Saturday, October 30, 2010

SONYUM SOKOJAP 21 - KANAK-KANAK DILARANG MEMBUAT BISING ..

.

Di bawah ini adalah notis yang di tampal kat dinding surau saya.





ORANG TUA-TUA TAK PE LAH KOT !!! ?

.
.

Friday, October 29, 2010

RENUNGAN HARI JUMAAT - KALAULAH MATA DI TAPAK TANGAN ...



Kalaulah mata kita berada di tapak tangan, cuba bayangkan ...


* macam mana nak bawa kereta .. tangan pegang stereng ... nak tengok jalan macam mana !

* kalau kita tampar orang, mata kita pulak yang lebam !

* kalau nak bersalam tentu masalah .. kompom berlaga mata !

* dan saya tidak dapat nak bayangkan macam mana agaknya orang lawan bertinju .. dua-dua tangan dalam glove. Silap-silap  pengadil yang kena tumbuk !

* dan saya juga tak dapat nak bayangkan orang main golf .. dua-dua tangan pegang kayu golf !

Renungkanlah betapa maha bijaksananya Allah menyusunatur kedudukan setiap anggota kita. Syukurlah kerana mata kita terletak di tempatnya sekarang !

........................................................................................

Sub-entri - Makan tak henti-henti di Ganu

Syukur kerana selamat dalam perjalanan pergi balik dari Terengganu.
Kalau tak selamat, harus tak adalah entri ini.
Mari saya tunjukkan sebahagian gambar2 yang sempat di rakamkan.



26 hingga 28 Oktober.
Saya menginap di Hotel Primula. Pemandangan laut China Selatan dari bilik beradu.


26/10 jam 10.30pagi: Singgah di gerai tak bernama, makan nasi kerabu !


26/10 jam 10.45 pagi: Makan nasi kerabu di gerai ini dengan berlaukan ayam kampung panggang dan daging bakar, telor asin dan gulai ikan aya. Nasi dengan ulam tu kena gaul dengan tangan dan suap dengan tangan. Bermasalah besar kalau mata kita di tapak tangan !


26/10 jam 1.30 ptg: Makan tengah hari. Yang sangat sedap dan masih
terkenang-kenang ialah goreng ayam kampung yang masih panas.


26/10 jam 5.30 ptg: Minum petang. Laksamnya tak berapa sedap .. kuahnya cair.
Walau pun saya tak pandai masak, tapi tekak saya boleh bezakan
antara laksam yang sedap dengan yang tidak.


26/10 jama 8.30 malam: Makam malam di restoran
sebelah Hotel Felda di tepi sungai Terengganu.
Buah dokong tu beli asing. Akibat banyak makan buah dokong,
tidur saya terganggu kerana terpaksa dua tiga kali pergi ke 'sungai'.


27/10 jam 8.30 pagi: Tak sah kalau tak makan nasi dagang dengan lauk
ikan tongkol yang segar dan pejal.
Sebenarnya baru sejam tadi saya bersarapan di hotel. Makan lagi.


27/10 jam 1/30 petang: Makan tengah hari dengan lauk
kegemaran saya telur itik masak lemak cili api.


27/10 jam 8.30 malam. Makan malam di malam terakhir.
Memang lazat sekali terutamanya tomyam tulang lembu dalam bekas
di sebelah kiri yang belum dibuka.



28/10 jam 9.00 pagi. Di luar banguinan lapangan terbang Kuala Terengganu
dengan senibina Melayu tradisional Terengganu. Anggun sekali.

.
.

Monday, October 25, 2010

SAKITNYA JIWA KALAU BACA LAPORAN MACAM NI !



Pernah tak anda baca laporan macam kat bawah ini.

Laporan 1. 

Mengikut rekod Jabatan Alam Semesta, terdapat 5 batang sungai yang diletakkan di bawah kategori sangat tercemar di Negeri Sembilan. Sungai-sungai tersebut adalah Sungai A, Sungai B dan Sungai C.  Katanya 5 batang sungai, mana 2 lagi ?

