Showing posts with label khas. Show all posts
Showing posts with label khas. Show all posts

Sunday, July 27, 2025

REUNION YANG TAK DIRANCANG.





Hari ini (27/7/2025) saya hadir memenuhi undangan kenduri kawin anak kawan seorang ex-blogger. Tak sangka ramai pulak mantan2 blogger yang hadir hampir serentak. Macam berjanji pulak.

Seronok, gembira dan rasa puas dapat berjumpa mereka di alam nyata setelah sekian lama tidak berjumpa. Yang sedihnya masing2 sudah bersara dari berblog namun ukhwah blogger lain macam rapatnya berbanding rakan fesbuk, wasap atau Instagram.  

Lihatkah beberapa keping gambar yang saya pinjam dari wall fesbuk kawan2 yang memuatnaik kat wall fesbuk masing2 

Monday, June 23, 2025

KISAH SAYA DENGAN BANK RAKYAT.

Dua tiga hari lepas saya ada buat pemindahan wang secara online dari Bank Rakyat ke CIMB. Bila saya semak, saya dapati duit di Bank Rakyat dah tolak tapi CIMB tak masuk; saya pun hubungi Bank Rakyat petang semalam, menanyakan hal itu. Petugas Bank Rakyat melayan saya dengan penuh sopan dan sabar. Dia kata memang ada rekod duit keluar tapi kami tak boleh nak tahu ke mana wang itu Encik pindahkan. Encik boleh semak dengan bank kami. Saya pun tanya dia cara nak semak. Dia suruh saya ambik kertas dan pen dan seterusnya mengajarkan saya cara-cara buat semakan. Dia janji akan call saya semula untuk mengetahui samada saya berjaya membuat semakan. 

Kira2 sejam kemudian saya pun terima panggilan dari dia. Saya pun beritahu dia dengan nada yang girang, "Saya berjaya buat semakan seperti yang awak suruh. Rupanya duit tu termasuk ke dalam akaun Touch N Go saya" . Dia pun gembira mendengarnya dan seterusnya bertanya," ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu? "

"Buat masa ini, tak ada lagi", Jawab saya. 

Mendengar jawapan saya, dia pun berkata, 

"Terima kasih kerana menghubungi kami" 

"Sama-sama. Patutnya Pakcik yang berterima kasih dengan Syuhada", Jawab saya mengakhiri perbualan. 


Friday, April 11, 2025

KISAH SELEPAS BERSARA.

 

Selepas bersara ni, banyak benda2 yang kita gunakan semasa bekerja dulu sudah tidak digunakan lagi atau kurang digunakan.  Saya suka meletakkannya di bawah 3 kategori.

Kategori A: Benda yang tidak lagi digunakan. Contoh:

1. Beg ke pejabat.

2. Tali leher.

3. Kot dan jeket dan baju sejuk/panas.

4. Pakaian istiadat (seperti dalam gambar)

Yang paling banyak dalam simpanan adalah tali leher. Semasa berkemas kat ofis dulu, saya masukkan semuanya ke dalam beg plastik. Sekarang rupanya dah macam cacing dalam tempurung.  

Katgegori B: Benda yang kurang  digunakan. Contoh:

1. Kereta.

Sekarang asyik guna motosikal kapcai je. Jimat minyak dan senang nak parking. Ada satu kereta tu yang dulunya selalu saya bawa ke ofis, dah sebulan isi minyak, masih tinggal suku lagi minyaknya. 

2. Seluar.

Maksudnya bukan tak pakai seluar tapi tak lah macam dulu seminggu 4-5 kali tukar. Sekarang sehelai seluar boleh pakai 3-4 kali sebab pakai sekejap2. Lebihnya banyak pakai kain sarong.

3. Baju batik. 

Pakai pun kalau pergi kenduri. Dulu kena pakai setiap hari Khamis atau bila ada dinner.  Nak pakai bawa pergi sembahyang Tarawikh rasa macam tak sesuai pulak.  

4. Kasut dan stokin.

Sekarang ini lebih banyak pakai selipar atau berkaki ayam sahaja.

Kategori C: Benda yang terus digunakan tapi benda itu pulak makin sedikit. Contoh:

1. Duit.

2. Ringgit.

3. Fulus.

4. Pitih.

Nota kaki. Saya tak pulak bercadang nak memberikan benda2 dalam kategori A dan B, lebih2 lagi benda2 dalam kategori C kepada orang lain. 


Wednesday, February 12, 2025

CARA ELAK GETAH NANGKA LEKAT KAT TANGAN.



Buah nangka ini sudah lebih tiga minggu tersimpan dalam peti ais rumah saya. Kelihatannya seperti masih baru 

Sebelum ini saya cukup malas nak buka buah nangka yang dah masak kerana getahnya melekat kat tangan. 

Untuk elakkan getah melekat kat tangan, saya simpan dulu buah nangka tersebut dalam peti sejuk (bukan tempat buat ais) selama 2-3 hari. Sebenarnya lebih lama lebih bagus. Selepas itu, getahnya sudah tiada lagi atau tidak melekat lagi kat tangan. 

Untuk elakkan isinya cepat rosak,  jangan pisahkan ia dari kulitnya. Bila nak makan, ambil isinya sebanyak mana yang dikehendaki dan selebihnya simpan semula dalam peti ais.  Insyaallah isi nangka masih elok selepas 2-3 minggu tersimpan. 

Kalau kita pisahkan isinya dari kulitnya dan simpan dalam peti sejuk,  selepas 2-3 hari ia dah mula berlendir dah tidak sedap dimakan.

Saturday, September 16, 2023

TELADAN YANG BAIK.


Tepi jalan sambil berdiri pun boleh.

Setelah berhari-hari menonton gambar dan video Kembara Kenali Borneo, saya merasakan bahawa raja2 berupaya menyatupadukan seluruh rakyat. Syaratnya raja2 hendaklah tidak memihak kepada mana2 parti politik kerana jika mereka berbuat demikian, rakyat akan hilang hormat kepada mereka.  Kekallah berkecuali sampai bila-bila untuk memastikan kelangsungan institusi raja berperlembagaan di negara kita. Cukuplah orang2 politik memecah belahkan rakyat selama ini.

