Showing posts with label belajar loghat nismilan. Show all posts
Showing posts with label belajar loghat nismilan. Show all posts

Saturday, June 5, 2021

BAHASA MELAYU KLASIK LAWAN BAHASA NEGERI SEMBILAN.


Gambar hiasan hasil carian Google. 


BK: Sudi apalah kiranya tuan hamba memberikan saya durian itu barang seulas. 

N9: Bak suleh. 

BK: Alangkah baiknya jika kita semua dapat bersegera berangkat sekarang agar kita boleh sampai sebelum senja. 

NS: Moh dogheh. 

BK:  Gerangan apakah yang membuat tuan hamba datang ke teratak hamba di tengah-tengah malam buta begini ni? 

NS: Kau nak apo? 

BK: Mengapakah tuan hamba gemar sekali menggangu anak-anak gadis yang sedang bergumbira bermain-main di dalam taman itu.

NS: Janganlah uncah. 

BK: Bukankah telah hamba ingatkan berulang kali supaya tuan hamba tidak mengacau kerbau yang sedang tidur itu. Sekarang lihatlah apa yang terjadi. 

NS: Ghaso an

BK: Barulah hamba mengerti bahawa tuan hamba ini sebenarnya adalah pemilik sawah ladang ini. 

NS: Kosan ea. 

BK: Hamba kurang pandai bagaimana hendak mengajar tuan hamba menganyam tikar mengkuang itu. 

NS: Hontah. 


Saturday, April 11, 2020

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 19.




PEMERHATIAN 19: Perkataan sama tapi makna tak sama.

Saya perhatikan banyak perkataan dari bahasa baku tapi dalam dialek N9 ia memberi makna  yang berbeza dan unik.

Contoh:

1. Pahit - Rasa yang tidak sedap seperti biji langsat. N9: Pait  - Jangan harap.
2. Jalang - Perempuan tak baik. N9 - Tak pekat atau cair.
3. Cuci - Basuh. N9 - Rosak, musnah.
4. Kawan - Sahabat. N9 - Isteri atau suami
5. Panggilan - Macam panggilan telefon.  N9 -Jemputan kawin.
6. Segan - Malu.  N9: Sogan - Malas
7. Tindik - Membuat lubang pada cuping teling atau hidung. N9 = Menindas kutu dengan kuku.
8. Bayang - Bentuk hitam yg terjadi daripada sesuatu benda yg menahan cahaya. N9 - Berjalan atau berdiri yang terhuyung-hayang.
9. Korek - Menggali. N9: Kokoghek - Baki makanan dalam bekas.
10.Kelapa. - Sejenis buah atau nyior. N9 - Menyemai anak benih.
11. Pokok - Pohon. N9 -Terpulang, terserah.
12. Teragak -  Terfikir (timbul sesuatu fikiran dgn tiba-tiba atau dgn sepintas lalu), terlintas di hati. N9 - Teringin, teringat. 
13. Kencang - Laju, deras. N9: Koncang - Mesra.
14. Titik - Tanda N9. Pukul 
15. Serik - Tak mahu buat lagi. N9: Soghik - Susah, miskin.
16. Biak - Menjadi banyak. N9: Becak, lecah.

Pelajaran sebelumnya ada di sini. 

Saturday, November 24, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 18.




PEMERHATIAN 18. MengEropahkan nama-nama tempat.

Kadang-kadang saya perhatikan ada juga orang yang perasan nama tempat dia, macam nama-nama tempat di Eropah.

Contoh:

Lonek - Barcalonek
Londah - London
Parit - Paris
Jerang - Jerman
Serting Ilir - Saint Helier
Terentang - Toronto 
Pilah - Piladhelphia
Seri Menanti - Cincinati
Palong - Poland.

* Jerang adalah sebuah kampung tidak jauh dari Simpang Durian, Jelebu.

Entri sebelumnya di sini.

Tuesday, August 21, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 17.



PEMERHATIAN 17.  Meringkaskan panggilan nama-nama orang.

Orang Negeri Sembilan juga ada cara tersendiri dalam memanggil nama seseorang. Jarang sangat dipanggil nama seseorang itu sepenuhnya mengikut kad pengenalan.

