Wednesday, December 30, 2009

HABIS NAK PERCAYA SIAPA LAGI ?



Apa dah jadi, apa nak jadi ? Dunia dah nak kiamat. Sudahlah dia tu imam, yang di cabul pemuda pulak tu ! Astagfirullah. Habis siapa lagi yang kita nak percaya, kalau dah imam pun jadi macam ni. Dulu-dulu kalau ada masalah, kita jumpa imam, minta nasihat dan pandangannya.  Sekarang kalau kita ada masalah ... tak tahu kepada siapa nak mengadu lagi.  Aduhai ...!


Apa dah jadi, apa nak jadi ?
Makin lama makin menjadi-jadi,
Tahun baru Masihi dua hari lagi,
Pasti berlaku macam-macam perbuatan keji,
Lindungi lah kami ya Rabbi ya Ilahi wahai  tuhan kami,
Dari bencana tsunami dan gunung berapi,
Dari taufan dan banjir menenggelam negeri,
Hanya ihsan Mu sahaja yang mampu menyelamatkan kami.

Tuesday, December 29, 2009

TAK COLOK MATA ...!


(Berita Hairan Harian - 3 Disember 2009)


Saya setuju sangat dengan pandangan Datuk Seri Dr. Rais Yatim tu, bahawa rancangan Sehati Berdansa memang tak 'colok' mata. Takkanlah pendapat seorang Menteri yang bergelar Datuk Seri dan ada Dr. pula, boleh silap kan!

Dan kalaulah rancangan tu benar-benar 'colok' mata, tentulah mata dia orang dah merah-merah kena colok kan ! kan ! kan ?


perhatian: saya tak bermaksud untuk memberi pandangan atau penilaian kepada rancangan tersebut, samada baik atau buruk, berfaedah atau tidak, dapat membina jati diri atau tidak ... cuma saya nak usik tentang masalah editorial akhbar ini yang sering membuat saya tersonyum!

Monday, December 28, 2009

TUNAI ADAT HAJI ... ?

(Berita Hairan Harian - Sabtu 7 November 2009)


Tunai adat haji ??? Ish ... saya belum pernah dengar orang buat macam tu lagi. Macamana agaknya ya? Nanti barangkali selepas ini Haji Karim Sulaiman, penulis yang dalam gambar tu, mungkin akan tulis mengenai adat haji yang telah dia tunaikan di sana !

Sunday, December 27, 2009

RIA ABADI ... TAHNIAH !

Sebelum saya menyentuh tajuk entri di atas, saya nak menyelit sikit. Dalam seminggu dua ni, saya agak sibuk. Mula2 pergi Alor Star, balik rumah selang dua hari pergi pulak ke Kuching. Balik dari Kuching selang dua hari, pergi pulak ke Paris Perlis dan langsung bercuti2 Malaysia ke Langkawi bersama famili. Malam tadi baru sampai. Letih tak usah cerita. Dompet pun dah mengecut. Itu sebab saya tak sempat nak melawat blog sesiapa bahkan blog sendiri pun tak sempat nak jengah.

Sekarang kita masuk kepada tajuk entri di atas pulak ...

Dalam entri saya yang lalu, saya ada memberikan satu teka teki. Akhirnya setelah sekian lama, ia berjaya dijawab dengan tepat oleh Ria Abadi. Saya minta maaf kerana terlupa nak beritahu semua. Walaupun tiada siapa yang bertanya, tapi saya rasa macam berhutang pula kalau tak memaklumkannya. Maka disini dengan sukacitnya saya ingin mengisytiharkan anak bulan telah kelihatan jawapanya yang sebenarnya. Terima kasih juga kepada sesiapa yang telah cuba menjawapnya.

Tekatekinya:

"kenapa sorang Mamat tu tak mati atau tak cedera, walaupun dia melompat melalui tingkap di tingkat 42 sebuah bangunan pencakar langit ?"


Jawapannya:

ria abadi said...


hurmm..maybe mamat tu melompat kedalam melalui tingkat 42??? bukannye melompat keluar, sebab tu lah mamat tu tak mati n tak cedera pun..huhu


betul tak?


November 28, 2009 12:42 PM

Komen saya.

Betul ! Tahniah Ria. Tepat sekali jawapan Ria itu. Ramai orang berfikir melompat keluar tapi dia berfikir sebaliknya iaitu melompat ke dalam. Untuk makluman, Mamat tu bekerja sebagai pencuci tingkap.

Sesekali kita kena berfikir secara terbalik untuk menyelesaikan sesuatu masalah !

Monday, December 21, 2009

SONYUM SOKOJAP - 7: ROYAL MAI !


(Gambar di Heathrow Airport, London bersama seorang kawan satu kursus. Berdiri sebelah kiri yang hensem sikit tu adalah saya, dan berdiri sebelah kanan yang hensem banyak tu adalah kawan saya)




Patutlah surat-surat kawan baik saya David Beckham kat saya tak sampai2. Rupa2nya pejabat pos kat England tu, tak layan surat2 "Pi" ... Dia dok sebok dengan surat2 "Mai " sahaja.


 

Wednesday, December 16, 2009

PENJELASAN DAN PEMBETULAN !

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Mamamin ada membuat entri berikut. Disamping mengalu2kan kepulangan saya ke dunia blog, dia juga beritahu nak bercuti panjang. (Nak lawan sayalah tu). Dalam entri dia ada gambar saya, tapi bila saya copy paste, gambar saya x muncul. Tak kesahlah. Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk membuat satu penjelasan dan membuat satu pembetulan seperti berikut.

Penjelasan.

Saya bukanlah boss kepada Mamamin bahkan kami belum pernah pun berjumpa kecuali berjumpa di alam maya pada ini. Saya dah larang supaya jangan saya di panggil boss, tapi dia ni bangsa degil ...dia panggil juga. Lama2 saya seronok .... dan saya tak nak larang lagi.

Pembetulan.

Dia kata saya control macho. Mana ada !  Itu adalah satu kenyataan yang tidak tepat sekali. Yang sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan saya sememangnya telah macho sejak semula jadi !  Tak perlu nak control2. Sekian.

p.s saya sekarang berada di Kucing ... baru kejap sampai. Ada bengkel Pengamalan 5S. Hari Jumaat malam baru balik Senawang.

__________________________________________________________

Inilah dia entri Mamamin yang saya maksudkan itu >


Tuesday, December 15, 2009


Al-lavendari - Welcome Back to Blogger's World Boss!!!!



<<--- control macho!! kekekek

http://al-lavendari.blogspot.com


Boss, maaf, saya bercuti selama 3 minggu, akan masuk gelanggang sekembalinya dari bercuti-cuti. HEPI NEW YEAR TO ALL.. InsyaAllah saya akan berblog semula pada 13 Januari 2010. [tambah lagi seminggu] Salam...


Boss!! saya dah baca N3 baru, terharu tengok boss tanye kakcikseroja kemana hilangnye saya.. tapi sedehnya, soklan boss x berjawab.. so, disini saya jawab sendiri.. kekekekekek...



** tunggu saya balik masuk gelanggang ok boss!!!

Tuesday, December 15, 2009

CANDID CAMERA ...KAHERAH !



Bersama orang rumah kat piramid 2-3 tahun dulu. Sebenarnya tujuan asal nak ambil gambar jer. Minta tolong kawan ambilkan ... tapi entah macam mana dia terambil video pulak. Jadi tervideo secara tak sengaja. Nasib baik juga ... dapat dijadikan kenang2an. Tu lah kadang benda2 yang pada mulanya kita dapat atau kita buat secara tak sengaja atau tersilap, satu hari rupanya jadi benda yang kita suka. (Tapi saya jumpa orang rumah saya, mula2 lagi dah tak silap)

Monday, December 14, 2009

B.A.C.A. K.E. T.A.K. B.A.C.A. N.I. ?



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Baca ke tak baca ni ? Kalau dah baca kenapa lain yang orang tulis, lain yang awak komen.

Orang tulis pasal bola, awak komen ... "semoga mendapat haji yang mabrur",

Orang tulis tentang kereta kita eksiden, awak komen ... "semoga ceria-ceria selalu",

Orang tulis nak tanya macamana nak masak lemak cili api, awak komen .... "satu entri yang elok dibaca oleh semua orang".

Sah kompom tak baca !

Apa kata kalau saya cadangkan buat satu format khas di ruangan komen untuk memudahkan kita semua memberi komen selepas membaca satu2 entri. Misalnya ...

