau mendahului jadual serta menepati spesifikasi yang telah dipersetujui. Mereka yang dalam kelompok inilah yang menjadi penawar kepada saya dalam mendepani karenah kontraktor-kontraktor yang bermasalah. Di samping itu saya juga mendapat kerjasama dan sokongan yang baik dari pegawai dan staf di bahagian saya.

Dan tugas menguruskan pelaksanaan projek pembangunan ini sangat memberi kepuasan kerja kepada saya, kerana kita dapat melihat hasil kerja kita dengan mata kepala sendiri. Misalnya bila secara kebetulan saya melalui projek yang tersergam indah yang pernah turut sama menguruskan, dalam hati berkata-kata: "dulu aku terlibat dalam pelaksanaan projek ini". 






Wednesday, January 18, 2017

WW # 147: BLOG MAKIN LONGLAI.


Tuesday, January 17, 2017

DARI GRUP WASAP # 2: KERJA TAK SEMENGGAH.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Banyak anjuran atau larangan dlm al-Quran berbentuk umum. Contohnya ada ayat  larangan yg berbunyi:  "Jgnlah kamu menjatuhkan diri kamu ke dlm kebinasaan" - 2:195.

Bagi kepala batu yg suka buat kerja bahaya spt panjat papan tanda usahlah berhujah dgn berkata: "kita tak berjumpa pun ayat Quran yg melarang memanjat papan tanda".



Monday, January 16, 2017

ENTRI SEMPENA KUNJUNGAN MELEPASI 1.3 JUTA.


 Ini bukan bilangan kunjungan ke blog saya tapi blog Cik Epal.

Petang semalam, blog saya menerima kunjungan yang ke 1.3 juta.  Walaupun bilangan itu sangatlah kecil berbanding bilangan kunjungan yang diterima oleh Cik Epal yang sudah hampir 38 juta (bacaan pukul 7 pagi tadi) namun saya sangat gembira kerana bagi saya jumlah itu sudah dikira ramai. Lagi pun daripada beribu-ribu blog yang wujud di luar sana, masih ada orang yang sudi singgah di blog saya.

Namun jauh di sudut hati, saya merasa sedih kerana ramai rakan-rakan blogger yang dikenal semasa saya mula berjinak-jinak dengan dunia blogging dahulu, sudah tidak lagi aktif atau pun bersara terus dari berblog.

Walaupun demikian saya tetap juga berblog kerana ingin mencari kepuasan dalam menulis kerana kepuasan berblog tidak saya temui di fesbuk, instagram atau pun whatsapp, walapun masing-masing ada kelebihannya. Misalnya kat fesbuk, instagram atau whatsapp mana boleh tulis macam ini.

Terima kasih kepada anda yang sedang membaca entri ini kerana ia bermakna anda juga sedang berkunjung ke blog ini.


p/s: Mula-mula saya bercadang nak buat entri sempena kunjungan yang ke 10 juta, namun setelah berfikir secara realistik, saya lupakan cadangan itu.






Sunday, January 15, 2017

DARI FESBUK # 9: TULAR

Hari ni saya jumpa perkataan "tular" sebagai ganti perkataan "viral". Saya rasa istilah ini sangat sesuai kita gunakan. Sebenarnya kita sudah lama gunakan perkataan "menular" utk penyakit yg berjangkit atau merebak. Perkataan menular itu kata asasnya adalah "tular". Lepas ini mari kita gunakan perkataan "tular" menggantikan perkataan "viral" yang diambil dari Bahasa Inggeris dalam setiap tulisan dan percakapan kita.


....................................................

Sub-Entry: Pengunjung Bulan Lepas.

Saya sudah jarang buat entri akhir-akhir ini. Namun kunjungan makin memberangsangkan. Bulan lalu saya terima 30,740 kunjungan atau kira-kira 1,000 kunjungan sehari.  Ini mendorong saya untuk berusaha lebih kerap membuat entri. Insyaallah. Terima kasih kepada anda semua yang sudi berkunjung samada meninggalkan komen atau sebagai pembaca senyap sahaja.





Walaupun  hanya mendapat kira-kira 1.3 juta pageviews selepas lebih 8 tahun berblog, namun saya tetap gembira kerana saya  berblog pun bukannya sepenuh masa.
,




Saturday, January 14, 2017

BERBAHASA MELAYULAH DENGAN BETUL PADA SETIAP 15HB.


Pada tahun 2011 saya pernah membuat gagasan dalam entri ini menyeru para blogger agar dapat menggunakan Bahasa Melayu dengan betul pada 15hb setiap bulan. Cadangan saya itu telah mendapat sokongan yang agak menggalakkan pada awalnya tetapi setelah beberapa lama ia berhenti begitu sahaja. 