Ibrahim - Braim
Idris - Dighih
Ishak - Sahak
Ismail - Ma-e
Alias - Iyeh
Wahab - Ghohab
Maisalmah - Slamah
Zaharah - Soghah.
Muhammad Afandi - Mat Pandi

Nama saya Hamzah. Ada juga orang panggil Njah.


Thursday, May 31, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 16.



PEMERHATIAN 16. Meringkaskan sebutan nama tempat.

Orang N9 juga saya perhatikan suka meringkaskan nama-nama tempat.

Contoh:

Batu Kikir > Tike(y)
Rembang Panas > Mompaneh
Seri Menanti  > Sonanti
Port Dickson > Podeksen
Durian Tipus > Jontopuih.
Juaseh > Joseh
Seremban > Somban



Sunday, April 15, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 15.



Bersambung dari entri ini.

PEMERHATIAN 15: Penggunaan perkataan 'do' atau 'doh'.

Ada satu perkataan yang sangat kerap digunakan oleh orang N9 bila mereka bercakap iaitu 'do' atau 'doh'. Saya tidak dapat hendak memberi maknanya tapi tahu masa bila ia sesuai digunakan.

Contoh: 

'Tak ado DO'
'Yo ko, tak tahu pulak sey tu DO'
'Usahlah dihaghapkan bona, budak tu tak bulih pakai tu DO'
'Kok banyak bona pun duit sey, tak ado sey nak moghi kek kau DO'
'Kalau camtulah cagho kau manjek, pait takkan sampai kek ateh DO'



Thursday, March 15, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 14.


Bersambung dari entri ini.

PELAJARAN  14:  Meringkaskan sebutan (selain nama tempat)

Orang N9 memang suka dan handal dalam meringkaskan perkataan. Dua perkataan dijadikan satu dan disebut senafas. Ataupun satu perkataan dipendekkan dengan membuang beberapa huruf.

Contoh:

Besok pagi > Sokgi
Elok-elok > Leklok
Orang putih > Omputeh
Itu dia >  Tudeh
Seulas > Suleh
Batang Air > Tongair 
Kehulu - Kulu
Kehilir > Kilir.
Perigi > Pigi
Kepala > Palo 
Serungkup > Sungkop 
Bukannya > Kanyo 
Maghrib > Ngorit
Kuasa > Koso
Dalam pada itu > Lampadotu
Perlahan-lahan > Pompolahan
Batang leher > Toleher
Benar-benar > Nabona
Air basuh tangan > Estangan
Esok-esok > Seksok
Betul-betul > Tobato.

Monday, February 19, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 13.


Bersambung dari entri ini.

PELAJARAN 13. Huruf ' h'  di pangkal sesuatu perkataan tak berbunyi. 

Orang N9 juga tidak membunyikan huruf 'h' di pangkal sesuatu perkatan (macam orang putih yang tidak membunyikan huruf 'h' dalam perkataan 'hour')

Contoh:

habis > abih
habuk > abuk
hangat > angek
hantu > antu
haji > aji 
hujung > ujung 
hapek > apek 
halus > aluih
hancur > anco

Pengecualian. Terdapat beberapa pengecualian. Antaranya 'haram' tetap haram bukan aram, 'halang' tetap halang bukan alang, 'harus' tetap harus bukan arus. Dan sebaliknya pulak perkataan 'azab' di sesetengah tempat ditambah pulak huruf 'h' jadi 'hazab'.

Kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang bukan orang N9 yang cuba menukarkan sebutan huruf 'e' taling kepada 'o'. Buruk benar bunyinya. Contoh. Apo morah (maksudnya merah) bona baju kau ni.

Thursday, February 8, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 12.


Bersambung dari entri ini.


PELAJARAN 12. Huruf 'ak' di hujung perkataan tidak berubah.

Saya turut perhatikan orang N9 tidak mengubah sebutan pada huruf 'ak' yang berada di hujung sesuatu perkataan. Misalnya:

Kapak tetap disebut kapak,
Masak tetap disebut masak,
Botak tetap disebut botak,
Campak tetap disebut campak,
Rompak tetap disebut rompak.

