سُوۡرَةُ القَصَص
Katakanlah: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan cahaya yang menerangi kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran)? (71) katakanlah lagi: Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat; tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah)? (72) Dan di antara rahmat pemberianNya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang (silih berganti) supaya kamu berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan juga supaya kamu bersyukur. (73)
Saya takut akan kegelapan. Semasa kecil, hidup di kampung saya sangat gelap pada waktu malam kerana tiada bekalan elektrik. Di dalam rumah gelap dan di jalan pun gelap terutamanya di waktu bulan kecil. Bila malam, tidak sabar rasanya menunggu siang untuk membolehkan saya melakukan perkara yang biasa dilakukan oleh anak-anak.
Saya langsung tidak dapat membayangkan kesannya kepada kehidupan kita kalaulah Allah jadikan dunia ini malam selama-lamanya.
Kepada siapakah kita hendak mengadu dan meminta pertolongan jika Allah menjadikan malam beterusan sampai hari kiamat ?
Tiada. Tiada siapa yang boleh dan berupaya mengubahnya jika itu terjadi kecuali Dia yang maha adil, penyayang dan berkuasa.
Saya cuma menyentuh tentang malam kerana saya tiada masalah dengan siang, bahkan kekadang terfikir juga alangkah baiknya jika siang berterusan sampai bila-bila. Tapi itu cuma di fikiran saya semasa kanak-kanak sahaja yang hanya mementingkan diri sendiri. Hakikatnya entah berapa banyak lagi makhluk Allah yang perlukan malam atas pelbagai sebab kehidupan.
Terima kasih Allah kerana menjadikan siang dan malam silih berganti kerana ianya adalah sebesar-besar nikmat yang kerap saya terlepas pandang.
Allahuakbar.