Friday, September 10, 2021

SIAPA KATA ORANG MUDA TAK LAYAK JADI PEMIMPIN?

Berikut adalah nama 9 ketua negara yang sedang berkhidmat/umur/negara. 

1. Sebastian Kurz/35/Austria. 

2. Sanna Marin/36/Finland. 

3. Mahamat Deby/37/Chad

4. Assimi Goita/38/Mali. 

5. Irakli Garibashvili/39/Georgia

6. Nayib Bukele/40/El Salvador

7. Jacinda Arden/41/NZ

8. Luvsannamsrain/41/Mongolia

9. Tamim Hamad /41/Qatar.

Umur yang saya nyatakan itu adalah umur mereka sekarang.  Ada pun umur mereka semasa mula-mula memegang jawatan dahulu tentulah lebih muda lagi dari itu. Saya beri 3 contoh:

1. Sebastian Kurz mula memegang jawatan Cancellor Austria pada umur 31 tahun.

2. Tamim Hamad mula memegang jawatan Emir Qatar  pada umur 33 tahun.

3. Sanna Marin mula memegang jawatan PM Finland pada umur 34 tahun.  


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang mereka,  silalah Google.

Thursday, September 2, 2021

SAJA CARI PENYAKIT.

Saya dapati ramai juga netizen yang membelasah atau mentertawakan  bahasa Inggeris Timbalan Menteri ini. Dalam pada itu, saya perhatikan Bahasa Melayu yang digunakan oleh para pengkritik tersebut juga huru hara dari sudut nahu dan ejaannya. 

Namun begitu dalam kes Timbalan Menteri ini, saya sedikit pun tidak bersimpati dengannya kerana dia sengaja cari penyakit.  Saya tidak nampak apa perlunya dia menyelitkan ungkapan Bahasa Inggeris dalam tulisan beliau itu. Alangkah bagusnya kalau ungkapan dalam Bahasa Inggeris tersebut digantikan, misalnya dengan seruan "ke gunung sama kita daki,  ke lurah sama kita turuni" atau yang seumpamanya.


~

Thursday, July 29, 2021

MASALAH KALAU BANYAK SUMBER.


Gambar hiasan hasil carian Google.
 

Ada masa dan ketikanya lebih baik kita dapat maklumat hanya dari satu sumber sahaja.  

Kalau kita cuba dapatkan maklumat dari banyak sumber,  kita mungkin konfius untuk memilih sumber mana yang betul. Contohnya; kalau kita nak tahu waktu,  jangan tengok jam kat kedai jam. Kalau ada seratus buah jam kat kedai jam tersebut,  kemungkinan kita akan dapat seratus masa.  

Lebih baik kita tanya masa kat pengawal, tak ada kacau fikiran. 

Thursday, July 8, 2021

DURIAN SEBAGAI NAMA.

 


Gambar hiasan hasil carian Google. 

Sekarang ni musim durian. Orang kita memang rapat dengan durian. Buktinya, cukup banyak nama kampung atau tempat mengambil nama durian. Antaranya:

Durian Tawar,  Pahang. 

Durian Tunggal, Melaka. 

Durian Tipus,  NS.

Durian Daun, Melaka. 

Simpang Durian,  NS

Durian Sebatang,  Pahang. 

Durian Condong,  Johor. 

Durian Tiga Batang,  NS. 

Durian Guling, Terengganu. 

Durian Gasing, NS

Durian Burung, Selangor. 

Durian Pipit,  Perak. 

Kampung Durian,  Sabah. 


Kalau ada lagi,  bolehlah tolong tambah. 


.

Monday, June 21, 2021

KENAPA IKLAN TAK MASUK?

Sudah dua hari berturut-turut blog saya dapat lebih 3 ribu pageviews tapi iklan Nuffnang tak ada masuk. 

Apa harus saya buat?  Bagaimana dengan blog anda?  Ada iklan masuk tak? 

Atau sekarang ini memang sudah tiada lagi ikan dari Nuffnang.  Kalau mahu iklan,  cari sendiri?

Begitu ke? 



Sunday, June 13, 2021

PATUTKAH KOLAM MEMANCING DIBENARKAN BEROPERASI SEMULA?


Gambar kitar semula untuk hiasan. 