Di samping itu raja2 juga hendaklah sentiasa bersikap merendah diri dan mesra rakyat seperti yang telah ditunjukkan oleh Sultan Abdullah dan keluarga baginda dalam menyantuni seluruh rakyat jelata yang mereka temui di sepanjang perjalanan dari Tawau hingga ke Telok Melano.

Daulat Tuanku.

# Selamat Menyambut Hari Malaysia.

Sunday, August 20, 2023

KONVO UITM - NAK PUTUS URAT PANJAT TANGGA.


Saya cukup tak suka hadir majlis konvo IPTA (bukan swasta). Semalam (19.8.2023), saya hadir majlis konvo Haiqal kat UITM Shah Alam (peringkat diploma). Ibu bapa disuruh hadir pukul 1 petang. Kita pun bergegaslah ke dewan.  Makan tengah hari pun tak lagi. Solat Zohor pun tak sempat. Jam 2.24 petang baru majlis bermula, iaitu hampir 1 setengah jam selepas ibu bapa masuk ke dalam dewan ! Bacaan doa habis jam 2.32 petang. Selesai majlis dah dekat pukul 5 petang.

Pemandagan dari tempat duduk kami di aras 3. Kena naik turun tangga lagi

Kalau saya tahu begini caranya, saya lunch dan solat dulu. Nasib baik jarak rumah saya dengan dewan ini lebih dari 2 marhalah, bolehlah jamak. Ibu bapa yang tinggal kurang dari dua marhalah macam mana? Memang ada surau dalam bangunan tapi bila dah suruh tiba jam 1 ptg, semuanya duduk kat tempat duduk masing2 takut nak keluar. Lagi pun surau tu sudah tentu tak mampu nak menampung ribuan ibu bapa. Para pelajar tak usah cakaplah. Sebelum pukul 1 petang lagi, dah terpaku kat seat.


Haiqal dengan emaknya.

Sebelum itu, dari 'drop zone' nak sampai ke dewan saya rasa jarak pergi balik hampir 2 km. Terpaksalah menapak di bawah terik sinar mentari. Bila menghampiri dewan kami terpaksa pulak mendaki anak tangga yang curamnya lebih dari tangga kat Batu Caves. Saya tak kira jumlah anak tangga, tapi rasanya tak kurang dari 40-50 mata. Kalau saya umur 50an mungkin tiada masalah kecuali penat je lah. Semasa pendakian, saya sempat memotong beberapa ibu bapa yang mengeluh keletihan dan kesakitan sambil berpaut pada railing tangga. Saya rasa nak jemput VC merasai apa yang kami rasa.


 Haiqal dengan sebahagian kawan-kawannya.

Dalam pada itu saya perhatikan, syarat dan peraturan tidak diikuti dan dikuatkuasakan sepenuhnya.  Misalnya etika pakaian lelaki, ramai yang pakai baju kemeja lengan pendek (bukan batik), menyalahi pakaian yang ditetapkan. Di samping itu saya rasa hampir 99.9% tak pakai mask seperti disyorkan. Bawa makanan atau minuman juga dilarang. Saya bukan sahaja makan minum tapi sempat bertukar2 makanan dan minuman dengan orang sebelah. Terdapat juga larangan merakam gambar atau video. Yang ini rasanya tiada siapa yang mematuhi. Akhirnya tetamu juga dilarang meninggalkan dewan sebelum majlis selesai, tapi saya perhatikan ramai ibu bapa dah keluar meninggalkan banyak bangku yang kosong walaupun majlis masih berjalan.

 

Video pendek Haiqal terima skrol

Kesimpulannya. Dalam hal ini UITM tidak mesra pelanggan. Bila Haiqal ambil ijazah nanti, saya cadang nak tengok live kat YouTube dari rumah je kecuali ada kemudahan yang lebih baik. 





Saturday, June 5, 2021

BAHASA MELAYU KLASIK LAWAN BAHASA NEGERI SEMBILAN.


Gambar hiasan hasil carian Google. 


BK: Sudi apalah kiranya tuan hamba memberikan saya durian itu barang seulas. 

N9: Bak suleh. 

BK: Alangkah baiknya jika kita semua dapat bersegera berangkat sekarang agar kita boleh sampai sebelum senja. 

NS: Moh dogheh. 

BK:  Gerangan apakah yang membuat tuan hamba datang ke teratak hamba di tengah-tengah malam buta begini ni? 

NS: Kau nak apo? 

BK: Mengapakah tuan hamba gemar sekali menggangu anak-anak gadis yang sedang bergumbira bermain-main di dalam taman itu.

NS: Janganlah uncah. 

BK: Bukankah telah hamba ingatkan berulang kali supaya tuan hamba tidak mengacau kerbau yang sedang tidur itu. Sekarang lihatlah apa yang terjadi. 

NS: Ghaso an

BK: Barulah hamba mengerti bahawa tuan hamba ini sebenarnya adalah pemilik sawah ladang ini. 

NS: Kosan ea. 

BK: Hamba kurang pandai bagaimana hendak mengajar tuan hamba menganyam tikar mengkuang itu. 

NS: Hontah. 


Tuesday, June 1, 2021

PENGALAMAN MENJADI PESAKIT COVID-19, TAHAP 4.




Gambar 1: Cetakan skrin dari Apps MySejahtera.

Saya sengaja tak mahu cerita di fesbuk yang saya terjangkit COVID-19 masa mula-mula kena dahulu sebab khuatir banyak soalan yang saya bimbang tak sempat atau tak larat nak jawab. Dan saya akan rasa bersalah kalau tak dapat atau tak sempat jawab. Bila dah jawab, saya pasti akan ada soalan tambahan atau lanjutan. Memang tak larat nak jawab dalam keadaan kita tidak sihat pada masa itu. Soalan anak2 pun saya tak larat nak jawab. Kalau ada yang call langsung saya tak dapat nak layan sebab saya jadi semput kalau bercakap. 

Alhamdulillah setelah 10 hari mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar,  Seremban,  saya sudah dibenarkan pulang.  Sekarang saya dalam tempoh pemulihan. Mohon doakan saya agar saya terus kekal sihat seperti sebelum ini. Ini adalah sejarah bagi saya masuk hospital untuk tempoh paling lama kerana sebelum ini rasanya paling lama pun seminggu. 

