Friday, December 28, 2018

KENAPA KITA ADA DUA LUBANG HIDUNG?



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Di kepala kita ada dua biji mata, dua telinga, dua lubang hidung dan satu mulut termasuk lidah dan satu otak. Saya ingin membuat analisis ringkas satu persatu siginifikannya dari segi bilangan dan kedudukannya berdasarkan komensen saya sahaja.

1. Dua biji mata. Dia duduk depan. Apa yang berlaku kat belakang tak nampak. Jadi kalau ada apa-apa berlaku kat belakang, jangan memandai-mandai buat cerita. Awak bukannya nampak.

2. Dua telinga. Dia duduk kiri kanan. Jadinya sebelum membuat sesuatu penilaian atau keputusan dengar dulu pandangan orang kiri dan kanan.

3. Dua lubang hidung. Dia ada dua fungsi iaitu untuk menghidu dan juga bernafas. Barangkali sebab tu dia duduk tengah-tengah di sebelah depan. Punca bau dari mana pun dia masih boleh hidu. Misalnya buah durian yang masak kalau duduk samada kat belakang, kiri atau kanan, atas atau bawah, walaupun tak nampak, tetap boleh terbau. Sebagai fungsi pernafasan tak perlulah saya ulas kerana saya percaya anda tahu macamana nak gunakannya.

4. Satu mulut termasuk lidah. Kurangkan makan minum dan bercakap benda-benda yang tak perlu. Bagi saya ini yang paling susah terutamanya makan minum.

5. Otak. Otak duduk kat atas sekali dalam tengkorak yang kukuh. Secara simbolik ia sebagai pemerintah tertinggi yang terkawal dan mengawal segala pancaindera yang lain. Kalau dia sendiri kena kawal, lebih baik duduk kat vontot.

Demikianlah pandangan saya yang mungkin boleh jadi bahan renungan untuk kita semua. 





Monday, December 24, 2018

TERKENANG SEMASA DULU - 100: GILA BERMAIAN SALJI 4.

Sambungan dari entri ini.

Hari ini (22hb. Disember) sudah mula masuk musim sejuk di negara-negara hemisfera utara. Barangkali ini adalah entri terakhir saya bercerita dan menunjukkan gambar-gambar salji semasa saya bertugas di USA dulu sebab stok gambar yang sesuai dipaparkan, sudah habis, kecuali terjumpa gambar baru. Manalah tau kok ada kawan-kawan yang sama-sama bertugas di sana dulu ada simpan pulak.


Gambar: 32: Entah ada ke tidak lagi lagi pokok sebatang di hadapan rumah sewa saya ini.


Gambar 33. Salji tengah tebal di hadapan kediaman seorang kawan.


Gambar 34: Saya rasa ini gambar pada peringkat awal saya tinggal di USA kerana masih lagi memakai seluar 'bell bottom'.


Gambar 35: Tempat beli ikan, udang, sotong dan ketam. Nampak tak ada tulis 'crabs' kat belakang tu.


Gambar 36: Kelihatan di belakang kami orang main ski atas air batu yang asli. Masa tu tak teringin pulak nak main. Sekarang dah terlewat pulak.


Gambar 37: Sepasang ejen FBI muda yang mesra. 


Gambar 38: Kalau tak silap ini adalah bangunan Library of Congress.


Gambar 39: Bangunan yang sama seperti gambar 38 di atas. 

Demikianlah coretan saya mengenai salji dan cuaca sejuk semasa bertugas di USA dari tahun 1981 hingga 1984. Kini hanya tinggal kenang-kenangan yang semakin hari semakin hilang dari ingatan. Hajat nak ke sana lagi tu ada, tapi memikirkan jarak perjalanan yang mengambil masa yang lama, terpaksalah di lupakan. Buat masa ini saya dah tak larat lagi nak duduk lama-lama. Lainlah kalu ada orang sponsor tiket kelas pertama, boleh tidur baring. Hehe.


Tuesday, December 18, 2018

KISAH BENAR: PENJUAL COKELAT DI STESYEN PETRONAS.