Laporan 2. 

Banduan tersebut berumur 28 tahun dan masih bujang. Beliau dipenjarakan kerana kesalahan mencuri sebuah motosikal dan dikenakan hukuman 18 bulan penjara. Sepanjang berada di penjara, beliau telah dilawati isterinya sebanyak 6 kali.  Katanya bujang. Orang bujang ada isteri ke ?


Laporan 3.  

Semua pelajar lepasan kolej berkenaan telah mendapat kerja  sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian.  Mengikut bancian yang dibuat baru-baru ini, cuma kira-kira 20 % sahaja yang masih menganggur. Katanya semua dapat kerja. Ada ke orang menganggur sambil bekerja ?


Laporan 4.  

Calon tersebut merupakan anak yang bongsu dalam keluarga.  Beliau berharap permohonan beliau diterima kerana ingin membantu keluarga beliau terutamanya seorang adik perempuan beliau yang OKU yang baru berusia lima tahun. Katanya bongsu, tapi ada adik pulak !




Kadang-kadang rasa macam nak baling jer fail laporan tersebut.  Kadang-kadang tu rasa nak ketawa pun ada.


 ................................................................................

Sub-entri: Esok Nok Gi Ganu !



(Sahromnasrudin nasihatkan jangan dedahkan organisasi tempat kita bekerja)



Hari esok hingga Khamis saya akan ke Terengganu  mencari rezeki untuk anak isteri. Jadi dijangkakan tidak ada entri dan komen dari saya dalam tempoh tersebut. Kalau ada, mungkin bukan dari saya. 

Harap2 tiadalah saya menerima dan membaca laporan seperti di atas.

.
.

jam 4.01 pagi

Saturday, October 23, 2010

BARU 4 TAHUN .. DAH JADI TAUKEH.

Ini adalah cerita seorang lelaki Bangla yang masih bujang yang mengambil kontrak memasang gril kat apartmen Kakngah (anak saya) baru-baru ini. Dia baru 4 tahun berada di Malaysia. Tahun pertama dia bekerja dengan orang (mestilah kan) membuat dan memasang gril.

Masuk tahun ke dua dia menyewa bengkel dan mengambil alih syarikat tempat dia bekerja itu sehinggalah sekarang. Nama dan alamat syarikat yang berdaftar adalah sama. Maknanya dia sewa lesen. Pemilik bengkel dan syarikat itu adalah orang kita. Sekarang ni dia goyang kaki terima sewa tiap-tiap bulan. Bijak .. bijak !




Gambar 1: Apartmen kos sederhana Kakngah kat Pocong Puchong.
Unit dia kat tingkat atas sekali.
Kalau rosak lif, longgarlah lutut ayah nak memanjat tangga !


Gambar 2: Tingkap sudah selesai di pasang gril.
Gril ini bukan nak halang orang masuk, tapi nak halang orang keluar !



Gambar 3. Yang memandang jer tu budak kita.
Yang di sebelah kanan adalah lelaki Bangla itu.
Kelihatnnya dia sedang membuat persiapan untuk memasang gril di pintu masuk pula.
Saya berpuashati dengan mutu kerja dan harga yang dikenakan.
Boleh buat menantu panggil lagi.


Gambar 4: Yang sedang buat kerja itu adalah lelaki Bangla itu.
Yang sedang memerhati tu adalah budak kita ... menunggu arahan selanjutnya
dari lelaki Bangla itu ... yang baru empat tahun berada di Malaysia.

.

.

Friday, October 22, 2010

RENUNGAN HARI JUMAAT - NAK BUAT HARI INI ATAU NAK BUAT ESOK ?



Kadang-kadang dalam menyiapkan satu-satu kerja, kita bebas memilih salah satu dari opsyen berikut:

Opsyen 1.

