Wednesday, January 31, 2018

WW # 158: DIA BUKAN MENGANDUNG.


Thursday, January 18, 2018

ADAB SEBAGAI TETAMU

Ilustrasi hiasan hasil carian Google.

Saya pernah tulis adab melayan tetamu makan sebelum ini di sini. Kali ini saya ingin sentuh adab sebagai tetamu pula. Saya tahu memang dah banyak orang tulis. Bahkan ugama Islam telah sejak sekian lama memberikan panduan yang terbaik tentangnya. Namun saya ingin menyumbang mengikut sudut pandangan komensen pula.

1. Elok minta izin lebih awal kalau nak datang supaya tidak letakkan tuan rumah dalam keadaan serba salah kalau tetiba kita terjongol depan pintu rumahnya. Mungkin tuan rumah tidak bersedia terima tetamu atau ingin keluar untuk urusan tertentu kecuali kita tak kisah tuan rumah ada ke tidak. Misalnya nak hantar kad jemputan kawin. Kalau tuan rumah tak ada, lagi bagus. Kita boleh masukan kad tersebut dalam peti surat rumahnya. Saya sendiri pun telefon anak saya kalau nak pergi rumahnya, takut dia balik kampong mertuanya. 

2. Datanglah dalam waktu yang sesuai. Usahlah datang waktu lewat malam ketika orang nak masuk tidur atau terlalu awal,  waktu orang baru bangun tidur, kecuali telah ada persetujuan dengan tuan rumah sebelum itu atas hal yang sangat mustahak.

3. Kalau boleh bawalah sedikit buah tangan untuk tuan rumah atau anaknya. Lagi bagus kalau dapat bawa fevretnya, kalau kita tahu. Fevret saya adalah cendawan busut. Saja nak beritahu.

3. Kalau datang tanpa janji temu, tekan loceng atau beri salam sampai tiga kali. Kalau tak ada jawapan eloklah beredar. Usah cuba panjat pagar atau mengintai-intai dari celah tingkap untuk pastikan tuan rumah benar-benat tak ada di rumah.

4. Bila dah masuk, duduklah atas kerusi yang ditunjukan oleh tuan rumah atau kerusi yang sesuai. Jangan pulak duduk di "rocking chair" tuan rumah. Atau cuba-cuba nak ejas kerusi untuk tarik keluar tempat letak kakinya.

5. Kalau bawak anak kecik pastikan anak-anak kita tidak buat rumah orang macam rumah dia sendiri. Kalau boleh pegang dia dari mengusik barang tuan rumah apalagi barang yang mudah pecah.

6. Jangan beri 'nasihat percuma'  tentang susun atur perabot atau pilihan warna langsir, permaidani dsb kecuali diminta.

7. Bila masa minum jika diberi oleh tuan rumah, pastikan juga anak-anak kita bertamaddun di meja makan. Nanti kecewa tuan rumah jika "noritake'nya hancur berkecai.

8. Jangan terlalu lama duduk. Selepas selesai makan atau minum eloklah cepat beredar kecuali tuan rumah kunci pintu tak bagi kita keluar sebab dia tak puas berbual dengan kita.

9. Ucapkan terima kasih kepada tuan rumah atas layanan yang diberi dan jangan lupa ajak dia berkunjung ke rumah kita pula.

Demikianlah sedikit sebanyak adab kita sebagai tetamu. Yang lain-lain tu anda bolehlah tambah sendiri, mengikut kesesuaian.





Wednesday, January 17, 2018

WW # 158: DEN KAYO !




Monday, January 15, 2018

LAWATAN KEMBOJA # 3: PENGALAMAN BERGAYA MELAYARI SUNGAI MEKONG.

Sungai Mekong adalah sungai yang ke 12 terpanjang di dunia dan ke 7 di Asia. Ia merentasi 6 negara iaitu bermula negara China, melalui negara Myanmar, Laos, Thailand, Cambodia dan Vietnam, sepanjang kira-kira 4,350 km. Semasa saya melawat Ho Chi Minh beberapa tahun lagu, teringin juga saya nak naik kapal besar bersiar-siar di sungai Mekong tapi cuma berkesudahan dengan menaiki sampan sahaja. Kali ini hajat saya itu tertunai dengan bergaya.