*Entri tertangguh.

Cokelat buatan sendiri.


Minggu lalu seorang wanita pertengahan umur berjaja makanan menghampiri saya yang ketika itu sedang mengisi minyak kereta di stesyen minyak yang berdekatan dengan rumah saya. Dia minta saya beli cokelat (seperti dalam gambar) yang katanya dibuatnya sendiri. Kebetulan saya tidak membawa wang dan mengisi minyak menggunakan kad. Yang ada cumalah RM4 terselit di satu sudut dalam kereta saya manakala harga cokelatnya adalah RM6 sebekas. Saya tak sampai hati melihat mukanya yang sangat berharap kerana mungkin belum ada lagi keknya yang terjual pada hari tersebut.

Lalu saya berkata, "Saya minta maaf tak dapat beli kerana saya tak bawak duit. Yang ada cuma RM4 yang kebetulan terselit dalam kereta ni. Kalau mahu, ambil sajalah .."

Mukanya sikit berubah dan segera menjawab "Allahuakbar .. tak apalah bang, saya berniaga .."

Dengan pantas dia terus beredar. Tiba-tiba timbul dua perasaan dalam hati saya. Pertama. Rasa malu kerana tindakan saya itu menyebabkan wanita itu mungkin merasakan dirinya diperlakukan seperti orang yang meminta-minta. Kedua, rasa hormat dan kagum kepadanya walaupun dia sangat memerlukan wang tapi harga dirinya masih utuh.

Tadi sekembalinya dari mengambil barang dari pos laju Seremban, saya singgah mengisi minyak kereta anak saya di stesyen minyak yang sama. Anak saya yang memandu. Sebaik saya keluar, saya tak sangka berjumpa lagi dengan wanita itu di situ. Dia berjalan menuju saya dengan muka yang girang.

"Alhamdulillah saya jumpa abang lagi. Adalah rezeki saya hari ini". Lalu saya membeli sebungkus dan dia beredar dengan muka yang gembira mencari pelanggan yang lain.

Setibanya saya di rumah dan setelah masuk ke bilik tidur tetiba saya berasa sebak bila membayangkan jika isteri saya atau anak perempuan saya terpaksa berjaja sepertinya untuk membantu saya menambah pendapatan, sedangkan tiada seorang pun berminat untuk membelinya hingga ke petang. Lalu saya merasa sangat bersyukur dan merasa beruntung kerana rezeki Allah kepada saya tidak pernah putus-putus setakat ini. Moga-moga Allah terus memurahkan rezeki saya hingga ke hujung nyawa.

* Saya sebenarnya tidak gemar kek cokelat atau ais krim cokelat.




Thursday, November 29, 2018

MARI SAYA TUNJUK NIKMAT YANG SAYA TERIMA.

Kadang-kadang kita mendapat nikmat atau rezeki yang lebih baik dari apa yang kita rancang atau harapkan. Ini terjadi kepada saya sendiri. Setinggi-tinggi syukur diangkatkan kepada Allah SWT yang maha pemurah dan maha mengetahui akan kehendak dan keperluan hambaNya.

Saya tinggal di taman ini sejak kira-kira 12 tahun lalu. Saya membeli tapaknya sebelum membina rumah tanpa melihat keadaan tanah yang sebenarnya. Cuma lihat dalam pelan atas kertas sahaja. Alhamdulillah saya dapat tapak yang sangat strategik dan cantik. Bukan di cerun bukit. Di depannya ada kawasan lapang yang boleh memuatkan kira-kira 30-40 buah kereta. Ketiga-tiga kenduri kawin anak saya dibuat di kawasan lapang tersebut. Di belakangnya pula tidak terlindung oleh rumah orang lain kerana kedudukannya yang tinggi dan boleh nampak hutan rimba dan gunung Angsi dengan jelas. Setiap hari saya dapat menyedut udara bersih yang dibawa angin dari arah hutan rimba dan gunung ganang di belakangnya.


Gambar 1: Inilah rumah saya dipandang dari depan pada waktu siang. 



