Tuesday, October 31, 2017

TERKENANG SEMASA DULU - 97: PENGALAMAN PERGI LONDON DENGAN BEKAS TUNANG.

Pernah sekali pada tahun 2006, saya pergi ke London atas urusan rasmi membawa bekas tunang saya.  Tambang dan makan minum dia, saya yang tanggung. Tempat tinggal adalah percuma kerana dia menumpang di bilik saya. Saya tak ingat berapa lama kami pergi,  tapi kalau tak silap rasanya hampir dua minggu.

Di masa senggang sempat juga kita curi-curi melawat tempat-tempat menarik di sekitar London yang biasa dilawati orang. Sebenarnya dah banyak keluar gambar tersebut dalam entri-entri sebelum ini. Kali ini saya cuba masukkan gamba-gambar yang saya rasa belum tersiar. Kalau berulang, maaflah. Saya sangat teruk dalam membuat indeks penyimpanan gambar. Saya tak ingat susunan tarikh tapi saya susun ikut baju yang Makngahnya pakai. Ada gambar yang sengaja saya kaburkan muka kami kerana mahu anda fokus kepada subjek cerita.


Seterusnya saya nak cerita lawatan kami berdasarkan gambar-gambar terpilih seperti di bawah. Kalau anda malas baca apa yang saya tulis di bawah gambar-gambar tersebut, maka tak tahulah apa ceritanya.


Gambar 1: Selesa nampaknya bekas tunang saya (Makngahnya) dapat tempat duduk kelas perniagaan ni.


Gambar 2: Di London kami duduk di apartment milik orang Malaysia. Cukup selesa.  Kalau nak jimat belanja boleh masak sendiri kerana ada dapur yang lengkap. Ia terletak bersebelahan dengan masjid. Saya sempat sembahyang Jumaat di masjid ini. Kerana terlalu ramai jemaah, sembahyang terpaksa dibuat dua kali.


Gambar 3: Di hadapan istana Buckingham yang merupakan salah satu tempat wajib di lawati.


Gambar 4: Gambar istana dari jarak yang lebih jauh. Lapang sungguh kawasan di depannya. Boleh pasang khemah buat kenduri kahwin.



Gambar 5:  Orang perempuan tak boleh tengok bunga, mesti nak bergambar punya. Layan je la !


Video 1: Depan istana Buckhingam yang sentiasa meriah dengan pelancong.


Gambar 6: Terasa dunia ini kecil bila terjumpa kenalan dari Malaysia di Oxford Street tempat ramai orang membeli belah. Adapun saya tiada dalam gambar ini kerana ditugaskan untuk mengambil gambar mereka.


Gambar 7: Kami ke hulu ke hilir menaiki keretapi atau bas atau menapak. Tempat menunggu basnya tak sama macam kat tempat kita. Kat Malaysia kita duduk mengadap jalan tapi di sini sebaliknya. Kenapa entah ?


Gambar 8: Nampak tak perkataan MARA kat belakang tu. Kita makan tengah hari kat sini.


Gambar 9: Sedang menunggu keretapi dalam salah sebuah stesyen keretapi bawah tanah.

 
Gambar 10:  Kelihatan gedung membeli belah Harrod di belakang tu. Kami masuklah juga, tapi sekadar untuk menjamu mata sahaja kerana tak ada barang yang kami betul-betul berkenan.


Gambar 11:  Kita shopping kat Liverpool Street je iaitu tempat membeli belah golongan marhaen.


Gambar 12: Di pintu masuk bangunan Madam Tussauds, muzium patung lilin orang-orang terkenal di seluruh dunia.


Gambar 13:  Tak dapat bergambar dengan selebriti yang sebenar, dapat bergambar dengan patungnya pun jadilah.

 
Video 2: Menyelusuri Sungai Thames. Kelihatan Tower Bridge di belakang sana yang sering orang keliru ingatkan itu London Bridge.

 

Gambar 14: Di sini ada cerita menarik sedikit. Kita naik keretapi berlainan koc. Ada seorang kawan tak turun masa kita ramai-ramai turun di sini. Bila keretapi jalan, baru kita nampak dia kat koc belakang. Terpaksalah kami duduk melepak sini sementara menunggu dia pataih balik.



Gambar 15: Kami sempat membuat persembahan singgah bergambar di hadapan Royal Albert Hall dalam perjalanan ke airport untuk balik ke tanah tumpah darah yang tercinta. Kalau tak silap saya di dewan ini pernah arwah Sudir dan CT buat persembahan suatu masa dulu.

