Wednesday, September 30, 2009

KEMALANGAN MAYA ...

Blog list (Blog V.V.I.P) saya ter"remove" semuanya. Macamana boleh jadi, saya pun tak perasan. Inilah dikatakan gatal tangan ... Nak buat semula, satu kerja pulak. Adoiii !

Saturday, September 26, 2009

SONYUM SOKOJAP - 2 ... PELEKAT SENDIRI !

Sebelum raya saya dapat beberapa ikat sampul untuk isi duit raya dari sebuah bank. Disebelah dalamnya ada tertulis perkataan "Pelekat Sendiri" atau "Self-Adhesive". Ini dia contohnya.



Kemudian saya pun masukanlah duit ke dalamnya dan biarkan atas meja. Selepas kira-kira satu jam saya pun datang tengok dan saya dapati sampul tu masih terbuka. Katanya "pelekat sendiri". Rupanya kena lekatkan juga. Tipu betul !


Friday, September 25, 2009

SELAMAT KEMBALI DARI BERAYA !

Alhamdulillah. Itulah ucapan yang terkeluar dari mulut saya sesampainya di rumah saya di Seremban sekembalinya dari beraya di rumah mertua di Perlis. Saya balik ke Perlis pada pagi 3 Syawal (Selasa) dan sampai semula ke Seremban sebentar tadi. Kami menyambut hari raya secara bergilir-gilir. Tahun ini raya pertama di Seremban, tahun lepas pun di Seremban dan tahun hadapan pun insyaallah di Seremban juga. Kami bergilir-gilir bawa kereta !

Semasa balik ke Perlis perjalanan lancar, kecuali ada kemalangan maut berhampiran tol Nilai. Saya sampai di lokasi kemalangan sebaik sahaja kejadian berlaku. Polis pun belum sampai, cuma Plus Ronda sedang sibuk memasang kon dan mayat penunggang motosikal masih terbaring di tengah-tengah lebuhraya. Kalau saya lewat lima minit, mungkin tersangkut dalam kesesakan, yang menurut akhbar keesokan harinya sejauh 7 kilometer. Cuma ucapan kesian sahaja yang dapat di ucapkan kepada yang meninggal dan keluarganya. Saya terkenang anak isterinya yang menunggu di rumah sambil tertanya-tanya kenapa ayah atau suami masih belum sampai-sampai.

Hari ini perjalanan balik ke Seremban dari Perlis, keadaan lalulintas macam biasa seperti sebelum hari raya. Agaknya orang akan balik esok (Sabtu) atau pun Ahad. Cuma ada sedikit kemalangan di lorong sebelah ke utara berhampiran terowong menghampiri perhentian Sungai Perak (tak tahu pula nama terowong tu?) Salah seorang peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi rebah di tengah jalan. Tapi dia nampaknya o.k dan semasa saya melintasinya, dia sedang terkial-kial untuk bangun. Kedua-dua kejadian kemalangan itu, menjadi pengajaran buat anak bujang saya yang beria-ia benar nak pakai motor besar.

Sesampainya di rumah, juga tidak ada apa-apa kejadian yang tak diingini berlaku. Risau juga meninggalkan rumah lama-lama. Cuma pokok-pokok bunga sahaja yang nampaknya layu sedikit, tak ada siapa yang tolong siramkan. Jiran pun balik kampung juga. Pendeknya kesemuanya selamat ... selamat pergi, selamat pergi dan selamat yang tinggal. Alhamdulillah.

Yang belum selamat ialah Puasa Enam. Insyaallah hari Isnin nak mula. Kepada sesiapa yang dah mula atau dah dekat nak habis, tahniah saya ucapkan.

Monday, September 21, 2009

DATUK OH DATO' ...!

Semasa bersembahyang raya, saya bertemu seorang sahabat lama yang sudah ada gelaran Datuk/Dato'. Sebelum ini juga, beberapa kawan baik saya telah di anugerahkan gelaran Datuk/Dato'. Entah kenapa saya jadi tak sedap hati bila ramai kawan-kawan rapat saya dapat gelaran Datuk/Dato’. Tak tahu nak panggil macam mana. Nak panggil nama saja, takut dia kecil hati. Nak panggil Datuk/Dato’ pula, rasa macam formal sangat. Nak gurau-gurau kasar macam dulu-dulu, dah tak berapa nak kena. Dia mungkin tak terasa atau tak fikir apa-apa. Atau dia boleh buat macam biasa saja, tapi kita pulak jadi serba salah. Kadang-kadang saya saja-saja cuba tak panggil Datuk/Dato’ dan saya tak nampak dahinya berkerut, tapi saya khuatir ada orang lain ingat kita ni tak reti bahasa pula. Pendeknya, bila kawan rapat kita dapat gelaran Datuk/Dato’, keadaan dah tak macam dulu-dulu lagi … dah rasa macam ada jarak.