Gambar 2: Ini pulak rumah saya dipandang dari depan pada waktu malam.


Gambar 3: Pemandangan di belakang rumah saya. Nampak tak hutan rimba dan gunung ganang nun di kejauahan?



Gambar 4: Kelihatan padang atau kawasan lapang betul-betul di hadapan rumah saya. Boleh buat parking kereta atau pasang khemah kenduri kawin.



Gambar 5:  Belakang rumah saya kelihatan dari rumah jiran semasa buat kenduri tahlil sedikit masa lalu.

Apakah nikmat-nikmat yang lain itu ? Ok, saya kongsikan.

1. Masjid. 

Bermula dengan surau kini ia telah dibesarkan dan dinaik taraf menjadi masjid yang tersergam indah. Ia terletak cuma kira-kira 2 minit berkereta atau bermotorsikal dari rumah saya. Kalau berjalan kaki, boleh sampai dalam masa 5 minit. Inilah nikmat yang paling besar. Kalau hari Jumaat, tidak lagi perlu bersesak-sesak macam sebelum ini di masjid yang berdekatan. Sekarang saya boleh park motor saya betul-betul di tepi pintu masjid (kalau mahu).


Gambar 6: Inilah masjid yang saya maksudkan. Gambar hasil carian Google.

2. LEKAS.

Lebuharaya Kajang Seremban (LEKAS) ini memendekan masa dan perjalanan saya ke Putrajaya tempat saya pernah bekerja dulu dan rumah anak saya di Ampang. Saya tidak terfikir akan ada lebuh raya sebaik ini yang betul-betul berpangkal (atau berhujung) di taman perumahan saya tinggal sekarang. Masa saya kerja dulu, saya cuma mengambil masa kira-kira 40-45 minit atau kurang dari satu jam untuk sampai ke pejabat. 



Gambar 7: Inilah sebahagian dari LEKAS. Bila sampai sini, kira dah sampailah rumah saya.

3. Kolam memancing. 

Minat saya memancing. Sejak bersara, memancing adalah hobi masa lapang saya. Tak kiralah memancing  ikan air masin atau air tawar. Udang galah atau udang harimau. Sekarang ini berhampiran rumah saya (kira-kira 5 minit berkereta) sudah ada ada kolam memancing ikan air masin dan air tawar. Dalam seminggu dua lagi, siaplah pulak kolam untuk memancing udang galah dan udang harimau, terletak betul-betul bersebelahan kolam ikan air masin dan air tawar yang sedia ada. Tidak perlulah saya pergi jauh-jauh kalau ingin memancing.  Jika saya tak ada di rumah, carilah saya di sini.


Gambar 8: Inilah kolam mancing ikan air masin yang saya maksudkan. Kelihatan gunung Angsi yang masih berkabus di belakang sana. Alangkah damainya.

4. Kemudahan stesyen minyak dan lain-lain.

Ada dua stesyen minyak yang berdekatan rumah saya. Kadang-kadang saya pergi isi minyak motor hanya berkain sarong dan berkopiah selepas solat di masjid. Begitu juga untuk membeli barang keperluan, semua lengkap dalam bangunan KipMart. Selain dari itu bilangan restoran cukup banyak, sampaikan tak tahu nak pilih yang mana. Hospital swasta juga terletak sepelangunan dari rumah saya. Saya sudah dua kali menjadi tetamu di hospital ini.

5. Tapak kubur.

Ia juga terletak tidak jauh dari rumah saya. Ia lebih dekat dari kolam memancing yang saya nyatakan di atas. Jika saya pergi memancing kolam tersebut, saya akan melaluinya. Ahli keluarga saya yang hidup nanti, tidaklah perlu susah-susah mencari tapak untuk mengebumikan saya dan kalau ingin berziarah kemudiannya nanti.

Demikianlah antara 5 nikmat yang saya terima. Sebenarnya banyak lagi, tapi cukuplah setakat ini dahulu. Saya berharap inilah tempat terakhir saya sebelum menutup mata buat selama-lamanya kerana sudah letih berpindah randah semasa masih dalam perkhidmatan dahulu. Insyaallah.



