Friday, February 23, 2018

CARA ALLAH MEMBERI REZEKI.


Gambar hiasan hasil carian Google.

Cara Allah memberi rezeki, kalau boleh diibaratkan, ia seperti kita memberi ayam makan. Katakanlah segenggam gandum. Kita boleh beri samada dengan ditabur atau dimasukkan ke dalam satu bekas. Banyaknya tetap sama, tetapi di manakah lebih mudah dan cepat bagi ayam memakannya?

Kalau ditabur, gandum itu bersepah dan pastinya ayam akan terpaksa ke hulu ke hilir mematuk butiran gandum tersebut untuk mengisi perut. Tentulah ia lambat dan meletihkan. Tetapi kalau dimasukkan dalam suatu bekas, pasti ia lebih mudah dan cepat.

Selalunya ayam yang diberi makan dalam bekas adalah ayam yang terpilih. Apa lagi yang diberi makan di tapak tangan. Begitulah juga kita, kadang-kadang  terpaksa bersusah payah ke hulu ke hilir mencari rezeki sedangkan ada orang lain dengan usaha yang tak seberapa tetapi mendapat hasil yang sama malah lebih banyak lagi dari kita.

Allah itu maha adil, berkehendak dan berkuasa dalam memberi rezeki kepada makhluknya.  Siapakah kita yang ingin mempersoalkan caraNya ?



Wednesday, February 21, 2018

WW # 160 : BOTINGKEK-TINGKEK.



Monday, February 19, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 13.


Bersambung dari entri ini.

PELAJARAN 13. Huruf ' h'  di pangkal sesuatu perkataan tak berbunyi. 

Orang N9 juga tidak membunyikan huruf 'h' di pangkal sesuatu perkatan (macam orang putih yang tidak membunyikan huruf 'h' dalam perkataan 'hour')

Contoh:

habis > abih
habuk > abuk
hangat > angek
hantu > antu
haji > aji 
hujung > ujung 
hapek > apek 
halus > aluih
hancur > anco

Pengecualian. Terdapat beberapa pengecualian. Antaranya 'haram' tetap haram bukan aram, 'halang' tetap halang bukan alang, 'harus' tetap harus bukan arus. Dan sebaliknya pulak perkataan 'azab' di sesetengah tempat ditambah pulak huruf 'h' jadi 'hazab'.

Kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang bukan orang N9 yang cuba menukarkan sebutan huruf 'e' taling kepada 'o'. Buruk benar bunyinya. Contoh. Apo morah (maksudnya merah) bona baju kau ni.

Thursday, February 15, 2018

LAWATAN KEMBOJA # 4: KISAH BERBUNUHAN SESAMA SENDIRI.

Lama dulu saya pernah menonton filem Hollywood bertajuk The Killing Fields yang mengesahkan kekejaman rejim Pol Pot di Kemboja. Kini saya berpeluang melihat sendiri lokasi serta kesan peninggalannya sebagai bukti sejarah akan kekejaman rejim tersebut. 

Saya percaya sudah terlalu banyak tulisan tentang kekejaman rejim berkenaan yang telah menyebabkkan kematian hampir 3 juta rakyatnya sendiri semasa pemerintahannya dari Oktober 1976 hingga Januari 1979 akibat disiksa, dibunuh termasuk yang mati kerana sakit, kurang makan, terlebih kerja dsb. Mungkin ramai yang sudah tahu cerita ini dengan lebih mendalam. Dan kalau pun tidak tahu, boleh dicari di internet kerana banyak sekali kisah rejim Pol Pot ini dimuatkan. 

Akan tetapi kalau saya tak tulis dan tunjuk gambar yang saya ambil sendiri, rasa tak lengkap pulak cerita saya melawat Kemboja. Makanya dalam entri ini, saya cuma nak tunjuk beberapa keping gambar yang berkaitan untuk dijadikan renungan dan iktibar kepada kita semua.  


Gambar 1: Mereka yang dianggap musuh atau penentang rejim Pol Pot di bawa ke sini untuk disoal siasat dan didera untuk mendapatkan maklumat dan pengakuan. Setelah keterangan mereka direkodkan, mereka akan di bawa ke Choeung Ek (Killing Fields) untuk dibunuh. Bangunan ini asalnya adalah sebuah sekolah menengah di kota Phnom Penh yang diubahsuai untuk dijadikan tempat tahanan.


Gambar 2: Inilah peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa di sini yang mana teks asalnya adalah dalam tulisan Khmer yang dilekatkan pada dinding bahagian dalam bangunan ini.


Gambar 3: Kawat-kawat besi itu dikekalkan dalam keadaan asal sebagai bukti sejarah kepada generasi kemudian dan juga pelawat-pelawat dari luar negara.


Gambar 4: Bilik-bilik kecil untuk menempatkan tahanan seorang sebilik sementara menunggu giliran untuk  disoal siasat untuk mendapatkan bukti dan pengakuan. Tahanan yang tidak tahan penyiksaan akan mengaku sebagai penentang kepada rejim Pol Pot yang kemudiannya digunakan untuk menghalalkan pembunuhan mereka.


Gambar 5: Bilik tahanan Chum Mey yang terselamat kerana kepandaian beliau memperbaiki mesin taip. Kepandaian itu diperlukan oleh pihak rejim Pol Pot yang akhirnya dia terselamat bila Pol Pot berjaya dikalahkan oleh pasukan Hun Seng, Perdana Menteri negara Kampuchea sekarang.