Kisahnya berawal begini.  Mula-mula saya demam dan batuk sejak 2hb Mei. Saya pergi klinik dekat rumah kerana ingatkan demam biasa sahaja.  Doktor beri antibiotik.  Lepas seminggu, demam dan batuk masih tak hilang bahkan makin berat walaupun antibiotik dah habis saya makan.  Dalam tempoh seminggu tu saya tidur macam orang pengsan dan cuma terbangun bila rasa lapar sangat dan makan apa yang lalu. Lepas tu sambung tidur sampai tak ingat dunia. Demam dan batuk masih tak hilang. Untuk meredakannya saya ambil panadol dan ubat batuk ikut selang masa yang sepatutnya.  Lega sekejap, kadang-kadang terbangun kerana badan berpeluh-peluh macam dah kebah,  tetapi lepas tu ia datang semula. 

Kemudian saya buat swab test kat sebuah di klinik di Senawang pada 9 Mei. 

Pada 11 Mei saya diberitahu positif Covid.  

Saya masih cuba bertahan sambil menunggu dihubungi pihak KKM tapi tiada sesiapa menghubungi saya.  Pada pagi 13 Mei berbetulan hari raya Aidil Fitri keadaan saya makin teruk.  Nafas pun sudah tersekat-sekat dan tercungap-cungap.  Saya minta anak saya hantar ke hospital Tuanku Jaafar. Semasa saya dihantar ke hospital oleh anak saya, ada juga terlintas di fikiran saya bahawa mungkin pemergian ini tidak akan kembali lagi. Namun begitu apa pilihan yang ada. Saya menaruh keyakinan bahawa pihak hospital adalah tempat terbaik untuk dapat rawatan dan petugas akan berusaha merawat kita sebaik mungkin secara profesional. 

Selepas menunggu untuk dapatkan katil kira-kira 6 jam sambil mendapat rawatan awal di bilik kecemasan akhirnya saya dihantar dengan ambulan untuk ke Wad. Walaupun wad itu dalam kompleks bangunan yang sama,  tapi mungkin itulah prosedurnya kepada pesakit yang menerima oksijen. Kemudiannya saya ditolak atas stretcher hingga sampai ke katil di tingkat 8B. Alhamdulillah saya dapat katil sebelah tingkap, jadi tidaklah panas sangat dan dapat pula melihat pemandangan di luar.  Kemudian bermulalah proses rawatan.  Antaranya ambil xray,  ambil darah,  ambil tekanan darah,  cek kandungan gula,  cek oksijen,  cek jantung,  injek ubat cair darah,  injek insulin,  cek suhu badan di samping diberi pelbagai ubat. 

Semasa melalui proses rawatan,  macam2  kesan sampingan timbul.  Misalnya tetiba bacaan gula dalam darah saya naik mendadak yang mana sebelum ini saya tidak pernah ada sejarah kencing manis.  Bila diberitahu oleh jururawat keadaan itu adalah sementara akibat saya diberi ubat tertentu dan ia akan kembali seperti biasa bila ubat tersebut dihentikan, saya pun jadi sedap hati.  Namun begitu saya terpaksa diberi suntikan insulin di perut dalam tempoh 7-8 hari sehingga kandungan gula kembali normal. Sebelum itu,  saya juga telah berhenti menerima oksijen untuk bantuan pernafasan selepas 4-5 hari menggunakannya.  Alhamdulillah. 

Sepanjang 10 hari berada di wad,  saya perhatikan semua jururawat bertugas dengan penuh dedikasi,  prihatin dan cekap tanpa keluhan walaupun saya percaya mereka kelelahan akibat tekanan dan bebanan kerja di samping kepanasan dalam pakaian yang berlapis-lapis. Tugas mereka berat dan mulia.  Tanpa mengira kaum, saya perhatikan mereka, 

1.  Suapkan makanan dan kadang2 terpaksa memujuk pesakit sebab ada yang tak mahu makan. 

2. Tukar diapers dan bersihkan badan pesakit serta tukar pakaian mereka yang tak berdaya mengurus diri sendiri. 

3. Melayan kerenah beberapa orang pesakit yang degil seperti suka buka oksijen dsb. 

4. Menenangkan pesakit yang sudah macam hilang ingatan hingga ada yang terpaksa diikat kaki tangan untuk elakan mereka jatuh dari katil. 

Namun begitu tidak ada pesakit yang tak berdaya mengurus diri sendiri yang terlepas pandang dan ketinggalan mendapat layanan dan jagaan mereka. Kepada siapa lagi hendak diharapkan kerana tidak seperti kes lain yang bukan Covid, keluarga pesakit tidak dibenarkan berada di dalam wad untuk membantu menjaga mereka. 

5. Dan yang paling utama ialah mereka  sangat berhati-hati dalam menjalankan tugas.  Misalnya dalam pemberian ubat, mereka harus menyampaikannya kepada setiap pesakit mengikut masa,  jenis, kuantiti atau amaun yang berbeza di antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain,  tanpa membuat sebarang kesilapan. 

Kemudahan. 

1. Pakaian hospital yang sudah siap dicuci seperti seluar,  baju dan kain sentiasa tersedia. Kalau rasa nak salin pakaian 3 kali sehari pun tiada siapa yang larang. 

2. Kertas tisu,  diapers dan mask sentiasa ada dibekalkan. 

3. Makan minum diberi ikut jadual.  Alhamdulillah, selera saya terima semua. 

4. Untuk solat berjemaah dalam 10 -12 orang, ada sedikit ruang di bahagian belakang di celah2 laluan dan katil pesakit yang boleh digunakan. Sejadah yang secukupnya turut disediakan. 

Setiap malam sebelum tidur saya simpan harapan dan berdoa agar esok boleh discaj.  Begitulah berlarutan sehingga 10 hari terlantar di hospital. Dalam masa yang sama saya juga redha menerima apa-apa ketentuan Ilahi. Malah saya rasa bersyukur bila melihat ramai pesakit yang lebih teruk dari saya. Namun bila melihat sendiri di depan mata seorang pesakit di katil bertentangan meninggal dunia pada hari ke 2, saya merasakan antara hidup dengan mati itu berjarak hanya antara dua jari tangan sahaja. Kepada Allah saya berserah bulat2 dan redha akan apa sahaja ketentuanNya. 