Pengecualian: Lasak jadi lesek. Contoh: Dio tu tido lesek nak mampuih, ontah dah borapo kali toghojun katil. 





Friday, April 24, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 11.




Bersambung dari entri ini.


PELAJARAN 11. Huruf 'us' jadi 'uih'

Seterusnya orang N9 juga akan menukarkan sebutan huruf 'us' di hujung sesuatu perkataan kepada huruf 'uih'.

Contoh:

bagus > baguih
berambus > boghambuih
bungkus > bungkuih
gajus > gajuih
halus > haluih
kambus > kambuih
kurus > kughuih
lulus > luluih
mampus > mampuih
putus > putuih

Saya tidak terjumpa pengecualiannya. 


Thursday, April 16, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 10.


Bersambung dari entri ini.

PELAJARAN 10.
Huruf 'is' di hujung perkataan ditukar sebutannya kepada 'ih'


Saya juga perhatikan orang N9 akan menukarkan sebutan huruf 'is' di hujung sesuatu perkataan kepada huruf 'ih'.

Contoh:

bengis > bongih
habis > habih
keris > korih
kudis > kudih
lapis > lapih
manis > manih
manggis > manggih
tepis > topih
tiris > tirih
waris > waghih

Pengecualian: Puas saya fikirkan, tapi tidak terjumpa pengecualiannya.



.

Tuesday, April 14, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 9.


Entri ini adalah sambungan dari entri ini.
 


PELAJARAN 9:  Huruf 'r'  tak ada bunyi.

Huruf 'r' yang berada di hujung perkataan juga tidak dibunyikan atau tak berapa nak dengar sebutannya. Kalau nak bunyikan pun, saya rasa tak ada masalah, dengan syarat janganlah tebal sangat.

Contoh:

bakar > baka
gebar > goba
khabar > koba
keluar > kolua
lempar > lempa
pagar > paga
seluar > selua
besar > bosa
gambar > gamba
sambar > samba.



Thursday, April 9, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 8.



Entri sebelumnya ada di sini.

PELAJARAN 8. Perkataan Inggeris di Negeri Sembilankan.

Akibat pengaruh Bahasa Inggeris, orang N9 juga banyak mengambil dan menukarkan bahasa Inggeris ke dalam lidah orang N9 dengan makna yang asal atau sedikit berlainan.

Contoh:

1. Celait - torch light
2. Koporit - Culprit
3. Singgam - Chewing gum
4. Motan - Important *
5. Keriya - Carrier
6. Kona -   Corner
7. Alikaca - Agriculture
8. Soja - Soldier
9. Stemet - Estimate
10. Belen - Balance
11. Stedeng - Steering
12. Hendal - Handle.
13. Podeksen - Port Dikson.
14. Celen - Challange.
15. Selenda - Surrender
16. Kerop - Care of.
17. Roba - Rubber
18. Sekoya - Square

* Perkataan 'motan' mungkin juga diambil dari perkataan Arab 'matan'. Perkataan-perkataan lain seperti kona, belen atau celen mungkin juga turut digunakan secara umum di seluruh negara.

Tuesday, April 7, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 7.



Bersambung dari entri ini.

PELAJARAN 7
. Menghilangkan bunyi huruf 'l' di hujung perkataan.


Orang N9 juga saya perhatikan tidak membunyikan atau tidak menekankan bunyi huruf 'l' yang berada di hujung perkataan. Akan tetapi kalau nak bunyikan pun saya rasa tak ada masalah, tapi janganlah tebal sangat.

Contoh:


bedal > boda
gumpal > gumpa
handal > handa
kapal > kapa
madal > mada
mahal > maha
pangkal > pangka
pintal > pinta
tebal > toba
tungkal >tungka

Pengecualian: Perkataan 'kawal' tetap kawal bukan 'kawa' dan 'bebal' bukan 'boba'. Saya tak pasti perkataan 'sundal' tukar jadi 'sunda' ke tidak kerana perkataan sunda tu turut dipakai pada nama sebuah pulau di Indonesia.


Sunday, April 5, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 6.



Sambungan dari entri ini. Pelajaran kali pendek sahaja tapi menarik dan penting untuk mencapai ketepatan sebutan dalam percakapan.

