Thursday, February 4, 2021

EK 2: MENEMPUH PEPERIKSAAN.


Tangkap layar dari wall fesbuk saya.


Pusat peperiksaan bagi calon STPM daerah Kuala Pilah adalah di Sekolah Tuanku Muhammad.  Ia tak jauh dari sekolah Menengah Za'ba, tempat saya belajar semasa di tingkatan 6. Pelajar yang ambil peperiksaan digabungkan dengan calon persendirian, kebanyakannya guru sekolah lulusan maktab perguruan. 

Sepanjang tempoh peperiksaan, saya tak ingat berapa lama, saya menumpang di rumah Mak Cik saya di Kampung Serting Hilir,  kira-kira 20 km dari sekolah. Semuanya berjalan lancar kecuali pada hari peperiksaan Kertas Am, bas dari Bahau ke Kuala Pilah, telah terlewat dari biasa.  Kertas Am adalah subjek yang sangat penting, kerana ia wajib lulus sebagai syarat untuk masuk Universiti. Saya sangat gelisah semasa menunggunya. Akhirnya bila bas sampai,  saya melompat naik untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Pilah. Terasa bas berjalan sangat perlahan. Mahu saja rasanya saya menyuruh pemandu bas bawa laju dan jangan berhenti mengambil atau menurunkan penumpang.  Nasib baik bas yang saya naiki tidak mengalami kerosakan di tengah jalan. Kalau tidak tak taulah apa nak jadi. 

Dari stesyen bas untuk sampai ke pusat peperiksaan,  saya perlu berjalan kaki yang jaraknya lebih kurang 1.5 km. Semasa saya berjalan laju menuju tempat peperiksaan,  saya kerap memandang ke belakang, dengan harapan ada orang yg sudi menumpangkan. Kira-kira satu pertiga perjalanan,  tetiba ada sebuah Vespa yg ditunggang seorang lelaki berhenti dan bertanya arah tujuan saya.  Setelah diterangkan,  dia pun mempelawa saya menaiki motornya. Apa lagi terus saya memboncengnya. Sesampainya ke pusat peperiksaan, masa telah berlalu lebih setengah jam. Sebaik turun dari motor yang saya bonceng,  saya pun berlari menuju ke bilik peperiksaan di tingkat satu.  Nasib baik penyelia membenarkan saya masuk. Tanpa berlengah dengan nafas yang termengah2, saya pun mula menjawab soalan secepat yang boleh sehingga masa tamat. Saya akui bahawa saya tidak dapat menjawab semua soalan dengan baik. Tulisan sendiri pun mungkin susah atau tak dapat saya baca. Redha dan berserah sahajalah. Apa lagi yang boleh dibuat. 

Adakah saya lulus percubaan pertama saya mengambil peperiksaan STPM,  tunggu episod seterusnya. 


.. bersambung.

5 comments:

  1. saya dulu kali pertama amik STPM cuma dpt 1P haha...kali kedua alhamdulillah

    ReplyDelete
  2. aduh...saya pula yag berdebar nak tahu perkembangan kisah ni.

    ReplyDelete

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.