Saya bercadang untuk menghidupkan semula gagasan tersebut mulai esok memandangkan nasib Bahasa Melayu semakin parah akhir-akhir ini.  Moga-moga usaha kecil ini memberi sedikit sebanyak kesan kepada usaha memartabatkan Bahasa Melayu dalam dunia blogging. Kalau tidak kita, siapa lagi? 

Saya salin cadangan tersebut untuk kemudahan rujukan anda seperti di bawah:

"Sehubungan dengan itu saya mohon mencadangkan supaya pada setiap 15hb kita jadikan "HARI BERBAHASA MELAYU DENGAN BETUL". Maknanya kita pastikan tidak membuat entri dengan menggunakan bahasa atau ayat SMS, ejaan Inggeris yang diMelayukan, bahasa 'pasar' dan sebagainya pada setiap 15 haribulan".

Esok adalah 15hb. Oleh itu marilah kita menggunakan Bahasa Melayu dengan betul dalam entri atau komen kita, sekurang-kurangnya pada hari tersebut, agar kita tidak terlupa untuk menggunakan Bahasa Melayu dengan betul apabila diperlukan nanti"

Kepada blogger yang telah sepanjang masa menggunakan Bahasa Melayu dengan betul dalam entri atau komen mereka, entri ini tidaklah berkenaan dan untuk itu saya ucapkan syabas kepada mereka dan silalah teruskan.

Saya mohon mencadangkan. Terima kasih.





Thursday, January 12, 2017

DARI FESBUK # 9 : PERLUKAH PERTANYAAN INI?

Pagi tadi saya buat kisah Lobai Salleh dengan tujuan menyindir wartawan yang bertanyakan soalan yang tak cerdik. Nampaknya ada yang tak berapa dapat tangkap mesejnya. Saya terus terang je lah.

Kerapkali saya mendengar wartawan membuat soalan yang kita dah boleh tahu atau agak jawapannya. Misal.

"Apa perasaan pakcik bila anak pakcik Mohd Faiz berjaya menerima anugerah FIFA PUSKAS AWARD 2016 ini?"

"Apa perasaan kakak bila anak kakak dapat semua A dalam peperiksaan SPM hari tu?"

"Apa perasaan abang bila memenangi hadiah kereta BMW 520i dalam cabutan Sijil Simpanan Premium tempoh hari?"

"Apa perasaan awak selepas terpilih menjuari pertandingan Lawak Solo Mega 2017 peringkat kebangsaan?"

"Apa perasaan adik bila tengok henfon Samsung Galaxy 9 yang baru beli jatuh dalam lombong yang airnya dalam 100 kaki dan banyak buaya ?"

Nasib baik dia tak tanya "Apa perasaan makcik bila dapat tahu suami makcik meninggal dunia kerana nahas jalanraya?"

p/s: Berikut adalah cetakan skrin post kat fesbuk saya yang dimaksudkan.





Wednesday, January 11, 2017

WW # 146: NAMA MALAYSIA JADI PILIHAN UTAMA DI AMERIKA.


Tuesday, January 10, 2017

WAJIB BACA. PETUA NAK TAHU KESAHIHAN SESUATU BERITA.

Cuba anda baca keratan akhbar seperti di bawah. Perasan tak ada benda yang tak kena ?


Gambar saya terima dari rakan grup wasap.

Baru-baru ini saya ada menerima keratan akhbar seperti di atas dari seorang kawan wasap saya. Selepas saya baca sekali lalu, saya terus ketawa kerana mendapati ia palsu dan melucukan. Cuba anda baca sekali lagi. Dapat kesan tak di mana palsu dan lucunya?

Saya percaya dari masa ke semasa anda tentu ada menerima sesuatu cerita atau berita yang dihantar kepada anda melalui grup wasap atau pun membacanya di blog, fesbuk, twitter dsb.  Orang yang menghantarnya pasti ada agendanya yang tersendiri. Jangan kita lekas percaya dan forward kepada orang lain. Selidik dahulu secara cerdik sebelum berbuat demikian. 

Berikut saya berikan sedikit petua untuk kita nak tahu samada berita tu betul, auta atau sekadar melawak.

1. Tengok tajuk. Kalau surat khabar, tajuknya biasa short and precise tak ada panjang berjela. Cuba tengok gambar kat atas. Bukankah tajuk beritanya panjang berjela yang menyimpang dari norma biasa tajuk-tajuk berita dalam akhbar arus perdana?.

2. Tengok teksnya (matan). Selepas baca sekali lalu, segera timbul rasa curiga saya kerana macam tak masuk akal tiba-tiba sahaja Dato' Najib bersetuju berbuat begitu macam orang dah buang tebiat.

3. Tengok tarikh berita. Adakah wujud tarikh sedemikian (misalnya 31hb April); adakah tarikhnya sudah beratus tahun berlalu atau pun tarikhnya pada masa akan datang. Dalam kes di atas, tarikhnya ditulis pada 31 Disember, 3016 iaitu kira-kira 100 tahun dari sekarang. Nampak tak ?