Alhamdulillah pada 22 Mei,  tiba saat yang ditunggu-tunggu saya dibenarkan keluar dari hospital. Saya diberitahu oleh jururawat pada jam 2 petang berita baik itu dan meminta saya segera bersiap kerana ada pesakit baru yang akan masuk. Akhirnya kira2 jam 10 malam barulah dapat surat doktor dan juga ubatan untuk sambung ambil di rumah.

Namun begitu jika keadaan memerlukan untuk saya berada di hospital untuk suatu tempoh yang lebih panjang lagi, saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal menempuhinya kerana saya ingin betul-betul pulih dari penyakit ini. 

Saya rasa proses rawatan saya agak pendek berbanding orang lain mungkin kerana saya tidak mengidap sebarang penyakit kronik lain seperti darah tinggi,  buah pinggang,  jantung dan sebagainya.  Alhamdulillah. 

Dengan tumpang kereta jiran yang turut sama discaj yang dijemput anaknya, saya selamat sampai di rumah kira2  jam 11 malam. Setengah jam kemudiannya isteri saya pulak sampai dari hospital Tampin dengan dijemput oleh anak saya. Dia pun terjangkit COVID tapi tidaklah serius sangat, cuma tahap 2 sahaja.  Syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana dengan izin, ihsan dah kehendakNya, saya dan isteri telah dipulihkanNya. Moga kawan2 lain yang masih di hospital dan juga yang menjalani kuarantin di rumah agar segera sembuh dan kembali pulih seperti sedia kala. 

Namun begitu saya belumlah lagi pulih 100%. Banyak lagi ubatan yang dibekalkan yang perlu diambil sehingga 16hb Jun. Dan pada 15hb Jun di sebelah pagi saya akan pergi semula ke Hospital Tuanku Jaafar untuk buat xray dan ambil darah.  Sebelah petangnya pula ada janji temu dengan doktor untuk mengetahui keputusan ujian darah dan xray serta status kesihatan saya.  Saya berharap dan berdoa agar segalanya berjalan lancar dan saya bebas dari jangkitan COVID sepenuhnya.  Insyaallah. 

Sepanjang kira-kira 3 minggu sakit,  saya kehilangan berat badan kira-kira 5 kg.  Kini selepas keluar hospital kira-kira selama 10 hari,  berat badan saya sudah naik semula menghampiri berat sebelum sakit hari tu. Selera makan saya pada masa ini ibarat 'lembing dihayun'.

Saya juga merasa amat bersyukur dan lega kerana 2 orang anak saya yang tinggal bersama-sama dengan saya negatif COVID selepas dua kali buat swab test.  

Gambar 2: Satu untuk rekod. 

Di sini ingin saya ambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas khasnya yang betugas di Ward 8B yang telah memberi perkhidmatan yang sangat cemerlang kepada semua pesakit yang berada wad tersebut terutamanya sepanjang saya berada di sana.  Jasa anda semua sangat besar dan tidak mungkin dapat saya membalasnya. Semoga Allah membalasnya dengan balasan yang lebih baik lagi.  Amin. 

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan yang memberikan segala kemudahan rawatan dan perubatan secara percuma.  Saya tidak tahu berapakah agaknya caj yang akan dikenakan oleh hospital swasta untuk perkhidmatan yang serupa.  Mungkin RM20 ribu kot untuk tempoh 10 hari. Atau mungkin lebih? 



Saturday, February 13, 2021

SAYA INGIN BERHIBERNASI.



Oleh kerana blog sudah tidak meriah macam dulu-dulu, saya bercadang untuk berehat dahulu dari berblog.  Manalah tahu satu masa nanti, blog kembali meriah selepas orang jemu dengan fesbuk,  instagram,  twitter,  whatsApp,  BIP, telegram dan sebagainya,  saya akan kembali berblog.  Insyaallah. 

Thursday, February 4, 2021

EK 2: MENEMPUH PEPERIKSAAN.


Tangkap layar dari wall fesbuk saya.


Pusat peperiksaan bagi calon STPM daerah Kuala Pilah adalah di Sekolah Tuanku Muhammad.  Ia tak jauh dari sekolah Menengah Za'ba, tempat saya belajar semasa di tingkatan 6. Pelajar yang ambil peperiksaan digabungkan dengan calon persendirian, kebanyakannya guru sekolah lulusan maktab perguruan. 

Sepanjang tempoh peperiksaan, saya tak ingat berapa lama, saya menumpang di rumah Mak Cik saya di Kampung Serting Hilir,  kira-kira 20 km dari sekolah. Semuanya berjalan lancar kecuali pada hari peperiksaan Kertas Am, bas dari Bahau ke Kuala Pilah, telah terlewat dari biasa.  Kertas Am adalah subjek yang sangat penting, kerana ia wajib lulus sebagai syarat untuk masuk Universiti. Saya sangat gelisah semasa menunggunya. Akhirnya bila bas sampai,  saya melompat naik untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Pilah. Terasa bas berjalan sangat perlahan. Mahu saja rasanya saya menyuruh pemandu bas bawa laju dan jangan berhenti mengambil atau menurunkan penumpang.  Nasib baik bas yang saya naiki tidak mengalami kerosakan di tengah jalan. Kalau tidak tak taulah apa nak jadi. 

Dari stesyen bas untuk sampai ke pusat peperiksaan,  saya perlu berjalan kaki yang jaraknya lebih kurang 1.5 km. Semasa saya berjalan laju menuju tempat peperiksaan,  saya kerap memandang ke belakang, dengan harapan ada orang yg sudi menumpangkan. Kira-kira satu pertiga perjalanan,  tetiba ada sebuah Vespa yg ditunggang seorang lelaki berhenti dan bertanya arah tujuan saya.  Setelah diterangkan,  dia pun mempelawa saya menaiki motornya. Apa lagi terus saya memboncengnya. Sesampainya ke pusat peperiksaan, masa telah berlalu lebih setengah jam. Sebaik turun dari motor yang saya bonceng,  saya pun berlari menuju ke bilik peperiksaan di tingkat satu.  Nasib baik penyelia membenarkan saya masuk. Tanpa berlengah dengan nafas yang termengah2, saya pun mula menjawab soalan secepat yang boleh sehingga masa tamat. Saya akui bahawa saya tidak dapat menjawab semua soalan dengan baik. Tulisan sendiri pun mungkin susah atau tak dapat saya baca. Redha dan berserah sahajalah. Apa lagi yang boleh dibuat. 