Saya rasa kerajaan patut benarkan kolam pancing terbuka (bukan kolam simen dalam bangunan) beroperasi semula atas alasan berikut,

1. Para pemancing secara naturalnya akan duduk berjarak.  Tiada pemancing yang gemar duduk berdampingan. Tak timbul isu langgar SOP. 

2. Biasanya pemancing datang dari daerah yang sama. Tak timbul isu rentas daerah atau negeri. 

3. Jadi pemangkin kepada kegiatan ekonomi sokongan seperti pembekal ikan, udang, pembekal umpan, pembekal air laut atau pembekal garam, penjual peralatan memancing, pembekal elektrik dan air, pembekal makanan ringan serta memberi peluang pekerjaan kepada pekerja kolam. Kadang-kadang saya dapati ada juga gerai makanan dibuka dalam premis yang sama. 

4. Jadi pusat terapi minda bagi mereka yang sudah jemu atau stress akibat terlalu lama duduk terkurung di rumah. 

Selain dari itu, belum pernah lagi saya terdengar kluster kolam memancing. Yang selalu saya dengar adalah kluster perkilangan atau tapak bina. 



Saturday, June 5, 2021

BAHASA MELAYU KLASIK LAWAN BAHASA NEGERI SEMBILAN.


Gambar hiasan hasil carian Google. 


BK: Sudi apalah kiranya tuan hamba memberikan saya durian itu barang seulas. 

N9: Bak suleh. 

BK: Alangkah baiknya jika kita semua dapat bersegera berangkat sekarang agar kita boleh sampai sebelum senja. 

NS: Moh dogheh. 

BK:  Gerangan apakah yang membuat tuan hamba datang ke teratak hamba di tengah-tengah malam buta begini ni? 

NS: Kau nak apo? 

BK: Mengapakah tuan hamba gemar sekali menggangu anak-anak gadis yang sedang bergumbira bermain-main di dalam taman itu.

NS: Janganlah uncah. 

BK: Bukankah telah hamba ingatkan berulang kali supaya tuan hamba tidak mengacau kerbau yang sedang tidur itu. Sekarang lihatlah apa yang terjadi. 

NS: Ghaso an

BK: Barulah hamba mengerti bahawa tuan hamba ini sebenarnya adalah pemilik sawah ladang ini. 

NS: Kosan ea. 

BK: Hamba kurang pandai bagaimana hendak mengajar tuan hamba menganyam tikar mengkuang itu. 

NS: Hontah. 


Tuesday, June 1, 2021

PENGALAMAN MENJADI PESAKIT COVID-19, TAHAP 4.




Gambar 1: Cetakan skrin dari Apps MySejahtera.

Saya sengaja tak mahu cerita di fesbuk yang saya terjangkit COVID-19 masa mula-mula kena dahulu sebab khuatir banyak soalan yang saya bimbang tak sempat atau tak larat nak jawab. Dan saya akan rasa bersalah kalau tak dapat atau tak sempat jawab. Bila dah jawab, saya pasti akan ada soalan tambahan atau lanjutan. Memang tak larat nak jawab dalam keadaan kita tidak sihat pada masa itu. Soalan anak2 pun saya tak larat nak jawab. Kalau ada yang call langsung saya tak dapat nak layan sebab saya jadi semput kalau bercakap. 

Alhamdulillah setelah 10 hari mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar,  Seremban,  saya sudah dibenarkan pulang.  Sekarang saya dalam tempoh pemulihan. Mohon doakan saya agar saya terus kekal sihat seperti sebelum ini. Ini adalah sejarah bagi saya masuk hospital untuk tempoh paling lama kerana sebelum ini rasanya paling lama pun seminggu. 

Kisahnya berawal begini.  Mula-mula saya demam dan batuk sejak 2hb Mei. Saya pergi klinik dekat rumah kerana ingatkan demam biasa sahaja.  Doktor beri antibiotik.  Lepas seminggu, demam dan batuk masih tak hilang bahkan makin berat walaupun antibiotik dah habis saya makan.  Dalam tempoh seminggu tu saya tidur macam orang pengsan dan cuma terbangun bila rasa lapar sangat dan makan apa yang lalu. Lepas tu sambung tidur sampai tak ingat dunia. Demam dan batuk masih tak hilang. Untuk meredakannya saya ambil panadol dan ubat batuk ikut selang masa yang sepatutnya.  Lega sekejap, kadang-kadang terbangun kerana badan berpeluh-peluh macam dah kebah,  tetapi lepas tu ia datang semula. 

