Malam tadi ada kuliah Maghrib di masjid dekat kediaman saya. Ustaz ni cukup menepati waktu. Masuk sahaja waktu Isyak atau kadang-kadang sebelumnya lagi, dia akan berhenti. Tidak seperti sesetengah ustaz yang beri kuliah sampai hampir waktu tengah malam. Kalau sudah melewati jam 10 malam, saya berani kata bahawa perhatian jemaah sudah pudar atau hilang langsung. Buatnya kalau ada yang belum makan malam lagi, tentulah pedih hulu hati. Dan kalau ada majlis tahlil atau doa selamat kat kawasan itu yang mengharapkan kehadiran orang masjid atau surau, maka keluh kesahlah dan gundah gulanalah hati tuan rumah menunggu. Lebih malang lagi, kalau ramai jemaah yang terus balik rumah, maka akan membazirkan makanan yang disediakan oleh tuan rumah.
Berbalik kepada kuliah malam tadi, ustaz kata makan kerdas dan yang seumpamanya, sebelum datang berjemaah di surau atau masjid adalah makruh kerana ia boleh menyebabkan makmum lain berasa tidak selesa. Katanya adalah lebih baik sembahyang sorang-sorang di rumah dari sembahyang berjemaah di masjid atau surau.
Akan tetapi hukumnya menjadi haram jika kita dengan sengaja memakan kerdas, sebagai helah untuk tidak pergi sembahyang Jumaat. Ini kerana sembahyang Jumaat adalah wajib bagi setiap lelaki yang cukup syaratnya.
Oleh itu kita wajib pergi sembahyang Jumaat walaupun selepas makan kerdas. Gosoklah gigi dan kalau masih berbau juga kerdasnya, carilah saf di belakang sekali di sebelah tepi dan elakkan berada di belakang imam atau barisan hadapan sekali.
Nota kaki: Saya memang tidak pernah selesa jikalau ada orang yang baru lepas hisap rokok berada di sebelah saya semasa sembahyang.