Melalui berita jam 7 di tv tadi dan juga
Utusan Malaysia Online, saya mendapat tahu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan disemak semula dan dengan itu ditangguhkan pelaksanaannya ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Eloklah tu. Banyak sangat pihak yang tak puas hati. Syabas JPA dan Pegawai-Pegawai PTD yang bertugas di sana yang telah berjaya membuat kerja separuh masak.
Katanya falsafah di sebalik pengenalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) antara lain adalah bertujuan untuk menarik tenaga kerja dari sektor swasta menyertai perkhidmatan awam di samping menghalang pegawai tinggi awam lari ke sektor swasta. Bagi saya itu adalah helah atau justifikasi yang sengaja diciptakan untuk mewajarkan pegawai-pegawai tinggi awam memberi imbuhan yang gemuk kepada diri sendiri. Sekali pandang alasan yang diberi oleh pegawai PTD di JPA itu macam munasabah.
Pada saya gaji pegawai-pegawai atasan, langsung tidak perlu dinaikkan kerana sudah sedia tinggi sejak Sistem Saraan Baru (SSB) diperkenalkan dulu. Sepatutnya gaji mereka dikekalkan dan gaji kakitangan bawahan atau Kumpulan Pelaksana dinaikkan agar jurang yang luas selama ini boleh dirapatkan dan bukan sebaliknya. Masih tidak cukup tinggi lagikah pendapatan dibawah SSB dan SSM yang ada ? Nampak sangat mereka sudah dipengaruhi rasa ketamakan yang terlampau sehingga mereka tergamak memperkenalkan SBPA yang menyebabkan mereka yang kaya bertambah kaya dan sebaliknya yang miskin akan kekal miskin.
Saya teringin sangat melihat gaji, elaun dan lain-lain kemudahan yang bakal diterima oleh Pegawai Premier berbanding dengan kakitangan kumpulan Pelaksana seperti yang dicadangkan dalam SBPA. Malangnya saya tidak berjumpa. Mungkin saya tak pandai mencari atau ia sengaja disembunyikan dari pengetahuan umum oleh sebab-sebab yang boleh kita jangkakan. Kenapa tidak didedahkan saja gaji, elaun dan lain-lain kemudahan yang diberikan kepada pegawai atasan agar semua pekerja dapat merenung dan menelan air liur bersama-sama.
Berikut adalah beberapa hujjah saya mengapa gaji dan kemudahan yang diterima oleh Pegawai-Pegawa JUSA sekarang ini tidak perlu di naikkan dan SBPA perlu di kaji semula keseluruhannya.
1. Alasan untuk menarik bakat terbaik dari sektor swasta rasanya tidak bijak. Mengapa pulak nak tarik tenaga kerja dari sektor swasta masuk perkhidmatan awam. Alasan tersebut macam dibuat-buat. Biarlah mereka di sana. Kalau semua yang berbakat nanti masuk perkhidmatan awam, maka akan tinggallah sektor swasta dengan orang-orang yang tidak berbakat.
2. Kalau pegawai awam ingin gaji yang tinggi biarlah mereka memasuki sektor swasta kerana perkhidmatan awam bukan tempat untuk mencari kekayaan. Misalnya kalau mereka cemburu dengan pendapatan Nazir, CEO CIMB, masukalah kerja bank, kalau berani. Jangan gunakan pendapatan mereka yang tinggi sebagai helah untuk mewajarkan kenaikan gaji dan pendapatan yang melimpah ruah untuk mereka. Setakat ini berapa keratkah pegawai awam yang telah lari ke sektor swasta untuk mendapat gaji yang lebih tinggi. Boleh sebutkan nama-nama mereka ?
