Friday, December 19, 2014

KALAU TAK KENA PADA KITA, BOLEHLAH CAKAP !


 Gambar hiasan hasil carian Google.

Katalah ada restoran di sebuah taman perumahan. Perniagaannya cukup maju kerana masakannya sedap, tempatnya bersih, tempat letak kereta banyak dan harganya kompetitif.

Tetiba ada gerai haram (tanpa permit) didirikan di kawasan letak kereta di depan restoran itu yang juga turut menjual makanan yang serupa dengan harga yang sedikit murah. Pemiliknya boleh jual lebih murah sebab dia tak perlu bayar cukai pintu, airkon dan sebagainya.

Kalau dilihat dari sudut pandangan pemilik gerai haram itu dan dari sudut pemilik restoran itu tentulah berbeza.

Pemilik restoran tentulah kesal kerana gerai haram itu telah menjadi pesaingnya dengan cara yang tidak sihat dan akan mengadu pada PBT meminta untuk dirobohkan.

Manakala pemilik gerai haram itu pula merasakan tindakannya tidak salah kerana rezeki di tangan Allah dan dunia ini milikNya.  Dia merasakan tidak berdosa kalau dia ingin berniaga di mana-mana pun di bumi milik Allah ini.


Mungkin pemilik gerai haram itu akan mengubah fikirannya jika nantinya ada 5-6 buah gerai haram yang lain dibuka di sebelah menyebelah gerainya dengan menjual makanan yang sama dengan harga yang lebih murah darinya.

Bila perniagaannya merosot dan mengalami kerugian yang teruk, mungkin dia akan mencari bomoh untuk membunuh perniagaan pesaing-pesaingnya.

Kadang-kadang bila tak kena batang hidung kita, bolehlah cakap macam-macam.