Kalau kerja itu boleh disiapkan hari ini, buat apa nak tunggu esok.

Opsyen 2.

Kalau kerja itu boleh disiapkan esok, kenapa nak buat hari ini.


Tetapi jangan lupa, orang tua-tua ada berkata:

kerja bertangguh tak menjadi,
kerja beransur tak bertahan.

dalam memilih pekerjaan pula, selalu kita terpaksa buat kerja yang kita tak nak buat ... dan sering juga kita tak dapat buat kerja yang kita nak buat. itulah hakikat kehidupan.

......................................................................................................


Sub-entri:

Kesian kat budak ni duduk sorang-sorang kat luar negeri !
Saya ada baca entri dia yang terbaru kat sini.  Mungkin tuan-tuan dan puan-puan boleh tolong sabarkan atau nasihatkan dia. Kalau ayah dia yang cakap, mungkin dia tak ndak dengar.


.

Thursday, October 21, 2010

JESSICA ALBA BENCI BERPAKAIAN SEKSI !


"Jessica Alba benci berpakaian seksi"

eloklah tu !
.
.

Tapi lebih kurang jer bunyinya dengan kenyataan selebriti yang
i.n.i. dan yang i.n.i.


kan ?

.



*ngomel sorang-sorang: harap maaf, disebabkan kesibukan, saya tak sempat nak jawab komen dalam entri yang lepas. rasa macam nak tutup jer kotak komen. tapi ada pula orang suruh buka. bila dah buka, tak sempat pulak nak jawab. habis nak buat macam mana? buat entri jer lah dulu !
bila berkelapangan nanti, saya jawab .. boleh ke macam tu ??

.
.

Wednesday, October 20, 2010

20102010 - APALAH ADA PADA NOMBOR !


Cantik betul nombor atau angka 20102010 tu. Ia adalah tarikh hari ini. Dua puluh haribulan sepuluh tahun dua ribu sepuluh. Mungkin ada orang memilih hari ini untuk bertunang atau berkahwin. Bagaimanapun setakat ini saya tidak pula mendapat sebarang jemputan. Agaknya sebab tarikh tersebut tidak jatuh di hujung minggu.

Tapi apalah ada pada nombor atau angka kan. Kadang-kadang nombor atau angka juga boleh mengelirukan.

Contohnya saya telah cuba melaga-lagakan DUA alat penyukat ketibaan ini. Memang saya pasang dua kat blog saya. Saja suka-suka.

Di dapati mereka telah melaporkan angka atau bilangan ketibaan yang berlainan.
Jauh pulak bezanya tu.





Alat penyukat di sebelah atas kata ada 19 pelawat sedang "online"

Alat penyukat di sebelah bawah pula kata ada 5 sedang "online"

kata siapa yang nak di dengar ?
kata siapa agaknya yang betul ?
mana satu nak di percaya ?

kadang-kadang tu makin banyak maklumat kita terima, makin keliru kita.
serupa macam kita tengok jam kat kedai jam ... tak tahu masa yang mana satu yang betul !!






 

Lihat pula jumlah pelawat ke blog saya yang telah direkodkan oleh Blogspot dua hari lalu seperti di bawah.




30000 (tak termasuk lawatan saya) .. kira ramai jugalah berbanding dengan 1000 kan !


Tapi cuba pula lihat pendapatan yang diberi oleh Tetuan Nuffnang selama ini.

RM27.34 !!!



RM 27.34 ...


Itulah jumlah RM yang terkumpul sejak saya berblog. Untuk minyak kereta sehari pun tak cukup.

Kalau ada RM200 - RM300, boleh juga guna untuk buat hadiah kontes !


Apa-apa pun, mencari duit bukanlah tujuan saya berblog .. tapi bila tengok kengkawan selalu tayang cek yang dia orang terima dari Nuff, saya terasahinadinadukalaranestapadanhiba juga.

