Wednesday, December 31, 2014

ENTRI PENUTUP TAHUN 2014.

Saya mula tinggal di Perlis pada penghujung bulan Mac yang lalu. Ada saya buat entri di sini bagi menerangkan mengapa saya berpindah dari Seremban ke Perlis.

Semasa berpindah ke Seremban dari Putra Jaya menjelang persaraan saya dahulu, saya tidak merancang untuk pindah kemana-mana lagi kerana sudah letih berpindah randah sebelum ini. Akan tetapi kuasa Allah siapa tahu. Kadang-kadang saya rasa malas untuk merancang kerana banyak yang tak menjadi. Sebaliknya apa yang jadi adalah lebih baik dari apa yang saya rancangkan. Syukur alhamdulillah.

Sejak saya duduk sini boleh dikatakan setiap bulan ada sahaja saudara-mara dan sahabat-handai datang berkunjung. Ada yang hanya singgah sekejap dan ada juga yang sempat bermalam. Saya amat berbesar hati dan gembira menerima kunjungan mereka dan terasa diri ini tidak dilupakan.


Berikut adalah beberapa keping gambar yang sempat saya rakam sebagai kenang-kenangan dengan sedikit keterangan di bawahnya.


Gambar 1: Iyra  (rakan fesbuk, instagram dan blog) dengan bondanya membuat kunjungan. Yang cantik sekali itu adalah dia. Makngahnya cantik dua kali. Hehe.


Gambar 2. Zainal Abidin, rakan semasa membuat Diploma Syariah di UMCCED suatu masa dulu singgah bertanya khabar.


Gambar 3: Osman Dusa, orang kuat persatuan sekolah lama saya dan isterinya dari Jelebu menikmati laksa Perlis. Abaikan sahajalah keadaan rumah yang berserabai.


Gambar 4: Rakan setaman di Lavender Heights sengaja datang ziarah selepas selesai tugasan rasminya.


Gambar 5: Sepupu saya dengan keluarganya mengiringi anak perempuannya berkahwin dengan orang sini yang rumahnya tak jauh dari rumah saya. Di belakang tu bukan rumah saya tapi homestay tempat mereka ditempatkan.


Gambar 6: Anak saudara saya dari Jempol datang bermalam di rumah saya selepas menghadiri kenduri di Pulau Pinang.


Gambar 7: Pegawai saya semasa bekerja di Putra Jaya dahulu sempat mencuri masa mengunjungi saya di celah-celah kesibukan tugasnya.


Gambar 8: Suami isteri ustaz dan ustazah berserta anaknya dari Lavender Heights, Seremban mengunjungi kami selepas selesai tugas rasminya di Perlis.

 

Gambar 9. Abang sepupu saya sekeluarga dari Seremban datang bertandang
selepas menghantar cucunya mengambil bahagian dalam pertandingan sekolahnya di sini. Saya bawa mereka ke Tasik Melati sementara menunggu nasi masak.


Gambar 10.  Kunjungan kali ke dua Iyra Mutalib dan yang pertama bagi Pena Rozie ke rumah saya pada 13/12/2014. Kerana mereka tak beritahu lebih awal nak datang, maka makan nasi lauk ikan masin campur nangka je nampaknya.


Gambar 11. Ini yang terbaru. Imam surau Ibnu Khaldun, Lavender Heights turut singgah di rumah saya dalam perjalanan balik selepas membeli belah di Wang Kelian - 28/12/2014.



Gambar 12:  Bila teringin nak minum ayaq nyoq muda, kami kait sendiri. Tapi gambar di atas adalah lakonan Makngahnya semata-mata.


Gambar 13: Jalan raya di depan kediaman saya di waktu pagi. Sungguh tenang, lengang dan mendamaikan kecuali semasa pesta banjir baru-baru ini. 


 Video menunjukkan kemeriahan penduduk bermain air semasa banjir baru-baru ini (21 - 27/12)  betu-betul di depan kediaman saya. 

