Sunday, February 15, 2015

TERKENANG SEMASA DULU 88: PENGALAMAN MEMANDU KERETA MERCEDES DI AMERIKA.

Allah telah merancang hidup saya dengan baik sekali bahkan lebih baik dari apa yang saya impi dan jangkakan. Semua yang telah ditakdirkan untuk saya adalah yang terbaik. Syukur sangat-sangat kepadaNya.

Menghimbau kembali kenangan lama, beberapa tahun sebelum saya membeli kereta Mercedes baru di USA, saya menghabiskan cuti semester saya dengan menoreh getah di kebun milik orang. Kebun getah milik sendiri belum ada. Hasilnya tidaklah sebanyak mana dan rasa tidak setimpal dengan kepayahan dan keletihan, kerana selain hasil  jualan kena dibahagi dua, harga getah pula pada masa itu adalah sangat rendah.

Cuma selepas peperiksaan akhir di Universiti Malaya baru saya berhenti menoreh getah kerana mula mencari pekerjaaan. Tapi pada masa itu mencari kerja adalah sangat mudah. Minta 3 jawatan, tiga-tiga dapat. Boleh pilih-pilih lagi. Dan ada jawatan yang kita tidak minta pun dapat.

Mula-mula saya mendapat tawaran menjadi Pengajar (Pembantu Pensyarah) di Universiti Malaya. Kerja ini tidak saya pohon sebaliknya ditawarkan kepada saya oleh seorang pensyarah yang pernah mengajar saya di UM sebelum ini. Kami bertemu semasa saya bekerja di sebuah restoran di Jalan Pantai Baru dan dia singgah makan tengah hari di situ.



Gambar 1. Kad kampus ini akan menjadi kenangan buat selama-lamanya kepada saya yang pernah menjadi Pengajar di Universiti Malaya pada tahun 1977.

Setelah beberapa bulan betugas sebagai Pengajar, saya mendapat tawaran  jawatan PTD. Pada masa itu, saya pun tidak tahu apa itu PTD, tapi atas pengaruh rakan-rakan yang mendapat tawaran yang sama, saya membuat keputusan berhenti menjadi Pengajar dan memilih PTD dan kekal dalam perkhidmatan itu sehingga saya bersara secara pilihan pada tahun 2007. 

Sesudah 3 tahun berkhidmat sebagai pegawai PTD, saya memohon untuk bekerja dengan Jabatan Penuntut Malaysia. Selepas melalui proses pemilihan, saya berjaya dan ditempatkan di Washington D.C berkuatkuasa mulai 1 Disember 1981.

Setelah bekerja kira-kira setahun setengah saya pun menurut jejak kawan-kawan membeli sebuah kereta Mercedes Benz dari kilangnya di German kerana inginkan kereta pemanduan sebelah kanan. Kalau beli di USA, semua kereta sterengnya di sebelah kiri. Kalau bawak balik ke Malaysia nanti akan bermasalah. Membawa kereta stereng di sebelah kanan semasa di sini juga ada masalahnya seperti semasa hendak membayar tol atau parking, tapi masalah itu kecil dan sementara sahaja. Sementara berada di sini.



Gambar 2:  Inilah model kereta yang terbaru pada masa itu. Saya membelinya dengan pinjaman kerajaan. Kalau tak silap harganya  cuma RM18 ribu sahaja tidak termasuk kos insuran dan shipment dari kilangnya di German.


Gambar 3:  Kelihatan dibelakang adalah pohon-pohon yang sudah tidak berdaun menunjukkan musim gugur dan memasuki musim sejuk. Sungguhlah kurus badan saya pada masa itu.


Gambar 4: Tidur dalam kereta  semasa dalam perjalanan makan angin ke Kanada kerana tidak berjumpa hotel yang ada kekosongan pada masa itu.

Pengalaman mengambil kereta dari pelaburahan Baltimore adalah suatu pengalaman yang indah dan mendebarkan. Dengan dihantar oleh seorang kawan saya, saya pergi  mengambilnya di pelabuhan yang tidaklah berapa jauh sangat dari pejabat saya.  Teruja sungguh melihat kereta itu buat kali pertama dan memandunya balik ke pejabat selepas itu.

Ketika kereta itu muncul dari kawasan simpanan di pelabuhan, hati melonjak gembira dan merasa satu macam kepuasan. Seperti ketika pertama kali melihat wajah anak sulung rasaya.  Di luar khayal saya sendiri yang baru beberapa tahun sebelum ini bergelumang dengan getah, kini menjadi seorang pemilik sebuah kereta Mercedes baru dan memandunya di Amerika Syarikat. Sesungguhnya pengalaman itu sangat manis dan tidak akan terlupakan hingga ke akhir hayat saya.


Gambar 5: Ini adalah kereta saya sebelum bertukar ke Mercedes. Bagus kereta ini walaupun saya beli sekenhen kerana sepanjang memandunya hingga ke Bloomington, Indiana, tidak pernah menimbulkan masalah. 

Kereta Mercedes itu saya bawa balik ke Malaysia dan selepas 5 tahun saya menjualnya kepada abang sepupu saya dan dia juga selepas beberapa lama, menjualnya kepada orang lain. Kalau benda baik, memang tak susah nak jual. Ada sahaja orang yang berkenana nak beli.