Tapi apalah yang ada pada angka kan !

p.s: saya telah pun menutup akaun dengan Nuffnang dan beralih ke Mangga Ad. Selepas sebulan dua nanti, tengok pula apa terjadi. Kalau tidak memberansangkan juga, mungkin saya terpaksa bawa teksi. Saya ada Estima. Kalau saya buat teksi, tentu ramai orang yang nak naik kan !


.
.

Tuesday, October 19, 2010

TADI KITA DIMALUKAN OLEH K.E.R.E.T.A KITA !



















Ini bukan kereta kita .. tapi kita memang ada cadang nak beli !


Petang tadi kita berselisih dengan kereta kawan kita.
Kita kenal kereta dia.
Dia pun kenal kereta kita.
Dia bagi lampu.
Kita pun nak bagi lampu.
Tapi apasal pulak air yang terpancut ?
Bedebah.
Kita lupa yang kita bawa kereta Makngahnya.
Memalukan betul !



Kenapalah pembuat kereta ni tak sepakat
di mana hendak meletakkan alat-alat macam ni.
Kan ke elok dan memudahkan kalau semua
alat-alat seumpama ini berada pada satu kedudukan.

Langsung tak tahu nak guna komensen !



Misalnya tempat isi minyak.
Kan ke senang kalau semua kereta
letak sebelah kanan.


Ini tidak...



Ada yang diletak sebelah kiri dan ada sebelah kanan.
Entah berapa kali kita telah tersalah ambil sisi.
Terpaksalah tawaf stesyen minyak untuk mendapatkan
sisi yang betul.



(Nasib baik kereta kita tak ada yang berstereng
sebelah kiri !)



Tapi ada satu alat tu, kita memang cukup geram.
Sebab kita dah pernah terkena.
Kita bercakap tentang meter penyukat minyak.
Ada sekali tu kita baru beli kereta.
Kita hairan kenapa minyak kereta baru kita ni tak berkurang.
Makin jauh kita jalan, makin naik.



Lama-lama tu baru kita perasan
yang kita telah tersilap pandang.
Yang kita pandang tu rupanya
meter pengukur suhu.


Patutlah .. Nasib baik suhu badan kita tak ikut naik !!!




di sini saya nak tanya sikit ... pernahkah anda mengalamai apa yang saya alami ? ceritalah sikit .. kotak komen dah terbuka (diharap abu muaz berpuas hati )



p/s: amacam ... fenin tak baca entri ini ?
.
.

Monday, October 18, 2010

JOM CUBA PERISAN ?




Perisan Terjemah PERTAMA di Malaysia. Jom CUBA sekarang !



Saya tak mahu cuba. Eja perisian pun tak betul !
Gambar ini saya ambil kat gerai, di luar bilik darjah saya di UM.



p/s: Saya pernah bertanya promoter yang bertugas di situ tentang makna perisan. Dia beritahu "software" dan sepatutnya di eja perisian. Saya tanya lagi kenapa tak dibetulkan.

Dia hanya berkata .. "saya kerja jer kat sini"




*Tersilap adalah sifat manusia biasa.
Menyedari kesilapan lalu memperbaikinya adalah sifat manusia luar biasa !
.
.

Saturday, October 16, 2010

~IZAWATI ~OH~ ITAWAZI~

Saya terperanjat sebenarnya bila baca entri ini. Dia jadi follower saya baru sahaja beberapa hari .. tetiba dia buat entri ini. Dia itu adalah Izawati Ahmad pemilik blog "Siapa Dia ..."

Saya terharu dan hati saya berbunga-bunga. Yang buat saya lebih terharu ialah bila dia kata, dia dah khatam blog saya (KomenSen) dan sedang dalam proses stalking blog kedua saya "puisi orang tak reti" .  Saya tabik, sebab entri saya rasanya sudah banyak juga.



"patah sayap bertongkat paruh .."