Sila tanda ' x ' pada kenyataan berikut yang anda rasakan paling sesuai.
 
( ) Saya dah tengok dan baca. Komen saya .......................................... (harap beri komen balas)

( ) Saya dah tengok dan baca. Komen saya .......................................... (tak perlu komen balas)

( ) Saya dah tengok dan baca. Saya tiada apa-apa nak komen.

( ) Saya dah tengok tapi belum baca. Saya nak komen juga. Komen saya ...................................

( ) Saya dah tengok dan akan baca. Tapi belum pasti lagi akan beri komen atau tidak.

( ) Saya dah tengok dan tak akan baca dan tak akan beri komen.

( ) Lain-lain (sila nyatakan) ...............................................................

Amacam ? Setuju ?


*

Sunday, December 13, 2009

NI BARU BETUL2 TERSANGKUT ...!

Gambar di bawah sepatutnya sebahagian dari entri sebelum ini. Jadi, harap baca bersekali dengan en3 tu.

Bila saya publish dari draf, gambar tak keluar. Saya tak puas hati, penat2 saya scan, saya cuba lagi ... baru keluar.

Spesis apa nak panggil dia ni: (a) gila babi (b) babi buta atau (c) ........?





Tauke: "Kenapa awak tak sampai-sampai lagi?"
Drebar: "Sori boss ... saya tersangkut kat jejambat!"

9 LAGI SPESIS DREBAR ...!




Assalamualaikum. Hari ini saya kembali semula berblog. 'Halangan' telah di tempuh. Harap2 mahaguru saya puashati. Di dalam masa bertapa berehat dari berblog, saya sempat juga memerhati bermacam kerenah2 drebar untuk jadi bahan dikongsi bersama.

Ingat tak tentang 11 spesis drebar dalam entri sebelum ini! Dulu dah ada 11 spesis, sekarang saya tambah 9 lagi ... dah jadi 20. Boleh tahan gak banyaknnya kan ! Kalau anda drebar Malaysia, saya pasti anda berada dalam salah satu spesis itu.

12. Spesis Penakut .

Dia suka ikut dekat2 dari belakang. Kita laju dia pun laju, kita perlahan dia pun ikut perlahan. Ntah apa yang dia takutkan !

13. Spesis Riak.

Dia ni hantar anak sekolah, kalau boleh nak kereta sampai masuk dalam kelas. Kalau makan kat restoran, kalau dapat kereta nak duk sebelah meja. Mentang2lah kereta dia Sang Kancil Super Turbo Hard Top Special Edition 660 cc.

14. Spesis Tamak.

Dia ni suka ikut tengah2 jalan. Kita nak potong kanan pun tak dapat, kiri pun tak boleh. Kalau parking pun gitu juga ... Kita nak parking kiri, tak muat ... kanan pun tak celus. Ikutkan hati mahu rasanya nak parking atas kereta dia !

15. Spesis "Herman".

Dia pakai kereta jenis BMW 740 bdsup - Model tahun 2010. Tapi bila kena hon sikit dek Kancil, dia punyalah terperanjat terus masuk dalam rumput. (Finaz kata spesis "patah tangan")

16. Spesis Mamai Angau

Dia bawa kereta melelong-lelong. Kita pun tak tahu dia nak ke mana. Semua jalan macam dia yang punya. Asyik bercakap telefon dengan makwe dia. Kalau dia hantar SMS lagi haru kita. Kita bagi lampu atau hon, bukan dia dengar. Tungau angau betul !

17. Spesis Ulu.

Dia ni agaknya tak pernah masuk pekan. Dia selamba je buang plastik bekas teh tarik dari tingkap kereta dia. Nasib baik dia tak buang buah kelapa. Kita bagi hon, dia tunjuk penumbuk. Dia langgar belakang kereta orang kat lampu merah, dia boleh marah "siapa suruh awak berhenti?". (Kakcik Seroja kata spesis Bebal).

18. Spesis Penyayang.

Dia ni kereta ada tapi jarang guna.. Kalau hari hujan ... dia naik motor pergi kerja. Takut kereta basah. Kalau balik kampung, lebih rela naik bas. Takut tayar keretanya dahaga haus. Malam hari pasang ubat nyamuk kat kereta. Tak apalah ... kereta dia. Dia punya sukalah.

19. Spesis YB.

Dia ni suka angkat tangan dengan semua orang. Kalau berhenti kat lampu merah, orang kiri kanan semua dia angkat tangan. Kalau boleh dia nak keluar dari kereta dan salam sekali dengan dia orang.

20.. Spesis Cemas ... dia ni suka sangat ikut lorong kecemasan.



* Terima kasih Finaz kerana mengingatkan dan sudi menunggu

Lepas ni jom kita terjah blog ni pulak ! (sila klik di sini)

p.s entri ni tak berapa nak menjadi ... patutnya ada emoticon ...jadi publishlah apa yang ada dulu... nasiblah!
.
.

Thursday, November 5, 2009

SAJA NAK BAGI TAHU ...!

Orang tak tanya pun ... tapi saja nak bagi tahu. Saya bakal menghadapi satu "halangan" yang saya dah rancang untuk di lalui. Oleh itu mulai hari ini 5hb November 2009 saya ingin berhenti sekejap dari membuat entri baru dan juga memberi komen kepada entri2 anda. Tindakan ini (walaupun payah) harus saya ambil bagi mempersiap diri untuk melepasi halangan tersebut. Insyallah, kalau dipanjangkan umur, kita akan berjumpa lagi pada 13 Disember 2020 2009. (Bagi melepas gian, mungkin juga saya akan curi2 merayau ke dalam blog kengkawan yang tidak berpagar)

Sementara itu saya tinggalkan satu tekateki untuk di jawab oleh sesiapa yang berminat:

"kenapa sorang Mamat tu tak mati atau tak cedera, walaupun dia melompat melalui tingkap di tingkat 42 sebuah bangunan pencakar langit ?"

Tekateki tu senang sahaja jawapannya kalau kita biasa berfikir secara terbalik . (Omputih kata berfikir cara "lateral thinking" atau "thinking outside the box") Mungkin ramai yang sudah tahu jawapanya tetapi mungkin juga ada yang belum tahu. Kepada yang belum tahu, cuba berfikir secara berlawanan dari kebiasaan/songsang/melawan arus atau berfikir secara terbalik (bukan berfikir dengan kepala ke bawah kaki ke atas ) ... dan berikan jawapannya.

nanti sat !

mengapa perigi hendak ku tuba
kelak beringin bersekah batang
hamba pergi bukan lah lama
tidak ku ingin berlengah pulang.

daun ketupat si daun lalang
kenapa di kerat kelak bersepah
belum ku lihat belum ku pandang
kenapa berat hendak berpisah ?



Miss U

Wednesday, November 4, 2009

BERITA TERKINI - 1

Putrajaya 4 November - Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya sebentar tadi telah menimbangkan cadangan dan membuat keputusan supaya semua kereta Proton Perdana yang sedang di gunakan oleh Ahli-Ahli Jemaah Menteri di gantikan dengan kereta Mercedes Benz E240 mulai 1 Januari 2010. Keputusan ini di buat memandangkan kereta Proton Perdana yang sedang di gunakan pada masa ini seringkali mengalami kerosakan dan tidak ekonomi lagi untuk terus di gunakan. Manakala kereta Mercedes Benz yang bakal di beli ini telah mendapat jaminan dari pembekalnya tidak akan mengalami sebarang kerosakan. Sekiranya ia terpaksa juga mengalami kerosakan, pembekalnya berjanji akan segera menggantikannya dengan kereta yang baru ... mengikut harga semasa.

Menurut Setiausaha Mesyuarat lagi, cuma seorang sahaja Menteri yang bersetuju dengan cadangan tersebut ... manakala Menteri-Menteri yang lainnya amat bersetuju !


p.s. anda percaya ke?

Sunday, November 1, 2009

11 SPESIS DREBAR ...!

Convertible
Entri ini di tujukan kepada pemandu2 kereta, tak kira samada dia perempuan atau bukan perempuan. Nama2 spesis tu adalah ...

1. Spesis Ghaib.

Dia suka tampal sticker kat cermin tingkap dia. Kita pun tak tahu siapa yang bawa kereta sebab tak nampak muka dia. Kita pun bimbang juga, manalah tahu kereta jalan sendiri tanpa pemandu.