Adakah saya lulus percubaan pertama saya mengambil peperiksaan STPM,  tunggu episod seterusnya. 


.. bersambung.

Friday, January 22, 2021

EK 1: MASUK KELAS LANJUTAN.



 Tangkap layar dari wall fesbuk saya.


Saya cuma dapat Gred 3 dalam peperiksaan SPM pada tahun 1971. Hendak masuk ke tingkatan 6 di sekolah Kerajaan, tidak layak. Hendak masuk ke maktab perguruan atau maktab lain yang setaraf juga tidak layak kerana kelayakan minimum sekurang2nya mesti dapat Gred 2. Tambahan pula ada subjek teras saya hanya setakat lulus sahaja. Mahu tak mahu saya cuba-cuba cari kerja. Setelah beberapa bulan berusaha namun masih tidak berjaya. Bukan senang nak dapat kerja pada masa itu.

Selepas beberapa bulan menganggur, saya diberi tahu ada kelas petang (kelas lanjutan) untuk tingkatan 6 akan dibuka di Sekolah Menengah Za'ba, di Kuala Pilah. Atas galakkan keluarga, saya pun mendaftar sebagai pelajar di sekolah tersebut. Kelas itu adalah atas usaha pertubuhan GPMS yang menyediakan dan menanggung elaun guru yang mengajar. Kami hanya dikenakan sedikit bayaran iaitu sebanyak RM4 sebulan untuk diberi kepada sekolah kerana menggunakan air dan letrik sekolah tersebut. Oleh kerana bilangan pelajar yang agak ramai, dua kelas telah dibuka. Hanya di situlah di daerah Kuala Pilah satu-satunya tempat untuk mereka yang tidak dapat masuk ke tingkatan 6 di sekolah kerajaan, menyambung pelajaran. Saya tidak ingat jumlah sebenar pelajar tapi kalau tak silap saya lebih kurang 80 orang kesemuanya.

Saya menyewa sebuah rumah dengan dua orang kawan kira-kira 3 km dari sekolah tersebut, setelah beberapa kali saya berpindah menyewa rumah. Rumah sewa kami ini besar, selesa dan cantik, lengkap dengan segala perabot dan peralatan dapur. Sewanya pun murah sahaja kerana tuan rumahnya tidak mahu rumahnya terbiar kosong kerana dia bekerja di daerah lain. Untuk makan kami berkongsi masak. Kerap juga makcik sebelah rumah hantar lauk kepada kami. Kami bertiga berbahagi tugas. Seorg memasak, seorang membasuh pinggan dan mengemas rumah dan saya membeli dan menyediakan keperluan dapur.

Kami bertiga berjalan kaki untuk ke sekolah. Jika ada cerita bagus di pawagam di pekan Kuala Pilah, bilangan murid dalam kelas akan merosot, terutamanya pelajar lelaki. Tiada disiplin yang ketat ditetapkan. Pakaian ikut suka. Kehadiran terserah kepada empunya diri. Setelah 2 tahun belajar dengan susah payahnya saya pun mengambil peperiksaan STPM buat pertama kalinya pada tahun 1973.

... bersambung.



Nota Kaki. 

Kisah ini telah saya poskan di wall fesbuk saya. Mulanya secara suka2 tapi bila ada yang minta untuk saya sambung, saya lanjutkan penulisan hingga 36 episod.



.

Thursday, May 30, 2019

SHRAF MZB

Saya cadang nak cuti panjang,
Buat entri pun tiada yang pandang,
Saya rasa mcm cakap sorang-sorang,
Jumpa lagi kalau sama-sama umur panjang.

Selamat hari raya aidil fitri kepada semua pembaca,
Seandainya ada tulisan saya yang sumbang atau menyentuh jiwa, maaf jua yang saya pinta.




.

Tuesday, April 9, 2019

CERITA LAWATAN KE JEPUN # 8 : PENARIK BECA.

Satu pemandangan yang menarik hati saya ialah kewujudan penarik beca di Jepun. Memang betul-betul tarik dengan tulang empat kerat, bukan kayuh macam kat Melaka tu. Saya terlihat banyak penarik beca di kawasan tempat menjual ole-ole di Akasuka. 

Alangkah sayangnya saya tak sempat menaikinya kerana harus mengejar masa kerana ini adalah hari terakhir kami di Jepun.



Kalau dapat naik macam ni, seronok juga (gambar hasil carian Google)



Dapat bergambar dengan penarik beca pun jadilah.

Entah musim bila pulak dapat berkunjung ke sana lagi ? Hmmm ... entahlah.

Sunday, March 10, 2019

KISAH SE PAGI DI KAMPUNG PAGI.

Pada 2hb dan 3hb Mac lalu kami seramai 10 orang kombinasi pemancing otai dan separuh otai telah pergi memancing di Kampung Pagi, Ulu Tembeling. Grup pertama seramai 4 orang pergi sehari lebih awal pada hari Jumaat petang.  Grup saya seramai 6 orang lagi bertolak pada pagi Sabtu dan kami semua balik selepas makan tengah hari, pada hari Ahad besoknya. Memang sekejap sangat, cuma semalam sahaja tapi nak buat macamana kerana masih ada peserta dalam kumpulan kami yang masih bekerja.

Hasilnya tidak berapa memuaskan kerana air sungai sangat cetek. Tapi  matlamat kami bukan semata-mata untuk mencari ikan. Kalau nakkan ikan, beli kat pasar lebih senang dan ekonomik. Alasan klise bila tak dapat ikan. Ikan itu perkara ke dua atau sampingan. Kalau dapat syukur, tapi kalau tak dapat tidak mengapa. Rezeki Allah yang tentukan. Mungkin bukan dalam bentuk ikan, tapi digantikan dengan keselamatan dalam perjalanan pergi dan balik. Itu pun rezeki juga dan ia lebih utama. 

