Sunday, January 29, 2017

KISAH SAYA CEPAT NAK KETAWAKAN ORANG DI TYSONS CORNER.

Tysons Corner adalah nama sebuah tempat di Virginia yang punya banyak tempat untuk membeli belah. Kawasannya luas dan tidak sesak. Tempat meletak keretanya pun mungkin beribu banyaknya dan pada masa saya tinggal di sana ia masih percuma.


Gambar 1: Saya cari melalui Google tempat bernama Tysons Corner, dan saya jumpa gambar ini yang dirakamkan pada tahun 1969


Gambar 2: Ini papan tanda hendak ke Tysons Corner. Saya tinggal di area McLean yang terletak lebih kurang 4-5 km jaraknya (kalau tak silap) dengan Tysons Corner.


Gambar 3: Gambar saya sekeluarga di McLean Central Park yang terletak tak jauh dari rumah saya. (Gambar kitar semula)

Satu hari saya pergi beli barang di sebuah kedai di Tysons Corner.  Cara beli barang kat sini agak berlainan dari tempat kita. Barang yang dijual adalah seperti barang-barang letrik, perkakasan dapur, beg, teropong, barangan kaca, cerderamata, jam, barang kemas dsb. Ia diperagakan di tempat yang disediakan dengan setiap barang ada kod pengenalannya. Kalau kita nak beli barang yang kita berkenan, kena isi borang dan masukkan ke lubang yang khusus. Nanti nama kita akan dipanggil bila barang yang dipesan itu sudah ada di kaunter tempat pungutan. Kadang-kadang saya datang ke sini bukan nak beli barang pun tapi untuk menjamu mata sambil berangan-angan.

Pada suatu hari, saya ternampak ada macam seorang Melayu sedang menulis sesuatu kat kaunter membuat tempahan. Saya pun mendekatinya dan selepas melihat apa yang dia tulis saya menegurnya.

"Orang Malaysia ke ?"

"Dak aih .." jawabnya pendek dalam Bahasa Melayu loghat utara yang agak pekat.

Saya  rasa macam nak tergelak masa itu kerana mendengar jawapannya yang kelakar. Saya ingatkan dia nak melawak, tetapi bila melihat mukanya yang lurus dan serius saya tak jadi senyum apa lagi ketawa tapi kerut di dahi saya tidak dapat dinormalkan dengan serta merta.

"Tadi saya curi-curi tengok you tulis nama kat order form tu ..". Saya cuba menjelaskan kenapa saya bertanya begitu.

"Oh .. memang ibu bapak saya asai dari Kedah. La ni dah jadi warga Arab Saudi. Saya pun lahir di sana", jelasnya selepas menyedari kekeliruan saya.

"Oh .. ok. Faham. Faham". Jawap saya terhanguk-hangguk. Rasa malu dan kesal pun ada kerana ingin mentertawakan dia tadi.

Lepas itu saya dah tak ingat cerita selanjutnya kerana insiden ini berlaku sudah terlalu lama.

Moral cerita:  Jangan tergesa-gesa buat penilaian dan kesimpulan.


2 comments:

Kalau tak tahu macamana nak panggil saya, panggil je Pak Ngah. Semua komen yg berbentuk pertanyaan lambat laun akan cuba saya jawab. Terima kasih. Sila datang lagi.