2. Spesis Perasan.

Dia suka ikut lorong tengah yang dikhaskan untuk kereta yang dipandu laju. Dia pakai kereta VW antik. Tapi dia perasan dia pakai Ferari.

3. Spesis Sadis.

Dia bagi signal kanan kat sebatu. Tapi bila sampai kat simpang, dia belok kiri. Sabar jer lah.

4. Spesis Tegas.

Dia bagi signal kanan dan serentak dengan itu dia pun belok kanan. Kita kat belakang ni terpaksalah brek pakai dua belah kaki ! Menyampah betul !

5. Spesis Dermawan.

Dia suka suruh semua orang kiri kanan jalan dulu. Kadang2 kereta kat belakang dia dah berderet dekat sebatu. Rasa nak angkat kereta dia letak kat tepi !

6. Spesis Malang.

Dia tunggu nak ambil parking kereta orang yang baru masuk keretanya dengan membawa barang2. Dia ingat orang tu nak keluar. Rupanya orang itu nak tidur, sementara menanti isteri dia gunting rambut.

7. Spesis Khayal.

Dia dari KL nak balik Senawang. Dia lupa nak keluar tol Senawang. Sedar2 dah sampai Tambak Johor. (Bukan saya lah!)

8. Spesis Keliru.

Dia selalu termasuk jalan yang ada tulis "no entry". Kemudian dia buat-buat heran, lepas tu cakap "ehh bukan ke semalam jalan ni boleh masuk" kepada orang yang tengok dia.

9. Spesis Zalim.

Dia terus je masuk tempat parking yang kosong, walupun dia tahu ada orang lain yang dah sekerat hari tunggu nak masuk tempat tu.

10. Spesis Wara'.

Dia baca doa masa nak ambil kunci, baca doa lagi masa nak buka pintu, baca doa lagi masa nak start enjin, baca doa lagi masa nak undur, baca doa lagi masa nak bergerak. (Saya tak komplen, cuma nak cerita jer. Kan baca doa tu baik. Jangan silap faham). Kalau dia nak kongsi kereta dengan saya, kecik tapak tangan, nyiru saya tadahkan.

11. Spesis Selamba. Semua spesis pemandu di atas saya boleh tahan lagi, tapi spesis pemandu selamba ini saya betul2 tak boleh tahan. Bila kita sampai kat simpang empat, kita pun berhenti sebab nak belok kanan. Tapi spesis pemandu ini elok jer melintas depan kita dan jalan terus ... langsung tak bagi signal. Lain kali kalau nak jalan terus, bagilah signal !

p.s   sambungan di sini.

Friday, October 30, 2009

SATU ENTRI KHAS UNTUK SAYA ? ... BIAR BETUL !

Memang betul. Ada satu entri khas oleh Finaz untuk al-lavendari (sayalah tu). Tajuk nya pun mengancam ..."Jom Tengok ! N3 Terbest Semalam ..." (semalam jer ke?). Gambar saya juga (yang dibesarkannya) diletakkan dalam entri tersebut. Saya terkejut dan seronok. Omputih kata "pleasant surprise". Dia pun tak bagitahu dia nak buat entri tersebut. Saya membacanya pun sehari selepas ia di publishkan. Mungkin kepada orang lain itu "no big deal", tetapi kepada saya yang umur baru setahun jagung dan darah baru setampuk pinang dalam berblogging ini, " it's a big deal". Orang nak gelak, gelaklah!

Blog Finaz juga amat menarik kerana ada soalan2 menguji minda dan IQ kita. klik sini untuk ke blognya.

Inilah dia entri yang saya maksudkan. Jangan silap faham. Bukan saya nak menunjuk-nunjuk. Melalui cara ini saya dapat menyampaikan rasa terima kasih saya kepada Finaz kerana mempromosikan blog saya secara F.O.C.

dan di bawah ini skrip penuhnya ...

Selasa, Oktober 27, 2009

Jom Tengok! N3 TerBest Semalam..->Lain Kali Letak Nama Tu Betul2!

Aa... bila saya terbaca N3 member Blogger ni baru saya terRealize akan kepentingan sesuatu NAMA atau Gelaran. Kekadang nama yang diberi tu kita rasa ok tetapi sebenarnya ia boleh boleh pula menimbulkan kekeliruan kepada yg mendengar, membaca dan yang menyebut. Dan yang paling best sekali adalah bila nama / gelaran tersebut tetiba boleh appear jadi sesuatu yang sangat kelakar macam N3 yang saya nak share dengan anda ini.
Owner blog tersebut adalah Al-Lavendari dari NS. Secara peribadi saya suka sangat semua entries beliau. Selain semuanya kelakar2 belaka (bisa bikin perutku sengal walaupun saya biasanya ketawa tak berbunyi tapi jadi sengal perut sebab menahan ketawa tuh) N3 Al-Lavendari juga mempunyai mesej2 berguna sebagai renungan kita semua. Kalau boleh Follow lah sekali blog beliau then anda akan sentiasa terUpdate dengan info terkini beliau.

Okay tanpa bercerita panjang sila lah klik disini...

p/s: Al-Lavendari ada satu lagi blog bagi mereka yang minat berpantun, berseloka dan yang paling BEST sekali adalah KELAKAR sangat! (I Like...) Nak tahu? Klik Disini..

SONYUM SOKOJAP - 6 ... NAK POS SURAT !

Satu pagi di bilik kopi.

Che Ngang: "Aku bengang betul dengan bos kita. Ada ke patut, dah lima kali dia suruh aku ambil selipar dia kat kereta. Itu bukan kerja aku. Dia ingat aku ni kuli dia ke?"

Che Wel: "Tak patut ... memang tak patut... Tapi apa yang kau boleh buat ?"

Che Ngang: "Dah banyak kali aku tulis surat kat dia ... tapi dia buat juga. Lepas ni kalau dia buat juga lagi ... siap dia"

Che Wel: "Kau nak buat apa lak kat dia kali ni?

Che Ngang: "Sekali lagi dia buat ... aku akan poskan semua surat-surat tu kat dia".

Che Wel:
teratakian_th_smiley_zzrofl1.gif teratakian_th_smiley_zzrofl1.gif teratakian_th_smiley_zzrofl1.gif

Wednesday, October 28, 2009

RUNTUH SEKELIP MATA !












Itulah tajuk utama dalam sebuah akhbar tempatan kelmarin yang menceritakan tragedi jambatan gantung runtuh di Perak yang telah mengorbankan nyawa beberapa orang pelajar. Takziah saya kepada keluarga-keluarga mangsa.

Apa kena mengena gambar di atas dan di bawah dengan tragedi jambatan runtuh tu. Bacalah seterusnya ...! KAMPAR: "Beberapa murid melompat dan menggoyang-goyangkan jambatan dan dalam sekelip mata saya terhumban dalam sungai bersama beberapa murid lain yang menjerit ... [+]

Stadium ini di bina pada abad ke 2 Selepas Masehi iaitu kira-kira 1,800 tahun dahulu. Sampai sekarang masih kukuh dan belum runtuh lagi. Tapi jambatan gantung kat Perak tu, khabarnya baru siap 2 bulan dah runtuh. Runtuh pulak tu bukan main cepat ... sekelip mata ! 

*maaf kerana suntingan kelam kabut ... pasal pula ada underline nih !





Tuesday, October 27, 2009

SELURUH MALAYSIA TERMASUK SABAH DAN SARAWAK ?


Kerap kali kita dengar orang bercakap ... "seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak". Bahkan di mass media seperti di saluran tv dan akhbar2 arus perdana juga, ungkapan itu biasa di dengar atau di baca.

Soalnya perlukah disebut Sabah dan Sarawak setelah menyatakan seluruh Malaysia. Bukankah bila di sebut seluruh Malaysia, ia termasuk semua negeri yang berada dalam Malaysia? Apakah negeri Sabah dan Sarawak tidak termasuk dalam Malaysia? Bahkah kemasukan negeri-negeri tersebut ke Persekutuan Tanah Melayulah yang telah turut melahirkan negara Malaysia!.

Tidakkah kita berasa janggal bila mendengar kenyataan "produk tersebut boleh didapati di farmasi-farmasi terkemuka di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak". Perlu apakah disebut termasuk Sabah dan Sarawak kerana semua orang tahu bahawa seluruh Malaysia itu termasuklah Sabah dan Sarawak. Faham-fahamlah bila sudah dikatakan di seluruh Malaysia itu, tentulah termasuk semua negeri yang berada dalam Malaysia.