Ada orang kata, apa salahnya kita panggil saja Datuk/Dato’ sebagai tanda hormat. Tak ada masalah, tapi bila kita kena panggil Datuk/Dato’ kepada kawan karib kita sejak kecil, macam dah ada satu garisan yang tak nampak yang memisahkan keakraban dan kemesraan. Sedangkan kita nak macam dulu-dulu juga. Bertepuk-tampar dan ber"aku-engkau". Ada juga orang kata, apa salahnya kita berubah sesuai dengan peredaran masa. Tapi takkanlah semua yang ada dalam dunia ini kena berubah mengikut peredaran masa. Takkan perasaan kasih sayang atau persahabatan nak diubah juga. Apakah rasa kasih sayang kepada anak-anak kena berubah bila mereka semua telah meningkat remaja atau dewasa. Saya tak setuju. Noktah. Biarlah apa orang nak kata, perasaan kasih sayang dan persahabatan bukanlah benda yang boleh atau patut berubah mengikut perubahan masa.

Jadi kalau ada kawan-kawan saya, yang saya tak panggil Datuk/Dato’ nanti, jangan kecil hati. Itu maknanya saya masih ingin bersahabat dan ingin mengekalkan kemesraan yang ada. Tapi bilamana saya lihat ada kerut di dahi bila saya tidak panggil dia Datuk/Dato’, maka ketahuilah bahawa mulai dari saat itu, Y.Bhg Datuk/Dato’ perhubungan kita sudah tidak lagi seperti dulu!

Sunday, September 20, 2009

HARI INI HARI RAYA ...!

Hari ini hari raya. Hari kemenangan selepas sebulan berpuasa. Marilah kita sama-sama bergembira meraikannya. Dalam masa yang sama jangan di lupa pada yang tiada. Kepada yang mengunjung blog ini, di kala ini .... sekali lagi di ucapkan selamat hari raya, maaf zahir batin.

Wednesday, September 16, 2009

SELAMAT HARI RAYA ...!

walau mata tak pernah berpandangan
tangan tidak pernah bersalaman
bicara tidak pernah kedengaran
namun budi tetap kedapatan
rasa mungkin pernah terusik
hati mungkin pernah terjentik
apa lagi nak di kata
selamat hari raya
maaf zahir batin.

Saya peturunkan kembali nukilan dari blog puecorgxret untuk peringatan diri sendiri dan mungkin juga sebagai iktibar kepada orang lain (kalau dah pernah baca ... tak apa, baca lagi sebab Melayu mudah lupa!)

TUHAN KU ... AMPUNILAH DAKU!

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil pendengaran ku
yang cenderong melayan perkara keliru.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil penglihatan ku
yang gemar tersasar ke daerah biru.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil upaya lidah ku
yang sering lalai menyebut nama Mu.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil ingatan ku
yang kerap terlupa mengenang wujud Mu.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil nafas ku
kerana pendengaran ku, penglihatan ku, lidah ku dan ingatan ku
dari limpah rahmat Mu
tidak membulat kepada Mu.

Tuhan ku
Ampunilah daku.

Tuesday, September 15, 2009

SONYUM SOKOJAP - 1 ... KURANG ASAM !

Kenapa ya ...?

1. bila kurang manis, kita tambah gula,

2. bila kurang masin, kita tambah garam,

3. bila kurang pedas, kita tambah lada,

4. bila kurang asam, kita kena ketuk !

Monday, September 14, 2009

TEGUR SALAH TAK TEGUR SALAH ...!

Tuan2 dan Puan2 sekelian.