Gambar 6: Inilah rupa Chum Mey sekarang, salah seorang tahanan yang terselamat yang kini berumur 88 tahun. Beliau telah menghasilkan sebuah buku bertajuk "Survivor" yang menceritakan pengalaman beliau dan beliau jual sendiri berhampiran pintu keluar pusat ini.


Gambar 7: Gambar di hari pembebasan tahanan oleh tentera pimpinan Hun Sen yang menunjukkan ada bayi yang terselamat.

Selanjutnya saya akan cerita serba sedikit dan tunjukkan gambar pusat pembunuhan (killing fields) di Choeung Ek. Tempat ini merupakan perhentian terakhir tahanan dari pusat penyiksaan di Tuol Sleng yang saya ceritakan di atas tadi.


Gambar 8: Di pintu masuk pusat pembunuhan. Seterusnya jika ingin melihat gambaran kekejaman yang dilakukan, bolehlah mencari VCD atau muat turun filem "The Kililing Fields" di mana dalam filem tersebut melakonkan semula peristiwa penyiksaan dan pembunuhan tahanan.


Gambar 9: Tempat (spot) di mana tahanan diturun dan dikumpulkan dari tempat penyiksaan Tuol Siang sebelum mereka semua dibunuh di kawasan ini. 


Gambar 10: Bangunan pusat pengumpulan tahanan sebelum dibunuh dengan kejamnya.


Gambar 11:  Tapak stor penyimpanan bahan kimia yang digunakan untuk memastikan tahanan yang belum mati benar-benar mati.


Gambar 12: Gambar peralatan yang digunakan untuk membunuh mangsa. Ngilu seluruh anggota saya bila melihat dan membayangkannya.


Gambar 13: Salah sebuah kubur tempat menanam mangsa yang telah dibunuh.


Gambar 14: Di pohon kayu inilah kanak-kanak kecil yang tidak berdosa dibanting untuk membunuh mereka. Kalau di tembak memakan masa dan menggunakan belanja untuk membeli peluru. Masih terdapat kesan serta darah di pohon kayu ini. Tergamak mereka berbuat demikian. 



Gambar 15: Tengkorak dan tulang belulang mangsa kekejaman disimpan di dalam bangunan ini. Seram juga saya memasukinya.


Gambar 16: Dalam bangunan seperti gambar di atas.


Saya seakan-akan tidak percaya, bila melihat kesan serta mendengar sendiri cerita dari mulut pemandu pelancong kami bahawa mereka yang sama sebangsa sanggup memperlakukan kekejaman sedemikian rupa kepada bangsanya sendiri. Suatu perbuatan yang tidak terbayangkan oleh akal yang sihat boleh dan tergamak dilakukan. Peristiwa itu tidak mustahil boleh terjadi kepada kita yang sebangsa dan seagama jika kita membiarkan faktor berlainan ideologi menguasai kita dan membenar atau membiarkan campurtangan asing dalam hal dalaman negara kita.

Wednesday, February 14, 2018

WW #159: BERDUA LEBIH BAIK.


Sunday, February 11, 2018

ADA KE LAGI ORANG BERBLOG ?

Friday, February 9, 2018

WALAU SESIBUK MANA PUN KITA.

Dalam ceramah ugama malam tadi antara lain Ustaz ingatkan jemaah, walau sesibuk mana pun kita, perlu luangkan masa untuk 4 perkara berikut:

1. melakukan ibadah terutama yang wajib.

2. muhasabah diri.

3. mendampingi ulamak.

4. melakukan urusan yang Allah suka. Contoh, ziarah orang sakit walapun tak sama "bendera" kerana Nabi pun lawat orang kafir yang sakit.

Ust Hj Bakhtiar @ Surau Tmn Tasik Jaya, N9.

Thursday, February 8, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 12.


Bersambung dari entri ini.


PELAJARAN 12. Huruf 'ak' di hujung perkataan tidak berubah.

Saya turut perhatikan orang N9 tidak mengubah sebutan pada huruf 'ak' yang berada di hujung sesuatu perkataan. Misalnya:

Kapak tetap disebut kapak,
Masak tetap disebut masak,
Botak tetap disebut botak,
Campak tetap disebut campak,
Rompak tetap disebut rompak.

Pengecualian: Lasak jadi lesek. Contoh: Dio tu tido lesek nak mampuih, ontah dah borapo kali toghojun katil. 





Thursday, February 1, 2018

PERIBAHASA BERKAITAN KERBAU, NILA DAN AYAM.

 
 Gambar hiasan hasil carian Google.

Kadang-kadang secara tidak serius, melihat situasi semasa masyarakat kita, saya terfikir juga untuk membuat peribahasa versi baru berasaskan peribahasa lama pusaka nenek moyang kita,  seperti berikut:

1. Asal:  Seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit.
Versi baru: Banyak kerbau membawa lumpur, yang seekor pun turut terpalit. 

Maksudnya: Kalau kita seorang tak buat salah dan ramai orang yang buat salah, pasti kita akan turut terlibat sama.

2. Asal. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 
Versi baru:  Kerana nila secerek rosak susu sebelanga. 

Maksudnya: Kalau ramai yang buat masalah, tentulah habis orang lain pun terlibat sama.

3. Asal: Kalau seekor ayam tidak berkokok, hari siang juga.
Versi baru: Kalau semua ayam tak berkokok, hari siang juga. 

Maksudnya: Kalau semua orang tak buat perkara itu, perkara itu tetap terjadi juga.

Cukuplah tiga dahulu. Bila ada idea, saya sambung lagi.