Apa kata kalau kita terdengar kenyataan "produk tersebut boleh didapati di farmasi-farmasi terkemuka di seluruh Malaysia termasuk di Negeri Sembilan". Rasanya ramai yang melompat !

Saya rasa dengan berterusan menggunakan ungkapan "seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak" tidak akan membantu menjayakan gagasan 1 Malaysia bahkan mungkin akan mewujudkan rasa pengasingan pula.

Apa kata anda terutamannya orang-orang Sabah dan Sarawak?
.
.

Monday, October 26, 2009

SONYUM SOKOJAP - 5 ... BALAI POLIS BERGERAK ???


Bila saya baca tajuk laporan akhbar di atas "Balai polis bergerak di 50 kawasan panas" saya tertanya-tanya banyak perkara. Antaranya (sebenarnya ada banyak lagi !):

1. kenapa ia harus bergerak? adakah ia kerana sebab kawasan tu panas ?
2. macamana dia bergerak ... ada enjin ke ? ada orang tolak ke ? ada orang tarik ke ?
3. macamana orang nak buat laporan ? Susahlah ... kalau terpaksa ikut dia bergerak sama !
4. macamana dengan kabel elektrik ? balai polis tentulah ada lampu dan penyaman udara ... kalau bergerak jauh-jauh nanti putus lak !
5. macamana pula dengan paip air ? takkan paip air pun kena ikut juga ... !
6. di mana kita nak cari, kalau kita nak buat laporan ... sebab dia bergerak entah ke mana2 ?
7. dia bergerak sampai kat Seremban tak ?
8. boleh ke kita panggil balai tu datang rumah kita kalau nak buat aduan ?
9. berapakah kelajuannya dia bergerak ? harap2 janganlah laju sangat nanti kena perangkap had laju pulak !
10. jalan mana dia akan ikut, lebuhraya PLUS lalu tak ? kalau lalu, boleh ke dia lepas plaza tol?


.

Sunday, October 25, 2009

APA KATA MEREKA TENTANG BLOG INI !

Apa kata mereka tentang blog ini iaitu blog PUISI ORANG TAK RETI.

mamai said...
hahahaah boleh keras perut baca pantun nie
oranglidi said...
pedih hati baca
mamamin said...
best best.. saya join oldskool sekali.. ada nilai tinggi..orang lain geli hati, tapi kita senang hati.. macam mana!! ok x?
aTaChA said...
cepat ah al lavendari wat pantun lagi..rindu pulak kat post awak... atcha sibuk sikit kebelakangan nie...tapi atacha tetap menjadi pembaca setia secara senyap..hehehheheh
syahbandar87 said... pantun dlu2 keni..terutamanya yg ketiga tu.hehehehehe..tp best sngt2..teruskan

LiNda said... okeh..saya pun nak ambik part !

Pinggan tak retak
nasi tak dingin
jgn suka mengelak !
bila rasa ingin !

Pinggan x retak
nasi x dingin
hati kata hendak !
mulut kata tak ingin !!

anak laut said...
salam... mendalam sunggguh puisi anda..tq singgah anaklaut..
akuduniaku said...
dari johor ke negeri melaka singgap sebentar di pasar pagi kalo kowang tak singah baca memang kwang rugi sekali hahahaha promote neyh! hehehe cun r bro pantun lu.. gerek seyh! =)
abu muaz said...
Salam. Saya bab pantun -memantun, puisi memuisi ni tak berapa pandai. Tiada bakat.
al-lavendari said...
abu muaz blog ini di bangun khas untuk orang2 yang tak berapa reti pantun dan puisi seperti saya. itu sebab saya namakan "puisi orang tak reti". buatlah sajak kabur asal sendiri faham. apa2 pun terima kasih kerana sudi mampir. itu pun sudah besar ertinya bagi saya yang tak berapa pandai berpuisi. * tapi kan saya rasa abu muaz ni sebenarnya "seperti harimau menyembunyikan kuku"
Apa pula kata anda?

Saturday, October 24, 2009

APA GUNANYA ALAT P.E.M.B.E.S.A.R SUARA ?

Saya yakin dan percaya bahawa semua orang tahu akan kegunaan alat pembesar suara (loud speaker). Tapi tahu kegunaan tak semestinya tahu menggunakannya. Pembesar suara di cipta supaya orang yang nak bercakap atau nak berucap tidak perlu bercakap atau berucap dengan kuat atau pun menjerit supaya boleh di dengari oleh audien.

Saya perasan dalam satu perjumpaan besar sebuah pertubuhan yang tersohor pada minggu lalu, ramai yang berucap dengan nada suara yang cukup tinggi yang kadang-kadang seperti menjerit, sampai nampak anak tekak masing-masing ... di depan mikrofon. Kalau dah nak menjerit sangat, apa ke ja..hnya bersusah payah menyediakan peralatan pembesar suara super-canggih dalam dewan tersebut. Menjerit sajalah !

Kalaulah pencipta alat pembesar suara tersebut masih hidup dan melihat cara dia orang berucap, dia pasti rasa heran. Agaknya dalam hati dia akan berkata "buat letih aku je mencipta benda tu !"

Thursday, October 22, 2009

SAMBUNGAN MENGAPA SAYA TAK BUAT RUMAH T.E.R.B.U.K.A.



Atas permintaan beberapa pembaca iaitu Puan Mamamin, Annie dan Alvin (walupun macam perli je) , saya beri lagi 5 sebab mengapa saya tidak buat rumah terbuka tahun ni.

6. Saya tak nak ada kawan kecik hati sebab tak jemput mereka. Ye lah kadang-kadang tu terlupa, kadang-kadang terlepas pandang. Bukan tak nak jemput. Dia orang ni pun satu, kalau tukar nombor telefon bukannya nak beritahu. Jadi kalau tak buat rumah terbuka, tak timbul lah masalah tu.

7. Saya tak nak mengganggu jalan. Kalau saya buat rumah terbuka, saya kena pasang khemah atas jalan depan rumah saya sebab kawasan rumah saya sempit. Nanti susahlah orang nak lalu-lalang. Disebabkan saya nak buat rumah terbuka, jalan jadi tertutup pula.

8. Saya tak mahu seorang Mamat tu datang. Dia tak tahu saya tak suka dia datang. Kalau saya buat rumah terbuka dia pasti datang. Tak payah jemput. Dengan tidak membuat rumah terbuka, dapatlah mengelakkan daripada Mamat tu datang. (Untuk pengetahuan, Mamat tu dah 7 kali keluar masuk Hospital Bahagia).

9. Saya tak nak kawan katerer saya marah. Dia pernah pesan, kalau nak buat rumah terbuka, mesti ambil dia. Tapi masakan dia tak sedap. Kalau saya nak buat rumah terbuka, terpaksa ambil dia. Tanpa saya buat rumah terbuka, tak adalah saya menimbulkan kemarahan dia.

10. Sebenarnya saya malas nak fikir dan buat macam-macam. Pergi jemputan rumah terbuka orang lagi senang. Biarlah dia orang fikir dan buat itu semua. Bak kata Finaz, buat rumah terbuka tu tak wajib, tapi memenuhi jemputan rumah terbuka itu wajib. Saya harus akur dengan nasihat yang baik itu !
.
.

Tuesday, October 20, 2009

ORANG DI MAKAN HARIMAU !

Tersebutlah sebuah kisah di Satu TAMAN PERUMAHAN yang terletak BERSEBELAHAN DENGAN SEBUAH HUTAN SIMPANAN DI SATU DERAH DI NEGERI SEMBILAN. DI JALAN MASUK KE TAMAN ITU, ADA SEORANG MAKCIK MENJUAL nasi lemak dan KUEH. Nasi lemak dan kueh-KUEHnya sedap dan murah pula. BOLEH DIKATAKAN SEMUA PENDUDUK TAMAN ITU MENJADI PELANGGAN TETAPNYA. KALAU SATU HARI MAKCIK TU TAK ADA, KELAM KABUT penduduk TAMAN Tersebut di buatnya.