Kemudian saya buat swab test kat sebuah di klinik di Senawang pada 9 Mei. 

Pada 11 Mei saya diberitahu positif Covid.  

Saya masih cuba bertahan sambil menunggu dihubungi pihak KKM tapi tiada sesiapa menghubungi saya.  Pada pagi 13 Mei berbetulan hari raya Aidil Fitri keadaan saya makin teruk.  Nafas pun sudah tersekat-sekat dan tercungap-cungap.  Saya minta anak saya hantar ke hospital Tuanku Jaafar. Semasa saya dihantar ke hospital oleh anak saya, ada juga terlintas di fikiran saya bahawa mungkin pemergian ini tidak akan kembali lagi. Namun begitu apa pilihan yang ada. Saya menaruh keyakinan bahawa pihak hospital adalah tempat terbaik untuk dapat rawatan dan petugas akan berusaha merawat kita sebaik mungkin secara profesional. 

Selepas menunggu untuk dapatkan katil kira-kira 6 jam sambil mendapat rawatan awal di bilik kecemasan akhirnya saya dihantar dengan ambulan untuk ke Wad. Walaupun wad itu dalam kompleks bangunan yang sama,  tapi mungkin itulah prosedurnya kepada pesakit yang menerima oksijen. Kemudiannya saya ditolak atas stretcher hingga sampai ke katil di tingkat 8B. Alhamdulillah saya dapat katil sebelah tingkap, jadi tidaklah panas sangat dan dapat pula melihat pemandangan di luar.  Kemudian bermulalah proses rawatan.  Antaranya ambil xray,  ambil darah,  ambil tekanan darah,  cek kandungan gula,  cek oksijen,  cek jantung,  injek ubat cair darah,  injek insulin,  cek suhu badan di samping diberi pelbagai ubat. 

Semasa melalui proses rawatan,  macam2  kesan sampingan timbul.  Misalnya tetiba bacaan gula dalam darah saya naik mendadak yang mana sebelum ini saya tidak pernah ada sejarah kencing manis.  Bila diberitahu oleh jururawat keadaan itu adalah sementara akibat saya diberi ubat tertentu dan ia akan kembali seperti biasa bila ubat tersebut dihentikan, saya pun jadi sedap hati.  Namun begitu saya terpaksa diberi suntikan insulin di perut dalam tempoh 7-8 hari sehingga kandungan gula kembali normal. Sebelum itu,  saya juga telah berhenti menerima oksijen untuk bantuan pernafasan selepas 4-5 hari menggunakannya.  Alhamdulillah. 

Sepanjang 10 hari berada di wad,  saya perhatikan semua jururawat bertugas dengan penuh dedikasi,  prihatin dan cekap tanpa keluhan walaupun saya percaya mereka kelelahan akibat tekanan dan bebanan kerja di samping kepanasan dalam pakaian yang berlapis-lapis. Tugas mereka berat dan mulia.  Tanpa mengira kaum, saya perhatikan mereka, 

1.  Suapkan makanan dan kadang2 terpaksa memujuk pesakit sebab ada yang tak mahu makan. 

2. Tukar diapers dan bersihkan badan pesakit serta tukar pakaian mereka yang tak berdaya mengurus diri sendiri. 

3. Melayan kerenah beberapa orang pesakit yang degil seperti suka buka oksijen dsb. 

4. Menenangkan pesakit yang sudah macam hilang ingatan hingga ada yang terpaksa diikat kaki tangan untuk elakan mereka jatuh dari katil. 

Namun begitu tidak ada pesakit yang tak berdaya mengurus diri sendiri yang terlepas pandang dan ketinggalan mendapat layanan dan jagaan mereka. Kepada siapa lagi hendak diharapkan kerana tidak seperti kes lain yang bukan Covid, keluarga pesakit tidak dibenarkan berada di dalam wad untuk membantu menjaga mereka. 

5. Dan yang paling utama ialah mereka  sangat berhati-hati dalam menjalankan tugas.  Misalnya dalam pemberian ubat, mereka harus menyampaikannya kepada setiap pesakit mengikut masa,  jenis, kuantiti atau amaun yang berbeza di antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain,  tanpa membuat sebarang kesilapan. 