Saturday, November 24, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 18.




PEMERHATIAN 18. MengEropahkan nama-nama tempat.

Kadang-kadang saya perhatikan ada juga orang yang perasan nama tempat dia, macam nama-nama tempat di Eropah.

Contoh:

Lonek - Barcalonek
Londah - London
Parit - Paris
Jerang - Jerman
Serting Ilir - Saint Helier
Terentang - Toronto 
Pilah - Piladhelphia
Seri Menanti - Cincinati
Palong - Poland.

* Jerang adalah sebuah kampung tidak jauh dari Simpang Durian, Jelebu.

Entri sebelumnya di sini.

Tuesday, November 20, 2018

ADAKAH NABI MUHAMMAD JUGA BERGURAU?


Gambar hiasan dari album penulis - 1979.

Salam Maulidul Rasul.

Dua malam yang lepas, saya mengikuti kuliah Maghrib mingguan oleh ustaf Afifi di Masjid at-Taqwa, Kampung Paroi berkaitan peribadi Nabi Muhammad saw.

Menurut beliau, Nabi juga bergurau. Gurauannya boleh dijadikan contoh dan ikutan kepada kita terutamanya kepada mereka yang gemar atau ingin bergurau.

Ustaz menyimpulkan tiga syarat untuk bergurau yang harus diberi perhatian sewajarnya: 

1. Perkara yang diguraukan itu hendaklah benar. Misalnya tak bolehlah beritahu kawan kita rumah dia terbakar. Bila kawan kita menggelabah, kita kata, "alaa .. aku gurau je" 

2. Jangan melampau dalam bergurau, 24 jam bergurau hingga orang tak tahu  kita serius atau pun bergurau.

3. Jangan sampai menyentuh peribadi orang lain.  Misalnya hina warna kulit, saiz badan dsb.

Wednesday, November 14, 2018

WW # 167 : BOSRA, SYRIA - 2006.

 
.






Sunday, October 28, 2018

BETUL KE "CUSTOMER ALWAYS RIGHT" ?


Selama ini dalam urusan jual beli, kita berpegang kepada prinsip yang diterapkan oleh barat iaitu pelanggan atau pembeli sentiasa betul (The customer is always right). Tetapi adakah itu satu prinsip yang betul ?

Sekali pandang macam betul kerana sebagai penjual rezekinya seolah-olah ditentukan oleh pembeli atau pelanggan. Kerana jika tiada pelanggan, akan tutup kedai. Jadi untuk kekal berniaga, hati pelanggan kenalah dijaga, walaupun pelanggan yang bersalah, supaya mereka tidak marah dan berhenti dari berlanggan dan beralih arah.

Tetapi saya rasa ini adalah pandangan yang silap samada dilihat dari sudut ugama Islam atau budaya Melayu. Islam menyarankan supaya bertimbang rasa (tasamuh) di antara dua belah pihak iaitu antara penjual dengan pembeli. Kalau penjual ada tanggung jawab, pembeli juga punya tanggung jawab.

Antara tanggung jawab pembeli agar boleh dianggap sebagai pembeli yang bertimbang rasa dan bertolak ansur adalah:

1. Menyediakan wang kecil secukupnya. Misalnya kalau nak beli barang harga RM1, janganlah hulur duit RM50 apa lagi duit RM100. Kadang-kadang ada juga pembeli berbuat begitu bukan sangat kerana hendak membeli barang itu, tetapi lebih kepada hendak menukar duit.

2. Tidak menawar secara melampau. Misalnya kita nak beli sayur pucuk paku dari seorang makcik tua yang berharga RM2 seikat, janganlah diminta kurang sampai seringgit. Eloknya bayar sahaja dengan harga yang ditetapkan. Lebih baik lagi kalau dapat bayar lebih dari harga yang diminta. Berapa sangatlah keuntuntungan dari menjual sayur-sayuran itu. 

