Showing posts with label tutorial. Show all posts
Showing posts with label tutorial. Show all posts

Saturday, August 5, 2017

PANDUAN RINGKAS TENTANG CARA-CARA MENGARANG PANTUN.

Entri ini di buat berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya sahaja dan bukanlah tulisan yang ilmiah. Kalau ada kekurangan harap maafkan dan silalah beri komen yang membina. Saya juga sedar tidak ramai orang berminat untuk membacanya. Tak mengapalah.

Setiap pantun samada ia pantun dua kerat, empat kerat atau enam kerat, mesti ada pembayang dan maksud. Untuk lebih jelas, perhatikan contoh pantun berikut:

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

Pantun tersebut adalah pantun empat kerat. Rangkap pertama dan kedua pantun tersebut iaitu "kalau ada sumur di ladang, boleh kita menumpang mandi" adalah pembayang. Maksudnya pula adalah "kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi".

Pembayang adalah klu (clue) ke atas maksud yang ingin disampaikan. Sesuai dengan istilahnya, pendengar yang arif sudah boleh meneka maksud sesuatu pantun hanya dengan mendengar pembayangnya sahaja. Oleh hal yang demikian, pembayang yang baik haruslah boleh memberi bayangan kepada maksud yang ingin disampaikan, bukannya memberi gambaran yang salah.

Kalau maksud pantunnya sedih, pembayangnya pun harus sedih. Kalau maksudnya negatif, pembayangnya juga harus negatif, dan begitulah seterusnya. Lihat sahaja pembayang pantun di atas. "Kalau ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi" memberi erti bahawa kita hanya boleh berjumpa kalau umur kita sama-sama panjang. Kalau dah meninggal, mana dapat berjumpa lagi.

Begitulah keadaannya dengan sumur (perigi). Kalau masih ada lagi sumur tersebut, maka bolehlah kita menumpang mandi. Kalau sumur tersebut sudah tidak ada lagi, maka tidak dapatlah kita hendak menumpang mandi lagi.

Alangkah cantiknya pembayang pantun tersebut yang dicipta oleh nenek moyang kita dahulu yang walaupun mungkin tidak bersekolah tinggi atau mungkin juga tidak bersekolah langsung, tetapi mempunyai ketajaman dan kebijaksanaan dalam menggubah pembayang yang begitu berseni, berkesan dan bermakna.

Cuba pula kita lihat pembayang yang saya rasa tak berapa cantik. Ia telah digubah oleh orang sekarang yang kalau tidak silap saya, pernah dinyanyikan oleh sebuah kumpulan nasyid sedikit masa dulu:

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Nampak tak maksud pantun dengan pembayangnya yang macam bertentangan. Pembayangnya membayangkan perkara yang elok-elok iaitu menceritakan tentang sepohon kayu yang mempunyai daun yang rimbun serta bunga dan buah yang lebat. Manakala maksudnya pula bertentangan iaitu mencela orang yang tidak sembahyang iaitu mereka yang mempunyai sifat yang tidak elok walaupun dikurniakan nikmat umur yang panjang.

Seterusnya saya akan bincangkan pantun dari aspek penyusunan rima pula. Berbanding dengan mencipta pembayang, menyusun rima adalah agak mudah sedikit.

Lihat contoh pantun yang mempunyai rima yang baik.

Rangkap 1. Pulau Pandan Jauh Ke Tengah
Rangkap 2. Gunung Daik Bercabang Tiga
Rangkap 3. Hancur Badan Di Kandung Tanah
Rangkap 4. Budi Yang Baik Di Pandang Juga.

Tumpukan kepada perkataan-perkataan yang diwarnakan.

Perkataan berwarna di rangkap 1 sama bunyinya dengan perkataan berwarna di rangkap 3. Pandan dengan Badan, Tengah dengan Tanah. Begitu juga perkataan yang berwarna  di rangkap 2 dengan rangkap 4, Daik denga Baik dan Tiga dengan Juga.

Lihat pula contoh rima yang tak cantik.

Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat bunganya serta buahnya,
Walapun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa gunanya.

Bukankah jauh lari bunyi perkataan kayu dengan hidup dan bunganya dengan sembahyang ! 

Begitulah sedikit sebanyak apa yang saya tahu mengenainya menggubah pantun.

Nota kaki: Entri ini saya salin dari entri asalnya di sini.


Friday, July 20, 2012

TUTORIAL 2: BAGAIMANA MAHU MENGGUNAKAN PERISIAN "QURAN EXPLORER"

Walaupun teramat sedikit kecewa kerana tiada siapa yang mahu mencuba apa yang saya tutorialkan lewat entri ini dahulu, saya harap tutorial saya kali ini, akan ada yang ingin mencubanya.

Kali ini saya nak tunjukkan kepada mereka yang belum tahu bagaimana hendak memanfaatkan perisian "Quran Explorer". (Betul ke istilah perisian ?)  Bagi yang sudah mahir, terima kasih kerana sudi singgah dan harap gunakannya selalu. Saya sendiri sering menggunakannya bila tersangkut semasa membaca Quran.