Kemudahan. 

1. Pakaian hospital yang sudah siap dicuci seperti seluar,  baju dan kain sentiasa tersedia. Kalau rasa nak salin pakaian 3 kali sehari pun tiada siapa yang larang. 

2. Kertas tisu,  diapers dan mask sentiasa ada dibekalkan. 

3. Makan minum diberi ikut jadual.  Alhamdulillah, selera saya terima semua. 

4. Untuk solat berjemaah dalam 10 -12 orang, ada sedikit ruang di bahagian belakang di celah2 laluan dan katil pesakit yang boleh digunakan. Sejadah yang secukupnya turut disediakan. 

Setiap malam sebelum tidur saya simpan harapan dan berdoa agar esok boleh discaj.  Begitulah berlarutan sehingga 10 hari terlantar di hospital. Dalam masa yang sama saya juga redha menerima apa-apa ketentuan Ilahi. Malah saya rasa bersyukur bila melihat ramai pesakit yang lebih teruk dari saya. Namun bila melihat sendiri di depan mata seorang pesakit di katil bertentangan meninggal dunia pada hari ke 2, saya merasakan antara hidup dengan mati itu berjarak hanya antara dua jari tangan sahaja. Kepada Allah saya berserah bulat2 dan redha akan apa sahaja ketentuanNya. 

Alhamdulillah pada 22 Mei,  tiba saat yang ditunggu-tunggu saya dibenarkan keluar dari hospital. Saya diberitahu oleh jururawat pada jam 2 petang berita baik itu dan meminta saya segera bersiap kerana ada pesakit baru yang akan masuk. Akhirnya kira2 jam 10 malam barulah dapat surat doktor dan juga ubatan untuk sambung ambil di rumah.

Namun begitu jika keadaan memerlukan untuk saya berada di hospital untuk suatu tempoh yang lebih panjang lagi, saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal menempuhinya kerana saya ingin betul-betul pulih dari penyakit ini. 

Saya rasa proses rawatan saya agak pendek berbanding orang lain mungkin kerana saya tidak mengidap sebarang penyakit kronik lain seperti darah tinggi,  buah pinggang,  jantung dan sebagainya.  Alhamdulillah. 

Dengan tumpang kereta jiran yang turut sama discaj yang dijemput anaknya, saya selamat sampai di rumah kira2  jam 11 malam. Setengah jam kemudiannya isteri saya pulak sampai dari hospital Tampin dengan dijemput oleh anak saya. Dia pun terjangkit COVID tapi tidaklah serius sangat, cuma tahap 2 sahaja.  Syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan izin, ihsan dah kehendakNya, saya dan isteri telah dipulihkanNya. Moga kawan2 lain yang masih di hospital dan juga yang menjalani kuarantin di rumah agar segera sembuh dan kembali pulih seperti sedia kala. 

Namun begitu saya belumlah lagi pulih 100%. Banyak lagi ubatan yang dibekalkan yang perlu diambil sehingga 16hb Jun. Dan pada 15hb Jun di sebelah pagi saya akan pergi semula ke Hospital Tuanku Jaafar untuk buat xray dan ambil darah.  Sebelah petangnya pula ada janji temu dengan doktor untuk mengetahui keputusan ujian darah dan xray serta status kesihatan saya.  Saya berharap dan berdoa agar segalanya berjalan lancar dan saya bebas dari jangkitan COVID sepenuhnya.  Insyaallah. 

Sepanjang kira-kira 3 minggu sakit,  saya kehilangan berat badan kira-kira 5 kg.  Kini selepas keluar hospital kira-kira selama 10 hari,  berat badan saya sudah naik semula menghampiri berat sebelum sakit hari tu. Selera makan saya pada masa ini ibarat 'lembing dihayun'.

Saya juga merasa amat bersyukur dan lega kerana 2 orang anak saya yang tinggal bersama-sama dengan saya negatif COVID selepas dua kali buat swab test.  

Gambar 2: Satu untuk rekod. 

Di sini ingin saya ambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas khasnya yang betugas di Ward 8B yang telah memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang kepada semua pesakit yang berada wad tersebut terutamanya sepanjang saya berada di sana.  Jasa anda semua sangat besar dan tidak mungkin dapat saya membalasnya. Semoga Allah membalasnya dengan balasan yang lebih baik lagi.  Amin. 

