Showing posts with label renungan. Show all posts
Showing posts with label renungan. Show all posts

Saturday, September 5, 2026

KANTOI BERSALAH.


Kalau seorang kanak2 tertangkap bersalah, dia akan menangis. Bukan sedih tapi sebagai percubaan mengalih perhatian supaya bapanya tak marah dia. 

Itu perangai kanak2 yang belum pandai bercakap. 

Kalau orang tua pulak terkantoi melakukan satu kesalahan, dia akan marah orang yang memarahi dia.  Tindakan ini merupakan satu percubaan untuk membuatkan orang yang memarahi dia itu rasa bersalah atau pendeknya dia cuba "play victim". 

Teringat saya sebuah kisah seorang lelaki tertangkap mencuri buah tembikai.

Pemilik kebun, "Janganlah mencuri. Kalau awak nak makan, minta baik2. Saya akan bagi. Saya nak marah pun tak sampai hati, sebab awak lebih tua dari saya"

Pencuri: "Takkan curi sebiji pun tak boleh. Janganlah kedekut sangat. Harta dunia bukannya boleh dibawa mati"


#YTJT


Saturday, June 27, 2026

GAJI TAKKAN PERNAH CUKUP.

Sampai bila2 pun gaji kita takkan pernah cukup apa lagi berlebih; selagi selera, kehendak, keinginan, cita-cita kita sentiasa berkembang.

Bila gaji kita RM2,000 sebulan, kita gi melancong ke Cameron Highland. Bila gaji kita naik RM3,000, kita gi melancong ke Hadnyai. Bila gaji kita RM5,000, kita gi melancong ke Jakarta, Bila gaji kita RM6,000 kita gi melancong ke Guangzhou. 

Bila gaji kita RM7,000 kita gi melancong ke Seoul, Bila gaji kita RM8,000 kita gi melancong ke Jepun, Bila gaji kita RM9,000 kita gi melancong ke Dubai, Bila gaji kita RM10,000 kita gi melancong ke London, Bila gaji kita RM13,000 kita gi melancong ke New York. 

Bila gaji kita RM15,000 kita gi melancong ke Switzerland naik kelas bisnes, Bila gaji kita RM18,000 kita gi melancong ke Hawaii, naik kelas pertama. 

Begitulah. 


. 


. 


. 


. 

Monday, May 18, 2026

INGIN TAHU JALAN YANG SELAMAT ?



Hati-hati memilih jalan agar tidak terikut jalan yang salah. Dari empat jalan berikut, hanya satu jalan yang betul dan lurus.


1. Jalan yang salah untuk maksud yang salah.

Contoh: Curi duit untuk beli dadah.

2. Jalan yang betul untuk maksud yang salah.

Contoh: Jual buah durian milik sendiri untuk beli dadah.

3. Jalan yang salah untuk maksud yang betul.

Contoh: Edar dadah kemudian duitnya didermakan kepada anak yatim.

4. Jalan yang betul untuk maksud yang betul.

Contoh: Jual buah durian milik sendiri kemudian duitnya didermakan kepada pelajar2 tahfiz.

Pasti anda semua tahu jalan mana yang betul. Maka pilihlah jalan itu tanpa sebarang keraguan.

Sunday, September 7, 2025

JANGAN TIMBULKAN FITNAH.

Bukan sahaja kita dilarang buat jahat tapi elakan membuat sesuatu yang boleh menimbulkan prasangka atau fitnah dari orang lain. 

Contoh. Imam jangan bawa tabung masjid balik ke rumah untuk kira duit. Walau pun niatnya adalah baik, tapi caranya tidak betul kerana ia boleh mengundang prasangka yang tidak baik dari orang lain. 

Wednesday, June 18, 2025

SIAPA PERLUKAN SIAPA SEBENARNYA?

Semasa saya berusia 50an dan masih bekerja dahulu, bila ada orang bertanya "Masih kerja lagi ke?". Lalu saya jawab, "Nampaknya begitulah. Perkhidmatan saya masih diperlukan oleh kerajaan". 

Sekarang baru saya terfikir yangsebenarnya pada masa itu, sayalah yang masih perlu berkhidmat dengan kerajaan, bukan sebaliknya. Banyak tanggungan seperti belanja dapur, anak sekolah, ansuran rumah, ansuran kereta, kirim kampung dan sebagainya yang perlukan wang. Tambahan pula isteri saya hanyalah seorang suri rumah tangga sepenuh masa. 