Maaf. Saya emosi sikit hari ini. Sepatutnya ada entri lain yang saya nak poskan. Disebabkan satu hal (yang saya rasa ada kepentingan bersama), saya buat entri ini untuk mendapat padangan tuan/puan. Saya terjumpa blog ini di mana, pemiliknya menggunakan perkataan "kecarutan" di tempat kita memberi ulasan atau komen. Saya pun menegurnya kerana perkataan itu saya rasa tidak patut digunakan dan sebagai orang yang sudah berumur saya rasa bersalah kalau tidak berbuat demikian. Dia nampknya tak berapa bersetuju walaupun berterima kasih atas teguran saya. Saya salin dan turunkan di sini skrip penuh apa yang saya tegur dan apa pula jawapannya.
---------------------------------------------------------------
" al-lavendari said...



pak cik nak tegur sikit ... jgn kecil hati ye! Perkataan "kecarutan" tu pak cik rasa kurang sesuai di gunakan untuk meminta orang beri komen. bila pak cik beri komen, macam pak cik mencarut pulak. kalau di kampung pak cik, perkataan mencarut tu bawa makna yang tak berapa manis di dengar. maaf kalau pandangan pak cik ini berbeza dgn anne.


7:48 AM, September 12, 2009


Anne said...


maaflah ye..menurut kamus dewan: perkataan mencarut atau carut itu bermaksud SESEORANG YANG BERCAKAP MEREPEK DAN MENGARUT..Kita panggil tukang karut..kalau ianya tak bersesuaian pada pandangan individu,rasanya kita kena cuci dulu minda supaya tidak memanipulasikan bahasa dengan merosakkannya..CARUT BUKAN PERKATAAN LUCAH SEBENARNYA..CUCI MINDA, BERSIH HATI..InsyaAllah...Maksud perkataan elok tp kita sendiri yang buat ia jadi begitu buruk..hilang sudah keindahan bahasa yang selalu diagung-agungkan...harap maklum...~MAAF ANDAI KATA-KATA SAYA SEDIKIT KASAR...terima kasih atas teguran...


8:32 PM, September 12, 2009

al-lavendari said...

Salam anne.


Pak Cik juga rujuk Kamus Dewan sebelum beri pandangan. Pak Cik "copy" apa kata "Kamus Dewan Elektronik Dewan Eja Pro" mengenai makna "carut".


carut• perkataan yg keji dan kotor (cabul): perkataan hamun dan maki, ~ dan cabul; ~-capai = ~-marut berbagai-bagai perkataan yg keji dan kotor; • bercarut, bercarut-carutmengeluarkan perkataan yg keji dan kotor: sampai beliau ~; ~ bungkang Mn mencarut-carut, memaki-maki; • mencarut, mencarut-carutmengeluarkan perkataan yg keji dan kotor, memaki-maki: kadang-kadang ~ dan meludah; • mempercarutimemaki-maki orang dgn perkataan yg keji; • carutan(perkataan, kata-kata) yg keji dan kotor, (kata-kata) yg cabul: penyair menjauhkan kata-kata ~ yg kasar; • pencarut1. suka mencarut; 2. orang yg suka mencarut.



Tak apalah kalau awak tak setuju. Mungkin ada pembaca awak atau anak2 Pakcik (mereka selalu ikut ke mana Pakcik pergi) yang sudi dan mahu mendengar nasihat.

11:04 AM, September 14, 2009"

---------------------------------------------------------------
Saya segera teringat akan blog "Cerita Kaki Lima" di mana Sdr. Prasert E.C telah membuat satu entri yang menarik, bertajuk "Sekadar Menyibuk" . Memang benarlah kata saya dalam blog tersebut sebelum ini bahawa "menyibuk dan mengambil berat, garis pemisahnya amat tipis".

Lalu saya serahkan kepada tuan/pun untuk mengadili saya.

1. Salahkah saya menegur pemilik blog tersebut?

2. Salahkan perkataan atau ayat yang saya gunakan?

3. Salahkah perkara yang saya tegurkan itu?

4. Betulkah jawapan yang diberikan oleh Anne itu?

5. Patutkah saya biarkan sahaja, dan usah menyibuk?

Untuk makluman semua, saya sendiri pernah menggugurkan dua entri saya sebelum ini; pertama mengenai jenaka seorang suami yang nak kawin lagi satu yang ditegur oleh KLCitizen dan yang kedua mengenai orang cacat yang ditegur oleh Maiyah. Walaupun kedua2 entri saya itu lebih ramai yang berpendapat tiada salahnya, tetapi saya berpendapat kebenaran itu tidak sentiasa berpihak kepada yang ramai.

Sekian, berilah pandangan ikhlas tuan/puan dan setiap pandangan akan saya hargai dan saya dahului dengan ucapan terima kasih. Sekian.

Friday, September 11, 2009

KISAH SEORANG PEMECAH BATU DI ZAMAN DAHULU KALA ...!