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan yang memberikan segala kemudahan rawatan dan perubatan secara percuma.  Saya tidak tahu berapakah agaknya caj yang akan dikenakan oleh hospital swasta untuk perkhidmatan yang serupa.  Mungkin RM20 ribu kot untuk tempoh 10 hari. Atau mungkin lebih? 



Monday, May 3, 2021

YANG MANA PALING SUSAH ?


Gambar hiasan hasil carian Google. 

Bagi anda perbuatan yang mana satu yang paling susah? 

1. Memaafkan kesalahan orang yang pernah memalukan kita di khalayak ramai. 

2. Melupakan seseorang yang sangat dikasihi yang telah tiada. 

3. Menghalalkan hutang kepada peminjam yang mampu membayar. 

4. Bersedekah di kala kita sendiri sedang kesempitan. 

5. Mengelakan dari mengumpat di kala peluang ada di depan mata. 

Bagi saya yang paling susah untuk dilakukan buat masa ini (dekat nak raya) adalah nombor 2.

Thursday, April 29, 2021

AURAT DAN LIDAH.



Gambar hiasan hasil carian Google. 


Empat ragam manusia. 

1. Yang menutup aurat dan menjaga lidah. Dia aman dan orang lain pun. 

2. Yang tak tutup aurat tapi menjaga lidah. Dia tak aman tapi orang lain aman.  Dosa dia tak tutup aurat, dengan Allah. Kalau dia meminta ampun,  sesungguhnya Allah itu maha pengampun. 

3. Yang menutup aurat tapi tak menjaga lidah. Dia aman tapi orang lain tak aman.  Senang2 je dia membabikan orang.  Kalau dia tidak memohon maaf atau dimaafkan oleh orang tersebut - boleh sangkut nanti. 

4. Yang tak tutup aurat dan tak jaga lidah. Dia tak aman dan orang lain pun tak aman.  Namun jangan pula kita berkata2 keji terhadap mereka. Kita tidak tahu pengakhiran hidup mereka. 




Sunday, April 25, 2021

RAGAM ORANG ISLAM BERPUASA.


Gambar hiasan hasil carian Google.


1. Ada yang berpuasa dengan mematuhi sepenuhnya segala rukun dan syaratnya serta turut melakukan ibadah2 yang sunat. 

2. Ada juga yang berpuasa tapi tidak melakukan ibadah2 yang sunat dan dalam masa yang sama turut melakukan perkara2 yang makruh.

3. Ada yang langsung tak berpuasa tanpa alasan syarie tapi tidak melakukan apa2 maksiat.

4. Ada juga yang langsung tak berpuasa tanpa alasan syarie dan dalam masa yang sama turut melakukan maksiat. 


 

Saturday, April 17, 2021

KISAH RAJA MUDA NAK CARI ISTERI.

 

Gambar hiasan hasil carian Google.

Tersebutlah kisah seorang Raja Muda yang sangat tampan dan baik budi pekerti di sebuah negeri ingin beristeri. Hajat itu disampaikan kepada ayahandanya serta menyerahkan kepada ayahandanya untuk mencarikan calon yang sesuai untuknya. Ayahandanya sungguh gembira mendengar keinginan anakandanya itu.

Lalu ayahandanya yang bijaksana dan sangat disayangi rakyat jelata membuat pemakluman kepada seluruh isi negeri mempelawa sesiapa yang sudi menjadi isteri Raja Muda supaya hadir ke istana pada hari yang ditetapkan untuk dilihat dan ditemubual oleh Sang Raja. Sebelum itu baginda telah menitahkan Mamak Bendahara menyediakan satu raga besar buah mangga muda yang masam rasanya. Raja Muda tertanya-tanya dalam hati akan tujuan ayahandanya menyediakan buah mangga muda itu, tetapi dia tidak berani bertanyakan hal itu kepada ayahandanya.

Pada hari yang ditetapkan,  berduyun-duyunlah anak gadis dari seluruh pelusuk negeri hadir untuk ditemubual. Setiap calon dipanggil masuk ke dalam istana seorang demi seorang untuk melalui proses pemilihan. Adapun Raja dan Raja Muda pagi-pagi lagi sudah bersedia untuk bertemu dan menemuduga calon-calon yang datang.  Sebelumnya Raja telah berpesan kepada anakandanya supaya duduk diam-diam sebagai pemerhati di sebelahnya. 

