Thursday, August 10, 2017

MARI BERMAIN SMS 12 - JKKK.


Kali terakhir kita bermain SMS adalah pada 27 Disember 2016 dengan akronim SPAD.  Apa itu SMS? Entri mengenai sejarahnya ada di sini Diam tak diam rupanya sudah lebih 6 tahun usia permainan ini

Pada entri yang lepas cuma ada 3 penyertaan sahaja. Jadilah. 

Namun begitu ketiga-tiga penyertaan tersebut adalah menarik hati seperti berikut :


  1. S= Suka
    P= Pandang
    A= Anak
    D= Dara



  2. Saya
    Pantang
    Ada
    Duit

  3. Saya
    Pandai
    Adun
    Donat

Kali ini sekali lagi saya ingin mencabar minda anda untuk memberi akronim JKKK  pula. Saya percaya semua orang tahu maksud JKKK iaitu Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Seperti biasa saya mulakan dulu.

JKKKJIWAKU KACAU KERANA KAMU

Jika sudi dan ada idea, bolehlah anda sambung pula. Terima kasih.



Saturday, August 5, 2017

PANDUAN RINGKAS TENTANG CARA-CARA MENGARANG PANTUN.

Entri ini di buat berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya sahaja dan bukanlah tulisan yang ilmiah. Kalau ada kekurangan harap maafkan dan silalah beri komen yang membina. Saya juga sedar tidak ramai orang berminat untuk membacanya. Tak mengapalah.

Setiap pantun samada ia pantun dua kerat, empat kerat atau enam kerat, mesti ada pembayang dan maksud. Untuk lebih jelas, perhatikan contoh pantun berikut:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Pantun tersebut adalah pantun empat kerat. Rangkap pertama dan kedua pantun tersebut iaitu "kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi" adalah pembayang. Maksudnya pula adalah "kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi".

Pembayang adalah klu (clue) ke atas maksud yang ingin disampaikan. Sesuai dengan istilahnya, pendengar yang arif sudah boleh meneka maksud sesuatu pantun hanya dengan mendengar pembayangnya sahaja. Oleh hal yang demikian, pembayang yang baik haruslah boleh memberi bayangan kepada maksud yang ingin disampaikan, bukannya memberi gambaran yang salah.

Kalau maksud pantunnya sedih, pembayangnya pun harus sedih. Kalau maksudnya negatif, pembayangnya juga harus negatif, dan begitulah seterusnya. Lihat sahaja pembayang pantun di atas. "Kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi" memberi erti bahawa kita hanya boleh berjumpa kalau umur kita sama-sama panjang. Kalau dah meninggal, mana dapat berjumpa lagi.

Begitulah keadaannya dengan sumur (perigi). Kalau masih ada lagi sumur tersebut, maka bolehlah kita menumpang mandi. Kalau sumur tersebut sudah tidak ada lagi, maka tidak dapatlah kita hendak menumpang mandi lagi.

Alangkah cantiknya pembayang pantun tersebut yang dicipta oleh nenek moyang kita dahulu yang walaupun mungkin tidak bersekolah tinggi atau mungkin juga tidak bersekolah langsung, tetapi mempunyai ketajaman dan kebijaksanaan dalam menggubah pembayang yang begitu berseni, berkesan dan bermakna.

Cuba pula kita lihat pembayang yang saya rasa tak berapa cantik. Ia telah digubah oleh orang sekarang yang kalau tidak silap saya, pernah dinyanyikan oleh sebuah kumpulan nasyid sedikit masa dulu:

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Nampak tak maksud pantun dengan pembayangnya yang macam bertentangan. Pembayangnya membayangkan perkara yang elok-elok iaitu menceritakan tentang sepohon kayu yang mempunyai daun yang rimbun serta bunga dan buah yang lebat. Manakala maksudnya pula bertentangan iaitu mencela orang yang tidak sembahyang iaitu mereka yang mempunyai sifat yang tidak elok walaupun dikurniakan nikmat umur yang panjang.