PELAJARAN 6.  Sebutan huruf 'ua'  jadi 'o'

Umumnya orang N9 akan menukar sebutan 'ua' di dalam satu-satu perkataan kepada 'o' sahaja. Lihat beberapa contoh yang saya berikan seperti di bawah.

Buaya - boyo.  Contoh: Boyo darek banyak sekarang ni.
Kuala - kolo.  Contoh: Bilo kau nak poie Kolo Kopih.
Kuasa - koso. Contoh: Tak koso den masuh keto tongahari buto ni do.
Puasa - poso. Contoh: Dah habih poso onam lom ?
Suara - sogho. Contoh: Sogho sapo monghoghik-hoghik kek kopuk tu ?

Pengecualian:  Muara bukan moro, puaka bukan poko, suasa bukan soso. Bila ada pengecualian itu, kenalah berhati-hati kerana pengecualian ini hanya boleh dikesan atau dipelajari melalui pergaulan dengan orang yang bercakap N9.

Friday, April 3, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 5.




Entri ini adalah sambungan dari entri ini.


PELAJARAN 5Huruf 'e' taling tidak berubah sebutannya.

Dalam bahasa N9, saya perhatikan semua 'e' taling tak berubah sebutannya. Ini penting !

Contoh:

becok
bengkok
cemat
hebat
lebar
merah 
perak
sekeh
sepak
cerek
gelek
hebat
lengah
leret
seret

Kadang-kadang ada juga kawan-kawan yang bukan orang N9 yang cuba menukarkan sebutan huruf 'e' taling kepada 'o'. Buruk benar bunyinya. Contoh. "Apo morah (maksudnya merah) bona baju kau ni".




Thursday, April 2, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 4.



Ada pun entri ini adalah sambungan dari entri ini.

PELEJARAN 
4:
  Huruf ' Ä• ' (pepet) jadi huruf 'o'. 


Saya juga perhatikan, orang N9 akan menukarkan sebutan huruf 'Ä•'  kepada huruf 'o'. Fenomena ini lumrah. Bahkan hampir semua sebutan huruf 'Ä•' pepet menjadi 'o'.

Contoh:

bĕla - bolo
bĕsar - bosar
cĕrok - coghok
dĕkat - dokek
dĕra - dogho
dĕpan - dopan
gĕlak - golak
gĕmok - gomok
kĕra - koro
pĕtai - potai
mĕrĕkah - moghokah
pĕlĕpah - polopah
pĕta - poto
sÄ•bÄ•lah - sobolah 
sĕdĕkah -sodokah
sÄ•mÄ•nggah - somonggah 
tĕka - toko
tĕlur - tolo.

Saya tak berjumpa pengecualiannya.
  
Peringatan:  Kalau huruf vokal  'e' (taling) jangan pulak suka-suka nak ditukar sebutannya menjadi 'o'. Misalnya 'besan' tetap disebut 'besan'. Tak boleh tukar jadi 'bosan', walau pun kadang-kadang ada betulnya. Sebab itu
dalam kamus dialek Negeri Sembilan itu, tiada perkataan yang ada huruf Ä• pepet kerana semua telah saya tukarkan kepada huruf 'o' untuk mengelakan kekeliruan.




Sumber: Sini.



Wednesday, April 1, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 3.


Untuk makluman, entri ini merupakan sambungan dari entri ini.


PELAJARAN  3: huruf 'as' jadi huruf 'eh'.

Diperhatikan juga, orang N9 bila bertemu  huruf 'as' di hujung setiap perkataan akan menukarkan sebutannya kepada huruf 'eh'.

Contoh:

atas - ateh
balas - baleh
bingkas - bingkeh
buas - bueh
cantas - canteh.
culas - culeh
kapas - kapeh
kipas - kipeh
kupas - kupeh
libas - libeh 
lepas - lopeh
malas - maleh
pangkas - pangkeh
pintas - pinteh 

Dalam hal ini pun ada pengecualiannya. Tak ada petua tertentu, cuma kena ingat sahaja.

