Monday, October 17, 2016

SEDIKIT PETUA MENGHADIRI TEMUDUGA.

Penulis pernah menjadi ahli Lembaga Parol selama tiga tahun dari 2007-2009. Pas ini  digunakan semasa mengikuti bengkel 5S di Kuching, Sarawak.


Prakata: Entri ini bukan dari seorang pakar motivasi atau ahli saikologi tetapi merupakan pandangan peribadi saya berdasarkan memori saya sebagai seorang pesara yang telah terlibat dengan banyak temuduga.

Sepanjang perkhidmatan saya dengan kerajaan, banyak kali juga saya dilantik menjadi ahli panel temuduga untuk sesuatu tempoh tertentu, samada temuduga untuk mendapatkan biasiswa, kenaikan pangkat, pengambilan dan sebagainya. Urusan ini bukanlah tugas hakiki saya.  Kalau urusan temuduga yang tidak lama tempohnya, cuma memakan sehari dua, seronok juga. Tapi kalau sudah berminggu-minggu, jemu juga selain terpaksa berjauhan dengan keluarga. Sementelah pula tugas hakiki di pejabat yang ditinggalkan, kita juga yang kena buat bila kembali semula bertugas.

Kemudiannya selepas saya bersara secara pilihan, saya telah dilantik secara kontrak untuk tempoh selama tiga tahun sebagai ahli Lembaga Parol yang antara lain tugasnya adalah menemuduga banduan untuk diparolkan. 

Berikut adalah beberapa tips yang ingin saya kongsikan terutamanya untuk mereka yang ingin menghadiri temuduga kenaikan pangkat kerana bagi saya ekspektasi kepada mereka ini adalah lebih tinggi dari calon-calon yang baru meminta kerja atau biasiswa.

1. Beri salam dan ucapan selamat pagi atau petang. Tak perlu bersusah payah bersalam dengan semua ahli penemuduga. Saya tidak pernah memberi markah tambahan kepada orang yang berbuat begitu.

2. Pakai pakaian yang sesuai dengan pekerjaan yang diminta. Misalnya kalau minta jawatan sebagai Ofice Boy, tak perlulah pakai kot dan tali leher. Cukup dengan pakaian yang kemas. Atau kalau minta pekerjaan sebagai pegawai PTD, janganlah pula pakai baju lengan pendek.

3. Duduk elok-elok dan selesakan diri tapi jangan pulak sampai terlalu selesa hingga bersilang kaki.

4. Jawab dengan tenang. Dengar dulu soalan. Kalau tak faham, minta dengan baik supaya diulang.

5. Kalau tak tahu jawapan, cakap tak tahu, jangan cuba nak jawab berbelit-belit. Ahli panel tahu kalau awak tak tahu.

6. Kalau ada ahli panel buat lawak, gelaklah sikit. Jangan buat muka ketat, tapi jangan pulak sampai ketawa mengilai-ngilai.

7. Bagi yang hadir temuduga memohon kerja, seelok-eloknya buat kerja rumah untuk mengetahui sedikit sebanyak bentuk kerja, bidang tugas, tanggung-jawab dan skop jawatan yang diminta. Ini memberi gambaran yang anda memang benar-benar berminat dengan kerja yang dipohon.

8. Untuk mereka yang hadir temuduga bagi kenaikan pangkat, harus memahami organisasi, tanggung-jawab serta tugas tempat bertugas anda. Saya ingin bawa kisah menemuduga seorang pegawai Melayu pertengahan umur dari JPJ. Dia tak tahu huruf pada nombor plet kenderaan untuk negeri mana. Yang dia tahu tahu cuma huruf 'C' untuk negeri Pahang, tempat dia sedang bertugas dan huruf 'B' untuk Selangor tempat dia pernah bertugas sebelum ini. Berbeza degan seorang pegawai bukan Islam dari AADK (Agensi Anti Dadah Kebangsaan) yang bila saya tanya kenapa dadah itu haram, dia boleh memetik ayat Quran yang relevan untuk menyokong jawapannya.