Inilah entri yang membuat saya terharu itu !


Kalau susah nak baca, saya kopipeskan tulisan beliau seperti di bawah:

"2. Stalking. Tahu sajakan saya suka stalk blog orang lain. Bila 3-4 entry pertama blog tu saya dah jatuh suka, kebarangkalian untuk saya menyukai kesemua entry yang lain adalah besar. Dan apabila saya sudah suka, saya jadi stalker sampailah ke entry pertama. Semalam saya sudah khatam blog ini. Manakala satu lagi blog madunya empunya yang sama, sudah ditutup tapi masih banyak entry yang mencuit akal dan hati saya. Blog yang kedua tu, masih dalam proses stalking."



dan yang paling mahal, bila dia tulis:

"Peringatan penaja: kalau tak ada komensen tak usah baca blog ni"

.
.
.

Saya cadang nak hadiahkan dia sebuah BMW Convertible !




Tunggu jap .. dah dekat nak siap dah ni ! he he

.

Friday, October 15, 2010

RENUNGAN PAGI JUMAAT - KALAULAH KITA MACAM CICAK ...


Suatu pagi tu seperti biasa saya bersiap sedia nak ke tempat kerja.
Selepas pakai stokin saya menyorongkan kaki kedalam kasut.
Tetiba saya rasa ada sesuatu dan sejuk semacam.
Cepat-cepat saya tarik kaki saya keluar.
Saya tonggengkan (bolehkan guna perkataan ini ?) kasut saya seraya
mengetuk-ngetukkanya agar terkeluar benda yang saya rasa sejuk tu.
Tengok-tengok rupanya ekor cicak yang sudah terputus dari badannya.
Tak ada masalah sebab ekor cicak itu boleh tumbuh balik.
Lalu saya terfikir kalaulah ALLAH jadikan kaki atau tangan manusia
yang terputus boleh tumbuh balik nescaya aktiviti merempit akan berleluasa.

"alaaah apa takut .. putus kaki nanti, dia tumbuhlah balik"

...........................................................................................................

Sub-entri: Saya Tahu Dan Hargai Kunjungan Anda.


Print Screen maklumat pengunjung.

Walaupun sudah seminggu saya tidak membuka kotak komen, namun saya sentiasa tahu dan ambil tahu pengunjung2 ke blog saya dengan bantuan gajet seperti di atas. Sesungguhnya saya amat menghargai sokongan anda semua.

.
.

Thursday, October 14, 2010

TEKSI ESTIMA !

Saya memang dah lama minat nak pakai kereta Toyota Estima. Sebelum ini bila ikut di belakangnya, dalam hati sering berkata-kata ..

"satu hari nanti aku mesti beli .. tak dapat yang baru, yang terpakai pun jadilah".

Akhirnya hajat saya tercapai. Gembiranya hati tidak terkira bila kenderaan yang di idam-idamkan selama ini berjaya dimiliki walaupun kereta itu kereta rekon (import terpakai).

Satu hari saya terpaksa pergi ke luar negara. Sebaik keluar dari airportnya, saya lihat bersusun-susun teksi jenis Toyota Estima menunggu. Bedebah .. Nasib baik kat Malaysia belum ada lagi orang buat.



Ada ke patut .. Estima di buat teksi !



Namun begitu saya sangat bersyukur kepadaNya.
Bersyukur kerana sering saya naik Estima yang sebesar gajah tu
seorang diri ke pejabat. Sedangkan mereka yang dalam gambar tu,
naik motor kapcai berdua.

........................................................................

Sub entri: Senawang - Tapah - Kampar - Ipoh - Senawang.


Saya menginap di hotel ini semasa pergi "outstation"
pada hari Selasa dan Rabu lepas .
Tak sangka kat Kampar ada hotel mewah, cantik dan besar macam ini.


