Thursday, July 27, 2017

SEPULUH UNGKAPAN YANG MUDAH DIUCAPKAN.

Antara ungkapan yang senang nak diucap tapi bukan senang nak dibuat adalah:

1. Lupakan saja dik.
2. Bersabarlah bang.
3. Redha je lah kak.
4. Maafkan je lah pakcik.
5. Halalkan saja makcik.
6. Buang yang keruh, ambil yang jernih saudara.
7. Bertolak ansurlah kawan.
8. Fleksibellah sikit ustaz.
9. Rilekslah bro.
10. Kembalilah kepada Al-Quran dan Hadis wahai sahabat.

 Siapa nak tambah, silakan !

Monday, July 24, 2017

SAYA TAK SETUJU DAP DAN PAS MASUK BN.


Party fo All - The Star, 25/5/2013.

BN menang lagi. Umum mengetahui kerajaan BN sudah ada pengalaman memerintah tanpa pernah putus sejak merdeka. Cuma namanya bertukar dari Parti Perikatan (dengan lambang kapal layar)  kepada Barisan Nasional dengan pertambahan parti-parti yang menganggotainya. Samada prestasinya selama ini bagus atau tidak, terpulang kepada persepsi masing-masing. Namun begitu dari segi pengurusan sesebuah negara ia tidak berapa sihat kalau ia terlalu kuat kerana seperti mana perbilangan orang putih -  'power corrupt - absolute power, corrupts absolutely'

Sekarang ada cakap-cakap untuk membawa DAP dan PAS menganggotai BN. Saya tidak berapa setuju kerana ia seolah-olah mahu membunuh Pakatan Rakyat. Bagi saya  kewujudan Pakatan Rakyat adalah baik dari segi 'check and balance' supaya kerajaan yang memerintah tidak leluasa tetapi sebaliknya sentiasa berhati-hati kerana ada pihak yang memerhati dan akan menegurnya samada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Kalaulah semua parti yang ada bergabung dibawah payung BN, maka akan menjadilah Malaysia ini sebuah negara macam Korea Utara. Bagi saya itu adalah langkah ke belakang.

Seperkara lagi saya rasa kewujudan PR telah dapat mengawal suhu kemarahan orang-orang Melayu UMNO kepada DAP. Cuba bayangkan kalaulah DAP secara bersendirian tanpa bergabung dengan parti2 lain dalam PR, berjaya menakluk Johor atau Melaka sebagai tambahan kepada Pulau Pinang dalam PRU baru-baru ini, besar kemungkinan peristiwa 13 Mei akan berulang jika ada pihak yang cuba mengapi-api atau menangguk di air keruh. Oleh kerana pelbagai bangsa ada dalam Pakatan Rakyat, maka faktor keberadaan orang Melayu dalam PR sendiri telah menghalang kemungkinan pergaduhan antara kaum. Apa yang terjadi adalah pergaduhan antara parti BN dan PR yang mana sama-sama di dalam parti tersebut ada pelbagai kaum. Ini adalah suatu yang sangat baik dan sihat.

Oleh sebab itu saya tidak setuju kalau DAP atau PAS masuk BN sebagaimana disarankan. Biarlah mereka memainkan peranan sebagai pembangkang bersama sekutunya.  

Sebelum pilihanraya ramai pemimpin dan calon yang berkata "saya percaya rakyat bijak membuat pilihan dan tidak mudah tertipu". Sekarang rakyat telah membuat pilihan, mengapa pulak sekarang mereka mengatakan rakyat tidak bijak atau telah tertipu ? Sudah tidak percaya?

Kad pengundi - 1959. 

Nota kaki: Ini entri tertangguh yang saya deraf pada tahun 2013 setelah selesai PRU yang lalu. Saya tidak tahu mengapa saya tidak poskan semasa itu. Tapi pendirian saya tetap sama sepertimana yang tertulis di atas.

 

Thursday, July 20, 2017

DARI FESBUK # 16: KISAH ORANG DENGAN LUBANG.



Tuesday, July 18, 2017

TERKENANG SEMASA DULU - 95 : BENDA-BENDA BARU JUMPA DI USA.

