Mungkin Puan Lola ada bersalah dengan anaknya atau berdosa dengan Allah SWT, tetapi jika anaknya memaafkan dan Allah mengampunkan jika dia memohon, maka bereslah masalah dia. Yang kita tak fasal-fasal mencari dan mengumpul dosa kering, apa hal ? Kemana dan kepada siapakah kita hendak meminta ampun ?
Apakah perasaan anda jikalau ibu anda dikatakan perempuan sial ?
Sehubungan dengan itu, saya rasa terpanggil untuk menurunkan sepenuhnya rencana yang ditulis oleh Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak di dalam risalah "Irsyad Hukum" terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis - Bil 16/2014 untuk menjadi panduan dan peringatan kepada pembaca dan juga terutamanya sebagai peringatan kepada diri saya sendiri supaya tidak terjerumus ke dalam dosa Al-Ghibah dan Al-Namimah.
Rencana ini juga memberi panduan jalan keluar kepada kita jika kita telah terlanjur melakukan kesalahan Ghibah dan Namimah.
......................................................................................
JAUHI DARI MEMAKAN DAGING MANUSIA.
Tahukah anda, ada dua perkara yang boleh menjadi sebab kita susah di dalam kubur, diazab dan diseksa Allah SWT. Jika kita berjaya bebas dari dua sebab ini, kita telah terlepas dari dua sebab popular seseorang dikenakan azab di dalam kubur. Apakah dua perkara itu.
Pertama di namakan sebagai Al-Ghibah.
Ramai di kalangan kita, saban hari melakukan Ghibah tetapi dia tidak menyedarinya. Seseorang menyebut tentang seseorang lain, dalam perkara yang tidak disukai oleh orang itu dan di luar pengetahuannya. Jika dikatakan kepadanya "Jangan suka mengata orang .." secara spontan dia akan menjawab: "Aku sebut benda betui apa .." Dia tidak sedar, atau mungkin juga dia tidak tahu bahawa sebenarnya dia telah melakukan Ghibah kepada saudaranya.
Ketahuilah, yang dikatakan Ghibah itu bukan bermakna anda mereka-reka certita tentang seseorang. Sebaliknya ghibah ialah apabila anda menceritakan keaiban seseorang di belakangnya, dan perkara itu benar-benar ada pada orang tersebut.
Jika perkara yang anda ceritakan itu tidak ada pada orang yang menjadi tajuk cerita, perkara itu dinamakan sebagai Buhtan iaitulah cerita palsu atau dusta yang lebih dahsyat dan lebih besar dosanya berbanding Ghibah. Kita sekarang tidak berbicara tentang Buhtan, sebaliknya bicara kita tentang Ghibah. Nabi SAW bersabda, (mafhumnya):
"Apakah kamu semua tahu, apa itu Ghibah?" Para Sahabat menjawab: "Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahui!" Baginda menjawab Al-Ghibah ialah, (mafhumnya): "Cerita kamu tentang saudara kamu, apa yang tidak disukainya". Seorang lelaki bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana jika apa yang saya katakan itu sememangnya terdapat pada orang tersebut "? Baginda menjawab, (mafhumnya): "Jika pada suaudara kamu itu sememangnya ada seperti apa yang kamu katakan, maka itulah kamu telah melakukan Ghibah kepadanya. Jika perkara itu tidak ada, maka kamu telah melakukan Buhtan kepadanya".
Sebahagian daripada kita sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya melakukan Ghibah, cerita tentang orang itu dan orang ini, cerita tentang selebriti itu dan selebriti ini, cerita tentang pemimpin itu dan pemimpin ini sehingga perut dia kenyang dengan memakan daging orang-orang tersebut. Kemudian dia pulang ke rumah dengan rasa puas hati dan lega, merasakan dia akan selamat di dalam kubur kelak !? tidak .. tidak .. tidak semudah itu.
