Friday, September 11, 2009

KISAH SEORANG PEMECAH BATU DI ZAMAN DAHULU KALA ...!


Gambar Ihsan - Google

“Al-kisah tersebutlah sebuah cerita mengenai sekumpulan pemecah batu yang bekerja memecahkan batu di kaki gunung untuk di jual. Salah seorang daripada mereka tidak puas hati dengan kerjanya. Mana tidaknya, pendapatan yang diterima sudahlah sedikit, kerjanya pula bermandi peluh, panas dibakar sang matahari. Si pemecah batu yang seorang ini mencemburui sang matahari yang kerjanya hanya menyinarkan cahayanya. Dia pun bercita-cita ingin menjadi matahari, lantas berdoa pada sang dewata. Doanya dimakbulkan dan jadilah si pemecah batu tadi matahari. Maka bergumbiralah dia menyinarkan cahaya kepada semua makhluk di bumi. Tambah-tambah lagi bila melihat ada manusia yang mengeluh dan menangis kepanasan. Tiba-tiba datang awan menghalang pancarannya. Dia geram, kecewa dan merasa tidak puas hati kerana tidak boleh berbuat apa-apa. Maka sekali lagi memintalah akan dia pada sang dewata, supaya dia ditukarkan menjadi awan pula. Sekali lagi doanya dimakbulkan dan bertukarlah dia menjadi awan. Maka bergumbiralah dia kerana berupaya menghalang pancaran matahari dari menyinari bumi.

Dalam keasyikannya menghalang sinaran matahari, tiba-tiba dia ditolak ke sana ke mari oleh sang angin. Apalagi dia pun merasa geram, kecewa dan tidak puas hati kerana tak dapat berbuat apa-apa. Dia pun berhasrat untuk menjadi angin pula, agar dia dapat mempermain-mainkan sang awan. Lantas dia pun berdoa kepada sang dewata agar dia ditukarkan menjadi angin pula. Kali ini doanya dimakbulkan juga. Maka bergumbiralah dia dapat menunda sang awan ke mana dia suka. Dalam pada bergumbira menolak awan ke sini sana, pergerakannya tiba-tiba terhalang pula oleh sebuah gunung. Sebagai angin dia tak berupaya untuk menolak gunung sepertimana yang dapat diperlakukannya kepada sang awan. Bila sahaja terlanggar gunung badannya akan hancur berkecai. Tersangatlah kecewa sang angin itu kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Dia seperti selalunya tidak puas hati atas sifat kejadiannya dan bercita-cita pula untuk menjadi gunung dan terus berdoa kepada sang dewata agar dirinya dijelmakan menjadi gunung. Kali ini pun doanya dimakbulkan dan menjadilah akan dia gunung pula.

Gumbira tak terkata sang gunung bila mana mendapati sang angin tak dapat mengalahkannya. Tiupan sang angin bagaimana kuat sekalipun, tidak boleh mencacatkannya bahkan habis di tepisnya. Tiba-tiba dia terasa kakinya sakit bagai di gigit oleh sesuatu. Bila dia melihat ke bawah terlihat olehnya akan sekumpulan pemecah batu sedang bernyanyi-nyanyi sambil bekerja memecahkan batu. Dia berasa geram dan sakit hati kepada pemecah batu kerana jasadnya sedikit demi sedikit terhakis oleh pemecah batu tadi. Dia tidak puas hati dengan dirinya yang walaupun gagah tidak dapat berbuat apa-apa terhadap pemecah batu tersebut. Dia juga khuatir satu hari nanti jasadnya akan habis begitu sahaja. Cemburunya juga bertambah apabila melihat pemecah-pemecah batu tersebut bekerja dengan penuh gumbira sambil bernyanyi-nyanyi. Akhirnya dia memohon kepada sang dewata untuk menjadi sebagai pemecah batu semula. Dan sebagaimana biasa, doanya tetap dimakbulkan oleh sang dewata, dan menjadilah dia pemecah batu semula". Sekian adanya.

*di adaptasi dari buku cerita semasa kecil2 dulu berasaskan saki baki ingatan. Tajuk bukunya pun dah lupa.

8 comments:

  1. kembali pada asal...

    ringkas tapi penuh makna...

    kembali pada Allah...

    ReplyDelete
  2. Bersyukurlah dengan apa yang telah Allah kurniakan, jangan asyik komplen jeee

    ReplyDelete
  3. jgn la kita ad perasaan xpuas ati ngn 0rg..

    ReplyDelete
  4. salam.. maka nya hehe cakap indon lak, bersyukur pd kejadian yg sedia ada :)

    ReplyDelete
  5. assalammualaikum

    tak pernah bersyukur kan...
    buang masa dia je....menjadi benda2 lain tu ya..

    ReplyDelete
  6. ria abadi, zool, bujang susah,
    mamai, sharamli, maiyah, aklcitizen dan mak amirin,

    terima kasih kerana berkunjung dan memberi komen.

    ReplyDelete

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.