Saya bertugas di Kedutaan Malaysia di Washington D.C sebagai Atase Pelajar dari tahun 1981 hingga 1984. Pada tahun 1981 itu saya baru berumur 27 tahun dan baru 3 tahun berkhidmat dengan kerajaan. Kata orang, darah baru setampuk pinang dan umur baru setahun jagung. Jadi banyaklah benda-benda baru yang saya temui, pelajari dan kagumi semasa berada di sana pada masa itu kerana benda-benda itu belum ada lagi di Malaysia atau berbeza dengan yang ada di Malaysia. Saya ringkaskan sahaja.

1. Salji.

Sudah tentulah benda ini tidak ada di Malaysia sampai bila-bila kecuali Allah menetapkan sebaliknya. Kebetulan saya sampai di sana di musim sejuk awal bulan Disember. Selang beberapa minggu saya sudah bertemu salji buat kali pertama. Masa salji turun saya sedang berada di pejabat. Sungguh teruja melihat dan mengalami sendiri berjalan dalam salji yg sedang turun dengan lebatnya. 


Gambar 1: Anak sulung saya bermain salji di depan rumah sewa saya.

2. Pemanduan sebelah kiri.

Stereng kereta berada di sebelah kiri dan kita memandu di sebelah kanan jalan. Sangat kekok mulannya. Lama-lama biasa. Masalah baru timbul bila saya beli sebuah kereta berstering di sebelah kanan kerana kereta itu saya ingin bawa balik ke Malaysia. Semuanya kena selaraskan semula. Agak kekok juga tapi bukanlah masalah besar sangat. 


 Gambar 2: Kereta pertama saya pemanduan sebelah kiri jenama Ford Mercury. Saya beli murah je dari kedai kereta terpakai.
 
3. Kad ATM bank.

Penggunaak kad ATM sudah meluas. Kita boleh keluarkan wang dimana-mana bank yang ada kerjasama, tanpa sebarang caj tambahan.

4. Peti surat kat pintu.

Peti surat kita terlelekat atau tergantung kat pintu rumah. Kalau kita nak poskan surat, boleh masukkan kat situ dan posmen akan ambil untuk diposkan. Mudahkan. Mungkin tidak begitu bagi mereka yang tinggal di kondo atau apartmen.

5. Tiada pakaian seragam sekolah.

Murid-murid dari sekolah rendah lagi, bebas memakai pakaian sendiri. Tiada pakaian seragam sekolah.

6. Beli surat khabar layan diri.

Ambil surat khabar dari kotaknya dan masukan bayaran sepatutnya. Kalau nak ambil berapa banyak pun boleh kerana tak ada siapa yang kawal. Kawalannya hanyalah kejujuran. Ada juga tempatnya beli buah epal, letak duit secukupnya dan ambil buah. Tuan punyanya tak nampak batang hidung.

7. Suis petik ke atas. 

Bila kita nak nyalakan lampu, kita buka suis lampu tapi kena petik ke atas tak macam tempat kita, petik ke bawah. 

8. Tiada pagar dan jeriji.

Rumah sewa saya dan juga semua rumah di kampung saya tinggal, tidak berpagar dan rumah pulak tiada dipasang jeriji samada pada pintu atau tingkap. Saya duduk tiga tahun di rumah yang sama, tiada sekalipun berlaku kes pecah rumah. Entri ini adalah berkaitan.


Gambar 3: Semasa menunggu kawan nak ambil pergi pejabat. Lihatlah tingkap yang tidak berjeriji. 

9.  Semua bas sekolah di cat sama.

Semua bas sekolah di seluruh Amerika dicat dengan warna yang sama seperti warna cat pada bas sekolah kita sekarang.
 
10.  Beli guna chek atau  kad kredit. 

Boleh keluarkan chek lebih dari harga barang yang dibeli dan kedai akan pulangkan bakinya masa tu juga. Contohnya kita beli barang USD12 tapi kita tulis cek USD20, pihak kedai terus pulangkan bakinya USD8 lagi dalam bentuk tunai. Penggunaan kad kredit juga sangat meluas. Hinggakan kita beli ikan beberapa ringgit pun boleh guna kad kredit. Bahkan teksi juga menerima dan menggalakan penggunaan kad kredit untuk kurangkan risiko kena rompak.


Gambar 4: Terperanjat juga mulanya bila beli ikan, ketam dan udang boleh guna kad kredit. (Maaf - gambar kitar semula)

11. Pulang barang dapat wang.

Kalau kita beli barang, kemudian setelah beberapa hari kita pulangkan kerana sebab tertentu. Tuan kedai akan pulangkan duit masa itu juga tanpa bertanya sebarang soalan. 