Alhamdulillah pada masa ini semua anak sudah habis belajar dan dah bekerja, ansuran rumah dan kereta dah langsai, tiada lagi kiriman bulanan ke kampung tetapi perbelanjaan baru pulak timbul iaitu belanja perubatan dan kesihatan saya dan isteri. Tapi tidaklah membebankan sangat. 



Friday, May 23, 2025

SELOKA ORANG PENCEN.

 

Bila usia sudah meningkat, 

Dulu kurus sekarang dah bulat,

Seluar baju semua dah sendat, 

Banyak yang lupa dari yang ingat, 

Buat kerja semua pun lambat, 

Panjat tangga dah cepat penat, 

Dengan ubat berkawan rapat, 

Hendak ke timur lepas ke barat,

Tempat dituju semakin dekat, 

Kerja lagha jangan dibuat, 

Moga selamat dunia akhirat.


25 Zulkaedah, 1446.

Sunday, April 6, 2025

SILAP FAHAM LAGI BAHAYA DARI TIDAK FAHAM.



Yang paling saya takut bukan orang tidak faham tapi orang silap faham apa yang saya kata. Orang yang tidak faham selalunya dia akan bertanya balik tapi orang yang silap faham tidak akan bertanya kerana dia rasa sudah faham. Kita pulak tidak tahu dia silap faham kerana kita ingatkan dia faham. Maka berlanjutanlah masalah ini sampai bila-bila kecuali suatu masa nanti orang itu bertanya kepada kita. 

Wednesday, March 26, 2025

ADA SEBAB KENAPA ORANG TUA-TUA DULU KATA "BUAT BAIK BERPADA-PADA"

Saya terjumpa hantaran tersebut di medsos. Setelah direnung-renung, saya rasa ada betulnya kata2 penulis tu. Saya sendiri pun pernah mengalaminya.

Nota kaki: Kasih itu maksudnya beri. 

Friday, March 21, 2025

UNGKAPAN YANG PALING PAYAH

Selain bersabar, rupanya mengaku salah juga adalah sukar.  

Patutlah bijak pandai ada berkata, satu ungkapan pendek yang amat sukar untuk diungkapkan adalah,

"Saya mengaku telah buat salah" atau "I admit that I made a mistake". 


# Peringatan untuk diri sendiri. 

Wednesday, March 5, 2025

ULASAN ENTRI KE EMPAT- AKHIRAT DIKEJAR, DUNIA JANGAN LUPA..

Makluman. 

Entri ini telah tersimpan dalam draf entri saya selama lebih 10 tahun. Saya terjumpa secara tidak sengaja semasa menyemak himpunan draf entri saya. Mohon pembaca sedekahkan bacaan Fatihah kepada roh arwah yang telah mendahului kita bersebab dari jangkitan COVID. Terima kasih. 

    +++++++++++++++++++++++++++++++

Kali ini dari YB. Tajuknya ......Akhirat di kejar, dunia jgn lupa" 

dipos pada 1.12.2010

Penulis: Yunus Badawi. Seorsng bloger yang sangat aktif. Mengikut profailnya dia berada dalam dunia bisnes dan kerjanya macam2. Sebenarnya dia adalah seorang profesional lulusan seberang laut yang menjadi usahawan yang berjaya yang mengendalikan projek berjuta-juta. Dia adalah orang bandar (city boy) kerana lahir dan membesar di bandar.

Berikut adalah tulisannya. 

"Masjid Ar-Rahimah Kuala Kubu Baru. 

Maaf aku tak sempat nak sambung Random Things About YB kerana tuntutan kerja. Sykt kami telah dilantik secara rasmi utk membekalkan perabot kpd satu projek di selatan tanahair.

Aku baru saja menandatangani kontrak di pejabat kontraktor utama pukul 1:05 tghari tadi.
 
Sebaik itu aku bergegas ke masjid utk solat Zohor di masjid jamek di sini.

Alhamdulillah rezeki dari Allah. Selayaknyalah kita bersyukur kpdNya"

Ulasan saya. 

Sebuah entri yang pendek. Tajuknya sahaja sudah cukup untuk dijadikan pengajaran. Ia menceritakan dia pergi sembahyang di masjid  Ar-Rahimah, selepas mendapat satu kontrak.  Benar akhirat hendaklah di kejar. Maknanya berdahulu-dahuluan untuk mendapat ganjaran dari Allah. Dalam mengejar akhirat itu dunia jangan di lupa. 

