Saya sungguh bangga dengan orang-orang Malaysia seperti saudara ini yang sangat prihatin dengan nasib Firdaus remaja OKU yang malang itu.
Disebabkan sentimen rakyat Malaysia yang inginkan pengadilan segera dilakukan keatas Puan Lola yang dituduh mengabaikan anakya Firdaus yang OKU itu, mahkamah telah membuat perbicaraan serta keputusan dengan segera dan menjalankan hukuman berlainan dari kaedah yang biasa dipakai sebelum ini.
Dipendekkan cerita, setelah pertuduhan dibacakan dan Puan Lola mengaku bersalah, hakim menjatuhkan hukuman rejam sampai mati kepada puan Lola. Maka gegak gempitalah bangunan mahkamah kerana mereka yang menyaksikan perbicaraan bersorak gembira dengan hukuman yang dijatuhkan.
Hakim pun menetapkan hukuman rejam itu akan dijalankan oleh orang ramai dan hukuman akan diadakan secara terbuka di Stadium Merdeka. Hakim menetapkan masa menjalankan hukuman tepat jam 11 pagi pada keesokan harinya dan menjemput orang awam supaya datang mengambil bahagian.
Pada hari yang ditetapkan ramailah orang berkumul di dalam stadium itu. Sebelum hukuman dimulakan, Firdaus dibawa berjumpa ibunya. Dia memeluk emaknya dengan kuat sambil meraung seolah-olah berkata,
"Saya sayang emak saya, tolonglah jangan dipengapakan dia. Saya sudah tiada ayah lagi dan saya tidak mahu pula kehilangan dia. Walaupun dia telah mengabaikan saya namun dia tetap ibu saya dan saya telah pun memaafkan dia. Kalau boleh ambillah nyawa saya"
Beberapa ketika selepas itu, petugas mahkamah membacakan tuduhan dan juga hukuman yang akan dijalankan. Puan Lola yang sudah diikat badannya di sebatang tiang mengangguk lesu tanpa berkata apa-apa.
Kemudian hakim pula tampil kehadapan untuk membuat arahan dengan berkata,
"Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Sekarang hukuman rejam akan dimulakan. Sesiapa yang berhajat ingin melakukannya silalah pergi mengambil batu seorang sebiji yang telah dilonggokkan di sana dan kemudian pergi berdiri dibelakang garisan yang telah ditandakan di atas padang dan tunggu arahan selanjutnya dari saya".
Maka berebut-rebutlah orang ramai mengambil batu dari tempat longgokan tersebut dan seterusnya bergegas pula mengambil tempat seperti yang ditetapkan betul-betul berhadapan dengan Puan Lola yang sudah kelesuan terikat di tiang.
Kemudian hakim mengeluarkan arahan selanjutnya dengan berkata,
"Tetapi sebelum rejaman dimulakan saya menetapkan syarat bahawa hanya mereka yang tidak pernah berbuat sebarang kesalahan dan yakin tidak akan membuat sebarang kesalahan di masa hadapan sahaja yang dibenarkan membuat rejaman. Saya mahu tuan-tuan berlaku jujur dengan diri sendiri. Mula-mula saya mahu tuan-tuan yang pernah berbuat sebarang kesalahan sebelum ini supaya berundur ke belakang".
Separuh dari orang yang sedang berkobar-kobar hendak melakukan rejaman berundur kebelakang secara perlahan-lahan.
Selepas itu, hakim berkata pula kepada baki mereka yang masih berada di atas padang, "Baiklah, sekarang sesiapa di antara tuan-tuan yang yakin tidak akan berbuat sebarang kesalahan pada masa hadapan, sila undur ke belakang".
Kesemua orang yang masih tinggal tadi berundur ke belakang seorang demi seorang, hinggakan tiada seorang pun yang tinggal untuk melakukan rejaman.
Maka sangatlah gembira hati Firdaus melihat keadaan itu.
Cerita selanjutnya pembaca rekalah sendiri kerana cerita ini pun hanyalah khayalan saya sahaja termasuklah nama Puan Lola dan Firdaus itu.