SATU PAGI TANPA PESAN, TIBA-TIBA MAKCIK TU TAK MENJUAL KUEH SEPERTI BIASA. HEBOH SATU TAMAN bercakap DAN TERTANYA-TANYA tentangnya. Lalu DITUBUHKAN SATU PASUKAN untuk MENCARINYA. CARI PUNYA CARI, DAPAT DIJEJAKI BAHAWA MAKCIK TERSEBUT TELAH DI MAKAN seekor HARIMAU. Dengan BANTUAN PERHILITAN, relA DAN POLIS, HARIMAU ITU DAPAT DI KESAN DAN DI BUNUH. SETELAH PERUT HARIMAU ITU DI BELAH DI DAPATI memang ada SATU MAYAT di dalamnya. TAPI MAYAT ITU LELAKI. SETELAH DIBUAT PENGECAMAN, LELAKI ITU di sahkan ADALAH MAYAT WAKIL RAKYAT YANG TINGGAL DI TAMAN tersebut. DARI BEDAH SIASAT, DOKTOR MENGESAHKAN BAHAWA BELIAU TELAH hampir SEbulan MENINGGAL dunia. pUNCA KEMATIAN ADALAH AKIBAT SESAK NAFAS KERANA TERLAMPAU LAMA DUDUK DALAM PERUT HARIMAU TERSEBUT. barulah penduduk taman tersebut perasan dan MASING-MASING pun BERKATA: “PATUTLAH DAH LAMA TAK NAMPAK DIA”.

MAKCIK JUAL KUEH BARU HILANG SEHARI SUDAH SIBUK ORANG MENCARI DAN TERTANYA-TANYA SERTA TERASA KEHILANGANNYA. WAKIL RAKYAT yang SUDAH hampir sebulan HILANG, TAK ADA PUN ORANG SEDAR. BAHKAN ISTERINYA PUN TAK TAHU. DIA INGAT SUAMINYA masih lagi belum balik dari PERGI MEMANCING.

DARI cerita tersebut pilihlah samada nak jadi macam makcik jual kueh atau nak jadi macam WAKIL RAKYAT ITU.

P.S. MAKCIK TU SEBENARNYA PERGI RUMAH ANAKNYA UNTUK menJAGA CUCUnya sebab orang gaji anaknya lari MENGIKUT HARIMAU JADI-JADIAN.

Monday, October 19, 2009

KERETAPI PULAK BUAT HAL ...!

Saya baru balik dari stesyen keretapi Rembau. Jemput isteri dari Singapura. Dia pergi Singapura menemankan anak perempuan yang kedua kami yang bertukar kerja ke sana. Saya tinggal di rumah menguruskan dua orang anak lagi yang masih bersekolah rendah. Hari ni kena lah ambil cuti rehat.

Sepatutnya ambil dia kat stesyen keretapi Seremban je, tapi katanya kerana ada kerosakan landasan di antara Rembau dengan Seremban, jadi keretapi berhenti kat Stesyen Rembau. Ikut jadualnya memang tak berhenti pun kat Rembau. Nasib baik juga keretapi tu berhenti kat stesyen Rembau, bolehlah pergi ambil. Buatnya terberhenti kat tengah2 hutan, lagi susah. Beberapa hari lalu, saya ada cerita kepayahan naik komuter, rupanya naik keretapi pun tak banyak beza.

Kesian juga kat penumpang2 lain yang nak pergi ke utara. Bilakah agaknya mereka dapat bertolak semula. Habislah rosak semua jadual mereka.

Saya belum pernah pergi ke stesyen keretapi Rembau. Dari rumah ke Rembau saya kira tentulah ada papan penunjuk arah (sign board) ke stesyen keretapi tersebut, tapi satu pun tak nampak. Agaknya saya yang dah buta kot! Selepas terlajak kira-kira 3 kilometer melepasi pekan Rembau, hati saya berkata ini tentu sudah tak betul. Akhirnya saya berhenti bertanya orang di tepi jalan. Memang sah dah terlepas. Selepas mendapat penerangan dari orang yang ditanya, saya patah balik. Sampai di pekan Rembau masih juga tak ada juga sign board menunjukkan arah ke stesyen keretapi. Berhenti lagi bertanya ... rupanya dah dekat sangat dah. Alahai pihak2 yang tertentu, mahal sangat ke nak buat sign board tu ? Kalau mahal sangat, sembur dengan cat kat papan buruk atau kadbod pun tak pe. Atau agaknya dia orang fikir, semua orang mesti tahu steseyen keretapi Rembau !

Sekarang saya tak tahu samada nak marah ke nak gelak. Nak marah, marah kat sapa ? Dan ada ke apa-apa kesan? Kalau begitu lebih baik saya gelak. Gelak kepada negaraku tanah tumpahnya darahku yang aman sentosa yang tersohor dengan kemajuannya di seluruh dunia dengan kekayaannya yang melimpah ruah sehingga menjadi tarikan untuk segenap bangsa dari seluruh dunia datang beduyun-duyun mencari rezeki di sini!

Sunday, October 18, 2009

MENGAPA SAYA TAK BUAT RUMAH T.E.R.B.U.K.A



Ada 10 (sepuluh) sebab mengapa saya tak buat rumah terbuka tahun ni ( macam juga tahun2 sebelumnya ):

1. Saya malas nak gaduh2. Setiap tarikh yang saya cadang nak buat, ada je orang lain nak buat. Tak pelah, saya izinkan dia orang buat dan biarlah saya mengalah.

2. Kalau semua orang buat rumah terbuka, siapa lak nak pergi ke rumah terbuka. Jadi biarlah saya berkorban dengan pergi ke semua rumah terbuka kawan2 yang menjemput.

3. Saya tak pandai nak bajet makanan. Kalau buat banyak, tapi orang tak datang, membazir pulak. Membazir tak elok. Kalau buat sikit, tak cukup pulak. Nanti kawan2 mengumpat. Mereka dapat dosa. Oleh kerana saya tak nak membazir dan tak mahu kawan2 dapat dosa, maka sebab tulah saya tak buat rumah terbuka.

4. Satu lagi, kesian kat kawan2 yang dah tak larat nak pergi ke rumah terbuka. Kalau saya juga buat, makanya bertambah lah satu lagi rumah yang kawan2 saya kena pergi. Mereka mungkin berkata "alangkah bagusnya kalau dia tak jemput aku". (Sebab saya pernah terkata begitu. Bayangkan pergi satu rumah terbuka kat The Curve, habis 5 jam pergi balik. Jalan jem giler ! Makannya tak sampai pun 10 minit)

5. Saya tak nak blog terabai. Kalau buat rumah terbuka tentu banyak persediaan kena buat. Kemudian badan tentulah penat. Maka akan kuranglah masa untuk mengunjungi blog kawan2. Kesian kat kawan2 yang penat2 buat entri, nanti tak ada lak orang nak baca. Sekali lagi biarlah saya berkorban dengan mengunjungi blog kawan2. (Itupun tak dapat nak kunjung semua ... sebab banyak sangat rumah terbuka kena pergi)

6 -10. Ada lagi ... 5 sebab cukuplah dulu kot !

p.s walau bagaimanapun kepada sesiapa yang nak datang beraya ke rumah saya ... rumah saya sentiasa terbuka 24 jam sehari, dari jam 2 petang hingga 6 petang. Tapi kena beritahu dulu, takut tak ada kat rumah sebab pergi rumah terbuka kawan2.

* terkini .. sambungannya kat sini !
.
.

Saturday, October 17, 2009

SONYUM SOKOJAP - 4 ... BELI KELAPA !

Jual beli kelapa di pasar Ampangan.

Pembeli: Sebiji berapa?
Penjual: Seringgit.
Pembeli: Kalau saya beli dua, berapa?
Penjual: Tiga ringgit.
Pembeli: Kalau beli sepuluh?
Penjual: Seratus ringgit.
Pembeli: Eh!!! makin mahal pulak!
Penjual: Biasalah Encik. Kalau beli banyak, memang lah mahal!
Pembeli: ???

Friday, October 16, 2009

DAKU BERPINDAH PEJABAT !

Minggu lalu dan minggu ini saya sibuk dan kelamkabut sikit. Bahagian saya berpindah dari pejabat lama ke pejabat baru bersebelahan The Mines, dekat dengan stesen komuter Serdang. Pejabat lama dah sendat. Parking pun tak cukup. Pejabat baru selesa. Parking berlebih2.

