Thursday, August 10, 2017

MARI BERMAIN SMS 12 - JKKK.


Kali terakhir kita bermain SMS adalah pada 27 Disember 2016 dengan akronim SPAD.  Apa itu SMS? Entri mengenai sejarahnya ada di sini Diam tak diam rupanya sudah lebih 6 tahun usia permainan ini

Pada entri yang lepas cuma ada 3 penyertaan sahaja. Jadilah. 

Namun begitu ketiga-tiga penyertaan tersebut adalah menarik hati seperti berikut :


  1. S= Suka
    P= Pandang
    A= Anak
    D= Dara



  2. Saya
    Pantang
    Ada
    Duit

  3. Saya
    Pandai
    Adun
    Donat

Kali ini sekali lagi saya ingin mencabar minda anda untuk memberi akronim JKKK  pula. Saya percaya semua orang tahu maksud JKKK iaitu Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Seperti biasa saya mulakan dulu.

JKKKJIWAKU KACAU KERANA KAMU

Jika sudi dan ada idea, bolehlah anda sambung pula. Terima kasih.



Saturday, August 5, 2017

PANDUAN RINGKAS TENTANG CARA-CARA MENGARANG PANTUN.

Entri ini di buat berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya sahaja dan bukanlah tulisan yang ilmiah. Kalau ada kekurangan harap maafkan dan silalah beri komen yang membina. Saya juga sedar tidak ramai orang berminat untuk membacanya. Tak mengapalah.

Setiap pantun samada ia pantun dua kerat, empat kerat atau enam kerat, mesti ada pembayang dan maksud. Untuk lebih jelas, perhatikan contoh pantun berikut:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Pantun tersebut adalah pantun empat kerat. Rangkap pertama dan kedua pantun tersebut iaitu "kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi" adalah pembayang. Maksudnya pula adalah "kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi".

Pembayang adalah klu (clue) ke atas maksud yang ingin disampaikan. Sesuai dengan istilahnya, pendengar yang arif sudah boleh meneka maksud sesuatu pantun hanya dengan mendengar pembayangnya sahaja. Oleh hal yang demikian, pembayang yang baik haruslah boleh memberi bayangan kepada maksud yang ingin disampaikan, bukannya memberi gambaran yang salah.

Kalau maksud pantunnya sedih, pembayangnya pun harus sedih. Kalau maksudnya negatif, pembayangnya juga harus negatif, dan begitulah seterusnya. Lihat sahaja pembayang pantun di atas. "Kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi" memberi erti bahawa kita hanya boleh berjumpa kalau umur kita sama-sama panjang. Kalau dah meninggal, mana dapat berjumpa lagi.

Begitulah keadaannya dengan sumur (perigi). Kalau masih ada lagi sumur tersebut, maka bolehlah kita menumpang mandi. Kalau sumur tersebut sudah tidak ada lagi, maka tidak dapatlah kita hendak menumpang mandi lagi.

Alangkah cantiknya pembayang pantun tersebut yang dicipta oleh nenek moyang kita dahulu yang walaupun mungkin tidak bersekolah tinggi atau mungkin juga tidak bersekolah langsung, tetapi mempunyai ketajaman dan kebijaksanaan dalam menggubah pembayang yang begitu berseni, berkesan dan bermakna.

Cuba pula kita lihat pembayang yang saya rasa tak berapa cantik. Ia telah digubah oleh orang sekarang yang kalau tidak silap saya, pernah dinyanyikan oleh sebuah kumpulan nasyid sedikit masa dulu:

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Nampak tak maksud pantun dengan pembayangnya yang macam bertentangan. Pembayangnya membayangkan perkara yang elok-elok iaitu menceritakan tentang sepohon kayu yang mempunyai daun yang rimbun serta bunga dan buah yang lebat. Manakala maksudnya pula bertentangan iaitu mencela orang yang tidak sembahyang iaitu mereka yang mempunyai sifat yang tidak elok walaupun dikurniakan nikmat umur yang panjang.

Seterusnya saya akan bincangkan pantun dari aspek penyusunan rima pula. Berbanding dengan mencipta pembayang, menyusun rima adalah agak mudah sedikit.

Lihat contoh pantun yang mempunyai rima yang baik.

Rangkap 1. Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Rangkap 2. Gunung Daik Bercabang Tiga
Rangkap 3. Hancur Badan Di Kandung Tanah
Rangkap 4. Budi Yang Baik Di Pandang Juga.

Tumpukan kepada perkataan-perkataan yang diwarnakan.

Perkataan berwarna di rangkap 1 sama bunyinya dengan perkataan berwarna di rangkap 3. Pandan dengan Badan, Tengah dengan Tanah. Begitu juga perkataan yang berwarna  di rangkap 2 dengan rangkap 4, Daik denga Baik dan Tiga dengan Juga.

Lihat pula contoh rima yang tak cantik.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Bukankah jauh lari bunyi perkataan kayu dengan hidup dan bunganya dengan sembahyang

Begitulah sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenainya menggubah pantun.

Nota kaki: Entri ini saya salin dari entri asalnya di sini.