Jadi tidaklah tepat kalau ada orang berkata  "kita hendaklah seimbangkan dunia dan akhirat".  Kita mesti memberatkan akhirat. Seimbang maknanya sama banyak, sama sayang, sama penting sedangkan dunia ini adalah sementara dan akhirat kekal abadi selama-lamannya. Kalau kita peruntuksn 99% masa kita untuk akhirat pun rasanya belum mencukupi. Tetapi kita beruntung kerana rahim Allah setiap amalan yang kita lakukan dengan ikhlas akan digandakan pahalanya.

Eh panjang pulak ulasan saya. Lebih panjang dari entri YB.

Tuesday, February 18, 2025

KITA YANG SERBA TAK TAHU.

Sebenarnya banyak benda yang kita tidak tahu, samada benda yang telah berlaku atau pun yang sedang berlaku apa lagi benda yang akan berlaku, walau pun benda itu paling hampir dengan kita. 

Misalnya kita tidak tahu berapa helaikah bulu mata kita yang telah gugur, berapa helaikah yang masih ada dan berapa helaikah yang akan gugur pada esok hari, sedangkan ia berada paling hampir dengan mata kita. 

Sunday, November 10, 2024

CERITA TAK JUJUR.

Jangan ingat ahli politik atau penjawat awam sahaja yang tidak jujur. Mereka yang bukan ahli politik atau penjawat awam juga ada (maksudnya bukan semua) yang tidak jujur. Antaranya, 

1. Drebar teksi. Kerap sangat kita dengar pelbagai rungutan dari penumpang. 

2. Penjual kereta terpakai. Saya penat nak berkisah tentangnya. Cuba baca sini.  

3. Taukeh kolam mancing ikan. Sentiasa tunjuk gambar pemancing yang dapat banyak ikan sahaja. Gambar orang yang kumpau macam saya tak pernah tunjuk.

4.  Penjual durian.  Saya terkena boleh kata hampir setiap kali beli. 

5. Penjual ubat. Tak kuasa nak cerita. 

6. Kedai baiki kereta (woksyop). Malas nak cerita. 

7. Peniaga PARAM. Pernah makan karipap inti angin tak ? 

Nota kaki: Kumpau bermaksud.

KUMPAU  adalah istilah dan gelaran para pemancing di Malaysia ketika gagal mendapat ikan yang disasarkan atau tiada hasil pancingan yang memuaskan ketika memancing ikan. Pemancing yang memancing dan pulang dengan tangan kosong akan di gelar KUMPAU.



Sumber istilah : http://maxxpeacock.blogspot.com/2013/08/kumpau.html


Wednesday, November 6, 2024

NAK PILIH YANG MANA?

Kita mahukan kerajaan yang bersih dan pandai memerintah. 

Masalahnya bukan senang untuk mendapat kombinasi tersebut. 

Kerap kali pilihan yang ada hanyalah antara kerajaan yang pandai memerintah tetapi tidak bersih dan kerajaan yang bersih tapi tak pandai memerintah. 

Diperhatikan semakin ramai rakyat yang memilih kerajaan yang pandai memerintah walaupun tak bersih. Bagi mereka itu adalah lebih baik dari kerajaan yang bersih tapi tak pandai memerintah. 

Namun keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Segala usaha mestilah dibuat agar kita mendapat kerajaan yang bersih dan pandai memerintah. 



Tuesday, October 8, 2024

PAK MAUN KECEWA.

 


Ilustrasi hiasan.


Ini kisah seorang gadis cantik yang pernah menjadi juara larian sekolah di kampungnya. Ramailah jejaka yg tergila2 dan menyimpan hati untuk menjadikannya isteri. Gadis itu pun sedar ramai yang meminatinya. Satu hari gadis itu buat cabaran. Dia umumkan sesiapa yang dapat berlari bersamanya keliling padang bola sekolahnya sebanyak 10 pusingan, akan jadi suaminya. Pak Maun yg sudah berumur hampir 70 tahun yang telah lama menduda pun ingin menyahut cabaran tersebut.  Dia pun berlatih pagi petang sebulan sebelum tarikh larian yg ditetapkan. 

Dipendekkan cerita bila tiba tarikh larian, bersesak-sesaklah lelaki tua muda datang ke padang yang ditetapkan, ingin mengambil bahagian.