Tapi biasalah bila pindah. Mula2 masuk barang ke dalam kotak, kemudian keluarkan dan susun balik. Kemudian ada pulak barang yang tak jumpa cari. Perabot pun belum semua sampai. Tempat makan pun belum jumpa yang betul2 kena dengan selera.

Pejabat baru masih belum ada telefon, internet, fax. Pakai hanfon sahajalah. Pendingin udara pun belum stabil. Sekejap sejuk macam di kutub utara, sekejap lagi panas macam di gurun Sahara. Balik rumah melepek. Tu sebab saya kurang menjengah blog kawan2. Maaf ye.

Saya cuba naik komuter dari Seremban. Tahan dua hari je. Kemudian bawa kereta semula. Jadualnya tak boleh harap. Lewatnya bukan seminit dua. Baik pergi atau balik. Satu hari tu, satu trip langsung tak tiba-tiba. Kalau naik komuter, belanjanya cuma RM13 sahaja sehari iaitu untuk tiket pergi RM5, balik RM5 dan parking RM3. Kalau bawa kereta, tol sahaja dah RM13.60. Kalau campur dengan minyak hampir RM50 sehari. Senget eden.

Nantilah bila komuter dah bertambah kocnya dan jadual pun dah boleh pakai, saya akan naik balik. Bila? Ntah!

Wednesday, October 14, 2009

AARAU KE ARAU ?



(Pekan AARAU)


(... sambungan dari entri sebelum ini)

Seterusnya saya dan peserta lain di bawa melalui jalan darat dari Luzern menuju negara German. Kami singgah sekejap di sebuah pekan kecil bernama AARAU kerana penganjur nak bawa kami ke gudang jualan produk jenama Bally. (Mungkin penganjur dapat komisyen dari Syarikat Bally kot!) Saya tertarik dengan nama pekan ini kerana ia mengingatkan saya kepada sebuah bandar di raja di Negeri Perlis (negeri kelahiran isteri saya) ... cuma ejaannya tak sama. Di Perlis ejaannya ARAU, menggunakan satu "a" manakala bandar ini di panggil AARAU menggunakan dua "a". Namun saya pasti mereka tiru kita, cuma dia orang tu gagap sikit!

Saya memang ada bukti dia orang tiru kita? Saya bukan cakap kosong. Buktinya kita eja Arau guna satu "a" sahaja. Dia orang pandai-pandai tambah dua "a". Tentulah yang guna satu "a" yang asal atau yang original. Ini tak boleh jadi. Mari kita tubuhkan pasukan "PANJI" dan minta mereka menukar nama bandar tersebut ke nama lain dan kita minta mereka supaya jangan lagi menggunakan nama "Aarau" di mana-mana bandar di negara mereka. Kalau mereka berdegil juga, mari kita beramai-ramai jalan kaki pergi ke sana. Kita keronyok-keronyok mereka!
.
.
.

Sunday, October 11, 2009

BAHASA MELAYU DI PUNCAK TITLIS ...!

Saya merasa tersangat bangga dengan Bahasa Melayu (BM). Bangga kerana ada bangsa lain di negara lain menghormati BM.

Kira-kira dua tahun lalu saya ada menghadiri kursus pendek di Switzerland, lebih tepat lagi di bandar Luzern. Sebuah bandar peranginan yang sangat cantik. Khabarnya banyak penggambaran filem Bollywood di buat di sini.

Di masa senggang, penganjur ada membawa peserta mendaki gunung Titlis di banjaran Alps. Pendakian di mulai dengan menaiki tren (macam di Bukit Bendera) dan kemudiannya di teruskan dengan kereta kabel untuk sampai ke puncaknya.

Gambar berikut adalah gambar kami di kaki gunung Titlis sebelum memulakan pendakian.


Berikut adalah gambar sebelum memasuki kereta kabel, untuk meneruskan perjalanan ke puncak.

 
Dan berikut adalah gambar di dalam kereta kabel yang saya fokuskan kepada ayat yang menggunakan BM untuk menerangkan tentang kereta kabel tersebut.


Apa yang sangat membanggakan saya ialah tulisan dalam kereta kabel tersebut yang turut mengggunakan BM iaitu "Selamat datang di kereta kabel pertama di dunia yang bergantung berpusing". Daripada beberapa ratus lagi bahasa lain di dunia ini, BM telah di pilih sebagai salah satu daripada tiga bahasa yang di gunakan untuk menerangkan tentang kereta kabel ini. Saya ulang, cuma tiga bahasa sahaja di gunakan. Saya pasti itu BM, bukan Bahasa Indonesia kerana Bahasa Indonesia tidak menggunakan perkataan berpusing tetapi dia guna perkataan berputar.

Siapa yang tidak kembang hati apabila melihat BM di julang oleh bangsa lain.

Dan saya tidak pasti apakah BM mendapat pengiktirafan atau layanan yang serupa di negaranya sendiri. Saya tidak pasti kerana masih timbul persoalan ini - Ke mana bahasa Melayu? dalam Mingguan Malaysia keluaran Ahad 4 Oktober 2009. Bersambung ...!

Saturday, October 10, 2009

MENGAPA RUMAH KU MAKIN SESAK ?

Terima kasih adik kakak yang sudi membaca sajak saya yang bertajuk "RUMAH KU MAKIN SESAK" bertarikh 8 Oktober 09, serta langsung memberi pelbagai komen, telahan, tekaan, agakan dan sebagainya. Sebenarnya nama benda yang saya maksudkan ada dalam sajak tersebut. Cuba baca huruf-huruf yang berwarna dari bawah ke atas. Atau untuk lebih jelas lagi, kalau mahu, boleh juga baca entri saya bertarikh 21 September 09 sebelum ini. Itulah jawapan saya atau apa yang ingin cuba saya sampaikan. Ahirnya saya mohon maaf jika entri sajak kabur saya itu telah menyesakkan kotak fikiran adik kakak sekelian. Sekian . Terima kasih sekali lagi. Wasaalam.

Thursday, October 8, 2009

R.U.M.A.H K.U. M.A.K.I.N. S.E.S.A.K ...!


 Gambar Hiasan - Ihsan Google



(sajak kabur ini memang ada kena mengena dengan orang yang masih hidup atau pun yang telah mati)

dulu kau beri benda tu satu-satu
kini kau beri ribu-ribu
dulu ku junjung atas kepala
ku simpan atas para
sekarang ku letak merata-rata.

rumah ku makin sesak
benda tu sudah menyemak
nak berjalan pun asyik tersepak
bikin susah aku mahu bergerak.

kalau nak beri, silakan beri
tapi biarlah berpada-pada
aku bimbang kau kecil hati
orang tak pandang sebelah mata.
.
.

Wednesday, October 7, 2009

A.P.A S.A.L.A.H.N.Y.A M.A.I.N A.G.A.K-A.G.A.K ...?

Saya pernah bahkan banyak kali kena marah kerana memberi jawapan atau membuat kerja main agak-agak sahaja. Tetapi dalam hidup kita ni kadangkala bahkan mungkin hari-hari kita terpaksa buat kerja main agak-agak sahaja. Contohnya semasa kita bersalam atau menggunakan kereta, semuannya main-main agak-agak sahaja. Ketika kita bersalam dengan orang yang ramai dalam satu-satu majlis di mana terdapat ada orang yang tinggi, pertengahan dan rendah, adakah kita tengok tangan orang yang kita nak salam tu ... atau kita sambut sahaja sambil memandang mukanya dengan senyuman. Kalau kita terus bersalam dengannya tanpa melihat di mana tangannya ... kita bersalam itu sebenarnya main agak-agak sahaja. Kalau kita tengok tangannya sahaja tanpa menengok mukanya, kita akan di anggap agak kurang mengerti adab. Tapi oleh kerana kita sudah biasa bersalam, kita dapat bersalam dengan sempurna. Tangan kita boleh selaras secara otomatik dengan tinggi rendahnya orang yang kita nak salam tu. Tapi harus juga di akui bahawa saya kadang-kadang terbabas juga ... terpaksalah bersalam semula untuk memperbaiki salam yang pertama sambil tersenyum2 malu. Tapi tersbabas pun, belum lah sampai tercucuk atau tertonjol perut orang tu!

Bawa kereta pun begitu juga. Kita tengok ke tayar kereta kita betul-betul tepat dalam lorongnya semasa kita memandu? Kalau kita tengok, itu mencari nahas namanya. Bukankan kita bawa kereta itu, main agak-agak sahaja. Begitu juga semasa memakir kereta. Kita juga main agak-agak sahaja ketika mengundurkan kereta. Kita tak tahu dengan pasti jarak kereta kita dengan kereta di belakang atau sebelah menyebelah. Kita pun sebenarnya main agak-agak sahaja.