Seterusnya saya akan bincangkan pantun dari aspek penyusunan rima pula. Berbanding dengan mencipta pembayang, menyusun rima adalah agak mudah sedikit.

Lihat contoh pantun yang mempunyai rima yang baik.

Rangkap 1. Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Rangkap 2. Gunung Daik Bercabang Tiga
Rangkap 3. Hancur Badan Di Kandung Tanah
Rangkap 4. Budi Yang Baik Di Pandang Juga.

Tumpukan kepada perkataan-perkataan yang diwarnakan.

Perkataan berwarna di rangkap 1 sama bunyinya dengan perkataan berwarna di rangkap 3. Pandan dengan Badan, Tengah dengan Tanah. Begitu juga perkataan yang berwarna  di rangkap 2 dengan rangkap 4, Daik denga Baik dan Tiga dengan Juga.

Lihat pula contoh rima yang tak cantik.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Bukankah jauh lari bunyi perkataan kayu dengan hidup dan bunganya dengan sembahyang

Begitulah sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenainya menggubah pantun.

Nota kaki: Entri ini saya salin dari entri asalnya di sini.


Thursday, July 27, 2017

SEPULUH UNGKAPAN YANG MUDAH DIUCAPKAN.

Antara ungkapan yang senang nak diucap tapi bukan senang nak dibuat adalah:

1. Lupakan saja dik.
2. Bersabarlah bang.
3. Redha je lah kak.
4. Maafkan je lah pakcik.
5. Halalkan saja makcik.
6. Buang yang keruh, ambil yang jernih saudara.
7. Bertolak ansurlah kawan.
8. Fleksibellah sikit ustaz.
9. Rilekslah bro.
10. Kembalilah kepada Al-Quran dan Hadis wahai sahabat.

 Siapa nak tambah, silakan !

Monday, July 24, 2017

SAYA TAK SETUJU DAP DAN PAS MASUK BN.


Party fo All - The Star, 25/5/2013.

BN menang lagi. Umum mengetahui kerajaan BN sudah ada pengalaman memerintah tanpa pernah putus sejak merdeka. Cuma namanya bertukar dari Parti Perikatan (dengan lambang kapal layar)  kepada Barisan Nasional dengan pertambahan parti-parti yang menganggotainya. Samada prestasinya selama ini bagus atau tidak, terpulang kepada persepsi masing-masing. Namun begitu dari segi pengurusan sesebuah negara ia tidak berapa sihat kalau ia terlalu kuat kerana seperti mana perbilangan orang putih -  'power corrupt - absolute power, corrupts absolutely'

Sekarang ada cakap-cakap untuk membawa DAP dan PAS menganggotai BN. Saya tidak berapa setuju kerana ia seolah-olah mahu membunuh Pakatan Rakyat. Bagi saya  kewujudan Pakatan Rakyat adalah baik dari segi 'check and balance' supaya kerajaan yang memerintah tidak leluasa tetapi sebaliknya sentiasa berhati-hati kerana ada pihak yang memerhati dan akan menegurnya samada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Kalaulah semua parti yang ada bergabung dibawah payung BN, maka akan menjadilah Malaysia ini sebuah negara macam Korea Utara. Bagi saya itu adalah langkah ke belakang.

Seperkara lagi saya rasa kewujudan PR telah dapat mengawal suhu kemarahan orang-orang Melayu UMNO kepada DAP. Cuba bayangkan kalaulah DAP secara bersendirian tanpa bergabung dengan parti2 lain dalam PR, berjaya menakluk Johor atau Melaka sebagai tambahan kepada Pulau Pinang dalam PRU baru-baru ini, besar kemungkinan peristiwa 13 Mei akan berulang jika ada pihak yang cuba mengapi-api atau menangguk di air keruh. Oleh kerana pelbagai bangsa ada dalam Pakatan Rakyat, maka faktor keberadaan orang Melayu dalam PR sendiri telah menghalang kemungkinan pergaduhan antara kaum. Apa yang terjadi adalah pergaduhan antara parti BN dan PR yang mana sama-sama di dalam parti tersebut ada pelbagai kaum. Ini adalah suatu yang sangat baik dan sihat.