Kalau saya asal orang sini, anak dan cucu pun ada di sini, tidak mahu saya pindah ke mana-mana lagi kerana tempat ini tenang, udaranya bersih, jalannya tidak sesak dan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan perkhidmatan dari mana-mana agensi kerajaan atau swasta. Di samping itu harga buah-buahan  dan makanan serta upah secara relatifnya jauh lebih murah dari Seremban.  Secara lojiknya bolehlah saya simpan duit, tapi duit habis juga buat belanja ulang alik ke Seremban. 

Oh ya orang sini juga umumnya masih kaya dengan semangat tolong menolong serta berbudi bahasa dan bertolak ansur kecuali seorang dua semasa di jalan raya.


Saturday, December 27, 2014

PESTA BANJIR DEPAN RUMAH MAKNGAHNYA.

Minggu lepas saya, Makngahnya dan dua orang anak balik ke Negeri Sembilan dari 20 hingga 25 Disember. Dalam perjalanan ke selatan, singgah sekejap di Gopeng di rumah besan melawat buat kali pertama cucu saya yang terbaru selepas hampir dua bulan usianya.


 Gambar 1:  Inilah cucu yang saya maksudkan. Anggun Aisyah namanya.

Alhamdulillah perjalanan lancar pergi dan balik. Tiada bertemu sebarang kemalangan. Cuaca pun redup sepanjang perjalanan dengan sekali sekala hujan renyai-renyai.

 


Gambar 2: Sesampai di rumah, perkara pertama saya buat ialah melihat pokok buah-buah yang saya tanam  di keliling rumah. Alhamdulillah pokok mata kucing sudah mula berputik.
 
Berada empat hari di Seremban rasanya terlalu pendek. Terlalu banyak benda yang nak dibuat. Ada yang sempat buat ada yang tidak.  Memancing pun cuma dapat pergi dua kali je.


Gambar 3: Memancing di kolam udang Terachi memang mendamaikan walaupun udang kurang sebab cuma dilepaskan sebanyaj 13 kg sahaja untuk dipancing oleh 30-40 orang. Kata tokeh tak dapat bekalan.


Gambar 4: Besoknya saya pegi memancing udang kat Mambau pulak. Tak kisahlah ia kolam simen asalkan gian yang dipendam selama 3 bulan terlerai.


Gambar 5: Dalam perjalan balik ke utara pada hari Krismas, kami singgah di Agromall tak jauh dari Ipoh, Saya makan nasi kandar.  Harganya seorang makan, boleh makan empat orang di Perlis sampai kenyang.
.


Gambar 6:  Sesampai di rumah Makngahnya di Perlis, kelihatan ramai orang tua muda, kecik besar, lelaki perempuan bermain air banjir betul-betul di depan rumah.


Gambar 7:  Airnya tidaklah dalam sangat. Itu yang buat seronok bermain. Kalau airnya sampai mencecah atap, mungkin agaknya masing-masing akan lari menyelamatkan diri.


Gambar 8: Ada juga peniaga yang mengamibl kesempatan membuka gerai menjual makanan ringan. Jagung bakarnya RM2 setongkol. 

Depan rumah saya sejak air naik ni, betul-betul dah macam pesta hinggakan jadi gangguan. Malam tadi hampir jam 1 pagi, masih ramai bebudak bermain motor dengan bunyi enjin motor yang kuat atau sengaja dikuatkan, memecah kesunyian dan keheningan malam. Cepatlah air surut agar kami dapat kembali tidur malam dan siang dengan selesa.


Friday, December 19, 2014

KALAU TAK KENA PADA KITA, BOLEHLAH CAKAP !


 Gambar hiasan hasil carian Google.

Katalah ada restoran di sebuah taman perumahan. Perniagaannya cukup maju kerana masakannya sedap, tempatnya bersih, tempat letak kereta banyak dan harganya kompetitif.

Tetiba ada gerai haram (tanpa permit) didirikan di kawasan letak kereta di depan restoran itu yang juga turut menjual makanan yang serupa dengan harga yang sedikit murah. Pemiliknya boleh jual lebih murah sebab dia tak perlu bayar cukai pintu, airkon dan sebagainya.