Setiap calon disuruh mengambil sebiji mangga muda yang telah disediakan dalam raga yang diletakkan berhampiran. Kemudian mereka dipersilakan duduk dan makan buah mangga itu sampai habis dan mereka diminta memberitahu Raja akan rasa buah mangga itu. Sang Raja berbisik kepada anakandanya, jika ada calon yang mengatakan buah mangga itu manis, maka dia layak dipertimbangakan untuk menjadi isteri si Raja Muda.

Dipendekkan cerita, semua calon yang telah memakannya berkerut muka dan mengatakan buah mangga itu masam. Calon yang menunggu hanya tinggal seorang sahaja lagi. Raja Muda sudah hampir kecewa. Akhirnya masuklah calon yang tinggal seorang itu. Sebaik melihatnya, Raja Muda terus jatuh hati dengan gadis tersebut. Dia berdoa agar gadis ini nanti mengatakan buah mangga itu manis. Setelah gadis itu mengambil sebiji mangga yang masih banyak berbaki, dia pun memakan dengan sopan tanpa mengerutkan muka dan memberitahu betapa manisnya buah mangga itu.

Raja Muda pun tersangat gembira tetapi kehairanan mendengar kata-kata gadis tersebut, namun kegembiraannya disembunyikan (tak macam Haiqal) kerana malu dengan ayahandanya. Kemudian ayahandanya bertanya kepada gadis itu mengapa dia mengatakan buah mangga itu manis sedangkan berpuluh-puluh gadis sebelumnya mengatakan rasanya masam. Gadis itu pun menjawab dengan suara yang perlahan penuh sopan,

"Apa sahaja yang tuanku beri, akan manis belaka kepada patik".

Sekurang-kurangnya ada 3 pengajaran dari cerita ini.

1. Jangan ketepikan ibu bapa dalam mencari jodoh.

2. Jangan cepat kecewa dalam berusaha mencari sesuatu yang berharga kerana mungkin yang terakhir itulah yang kita cari.

3. Pengajaran ke 3, anda kena fikir sendiri.



Wednesday, March 24, 2021

WW # 169: YANG LAMA MASIH MENAWAN.


 

Saturday, February 13, 2021

SAYA INGIN BERHIBERNASI.



Oleh kerana blog sudah tidak meriah macam dulu-dulu, saya bercadang untuk berehat dahulu dari berblog.  Manalah tahu satu masa nanti, blog kembali meriah selepas orang jemu dengan fesbuk,  instagram,  twitter,  whatsApp,  BIP, telegram dan sebagainya,  saya akan kembali berblog.  Insyaallah. 

Thursday, February 11, 2021

EK 3: KELUAR KEPUTUSAN.


Setelah habis peperiksaan saya pun balik ke kampung saya di Bukit Gajah, Pelangai meneruskan kehidupan cara kampung, menoreh getah. Saya pun tidak ambil kisah sangat tentang keputusan peperiksaan kerana tidak yakin akan lulus. Saya juga tidak tahu bila keputusan peperiksaan keluar kerana tiada siapa beritahu. Tv tak ada, radio tak ada, surat khabar pun tak ada. Saya juga tidak membuat sebarang persediaan misalnya ambil borang permohonan masuk universiti, memohon biasiswa dan sebagainya. 

Satu hari saya terserempak dgn Cikgu MN (arwah), bekas guru sekolah rendah saya. Dari jauh dia sudah tersenyum dan kemudian mengucapkan tahniah kepada saya. Saya pun bertanya dia ucap tahniah untuk apa. Dia beritahu, saya lulus peperiksaan STP dan nama saya ada keluar dalam surat khabar Strait Times. Sememangnya pada masa tu nama2 pelajar yang lulus peperiksaan STPM, keluar surat khabar. Masa kami berjumpa tu kalau tak silap saya sudah lebih seminggu keputusan keluar. "Cuba pergi tengok kat kedai Cikgu B sebab dia ada berlanggan surat khabar tu". Beliau mencadangkan. Apa lagi saya pun bergegas ke kedai tersebut untuk menengok keputusan peperiksaan saya. Dalam hati saya berdoa agar surat khabar hari berkenaan masih ada lagi tersimpan. Sampai di kedai Cikgu B, saya minta izin tuan kedai untuk menengok surat khabar yang dimaksudkan. "Cuba tengok kek situ, kok ado laei" kata tuan kedai. 