Baginda Nabi SAW pernah satu ketika melalui sebuah kubur yang penghuninnya sedang diazab oleh Allah SWT, bagina bersabda, (mafhumnya): "Sesungguhnya penghuni kubur ini, dahulunya dia sering memaka daging orang ramai".
Cuba fikirkan, apa faedah yang anda perolehi dengan menceritakan tentang orang itu dan orang ini, dibelakang mereka dan diluar pengetahuan mereka ? Bagaimana pula jika orang lain menceritakan tentang anda perkara yang anda tidak suka di belakang anda ? Apa anda rasa ? Atau apakah anda merasakan anda seorang yang begitu sempurna ?
Renungkan hadis ini sebelum anda berbicara tentang orang lain. Anas berkata, sabda Nabi SAW, (mafhumnya):
"Ketika mana saya dimikrajkan, saya telah melalui satu kaum yang memiliki kuku dari tembaga sedang mencakar muka dan dada mereka, lalu saya bertanya kepada Jibril "Siapakah mereka ini wahai Jibril?". Jawab Jibril, (mafhumnya):
"Mereka itu adalah orang-orang yang memakan daging orang lain, mereka (dahulunya) suka duduk dan menjatuhkan maruah orang lain".
Justru, fikirkanlah apakah faedah yang anda dapat dengan melakukan Ghibah ?
Tahukah anda, jika anda melakukan Ghibah terhadap seseorang, ini bermakna anda telah memberi orang itu pahala yang ada pada anda, anda menghadiahkan kepadanya pahala anda sehingga jadilah anda seorang yang miskin pahala. Jika habis kesemua pahala anda, orang itu pula akan menghantar dosanya kepada anda. Kerana itu ketika seseorang lelaki mengadu kepada Al-Fudhail bin 'Iyadh, ada orang melakukan Ghibah terhadapnya. Kata Al-Fudhail, (mafhumnya): "Sesungguhnya orang itu telah membawa kepadamu, pahala yang banyak". Seolah-olah Al-Fudhail mengucapkan tahniah kepada orang yang diGhibah itu.
"Abdul Rahman Al-Mahdi pula berkata, (maksudnya):
"Kalaulah bukan kerana aku tidak sukakan berlakunya maksiat, sudah pasti aku akan bercita-cita tidak ada seorang pun di bandar ini melainkan dia melakukan Ghibah tentang ku, apakah lagi yang lebih menggembirakan seseorang, jika dia mendapati tercatit pahala di dalam buku catitan amalannya pada hari kiamat, suatu yang tidak dilakukannya dan diketahuinya"
Aduh, alangkah hairan dan pelik, orang-orang yang sanggup duduk berjam-jam lamanya, sambil mengagih pahala mereka kepada orang lain, sejak bermula bicara Ghibahnya, dia agihkan kepada orang itu dan orang ini kesemua pahalanya, pahala solatnya, puasanya, sedekahnya, zikirnya dan semuanya. Dia amat pemurah mengagihkan pahalanya kepada orang lain.
Al-Hasan Basri berkata, (maksudnya):
"Sekiranyg aku melakukan Ghibah tentang seseorang, lebih patut aku Ghibah tentang bapaku dan emakku" kerana kedua orang itu lebih berhak mendapat pahala yang telah kita lakukan bukan orang lain.
Demikian itulah Ghibah. Berikutnya apakah pula perkara kedua yang menjadi sebab popular seseorang diazab dalam kubur ? Ia lebih bahaya dari Al-Ghibah.
Perkara kedua itu dinamakan pula sebagai Al-Namimah. Apakah Al-Namimah?
Al-Namimah ialah memindahkan cerita dari seorang kepada seorang yang lain. Sebagai contoh, anda memberitahu kepda seseorang: "Orang itu bercerita tentang engkau demikian dan demikian". Atau "Orang itu, mengata tentang engkau, demikian dan demikian". Atau kita memberitahu kepada seseorang: "Orang itu tidak sukakan engkau" bertujuan mewujudkan rasa marah dan permusuhan sesama mereka.