Pada separuh jalan, ramai yang mengalah bahkan ada yang pengsan kerana mengikut rentak gadis itu yang lari dengan lajunya. Yang menghairankan semua orang ialah gelagat Pak Maun. Dia berlari dengan penuh bergaya, sentiasa di depan gadis itu bermula dari pusingan pertama hingga penamat.  Bahkan dalam pusingan yang terakhir dia meninggalkan gadis tersebut jauh di belakang. Kemudian dia dengan bangganya menunggu gadis tersebut di garisan penamat.

Pelari2 lain rasa cemburu dengan Pak Maun namun bersama2 mengucapkan tahniah kepadanya. Apa yang memeranjatkan, gadis itu tidak mahu menerima Pak Maun sebagai suaminya dan beritahu sebabnya.

"Saya kata saya mahukan lelaki yang mampu berlari bersama saya, bukannya berlari mendahului saya".

Pak Maun sangat kecewa tetapi terpaksa akur kerana dia tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan akibat semangatnya yang terlalu berkobar-kobar

Dalam hal ini siapa yang salah? 


Monday, November 27, 2023

ADA ORANG TU ..

Ada orang tu pandai. Dia tahu dia pandai tapi dia tak suka tunjuk pandai - orang ini pandai.

Ada orang tu pandai. Dia tahu dia pandai dan dia suka tunjuk pandai - orang ini kurang pandai.

Ada orang tu tak pandai. Dia tahu dia tak pandai dan dia pun tak pernah tunjuk pandai - orang ini juga pandai.

Ada orang tu tak pandai. Dia tahu dia tak pandai tapi dia suka tunjuk pandai - orang ini kurang pandai.

.

Saturday, September 16, 2023

TELADAN YANG BAIK.


Tepi jalan sambil berdiri pun boleh.

Setelah berhari-hari menonton gambar dan video Kembara Kenali Borneo, saya merasakan bahawa raja2 berupaya menyatupadukan seluruh rakyat. Syaratnya raja2 hendaklah tidak memihak kepada mana2 parti politik kerana jika mereka berbuat demikian, rakyat akan hilang hormat kepada mereka.  Kekallah berkecuali sampai bila-bila untuk memastikan kelangsungan institusi raja berperlembagaan di negara kita. Cukuplah orang2 politik memecah belahkan rakyat selama ini.

Di samping itu raja2 juga hendaklah sentiasa bersikap merendah diri dan mesra rakyat seperti yang telah ditunjukkan oleh Sultan Abdullah dan keluarga baginda dalam menyantuni seluruh rakyat jelata yang mereka temui di sepanjang perjalanan dari Tawau hingga ke Telok Melano.

Daulat Tuanku.

# Selamat Menyambut Hari Malaysia.

Monday, July 10, 2023

HATI-HATI AGAR TIDAK MENDAHULUI ALLAH.

Sayyidina Abu Hurairah berkata beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Ada dua orang kawan dalam kalangan Bani Israil. Salah seorang daripada mereka selalu melakukan dosa dan seorang lagi kuat beribadat. Apabila si abid nampak si pendosa melakukan dosa dia akan menegur, "Berhentilah". Lalu si pendosa itu menjawab, "Biarkan aku dengan Tuhanku. Adakah Allah mengutuskan engkau sebagai pengawas ku?" Maka si abid itu menjawab dengan marah, "Demi Allah tidak akan mengampunkan kamu atau Allah tidak akan memasukkan kamu ke dalam Syurga"

Kemudian kedua-dua mereka meninggal dunia dan mereka dihimpunkan di hadapan Allah, Tuhan sekelian alam. Allah bertanya kepada si abid. "Apakah kamu tahu  tentang Aku (bahawa akau tidak akan memberi kemaafan) ataupun kamu berkuasa atas apa-apa yang ada dalam genggaman Ku (lalu kamu menahan Daku daripada memberi kemaafan dengan dakwaanmu Allah tidak akan memaafkan kamu)? Dan Allah berkata kepada si pendosa itu, "Dengan rahmat-Ku pergilah masuk ke dalam syurga" (Kerana dia selalu mengharapkan rahmat Allah) dan Allah berfirman kepada para malaikat berkenaan si abid itu, "Bawalah dia ke dalam neraka." (Abu Daud)

Friday, January 13, 2023

JAGALAH AIB SAHABAT.