3. Jika kita tak mahu membeli atas sebab-sebab tertentu,  tolaklah dengan baik. Jangan keluarkan perkataan yang menyakitkan hati seperti "cekik darah" dan sebagainya. Atau mencemuh kualiti atau rupa keadaan barang itu. Kalau tak mahu beli, tidak mengapa. Itu hak pembeli. Tetapi sila letak barang itu baik-baik, dan berlalu dengan ucapan terima kasih atau memberi salam. Percayalah, tidak akan jatuh martabat kita kalau berbuat begitu.

Tentu ada lagi tanggung jawab pembeli kepada penjual yang anda boleh fikirkan berdasarkan komensen agar hubungan kemanusiaan terpelihara. Kalau sudi, anda boleh berkongsi atau menambah di ruangan komen. Terima kasih.





Friday, October 26, 2018

SEMUA ORANG CELAKA, KECUALI ...

Gambar hiasan hasil carian Google.

Semua orang celaka, kecuali yang berilmu,
Semua yang berilmu celaka, kecuali yang beramal,
Semua orang beramal celaka, kecuali yang ikhlas.

Jadi kalau kita tidak mahu celaka, carilah ilmu secukupnya sebelum beramal. Kemudian beramallah dengan ikhlas semata-mata keranaNya. Hanya dengan amalan yang betul mengikut syariat dan ikhlas kerana Allah sahaja yang diterimaNya. 

Namun mereka yang ikhlas beramal pun belum tentu selamat jika mereka tidak menjaga lidah dan hati dari kata-kata dan perbuatan mengumpat, fitnah, ujub, riak, takabbur dan yang seumpamanya.

Allahua'lam.

Wednesday, October 24, 2018

WW # 166: KENA INTERVIEW OLEH PEMBERITA YANG CANTIK.


Tuesday, October 23, 2018

SIAPA PERNAH TENGOK BILAL TERBANG ?


Ilustrasi hiasan hasil carian Google.

Kadang-kadang ada satu-satu perkataan yang pada kita maknanya sangat jelas, namun kepada orang lain ia barangkali mempunyai makna yang berlainan. Ia berpotensi menjadi salah faham, jenaka atau pertengkaran. Contoh:

TERTEKAN. Boleh difahami sebagai susah atau pun tak sengaja tekan.

Contoh 1. Hidupnya makin tertekan sejak dibuang kerja.
Contoh 2. Dia nak tekan brek tapi tertekan minyak.

TERLALU. Boleh difahami sebagai sangat atau pun tak sengaja lalu.

Contoh 1. Dia terlalu cantik berbanding rakan-rakan sedarjahnya.

Contoh 2. Saya nak pergi rumah Haji Dahan tapi terlalu depan rumah Lobai Salleh.

TERBANG. Boleh difahami sebagai makna biasa seperti burung terbang atau tak segaja bang (azan).

1. Contoh 1. Burung tu terbang tak henti-henti mencari makanan.

2. Contoh 2. Bilal tu sebenarnya nak iqamah tapi kerana terlalu mengantuk, dia terbang.

Siapa pernah alami bilal (muazzin) terbang? Saya pernah, tapi bilal tu cepat sedar setelah ditegur oleh jemaah lain.


Monday, October 1, 2018

KALAU PANGGILAN TERPUTUS SIAPA PATUT PANGGIL BALIK?

Gambar hiasan hasil carian Google.

Kalau ada orang telefon kita kemudian tiba-tiba panggilan terputus kerana pelbagai sebab yang tidak kita ketahui, apa yang seeloknya kita buat supaya tidak berlaga membuat panggilan?

1. Kita tunggu pemanggil call kita semula; atau

2. Kita yang call pemanggil?

Kalau kita sama-sama mengharap orang lain yang call kita, lama-lama sorang pun tak call. Kemudian bila tunggu punya tunggu tak ada orang call, kita sama-sama pula buat panggilan. Akibatnya dua-dua panggilan tak lepas.