Oleh sebab itu saya tidak setuju kalau DAP atau PAS masuk BN sebagaimana disarankan. Biarlah mereka memainkan peranan sebagai pembangkang bersama sekutunya.  

Sebelum pilihanraya ramai pemimpin dan calon yang berkata "saya percaya rakyat bijak membuat pilihan dan tidak mudah tertipu". Sekarang rakyat telah membuat pilihan, mengapa pulak sekarang mereka mengatakan rakyat tidak bijak atau telah tertipu ? Sudah tidak percaya?

Kad pengundi - 1959. 

Nota kaki: Ini entri tertangguh yang saya deraf pada tahun 2013 setelah selesai PRU yang lalu. Saya tidak tahu mengapa saya tidak poskan semasa itu. Tapi pendirian saya tetap sama sepertimana yang tertulis di atas.

 

Thursday, July 20, 2017

DARI FESBUK # 16: KISAH ORANG DENGAN LUBANG.



Tuesday, July 18, 2017

TERKENANG SEMASA DULU - 95 : BENDA-BENDA BARU JUMPA DI USA.

Saya bertugas di Kedutaan Malaysia di Washington D.C sebagai Atase Pelajar dari tahun 1981 hingga 1984. Pada tahun 1981 itu saya baru berumur 27 tahun dan baru 3 tahun berkhidmat dengan kerajaan. Kata orang, darah baru setampuk pinang dan umur baru setahun jagung. Jadi banyaklah benda-benda baru yang saya temui, pelajari dan kagumi semasa berada di sana pada masa itu kerana benda-benda itu belum ada lagi di Malaysia atau berbeza dengan yang ada di Malaysia. Saya ringkaskan sahaja.

1. Salji.

Sudah tentulah benda ini tidak ada di Malaysia sampai bila-bila kecuali Allah menetapkan sebaliknya. Kebetulan saya sampai di sana di musim sejuk awal bulan Disember. Selang beberapa minggu saya sudah bertemu salji buat kali pertama. Masa salji turun saya sedang berada di pejabat. Yang lucunya bila saya melangkah keluar pintu pejabat untuk balik ke rumah, saya terus menggolongsor dan jatuh terduduk kerana  kasut yang saya pakai adalah kasut Johnson dari Malaysia yang licin tapaknya, tak sesuai untuk berjalan dalam salji.


Gambar 1: Anak sulung saya bermain salji di depan rumah sewa saya.

2. Pemanduan sebelah kiri.

Stereng kereta berada di sebelah kiri dan kita memandu di sebelah kanan jalan. Sangat kekok mulannya. Lama-lama biasa. Masalah baru timbul bila saya beli sebuah kereta berstering di sebelah kanan kerana kereta itu saya ingin bawa balik ke Malaysia. Semuanya kena selaraskan semula. Agak kekok juga tapi bukanlah masalah besar sangat. Cuma stereng kereta posmen sahaja di pasang sebelah kanan, untuk memudah dan mempercepatkan urusan mereka mengambil surat.


 Gambar 2: Kereta pertama saya pemanduan sebelah kiri jenama Ford Mercury. Saya beli murah je dari kedai kereta terpakai.
 
3. Kad ATM bank.

Penggunaak kad ATM sudah meluas. Kita boleh keluarkan wang dimana-mana bank yang ada kerjasama, tanpa sebarang caj tambahan.

4. Peti surat kat pintu.

Peti surat kita terlelekat atau tergantung kat pintu rumah. Kalau kita nak poskan surat, boleh masukkan kat situ dan posmen akan ambil untuk diposkan. Mudahkan. Mungkin tidak begitu bagi mereka yang tinggal di kondo atau apartmen.

5. Tiada pakaian seragam sekolah.

Murid-murid dari sekolah rendah lagi, bebas memakai pakaian sendiri. Tiada pakaian seragam sekolah.