Gambar Ihsan - Google

“Al-kisah tersebutlah sebuah cerita mengenai sekumpulan pemecah batu yang bekerja memecahkan batu di kaki gunung untuk di jual. Salah seorang daripada mereka tidak puas hati dengan kerjanya. Mana tidaknya, pendapatan yang diterima sudahlah sedikit, kerjanya pula bermandi peluh, panas dibakar sang matahari. Si pemecah batu yang seorang ini mencemburui sang matahari yang kerjanya hanya menyinarkan cahayanya. Dia pun bercita-cita ingin menjadi matahari, lantas berdoa pada sang dewata. Doanya dimakbulkan dan jadilah si pemecah batu tadi matahari. Maka bergumbiralah dia menyinarkan cahaya kepada semua makhluk di bumi. Tambah-tambah lagi bila melihat ada manusia yang mengeluh dan menangis kepanasan. Tiba-tiba datang awan menghalang pancarannya. Dia geram, kecewa dan merasa tidak puas hati kerana tidak boleh berbuat apa-apa. Maka sekali lagi memintalah akan dia pada sang dewata, supaya dia ditukarkan menjadi awan pula. Sekali lagi doanya dimakbulkan dan bertukarlah dia menjadi awan. Maka bergumbiralah dia kerana berupaya menghalang pancaran matahari dari menyinari bumi.

Dalam keasyikannya menghalang sinaran matahari, tiba-tiba dia ditolak ke sana ke mari oleh sang angin. Apalagi dia pun merasa geram, kecewa dan tidak puas hati kerana tak dapat berbuat apa-apa. Dia pun berhasrat untuk menjadi angin pula, agar dia dapat mempermain-mainkan sang awan. Lantas dia pun berdoa kepada sang dewata agar dia ditukarkan menjadi angin pula. Kali ini doanya dimakbulkan juga. Maka bergumbiralah dia dapat menunda sang awan ke mana dia suka. Dalam pada bergumbira menolak awan ke sini sana, pergerakannya tiba-tiba terhalang pula oleh sebuah gunung. Sebagai angin dia tak berupaya untuk menolak gunung sepertimana yang dapat diperlakukannya kepada sang awan. Bila sahaja terlanggar gunung badannya akan hancur berkecai. Tersangatlah kecewa sang angin itu kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Dia seperti selalunya tidak puas hati atas sifat kejadiannya dan bercita-cita pula untuk menjadi gunung dan terus berdoa kepada sang dewata agar dirinya dijelmakan menjadi gunung. Kali ini pun doanya dimakbulkan dan menjadilah akan dia gunung pula.

Gumbira tak terkata sang gunung bila mana mendapati sang angin tak dapat mengalahkannya. Tiupan sang angin bagaimana kuat sekalipun, tidak boleh mencacatkannya bahkan habis di tepisnya. Tiba-tiba dia terasa kakinya sakit bagai di gigit oleh sesuatu. Bila dia melihat ke bawah terlihat olehnya akan sekumpulan pemecah batu sedang bernyanyi-nyanyi sambil bekerja memecahkan batu. Dia berasa geram dan sakit hati kepada pemecah batu kerana jasadnya sedikit demi sedikit terhakis oleh pemecah batu tadi. Dia tidak puas hati dengan dirinya yang walaupun gagah tidak dapat berbuat apa-apa terhadap pemecah batu tersebut. Dia juga khuatir satu hari nanti jasadnya akan habis begitu sahaja. Cemburunya juga bertambah apabila melihat pemecah-pemecah batu tersebut bekerja dengan penuh gumbira sambil bernyanyi-nyanyi. Akhirnya dia memohon kepada sang dewata untuk menjadi sebagai pemecah batu semula. Dan sebagaimana biasa, doanya tetap dimakbulkan oleh sang dewata, dan menjadilah dia pemecah batu semula". Sekian adanya.

*di adaptasi dari buku cerita semasa kecil2 dulu berasaskan saki baki ingatan. Tajuk bukunya pun dah lupa.

Thursday, September 10, 2009

SIAPA SALAH ?

Pergi ke darat beli penutup
Hendak di usik berbalut tangan
Semasa berakad bertudung litup
Memotong kek ngapa berkemban.

Pergi ke baruh tanam berangan
Jemur bantal hari dah petang
Sudah jenuh berpegang tangan
Perlu kah di batal air sembahyang.

Pergi ke dapur memasak labu
Pohon terap daun sedondon
Bapa profesor sastera Melayu
Anak bercakap berbaur Indon.