Satu hari sedang Saidina Omar dan sahabat2 duduk berbincang sesuatu, tiba2 mereka tercium bau kentut (kategori silent killer) yang mencucuk hidung. Lalu Saidina Omar pun segera berkata, "siapa yang kentut tadi pergi ambil wudhuk sekarang". Semua sahabat yang duduk mengelilingi Saidina Omar saling berpandangan dan tiada seorang pun yang bangun untuk berbuat demikian. 

Lalu seorang sahabat bangun sambil menyarankan, "apa kata kita semua ambil wudhuk agar tidak ada yang tahu siapakah yang telah terkentut tadi”

Saranan itu tidak dibantah oleh sahabat2 yang lain dan turut dipersetujui oleh Saidina Omar. Lalu semua sahabat pun berbuat seperti yang telah dipersetujui. 

Dengan itu selamatlah "air muka" sahabat yang terkentut tadi kerana tiada seorang pun tahu akan aibnya. 

Nota kaki. Kategori kentut.

1. Kuat dan berbisa. 

2. Senyap tapi berbisa (silent killer) 

3. Kuat tapi tidak berbisa. 

4. Senyap dan tidak berbisa. 


Adaptasi dari sini. 

https://muslim.okezone.com/read/2019/08/08/614/2089596/kisah-khalifah-umar-bin-khattab-dan-orang-buang-angin


Sunday, September 11, 2022

JANGAN BERANAK KATANYA.


Gambar hiasan hasil carian Google. 


Lama dah saya pendamkan,  akhirnya terluah juga

Jangan sesuka hati mengutuk ibu bapa yang punya anak perangainya "tak serupa orang". Bukan semua keluarga hidup sempurna. Jangan ukur keluarga orang dengan keluarga sendiri.  Ada ibu tunggal yang kerja basuh pinggan membesarkan 6 orang anak yang ditinggal suami yang ghaib entah ke mana. Bila pergi kerja,  anak2 ditinggalkan di rumah sewa satu bilik dijaga kakak sulung berumur 13 tahun.

Ada nenek yang terpaksa jaga 4 orang cucu bersendirian termasuk seorang OKU.   Ibu bapa cucunya itu telah meninggal dunia, bercerai berai atau bekerja di negeri lain dan sebagainya. Dia hanya bekerja ambil upah berjaja kueh di stesyen minyak dekat rumahnya.

Ada bapa yang terpaksa jadi pengawal keselamatan di waktu malam dan jual surat khabar di sebelah pagi untuk menampung belanja makan minum,  sekolah, pakaian serta tempat tinggal 5 orang anak. Diberatkan lagi bila isteri tidak dapat membantu menambah pendapatan akibat serangan angin ahmar.

Bukan semua anak2 bernasib baik punya ibu bapa yang kaya raya dan tinggal di rumah besar dan mendapat pendidikan yang sempurna.  Saya berada dalam golongan ini semasa kecil dahulu hingga keluar universiti.

Pedih hati saya,  bila saya baca komen2 netizen di media sosial seperti,

"Kalau tak tau jaga anak,  jangan beranak"

Apalagi kalau yang beri komen macam itu,  berkahwin pun belum. 

Thursday, March 31, 2022

KALAU CUBIT PAHA KANAN, INILAH AKIBATNYA.


Bijak sungguh orang dulu-dulu mencipta pepatah, "cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga". Pepatah tersebut masih boleh dipakai hingga ke zaman millenium ini. 

Contohnya, bila kita hina seseorang dari golongan B40, maka seluruh anggota B40 akan tampil membela mereka.  Begitu juga bila kita kutuk seseorang dari golongan T20, maka semua orang yang berada dalam golongan tersebut akan melenting. 

Hakikatnya kita semua memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan kelangsungan hidup masing-masing. Di sisi Tuhan hanya takwa sahaja yang menjadi ukuran kemuliaan. 

Buat masa ini saya tidak berada dalam golongan T20 maupun golongan B40. Namun begitu hati saya lebih dekat kepada golongan B40 kerana saya pernah berada dalam golongan tersebut suatu masa dulu. 

Akhirnya pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada anda semua. Semoga puasa kita tahun ini lebih baik dari puasa tahun yang lepas. Mudah2an Allah menerima amalan kita untuk dijadikan bekalan bertemu denganNya kelak. Saya juga memohon maaf jika ada tulisan saya yang tidak enak dibaca atau mengguris hati anda semua kerana sebagai insan biasa, saya tidak sunyi dari melakukan kesalahan. 

Sekian.