Kalau dilihat dari sudut pandangan pemilik gerai haram itu dan dari sudut pemilik restoran itu tentulah berbeza.

Pemilik restoran tentulah kesal kerana gerai haram itu telah menjadi pesaingnya dengan cara yang tidak sihat dan akan mengadu pada PBT meminta untuk dirobohkan.

Manakala pemilik gerai haram itu pula merasakan tindakannya tidak salah kerana rezeki di tangan Allah dan dunia ini milikNya.  Dia merasakan tidak berdosa kalau dia ingin berniaga di mana-mana pun di bumi milik Allah ini.


Mungkin pemilik gerai haram itu akan mengubah fikirannya jika nantinya ada 5-6 buah gerai haram yang lain dibuka di sebelah menyebelah gerainya dengan menjual makanan yang sama dengan harga yang lebih murah darinya.

Bila perniagaannya merosot dan mengalami kerugian yang teruk, mungkin dia akan mencari bomoh untuk membunuh perniagaan pesaing-pesaingnya.

Kadang-kadang bila tak kena batang hidung kita, bolehlah cakap macam-macam.



Wednesday, December 17, 2014

BAHASA MELAYU TIDAK PELIK # 3: MARI TENGOK BOLA.


Gambar hiasan hasil carian Google.

Orang Melayu faham bila sebut menggali perigi ia bermaksud menggali tanah untuk membuat perigi. Ia bukannya perbuatan menggali perigi yang sudah siap. Orang Melayu tak cakap gali tanah buat perigi kalau nak membuat perigi. Bila sebut gali perigi itu, semua orang Melayu tentunya faham ia adalah satu pekerjaan membuat perigi.

Tapi dalam konteks yang lain, kalau tujuan untuk memperdalamkannya, perkataan menggali perigi adalah tepat. 

Begitu juga dengan masak nasi. Maksudnya masak beras sehingga menjadi nasi. Orang Melayu tak sebut masak beras walaupun pada hakikatnya memang beras yang dimasak.

Sekarang ini musim bola Piala Suzuki. Saya rasa Malaysia akan menjuarainya pada kali ini. Jadi bila ada orang ajak pergi tengok bola, ia bermaksud tengok perlawanan bola bukannya tengok bola seperti gambar di atas. Tapi boleh juga bermaksud tengok bola seperti itu kalau kita takut bola kita hilang dan kita suruh orang tolong tengok-tengokan. 

Tengok kontekslah. Bahasa Melayu ini kan unik.



Tuesday, December 16, 2014

JAWAB MENJAWAB DENGAN KU TAK SEMPURNA.

 
 Gambar profil Ku Tak Sempurna di blognya.

Di bawah nanti saya kopipes satu komen  yang agak panjang dari seorang blogger yang menggunanakan nama Ku Tak Sempurna. Kini beliau telah lama berhenti berblog.  Saya tidak tahu kenapa dia secara tiba-tiba sahaja berhenti. Cuma saya berharap, saya bukanlah penyebabnya atau salah seorang dari penyebab dia berhenti berblog.

Saya langsung tidak mengenali latarbelakang dan identitinya.  Tinggal di mana, kerja apa dsb.  Kalau melihat dari komen-komennya dan juga jawapan saya, mungkin bagi orang yang tidak tahu menganggap kami sudah saling mengenali.

Begitulah kekdahnya dunia blogging ini. Kadang-kadang kita mesra hanya di alam maya sahaja. Mungkin lebih baik begitu.

Oklah. Teruskan membaca komen dia dan komen balas saya. Untuk mengetahui latarbelakang kepada komen beliau, saya rasa elok juga dibaca entri yang berkenaan di sini.