Pergi ke Perak membeli itik
Pucuk paku masak belacan
Rumah si anak sembilan bilik
Bapa sayu di Rumah Kenangan.

Wednesday, September 9, 2009

SEJUK GILER ...!

Memang sejuk gila kat ofis sekarang ni. Tak tahu apa sebab. Mungkin sebab puasa atau mungkin sebab bilik saya kat tingkat 2 dari bangunan 12 tingkat (orang kata udara sejuk tu berat, sebab tu kat tingkat bawah sejuk) atau mungkin saya orang yang tak tahan sejuk atau pun mungkin aircond rosak! Aircond cakap Melayunya apa? Dulu orang panggil penyaman udara, sekarang ada yang panggil penghawa dingin dan ada juga yang panggil pendingin hawa. Saya rasa istilah penghawa dingin memang langsung tak betul, samalah tak betulnya kalau kita panggil water heater tu pengair panas.

Tujuan kita pasang alat pendingin hawa untuk bagi kita bekerja dengan nyaman. Tapi bila terlalu sejuk, dah tak nyaman lagi ... terpaksa pakai baju berlapis-lapis. (Patutlah orang sekarang panggil pendingin hawa bukan penyaman udara sebab udara yang terhasil dah tak nyaman lagi) Bila masa ambil sembahyang, mak datuk ... lagi sejuk, hampir tahap beku. Masuk surau lagi sejuk, sebab kurang orang. Kalau ramai-ramai berhimpit-himpit macam kat konsert mungkin tak sejuk kot!

Memang sejuk gila. Bilik saya pula dinding keliling. Kalau tepi tingkap pasti saya buka semua tingkap, macam ramai kengkawan saya buat. Kalau dah buka tingkap, apa faedahnya pulak pasang pendingin hawa! Dok pusing2, jawapan tak ada juga. Mahu tak mahu selongkar lemari cari baju sejuk lama (baju sejuk ke baju panas ? ) yang pernah di pakai masa kerja tempat sejuk dulu ... pakai ke pejabat. Timbul masalah lain pula, kengkawan macam2 dok perli. Lantaklah asalkan saya tak gila kesejukan walaupun ofis saya sejuk giler!

Monday, September 7, 2009

RUMAH KU MAKIN SEMPIT !

dulu engkau datang sikit-sikit
kini dah membukit
rumah ku makin sempit
telinga ku makin bingit
hati ku makin sakit
engkau makin menghimpit
nanti aku gigit!

dulu engkau datang sikit-sikit
sekarang dah pandai jengok dapur
lama-lama masuk bilik tidur
sabar ku kian lebur
engkau dah mula takabbur
jangan ingat aku tidur
nanti nasi menjadi bubur!

bukan aku nak ungkit-ungkit
tapi tolonglah fikir sikit ... !

Saturday, September 5, 2009

NASIB BAIK BETA CACAT ...!



Pada suatu hari, seorang raja telah pergi berburu dengan seorang pengikut setianya. Si raja telah berjaya memanah seekor kijang. Lalu si raja memerintahkan pengikutnya menyembelih kijang tersebut.

"Ampun Tuanku ... patik tak sampai hati ... kesian Tuanku". Jawap pengikut tadi.

"Tak boleh harap ..." bentak sang raja lalu bergegas menyembelih kijang tersebut dengan di bantu oleh pengikutnya. Entah di mana silapnya, sebatang jari hantu si raja telah terputus.

"Alhamdulillah" ucap pengikutnya.

Apa lagi si raja pun teramatlah murkanya. "Ada ke patut jari beta terputus, engkau mengucap Alhamdulillah". Sergah raja tersebut.

"Balik ke istana nanti, akan beta sumbatkan engkau ke dalam penjara ..." sambung raja tersebut sambil menahan marahnya.

Lalu di sambut oleh pengikut tadi dengan ucapan "Alhamdulillah" .

Dalam hati raja berkata,

" otak budak ini dah tak betul agaknya."

Di pendekkan cerita si pengikut raja tadi pun di masukkanlah ke dalam penjara setibanya di istana.

Selang beberapa hari, setelah jari hantu raja itu sembuh, baginda pun sekali lagi pergilah berburu. Memang hobi dia berburu. Kali ini baginda pergi seorang diri.

"Ada pembantu pun, bukan boleh diharap" fikirnya.