Gambar 5: Makngahnya berbelanja di salah sebuah pasaraya yang sering kami kunjungi. 
 
12. Sale tak ada gimik.

Kalau kita datang kedai yang buat sale, dan barang yang diiklan sudah habis, pihak kedai akan beri kita satu surat perakuan. Bila barang sampai, dia akan telefon kita suruh kutip. Tiada istilah "sehingga kehabisasan stok" di sana.

13. Ketepatan waktu.

Orang di sini sangat mementingkan ketepatan waktu samada untuk temujanji, ketibaan keretapi bahkan juga bas.


Benda-benda tersebut sekarang sudah tidak asing lagi di tempat kita (macam kad ATM) tapi bagi saya ia adalah satu kemudahan atau benda baru pada masa itu. Tetapi mungkin juga ada perkara-perkara yang patut kita pelajari (misalnya perkara 11, 12 dan 13) di atas untuk diamalkan di negara kita.




 

 

Monday, July 17, 2017

ADAKAH INI SALAH SATU PUNCA KEMALANGAN DI LEBUHRAYA?

Selalu sangat kita dengar berita kemalangan di lebuhraya khasnya PLUS, yang berpunca dari kenderaan terlanggar pembahagi jalan. Saya rasa salah satu sebabnya kerana pembahagi jalan tu terlalu hampir dengan jalan. Kalau ruang antara jalan dengan pembahagi jalan terlalu hampir, mungkin kira-kira sekaki sahaja, tentulah mudah untuk terlanggarnya jika kita terbabas walaupun sedikit sahaja disebabkan terbersin atau terleka seketika misalnya.



Gambar 1: Saya jumpa gambar ini melalui carian Google. Saya tak tahu di mana tempat ini. Tetapi cuba perhatikan jarak antara jalan dengan pembahagi atau penghadang jalan itu. Bukankah terlalu hampir?


Gambar 2: Gambar ini saya ambil dari dalam bas semasa lawatan saya ke Guangzhou pada tahun 1981. Lihat betapa lebarnya pembahagi jalan itu. Kalau kita terbabas sikit, masih ada ruang lagi untuk mengambil tindakan memberhentikan kereta di atas pembahagi jalan itu. 

Memanglah ajal maut itu takdir Ilahi, tapi kita sebagai manusia yang berakal, haruslah berikhtiar mengatasi atau mengurangkannya kemungkinan yang tidak diingini itu. Akan tetapi jika dilebarkan ruangan pembahagi jalan ke suatu jarak yang munasabah, saya sedar ia sudah tentu akan meningkatkan kos pembinaan atau penyelenggaraannya.


Thursday, July 13, 2017

GERAM DENGAN ORANG YANG JAWAB APA YANG DIA TAHU.


 Imej hasil carian Google.

Kadang-kadang geram juga dengan orang yang tak jawab apa yang kita tanya tapi jawab apa yang dia tahu atau apa yang dia ada.

Contoh.

Kita tanya: "Tahu tak kat mana rumah lobai Salleh?"
Dia jawab: "Tak tau. Rumah Haji Dahan kita taulah".

Kita tanya: "Boleh pinjam cangkul tak?"
Dia jawab: "Cangkul tak ada. Gergaji ada".

Kita tanya: "Awak pernah tak pergi Mongolia?"
Dia jawab: :Tak pernah lagi tapi negeri Jordan, dah".

Kita tanya: "Ada nampak imam Jumali tak?"
Dia jawab: "Tak nampak pulak. Malam tadi ada".

Kita tanya: "Nasi dah masak lom?" 
Dia jawab: "Belum. Lauk dah"

Sekadar memberi beberapa contoh. Saya pun kekadang jawab macam tu jugak. Agaknya tentulah bengang orang yang dengar jawapan saya itu.


Tuesday, July 11, 2017

DARI FESBUK # 15: MACAMANA NAK TAHU NAMA ?


Monday, July 10, 2017

ANTARA PUASA ENAM DENGAN JEMPUTAN KENDURI.




Katalah hari ini last bulan Syawal dan kita pulak last Puasa Enam. Esok dah masuk bulan Zulqaedah. Masalahnya hari ini kita ada jemputan kawin. Habis nak buat macam mana? Nak pergi penuhi jemputan atau tidak?  Dalam hal ini kita ada dua pilihan.