4. Teliti perkataan.  Lihat dengan cermat tulisan atau perkataan yang digunakan samada perkataan yang serius, main-main atau nak melawak. Dalam kes di atas, perkataan yang digunakan adalah "mereput " dan "fakta auta".  Nampak tak? 

5. Search sumber berita. Dalam kes ini sumber berita dikatakan dari Sinar online. Kalau dah search, tak ada berita yang seumpamanya, jangan percaya berita yang kita terima atau baca itu. Saya dah buat search, memang tiada akhbar Sinar membuat cerita sebegitu.

6. Jangan buruk sangka. Orang yang menyimpan buruk sangka dengan seseorang mudah tertarik dan terperangkap dengan berita yg dirasakan cocok digunakan untuk menghentam orang yang tak disukai. 

Selepas berbuat langkah dari 1 hingga 6, kita masih juga merasa was-was, saya cadangkan usah dihantar (forwarad) kepada orang lain supaya kita tidak bersubahat dengan orang yang membuat fitnah dan tak fasal-fasal kita mendapat dosa kering. Apa lagilah kalau kita menokok tambah.

Dalam kes berita yang saya terima itu, saya percaya orang yang bertanggungjawab mengedit atau mengada-ngadakan cerita tu berniat untuk melawak sahaja. Jadi mari kita ketawakan mereka yang sudah terkena. Hahaha.

Sekian. Harap tulisan saya ini ada manfaatnya.

Sunday, January 8, 2017

LOBAI SALLEH PART 8: KENA ULSER.

Haji Dahan: "Kenapa saya nampak lobai moyok je dua tiga hari ni ?"

Mendengar pertanyaan itu, Lobai Salleh terus menjelirkan lidah ke arah Haji Dahan untuk seketika.

Haji Dahan: "Aik .. takkan tanya pun tak boleh?".

Lobai Salleh:  "Aku kena ulser kat lidah .. tak hampak ke?"

Haji Dahan: "Oh I see. Kenapa tak cakap awal-awal?"

Lobai Salleh: 👊👊👊


Nota Kaki.

Siapa Lobai Salleh ni ? Profilnya di sini.




Thursday, January 5, 2017

SONYUM SOKOJAP # 83 : TIGA SAHABAT TERDAMPAR DI PULAU DENGAN SETIN SARDIN.





Tersebutlah kisah seorang ahli perniagaan, seorang ahli politik dan seorang pegawai PTD, terdampar di sebuah pulau. Makanan cuma ada satu tin sardin sahaja tetapi mereka tak dapat nak buka sebab alat pembukanya tidak ada. Maka masing-masing pun mengeluarkan pandangan bagaimana caranya untuk membuka tin sardin itu.

Ahli perniagaan: "Saya sangat yakin mesti ada cara untuk membukanya. Mari kita fikirkan bersama. Bla .. bla .. bla .. ".


Ahli politik: "Saudara-saudara semua sahabat yang saya kasihi sekelian. Dalam suasana begini kita mesti bersatu hati tanpa mengira latar belakang agar apa jua permasalahan yang kita hadapi akan dapat kita atasi bersama dengan jayanya. Bla .. bla .. bla ..".


Pegawai PTD: "Saya cadangkan kita tubuhkan sebuah jawatankuasa ...".


...................................................

Sub-entri: Penghargaan Kepada Tetamu Dari Amerika.

Sejak seminggu dua tiga minggu ini setiap hari saya menerima kunjungan dari pembaca dari Amerika. Saya tidak tahu siapa dia atau mereka kerana tidak ada jejak atau komen yang ditinggalkan. Buat masa ini ia masih misteri. Apa-apa pun sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian anda mengunjungi blog saya ini secara diam-diam. Saya sangat menghargainya.


Cetakan skrin pada 6.33 pagi tadi  yang menunjukan kehadiran pengunjung dari Amerika itu (kecuali seorng dari Malaysia) yang terakam oleh gajet pengesan yang saya pasang di blog saya. Nampaknya setiap entri saya dibaca oleh dia/mereka.
 



Wednesday, January 4, 2017

WW # 145 : BIARLAH GAMBAR (UDANG) BERCERITA.


Tuesday, January 3, 2017

APA SALAHNYA ?


Gambar sekadar hiasan hasil carian di Internet.


Apa salahnya kalau Ling Guan Eng jadi Perdana Menteri Malaysia?
Sedangkan Obama pun boleh jadi presiden Amerika.

Apa salahnya kalau Bahasa Inggeris jadi bahasa rasmi negara?
Bahasa Malaysia pun bukan boleh bawak kita pergi ke mana.

Apa salahnya kalau kita buat tunjuk perasaan hari-hari?
Bukankah negara kita mengamalkan demokrasi.

Apa salahnya kalau pagi petang kita makan french fries?
Makan nasi pun belum tentu jadi pandai.