Jalan punya jalan di dalam hutan, baginda telah di tangkap oleh puak yang makan orang, untuk di jadikan korban kepada tuhannya. Sebelum raja tersebut di sembelih, ketua puak tersebut telah menyuruh orang-orangnya memeriksa kalau-kalau ada kecacatan pada tubuh badan raja tersebut.

"Tok, ada sebatang jarinya cacat ... tinggal sekerat sahaja" beritahu salah seorang anak buahnya.

"Lepaskan dia" arah ketua puak tadi "mengikut ajaran datuk nenek kita, orang yang hendak di jadikan korban hendaklah sempurna sifatnya" terang ketua itu tadi.

"Alhamdulillah" tiba-tiba terpacul keluar kalimat tersebut dari mulut si raja dan tiba-tiba dia teringat dan merasa bersalah kepada pengikut yang di penjarakannya. Si Raja tadi pun berlarilah balik ke istana, bimbang ketua puak tadi berubah fikiran.

Sesampainya di istana lalu di titahkan baginda supaya pengikut yang di penjarakan itu di bawa menghadapnya.

"Maafkan beta" katanya kepada pengikut tersebut yang berdatang sembah.
Dan baginda terus menceritakan apa yang telah terjadi kepadanya.

"Alhamdulillah" sahut pengikut tersebut.

"Eh ... beta yang tak kena sembelih, kenapa engkau pula yang mengucap Alhamdulillah" tanya si Raja kehairanan.

Lalu di jawab oleh si pengikut " Ye lah Tuanku, kalaulah patik bersama tuanku pada hari itu, patiklah yang kena ganti Tuanku sebab patik tidak ada cacat di mana-mana".

Dengan spontan si Raja menjawab "nasib baik beta cacat!"


*intipati kisah seperti di ceritakan oleh seorang Ustaz dalam satu kuliah subuh yang saya hadiri.

Friday, September 4, 2009

NIKMAT LUPA ... !

Sesungguhnya berbagai-bagai nikmat di kurniakan Allah kepada kita. Kita selalu memikirkan yang ingatan yang kuat atau otak yang pintar itu satu nikmat, tapi mungkin ada yang terlupa atau tidak terfikir bahawa lupa itu juga adalah satu nikmat.

Kalaulah semua kejadian samada yang kita lihat, kita rasai atau kita alami tidak boleh di lupakan, pasti hidup kita tidak tenteram. Mungkin makan pun tak lalu dan tidur pun tak lena. Misalnya kalaulah seorang jururawat itu, tidak dapat melupakan tentang apa yang telah dibuat kepada pesakitnya, seperti membasuh kudis atau najis, tentulah jururawat itu tidak lalu atau hilang selera nak makan. Dan kalaulah kita juga tidak dapat melupakan dan sentiasa terbayang-bayang, misalnya peristiwa di depan mata kita bagaimana ngerinya kematian seorang kanak-kanak di rempuh sebuah lori dengan otaknya bersepah di atas jalan dan badan hancur di gilis tayar kenderan lain, tentulah kita juga susah atau tak lena tidur malam.

Lalu kita harus bersyukur akan nikmat lupa yang di kurniakan oleh Allah swt. Sesungguhnya Dia maha mengetahui dan maha bijaksana dalam mengatur hidup kita kerana Dialah perekaciptanya. Kerana itu janganlah pula kita lupa untuk sentiasa mengingatiNya.

Wednesday, September 2, 2009

KEDAI RM2 ...

Bukan Carian Google

 

Hari tu saya masuk sebuah kedai RM2 yang baru saja di buka di Senawang untuk membeli satu barang. Tapi biasalah ... bila dah masuk, tinjau2 juga lah barang lain, manalah tahu kok ada barang2 baru yang berkenan. Bila saya pegang dan belek beberapa barang dan tengok harganya, banyak pulak yang berharga lebih RM2.

Tapi nama kedai tu tertulis bukan main besar lagi KEDAI RM2. Saya ingatkan semua barang berharga RM2. Mengelirukan betul. Selepas membayar barang yang nak di beli dengan harga RM2 (nasib baiklah harganya RM2) saya pun keluar. Sambil tu sempat juga saya melihat sekali lagi nama kedai tersebut. Ya memang benar, kedai RM2 tapi ada tulisan kecil di bawahnya ... "kecuali yang bertanda harga".

Fikir saya, kalau lah barang yang berharga lebih RM2, lebih banyak di jual dari barang yang berharga RM2, lebih baik tukar saja nama kedai tu kepada "KEDAI RM2 LEBIH" !


.