Saya pun meluru ke arah surat khabar yang terletak di satu sudut. Dengan segera saya menyelak surat khabar yang tersusun rapi untuk mencari surat khabar hari berkenaan yang sudah pun terlepas ke bawah. Bila terjumpa, saya dengan gelojoh mencari muka surat yang ada nama sekolah tempat saya ambil peperiksaan. Bila terjumpa nama sekolah dan nama saya, terus hati saya melonjak gembira. Satu rasa gembira yang belum pernah saya rasai sebelumnya. Macam tak percaya saya telah berjaya dalam cubaan pertama mengambil STPM dengan segala macam kekurangan dan kekangan. Sungguh manis kejayaan ini. Namun saya kawal diri supaya tidak menjerit, kerana saya sedar saya berada dalam kedai orang. Dua tiga kali saya tengok nama saya. Sah cuma nama saya sahaja yang tertera di bawah nama sekolah tersebut sedangkan yang ambil peperiksaan beratus2 orang. "Takkan aku seorang sahaja yang lulus", bisik hati saya. Tapi tak kisahlah. Yang penting saya lulus dan harus segera memberitahu keluarga kerana mereka masih belum tahu lagi.  

Saya pun mengayuh basikal dengan lajunya sambil tersenyum riang balik ke rumah. Kelajuannya mungkin kalah johan lumba basikal peringkat olimpik. Mahu sahaja saya menjerit memberitahu semua orang yang saya jumpa di kiri kanan jalan yang saya sudah lulus peperiksaan STPM. 

Keesokan harinya, saya terus ke sekolah utk mengambil slip keputusan. Pada masa itu saya tidak berjumpa kawan2 yang sama2 belajar dahulu. Bila dah dapat slip keputusan barulah saya tahu 'score' yang saya dapat bagi setiap kertas. Saya lulus dengan mendapat Prinsipal dalam semua 4 mata pelajaran yang saya ambil. Saya juga mcm tak percaya boleh dapat Prinsipal A dalam kertas BM. Yang lebih menggembirakan, saya lulus Kertas Am yang merupakan kertas wajib lulus sebagai syarat untuk diterima masuk ke Universiti walaupun saya menyangka akan gagal kertas ini atas sebab yang telah saya ceritakan dalam episod sebelum ini. Saya percaya ini semua berkat doa keluarga saya, terutamanya doa arwah ibu saya. Alhamdulillah. Syukur kepada Mu ya Allah. 

Sekian. 

Thursday, February 4, 2021

EK 2: MENEMPUH PEPERIKSAAN.


Tangkap layar dari wall fesbuk saya.


Pusat peperiksaan bagi calon STPM daerah Kuala Pilah adalah di Sekolah Tuanku Muhammad.  Ia tak jauh dari sekolah Menengah Za'ba, tempat saya belajar semasa di tingkatan 6. Pelajar yang ambil peperiksaan digabungkan dengan calon persendirian, kebanyakannya guru sekolah lulusan maktab perguruan. 

Sepanjang tempoh peperiksaan, saya tak ingat berapa lama, saya menumpang di rumah Mak Cik saya di Kampung Serting Hilir,  kira-kira 20 km dari sekolah. Semuanya berjalan lancar kecuali pada hari peperiksaan Kertas Am, bas dari Bahau ke Kuala Pilah, telah terlewat dari biasa.  Kertas Am adalah subjek yang sangat penting, kerana ia wajib lulus sebagai syarat untuk masuk Universiti. Saya sangat gelisah semasa menunggunya. Akhirnya bila bas sampai,  saya melompat naik untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Pilah. Terasa bas berjalan sangat perlahan. Mahu saja rasanya saya menyuruh pemandu bas bawa laju dan jangan berhenti mengambil atau menurunkan penumpang.  Nasib baik bas yang saya naiki tidak mengalami kerosakan di tengah jalan. Kalau tidak tak taulah apa nak jadi. 