Bagaimanapun oleh kerana kita sudah bertahun-tahu memandu kereta, agakan kita biasanya tepat, tapi sekali sekala tersasar juga. Itu sebab banyak kita lihat kereta yang kemek bumper depan atau belakang ataupun kiri kanannya.

Jadi main-main agak-agak ini perlu juga, kerana kalau hendak kepastian 100%, banyak kerja tak menjadi atau kalau menjadi pun lambat. Tapi untuk mendapatkan kesempurnaan dalam agak-agak itu, kita kenalah selalu berlatih atau selalu buat praktikal.

Jadi kalau kita berjumpa orang terbabas dalam bersalam tu, agak-agaknya dia jarang bersalam lah tu!

Tuesday, October 6, 2009

SONYUM SOKOJAP - 3 ... T-SHIRT TERSANGKUT !




Satu pagi di bilik doktor.

Doktor: "Sila duduk. Apa masalah awak?"
Pesakit: "Telinga saya doktor"
Doktor: "Kenapa dengan telinga awak?"
Pesakit: "Bila saya nak tanggalkan t-shirt saya ... dia selalu jer tersangkut"
Doktor: &?#@+=%
.
.

Monday, October 5, 2009

SIAPA LEBIH BERANI ?


Dulu-dulu siapa lebih berani, pahlawan Melayu ke pahlawan bangsa lain? Saya kata tentulah pahlawan Melayu lebih berani. Sebab ? Mereka berlawan pakai keris jer. Mereka tak pakai panah atau lembing. Dan juga tak pakai baju besi. Kadang-kadang tu hanya 'berkaki ayam'. Mereka berlawan pulak berdepan-depan dan ada "body contact". Kaki menendang, tangan menepis, badan mengelak!

Bangsa lain pulak yang berperang pakai lembing ke, panah ke .. semua dari jauh-jauh. Kalau dekat nanti takut kena rejam atau kena panah ... Nanti mati pulak.

Yang paling lucu dan paling tak berani ialah pahlawan yang pergi berperang pakai baju besi ... nampak biji mata saja. Jenuhlah lawannya tetak dia dengan pedang, atau rejam dengan lembing, semua tak makan. Dia pun letihlah tetak lawannya dengan pedang atau rejam dengan lembing, pun semua tak makan juga. Dua-dua pakai baju besi sebab takut mati. Lepas seminggu berlawan, akhirnya mati juga .... mati kelaparan!

Itu dulu. Sekarang semua sudah berubah. Sekarang orang berperang dah tak pakai keris, pedang, lembing, panah atau sebagainya. Semuannya dah semakin tak berani. Nak pergi menyerang pun sorok-sorok, teropong dari kapal selam. Atau pun pakai roket dari jarak jauh ... beribu-ribu batu, guna satelite untuk kenalpasti sasaran.

Dalam pada itu pun, orang Melayu masih lagi di atas, masih lagi top. Buktinya ... Nodin Mohd Top !
.
.

Saturday, October 3, 2009

DIA.ORANGLAH.PATUT.BUAT ...!

apasal korang ni asyik-asyik
nak harapkan dia orang ?

kalau sampah berterabur di jalan raya
kau kata ... dia oranglah patut kutip.

kalau sampah penuh di dalam parit,
kau kata ... dia oranglah patut bersihkan.

kalau sampah bersepah-sepah di dalam taman,
kau kata ... dia oranglah patut buang.

tapi kalau kita tanya dia orang ... siapa yang patut buat itu semua ?
dia orang kata ... bukan dia yang patut buat.

kalau dia orang kata, dia tak patut buat,
kita pun kata, kita tak patut buat,
habis ... siapa lak yang patut buat ?

v
v
v

dia oranglah patut buat.


* korang memang tak patut !

Thursday, October 1, 2009

MESTI.DIA.ORANG.YANG.BUAT ...!

apasal korang asyik
salahkan dia orang !

kalau memandu secara merbahaya,
mesti dia orang yang buat.

kalau memandu melebihi had laju,
mesti dia orang yang buat.

kalau memandu di lorong kecemasan,
mesti dia orang yang buat.

kalau kita tanya dia orang ... siapa yang buat?
dia kata, bukan dia yang buat.

tapi kalau dia kata, dia tak buat,
dan kita kata, kita pun tak buat,

habis siapa yang buat?
.
.
.

mesti dia orang yang buat !!!

Wednesday, September 30, 2009

KEMALANGAN MAYA ...

Blog list (Blog V.V.I.P) saya ter"remove" semuanya. Macamana boleh jadi, saya pun tak perasan. Inilah dikatakan gatal tangan ... Nak buat semula, satu kerja pulak. Adoiii !

Saturday, September 26, 2009

SONYUM SOKOJAP - 2 ... PELEKAT SENDIRI !

Sebelum raya saya dapat beberapa ikat sampul untuk isi duit raya dari sebuah bank. Disebelah dalamnya ada tertulis perkataan "Pelekat Sendiri" atau "Self-Adhesive". Ini dia contohnya.



Kemudian saya pun masukanlah duit ke dalamnya dan biarkan atas meja. Selepas kira-kira satu jam saya pun datang tengok dan saya dapati sampul tu masih terbuka. Katanya "pelekat sendiri". Rupanya kena lekatkan juga. Tipu betul !


Friday, September 25, 2009

SELAMAT KEMBALI DARI BERAYA !

Alhamdulillah. Itulah ucapan yang terkeluar dari mulut saya sesampainya di rumah saya di Seremban sekembalinya dari beraya di rumah mertua di Perlis. Saya balik ke Perlis pada pagi 3 Syawal (Selasa) dan sampai semula ke Seremban sebentar tadi. Kami menyambut hari raya secara bergilir-gilir. Tahun ini raya pertama di Seremban, tahun lepas pun di Seremban dan tahun hadapan pun insyaallah di Seremban juga. Kami bergilir-gilir bawa kereta !

Semasa balik ke Perlis perjalanan lancar, kecuali ada kemalangan maut berhampiran tol Nilai. Saya sampai di lokasi kemalangan sebaik sahaja kejadian berlaku. Polis pun belum sampai, cuma Plus Ronda sedang sibuk memasang kon dan mayat penunggang motosikal masih terbaring di tengah-tengah lebuhraya. Kalau saya lewat lima minit, mungkin tersangkut dalam kesesakan, yang menurut akhbar keesokan harinya sejauh 7 kilometer. Cuma ucapan kesian sahaja yang dapat di ucapkan kepada yang meninggal dan keluarganya. Saya terkenang anak isterinya yang menunggu di rumah sambil tertanya-tanya kenapa ayah atau suami masih belum sampai-sampai.

Hari ini perjalanan balik ke Seremban dari Perlis, keadaan lalulintas macam biasa seperti sebelum hari raya. Agaknya orang akan balik esok (Sabtu) atau pun Ahad. Cuma ada sedikit kemalangan di lorong sebelah ke utara berhampiran terowong menghampiri perhentian Sungai Perak (tak tahu pula nama terowong tu?) Salah seorang peserta konvoi motosikal berkuasa tinggi rebah di tengah jalan. Tapi dia nampaknya o.k dan semasa saya melintasinya, dia sedang terkial-kial untuk bangun. Kedua-dua kejadian kemalangan itu, menjadi pengajaran buat anak bujang saya yang beria-ia benar nak pakai motor besar.

Sesampainya di rumah, juga tidak ada apa-apa kejadian yang tak diingini berlaku. Risau juga meninggalkan rumah lama-lama. Cuma pokok-pokok bunga sahaja yang nampaknya layu sedikit, tak ada siapa yang tolong siramkan. Jiran pun balik kampung juga. Pendeknya kesemuanya selamat ... selamat pergi, selamat pergi dan selamat yang tinggal. Alhamdulillah.

Yang belum selamat ialah Puasa Enam. Insyaallah hari Isnin nak mula. Kepada sesiapa yang dah mula atau dah dekat nak habis, tahniah saya ucapkan.

Monday, September 21, 2009

DATUK OH DATO' ...!