Sungguh cantik perigi orang,
Cantik lagi perigi saya;
Sungguh cantik negeri orang.
 Cantik lagi negeri saya.


Gambar 16: Sebuah cenderamata Tower Bridge untuk kenang-kenangan. Saya perhatikan ramai yang terkeliru (termasuk saya sendiri sebelum kena tegur ) kerana menyangka ini adalah London Bridge.

Perhatian: Saya teringat bagaimana beg tangan Makngahnya kena curi. Sampai bila-bila pun saya tak boleh lupa bagaimana liciknya perbuatan si pencuri itu.  Ceritanya begini.  Pada satu pagi kami satu grup minum kat sebuah restoran tak jauh dari Marble Arch. Oleh kerana meja sempit, Makngahnya meletakkan beg tangannya di bawah meja di celah-celah kaki kami seramai 7-8 orang. 

Bila dah habis makan dan nak beredar, dia pun membongkok untuk mengambil begnya di bawah meja. Tetiba mukanya berubah kerana mendapati begnya sudah tiada. Saya dan lengkawan yang lain turut membongkok melihat ke bawah meja. Ternyata ia sudah ghaib. Langsung tak perasaan masa bila beg tersebut dicuri. Lepas insiden itu kami sangat beringat. Sesungguhnya musibah yang kecil itu sebagai peringatan untuk elakkan musibah yang lebih besar. Mujurlah yang hilang hanya beg, duit pound dan henfon. Passport tinggal kat bilik. Kalau pasport hilang, lagi berat masalahnya.


Thursday, October 26, 2017

4 SPESIS ISTERI PEMANCING.

 Gambar saya memancing di sungai Potomac ditemani oleh 4 orang isteri wanita termasuk tukang ambil gambar - 1984.

Secara umumnya saya boleh kategorikan isteri pemancing kepada 4 spesis.

1. Sama minat.

Dia mesti nak ikut suami pergi memancing. Bila dah lama tak pergi mancing, dia pula yang pujuk suaminya ajak pergi mancing. Kadang-kadang dia dapat lebih banyak hasil dari suaminya. Biasanya dia juga lebih bersungguh-sungguh memancing dari suaminya. Suaminya lepas baling pancing, duduk khusyuk main henfon.

2. Tak minat tapi sokong.

Kalau suami pergi memancing dia tak keberatan ikut sama tapi dia tak mancing. Dia mengait, baca buku atau mengadap henfon semasa suami memancing. Kalau dah lama tak makan ikan atau udang 'fresh', dia pulak suruh suaminya pergi memancing.

3. Tak minat dan tak sokong.

Dia tak suka suaminya pergi memancing. Macam-macam helah dia buat pada hari suami dijadualkan pergi memancing agar suami tidak dapat pergi memancing. Misalnya dia atur program pergi melawat anak kat asrama, pergi berbekam dan macam-macam helah lagi.

4. Tak kisah.

Dia suruh pun tidak, larang pun tidak. Terserah kepada suaminya nak pergi memancing ke atau tidak. Dia buat hal dia. Misalnya dia pergi berlatih berzanji dan sebagainya.




Thursday, October 19, 2017

SALAHKAH ORANG TUA MENGHADAP HENFON ?



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Masa dulu-dulu orang tua-tua atau orang dewasa bersosial dengan bertemu dan bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi. Lingkungannya terhad kepada kawan-kawan yang ada bersama pada masa itu. Sekarang di zaman ICT, medium kedai kopi itu telah diganti dengan henfon di mana capaiannya boleh sampai ke seluruh dunia. Macam-macam laman sembang tersedia dalam bentuk blog, forum, fesbuk, wasap, instagram, twitter dan seumpamanya yang boleh diakses melalui henfon.

Saya percaya ada juga orang yang memandang sinis bila melihat telatah orang-orang tua yang asyik menghadap henfon semasa tunggu bas, tunggu isteri shopping, tunggu cucu balik sekolah dsb.

Bagi saya tiada masalah asalkan jangan melampau batas misalnya berbalas wasap semasa dengar khutbah Jumaat! Saya sendiri sentiasa bawa henfon ke surau kalau ada ceramah atau kuliah ugama dengan tujuan mengambil nota. Nota-nota yang diambil boleh dicari semula dengan mudah dan pantas sekali. Ia juga boleh disalin untuk dipost di fesbuk atau wasap dan sebagainya.

Kalau mereka dikatakan membuang masa menghadap henfon, apa bezanya dengan orang dulu-dulu yang berborak atau main dam haji sekerat hari atau sekerat malam di kedai kopi?  Lagi pun henfon bukan bertujuan untuk bersembang sahaja.  Ada 1001 manfaat lain yang boleh diambil darinya. Antaranya yang saya gunakan hari-hari ialah membaca akhbar online. 