6. Beli surat khabar layan diri.

Ambil surat khabar dari kotaknya dan masukan bayaran sepatutnya. Kalau nak ambil berapa banyak pun boleh kerana tak ada siapa yang kawal. Kawalannya hanyalah kejujuran. Ada juga tempatnya beli buah epal, letak duit secukupnya dan ambil buah. Tuan punyanya tak nampak batang hidung.

7. Suis petik ke atas. 

Bila kita nak nyalakan lampu, kita buka suis lampu tapi kena petik ke atas tak macam tempat kita, petik ke bawah. 

8. Tiada pagar dan jeriji.

Rumah sewa saya dan juga semua rumah di kampung saya tinggal, tidak berpagar dan rumah pulak tiada dipasang jeriji samada pada pintu atau tingkap. Saya duduk tiga tahun di rumah yang sama, tiada sekalipun berlaku kes pecah rumah. Entri ini adalah berkaitan.


Gambar 3: Semasa menunggu kawan nak ambil pergi pejabat. Lihatlah tingkap yang tidak berjeriji. 

9.  Semua bas sekolah di cat sama.

Semua bas sekolah di seluruh Amerika dicat dengan warna yang sama seperti warna cat pada bas sekolah kita sekarang.
 
10.  Beli guna chek atau  kad kredit. 

Boleh keluarkan chek lebih dari harga barang yang dibeli dan kedai akan pulangkan bakinya masa tu juga. Contohnya kita beli barang USD12 tapi kita tulis cek USD20, pihak kedai terus pulangkan bakinya USD8 lagi dalam bentuk tunai. Penggunaan kad kredit juga sangat meluas. Hinggakan kita beli ikan beberapa ringgit pun boleh guna kad kredit. Bahkan teksi juga menerima dan menggalakan penggunaan kad kredit untuk kurangkan risiko kena rompak.


Gambar 4: Terperanjat juga mulanya bila beli ikan, ketam dan udang boleh guna kad kredit. (Maaf - gambar kitar semula)

11. Pulang barang dapat wang.

Kalau kita beli barang, kemudian setelah beberapa hari kita pulangkan kerana sebab tertentu. Tuan kedai akan pulangkan duit masa itu juga tanpa bertanya sebarang soalan. 


Gambar 5: Makngahnya berbelanja di salah sebuah pasaraya yang sering kami kunjungi. 
 
12. Sale tak ada gimik.

Kalau kita datang kedai yang buat sale, dan barang yang diiklan sudah habis, pihak kedai akan beri kita satu surat perakuan. Bila barang sampai, dia akan telefon kita suruh kutip. Tiada istilah "sehingga kehabisasan stok" di sana.

13. Ketepatan waktu.

Orang di sini sangat mementingkan ketepatan waktu samada untuk temujanji, ketibaan keretapi bahkan juga bas.


Benda-benda tersebut sekarang sudah tidak asing lagi di tempat kita (macam kad ATM) tapi bagi saya ia adalah satu kemudahan atau benda baru pada masa itu. Tetapi mungkin juga ada perkara-perkara yang patut kita pelajari (misalnya perkara 11, 12 dan 13) di atas untuk diamalkan di negara kita.




 

 

Monday, July 17, 2017

ADAKAH INI SALAH SATU PUNCA KEMALANGAN DI LEBUHRAYA?

Selalu sangat kita dengar berita kemalangan di lebuhraya khasnya PLUS, yang berpunca dari kenderaan terlanggar pembahagi jalan. Saya rasa salah satu sebabnya kerana pembahagi jalan tu terlalu hampir dengan jalan. Kalau ruang antara jalan dengan pembahagi jalan terlalu hampir, mungkin kira-kira sekaki sahaja, tentulah mudah untuk terlanggarnya jika kita terbabas walaupun sedikit sahaja disebabkan terbersin atau terleka seketika misalnya.