Sunday, September 23, 2018

KALAU NAK BERITAHU NAMANYA CEKODOK.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Antara 3 ayat berikut:

1. Kalau di kampung saya dipanggil cekodok.

2. Kalau di kampung, saya dipanggil cekodok.

3. Kalau di kampung saya, dipanggil cekodok.

Mana satukah ayat yang tidak mengelirukan pembaca jika kita ingin memberitahu nama sejenis makanan ?

Nota kaki: Perasan tak peranan tanda koma ?

Thursday, September 20, 2018

EMPAT SPESIS MACAI

Empat ragam penyokong PH dan BN sebelum dan selepas PRU.

1. Ada penyokong PH yang dulunya hari2 hentam BN kini menyepikan diri setelah BN berjaya ditumbangkan.

2. Ada penyokong PH yang dulunya hari2 hentam BN kini masih tetap bahkan bertambah gigih hentam BN seolah2 BN masih lagi memerintah.

3. Ada penyokong BN yan g dulunya hari2 hentam PH kini menyepikan diri setelah PH jadi kerajaan.

4. Ada penyokong BN yang dulunya hari2 hentam PH, kini masih tetap bahkan bertambah gigih hentam PH seolah-olah BN masih lagi pemerintah.

Saya kagum dengan kawan2 kategori 2 dan 4. Teruskanlah jika itu boleh membawa kebahagiaan kepada anda.

Saturday, September 8, 2018

KISAH DUA HARI SATU MALAM DI TAMAN NEGARA, PAHANG.

Pada 5 dan 6, September yang lalu saya dengan kawan-kawan saya yang senasib  seramai 3 orang lagi telah bersepakat untuk memancing di Taman Negara. Ada banyak syarat yang perlu dipatuhi untuk memancing di sini. Anda boleh dapatkan maklumat tentang syarat dan peraturan di laman agensi yang berkaitan. Namun begitu urusannya sungguh mudah. Bot untuk sehari sewanya cuma RM350.00 dan dibayar selepas balik dari memancing di sebelah petangnya. Kami cuma dibenarkan memancing di antara jam 9 pagi hingga 5 petang sahaja.

Rumah tetamu pula, dibayar selepas kita sampai dan masuk di dalamnya. Kunci dilekatkan di tombol pintu. Kami sampai kira-kira 4 petang dan cuaca masih lagi panas berbahang. Terasa nyaman bila memasukinya kerana tuan rumah sudah pun buka airkon sebelum kami sampai. 

Tempahan rumah tetamu seperti tempahan bot juga tidak perlu bayar apa-apa duit muka, deposit atau pendahuluan. Semua urusan dibuat secara dalam talian atas dasar saling mempercayai antara satu sama lain. Tetapi bukan saya yang uruskan. Salah seorang kawan saya yang uruskan. Segala yang dirancang berjalan seperti yang dinginkan. Perjalanan dengan kereta dari Kuala Lumpur juga lancar. Kami cuma singgah sekejap di Temerloh untuk makan tengah hari lauk ikan patin di sebuah kedai di tepi sungai Pahang. 



Gambar 1: Kita menginap di rumah tetamu ini. Walaupun kita tetamu tetapi tetap juga kena bayar RM150.00 semalam.


Gambar 2: Setiap kali pergi  memancing, mesti kereta menantu pak mertua saya yang kena. Mentang-mentanglah kereta ni dah lama.


Gambar 3: Ruang di dalam rumah tetamu yang luas dan bersih sebelum ia menjadi tunggang langgang. Ada 3 katil bujang dan sebuah katil saiz queen di sediakan dengan 2 bilik mandi dan 2 tandas. Sungguh selesa.


Gambar 4: Rumah tetamu yang kita duduk ni betul-betul berhadapan dengan sungai Tembeling. Buka sahaja pintu kita akan menghadap sungai tersebut, tapi nak pergi ke sungai itu boleh tahan juga mata tangga yang perlu kita lalui. Kalau sakit lulut, lebih baik naik kereta kerana kereta memang boleh bawa sampai ke tebing sungai.