Oleh yang yang demikian perbezaan antara Al-Ghibah dan Al-Namimah ialah Al-Ghibah anda menyebut tentang seseorang sesuatu yang tidak disukainya dibelakangnya. Manakala Al-Namimah anda memindahkan percakapan seseorang tentang seseorang lain kepadanya.
Nabi SAW pernah melalui dua buah kubur, lalu baginda bersabda, (mafhumnya)
"Sesungguhnya kedua-dua mereka benar-benar sedang diazab, tidaklah mereka diazab kerana perkara besar untuk dilakukan, iaitulah salah seorangnya tidak bersuci dari buang air kecil dan seorang lagi sering membawa Al-Namimah"
Diringksakan bicara, sesuatu Ghibah mahupun Namimah jika melibatkan seseorang, maka ia berlegar diantara watak di bawah ini.
Samada dia merupakan orang yang melakukan Ghibah atau mangsa yang kena Ghibah atau orang yang mendengar Ghibah orang lain.
Mudah-mudahkan kita tidak termasuk golongan yang pertama. Jika kita termasuk dalam golongan kedua yang menjadi mangsa Ghibah, maka ketahuilah kita adalah yang paling beruntung, kerana kita akan memperolehi pahala orang lain tanpa perlu bersusah-payah. Manakala jika kita termasuk golonga ketiga, maka ketahuilah dihadapan kita ada tugas besar yang perlu dilaksanakan. Jika kita berjaya, maka ia merupakan benteng antara kita dan api neraka di akhirat kelak.
Yang penting kita semestinya berusaha membela saudara kita dari terkena Ghibah. Apa salahnya jika kita katakan kepada orang yang hendak melakukan Ghibah: "Maaf, orang yang hendak anda bercerita tentangnya itu, tidak ada sekarang, saya tiak mahu bercerita tentang seseorang yang lain".
Alangkah indah Nabi SAW bersabda, (mafhumnya): "Sesiapa yang menolak sesuatu yang boleh mencemarkan maruah saudaranya, Allah akan menolak wajahnya dari neraka pada hari kiamat".
Selain itu jangan mempercayai Namimah yang sampai kepada anda. Ini kerana Namimah termasuk di dalam dosa besar, pelakunya dikira telah melakukan dosa besar yang menggugurkan kelayakannya sebagai seorang saksi. Di samping itu peliharalah juga pendengaran anda. Jangan biarkan Namimah itu terus didendangkan kepada anda, nanti anda juga akan berbicara tentangnya.
Peliharalah juga lidah anda, jangan anda memindahkan Namimah yang anda dengar termasuk kepada orang yang menjadi mangsa Namimah, jauhi anda dari berkata kepada seseorang, "Orang itu bercerita tentang kamu demikian dan demikian". Jika demikian keadaan anda, maka anda salah seorang pelaku Namimah.
Seorang lelaki datang bertemu dengan seorang ulama dan berkata "Wahai tuan, orang itu berkata tentang tuan demikian dan demikian". Jawab ulama tersebut: "Apakah kamui mahu mewujudkan permusuhan antara saya dan saudara saya? Demi Allah saya akan menjadikan syaitan marah" lalu ulama itu berkata: "Ya Allah ampunilah daku dan saudara ku itu".
Yang penting jangan kita terbabit dalam membawa Namimah. Kerana orang yang membawa cerita Namimah, hakikatnya dia adalah salah seorang daripada mereka. Jika sesuatu Namimah diibaratkan seperti sebilah anak panah, ketika ia dimulakan, anak panah itu tidak kena pada sasarnya, kerana mangsa tidak mengetahuinya. Sebaliknya jika kita menyampaikan Namimah tersebut kepada mangsa, maka seolah-olah kita mengambil anak panah yang tersasar tadi lalu kita tusukkannya ke dada saudara kita.