Gambar 1: Saya jumpa gambar ini melalui carian Google. Saya tak tahu di mana tempat ini. Tetapi cuba perhatikan jarak antara jalan dengan pembahagi atau penghadang jalan itu. Bukankah terlalu hampir?


Gambar 2: Gambar ini saya ambil dari dalam bas semasa lawatan saya ke Guangzhou pada tahun 1981. Lihat betapa lebarnya pembahagi jalan itu. Kalau kita terbabas sikit, masih ada ruang lagi untuk mengambil tindakan memberhentikan kereta di atas pembahagi jalan itu. 

Memanglah ajal maut itu takdir Ilahi, tapi kita sebagai manusia yang berakal, haruslah berikhtiar mengatasi atau mengurangkannya kemungkinan yang tidak diingini itu. Akan tetapi jika dilebarkan ruangan pembahagi jalan ke suatu jarak yang munasabah, saya sedar ia sudah tentu akan meningkatkan kos pembinaan atau penyelenggaraannya.


Thursday, July 13, 2017

GERAM DENGAN ORANG YANG JAWAB APA YANG DIA TAHU.


 Imej hasil carian Google.

Kadang-kadang geram juga dengan orang yang tak jawab apa yang kita tanya tapi jawab apa yang dia tahu atau apa yang dia ada.

Contoh.

Kita tanya: "Tahu tak kat mana rumah lobai Salleh?"
Dia jawab: "Tak tau. Rumah Haji Dahan kita taulah".

Kita tanya: "Boleh pinjam cangkul tak?"
Dia jawab: "Cangkul tak ada. Gergaji ada".

Kita tanya: "Awak pernah tak pergi Mongolia?"
Dia jawab: :Tak pernah lagi tapi negeri Jordan, dah".

Kita tanya: "Ada nampak imam Jumali tak?"
Dia jawab: "Tak nampak pulak. Malam tadi ada".

Kita tanya: "Nasi dah masak lom?" 
Dia jawab: "Belum. Lauk dah"

Sekadar memberi beberapa contoh. Saya pun kekadang jawab macam tu jugak. Agaknya tentulah bengang orang yang dengar jawapan saya itu.


Tuesday, July 11, 2017

DARI FESBUK # 15: MACAMANA NAK TAHU NAMA ?


Monday, July 10, 2017

ANTARA PUASA ENAM DENGAN JEMPUTAN KENDURI.




Katalah hari ini last bulan Syawal dan kita pulak last Puasa Enam. Esok dah masuk bulan Zulqaedah. Masalahnya hari ini kita ada jemputan kawin. Habis nak buat macam mana? Nak pergi penuhi jemputan atau tidak?  Dalam hal ini kita ada dua pilihan.

1. Hadir jemputan dan tak perlu makan kerana menunaikan jemputan itu hukumnya wajib tetapi makan tak wajib, atau

2. Hadir jemputan dan makan kerana Puasa Enam tu hanyalah sunat. Kalau berpuasa tidak penuh enam hari, kita tidak berdosa. Bahkan kalau tak puasa langsung pun, tidak berdosa. Tapi kita sangat rugilah kerana ganjarannya sangat besar.

Namun begitu, pilihan 1 adalah lebih baik.

Satu lagi. Bila kita sudah habis berpuasa enam, jangan pulak kita kata besok nak raya Puasa Enam. Ini kerana hari raya dalam Islam hanya ada dua sahaja iaitu Hari Raya Idulfitri dan Hari Raya Iduladha. Kalau kita kata begitu, bimbang akan timbul kekeliruan kepada anak-anak kita yang masih kecil atau orang yang baru memeluk Islam seolah-olahnya ada tiga hari raya dalam Islam. Walaupun kita tidak berniat begitu, cuma nak menyatakan bahawa kita sudah selesai satu tuntutan ibadah, tetapi lama kelamaan kalau tidak diperbetulkan ia mungkin boleh jadi satu amalan bidaah.

Allahhua'lam.

    

Sunday, July 9, 2017

TERKENANG SEMASA DULU - 94: RAYA DI SARAWAK - 1981.