Langkah 1: Untuk kemudahan anda semua, untuk memulakannya pergi sahaja ke sudut atas sebelah kanan blog saya. Klik kat Quran Explorer. Selepas itu bolehlah buat "bookmarks"



Langkah 2: Sila klik ikon "play" di sudut kiri bawah dan by default ia akan memaparkan surah al-Fatihah dengan terjemahan dalam Bahasa Inggeris.


Langkah 3: Kalau kita tidak mahu mendengar audio terjemahannya dalam Bahasa Inggeris, sila pilih 'hide' dan klik. Dan kalau kita mahu terjemahan secara tulisan dalam bahasa lain dari Inggeris, silalah pilih bahasa yang dikehendaki dari 14 bahasa yang di sediakan. 

 

Langkah 4: Untuk mendengar bacaan, ada 15 Qari yang boleh dipilih.  Saya suka dengan bacaan Sheikh Abdul Bassit kerana ia membaca secara berlahan dan berlagu. Kalau kita tidak pilih siapa-siapa, by default dia akan berikan bacaaan dari Sheikh Mishari-Rashid. Bacaan  Mishari agak laju sedikit, sesuai untuk yang sudah cekap.


Langkah 5: Kalau kita ada masalah rabun dekat, bolehlah dibesarkan 'font' mengikut saiz yang sesuai untuk mata kita. Cuma klik tanda + atau - pada ikon kanta di sudut kanan atau tengah sebelah bawah.



Langkah 6: Kita juga boleh memilih untuk membaca terjemahannya dalam Bahasa Melayu sebelah menyebelah seperti cetakan skrin di atas.


Langkah 7: Kemudian ulangi langkah-langkah yang disebutkan sebelum ini untuk memilih surah yang lain pulak. Misalnya surah Yaasin seperti di atas.


Semoga tutorial ini ada manfaatnya kepada mereka yang belum tahu dan selalu-selalulah menggunakannya selepas ini.

Tuesday, May 15, 2012

TUTORIAL 1: RETRO VINTAGE EFFECTS.

Ini percubaan pertama saya buat tutorial. Kalau ada kekurangan harap dimaafi dan silalah tokok-tambah di sana sini.  Terima kasih kepada Ifa anak saya yang menunjukkan kepada saya tempat dan cara membuatnya. 

Sebelum pergi jauh, saya minta anda pergi ke entri ini sekejap, untuk melihat gambar-gambar yang telah siap diberi kesan retro.  Kalau masih ingat, salah satu gambar yang saya muatkan adalah seperti di bawah.



Dari komen-komen yang saya terima dalam entri tersebut, saya membuat kesimpulan bahawa ramai yang tidak tahu tempat dan cara membuatnya, lantas menganggap ianya susah dan memakan masa. Bagi saya ia amat mudah dan pantas serta menyeronokan.

Jika anda berhajat hendak mencuba,  silalah ikuti tutorial bergambar seperti di bawah.


Langkah 1: Mula-mula pergi kat kotak address dan taipkan pixlr.com.  Kemudian gambar seperti di atas akan keluar dan klik kat -> Retro vintage effects < -
Sebenarnya dari sini anda sendiri pun sudah boleh buat tanpa tutorial kerana arahannya sangat mudah difahami.
 

Langkah 2: Kemudian pilih imej yang hendak di beri kesan retro itu, samada dari webcam atau computer. Untuk tutorial ini sila klik pada  'computer'



Langkah 3:  Lepas itu klik kat imej/gambar yang berkaitan. Macam contoh di atas, saya pilih gambar-gambar saya yang ada di desktop. Seterusnya klik pada gambar yang berkenan. Di sini saya pilih gambar saya sendiri  yang saya rasakan paling hensem.



Langkah 4: Selanjutnya akan keluar gambar yang dipilih itu dalam piring seperti di atas. Kemudian pilihlah warna atau corak retro yang di minati. Di sini saya pilih corak 'jinx'. Nampak tak meter 3 warna kat bawah gambar tu ? Masa ini jarum meter tu tunjuk merah.


Langkah 5: Saya pilih corak "trails" seperti di atas. Sekarang jarum meter telah bertukar ke warna biru. Nak tukar jarum meter tu senang saja. Klik pada arrow di kiri atau  kanan di sebelahnya atau terus klik pada warna.


Langkah 6: Sekarang pilih pulak bingkainya. Alihkan jarum meter  tu dulu ke warna kuning. Dalam kes  ini saya pilih bingkai "Scrap" . 



Langkah 7: Kemudian simpanlah di mana suka. Saya sendiri suka simpan kat 'desktop'.
 
 

 Langkah 8: Tuliskan nama gambar tersebut ikut kesesuaian supaya senang nak cari nanti.

 
   
 Langkah 9: Inilah hasilnya. Seterusnya jangan lupa tunjukkan hasil yang anda buat  dalam sebuah entri khas dan linkkan ke blog saya sebagai menghargai penat lelah dan titk peluh saya membuat tutorial ini dan maklumkan kat kotak komen saya supaya saya boleh melawat. Kalau tak buat pun tak apa. Terima kasih.

Mudah kan ? Tapi jangan pula mengharapkan hasilnya nanti boleh membuatkan rupa anda lebih lawa  dari keadaan sebenar.