Wednesday, September 20, 2017

ANTARA KUTUKAN DAN DOA.



Macam-macam kutukan telah dilempar kepada mereka yang dituduh membakar pusat tahfiz tersebut.  Macam-macam hukuman telah dijatuhkan kepada mereka. Hingga ada yang mencadangkan supaya mereka dibakar hidup-hidup di khalayak ramai. Apakah anda fikir ibu bapa mereka menginginkan anak mereka jadi begitu ? Adakah anda fikir ibu bapa mereka tidak sedih dan tertekan gara-gara perbuatan anak mereka?

Dalam pada itu adakah sesiapa di antara kita yang telah berusaha ambil tahu apa masalah mereka? Cukup makan pakaikah mereka? Bagaimanakah kehidupan mereka berkeluarga? Cukup kasih sayangkah? Bagaimanakah keadaan tempat tinggal mereka? Siapakah yang ambil peduli dengan didikan dan persekolahan mereka?

Apakah yang telah kita buat selama ini untuk mendamping dan membimbing mereka agar berada di jalan yang betul? Sebaliknya kita memandang hina mereka. Kita cemuh mereka. Kita pinggirkan mereka. Kalau boleh kita tidak mahu terlibat sebarang urusan dengan mereka.

Kita jangan sombong kerana anak-anak atau ahli keluarga kita tidak macam mereka. Itu sekarang. Di masa depan belum tentu. Entah-entah kita sendiri yang mungkin terbabit dengan perbuatan yang lebih tidak bermoral. Nauzubillah. Kita kena ingat bahawa kesudahan hidup kita bukan kita yang tentukan. Kalau kita takabur, mungkin satu hari nanti Allah uji kita dengan ujian yang lebih berat dan lebih memalukan.

Tapi ia bukanlah bermakna mereka harus dilepaskan begitu sahaja. Keadilan harus diberikan kepada keluarga mangsa. Hukuman yang setimpal kepada yang bersalah perlu dijatuhkan sebagai balasan atas jenayah yang telah mereka lakukan serta sebagai teladan kepada kita semua.

Selanjutnya  pesan saya kepada diri sendiri.  Berpada-padalah. Jagalah lidah dan yang lebih penting jagalah hati agar dijauhkan dari segala penyakit rohani yang boleh membinasakan akhlak dan iman. Sesungguhnya tiada suatu kejadian pun yang sia-sia di sisi Allah.  Semua yang berlaku itu telah sedia ada dalam ilmu Allah dan ia berlaku sudah tentu dengan izinNya.  Barangkali kita belum nampak lagi apa hikmah di sebalik kejadian itu. Barangkali juga insiden tragis ini adalah hukuman atau kifarah Allah kepada kita semua yang semakin kurang sifat kepedulian dan kasih sayang sesama kita.

Adalah lebih baik kalau kita sama-sama doakan mereka selepas ini agar kembali ke pangkal jalan. Mereka masih budak-budak. Akal mereka belum panjang. Orang yang lebih dewasa pun ramai yang membuat kesilapan, apalagi mereka yang masih belasan tahun. Barangkali insiden ini akan menjadi satu titik tolak yang merubah gaya hidup mereka. Mana tahu berkat doa kita semua, mungkin satu hari nanti ada di antara mereka yang jadi hafiz dan pendakwah yang berjaya mengislamkan ribuan orang. Dan kita?

Ambillah iktibar dari sejarah Saidina Umar al-Khatab salah seorang Khulafah al-Rasyidin, yang berawal dari seorang yang sangat memusuhi Islam dan penganutnya di samping penyembah berhala, pemabuk bahkan sampai membuat rencana ingin membunuh nabi kita. Akhirnya beliau dia diberi taufik dan hidayah oleh Allah dan menjadi seorang sahabat karib nabi, seorang pejuang dan pembela Islam yang agung dan terpilih menjadi khalifah yang ke dua selepas Saidina Abu Bakar. Dan yang paling dicemburui dan diimpikan oleh semua orang beriman adalah jaminan masuk ke syurga seperti mana yang diterima olehnya.


Untuk pengetahuan mereka yang berhajat ingin menyumbang.

Tuesday, September 19, 2017

SONYUM SOKOJAP # 86: PERIBAHASA YANG PERIT UNTUK DIPERCAYA.

Gambar hiasan hasil carian Google.


Saya banyak bertemu peribahasa lama yang susah nak percaya. Contohnya seperti berikut:

1. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan - Banyak kali saya cari cendawan selepas hujan tapi tak jumpa pun.

2. Bagaikan telur di hujung tanduk - Maknanya keadaan yang sangat runcing. Runcing apanya. Dah pasti jatuh punya. Tak caya cuba.

3. Sekelip mata - Ada orang cakap "rompakan itu berlaku sekelip mata" - Sekelip mata tu cepat sangat. Macam tak menasabah je. Kurang-kurang pun satu minit.

4. Ibarat perigi mencari timba - Saya tak pernah tengok lagi. Kalau terjumpa mungkin saya akan lari. Hehehe.

5. Cubit peha kanan, peha kiri terasa sakit - Saya dah pernah buat tapi peha kiri tak ada ada rasa apa-apa pun.

Nota: Entri ini dilabelkan sebagai lawak.




Sunday, September 17, 2017

DARI FESBUK # 17: MAKSUD MENJIMATKAN, HADIAH DAN MEMBANTU YANG TERSEMBUNYI.


Monday, September 11, 2017

KENAPA PEPATAH SEUMPAMA INI BANYAK DICIPTA ?


 Gambar hiasan hasil carian Google.

Saya percaya ramai yang tahu makna 10 pepatah Melayu lama seperti berikut:

1. Pepat di luar rencong di dalam.
2. Air tenang jangan disangka tiada buaya.
3. Menggunting dalam lipatan.
4. Limau masak sebelah, kapal karam sekerat.
5. Kalau tak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.
6. Telunjuk lurus kelingking berkait.
7. Menangguk di air keruh.
8. Lembu punya susu sapi dapat nama.
9. Musang berbulu ayam.
10. Harapkan pagar, pagar makan padi.

Pepatah-pepatah tersebut pada tanggapan saya semuanya membawa konotasi yang kurang baik atau boleh ditafsirkan begitu. Lalu saya terfikir kenapa agaknya pepatah seumpama itu banyak dicipta oleh nenek moyang kita dahulu? Mungkinkah ia menggambarkan suasana atau cara hidup bermasyarakat orang dulu-dulu. Entahlah.

Tuesday, September 5, 2017

TERJADI SILAP FAHAM KERANA KERENGGA.

Gambar kerengga hasil carian Google.

Ada beberapa kali entri saya telah disalah faham oleh pembaca. Memang silap saya kerana suka berkias atau bermetafora. Kalau direct sangat, saya bimbang ada yang akan terasa.

Namun begitu saya tetap juga sedih bila disalahfahami oleh sesetengah pembaca. Apa nak buat. Benda macam ni memang susah nak dielak dari berlaku walaupun kita telah berhati-hati. Lebih-lebih dalam penulisan yang komunikasinya adalah sehala. Lainlah kalau kita duduk berdepan-depan, bolehlah bertanya masa itu juga atau melihat bahasa badan orang yang bercakap.

Salah satu entri yang saya rasa sedih sangat kerana mengundang salah faham pembaca adalah fasal kerengga.  Entrinya di sini. Walau pun entri ini sudah agak lama (2011), namun ia sangat memberi bekas pada hati saya yang kerananya membuatkan saya lebih berhati-hati bila membuat entri.