Monday, February 10, 2014

KALAU IKAN MAHAL, KITA BELA IKAN.


Gambar hiasan hasil carian Google.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia yang gemar makan ikan atau udang air tawar (sungai). Saya salah seorang penggemar tegar ikan atau udang sungai. Harga ikan dan udang sungai, rata-rata lebih mahal dari ikan dan udang laut.  Nak tangkap sendiri macam dulu-dulu, sudah terlalu sukar kerana ikan dan udang sudah tiada lagi atau sangat berkurangan di sungai dan di tasik-tasik di tempat kita.

Oleh itu saya ingin mencadangkan supaya kerajaan menjalankan program jangka sederhana dengan melepaskan anak ikan dan udang secara besar-besaran dan berterusan ke dalam sungai, tasik, kolam dan tempat-tempat berair lain yang sesuai. Contonya di Sungai Pahang, Sungai Perak, Sungai Muar, Tasik Kenyir, Tasik Banding dan seumpamanya. Saya cadangkan peruntukan sejumlah RM100 juta setahun disedikan untuk tempoh selama 5 tahun agar kesannya dapat dirasakan.

Saya dapat membayangkan keseronokan menangkap ikan atau udang secara lestari di tempat-tempat tersebut. Ia juga merupakan satu aktiviti riadah yang sihat disamping dapat mengurangkan belanja dapur rakyat Malaysia secara langsung mahupun secara tidak langsung.

Ikut teori ekonomi bila harga ikan atau udang sungai turun, maka harga ikan dan udang laut yang menjadi saingannya juga akan turut turun.

Mana nak cari duit RM100 juta ?  Peruntukan sebanyaki itu tidaklah sebanyak mana bagi kerajaan persekutuan. Kuranglah sedikit pembelanjaan untuk pelbagai sambutan yang diraikan pada setiap tahun . 

Saya mohon mencadangkan ! 



Saturday, February 8, 2014

TAK BUAT APA-APA KERANA YAKIN,



Haiqal macam tuan besar duduk kat belakang.

Setiap hari saya jemput anak saya dari sekolah bila mendapat panggilan telefon dari dia kecuali hari Jumaat. Sebabnya dia balik tak menentu. Katanya ada silat dan balik 5.30 petang, tapi kadang-kadang pukul 6.30 petang belum selesai. Kadang-kadang langsung batal. Hari Jumaat masa baliknya tetap jam 12.20 tengahari.

Jadi saya buat persetujuan dengan anak saya (Haiqal), yang saya hanya akan jemput dia bila dia telefon. Lagi pun rumah saya dekat je dengan sekolahnya. Cuma kira-kira 5 minit berkereta dalam kelajuan bukan luar biasa.

Satu petang dalam kereta semasa perjalanan balik dari mengambilnya, saya mengajukan satu soalan kepada dia.

Saya: "Katalah telefon awam tu rosak dan tak ada sorang pun kat situ untuk pinjam telefon, Iqal nak buat apa ?"

Haiqal: "Tak yah buat apa-apa". Jawabnya bersahaja.

Saya: "Tak buat apa-apa ? Kenapa ?" Tanya saya kerana ingin tahu sebab dia berkata begitu.

Haiqal: Sebab Iqal tahu Ayah mesti datang ambek punya !

Begitulah keyakinan seorang anak kepada ayahnya.

Tuesday, February 4, 2014

KISAH BENAR PENGALAMAN SAYA MENAIKI BAS EKSPRES.




Selfie di dalam bas sebelum bas bergerak.


Sebetulnya saya sudah lama tidak menaiki bas ekpres. Kali terakhir kalau tidak silap ialah pada tahun 1984 balik dari Perlis ke KL.

Minggu lepas sempena cuti Hari Raya Cina saya balik ke Perlis (kampung Makngahnya) menaiki bas ekpres. Naik dari Seremban terus ke Perlis. Bertolak kira-kira jam 11 malam dan sampai kira-kira 5 pagi waktu tempatan.

Sebaik menjejakkan kaki menaiki tangga bas, kami disambut dengan senyuman oleh pemandu dan pembantunya sambil mengucapkan selamat datang dan selamat malam.

Sebaik bas bergerak meninggalkan terminal, pembantu pemandu dengan menggunakan pembesar suara mengalu-mengalukan semua penumpang, mengucapkan terima kasih kerana memilih syarikat pengangkutan mereka. 

"Kita akan berhenti di beberapa kawasan R&R untuk membolehkan tuan-tuan dan puan-puan turun membuang air atau membeli minuman dan makanan ringan. Bagaimana pun tuan-tuan dan puan-puan boleh menekan loceng bila-bila masa, jika memerlukan kami untuk berhenti".

Seterusnya beliau mengucapkan selamat malam dan memadamkan lampu untuk memberi keselesaan kepada penumpang memejamkan mata untuk tidur. Semasa taklimat sedang berjalan pun sudah kedengaran ada yang berdengkur. Maklumlan jam sudah menghampiri 12 malam.

Akhirnya bila sampai ke destinasi terakhir, pemandu dan pembantunya sekali lagi berdiri di muka pintu bas mengucapkan terima kasih dan semoga berjumpa lagi dan memohon maaf jika ada apa-apa kekurangan di pihak mereka.

Sebenarnya itu adalah impian dan harapan saya sahaja. Realitinya amatlah menyedihkan dan terasa malu dengan adab sopan pemandu dan pembantunya yang ke dua-dua Melayu. Saya  senarai ringkaskan apa-apa yang menjengkilkan saya.

1. Tiada muka manis atau ucapan selamat datang menyambut kami. Kami diumpamakan seperti kambing-kambing yang diarahkan masuk ke kandang.


2. Bila berhenti, mereka tidak langsung memberi tahu kita boleh turun atau pun tidak dan berapa lama boleh turun. Pandai-pandai kitalah.

3. Apabila mula bergerak selepas berhenti, mereka jalan begitu sahaja tanpa bertanya adakah semua sudah ada atau mengira bilangan penumpang yang ada. Nasib baik tiada penumpang yang tertinggal di dalam jamban.

4. Bila berhenti untuk menurunlan penumpang, mereka hanya menjerit, misalnya "Changlun .. Changlun ..  Changlun".  Saya tidak pasti adakah mereka nak beritahu ini pekan Changlun atau apa ?

5. Tiada ucapan terima kasih atau manis muka semasa kami turun di hentian terakhir. 

Kalau ada yang merasa tulisan saya ini agak keterlalun, tak mengapalah sebab itu adalah pemerhatian serta pengalaman yang saya rasai sendiri. Mungkin anda tidak pernah merasakannya.