Gambar Hiasan Semata-Mata - Jangan Tangkap Saya !
Petang tadi saya berbuka puasa kat surau. Nasi Arab, lauk kambing. Sesekali bertukar rasa, sedap juga. Tapi saya makan tak banyak. Bila kenyang, saya akan berhenti ! Lepas tu ada majlis khatam Quran. Harap2 tak lah khatam terus, sampai Ramadhan tahun depan. Jemaah boleh tahanlah juga ramainya. Mungkin kerana tarikan nasi Arab kot.
Bila Ramadhan masuk ke minggu terakhir ni, banyak tempat yang bertambah sesak seperti shopping complex, stesyen bas, bank, nafas dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu banyak juga benda juga yang bertambah luas, lapang dan besar. Antaranya masjid dan surau bertambah luas. Dulu tak cukup tempat, sekarang walaupun datang lambat boleh dapat saf depan sekali. Tempat letak kereta pun begitu. Mula-mula puasa dulu, bersempit-sempit nak parking kereta, sekarang boleh parking sesedap rasa. Seluar pun sama, sekarang semakin besar. Sampai kena buat lubang tali pinggang baru.
Masuk cerita sembahyang Terawih pula. Oleh kerana ia hanya dilakukan di dalam bulan Ramadhan, setahun sekali, ditambah pula dengan mata mengantuk, badan pun letih, fikiran pun melayang-melayang, maka macam-macam kejadian lucu dapat saya perhatikan semasa mengerjakan sembahyang itu.
Untuk makluman, di surau taman saya, sembahyang sunat Terawih dikerjakan 8 rakaat sahaja campur sunat Witir 3 rakaat dengan 2 kali salam.
Kes 1.
Bila habis 4 rakaat pertama, Imam akan baca doa. Tapi ada sorang itu, dia terus bangun sebelum Imam baca doa lagi. Orang lain semuanya masih duduk. Dia buat-buatlah luruskan pinggang dia sementara menunggu orang habis berdoa. Nak duduk semula, segan agaknya !
Kes 2.
Ada satu orang tu, selepas sujud rakaat kedua, dia pun terus bangun. Dia ingat baru rakaat pertama. Baru sekerat jalan, dia tersedar orang lain semuanya duduk untuk bertahayat akhir. Dia cepat-cepat turun semula. Lepas salam dia tak toleh kiri kanan sampailah selesai solat.
Kes 3.
Ada orang tu, lepas sujud rakaat pertama dia pun duduk macam orang nak baca tahayat akhir. Dia ingat dah rakaat kedua. Bila dia lihat semua orang bangun dia pun bangun. Tapi punyalah payah nak bangun sebab kaki dia dah siap berlipat. Saya pernah sekali nyaris-nyaris terbuat macam ni.
Kes 4.
Ada sorang tu, lepas je imam baca Qulhuallah dalam sunat witir yang terakhir, dia teruskan turun tangan nak sujud sedangkan imam nak baca dua surah lagi iaitu Surah Al-Falaq dan Surat An-Nas. Mahu tak mahu dia teruskan tangan dia kat bawah sampai imam habis baca 3 surah tu.
Kes 5.
Ada sorang tu, betul2 sebelah kiri saya tadi, lepas je tegak dari rukuk dalam sunat witir yang terakhir dia terus nak sujud sedangkan Imam nak baca doa Qunut. Bila dia perasan orang lain masih berdiri tegak, dia cepat-cepat bingkas macam spring tegak semula. Nasib baik belum sujud. Kalau tidak, kau sujudlah sorang-sorang.
Kes 6.
Kat surau saya, sekali sekala ada tazkirah selepas habis terawih 4 rakaat pertama. Ada orang tu, tak tahu ada tazkirah. Habis je imam baca doa, dia terus berdiri. Bila dia lihat orang lain duduk, dia pun terpinga-pinga. Akhirnya bila dia lihat Ustaz mengambil tempat untuk memberi tazkirah dia pun cepat-cepat duduk sambil mengibas dada dengan tangan macam nak bagi tahu kononnya dia panas.
Faham tak cerita saya ni ?
Itu yang dapat saya perhatikan dalam jemaah lelaki. Saya tak tahu adakah ia juga berlaku kepada jemaah wanita.
*Tentu sekali anda ada pengalaman yang melucukan. Bolehlah kongsi bersama !
.............................................................................................
Sub-Entri.
Baru2 ni saya tak datang ke surau beberapa malam sebab pergi bertugas ke luar daerah. Bila terserempak dengan Imam, dia pun menegur saya:
"lama tak nak nampak Hj"
"mana nak nampak .. tuan Imam jarang-jarang datang ke surau " jawab saya bergurau.
Kemudian kami pun sama-sama tergelak.
.