Gambar 1: Kelihatan kapal yang kami sewa khas untuk rombongan kami. sebelum naik saya pun tak tahu itu sebenarnya kapal untuk rombongan kami. Ingatkan naik sampan lagi.


Gambar 2: Bila dah ada beberapa ahli rombongan, barulah saya tahu
inilah kapal yang akan membawa kami 'voyage to no where'
'

Gambar 3: Siapa nak booking boleh telefon nombor yang tertera di situ.


Gambar 4: Kelihatan makanan malam kami sudah tersedia di bahagian bawah kapal. Makanan itu ditempah khas dari salah sebuah restoran Islam di bandaraya ini yang kami pernah makan sebelum ini.


Gambar 5: Nun jauh kelihatan di sebelah kanan sebuah bangunan, kalau tak silap saya adalah sebuah istana raja. Itulah masalahnya kalau tak ambil perhatian semasa penerangan diberikan oleh pemandu pelancong.
.

Gambar 6: Kami berada ditengah-sungai. Bayangkan lebar sungai ini.


Gambar 7: Kelihatan kampung air penempatan orang Champa beragama Islam. Perahu inilah jadi rumah tangga mereka. Mereka hidup samada sebagai nelayan atau bekerja di bandar. Bagusnya kalau ada yang berkecil hati dengan jiran, tengah malam boleh pindah ke tempat lain.


Gambar 8: Bersantai sambil makan buah longan dan mata kucing yang dibeli oleh beberapa orang kawan sebelum kami menikmati makan malam.


Gambar 9: Berkesempatan bergambar dengan jiran sebelah rumah saya yang ikut serta dalam rombongan kami.


Gambar 10: Merasa juga kena tiupan angin yang agak kencang dengan membawa sedikit hujan. Mujur tidak berlamaan sebelum keadaan kembali pulih.


Gambar 11: Menikmati makan malam di bahagian atas kapal yang belayar sambil melihat keindahan mentari terbenam.


Gambar 12: Hotel yang terbesar di bandaraya Phnom Penh.  Bagi kebanyakan rakyat Kemboja, ia hanya mampu dipandang sahaja.


Gambar 13: Bagi yang malas nak naik ke atas, boleh saja duduk-duduk kat bahagian bawah. Lagi dekat dengan makanan.


Gambar 14:  Menaiki tangga selepas penat belayar. Bagi yang lutut yang tak berapa sihat macam saya, satu masalah juga nak daki bukit ni.

Saya balik ke hotel dengan rasa sangat puas. Puas dapat belayar di Sungai Mekong sambil melihat keindahan suasana bandaraya Phnom Penh di waktu malam. Sempat juga mendengar lauangan azan yang sayup-sayup di bawa angin dari kawasan penempatan orang-orang Champa yang berumah di atas sampan dan juga di tebingan sungai. Terima kasih Allah atas keizinan dan limpah kurnia Mu dapat saya merasai pengalaman ini.


Saturday, January 13, 2018

LOBAI SALLEH PART 4: BELAJAR TAJWID

Gambar hiasan hasil carian Google.

Setelah dua kali mengikuti kelas tajwid di surau, lobai Salleh mengambil keputusan untuk berhenti dengan alasan dia segan sebab tak pandai mengaji macam orang-orang lain.

* Siapa lobai Salleh ni. Klik sini kalau nak tahu.

Wednesday, January 10, 2018

WW # 157: BERCANDA DI SUNGAI MEKONG.





Tuesday, January 9, 2018

JANGAN UKUR BAJU KAT BADAN ORANG.

Ilustrasi hiasan hasil carian Google.

Kata orang tua-tua, ukur baju di badan sendiri. Pilihan sentiasa ada yang bersesuaian dengan kemampuan kita. 


Tak mampu beli kereta, naik bas.

Tak mampu masuk hospital swasta, pergi hospital kerajaan.


Tak mampu masuk Tadika Smart Reader, masuk tadika KEMAS.


Tak mampu melancong ke Switzerland, melancong ke Langkawi.