3. JPA selalu mengambil contoh pegawai atasan kerajaan yang mendapat gaji tinggi di Singapura. Memang benar gaji Pelayan Pejabat dengan gaji KSU di Singapura jaraknya adalah lebar. Tetapi kenapa tak ambil perkhidmatan awam Korea Selatan atau Amerika Syarikat sebagai contoh. Berapa kali gandakan misalnya gaji KSN berbanding dengan gaji Pelayan Pejabat di Malaysia , Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
4. Perkhidmatan awam pada dasarnya adalah sebagai badan mengutip hasil dan memelihara keselamatana dan ketenteraman awam selain berfungsi menjaga keadilan. Sebaliknya swasta berorientasikan keuntungan. Jadi kayu ukurnya adalah berbeza. Kerajaan menyediakan perkhidmatan dan swasta mencari keuntungan. Kalau dalam swasta, kadar keuntungan boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai kecekapan dan keberkesanan CEO dan pekerjanya, apakah ukuran yang akan digunakan untuk menilai keberkesanan sektor awam. Misalnya apakah kayu ukur untuk menilai kecekapan Jabatan Kebajikan, Jabatan Perpaduan atau Jabatan Bomba misalnya.
5. Saya akui pendapatan pekerja bawahan di sektor awam umumnya adalah lebih tinggi dari sektor swasta. Itulah alasan atau jawapan pegawai-pegawai PTD di JPA jika pekerja bawahan di sektor awam ingin kenaikan gaji yang tinggi. Dan mereka juga membandingkan gaji CEO di sektor swasta yang tinggi berbanding pendapatan KSU sesebuah Kementerian yang mereka anggap CEO juga. Adalah sangat tidak bijak membuat perbandingan ini kerana asasnya berbeza. Kalau ingin juga membuat perbandingan haruslah mengambil perkhidmatan awam di banyak negara lain yang setaraf dengan kemajuan negara kita.
6. Di zaman penjajahan British dulu, jarak gaji dan kemudahan antara kakitangan paling rendah dengan Pegawai British paling tinggi saya rasa tidaklah sebegini luas jurangnya. Saya mengaku tidak ada butir-butir yang lengkap dan bersedia dibetulkan. Tetapi saya percaya sekarang ini jarak pendapatan antara kakitangan paling rendah dengan pendapatan pegawai paling atas jauh lebih luas jurangnya berbanding di zaman penjajahan British dulu. Sepatutnya bila kita sendiri memerintah, jurangnya bertambah kecil.
7. Dalam zaman British dulu ada kemudahan untuk pegawainya balik ke UK sekali seumur hidup atas biaya kerajaan. Saya rasa patut, sebab mereka berasal dari sana. Apa hal pulak pegawai-pegawai atasan kita mendapat cuti percuma ke London membawa isteri atas biaya kerajaan. Mereka bukan lahir di sana. Patutlah Elaun Pakaian Panas boleh dituntut 3 tahun sekali walaupun barangkali baru dipakai hanya 3-4 kali sahaja.
Saya kira alasan untuk menarik sektor swasta hanyalah alasan yang diciptakan untuk menaikan gaji pegawai perkhidmatan awam peringkat tertinggi. Di manakah lojiknya. Dimanakah keadilan sosial. Dimanakah rasa kasih sayang dan sikap prihatin. Di manakah semangat bantu membantu ?
Yang kenyang hanyalah pegawai PTD kerana merekalah secara majoritinya yang akan mengisi jawatan Premier nanti. Kumpulan pekerja bawahan akan kekal miskin macam dulu dan juga kekal menjadi salah satu "faktor pengeluaran" selain tanah dan modal.
Tak hairanlah ada orang kata SBPA tu Saraan Baru Pegawai Atasan. Patutlah masa membuat opsyen yang diberikan amat singkat kerana tidak mahu ia diperbincangkan yang akan menjadi kontroversi yang akan melambatkan mereka menikmati kenaikan gaji. Syabas kepada Kerajaan kerana berani mengambil keputusan menyemak semula dan menangguhkan pelaksanaannya.
Cukup-cukuplah tu pegawai PTD. Kalau ikutkan nafsu, tiada sudahnya kecuali mati. Dan duit serta harta bukannya boleh dibawa mati.
p/s: Saya telah cuba sedaya upaya untuk meringkaskan entri ini.
.