Kata Yahya bin Abi Kathir, maksudnya. "Kerusakan yang dibawa oleh pelaku Namimah dalam masa satu jam, adalah suatu yang tidak dapat dilakukan oleh seorang ahli sihir dalam masa sebulan"
Barangkali ada yang berkata, bagaima kalau kami pernah melakukan Ghibah dan Namimah ? Apa yang perlu kami lakukan ? Perlukah kami berumpa dan memberitahu orang yang kami Ghibah dan Namimah itu untuk meminta maaf darinya?
Pandangan yang lebih benar di kalangan ulama ialah anda tidak perlu melakukan sedemikian. Tidak perlu anda menceritakannya. Ini kerana Ghibah dan Namimah itu diharamkan bertujuan mengelak permusuhan di dalangan umat Islam. Maka jangan anda menceritakan Ghibah dan Namimah anda kepadanya yang boleh menimbulkan permusuhan itu. Jika begitu, apa yang perlu kami lakukan ?
Jangan bimbang, jalan keluar dari kesalahan ini masih ada, disebut oleh para ulama. Iaitulah hendaklah anda berdoa untuk orang yang pernah menjadi mangsa Ghibah dan Namimah anda dengan kadar yang seimbang dengan kadar Ghibah dan Namimah anda tentangnya. Agar dari doa anda kepadanya dapat mengimbangi pahala yang diberikan kepadanya di akhirat kelak. Selain itu, jika anda berdoa untuknya tanpa pengetahuannya, akan ada malaikat yang akan mengaminkan doa anda tersebut dengan berkata, (mafhumnya):
"Amin, dan untuk anda juga seperti permohonan yang anda pinta untuknya".
Selain itu berusahalah juga menyebut kebaikan orang yang pernah menjadi mangsa Ghibah dan Namimah kita. Sebutkan kebaikan sebenar orang tersebut kepada orang orang-orang yang mendengar Ghibah dan Namimah dari anda, agar mereka dapat memperbetulkan buruk sangka mereka kepada mangsa tersebut.
Kata Qatadah, (maksudnya):
"Dinyatakan kepada kami bahawa azab kubur itu satu pertiganya dari Al-Ghibah, satu pertiga dari air kencing (yang tidak disucikan) dan satu pertiga lagi dari Al-Namimah".
Ini bermakna, bebas dari Ghibah dan Namimah bermakna kita telah bebas dari 2/3 sebab seseorang diazab di dalam kubur. Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesalahan ini.
Wallahu a'lam.
..................................................................
Demikian saya petik secara verbatim tulisan Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak. Moga-moga ada manfaatnya kepada kita semua dengan tujuan untuk memperbaiki amal ibadat kita.
semoga kita semua selamat hendaknya, In Shaa Allah
ReplyDeleteInsyaallah.
DeleteSdr al-lavendari,
ReplyDeletePendirian sederhana,tidak melampau dan kelihatan seperti melawan arus saudara menyedarkan saya supaya 'reservekanlah' sedikit emosi pada sesuatu keadaan.
Bagitulah sebaiknya .. memang mudah nak naik hantu sebenarnya.
DeleteSaya selalu menghadkan diri utk memberi komen kepada benda yg tidak perlu tetapi kadang2 terlajak juga. Terima kasih kerana berkongsi peringatan ini Pak Ngah moga dapat memberi manafaat kepada pembaca.
ReplyDeleteAina takut membaca komen2 tentang Lola ni kadang2 terfikir apakah mereka yg komen tahap gaban tu baik sgt.
Daripada bercakap sj lebih baik pi huloq sekupang dua kat depa.
Kita sendiri tidak pasti apakah pengakhiran hidup kita nanti. Kalau kita terlalu mengutuk bimbang kita diuji dgn ujian yg lebih berat nanti.
DeleteSEBENARNYA SAYA PUN SUKA BERSANGKA BAIK DAN TIDAK MAHU MENUDING JARI KEPADA SESIAPA.. MEMANG TAK ELOKLAH KITA NAK MAKI-MAKI ORANG LAIN..
ReplyDeleteMmg itulah yg dituntut oleh agama kita.
Delete