Tak mampu makan nasi kandar Line Clear, makan nasi bajet.


Tak mampu beli kasut Adidas, beli kasut BATA.


Tak mampu mancing kat kolam berbayar, mancing kat lombong tinggal.


Tak mampu pakai gelang Habib, pakai gelang Zhulian.


Tak mampu tengok ASTRO, tengok tv percuma.


Tak mampu pakai Samsung Galaxy 8, pakai Samsung J1.


Tak mampu beli beras wangai cap Naga Mutiara, beli beras biasa cap Rambutan.


Masalah timbul bila kita nak juga beli benda yang kita tak mampu walaupun ada pilihan lain yang membolehkan kita terus bernafas. Jadi jangan merungut kalau hidup sentiasa tertekan kerana kesempitan.




Saturday, January 6, 2018

MELAWAT KEMBOJA # 2: SUMBANGAN DAN JAMUAN.

Pada hari ke dua, kami dibawa melawat madrasah tahfiz. Bangunan ini dibiayai pembinaanya dari penderma-penderma Malaysia. Ia tidak jauh dari bangunan masjid besar kampong Cham yang telah saya ceritakan dalam entri sebelum ini dan berhadapan dengan rumah pak mertua imam.

Gambar 1: Dalam perjalanan kami dari airport ke Kampong Cham, kami singgah menukar wang ke matawang tempatan  yang dikumpul dari kalangan ahli rombongan. Memang negara ini cukup selamat, urusan penukaran wang dibuat secara terbuka tanpa ada dinding/cermin pemisah di antara pelanggan dan petugas seperti di Malaysia yang menyebabkan kadang-kadang nak bercakap pun susah.

\Gambar 2: Makan malam kami dilayan oleh pelajar-pelajar tahfiz dengan penuh mesra dan sopan. Salah satu menunya ialah goreng ikan haruan masin, bagi saya amat menyelerakan.

Gambar 3: Sarapan pagi di tempat yang sama.  Kami dihidangkan dengan nasi goreng. Susu pula tambah sendiri ikut selera dan had masing-masing.

Gambar 4: Inilah bangunan madrasah yang saya sebutkan di atas tadi. Terdapat 82 orang pelajar tahfiz lelaki dan perempuan di sini, di mana menurut pengetuanya, 100% dibiayai pengajiannya oleh orang-orang dari Negeri Sembilan. Ibu bapa tidak perlu membayar apa-apa. Kalau dikenakan bayaran akan tiadalah pelajar yang belajar di sini kerana ibu bapa mereka rata-rata adalah orang miskin dan tidak mampu untuk membayarnya.

Gambar 5: Cuba perhatikan ada bendera Malaysia berkibar sebelah menyebelah dengan bendera Kemboja, semasa perasmiannya dahulu. Gambar ini adalah ehsan ketua rombongan yang turut hadir semasa perasmiannya. Ia merupakan satu satunya bangunan batu tiga tingkat di kampung ini. Bangunan ini terpaksa dibuat begitu untuk memaksimakan ruang kerana harga tanah adalah mahal di sini.

Gambar 6:  pelajar-pelajar tahfiz sedang berada di tempat masing-masing. Kami menguji bacaan mereka seperti yang dibuat dalam pertandingan hafazan yang biasa kita lihat di kaca tv. Mana-mana pelajar yang dapat menyambung ayat yang kita baca dengan betul, akan mendapat hadiah.  

Setelah selesai menyantuni pelajar-pelajar tahfiz dan menyampaikan sedikit sumbangan, kami bergerak ke kampong Krong kira-kira sejam perjalanan. Jalan masuk ke kampung ini masih lagi jalan tanah merah dan khabarnya di musim banjir jalan dan kampung ini akan ditenggelami air.  

Gambar 7: Semasa kami mahu solat di masjid di sini, saya sempat mengambil gambar kanak-kanak yang diberi makan dahulu sebelum kami pula mengambil giliran selepas solat.

Gambar 8: Kelihatan pepohon bambu di tebing sungai Mekong sebagai latar belakang yang mendamaikan.