Contoh:

awas tak boleh tukar jadi aweh
belas tak boleh tukar jadi beleh
bebas tak boleh tukar jadi bebeh
kebas tak boleh tukar jadi kebeh
tewas tak boleh tukar jadi teweh.




Tuesday, March 31, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 2.




Untuk makluman, entri ini merupakan sambungan dari entri ini.

PELAJARAN 
2.
Huruf 'at' jadi huruf 'ek'


Saya juga perhatikan, orang N9 akan menukarkan sebutan hampir semua huruf 'at' yang berada di hujung perkataan kepada huruf 'ek'.  Anda hanya perlu tukarkan huruf 'at'  kepada 'ek'. Mudah kan !

Contoh:

amat - amek
buat - buek 
cawat - cawek
darat - darek
ikat - ikek
lumat - lumek
muat - muek
pacat - pacek
panjat - panjek
sumbat - sumbek
tambat - tambek

Nampak macam mudah, tapi dari pengalaman saya, ramai orang bukan N9 yang terkena di sini sebab banyak pengecualiannya. Bukan sembarangan sahaja boleh tukar 'at' kepada 'ek'. Tak ada petua, cuma  kena hati-hati sahaja. Misalnya.

Adat tak boleh tukar jadi adek.
Batat tak boleh tukar jadi batek.
Jawat tak boleh tukar jadi jawek.
Ketat tak boleh tukar jadi kotek.
Gawat tak boleh tukar jadi gawek.
Hebat tak boleh tukar jadi hebek.

Selain dari itu, nama khas seperti kampung Lonek bukan berasal dari perkataan Lenat dan kampung Bongek juga bukan berasal perkataan Bengat.

Contoh: Dari Lonek poei ko Bongek nak caghi ketupek. Boli soikek, makan sobinjek toruih tojoluek sobab dah boghulek.


Monday, March 30, 2015

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 1.


Gambar kepala (header) grup Kelab Peminat Adat Perpatih (K-PAP). Bilangan ahli semasa adalah seramai 8,136 orang.


Tulisan berikut adalah hasil pemerhatian saya berdasarkan input dari ahli-ahli Kelab Peminat Adat Perpatih sejak ia ditubuhkan pada 3hb Jun 2013. Pemerhatian ini mungkin berfaedah kepada mereka yang ingin belajar dialek N9. Oleh kerana ia dalam bentuk tulisan, maka untuk mendapatkan sebutan yang betul, kenalah bergaul atau bertanyakan orang N9.

 
* Pemerhatian ini berdasarkan sebutan orang daerah Kuala Pilah dan Jempol. Mungkin ada sedikit perbezaan di daerah lain seperti Jelebu atau Port Dickson.


PELAJARAN 1 -  Huruf  'a'  jadi huruf 'o'.

Saya perhatikan, orang N9 akan menukarkan sebutan hampir semua huruf  'a' yang berada di hujung setiap perkataan kepada huruf  'o'. Ini yang paling mudah dan menyeluruh. Anda hanya perlu tukarkan sebutan dari bahasa baku yang ada huruf 'a' dihujungnya kepada huruf 'o'.  

Contoh:

ada > ado
baca > baco
cuba > cubo
dua > duo
gua > guo
jala > jalo
kaya > kayo
lama > lamo
mana > mano
nama > namo
paya > payo
sama > samo
tanya > tanyo

Tapi ada pengecualiannya,  jika ia bertukar makna, pelik atau lucu. Contohnya.

1. Bola tetap bola bukan bolo.
2. Nyonya tetap nyonya bukan nyonyo.
3. Nona tetap nona bukan nono.
4. Lawa tetap lawa bukan lawo.
5. Anda tetap anda bukan ando.
6. Kerbau bala tetap kerbau bala bukan kerbau balo.

Selain dari itu, nama jenama jugak tidak diubah sebutannya.
Misalnya Yamaha tak bolehlah ditukar kepada Yamaho dan Kubota tak boleh ditukar kepada Kuboto walaupun perkataan itu ada huruf 'a' di hujungnya.

Jika anda ingin mengetahui dengan lebih lanjut atau mendalami dialek orang Negeri Sembilan, silalah join Kelab Peminat Adat Perapatih (K-PAP) . Terima kasih.