Cuma tak ada 'basement parking". Terpaksa parking kat luar.
Parking kat luar pulak tak berbumbung.
Kesian kat Estima saya kena gigit nyamuk berembun dan berpanas !

.

Tuesday, October 12, 2010

NASIB KATEPILAR


Gambar katepilar hasil carian Google.


Dia yang meneroka daerah ini dahulu untuk membuat lebuhraya. Dia yang bersusah payah membelah gunung  dan belantara. 

Tetapi  malangnya, bila lebuhraya sudah siap  dan sedia untuk di lalui, dia  tidak dibenarkan melaluinya kerana  ia akan merosakkan lebuharaya itu . Alangkah sedihnya ! 

Begitulah nasib sesetengah daripada kita ... tidak ubah seperti katepilar.


ps: sekejap lagi saya akan bertolak ke utara untuk "membelah gunung dan belantara" dalam misi mencari sesuap nasi. Jumpa lagi Khamis, Insya-Allah. Saya pohon doa anda semua agar perjalanan  saya selamat pergi dan balik.

.
.

Monday, October 11, 2010

ENTRI DI HUJUNG-HUJUNG RAYA LAGI - TERLAJAK SUDAH !.

Hujung minggu lepas saya sempat pergi beberapa rumah terbuka dan kenduri. Berikut adalah sebahagian dari gambar2 yang sempat di rakam. Ada juga yang tak sempat di kunjungi kerana bertembung dan kesuntukan masa. Harap mereka tidak menyenarai-hitamkan nama saya dari senarai jemputan mereka.


Gambar 1: Jamuan Raya pada hari Jumaat malam Sabtu kat Pantai -
tak ada laut tak jauh dari rumah saya.


Gambar 2: Sabtu malam Ahad - tahlil dan doa selamat di rumah seorang bakal haji dari Lavender Heights.



Gambar 3: Ahad - Kat kelas kita pun ada jamuan raya ringkas jam 10.00 pagi.



Gambar 4: Ahad - Tengah hari, di rumah terbuka CMS kat Cheras.
Saya fokuskan gambar dia jer sebab kalau dia sorang-sorang nampak hensem. Memang pun dia hensem sikit dari saya,
tapi saya hensem banyak dari dia.
Tahun depan dia janji nak buat lagi.


Gambar 5: Sempat juga CMS buat majlis hepi besday untuk staf-staf dia. Saya pernah jadi boss CMS dan sebahagian mereka 4-5 tahun lalu. Terima kasih kerana masih ingat dan menjemput saya.
Itu maknanya saya pernah menjadi seorang boss yang baik.. uwek !


Gambar 6: Dirumah CMS lagi dengan Ina yang baru balik dari Switzerland selepas tamat buat Master. Makanan yang di sediakan oleh CMS dan isterinya semua sedap belaka. Masa balik, CMS siap tapaukan kuih Jennifer lopes lagi buat Makngahnya. Terima kasih daun keladi.


Gambar 7: Ahad malam tadi menghadiri Majlis Perkahwinan anak kawan setaman di Spanish Villa, Senawang. Makngahnya ajak balik cepat sebab nak tengok tv majlis persandingan Angkasawan Negara. *


Cerita sampingan.

Tahun lepas saya bahawa kereta Kelisa Makngahnya ke satu majlis. Kami tak di benarkan parking di depan rumah tuan rumah. Tiga empat orang anggota RELA dengan lampu suluh dan wiselnya mengarahkan saya ke depan dan jangan parking di situ. Saya terpaksa ke depan dan pusing-pusing dalam taman perumahan itu. Akhirnya saya parking hampir setengah kilometer dari rumah tadi. Kalaulah perut saya kenyang, mahu sahaja saya balik.