........................................................................


assalamualaikum tuan hamzah,

setelah membaca entri ini, terUJA lah sy utk mengetahui di mana letaknya kediaman tuan yg berhati mulia ini hingga sanggup bercakap pada diri sendiri "siapa nak ambil, ambil lah".
(ya.. sy faham. ambil di sini merujuk kepada ambil buah rambutan. bukan ambil tuan punya badan)
.
.

err.. tuan,
jika saya tahu di mana letaknya kediaman tuan, mungkin sy boleh singgah sebentar di hadapan kediaman tuan petang ini dan cuba mencapai barang setangkai dua buah rambutan itu. Kalau dapat capai lebih, lagi bagus, kan tuan. Tuan halalkan, kaaan?? Terima kasih banyak-banyak tuan

.
.

semoga pokok rambutan tuan akan mengeluarkan buah rambutan yang lebih lebat. Lebat selebatnya hingga boleh dipanggil tanjung rambutan.
Dan semoga pokok rambutan tuan bukan saja boleh mengeluarkan buah rambutan, malahan boleh juga mengeluarkan buah2 lain seperti strawberi, kiwi, avocado dan sebagainya dgn lebatnya.


Sekian, terima kasih.

Berbunga lebat pohon rambutan,
Hinggap tempua berjuntai kaki; Bila dapat memandang bulan, Jangan lupa rumput di bumi.



Yang menanti,
PENCINTA TEGAR BUAH RAMBUTAN


 ReplyDelete

Berikut adalah jawapan saya pula ..


KU TAK SEMPURNA (KTS)

ALAIKUMSALAM.

2. SUKACITA SAYA INGIN MENAMBAH INGATAN BAHAWA YANG DIMAKSUDKAN AMBIL ITU BUAHNYA SAHAJA DAN TIDAKLAH TERMASUK AKAN POKOKNYA. ADAPUN AKAN TUANYA, MUNGKIN ORANG TENGOK PUN TAK ADA SELERA.

3. UNTUK MENDAPAT CAPAIAN YANG MAKSIMA, KTS DINASIHAT MEMBAWA TANGGA. KALAU BOLEH YANG ADA 7 MATA (BETUL KE MATA ?) KERANA YANG EMPUNYA POKOK TIDAK MENYEDIAKANNYA BUAT MASA INI DAN JUGA TIDAK BERHAJAT UNTUK MENYEDIAKANNYA PADA MASA AKAN DATANG.

4. AKAN DOA KTS AGAR RAMBUTAN SAYA BERBUAH SEHINGGA MENJADI TANJUNG RAMBUTAN ITU, SAYA KENALAH BERBINCANG DAHULU DENGAN JABATAN PERANCANG BANDAR. DAN TERLANJUR KTS SUDAH BERDOA, BOLEH TAK DOAKAN POKOK RAMBUTAN SAYA ITU MENGELURKAN JUGA KERETA MERCEDES, FERRARI ATAU PUN EMAS PERMATA, SEBAB ITU LAGI SAYA DAN MAKNGAHNYA SUKA.

SEKIAN, TERIMA KASIH.

KUIH LEPAT SI KUIH LAPIS
JANGAN DI RENDAM DI DALAM PAYA
SUDAH DAPAT MO'TAN YANG MANIS
BACANG YANG MASAM JANGAN DI LUPA.

YANG BENAR;

PEMILIK SAH DUA POKOK MO'TAN.

 .........................................................................................................

Saya tidak pasti samada dia akan membaca atau tidak entri saya ini. Kalau kebetulan dia membaca atau ada orang beritahu kat dia tentang entri ini, saya doakan dia berjaya dalam apa juga lapangan yang dia ceburi serta berbahagia dengan kehidupannya sekarang ini dan juga akan datang. Sekian.

Monday, December 15, 2014

KADANG-KADANG BELAJAR BENDA BARU LEBIH SENANG DARI MELUPAKAN BENDA LAMA.

Hidup kita ini tidak akan berhenti dari berjumpa dengan benda-benda atau kaedah baru pada sepanjang masa. Terpulanglah kepada kita samada hendak membuat sesuatu perkara itu dengan cara baru atau sebaliknya. Namun begitu ada juga orang yang lebih suka dengan cara lama atas sebab-sebab tertentu.
.

