Saturday, February 13, 2021
SAYA INGIN BERHIBERNASI.
Thursday, February 11, 2021
EK 3: KELUAR KEPUTUSAN.
Setelah habis peperiksaan saya pun balik ke kampung saya di Bukit Gajah, Pelangai meneruskan kehidupan cara kampung, menoreh getah. Saya pun tidak ambil kisah sangat tentang keputusan peperiksaan kerana tidak yakin akan lulus. Saya juga tidak tahu bila keputusan peperiksaan keluar kerana tiada siapa beritahu. Tv tak ada, radio tak ada, surat khabar pun tak ada. Saya juga tidak membuat sebarang persediaan misalnya ambil borang permohonan masuk universiti, memohon biasiswa dan sebagainya.
Satu hari saya terserempak dgn Cikgu MN (arwah), bekas guru sekolah rendah saya. Dari jauh dia sudah tersenyum dan kemudian mengucapkan tahniah kepada saya. Saya pun bertanya dia ucap tahniah untuk apa. Dia beritahu, saya lulus peperiksaan STP dan nama saya ada keluar dalam surat khabar Strait Times. Sememangnya pada masa tu nama2 pelajar yang lulus peperiksaan STPM, keluar surat khabar. Masa kami berjumpa tu kalau tak silap saya sudah lebih seminggu keputusan keluar. "Cuba pergi tengok kat kedai Cikgu B sebab dia ada berlanggan surat khabar tu". Beliau mencadangkan. Apa lagi saya pun bergegas ke kedai tersebut untuk menengok keputusan peperiksaan saya. Dalam hati saya berdoa agar surat khabar hari berkenaan masih ada lagi tersimpan. Sampai di kedai Cikgu B, saya minta izin tuan kedai untuk menengok surat khabar yang dimaksudkan. "Cuba tengok kek situ, kok ado laei" kata tuan kedai.
Saya pun meluru ke arah surat khabar yang terletak di satu sudut. Dengan segera saya menyelak surat khabar yang tersusun rapi untuk mencari surat khabar hari berkenaan yang sudah pun terlepas ke bawah. Bila terjumpa, saya dengan gelojoh mencari muka surat yang ada nama sekolah tempat saya ambil peperiksaan. Bila terjumpa nama sekolah dan nama saya, terus hati saya melonjak gembira. Satu rasa gembira yang belum pernah saya rasai sebelumnya. Macam tak percaya saya telah berjaya dalam cubaan pertama mengambil STPM dengan segala macam kekurangan dan kekangan. Sungguh manis kejayaan ini. Namun saya kawal diri supaya tidak menjerit, kerana saya sedar saya berada dalam kedai orang. Dua tiga kali saya tengok nama saya. Sah cuma nama saya sahaja yang tertera di bawah nama sekolah tersebut sedangkan yang ambil peperiksaan beratus2 orang. "Takkan aku seorang sahaja yang lulus", bisik hati saya. Tapi tak kisahlah. Yang penting saya lulus dan harus segera memberitahu keluarga kerana mereka masih belum tahu lagi.
Saya pun mengayuh basikal dengan lajunya sambil tersenyum riang balik ke rumah. Kelajuannya mungkin kalah johan lumba basikal peringkat olimpik. Mahu sahaja saya menjerit memberitahu semua orang yang saya jumpa di kiri kanan jalan yang saya sudah lulus peperiksaan STPM.
Keesokan harinya, saya terus ke sekolah utk mengambil slip keputusan. Pada masa itu saya tidak berjumpa kawan2 yang sama2 belajar dahulu. Bila dah dapat slip keputusan barulah saya tahu 'score' yang saya dapat bagi setiap kertas. Saya lulus dengan mendapat Prinsipal dalam semua 4 mata pelajaran yang saya ambil. Saya juga mcm tak percaya boleh dapat Prinsipal A dalam kertas BM. Yang lebih menggembirakan, saya lulus Kertas Am yang merupakan kertas wajib lulus sebagai syarat untuk diterima masuk ke Universiti walaupun saya menyangka akan gagal kertas ini atas sebab yang telah saya ceritakan dalam episod sebelum ini. Saya percaya ini semua berkat doa keluarga saya, terutamanya doa arwah ibu saya. Alhamdulillah. Syukur kepada Mu ya Allah.
Sekian.
Thursday, February 4, 2021
EK 2: MENEMPUH PEPERIKSAAN.
Pusat peperiksaan bagi calon STPM daerah Kuala Pilah adalah di Sekolah Tuanku Muhammad. Ia tak jauh dari sekolah Menengah Za'ba, tempat saya belajar semasa di tingkatan 6. Pelajar yang ambil peperiksaan digabungkan dengan calon persendirian, kebanyakannya guru sekolah lulusan maktab perguruan.
Sepanjang tempoh peperiksaan, saya tak ingat berapa lama, saya menumpang di rumah Mak Cik saya di Kampung Serting Hilir, kira-kira 20 km dari sekolah. Semuanya berjalan lancar kecuali pada hari peperiksaan Kertas Am, bas dari Bahau ke Kuala Pilah, telah terlewat dari biasa. Kertas Am adalah subjek yang sangat penting, kerana ia wajib lulus sebagai syarat untuk masuk Universiti. Saya sangat gelisah semasa menunggunya. Akhirnya bila bas sampai, saya melompat naik untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Pilah. Terasa bas berjalan sangat perlahan. Mahu saja rasanya saya menyuruh pemandu bas bawa laju dan jangan berhenti mengambil atau menurunkan penumpang. Nasib baik bas yang saya naiki tidak mengalami kerosakan di tengah jalan. Kalau tidak tak taulah apa nak jadi.
Dari stesyen bas untuk sampai ke pusat peperiksaan, saya perlu berjalan kaki yang jaraknya lebih kurang 1.5 km. Semasa saya berjalan laju menuju tempat peperiksaan, saya kerap memandang ke belakang, dengan harapan ada orang yg sudi menumpangkan. Kira-kira satu pertiga perjalanan, tetiba ada sebuah Vespa yg ditunggang seorang lelaki berhenti dan bertanya arah tujuan saya. Setelah diterangkan, dia pun mempelawa saya menaiki motornya. Apa lagi terus saya memboncengnya. Sesampainya ke pusat peperiksaan, masa telah berlalu lebih setengah jam. Sebaik turun dari motor yang saya bonceng, saya pun berlari menuju ke bilik peperiksaan di tingkat satu. Nasib baik penyelia membenarkan saya masuk. Tanpa berlengah dengan nafas yang termengah2, saya pun mula menjawab soalan secepat yang boleh sehingga masa tamat. Saya akui bahawa saya tidak dapat menjawab semua soalan dengan baik. Tulisan sendiri pun mungkin susah atau tak dapat saya baca. Redha dan berserah sahajalah. Apa lagi yang boleh dibuat.
Adakah saya lulus percubaan pertama saya mengambil peperiksaan STPM, tunggu episod seterusnya.
.. bersambung.