Jadi bila melihat orang tua tekun menghadap henfon, janganlah bersangka yang bukan-bukan kerana sangkaan itu sebenarnya melambangkan perangai diri sendiri. Entah-entah orang tua tu sedang bersembang dengan cucu-cucunya yang duduk berjauhan melalui wasap keluarga atau sedang menghafal surah-surah tertentu dalam al-Quran.

Berilah mereka peluang sebab masa mereka muda-muda dulu, henfon belum ada.



Saturday, October 14, 2017

BAHASA MELAYU TIDAK PELIK TAPI UNIK # 13 : CEK DOKTOR



Selalu kita dengar orang berkata dia "nak pergi cek doktor" bila dia rasa tak sedap badan. Tapi umum tahu bahawa bukanlah doktor yang hendak dia periksa tapi orang yang berkata itulah yang mahukan doktor memeriksa dia. Sekali dengar macam doktor itu pulak yang hendak diperiksa. Begitulah Bahasa Melayu. Kadang-kadang apa yang disebut bukan itu yang dimaksudkan. 

Bagi kita orang Melayu tidak rasa apa-apa kejanggalan kalau berkata atau mendengar orang berkata begitu. Misalanya tak ada orang Melayu yang akan bertanya, "doktor itu sakit apa ya?"

Bahasa Melayu tidak tidak pelik tapi unik.





Thursday, October 12, 2017

ALANGKAH PANDAINYA SAYA PADA MASA INI.



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Saya sudah berada dalam kelompok umur 60an sekarang. Saya ingin menghimbau kembali kenangan lama sebagai panduan dan ingatan kepada diri saya sendiri.

Bila saya masuk sekolah rendah dulu, saya rasa saya lebih pandai dari adik-adik saya yang masih belum bersekolah.

Kemudiannya bila saya masuk sekolah menengah, saya rasa lebih pandai dari masa saya bersekolah rendah dahulu. Pada masa itu baru saya sedar rupanya saya tidaklah sepandai mana semasa saya bersekolah rendah dahulu.

Bila saya masuk Universiti, saya rasa lebih pandai dari masa saya bersekolah menengah dahulu. Pada masa itu baru saya sedar rupanya saya tidaklah sepandai mana semasa saya bersekolah menengah dahulu.

Bila saya lulus universiti, saya rasa lebih pandai dari siswa yang masih kuliah. Pada masa itu baru saya sedar rupanya saya tidaklah sepandai mana pada masa saya menjadi mahasiswa di universiti dahulu. 

Bila saya sudah mula bekerja, saya rasa lebih pandai dari masa saya jadi pelajar dulu. Pada masa itu baru saya sedar rupanya saya tidaklah sepandai mana pada masa saya belajar di sekolah dan universiti dahulu.

Bila saya berumur 30an, saya rasa saya lebih pandai dari masa saya berumur 20an dulu. Pada masa itu baru saya sedar rupanya saya tidaklah sepandai mana pada masa saya berumur 20an dahulu.

Bila saya berumur 40an, saya rasa saya lebih pandai dari masa saya berumur 30an dulu. Pada masa itu baru saya sedar rupanya saya tidaklah sepandai mana pada masa saya berumur 30an dahulu.

Bila saya berumur 50an, saya rasa saya lebih pandai dari masa saya berumur 40an dulu. Pada masa itu baru saya sedar rupanya saya tidaklah sepandai mana pada masa saya berumur 40an dahulu.

Bila saya berumur 60an, saya rasa saya lebih pandai dari masa saya berumur 50an dulu. Pada masa itu baru saya sedar rupanya saya tidaklah sepandai mana pada masa saya berumur 50an dahulu.

Saya percaya bila saya berumur 70an nanti (insyaallah), saya akan tahu betapa tidak pandainya saya semasa saya berumur 60an ini.








Wednesday, October 11, 2017

WW # 154: BELUM READY NOMBOR 15.


Thursday, October 5, 2017

TERKENANG SEMASA DULU - 96 : INILAH WAJAH KELUARAN SULUNG BERITA PEJABAT SUPS.

Saya telah dipertanggungjawabkan oleh pihak pengurusan untuk menerbitkan Berita Pejabat SUPS (Setiausaha Persekutuan Sarawak) untuk diedarkan kepada semua jabatan persekutuan di Sarawak. Tugas itu agak berat bagi saya kerana umur baru setahun jagung dalam perkhidmatan dan belum ada pengalaman membuat kerja sebegini. Ia berlaku pada tahun 1980 yang mana saya baru sahaja bekerja dengan kerajaan selama kira-kira 2 tahun sahaja.