Gambar 1. Membakar lemang cara tradisional. Gambar hasil carian Google.

Contohnya membuat lemang. Ada teknologi baru membakar lemang yang lebih mudah dan cepat,  tetapi ada juga orang lebih suka lemang yang dibakar dengan cara lama. Walaupun ia mungkin susah dan memakan masa, tetapi ramai orang masih memilih untuk membuat atau membeli lemang yang dibakar dengan cara yang lama atas sebab-sebab tersendiri. Mereka mungkin rasa lebih puas memakan lemang yang dibakar dengan cara yang lama kerana lidahnya telah berpuluh-puluh tahun memakan lemang yang dimasak dengan cara lama.



Gambar 2: Membakar lemang menggunakan arang kayu. Gambar kitar semula dari album peribadi penulis.


Gambar 3: Membakar lemang dengan menggunakan gas. Gambar hasil carian Google.

Dalam melakukan ibadah pun begitu juga. Dalam pengajian di masjid misalnya, kita kerap bertemu dengan hukum baru yang lebih tepat atau lebih aula dari kebiasan lama kita. Akan tetapi agak sukar untuk meninggalkan kebiasaan atau amalan lama yang sudah berpuluh-puluh tahun menjadi pegangan kita.

Begitu juga misalnya kalau kita menukar password fesbuk yang telah kita gunakan bertahun-tahun lamanya untuk mengelakan serangan virus. Saya pun baru beberapa minggu berbuat begitu. Akan tetapi boleh kata setiap kali nak buka fesbuk, saya masih lagi menggunakan password yang lama. Nasib baik  Zu (Mark Zuckerberg) tak kisah.


Saturday, December 13, 2014

SELAMAT ULANG TAHUN KELAHIRAN IFA.

Alhamdulillah saya dikurniakan 3 orang anak perempuan dan 2 orang anak lelaki. Ifa adalah anak perempuan saya yang kecik sekali dan masih bersekolah menengah. Tahun depan, insyaallah akan masuk tingkatan 5.   

Dua orang kakaknya dan seorang abangnya sudah bekerja, berumah tangga dan mempunyai cahaya mata. 

Hari ini Ifa berumur 16 tahun. Kerana lahir hujung tahun, barangkali dalam kelasnya dia di antara murid yang berusia muda berbanding dengan kawan-kawannya yang lahir di awal tahun. Nampaknya lambatlah sikit baru boleh masuk sekolah belajar memandu kereta.


Gambar 1. Di Tasik Melati, salah satu tempat menarik di Perlis.


Gambar 2: Di tepi laut Cina Selatan sedang bergumbira dengan Iqal dan seorang kawan yang baru dikenali.


Gambar 3: Bersama Iqal dan ayahnya di jeti Kuah, Langkawi.


Gambar 4: Berlatarbelakangkan Danau Toba bersama emak, ayah dan Iqal.


Gambar 5: Menyusuri Pearl River, Guang Zhou, China.


Gambar 6:  Ifa dengan seorang kawannya membuat persembahan dalam satu majlis di sekolahnya - 2014.

Selamat ulangtahun kelahiran Ifa. Ayah doakan semoga Ifa terus menjadi anak yang solehah, diberi kesihatan dan berjaya dalam kehidupan. Ayah tak tahulah sempat ke tidak melihat Ifa bersanding di atas pelamin nanti.


Gambar ini tidak ada kena mengena dengan entri ini. Saya terjumpa semasa menggoogle gambar Ifa.



.

Wednesday, December 10, 2014

WW # 114 : MARI LIHAT HASIL BERMAIN-MAIN DENGAN PICJOKE !











.

Monday, December 8, 2014

HARAPAN SEORANG PEMBAYAR CUKAI

Sebagai warganegara Malaysia, saya seperti orang lain juga kena bayar cukai - samada cukai langsung mahu pun tidak langsung.