1. Hadir jemputan dan tak perlu makan kerana menunaikan jemputan itu hukumnya wajib tetapi makan tak wajib, atau

2. Hadir jemputan dan makan kerana Puasa Enam tu hanyalah sunat. Kalau berpuasa tidak penuh enam hari, kita tidak berdosa. Bahkan kalau tak puasa langsung pun, tidak berdosa. Tapi kita sangat rugilah kerana ganjarannya sangat besar.

Namun begitu, pilihan 1 adalah lebih baik.

Satu lagi. Bila kita sudah habis berpuasa enam, jangan pulak kita kata besok nak raya Puasa Enam. Ini kerana hari raya dalam Islam hanya ada dua sahaja iaitu Hari Raya Idulfitri dan Hari Raya Iduladha. Kalau kita kata begitu, bimbang akan timbul kekeliruan kepada anak-anak kita yang masih kecil atau orang yang baru memeluk Islam seolah-olahnya ada tiga hari raya dalam Islam. Walaupun kita tidak berniat begitu, cuma nak menyatakan bahawa kita sudah selesai satu tuntutan ibadah, tetapi lama kelamaan kalau tidak diperbetulkan ia mungkin boleh jadi satu amalan bidaah.

Allahhua'lam.

    

Sunday, July 9, 2017

TERKENANG SEMASA DULU - 94: RAYA DI SARAWAK - 1981.

Menyambut hari raya puasa di Sarawak (Kuching) semasa saya bertugas di sana (1980-81) memang sangat meriah. Boleh dikatakan setiap rumah dihiasi lampu lip-lap (neon) menjelang akhir Ramadhan. Seolah-olahnya setiap rumah tidak mahu ketinggalam menghias rumah dan kawasan rumah masing-masing dengan lampu dan juga pelita minyak tanah. Saya masih terbayang di mana ada tuan rumah yang sampai memasang lampu di pokok buah-buahan yang terdapat di laman rumah mereka. Memang happening kata bebudak sekarang.

Pada pagi raya sebaik selesai solat sunat idulfitri, kami dalam satu grup akan bergerak ke rumah rumah kenalan dan rakan sekerja. Seboleh-bolehnya kita akan berkunjung ke setiap rumah kenalan kita walaupun sebentar. Makanan tidak begitu penting. Yang pentingnya kita singgah di rumah mereka.Terasa ukhuwah dan kemesraan di antara kita.

Berikut saya tunjukkan beberapa keping gambar suasana hari raya dan juga sekaligus memperlihatkan keadaan kampung dan rumah orang di sana pada ketika itu. Sekarang keadaan tentulah sudah tidak serupa itu lagi. 


Gambar 1:  Kelihatan titi yang menghubungkan rumah ke rumah. Bila air pasang, air laut akan masuk ke dalam parit atau sungai di bawah titian itu.
 

Gambar 2: Mod perhubungan masa itu di perkampungan di persisiran adalah menggunakan perahu menyusuri sungai seperti yang kelihatan di belakang saya.


Gambar 3:  Rombongan kami bergambar di pintu masuk sebuah kampung. Kelihatan tulisan selamt hari raya dalam khat jawi.


Gambar4: Kelihatan dalam gambar ini rakan-rakan keturunan China dan Kelabit turut sama berkunjung ke rumah rakan sekerja.



Gambar 5: Rakan sekerja yang berkunjung ke rumah sewa saya. Kehadiran mereka menghilangkan kesedihan kami menyambut hari raya di rantau orang.


Gambar 6: Kalau tak silap baju raya yang saya pakai tu adalah baju yang saya pakai semasa akad nikah pada tahun sebelumnya. Tak mampu nak tempah baju baru.

Kini semuanya tinggal kenangan yang sangat indah. Kenangan itu tidak mungkin dilupakan,  tambahan pula anak sulung saya lahir di sana yang akan sentiasa mengingatkan saya kepada negeri Sarawak.


Thursday, July 6, 2017

A.K.U K.E.L.I.R.U # 35 : BERUBAH 360° ?

Acap kali saya dengar orang cakap, "tak sangka dia dah berubah 360° sekarang". Ikut pemahaman saya, kalau berubah 360° tu, bererti dia kembali ke titik asal. Maknanya kalau dulu dia hisap candu, kini dia kembali menghisap candu.

Tak gitu ?

Wednesday, July 5, 2017

WW # 153: KENDURI AQEQAH CUCU SAYA - 2/7/17.