Namun atas sokongan dan dorongan dari YM Tuan Syed Rosley bin Syed Abu Bakar Bakar, Setiausaha Persekutuan Sarawak (kini Allahyarham dan bergelar Dato') serta pegawai atasan dan anggota sidang pengarang yang lainnya,
alhamdulillah Berita Pejabat SUPS Bil. 1/1980 berjaya diterbitkan buat pertama kalinya

Berikut saya muatkan beberapa muka surat yang saya kira menarik untuk tatapan pembaca sekelian.



Gambar 1: Muka depan yang memuatkan maklumat mengerai Sidang Pengarang,Isi Kandungan dan Sepatah Dua Kata dari YM Tuan Syed Rosley bin Syed Abu Bakar Bakar, Setiausaha Persekutuan Sarawak.


Gambar 2: Ini karangan saya sebagai Ketua Pengarang. Bukan main pandai lagi menasihatkan orang !

 

Gambar 3:  Ini adalah carta organisasi pejabat SUPS tempat saya bertugas.


Gambar 4: Kita juga memasukan satau segmen belajar loghat Melayu Sarawak. Segmen ini menarik perhatian pegawai-pegawai dari Semenanjung.



Gambar 5: Pada tahun-tahun awal 80an, Bahasa Inggeris masih lagi banyak digunakan, kalau tidak dalam tulisan ia banyak dituturkan dalam mesyuarat-mesyuarat rasmi atau perbincangan seharian. Bahkan saya masih lagi menerima surat-surat yang ditulis dalam Bahasa Inggeris. Di Dewan Undangan Negeri juga, ADUN  dibenarkan berbahas dalam Bahasa Inggeris. Dengan itu saya memasukan satu segmen "Mari Belajar Bahasa Malaysia" untuk panduan mereka yang belum cekap berbahasa Inggeris.


Gambar 6: Saya juga diberi kepercayaan untuk menjadi pengerusi Kelab Urusetia Persekutuan Sarawak. Dalam gambar pertama itu ada gambar saya menyampaikan cenderahati kepada mantan pengerusi yang terpaksa melepas jawatan kerana dipanggil balik berkhidmat di Semenanjung.
 
Pengalaman menjadi ketua pengarang ini amat berguna kepada saya kemudiannya. Saya kurang pasti samada Berita ini masih lagi diterbitkan lagi sehingga sekarang oleh pejabat yang ada. Kalau ada, baguslah.

 

Wednesday, October 4, 2017

KALAULAH ..


Kalaulah ...

Bangun tidur pagi tadi mata tak boleh lagi melihat; atau

Tangan tidak boleh lagi diangkat; atau
Kaki tidak boleh lagi berjalan; atau
Telinga tidak boleh lagi mendengar.


Air terputus bekalan; atau
Elektrik terputus sambungan; atau
Tiada makanan untuk sarapan; atau
Mulut tidak dapat mengunyah; atau
Kereta tidak boleh dihidupkan; atau
Tayar mengalami kebocoran.

Kalaulah ...

Brek kereta tiba-tiba tak “makan” ; atau
Kereta terbabas ke tepi jalan; atau
Terlanggar pembahagi jalan; atau
Tergesel motosikal di tengah jalan; atau
Dilanggar trak dari belakang; atau
Cermin pecah dilantun batu; atau
Minyak kereta kehabisan; atau
Jalan jem berbatu-batu; atau
Jambatan runtuh memutus jalan.

Kalaulah ...

Kita tidak ada pekerjaan; atau
Tiada gaji kerana tauke lari; atau
Syarikat bankrap, kita diberhenti; atau
Kilang tutup kerana berpindah ke luar negeri; atau
Tangan termasuk mesin, terputus jari; atau
Dimasukkan hospital dijangkiti H1N1.

Kalaulah ...

Balik ke rumah, rumah terbakar; atau
Runtuh dilanda taufan; atau
Dimasuki perompak melarikan simpanan; atau
Anak isteri dicederakan; atau
Orang rumah lari tanpa pamitan; atau
Anak deman panas yang keterlaluan; atau
Anak hilang tak dapat dikesan; atau
Anak patah kaki terjatuh buaian; atau
Pembantu ghaib membawa “buah tangan”.


Kalau semua itu tidak kejadian,
Alanghkah banyaknya nikmat tuhan.
Tetapi berapa kalikah kita mengucap kesyukuran ?

Itu baru nikmat seharian.

.