Paling banyak saya bayar cukai ialah cukai import kereta. Saya beli kereta rekon (import terpakai) sudah 4 kali sepanjang hidup saya. Semuanya berharga di antara RM100,000.00 hingga RM200,000.00 sebuah. Kalau cukainyanya untuk sebuah adalah sehingga 300%, cubalah congak-congak berapakah cukai import yang telah saya bayar.
 
             Inilah dua buah kereta rekon yang sedang saya gunakan sekarang.

Itu belum masuk cukai langsung yang lain seperti cukai pendapatan, cukai jalan, lesen memandu dsb. 

Dan kalau dicampur cukai tak langsung seperti cukai gula, tepung, beras dan beratus-ratus barang lagi, mungkin sudah setengah juta ringgit jumlah cukai yang telah saya bayar kepada kerajaan.


Bukan hasrat saya untuk menunjuk-nunjuk atau membangkit-bangkit kerana niat saya menyebut itu semua hanyalah untuk menguatkan hujjah tuntutan saya sahaja.

Oleh itu saya rasa adalah tidak keterlaluan sekiranya saya menaruh harapan kepada pemerintah untuk memberikan perkhidmatan yang patut diberikan yang mana antaranya seperti berikut.

1.  Keamanan dari pencerobohan dari luar samada di sempadan darat, udara atau perairan dari lanun bersenjata atau PATI;

2.  Keselamatan dan keamanan dalam negeri supaya saya dapat tidur dengan lena di waktu malam - tidak bimbang rumah dipecah orang;

3.  Alam semula jadi yang tidak tercemar termasuk gunung ganang yang kekal sejuk dan menghijau.

Dan kalau boleh ...

Kemudahan kesihatan dan perubatan (termasuk gigi) yang patut-patut. bukanyanya nakkan layanan seperti di KPJ atau Columbia Hospital.

Di samping itu saya juga mengharapkan bilangan jalan raya  (bukan jalan tol) yang mencukupi supaya tidaklah sesak sepanjang masa macam jalan dari Seremban ke Kuala Pilah.

Buat masa ini saya belum dapat kata saya sudah berpuashati dengan perkhidmatan yang telah saya terima dan kadang-kadang timbul juga rasa kecewa.

Adakah harapan (expectation) saya itu terlalu tinggi ?


Saturday, December 6, 2014

A.K.U K.E.L.I.R.U - 32: LENGGANG KANGKUNG DLL.

http://multilingualmania.com/wp-content/uploads/2009/05/confused.jpg?w=300


lenggang kangkong
kenapa kangkong ?
kenapa tak keladi ?

haru biru
kenapa biru ?
kenapa tak kelabu ?

mati katak
kenapa katak ?
kenapa tak biawak ?

pembantu kedai
kenapa nak bantu kedai ?
kenapa tak bantu taukeh kedai ?

.

Thursday, December 4, 2014

SIAPA YANG CACAT PENDENGARAN ?

Semasa dalam perjalanan jauh, saya terpaksa mendengar radio mengikut stesyen  pilihan anak-anak saya. Kadang-kadang rimas juga bila mereka suka sangat alih-alih steseyen. Bila lagu yang diputarkan tidak memenuhi selera mereka, cepat-cepat mereka tukar stesyen. 

Kadang-kadang tu bergaduh sesama mereka bila pilihan mereka bercanggah. Saya sendiri yang punya kereta dan radio itu, tidak ada peluang langsung nak dengar lagu-lagu kegemaran saya dari saluran Klasik Nasional

Saya tak berapa minat dengan lagu-lagu moden. Nak buat macamana ! Saya lebih suka lagu-lagu lama terutamanya lagu-lagu arwah P.Ramlee, Saloma, Aziz Jaafar dan lain-lain termasuklah juga lagu-lagu zaman Pop Yeh Yeh. Saya membesar dengan lagu-lagu dendangan mereka dan bila mendengarnya pasti akan menggamit memori saya.

Saya terdengar ada beberapa lagu baru yang tengah popular pada masa ini yang liriknya berulang-ulang seolah-olah penyanyinya menyanyi di depan orang-orang yang cacat pendengaran.  Contoh sebahagian lirik yang sempat saya dengar dari 3 buah lagu adalah seperti di bawah.