Gambar 9: Kami dijamu dengan gulai lembu yang kami beli dari wang derma yang terkumpul di kalangan peserta. Wang pembelian telah dikirim terlebih dahulu oleh penganjur. Penduduk kampung telah memasaknya secara bergotong royong.

Gambar 10: Sudah lama saya tidak makan secara berkelah seperti ini. Saya ada masalah sikit nak makan banyak kerana perut tersepit. Hehe.

Gambar 11: Menjamu selera beralaskan tikar plastik, di tepi sungai Mekong di kelilingi pepohon buluh yang hidup meliar adalah suatu pengalaman yang menyeronokan bagi orang bandar. Saya sebagai pemancing, perkara itu sudah  biasa bahkan lebih teruk dari itu pun pernah saya alami.

Usai menjamu selera kami ke kawasan lapang di depan masjid untuk mengagihkan kudap-kudapan kepada kanak-kanak dan juga menyampaikan sumbangan kewangan kepada semua yang ada.

Gambar 12: Kelihatan kanak-kanak lelaki dan perempuan sedang beratur sambil duduk atau mencangkung menunggu giliran mendapat pemberian dari kami. Makngahnya yang bertudung hitam di belakang tu kelihatan menekup muka, mungkin terkesan dengan apa yang dilihatnya.

Gambar 13: Salah seorang anggota rombongan mengagihkan coklat kepada kanak-kanak yang setia menunggu.

Gambar 14: Kaum ibu sedang duduk beratur dengan sabar menantikan kami menghulurkan sumbangan. Kelihatan di belakang sana bas berwarna merah yang membawa rombongan kami di sepanjang lawatan.

Gambar 15: Kelihatan orang dewasa dan remaja lelaki yang duduk dan mencangkung di tangga masjid, menunggu sumbangan dari rombongan kami. Walaupun kadarnya mungkin tidak banyak bagi sebahagian dari kami, tetapi jumlah itu cukup membuatkan mereka tersenyum lebar. 
Gambar 16: Beginilah keadaan sebuah rumah orang sini yang bahagian bawahnya diperbuat dari buluh yang telah dibelah-belah.

Gambar 17: Pemandangan kampung Krong dengan deretan rumah-rumah yang berkeadaan sangat daif.

Sungguh pun lawatan kami ke kampung ini sebentar cuma (kira-kira 3 jam sahaja) namun ia meninggalkan kesan yang besar kepada diri saya. Saya teringat keadaan kehidupan keluarga saya di awal tahun 60an yang tidak banyak beza dengan keadaan rumah dan kehidupan  mereka sekarang. Melihat kedaifan dan kesusahan hidup mereka, membuatkan saya merasa sangat bersyukur di atas rahmatNya mengurniakan segala nikmat yang melimpah ruah kepada saya selama ini. 


Thursday, January 4, 2018

MELAWAT KEMBOJA # 1. GURINDAM JIWA MEMBAWA KU KE SANA.


Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.


Itulah serangkap bait-bait senikata dari lagu Gurindam Jiwa nyanyian R. Ismail dan Rafeah Buang dari filem berjudul yang sama, yang sangat saya minati.

Saya bersama isteri mengikuti lawatan ke Kemboja dari 25 hingga 28 Disember 2017. Saya telah lama menyimpan hasrat untuk melawat negara tersebut kerana pelbagai sebab. Nama Kemboja juga tidak asing lagi dalam perbendaharaan Bahasa Melayu. Misalnya dalam lagu lama seperti di atas.

Rombongan kami seramai 38 orang terdiri dari rakan2 saya dan juga rakan2 Makngahnya.  Saya bercadang untuk membuat beberapa entri mengenai lawatan ini dan dimulai dengan entri ini mengenai kunjungan atau persinggahan di beberapa buah masjid di sana.


Gambar 1: Persinggahan pertama dalam perjalanan menuju Kampong Cham untuk bermalam di sana. Sila tumpukan perhatian kepada kubah masjid tersebut. Ia mengingatkan saya kepada kubah masjid Sultan Salahuddin di Shah Alam. Kita singgah solat jamak Zuhur dan Asar di sini. Sungguh cantik senibinanya. 