Menyambut hari raya puasa di Sarawak (Kuching) semasa saya bertugas di sana (1980-81) memang sangat meriah. Boleh dikatakan setiap rumah dihiasi lampur lip-lap (neon) menjelang akhir Ramadhan. Seolah-olahnya setiap rumah tidak mahu ketinggalam menghias rumah dan kawasan rumah masing-masing dengan lampu dan juga pelita minyak tanah. Saya masih terbayang di mana ada rumah yang sampai memasang lampu di pokok buah-buahan yang terdapat di laman rumah mereka. Memang happening kata bebudak sekarang.

Pada pagi raya sebaik selesai solat sunat idulfitri, kami dalam satu grup akan bergerak ke rumah rumah kenalan dan rakan sekerja. Seboleh-bolehnya kita akan berkunjung ke setiap rumah kenalan kita walaupun sebentar. Makanan tidak begitu penting. Yang pentingnya kita singgah di rumah mereka.Terasa ukhuwah dan kemesraan di antara kita.

Berikut saya tunjukkan beberapa keping gambar suasana hari raya dan juga sekaligus memperlihatkan keadaan kampung dan rumah orang di sana pada ketika itu. Sekarang keadaan tentulah sudah tidak serupa itu lagi. 


Gambar 1:  Kelihatan titi yang menghubungkan rumah ke rumah. Bila air pasang, air laut akan masuk ke dalam parit atau sungai di bawah titian itu.
 

Gambar 2: Mod perhubungan masa itu di perkampungan dipersisiran adalah menggunakan perahu menyuusuri sungai seperti yang kelihatan di belakang saya.


Gambar 3:  Rombongan kami bergambar di pintu masuk sebuah kampung. Kelihatan tulisan selamt hari raya dalam khat jawi.


Gambar4: Kelihatan dalam gambar ini rakan-rakan keturunan China dan Kelabit turut sama berkunjung ke rumah rakan sekerja.



Gambar 5: Rakan sekerja yang berkunjung ke rumah sewa saya. Kehadiran mereka menghilangkan kesedihan kami menyambut hari raya di rantau orang.


Gambar 6: Kalau tak silap baju raya yang saya pakai tu adalah baju yang saya pakai semasa akad nikah pada tahun sebelumnya. Tak mampu nak tempah baju baru.

Kini semuanya tinggal kenangan yang sangat indah. Kenangan itu tidak mungkin dilupakan,  tambahan pula anak sulung saya lahir di sana yang akan sentiasa mengingatkan saya kepada negeri Sarawak.


Thursday, July 6, 2017

A.K.U K.E.L.I.R.U # 35 : BERUBAH 360° ?

Acap kali saya dengar orang cakap, "tak sangka dia dah berubah 360° sekarang". Ikut pemahaman saya, kalau berubah 360° tu, bererti dia kembali ke titik asal. Maknanya kalau dulu dia hisap candu, kini dia kembali menghisap candu.

Tak gitu ?

Wednesday, July 5, 2017

WW # 153: KENDURI AQEQAH CUCU SAYA - 2/7/17.






Tuesday, June 27, 2017

KISAH SAYA MELAWAT KENALAN YANG KENA STROKE.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Di penghujung puasa baru-baru ini, selepas solat 'Asar terus dari surau, saya mengunjungi seorang kawan yang kena stroke di rumahnya. Saya lebih tua 10 tahun darinya.

Saya perhatikan dia bersusah payah untuk bangun dari kerusi yang didudukinya sebaik melihat saya memasuki perkarangan rumahnya. Masa itu dia duduk melayan beberapa orang tetamu lain yang saya kenali di meja luar rumahnya.

 "Saya suka sangat bila haji datang" terpacul kata-kata dari mulutnya yang senget sebelah sambil merangkul saya. Saya dapat kesan suaranya sedikit bergetar dan kelihatan air matanya menitis. Entah mengapa air mata saya juga turut menitis.