Lagu 1.

awak kat mana ? awak awak kat mana ?
awak kat mana ? 


Lagu 2.

aku tanya apa khabar ? aku tanya apa khabar ? aku tanya apa khabar ? 

Lagu 3.

tolong tepi sikit ! tolong tepi sikit ! tolong tepi sikit !


Saya tak pasti samada anda pernah mendengarnya atau pun tidak.

Dalam pada itu, saya bukan tak tahu ada juga lagu lama iaitu lagu dendangan arwah P-Ramlee yang liriknya berulang-ulang iaitu lagu  "maafkan kami". Saya rasa ia dibuat begitu dengan tujuan untuk merayu supaya mereka dimaafkan.





 "Maafkan Kami" - Pendekar Bujang Lapuk.


Sunday, November 30, 2014

A.K.U K.E.L.I.R.U - 31 : SEPARUH UMUR ?



Kita boleh berkata minyak kereta kita masih ada lagi separuh tangki, sebab kita tahu penuh tangki tu setakat mana. 

Atau semasa kita dalam perjalanan balik kampung yang jaraknya katalah 200 batu, kita boleh berkata kita sudah separuh perjalanan bila sampai pada jarak 100 batu.

Akan tetapi bila saya dengar ada orang mengatakan saya "separuh umur",  saya jadi keliru.

Dia tahu ke umur penuh saya berapa tahun nanti ?  Maknanya kalau pada umur 60 tahun saya dikatakan separuh umur, maka umur penuh saya adalah 120 tahun !

Hakikatnya kita hanya boleh tahu umur penuh seseorang itu bila orang itu telah mati.

Macamlah dia tahu pada umur berapa saya akan mati. Pandai-pandai je kata saya separuh umur.
 
Dan lagi, kalau kita boleh berkata orang itu "separuh umur" maknanya kita juga boleh berkata orang lain "suku umur" atau "tiga suku umur" !

Jadi janganlah anda mudah berkata orang ini atau orang itu "separuh umur" !

Ingat umur kita ni minyak petrol ke ?




Friday, November 28, 2014

SEDIKIT FAKTA TENTANG RATU CANTIK.



Gambar hiasan yang ada kena mengena dengan entri ini.

Sebenarnya yang jadi ratu cantik itu adalah calon yang tercantik dikalangan mereka yang masuk bertanding. Kalau semuanya, katalah ada 40 orang ambil bahagian, maknanya yang jadi ratu itu adalah yang tercantik di kalangan 40 orang itulah.

Lagi satu kalau setiap pengadil atau juri ditanya pendapat peribadi mereka tentang calon yang telah terpilih menjadi ratu, saya percaya akan ada perbezaan pendapat di antara seorang pengadil dengan pengadil yang lain akan pilihan masing-masing.

Maknanya apa ? Maknanya cantik itu adalah suatu sifat yang sangat subjektif. Lain orang lain ukuran kecantikannya. 

Bagi saya cantik yang sebenar adalah cantik peribadi. Ia boleh bertahan sampai ke hujung nyawa. Cantik diwajah atau bentuk badan, umumnya tidak bertahan lama. Ia ibarat hantaran yang dibuat dari gula walaupun rasanya  manis dan cantik pada pandangan mata, ia akan cair dimakan hari.


Ia sangat cantik dipandang tapi tahan hanya beberapa hari cuma.

Jadi kalau anda tidak terpilih mengambil bahagian dalam pertandingan  ratu cantik, janganlah rasa rendah diri. Mungkin pada pandangan mata orang lain, anda lebih cantik dari ratu cantik yang terpilih dengan syarat peribadi dan tingkah laku anda mestilah cantik. 


" Biar buruk rupa jangan buruk perangai. Tapi kalau cantik rupa dan cantik perangai, lagi cantik "

Nota kaki: Entri ini juga sesuai untuk golongan lelaki, cuma tukarkan perkataan cantik itu dengan hensem.