Ada 4 peristiwa yang ingin saya ceritakan dalam entri ini.
Peristiwa 1. Nyaris di langgar treler.
Saya dalam kereta pejabat dengan beberapa orang pegawai lain sedang berhenti di lampu trafik yang sedang berwarna merah. Jalan itu menurun sedikit tapi tidaklah curam sangat. Ada sebuah treler dari arah belakang yang mengalami masalah brek, bergerak laju kearah kereta kami yang masih lagi berhenti. Selepas sangat mengampiri kereta kami, pemandunya sempat mengelak ke kiri dan tak berapa jauh kedepan selepas itu ia terus terbalik. Kalaulah ia melanggar kereta kami harus kami jadi sandwich kerana ada beberapa kenderaan di depan.
Peristiwa 2. Hampir gagal potong kereta.
Peristiwa ini berlaku semasa saya masih bujang di jalan menghala ke utara di kawasan Taiping. Saya memotong sebuah kereta. Tanpa saya duga ada lori datang dari depan. Saya menekan minyak kereta hingga maksimum utuk melepasi kereta yang saya potong itu yang juga bergerak laju (tidak pasti samada disengajakan atau tidak oleh pemandunya). Sebaik melepasi kereta itu saya terus masuk ke lorong kiri dan berjaya mengelak dari dilanggar lori yang datang dari arah hadapan itu. Kalau saya lewat sesaat sahaja pastinya kereta saya akan bertembung dengan lori secara berhadapan yang juga dipandu laju.
Peristiwa 3. Zink terbang ke arah kereta.
Saya dengan beberapa rakan, dalam perjalanan ke Pulau Pinang atas urusan rasmi menggunakan lebuhraya PLUS. Kereta saya dipandu oleh rakan saya pada kelajuan yang dibenarkan (lebih kurang 110 km). Saya duduk di sebelah pemandu. Tiba-tiba saya nampak sekeping zing terbang melayang-layang ke arah kereta kami. Zing itu datang dari sebuah lori yang barangkali membawa bahan buangan menghala keselatan. Saya yang dapat melihat dengan jelas sempat berdoa supaya zing itu tidak mengenai kereta kami. Tetapi zing itu tetap juga mengenai cermin depan kereta saya. Bagaimanapun kedudukan zink itu tidaklah menerjah umpama lembing tetapi ibarat tamparan ke muka sahaja. Akibatnya cermin kereta saya bercalar yang agak dalam yang kemudiannya terpaksa ditukar kerana tidak boleh diperbaiki lagi. Saya bersyukur kerana bernasib baik bukannya batu atau objek keras yang terbang kerana kesannya tentulah lebih buruk.
Peristiwa 4. Kereta Makngahnya berlanggar.
Tak berapa lama dahulu, Mak Ngahnya terlibat dengan kemalangan sekembalinya dia mengambil anak saya, Haiqal dari sekolah di sebelah petang. Kira-kira setengah perjalanan balik, sebuah motosikal meluru keluar ke jalan besar dari jalan kampung tanpa menoleh ke arahnya. Makngahnya tidak sempat mengelak dan berlakulah perlanggaran yang menyebabkan kerosakan kepada kereta Mak Ngahnya dan juga motorsikal itu. Tapi saya sangat bersyukur tidak ada sebarang kecederaan kepada Mak Ngahnya dan juga Haiqal kecuali terkejut dan trauma sahaja.
Peliknya kaki saya pulak yang luka ketika mengalihkan kereta itu ketepi jalan akibat terkena serpihahan kaca. Luka sikit sahaja tapi berdarahlah juga.
Beginilah rupanya kereta yang dipandu Mak Ngahya yang rosak agak teruk di sebelah pemandu.
Jadi bila kita ditimpa satu kemalangan kecil, ingatlah berapa banyak kecelakaan besar yang telah terelak. Barulah akan timbul rasa syukur dan tidak menyesali nasib.