9. Jangan mudah melatah kalau kena soalan berbentuk provokasi. Bab ini saya nak lanjutkan sikit perbicaraannya.

Kadang-kadang penemuduga sengaja buat soalan provokasi untuk menilai peribadi dan kematangan anda memberi jawapan. Betul atau salah, itu perkara kedua. Yang penting bagaimana anda memberikan justifikasi. 

Di sini saya ingin ceritakan sebuah kisah semasa saya jadi ahli temuduga kenaikan pangkat.

Bila masuk seorang pegawai wanita yang cantik berumur pertengahan 30an, saya tidaklah mengharapkan apa-apa yang luar biasa, Kemudiannya kami diberitahu bahawa suaminya adalah seorang pakar bedah di sebuah hospital swasta. Dia juga tidak berselindung memberi tahu gaji suaminya yang sekitar RM80 ribu sebulan.

Kebetulan pada masa itu heboh diperkatakan tentang saranan seorang Menteri Besar supaya isteri yang comel yang sudah bersuami supaya meletak jawatan untuk beri peluang kepada wanita yang kurang comel yang masih menggangur untuk dapat pekerjaan.

Saya mengambil peluang menggunakan isu ini untuk bertanyakan pendapat pegawai itu. Lebih kurang begini bunyi soalan saya:

"Apakah pandangan puan akan saranan supaya isteri cantik yang bekerja di mana suaminya mampu menyara isterinya supaya berhenti bekerja untuk beri peluang kepada wanita lain yang masih belum berkahwin mendapat pekerjaan?"

Dengan tenang dan teratur dia menjawab. Lebih kurang begini bunyinya. 

"Saya rasa saranan itu ada meritnya. Tapi saya tidak dapat berbuat demikian pada masa ini kerana beberapa sebab. Pertamanya, saya masih ada ibu bapa yang perlukan bantuan saya. Saya rasa malu untuk mengambil duit suami untuk diberikan kepada ibu bapa saya di samping tiada rasa kepuasan memberi sebagai membalas jasa mereka. Kedua, saya masih muda. Walaupun saya tidak meminta, tapi jika sesuatu perkara buruk terjadi kepada suami atau perkahwinan kami, saya rasa lebih selamat jika bekerja. Ketiga, saya rasa saya masih boleh menyumbang kepada kerajaan dan rasa rugi jika tidak berbuat begitu kerana mempunyai pengalaman dan kelulusan. Dan akhirnya saya masih boleh mengendalikan keluarga saya tanpa menjejaskan mutu kerja saya"

Walaupun jawapan beliau agak panjang, tapi tiada siapa di kalangan kami ahli panel seramai tiga orang yang meminta dia berhenti bercakap. Kemudiannya setelah beliau keluar, masing-masing ahli panel melahirkan rasa kagum dengan beliau dan menyokong dia diberikan kenaikan pangkat. Kita tertarik dengan cara dan kebijaksanaan dia menjawab dengan tertib, jelas dan tenang. Samada kita setuju dengan jawapannya atau tidak, itu tidaklah penting sangat kerana masing-masing punya hujah dan alasan tersendiri.

Semoga entri ini ada manfaatnya. 



8 comments:

  1. Catatan yang sangat bermanfaat. Semoga ramai calon-calon temuduga membaca catatan ini. Baik kalau dapat dikongsikan di facebook kerana rasanya lebih ramai dapat membaca... :)

    ReplyDelete
  2. tq uncle,entry yang sangat bermanfaat..uncle apa khabar? Baru sempat tinggal komen,tapi sentiasa baca setiap entry uncle. jadilah saya insan yang tidak menunai janji..so sorry - indai igat

    ReplyDelete
    Replies
    1. biasalah dah usia emas ni .. longgar sana longgar sini.hehe
      terima kasih kerana sudi singgah.

      Delete
  3. Boleh guna untuk diri sendiri nanti.. terima kasih pak ngah..

    ReplyDelete
  4. apa pendapat tuan sebagai penemuduga..utk temuduga kerajaan disarankam resume bahasa melayu atau bahasa inggeris.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya rasa BM lebih sesuai melainkan dinyatakan dengan jelas sebaliknya.

      Delete

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.