Gambar hiasan hasil carian Google.
Hari ini saya ingin berkongsi tafsir Prof Dr. HAMKA pada ayat 50 surah Az-Zumar yang dipetik dari kitab Tafsir Al-Azhar karangannya yang terkenal itu.
قَدۡ قَالَهَا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ فَمَآ أَغۡنَىٰ عَنۡہُم مَّا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ
Sebenarnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian maka segala yang mereka usahakan itu tidak dapat menyelamatkan mereka (dari azab Allah) - Az -Zumar ayat 50
~ Teringatlah kita kisah ketika Alim pendita Ibnus Samaak yang terkenal datang ke dalam majlis Raja Harun al-Rasyid. Raja meminta agar Baginda diberi pengajaran, diberi ceramah agama. Ketika itu hari sedang tengah hari di musim panas. Ketika mendengar ceramah itu Raja terasa haus. Lalu Baginda titahkan seorang khadam mengambil air dingin buat diminum. Setelah khadam itu datang membawakan air dan seketika Raja akan meminum air itu, bertanyalah Ibnus Samaak. "Tuanku ! Patik hendak bertanya. Jik tidak segera dapat air yang Tuanku minta itu, padahal Tuanku sedanga sangat haus, bagaimana sikap Tuanku?
Raja Menjawab. Akan aku perintahkan orang mencari air itu di mana-mana di seluruh dunia, walaupun akan habis separuh dari kekayaanku buat belanja mencari air itu !"
Maka perkataan itu disambut oleh Syaikh Ibnus Samaak: "Tuanku ! Kalau demikian halnya, adakalanya segelas air lebih mahal daripada separuh kekayaan Tuanku ?"
Raja menganggukkan kepala tanda setuju, bahawa kadang-kadang seteguk air lebih mahal dari separuh Kerajaan Baginda.
Lalu Baginda pun terus meminum air itu hingga habis.
Setelah air itu habis diminum oleh baginda, Ibnu Samaak sekali lagi bertanya: "Tuanku ! Masih ada pertanyaan hamba ! Jika sekiranya air yang segelas yang Tuanku minum sebentar ini, tidak mahu keluar dari dalam tubuh Tuanku, bagaimana akal Tuanku ?"
"Itu adalah penyakit amat berbahaya"
"Kalau misalnya kejadian demikian itu, bagaimana ikhtiar Tuanku?"
"Aku akan suruh cari doktor yang ahli di mana saja, walaupun dia berada di ujung bumi ini. Aku suruh datangkan ke mari buat mengubatiku. Seluruh kekayaanku ini pun tidak mengapa licin tandas, asal segelas air itu dapat keluar kembali dari badanku!"
"Maafkan daku, Tuanku ! Sambung Ibnus Samaak selanjutnya. "Dapatlah kiranya Tuanku berfikir bahwa kadangkala segelas air najis, lebih mahal harganya dari seluruh Kerajaan Tuanku. Apala guna Kerajaan kalau badan tidak ada kesihatannya lagi".
Raja termenung mendengarkannya ~
Saya ingin melanjutkan kisah itu dengan membuat bayangan, apa terjadi kepada diri saya sekiranya setelah meminum berpuluh-puluh gelas air selama seminggu, tidak boleh membuat air kecil walau setitis pun ?
Maka bagi kita yang masih boleh membuang air kecil seperti biasa, marilah kita mengucapkan syukur kepada Allah swt yang telah memberikan kita nikmat tersebut dengan mentaati segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya tanpa sebarang persoalan atau keraguan.