Selama ini dalam urusan jual beli, kita berpegang kepada prinsip yang diterapkan oleh barat iaitu pelanggan atau pembeli sentiasa betul (The customer is always right). Tetapi adakah itu satu prinsip yang betul ?
Sekali pandang macam betul kerana sebagai penjual rezekinya seolah-olah ditentukan oleh pembeli atau pelanggan. Kerana jika tiada pelanggan, akan tutup kedai. Jadi untuk kekal berniaga, hati pelanggan kenalah dijaga, walaupun pelanggan yang bersalah, supaya mereka tidak marah dan berhenti dari berlanggan dan beralih arah.
Tetapi saya rasa ini adalah pandangan yang silap samada dilihat dari sudut ugama Islam atau budaya Melayu. Islam menyarankan supaya bertimbang rasa (tasamuh) di antara dua belah pihak iaitu antara penjual dengan pembeli. Kalau penjual ada tanggung jawab, pembeli juga punya tanggung jawab.
Antara tanggung jawab pembeli agar boleh dianggap sebagai pembeli yang bertimbang rasa dan bertolak ansur adalah:
1. Menyediakan wang kecil secukupnya. Misalnya kalau nak beli barang harga RM1, janganlah hulur duit RM50 apa lagi duit RM100. Kadang-kadang ada juga pembeli berbuat begitu bukan sangat kerana hendak membeli barang itu, tetapi lebih kepada hendak menukar duit.
2. Tidak menawar secara melampau. Misalnya kita nak beli sayur pucuk paku dari seorang makcik tua yang berharga RM2 seikat, janganlah diminta kurang sampai seringgit. Eloknya bayar sahaja dengan harga yang ditetapkan. Lebih baik lagi kalau dapat bayar lebih dari harga yang diminta. Berapa sangatlah keuntuntungan dari menjual sayur-sayuran itu.
3. Jika kita tak mahu membeli atas sebab-sebab tertentu, tolaklah dengan baik. Jangan keluarkan perkataan yang menyakitkan hati seperti "cekik darah" dan sebagainya. Atau mencemuh kualiti atau rupa keadaan barang itu. Kalau tak mahu beli, tidak mengapa. Itu hak pembeli. Tetapi sila letak barang itu baik-baik, dan berlalu dengan ucapan terima kasih atau memberi salam. Percayalah, tidak akan jatuh martabat kita kalau berbuat begitu.
Tentu ada lagi tanggung jawab pembeli kepada penjual yang anda boleh fikirkan berdasarkan komensen agar hubungan kemanusiaan terpelihara. Kalau sudi, anda boleh berkongsi atau menambah di ruangan komen. Terima kasih.