Dari stesyen bas untuk sampai ke pusat peperiksaan,  saya perlu berjalan kaki yang jaraknya lebih kurang 1.5 km. Semasa saya berjalan laju menuju tempat peperiksaan,  saya kerap memandang ke belakang, dengan harapan ada orang yg sudi menumpangkan. Kira-kira satu pertiga perjalanan,  tetiba ada sebuah Vespa yg ditunggang seorang lelaki berhenti dan bertanya arah tujuan saya.  Setelah diterangkan,  dia pun mempelawa saya menaiki motornya. Apa lagi terus saya memboncengnya. Sesampainya ke pusat peperiksaan, masa telah berlalu lebih setengah jam. Sebaik turun dari motor yang saya bonceng,  saya pun berlari menuju ke bilik peperiksaan di tingkat satu.  Nasib baik penyelia membenarkan saya masuk. Tanpa berlengah dengan nafas yang termengah2, saya pun mula menjawab soalan secepat yang boleh sehingga masa tamat. Saya akui bahawa saya tidak dapat menjawab semua soalan dengan baik. Tulisan sendiri pun mungkin susah atau tak dapat saya baca. Redha dan berserah sahajalah. Apa lagi yang boleh dibuat. 

Adakah saya lulus percubaan pertama saya mengambil peperiksaan STPM,  tunggu episod seterusnya. 


.. bersambung.

Friday, January 22, 2021

EK 1: MASUK KELAS LANJUTAN.



 Tangkap layar dari wall fesbuk saya.


Saya cuma dapat Gred 3 dalam peperiksaan SPM pada tahun 1971. Hendak masuk ke tingkatan 6 di sekolah Kerajaan, tidak layak. Hendak masuk ke maktab perguruan atau maktab lain yang setaraf juga tidak layak kerana kelayakan minimum sekurang2nya mesti dapat Gred 2. Tambahan pula ada subjek teras saya hanya setakat lulus sahaja. Mahu tak mahu saya cuba-cuba cari kerja. Setelah beberapa bulan berusaha namun masih tidak berjaya. Bukan senang nak dapat kerja pada masa itu.

Selepas beberapa bulan menganggur, saya diberi tahu ada kelas petang (kelas lanjutan) untuk tingkatan 6 akan dibuka di Sekolah Menengah Za'ba, di Kuala Pilah. Atas galakkan keluarga, saya pun mendaftar sebagai pelajar di sekolah tersebut. Kelas itu adalah atas usaha pertubuhan GPMS yang menyediakan dan menanggung elaun guru yang mengajar. Kami hanya dikenakan sedikit bayaran iaitu sebanyak RM4 sebulan untuk diberi kepada sekolah kerana menggunakan air dan letrik sekolah tersebut. Oleh kerana bilangan pelajar yang agak ramai, dua kelas telah dibuka. Hanya di situlah di daerah Kuala Pilah satu-satunya tempat untuk mereka yang tidak dapat masuk ke tingkatan 6 di sekolah kerajaan, menyambung pelajaran. Saya tidak ingat jumlah sebenar pelajar tapi kalau tak silap saya lebih kurang 80 orang kesemuanya.

Saya menyewa sebuah rumah dengan dua orang kawan lain kira-kira 3 km dari sekolah tersebut, setelah beberapa kali saya berpindah menyewa rumah. Rumah sewa kami ini besar, selesa dan cantik, lengkap dengan segala perabot dan peralatan dapur. Sewanya pun murah sahaja kerana tuan rumahnya tidak mahu rumahnya terbiar kosong kerana dia bekerja di daerah lain. Untuk makan kami berkongsi masak. Kerap juga makcik sebelah rumah hantar lauk kepada kami. Kami bertiga berbahagi tugas. Seorg memasak, seorang membasuh pinggan dan mengemas rumah dan saya membeli dan menyediakan keperluan dapur.

Kami bertiga berjalan kaki untuk ke sekolah. Jika ada cerita bagus di pawagam di pekan Kuala Pilah, bilangan murid dalam kelas akan merosot, terutamanya pelajar lelaki. Tiada disiplin yang ketat ditetapkan. Pakaian ikut suka. Kehadiran terserah kepada empunya diri. Setelah 2 tahun belajar dengan susah payahnya saya pun mengambil peperiksaan STPM buat pertama kalinya pada tahun 1973.

... bersambung.



Nota Kaki. 

Kisah ini telah saya poskan di wall fesbuk saya. Mulanya secara suka2 tapi bila ada yang minta untuk saya sambung, saya lanjutkan penulisan hingga 36 episod.



.