Gambar 5: Pada waktu pagi ketika kami hendak mudik sungai untuk ke tempat memancing, hujan turun dengan lebatnya. Mujur ia beransur-ansur reda dan bila kita mula memancing ia berhenti sepenuhnya. Kalau tidak, rumit juga nak mancing dalam hujan ni.


Gambar 6: Bot yang kami sewa dikendalikan oleh seorang jurumudi dan seorang lagi menjaga di depan. Memang selesa kami naik 4 orang.



Gambar 7: Sebuah 'port' tempat kami memancing. Kelihatan di belakang sana sebuah bot yang membawa pelancong menghilir sungai. Kehadirannya berjaya memecah ketenangan dan menakutkan ikan.



Gambar 8: Kelihatan sebuah lagi bot yang membawa pelancong Mat Saleh dari luar negara  yang datang beribu batu ke Malaysia semata-mata ingin menikmati keindahan flora fauna anugerah Allah. Mana-mana rakyat Malaysia yang belum sampai ke sini, eloklah datang. Pasti anda nak datang lagi.



Gambar 9: Ini adalah antara ikan yang berjaya saya naikan. Namanya baung. Yang saya tunjuk ini ikan yang tidak besar. Yang lain-lain pun kecil juga. Ikan yang besar-besar tak berani nak makan umpan kerana terganggu oleh bot membawa pelancong yang lalu lalang tak henti-henti. Saya rasa kesibukan trafik di sini mengalahkan LEKAS.


Gambar 10: Pemandangan sebahagian jajaran LEKAS yang saya lalui dalam perjalanan balik ke rumah.

Dipendekkan cerita kami bertolak balik kira-kira jam 6 petang menuju Gombak, tempat pertemuan kami sebelum bertolak.  Dari Gombak saya memandu sendirian balik ke Seremban melalui LEKAS. Kenderaan hala ke Seremban macam tak ada. Seram pulak rasanya. Sampai rumah kira-kira jam 12.20 pagi. Syukur alhamdulillah selamat saya pergi dan kembali semula ke rumah dengan membawa seribu kenangan dan keletihan yang melampau.

Nota kaki: Muka penulis sengaja dikaburkan kerana dia terlupa nak pakai mekap.








Tuesday, September 4, 2018

NAK TENGOK GAMBAR DAN VIDEO KAMI KORBAN DI KEMBOJA ?

Pada hari raya haji tahun ini buat pertama kalinya saya menganjurkan ibadah korban di Kemboja. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakan di mana 4 ekor lembu telah pun dikorbankan pada dua hari raya haji, 23hb Ogos 2018. Setiap bahagian dikenakan bayaran sebanyak RM360.00. Bayran itu adalah untuk harga lembu dan belanja pengurusan.



Gambar 1:  Lembu pertama.


Gambar 2: Lembu kedua.



Gambar 3: Lembu ketiga.


 Gambar 4: Lembu ke empat.

Demikianlah 4 ekor lembu sempurna dikorbankan di Wilayah Kampot, Kemboja yang diwakil dan diuruskan oleh Ustaz Badri Yunos dan pasukannya dari badan Cambodian Charitable Trust Association. Terima kasih banyak-banyak Ustaz kerana menyempurnakan amanah dan hajat peserta-peserta dari Malaysia. Mudah-mudahan Allah menerima korban yang kami lakukan di samping sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat Islam di sana yang rata-rata miskin berbanding dengan masyarakat Islam di Malaysia.

Berikut saya tunjukan sebuah video yang berkaitan untuk anda dapat merasakan suasana ibadah korban di Kemboja yang tidak banyak berbeza dengan di Malaysia.





Friday, August 31, 2018

DAPAT TAK BACA ENTRI INI ?

Mata adalah salah satu dari pancaindera kita yang sangat diperlukan.
Saya tidak boleh membayangkan apa akan terjadi kepada saya jika tiba-tiba saya tidak boleh melihat lagi.

Katalah satu hari sebaik bangun tidur pandangan menjadi gelap gulita kerana sudah tidak boleh melihat lagi.

