Friday, January 22, 2021

EK 1: MASUK KELAS LANJUTAN.



 Tangkap layar dari wall fesbuk saya.


Saya cuma dapat Gred 3 dalam peperiksaan SPM pada tahun 1971. Hendak masuk ke tingkatan 6 di sekolah Kerajaan, tidak layak. Hendak masuk ke maktab perguruan atau maktab lain yang setaraf juga tidak layak kerana kelayakan minimum sekurang2nya mesti dapat Gred 2. Tambahan pula ada subjek teras saya hanya setakat lulus sahaja. Mahu tak mahu saya cuba-cuba cari kerja. Setelah beberapa bulan berusaha namun masih tidak berjaya. Bukan senang nak dapat kerja pada masa itu.

Selepas beberapa bulan menganggur, saya diberi tahu ada kelas petang (kelas lanjutan) untuk tingkatan 6 akan dibuka di Sekolah Menengah Za'ba, di Kuala Pilah. Atas galakkan keluarga, saya pun mendaftar sebagai pelajar di sekolah tersebut. Kelas itu adalah atas usaha pertubuhan GPMS yang menyediakan dan menanggung elaun guru yang mengajar. Kami hanya dikenakan sedikit bayaran iaitu sebanyak RM4 sebulan untuk diberi kepada sekolah kerana menggunakan air dan letrik sekolah tersebut. Oleh kerana bilangan pelajar yang agak ramai, dua kelas telah dibuka. Hanya di situlah di daerah Kuala Pilah satu-satunya tempat untuk mereka yang tidak dapat masuk ke tingkatan 6 di sekolah kerajaan, menyambung pelajaran. Saya tidak ingat jumlah sebenar pelajar tapi kalau tak silap saya lebih kurang 80 orang kesemuanya.

Saya menyewa sebuah rumah dengan dua orang kawan lain kira-kira 3 km dari sekolah tersebut, setelah beberapa kali saya berpindah menyewa rumah. Rumah sewa kami ini besar, selesa dan cantik, lengkap dengan segala perabot dan peralatan dapur. Sewanya pun murah sahaja kerana tuan rumahnya tidak mahu rumahnya terbiar kosong kerana dia bekerja di daerah lain. Untuk makan kami berkongsi masak. Kerap juga makcik sebelah rumah hantar lauk kepada kami. Kami bertiga berbahagi tugas. Seorg memasak, seorang membasuh pinggan dan mengemas rumah dan saya membeli dan menyediakan keperluan dapur.

Kami bertiga berjalan kaki untuk ke sekolah. Jika ada cerita bagus di pawagam di pekan Kuala Pilah, bilangan murid dalam kelas akan merosot, terutamanya pelajar lelaki. Tiada disiplin yang ketat ditetapkan. Pakaian ikut suka. Kehadiran terserah kepada empunya diri. Setelah 2 tahun belajar dengan susah payahnya saya pun mengambil peperiksaan STPM buat pertama kalinya pada tahun 1973.

... bersambung.



Nota Kaki. 

Kisah ini telah saya poskan di wall fesbuk saya. Mulanya secara suka2 tapi bila ada yang minta untuk saya sambung, saya lanjutkan penulisan hingga 36 episod.



.

6 comments:

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.