Kemudian saya bertanya khabarnya sambil saya melabuhkan punggung di kerusi yang tersedia. "Ada sikit improvement", dia menjawab dengan suara yang tersangkut-sangkut yang agak sukar untuk saya fahami. Tetiba rasa bersalah menyelinap dalam benak saya kerana tidak segera menzirahi dia sebaik mendapat tahu akan nasib yang menimpanya. Saya juga tidak menyangka yang dia begitu gembira menerima kunjungan saya kerana kami pun berkawan biasa-biasa sahaja.

Seterusnya dia rancak menceritakan rutin hariannya sejak ditimpa sakit serta ubat-ubatan dan rawatan yang telah dan sedang dilaluinya. Saya mendapat maklum bahawa tidak sedikit wang yang terpaksa dibelanjakan dan pengorbanan ahli keluarga yang menjaganya.

Selepas beberapa ketika saya pun beredar kerana waktu untuk berbuka pun sudah hampir dan berazam untuk mengunjunginya lagi.

Pengajaran:

1. Jangan bertangguh melawat kenalan yang sakit.
2. Insafi dan syukuri kesihatan yang sedang kita nikmati.
3. Sakit tidak menanti tua. 




Thursday, June 22, 2017

DARI FESBUK # 15: ADA KE PATUT DIA ORANG KATA JANGAN MENYIBUK ?


Monday, June 19, 2017

ANTARA PERKARA YANG KITA BIASA TANYA MAK.


Tangga nak simpan kat mana? - tanya mak.
Nak beli baju warna apa? - tanya mak.
Yang ini baja buah ke baja pokok? - tanya mak.
Boleh tak kari ayam campur tembikai? - tanya mak.
Nak masak nasi berapa pot? - tanya mak.
Kain jenis apa yg tak kecut? - tanya mak.
Tuisyen Ucu hari Sabtu pukul berapa? - tanya mak.
Blender simpan kat mana? - tanya mak.
Baju ni kalau rendam boleh bubuh clorox tak? - tanya mak.
Perut Iris kembung nak buat camana? - tanya mak.
Sabun mandi ada lagi tak? - tanya mak.
Siapa tahu nombor ic ayah? - tanya mak.
Siapa nampak alat penimbang? - tanya mak.
Semua nak tanya mak. 
Nasib baik tak tanya mak cara-cara nak bernafas.


Tuesday, June 13, 2017

DARI FESBUK # 14: HABIS NAK BELI APA ?


Monday, June 12, 2017

INGAT MENGINGAT ANTARA SUAMI ISTERI BOLEH TIMBULKAN MASALAH.



 Gambar hiasan hasil carian Google. 

Kadang-kadang tak elok juga kalau kita sebagai suami isteri sering ingat mengingat antara satu sama lain.

Contoh. Isteri masukkan kueh agar-agar yang belum sempat kita makan kedalam peti ais, lalu kita protes. Dia pun jawab, "saya INGAT awak dah makan".

Contoh lain. Kita cadang nak makan buah harumanis, tapi dah habis dia makan. Kita protes. Dia jawab, "saya INGAT awak tak gemar"

Contoh satu lagi.  Kita tengah baca kitab, tetiba isteri padamkan lampu. Kita  protes. Dia pun jawab, "saya INGAT awak dah tidur"

Tapi boleh tak kalau suami kawin satu lagi dan bila isteri protes, kita jawab "saya INGAT awak tak marah?"

ENTRI FASAL DRAF ENTRI.

Semakan terbaru yang saya buat didapati masih ada sebanyak 456 draf entri saya yang masih terperam. Saya buat semuja entri ini sejak beberapa tahun lalu, semasa semangat berblog tengah berkobar-kobar. Rasa sayang pulak nak buang. Walaupun sebahagian daripadanya saya dapati sudah tidak relevan dengan keadaan semasa tetapi banyak juga yang masih boleh dipakai. Jadi saya gigihkan diri melawat dan mengubahsuai mana-mana entri yang saya fikirkan boleh diselamatkan untuk siaran.