Gambar 2: Beginilah keadaan dalaman masjd tersebut. Juga sungguh indah dan halus ukirannya.




Gambar 3:  Bergambar ramai dengan sebahagian anggota rombongan. Yang selebihnya mungkin dalam bilik air kot.


Gambar 4: Betul-betul bersebelahan masjid tersebut terdapat sebuah madrasah. Saya tertarik dengan tulisan rumi yang menggunakan ejaan Bahasa Melayu. Saya sempat juga berbual dengan beberapa orang ustaz yang mengajar di sini dalam Bahasa Melayu.


Gambar 5:   Di hari kedua kami bersolat Subuh di sini. Masjid ini terletak di Kampong Cham, kira-kira 2 jam perjalanan menaiki bas dari lapangan terbang. Menurut imamnya, masjid ini dibiayai 90% oleh orang-orang Malaysia yang kebanyakan penyumbangnya adalah orang Negeri Sembilan. Imam masjid ini pernah datang ke surau saya di Lavender Heights beberapa tahun lalu untuk mengumpul derma.


Gambar 6: Kawasan solat jemaah wanita yang bertirai hanya di sebelah hadapannya sahaja.


Gambar 7: Usai solat Subuh, dengar tazkirah yang disampaikan oleh ketua rombongan kami yang diterjemahkan ke bahasa Khmer untuk faedah jemaah tempatan oleh imam masjid ini.


Gambar 8: Rombongan wanita kami tidak melepaskan peluang bergambar dengan imam masjid. 


Gambar 9: Jemaah lelaki juga tidak mahu ketinggalan bergambar dengan imam masjid ini.


Gambar 10: Ahli rombongan lelaki terpukau dengan keindahan hiasan dalaman masjid ini.


Gambar 11: Saya sempat bergambar dengan Imam masjid yang baru berusia 36 tahun dan punya dua orang anak perempuan.


Gambar 12: Kami diberi taklumat oleh imam yang bertanggungjawab mengumpul dana, menyediakan reka bentuk dan menyelia pembinaannya dari mula sampai siap. Masjid ini dirasmikan sendiri oleh Hun Sen, Perdana Menteri, Kemboja pada masa ini. Saya kagum dengan usaha dan pengorbanannya sehingga sampai terpaksa menjadikan geran rumah mertuanya sebagai cagaran semasa proses pembinaannya.



Gambar 13: Masjid yang tersergam indah di sekelilingi oleh bangunan rumah-rumah lama dan usang milik orang Islam di sekitarnya. Saya diberitahu bahawa keseluruhan kosnya adalah lebih kurang RM3 juta dalam duit kita.



Gambar 14:  Pada hari yang kedua juga, saya berkesempatan bersolat jamak Zhuhur dan Asar di masjid kampng Krong ini sebelum menghadiri jamuan rakyat dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk di sini. Saya akan buat entri khas mengenai program itu nanti.


Gambar 15: Pada hari yang ke tiga, rombongan kami sempat singgah bersolat  jamak Zuhur dan Asar di masjid Pakistan di kotaraya Phnom Penh. Khabarnya masjid ini sentiasa meriah dengan kunjungan orang-orang Islam kerana ia terletak di tengah-tengah bandar terutamanya pada hari Jumaat.



Gambar 16: Kelihatan wayar elektrik berselirat di tepi jalan berhadapan masjid tersebut. Seriau saya menengoknya. Kelihatan juga "tuk tuk" satu mod pengangkutan awam yang popular di sini, yang tidak terdapat di negara kita.



Gambar 17: Dalam perjalanan balik ke lapangan terbang kita sempat singgah untuk bergambar sahaja kerana kesuntukan masa.


Semoga ugama Islam terus berkembang di negara yang ugama rasminya adalah ugama Budha. Sama-samalah kita doakan kehidupan orang-orang Islam di sini sentiasa dalam keadaan aman dan bertambah maju selepas beratus-ratus ribu rakyat beragama Islam disiksa dan dibunuh dengan kejam semasa pemerintahan rejim Pol Pot sekitar tahun 1976-1979 dahulu.