Tahun ini saya ubah taktik. Saya bawa kereta saya buatan Jerman. Bukan nak menunjuk-nunjuk. Cuma nak buat percubaan. Kali ini saya parking depan rumah tuan rumah di celah-celah kon yang diletak jarang-jarang. Ada Anggota RELA bertugas macam tahun lalu juga. Hairannya tak sorang pun dari mereka yang mengarahkan saya mengalihkan kereta. Bila saya jumpa tuan rumah, saya tanya tak apa ke parking kat situ. Dia pun kata OK. Kalau dia suruh alih, memang saya bersedia untuk mengalihkannya.

Manusia manusia ! Patulah ramai yang tertipu. Mana dia tahu itu kereta saya. Entah-entah kereta sewa, pinjam atau kereta curi.



p.s: dulu-dulu pengantin perempuan masa berjalan atau bersanding sentiasa tertunduk malu, tak pandang kiri kanan. Kalau pandang pun melalui ekor mata jer.
.
.

Sunday, October 10, 2010

HARI-HARI ADA ORANG CARI ORANG DI MAKAN HARIMAU !


Sumber: Hasil Print Screen selepas menaip ORANG DI MAKAN HARIMAU.

Saya hairan kenapa hari-hari ada orang menjengah entri saya yang bertajuk ORANG DI MAKAN HARIMAU (klik).

Lalu untuk menghapuskan kehairanan saya itu, saya pun taip tajuk itu dalam enjin carian Google. Rupanya entri saya itu berada pada kedudukan nombor 1 daripada sebanyak 68,100 results. Mungkin kedudukan itu sudah berubah pada masa ini.

Rupanya ramai yang berminat untuk mengetahui cerita orang di makan harimau. Saya agak orang yang klik kat entri saya tu pasti rasa tertipu dan kecewa kerana tak ada pun cerita atau gambar orang dimakan harimau. Yang ada hanyalah cerita dongeng saya sahaja.

Sebenarnya saya sedikit pun tidak berniat untuk menipu sesiapa dan tidak pula seronok bila melihat orang tertipu.

habis apa saya nak buat .. biarkan jer lah kan !


Hari ini ada 4 orang lagi cari orang di makan harimau.



Contoh pelawat terbaru mencari entri Orang Di Makan Harimau !

.
.

Thursday, October 7, 2010

DI HUJUNG-HUJUNG RAYA !


Gambar 1: Menghadiri kenduri kawin anak lelaki kawan lama
di Dewan Beringin, Sri Gombak.
Satu darpada lauk tu sangat sedap, iaitu lauk tulang lembu dengan cendawan hitam.
Tulang tu ada jugalah dagingnya .. bukanlah tulang semata-mata.


Gambar 2:  Orang KEMENTAH mungkin kenal Jeneral yang merupakan
tuan rumah terbuka ini.


Gambar 3: Saya makan satay dengan ABC sahaja dahulu .. .
sebelum makan, lemang, kambing golek, cekodok ikan bilis panas dsb.



Gambar 4: Mutiara Damansara. Saya fokuskan muka tuan rumah.
Jemu dah tengok muka saya.
Di sebelah kanan saya itu bukan Makngahnya.
 Sebenarnya saya lari kejap dari kelas waktu "lunch break". 
Tapi tak cukup sejam, walaupun dekat tetapi jalan jem menggila. 

Dan terkini ...

Gambar 5,6,7,8 dan 9 adalah gambar-gambar jamuan raya ofis saya
yang berlangsung beberapa minit tadi .. dan masih berjalan.


Gambar 5: Sebelum Jamuan Hari Raya bermula. Orang pun ramai lagi.


Gambar 6: Blogger tak kisah sangat makanan !


Gambar 7: Dengan sebahagian aweks ofis saya.


Gambar 8: Dengan abang-abang se pejabat.


Gambar 9: Saya juga sempat men"sumbangkan" sebuah lagu !



Gambar 10: Sebenarnya banyak lagi jemputan terbuka yang mendatang. 
Lihat sahaja jemputan yang sudah lintang pukang susunannya yang
memenuhi papan putih kat surau saya.

.
.