Friday, April 24, 2009

"ISTERI SAYA TIDAK BEKERJA! "

"Isteri saya tidak bekerja". Itulah jawapan yang biasa kita dengar dari seorang suami bila ditanya pekerjaan isterinya - kalau isterinya hanya seorang suri rumah sahaja.

Tetapi soalnya apakah tepat kenyataan itu jika seorang isteri yang menjadi suri rumah itu, dikatakan tidak bekerja. Tentulah tidak, kerana isteri yang dikatakananya tidak bekerja itu tersangat banyak kerjanya dari memasak, mengemas, membasuh, menguruskan anak-anak dan sebagainya.

Saya tahu apa yang dimaksudkan isteri yang tidak bekerja itu adalah isteri yang tidak bekerja makan gaji atau tidak menjalankan perniagaan sendiri. Maknanya isterinya hanyalah seorang suri rumah tangga sahaja.

Kalau begitu kenapa tidak dikatakan saja "isteri saya adalah seorang suri rumah tangga" kerana kenyataan "isteri saya tidak bekerja" itu bagi saya amat mengelirukan. Istilah "suri rumah tangga" itu saya rasa lebih sesuai, adil dan mengangkat darjat dan meletakkan martabat seorang isteri di tempat yang sebenar dan selayaknya. Bahkah isteri yang hanya menjadi suri rumah itu, lebih banyak dan berat kerjanya kerana waktu kerjanya adalah 24 jam sehari sampai bila-bila tanpa ada cuti sakit, cuti rehat, KWSP, pencen, bayaran kerja lebih masa dan sebagainya sepertimana yang dinikmati oleh "isteri yang bekerja".

Tetapi bagaimana halnya kalau suami pula yang tidak bekerja? Mungkin ada benarnya kalau isterinya berkata "suami saya tidak bekerja" kerana suami yang tidak bekerja itu kadang-kadang benar-benar tidak bekerja !

.