Berikut saya kongsikan beberapa keping gambar. Jangan lupa baca 'caption' di bawahnya untuk mengetahui kisah yang berkaitan dengannya.



Gambar 1: Pasukan peninjau pertama yang bertolak sehari lebih awal.


Gambar 2. Dalam perjalanan dari jeti ke rumah rakit. Muka beseri-seri penuh pengharapan dan debaran.


Gambar 3: Inilah rumah rakit tempat kita bernaung selama dua hari satu malam. Sungguh selesa.

Gambar 4: Kami juga dihantar dengan bot untuk memancing di lubuk yang disyaki ada banyak ikan. Kawan saya sedang menanti sentapan ikan yang tak kesampaian sampai ke sudah. Tetapi pemandangan di belakang tu yang mahal yang dapat menghilangkan rasa hampa di dalam dada.

Gambar 5: Rezeki kawan saya di rumah rakit. Ikan sebarau datang menyerah diri memakan umpan pancingannya. 


Gambar 6: Kawan saya bergaya dengan ikan kerai dan ikan tengalan yang ditangkap di lubuknya.


Gambar 7: Seorang kawan saya menaikan ikan lampam yang boleh tahan besarnya. Kalau tak percaya cuba besarkan gambar tu.


Gambar 8: Saya juga mendapat seekor ikan menangis - kerai - cry, melalui pemancingan di rumah rakit. Tak yah penat-penat cari lubuk.


Gambar 9: Ikan sebarau yang kawan saya dapat dan kerai yang saya dapat dikorbankan sebagai lauk tambahan  makan tengah hari. Saya tak tahu siapa yang meratah ekor ikan kerai tu. Saya tidak mengesyaki sesiapa. Mungkin ikan yang kecik tu yang buat kot.


Gambar 10: Kami makan sambil bersila di atas lantai. Isteri tuan punya rumah rakit yang masak. Tentulah ikan sungai. Waktu malamnya di tempat yang sama saya tidur dengan kawan saya walaupun bilik mencukupi kerana ingin merasakan hembusan dingin angin malam yang segar dari sungai.


Gambar 11: Dalam bot masa nak balik. Kelihatan muka masing-masing nampak tak ceria walaupun nak balik rumah kerana sedih nak meninggalkan rumah rakit. Sebenarnya sedih sebab tak banyak dapat pun ia juga. Tapi pemancing tegar, tidak pernah kenal putus asa.


Video kami semasa akan bertolak ke jeti untuk pulang ke rumah dengan dilepaskan oleh Pak Uda iaitu tuan punya rumah rakit yang sangat baik hati dan juga sangat warak orangnya


Hati sayu meninggalkan rumah rakit tempat kita bersenda gurau, tidur baring, makan minum dan memancing. Insyaallah bila air sudah dalam sikit nanti, kita akan sampai lagi. Bukan jauh sangat pun. Cuma 326 km je perjalanan sehala.

Alhamdulillah kami selamat sampai ke rumah masing-masing tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Jalan jem tu biasalah. Terima kasih Allah. 

Saturday, September 8, 2018

KISAH DUA HARI SATU MALAM DI TAMAN NEGARA, PAHANG.

Pada 5 dan 6, September yang lalu saya dengan kawan-kawan saya yang senasib  seramai 3 orang lagi telah bersepakat untuk memancing di Taman Negara. Ada banyak syarat yang perlu dipatuhi untuk memancing di sini. Anda boleh dapatkan maklumat tentang syarat dan peraturan di laman agensi yang berkaitan. Namun begitu urusannya sungguh mudah. Bot untuk sehari sewanya cuma RM350.00 dan dibayar selepas balik dari memancing di sebelah petangnya. Kami cuma dibenarkan memancing di antara jam 9 pagi hingga 5 petang sahaja.

Rumah tetamu pula, dibayar selepas kita sampai dan masuk di dalamnya. Kunci dilekatkan di tombol pintu. Kami sampai kira-kira 4 petang dan cuaca masih lagi panas berbahang. Terasa nyaman bila memasukinya kerana tuan rumah sudah pun buka airkon sebelum kami sampai. 

Tempahan rumah tetamu seperti tempahan bot juga tidak perlu bayar apa-apa duit muka, deposit atau pendahuluan. Semua urusan dibuat secara dalam talian atas dasar saling mempercayai antara satu sama lain. Tetapi bukan saya yang uruskan. Salah seorang kawan saya yang uruskan. Segala yang dirancang berjalan seperti yang dinginkan. Perjalanan dengan kereta dari Kuala Lumpur juga lancar. Kami cuma singgah sekejap di Temerloh untuk makan tengah hari lauk ikan patin di sebuah kedai di tepi sungai Pahang. 



Gambar 1: Kita menginap di rumah tetamu ini. Walaupun kita tetamu tetapi tetap juga kena bayar RM150.00 semalam.


Gambar 2: Setiap kali pergi  memancing, mesti kereta menantu pak mertua saya yang kena. Mentang-mentanglah kereta ni dah lama.


Gambar 3: Ruang di dalam rumah tetamu yang luas dan bersih sebelum ia menjadi tunggang langgang. Ada 3 katil bujang dan sebuah katil saiz queen di sediakan dengan 2 bilik mandi dan 2 tandas. Sungguh selesa.


Gambar 4: Rumah tetamu yang kita duduk ni betul-betul berhadapan dengan sungai Tembeling. Buka sahaja pintu kita akan menghadap sungai tersebut, tapi nak pergi ke sungai itu boleh tahan juga mata tangga yang perlu kita lalui. Kalau sakit lulut, lebih baik naik kereta kerana kereta memang boleh bawa sampai ke tebing sungai.


Gambar 5: Pada waktu pagi ketika kami hendak mudik sungai untuk ke tempat memancing, hujan turun dengan lebatnya. Mujur ia beransur-ansur reda dan bila kita mula memancing ia berhenti sepenuhnya. Kalau tidak, rumit juga nak mancing dalam hujan ni.


Gambar 6: Bot yang kami sewa dikendalikan oleh seorang jurumudi dan seorang lagi menjaga di depan. Memang selesa kami naik 4 orang.