Maka tidaklah dapat hendak melihat isteri, anak2 dan cucu2, tidak dapat melihat matahari tebit di ufuk timur di waktu pagi, tidak dapat melihat cahaya mentari perlahan-lahan terbenam di ufuk barat di waktu petang,

tak dapat membaca
tak dapat menulis
tak dapat menonton tv
tak dapat memandu
tak dapat memancing
tak dapat melancong.

Bila memikirkannya saya rasa amat takut kehilangan penglihatan.

Saya teramat-amat bersyukur kerana Allah mengurniakan mata walaupun sudah menggunakan cermin mata.


Dan dalam masa yang sama Allah masih memberi rahmatnya dengan tidak menarik kembali daya penglihatan yang dipinjamkannya. Sedangkan Dia boleh berbuat begitu pada bila-bila masa kerana adanya mata tidak semestinya kita boleh melihat.

Berapa ramaikah di antara kita (termasuk saya) yang berterima kasih kepadaNya pada setiap kali bangun tidur kerana masih boleh lagi melihat.

Memang tabiat manusia bila sudah tiada, baru tetingat akan kepentingannya. Lalu saya teringat akan buku ugama yang bersusun-susun yang masih belum habis dibaca. Nampaknya kena kurangkan lagi berblog [memang pun telah dikurangkan] kerana masa semakin singkat untuk membacanya sementara mata boleh melihat.

Kalau anda telah dapat membaca entri ini sampai habis, bersyukurlah.

*Ini entri tertangguh.




Thursday, August 30, 2018

YANG MANA MANALAH ..



Yang mana ikhlas yang mana curang,
Yang mana padi yang mana lalang,
Yang mana cerdik yang mana bangang,
Yang mana lurus yang mana pincang,
Yang mana damai yang mana perang,
Yang mana dayus yang mana pejuang,
Yang mana mentah yang mana matang,
Yang mana dukun yang mana jembalang,
Yang mana kukuh yang mana goyang,
Yang mana samar yang mana terang,
Yang mana sesumpah yang mana orang,
Yang mana macai yang mana hulubalang,
Yana mana bendul yang mana tiang,
Yang mana sebarau yang mana seluang,
Yang mana kecut yang mana kembang,
Yang mana bernas yang mana sambang,
Yang mana terus yang mana simpang,
Yang mana kendur yang mana tegang,
Yang mana pipit yang mana enggang,
Yang mana ungkit yang mana ulang,
Yang mana angkut yang mana tumpang,
Yang mana risau yang mana sayang,
Yang mana pangkas yang mana tebang,
Yang mana balun yang mana pantang,
Yang mana geram yang mana berang,
Yang mana curah yang mana tuang,
Yang mana gatal yang mana jalang,
Yang mana usap yang mana pegang,
Yang mana sepak yang mana terajang,
Yang mana tunggul yang mana tunjang,
Yang genggam yang mana pegang,
Yang mana umpat yang mana bincang,
Yang mana serang yang mana perang,
Yang mana kuyu yang mana buntang,
Yang mana pinjam yang mana hutang.





Tuesday, August 21, 2018

MARI BELAJAR BAHASA NEGERI SEMBILAN: PELAJARAN 17.



PEMERHATIAN 17.  Meringkaskan panggilan nama-nama orang.

Orang Negeri Sembilan juga ada cara tersendiri dalam memanggil nama seseorang. Jarang sangat dipanggil nama seseorang itu sepenuhnya mengikut kad pengenalan.

Ibrahim - Braim
Idris - Dighih
Ishak - Sahak
Ismail - Ma-e
Alias - Iyeh
Wahab - Ghohab
Maisalmah - Slamah
Zaharah - Soghah.
Muhammad Afandi - Mat Pandi

Nama saya Hamzah. Ada juga orang panggil Njah.


Tuesday, August 7, 2018

DARI FESBUK # 24 : BETUL KE SIFAT PEMANCING MACAM NI ?




Wednesday, August 1, 2018

WW # 165: LAWATAN SEKITAR MASJID DAN PUSAT TAHFIZ DI SELATAN SIAM - 20-24/4/2018.