Selepas habis semua draf entri lama tersebut tersiar nanti, besar kemungkinan saya akan bersara dari berblog kerana berblog sudah trending lagi sekarang. Tambahan pula kebanyakan kengkawan blogger sudah berpindah ke medium fesbuk, instagram, wasap atau bersara terus dari semuanya.




Akhirnya terimalah serangkap pantun lama dari saya.

Intai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami sementara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Saya ubah sikit maksud pantun tu kepada "sementara nampak"  kerana saya tak faham maksud "antara nampak" dalam rangkap asalnya.

Nota kaki: Ini adalah entri melekat. Sila skrol ke bawah untuk membaca entri baru.

Thursday, June 8, 2017

TAHFIZ DIBUANG ?


"Tahfiz dibuang".  Begitulah tajuk akhbar muka depan Berita Minggu keluaran 23 Mei 2010. Siapa yang membuang ? Kenapa dibuang ? Kemana dibuang?


Siapa yang membuang ?  Oleh anak atau saudara-mara mereka ? 
Kenapa dibuang ?  Kerana menyusah, menyemak, menggangu, menyibuk, balas dendam ?
Kemana di buang ? Hospital, rumah orang-oran tua, tepi jalan ?

Sampainyalah hati buat begitu.

Minta maaf kerana saya nak ulang-tayang gurindam di bawah yang pernah tersiar di sini suatu masa dulu.

INGAT TAK DULU-DULU ?


Kau tahu tak dulu-dulu?
Aku yang menyuap nasi ke mulut mu
Sebelum kau pandai mengais
Kini kau anggap ku bagai pengemis
Aku bukan lagi orang pertama yang kau tuju
Kerana dari ku tiada apa lagi yang kau perlu
Hibanya hati tuhan sahaja yang tahu.

Kau ingat tak dulu-dulu?
Masa kau belajar bertatih
Rebah mu sentiasa ku sambut
Aku yang merawat luka mu di lutut
Kini kau sudah pandai berlari
Diri ku sudah tidak kau toleh lagi
Pedihnya hati ini tidak terperi.

Kau sedar tak dulu-dulu ?
Kau sering sahaja terkeliru
Antara rama-rama dan kupu-kupu
Lalu bertanya bertalu-talu
Aku tidak pernah jemu-jemu
Memberitahu mu yang mana satu
Tetapi kini kau sudah serba tahu
Aku hanya penyibuk masa senggang mu.

Sayap mu kini sudah berbulu penuh
Kau ingin terbang dan lari jauh-jauh
Air mata ku sudah tiada lagi untuk jatuh
Apa daya ku untuk menghalang
Kini diri ku ibarat melukut di tepi gantang
Sampainya hati mu diri ku kau buang.

Akan ku bawa diri ini mencari daerah yang baru
Moga-moga ada damai yang menanti di situ
Dan dari kejauhan ini ketahuilah wahai anakanda
Aku akan menjadi pemerhati yang tidak pernah alpa
Penyelamat yang yang sentiasa waspada
Dan penunggu yang teramat setia.

Dan seandainya nanti kau terluka
Carilah dan datanglah kepada ku tanpa ragu
Aku pasti akan menyambut dan merawat mu seperti dulu-dulu
Kerana sesungguhnya kau tetap anak ku .. darah daging ku !

 
Nota kaki: Entri  sudah lebih 7 tahun tertangguh tapi isinya masih lagi relevan.

Monday, June 5, 2017

SONYUM SOKOJAP # 85: IFTAR KAWAN SAYA.



Gambar hiasan hasil carian Google.


Hari tu semasa makan sahur kat surau, seorang sahabat cerita tentang iftarnya:

"Saya berbuka tak ada makan apa pun .. cuma kurma, segelas teh tarik dan nasi je"  katanya tanpa ada orang bertanya.

"Kata tak makan apa .. tu kira dah banyaklah tu" saya menyampuk.

"Tak adalah makan kuih itu dan kuih ini macam orang lain" dia membela diri.

"Yoo lah tu" kata saya.