Gambar 7: Sebuah 'port' tempat kami memancing. Kelihatan di belakang sana sebuah bot yang membawa pelancong menghilir sungai. Kehadirannya berjaya memecah ketenangan dan menakutkan ikan.



Gambar 8: Kelihatan sebuah lagi bot yang membawa pelancong Mat Saleh dari luar negara  yang datang beribu batu ke Malaysia semata-mata ingin menikmati keindahan flora fauna anugerah Allah. Mana-mana rakyat Malaysia yang belum sampai ke sini, eloklah datang. Pasti anda nak datang lagi.



Gambar 9: Ini adalah antara ikan yang berjaya saya naikan. Namanya baung. Yang saya tunjuk ini ikan yang tidak besar. Yang lain-lain pun kecil juga. Ikan yang besar-besar tak berani nak makan umpan kerana terganggu oleh bot membawa pelancong yang lalu lalang tak henti-henti. Saya rasa kesibukan trafik di sini mengalahkan LEKAS.


Gambar 10: Pemandangan sebahagian jajaran LEKAS yang saya lalui dalam perjalanan balik ke rumah.

Dipendekkan cerita kami bertolak balik kira-kira jam 6 petang menuju Gombak, tempat pertemuan kami sebelum bertolak.  Dari Gombak saya memandu sendirian balik ke Seremban melalui LEKAS. Kenderaan hala ke Seremban macam tak ada. Seram pulak rasanya. Sampai rumah kira-kira jam 12.20 pagi. Syukur alhamdulillah selamat saya pergi dan kembali semula ke rumah dengan membawa seribu kenangan dan keletihan yang melampau.

Nota kaki: Muka penulis sengaja dikaburkan kerana dia terlupa nak pakai mekap.








Tuesday, September 4, 2018

NAK TENGOK GAMBAR DAN VIDEO KAMI KORBAN DI KEMBOJA ?

Pada hari raya haji tahun ini buat pertama kalinya saya menganjurkan ibadah korban di Kemboja. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakan di mana 4 ekor lembu telah pun dikorbankan pada dua hari raya haji, 23hb Ogos 2018. Setiap bahagian dikenakan bayaran sebanyak RM360.00. Bayran itu adalah untuk harga lembu dan belanja pengurusan.



Gambar 1:  Lembu pertama.


Gambar 2: Lembu kedua.



Gambar 3: Lembu ketiga.


 Gambar 4: Lembu ke empat.

Demikianlah 4 ekor lembu sempurna dikorbankan di Wilayah Kampot, Kemboja yang diwakil dan diuruskan oleh Ustaz Badri Yunos dan pasukannya dari badan Cambodian Charitable Trust Association. Terima kasih banyak-banyak Ustaz kerana menyempurnakan amanah dan hajat peserta-peserta dari Malaysia. Mudah-mudahan Allah menerima korban yang kami lakukan di samping sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat Islam di sana yang rata-rata miskin berbanding dengan masyarakat Islam di Malaysia.

Berikut saya tunjukan sebuah video yang berkaitan untuk anda dapat merasakan suasana ibadah korban di Kemboja yang tidak banyak berbeza dengan di Malaysia.





Tuesday, July 3, 2018

PATUTKAH KITA PERGI KE RUMAH TERBUKA KALAU TAK KENA AJAK?.

Gambar hiasan. Saya memang dijemput ke rumah terbuka ini.


Katalah kita nak pergi berjalan raya kat rumah kawan lama kita dan kita tak beritahu dia yang kita nak datang. Bila sampai dekat rumah dia, kita nampak ada khemah, kereta bersusun-susun dan ramai orang. Kemudiannya kita dapat tahu hari tu dia buat rumah terbuka tetapi dia tak jemput kita. Apakah tindakan anda ?

1.  Balik dulu dan datang lain kali sebab tak mahu tuan rumah rasa serba salah dengan kita.

2. Alang-alang dah sampai, teruskan ke rumah dia. Nak datang lain kali, entahkan bila.

Saya pernah kena dan saya pilih 2. Tuan rumah memang berubah air muka bila nampak saya, tapi kejap je, lepas tu keadaan kembali normal. Dan dia juga sangat berbesar hati dan rasa bertuah atas kedatangan saya ke rumah dia yang kena pada masanya.



Tuesday, March 6, 2018

ADAKAH ANDA INGIN BERSEDEKAH TAPI TAK TAHU KEPADA SIAPA DAN DI MANA, TENTU ANDA BERMINAT MEMBACA ENTRI INI.


Assalamualaikum. Saya ada mewujudkan sebuah grup fesbuk bertajuk "Malaysia Cambodia Charitable Group" (MCCG) seperti di atas.  Tujuannya adalah untuk mengumpul dan menyalur sumbangan kepada fakir miskin di Cambodia dari kalangan berikut:

1. Anak yatim,
2. Orang cacat,
3. Ibu tunggal,
4. Orang-orang tua yang hilang upaya, 

Juga bertujuan untuk memberi sumbangan membina:

6. Masjid/surau,
7. Madrasah/pondok untuk tahfiz, pengajian agama dan sebagainya.

Sumbangan dari rakan-rakan akan saya salurkan kepada Ustaz Badri Yunus dari "Cambodia Charitable Trust Association" (CCTA). CCTA adalah sebuah badan yang aktif membuat kerja-kerja kebajikan dan keagamaan yang ditubuh dan dipimpin oleh Ustaz Badri. Maklumat lanjut tentang Ustaz Badri dan CCTA ada dinyatakan dalam nota kaki di bawah.

Melalui jalinan kerjasama antara MCCG dengan CCTA, sebuah rumah untuk ibu tunggal yang kudung sebelah kakinya akibat terkena bom semasa pemerintahan rejim Pol Pot telah berjaya disiapkan hasil sumbangan kawan-kawan fesbuk saya di dalam grup tersebut.



Gambar 1: Ustaz Badri berdiri di hadapan rumah pertama hasil sumbangan ahli MCCG untuk kakak Laila (yang berdiri di kanan sekali).


