Pada hari ke dua, kami dibawa melawat madrasah tahfiz. Bangunan ini dibiayai pembinaanya dari penderma-penderma Malaysia. Ia tidak jauh dari bangunan masjid besar kampong Cham yang telah saya ceritakan dalam entri sebelum ini dan berhadapan dengan rumah pak mertua imam.
Gambar 1: Dalam perjalanan kami dari airport ke Kampong Cham, kami singgah menukar wang ke matawang tempatan yang dikumpul dari kalangan ahli rombongan. Memang negara ini cukup selamat, urusan penukaran wang dibuat secara terbuka tanpa ada dinding/cermin pemisah di antara pelanggan dan petugas seperti di Malaysia yang menyebabkan kadang-kadang nak bercakap pun susah.
\Gambar 2: Makan malam kami dilayan oleh pelajar-pelajar tahfiz dengan penuh mesra dan sopan. Salah satu menunya ialah goreng ikan haruan masin, bagi saya amat menyelerakan.
Gambar 3: Sarapan pagi di tempat yang sama. Kami dihidangkan dengan nasi goreng. Susu pula tambah sendiri ikut selera dan had masing-masing.
Gambar 4: Inilah bangunan madrasah yang saya sebutkan di atas tadi. Terdapat 82 orang pelajar tahfiz lelaki dan perempuan di sini, di mana menurut pengetuanya, 100% dibiayai pengajiannya oleh orang-orang dari Negeri Sembilan. Ibu bapa tidak perlu membayar apa-apa. Kalau dikenakan bayaran akan tiadalah pelajar yang belajar di sini kerana ibu bapa mereka rata-rata adalah orang miskin dan tidak mampu untuk membayarnya.
Gambar 5: Cuba perhatikan ada bendera Malaysia berkibar sebelah menyebelah dengan bendera Kemboja, semasa perasmiannya dahulu. Gambar ini adalah ehsan ketua rombongan yang turut hadir semasa perasmiannya. Ia merupakan satu satunya bangunan batu tiga tingkat di kampung ini. Bangunan ini terpaksa dibuat begitu untuk memaksimakan ruang kerana harga tanah adalah mahal di sini.
Gambar 6: pelajar-pelajar tahfiz sedang berada di tempat masing-masing. Kami menguji bacaan mereka seperti yang dibuat dalam pertandingan hafazan yang biasa kita lihat di kaca tv. Mana-mana pelajar yang dapat menyambung ayat yang kita baca dengan betul, akan mendapat hadiah.
Setelah selesai menyantuni pelajar-pelajar tahfiz dan menyampaikan sedikit sumbangan, kami bergerak ke kampong Krong kira-kira sejam perjalanan. Jalan masuk ke kampung ini masih lagi jalan tanah merah dan khabarnya di musim banjir jalan dan kampung ini akan ditenggelami air.
Gambar 7: Semasa kami mahu solat di masjid di sini, saya sempat mengambil gambar kanak-kanak yang diberi makan dahulu sebelum kami pula mengambil giliran selepas solat.
Gambar 9: Kami dijamu dengan gulai lembu yang kami beli dari wang derma yang terkumpul di kalangan peserta. Wang pembelian telah dikirim terlebih dahulu oleh penganjur. Penduduk kampung telah memasaknya secara bergotong royong.
Gambar 10: Sudah lama saya tidak makan secara berkelah seperti ini. Saya ada masalah sikit nak makan banyak kerana perut tersepit. Hehe.
Gambar 11: Menjamu selera beralaskan tikar plastik, di tepi sungai Mekong di kelilingi pepohon buluh yang hidup meliar adalah suatu pengalaman yang menyeronokan bagi orang bandar. Saya sebagai pemancing, perkara itu sudah biasa bahkan lebih teruk dari itu pun pernah saya alami.
Usai menjamu selera kami ke kawasan lapang di depan masjid untuk mengagihkan kudap-kudapan kepada kanak-kanak dan juga menyampaikan sumbangan kewangan kepada semua yang ada.
Gambar 12: Kelihatan kanak-kanak lelaki dan perempuan sedang beratur sambil duduk atau mencangkung menunggu giliran mendapat pemberian dari kami. Makngahnya yang bertudung hitam di belakang tu kelihatan menekup muka, mungkin terkesan dengan apa yang dilihatnya.
Gambar 13: Salah seorang anggota rombongan mengagihkan coklat kepada kanak-kanak yang setia menunggu.
Gambar 14: Kaum ibu sedang duduk beratur dengan sabar menantikan kami menghulurkan sumbangan. Kelihatan di belakang sana bas berwarna merah yang membawa rombongan kami di sepanjang lawatan.
Gambar 15: Kelihatan orang dewasa dan remaja lelaki yang duduk dan mencangkung di tangga masjid, menunggu sumbangan dari rombongan kami. Walaupun kadarnya mungkin tidak banyak bagi sebahagian dari kami, tetapi jumlah itu cukup membuatkan mereka tersenyum lebar.
Gambar 16: Beginilah keadaan sebuah rumah orang sini yang bahagian bawahnya diperbuat dari buluh yang telah dibelah-belah.
Gambar 17: Pemandangan kampung Krong dengan deretan rumah-rumah yang berkeadaan sangat daif.
Sungguh pun lawatan kami ke kampung ini sebentar cuma (kira-kira 3 jam sahaja) namun ia meninggalkan kesan yang besar kepada diri saya. Saya teringat keadaan kehidupan keluarga saya di awal tahun 60an yang tidak banyak beza dengan keadaan rumah dan kehidupan mereka sekarang. Melihat kedaifan dan kesusahan hidup mereka, membuatkan saya merasa sangat bersyukur di atas rahmatNya mengurniakan segala nikmat yang melimpah ruah kepada saya selama ini.
Kenapa kebanyakan minoriti islam di sesebuah negara bukan islam mesti terdiri dari golongan yang miskin? Zaman sekarang wang adalah ukuran...yang miskin pasti ditindas...
ReplyDeletetidak semua negara begitu .. misalnya di Afrika Selatan, org2 Islam boleh dikatakan kaya2 belaka.
DeleteJauh perjalanan luas pemandangan.
ReplyDeleteSuatu perkongsian yang menarik dan menyentuh perasaan.
Semoga penderma-penderma yang berkenaan diluaskan lagi pintu rezeki mereka.
itulah janji Allah kpd mereka yg ikhlas berinfak atas jalanNya.
DeleteSatu pemandangan yang menyentuh kalbu. Semuga Allah murahkan rezeki semua penderma dan semuga rakyat kemboja bertambah makmur kehidupan rakyatnya. Aamiin
ReplyDeleteAmin. Janganlah hendaknya Allah uji kita dgn ujian yg mereka terima kerana kita tidak sekuat mereka.
Delete