Pada masa ini kami sedang dalam proses pembinaan sebuah lagi rumah untuk seorang nenek yang tinggal di sebuah pondok yang sangat daif seperti dalam Gambar 2 di bawah. Peruntukan yang terkumpul telah pun mencukupi dan disalurkan kepada CCTA yang akan menguruskan pembinaannya dalam masa terdekat. Insyaallah.





Gambar 2: Nenek Abidah dalam 'rumahnya' selepas dikunjungi oleh Ustaz Badri untuk menyampaikan sumbangan berbentuk bahan makanan.





Gambar 3: Penyampaian sedekah beras dan keperluan dapur oleh CCTA. (Gambar dari album CCTA). 






Gambar 4: CCTA turut menguruskan pembinaan perigi yang dibiayai atau diwakafkan oleh penderma. Untuk makluman di kampung ini masih belum ada bekalan paip air bersih. (Gambar dari album CCTA). 




Gambar 5: Selain menguruskan sumbangan dari Malaysia, CCTA juga banyak menerima sumbangan termasuk kunjungan dari penderma-penderma dari Singapura. Gambar di atas adalah penyampaian sumbangan dari seorang penderma dari Singapura. (Gambar dari album CCTA). 



Gambar 6: Ustad Badri juga turut mengajar agama kepada kaum wanita (termasuk juga lelaki) di sana yang sangat berminat untuk belajar. (Gambar dari album CCTA). 


Gambar 7: Pada hujung tahun lepas saya telah mengikuti rombongan ke sebuah kampung iaitu Kampong Krong di Kemboja. Kita menyedekahkan seekor lembu untuk dimasak oleh penduduk kampung untuk dimakan bersama-sama. Kami makan dengan sangat berselera, beralaskan tikar plastik di tebing Sungai Mekong. Di sini saya melihat sendiri kedaifan kehidupan penduduk Islam yang saya difahamkan cuma dapat makan daging setahun sekali sewaktu Hari Raya Haji. Itupun kalau ada orang yang berkorban.


Gambar 8: Kaum wanita dengan sabar menunggu pengagihan sedikit sumbangan dari ahli-ahli rombongan kami.


Di sini saya ingin menjemput pembaca blog saya yang mana kita belum friend di fesbuk untuk turut menginfakkan sebahagian dari harta yang dipinjamkan oleh Allah bagi membantu mereka yang memerlukan. Silalah join laman Malaysia Cambodia Charitable Group di fesbuk seperti yang saya sebutkan di atas. Di sana ada maklumat projek yang telah, sedang dan yang akan dilaksanakan serta cara-cara menyampaikan sumbangan. 


Mungkin ada di antara anda yang tidak dapat menyumbang kerana sudah membuat komitmen menderma kepada lain-lain NGO kebajikan seperti untuk rakyat Palestine, Syria atau madrasah tahfiz di Malaysia dan sebagainya. Teruskanlah usah murni itu.  Grup MCCG ini adalah untuk menyediakan peluang kepada anda yang mampu dan ingin turut sama bersedekah kepada insan yang lebih memerlukan. Banyak atau sedikit sumbangan bukan ukuran kerana walaupun hanya RM20 yang anda mampu sumbangkan, ia amat besar maknanya bagi orang di sana.


Sesungguhnya Allah pasti akan membalas sedekah kita yang dibuat keranaNya. Cuma yang berbeza mungkin bentuk dan masanya. Mungkin ia dalam bentuk wang dan harta, kesihatan yg baik, dihindari dari mudharat, diampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan mungkin juga sebagai asbab dimasukkanNya kita ke dalam syurga. Insyaallah.

Nota kaki.



Tulisan Ustaz Badri tentang dirinya yang saya petik dari laman MCCG:

AssalamuAlaikom wbt...
Pertama kali saya ingin mengucapkan syukur dan Alhamdulillah terlebih dahulu kepada Allah swt atas segala nikmat dan rahmatnya..dan seterusnya saya ingin mengucapkan jutaan terimakasih dan jazakumullah khaira kepada pacik Hamzah Abd Hamid dan semua sahabat2Nya yang dapat membantu orang2 yang lebih memerlukan sebelom ini dan seterusnya dikalangan orang2 islam yang amat daif dan susah di wilayah kampot kemboja ini...
#saya ingin memaklomkan bahawa nama islam saya Ustaz Badri Yunos dan nama saya dalam bahasa kemboja NOS PETRY..
Pada awal tahun 2008 saya pergi ke Malaysia sebagai guru tahfis di sebuah sekolah agama di Pulau Pinang tasek gelugor selama 3 tahun.
Kemudian saya melanjutkan pengajian saya di Kolej University Insaniah di kedah Alostar bahagian syariah(bachelor)...dan saya tamat pengajian pada tahun 2015...
Selapas saya balik dari Malaysia saya buka kelas farduain untuk para ibu2 di kg saya sendiri yang mana mereka ini sangat2 daif dalam bidang solat puasa dan lain2, mereka tak pernah belajar apa2 tantang agama islam pada zaman kecil mereka dengan sebab kekurangan sekolah dan guru agama dan khususnya berlakunya peperangan komonis pada zaman mereka yang terkenal dengan nama POLPOT(Masjid dan sekolah dibakar atao dijadikan tempat peliharaan babi, dan para ulama' dibunuh dan Alkoran dibakar.
Selapas tentera komonis kalah dalam peperangan dengan tentera kerajaan pada tahun 1975 negara kemboja diisytiharkan aman dan selamat...
Selapas tamatnya peperangan kehidupan orang islam sangat2 daif dan lemah mereka sangat memerlukan bantuan dan pertulongan Ruhani dan badani hingga hari ini.
Jadi selapas saya balik dari Malaysia pada awal tahun 2015 saya dapat buka persatuan yang bernama CAMBODIAN CHARITABLE TRUST ASSOCIATION yang sudah berdaftar dengan pihak kementrian dalam negari tujuan mencari dana dan sumbangan untuk membantu mana2 orang2 islam yang susah dan fakir miskin....
Dengan ini saya amat bersyukur dan terimakasih kepada semua penderma2 yang dapat menghulurkan bnatuan...dan saya harap bantuan ini berterusan sekadar dari kemampuan kita yang ada untuk orang² yang lebih memerlukan..Insya Allah....