Semasa bersembahyang raya, saya bertemu seorang sahabat lama yang sudah ada gelaran Datuk/Dato'. Sebelum ini juga, beberapa kawan baik saya telah di anugerahkan gelaran Datuk/Dato'. Entah kenapa saya jadi tak sedap hati bila ramai kawan-kawan rapat saya dapat gelaran Datuk/Dato’. Tak tahu nak panggil macam mana. Nak panggil nama saja, takut dia kecil hati. Nak panggil Datuk/Dato’ pula, rasa macam formal sangat. Nak gurau-gurau kasar macam dulu-dulu, dah tak berapa nak kena. Dia mungkin tak terasa atau tak fikir apa-apa. Atau dia boleh buat macam biasa saja, tapi kita pulak jadi serba salah. Kadang-kadang saya saja-saja cuba tak panggil Datuk/Dato’ dan saya tak nampak dahinya berkerut, tapi saya khuatir ada orang lain ingat kita ni tak reti bahasa pula. Pendeknya, bila kawan rapat kita dapat gelaran Datuk/Dato’, keadaan dah tak macam dulu-dulu lagi … dah rasa macam ada jarak.

Ada orang kata, apa salahnya kita panggil saja Datuk/Dato’ sebagai tanda hormat. Tak ada masalah, tapi bila kita kena panggil Datuk/Dato’ kepada kawan karib kita sejak kecil, macam dah ada satu garisan yang tak nampak yang memisahkan keakraban dan kemesraan. Sedangkan kita nak macam dulu-dulu juga. Bertepuk-tampar dan ber"aku-engkau". Ada juga orang kata, apa salahnya kita berubah sesuai dengan peredaran masa. Tapi takkanlah semua yang ada dalam dunia ini kena berubah mengikut peredaran masa. Takkan perasaan kasih sayang atau persahabatan nak diubah juga. Apakah rasa kasih sayang kepada anak-anak kena berubah bila mereka semua telah meningkat remaja atau dewasa. Saya tak setuju. Noktah. Biarlah apa orang nak kata, perasaan kasih sayang dan persahabatan bukanlah benda yang boleh atau patut berubah mengikut perubahan masa.

Jadi kalau ada kawan-kawan saya, yang saya tak panggil Datuk/Dato’ nanti, jangan kecil hati. Itu maknanya saya masih ingin bersahabat dan ingin mengekalkan kemesraan yang ada. Tapi bilamana saya lihat ada kerut di dahi bila saya tidak panggil dia Datuk/Dato’, maka ketahuilah bahawa mulai dari saat itu, Y.Bhg Datuk/Dato’ perhubungan kita sudah tidak lagi seperti dulu!

Sunday, September 20, 2009

HARI INI HARI RAYA ...!

Hari ini hari raya. Hari kemenangan selepas sebulan berpuasa. Marilah kita sama-sama bergembira meraikannya. Dalam masa yang sama jangan di lupa pada yang tiada. Kepada yang mengunjung blog ini, di kala ini .... sekali lagi di ucapkan selamat hari raya, maaf zahir batin.

Wednesday, September 16, 2009

SELAMAT HARI RAYA ...!

walau mata tak pernah berpandangan
tangan tidak pernah bersalaman
bicara tidak pernah kedengaran
namun budi tetap kedapatan
rasa mungkin pernah terusik
hati mungkin pernah terjentik
apa lagi nak di kata
selamat hari raya
maaf zahir batin.

Saya peturunkan kembali nukilan dari blog puecorgxret untuk peringatan diri sendiri dan mungkin juga sebagai iktibar kepada orang lain (kalau dah pernah baca ... tak apa, baca lagi sebab Melayu mudah lupa!)

TUHAN KU ... AMPUNILAH DAKU!

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil pendengaran ku
yang cenderong melayan perkara keliru.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil penglihatan ku
yang gemar tersasar ke daerah biru.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil upaya lidah ku
yang sering lalai menyebut nama Mu.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil ingatan ku
yang kerap terlupa mengenang wujud Mu.

Tuhan-ku
aku tahu
sesungguhnya Engkau mampu
jika Kau mahu
saat ini
mengambil nafas ku
kerana pendengaran ku, penglihatan ku, lidah ku dan ingatan ku
dari limpah rahmat Mu
tidak membulat kepada Mu.

Tuhan ku
Ampunilah daku.

Tuesday, September 15, 2009

SONYUM SOKOJAP - 1 ... KURANG ASAM !

Kenapa ya ...?

1. bila kurang manis, kita tambah gula,

2. bila kurang masin, kita tambah garam,

3. bila kurang pedas, kita tambah lada,

4. bila kurang asam, kita kena ketuk !

Monday, September 14, 2009

TEGUR SALAH TAK TEGUR SALAH ...!

Tuan2 dan Puan2 sekelian.

Maaf. Saya emosi sikit hari ini. Sepatutnya ada entri lain yang saya nak poskan. Disebabkan satu hal (yang saya rasa ada kepentingan bersama), saya buat entri ini untuk mendapat padangan tuan/puan. Saya terjumpa blog ini di mana, pemiliknya menggunakan perkataan "kecarutan" di tempat kita memberi ulasan atau komen. Saya pun menegurnya kerana perkataan itu saya rasa tidak patut digunakan dan sebagai orang yang sudah berumur saya rasa bersalah kalau tidak berbuat demikian. Dia nampknya tak berapa bersetuju walaupun berterima kasih atas teguran saya. Saya salin dan turunkan di sini skrip penuh apa yang saya tegur dan apa pula jawapannya.
---------------------------------------------------------------
" al-lavendari said...



pak cik nak tegur sikit ... jgn kecil hati ye! Perkataan "kecarutan" tu pak cik rasa kurang sesuai di gunakan untuk meminta orang beri komen. bila pak cik beri komen, macam pak cik mencarut pulak. kalau di kampung pak cik, perkataan mencarut tu bawa makna yang tak berapa manis di dengar. maaf kalau pandangan pak cik ini berbeza dgn anne.


7:48 AM, September 12, 2009


Anne said...


maaflah ye..menurut kamus dewan: perkataan mencarut atau carut itu bermaksud SESEORANG YANG BERCAKAP MEREPEK DAN MENGARUT..Kita panggil tukang karut..kalau ianya tak bersesuaian pada pandangan individu,rasanya kita kena cuci dulu minda supaya tidak memanipulasikan bahasa dengan merosakkannya..CARUT BUKAN PERKATAAN LUCAH SEBENARNYA..CUCI MINDA, BERSIH HATI..InsyaAllah...Maksud perkataan elok tp kita sendiri yang buat ia jadi begitu buruk..hilang sudah keindahan bahasa yang selalu diagung-agungkan...harap maklum...~MAAF ANDAI KATA-KATA SAYA SEDIKIT KASAR...terima kasih atas teguran...


8:32 PM, September 12, 2009

al-lavendari said...

Salam anne.


Pak Cik juga rujuk Kamus Dewan sebelum beri pandangan. Pak Cik "copy" apa kata "Kamus Dewan Elektronik Dewan Eja Pro" mengenai makna "carut".


carut• perkataan yg keji dan kotor (cabul): perkataan hamun dan maki, ~ dan cabul; ~-capai = ~-marut berbagai-bagai perkataan yg keji dan kotor; • bercarut, bercarut-carutmengeluarkan perkataan yg keji dan kotor: sampai beliau ~; ~ bungkang Mn mencarut-carut, memaki-maki; • mencarut, mencarut-carutmengeluarkan perkataan yg keji dan kotor, memaki-maki: kadang-kadang ~ dan meludah; • mempercarutimemaki-maki orang dgn perkataan yg keji; • carutan(perkataan, kata-kata) yg keji dan kotor, (kata-kata) yg cabul: penyair menjauhkan kata-kata ~ yg kasar; • pencarut1. suka mencarut; 2. orang yg suka mencarut.



Tak apalah kalau awak tak setuju. Mungkin ada pembaca awak atau anak2 Pakcik (mereka selalu ikut ke mana Pakcik pergi) yang sudi dan mahu mendengar nasihat.

11:04 AM, September 14, 2009"

---------------------------------------------------------------
Saya segera teringat akan blog "Cerita Kaki Lima" di mana Sdr. Prasert E.C telah membuat satu entri yang menarik, bertajuk "Sekadar Menyibuk" . Memang benarlah kata saya dalam blog tersebut sebelum ini bahawa "menyibuk dan mengambil berat, garis pemisahnya amat tipis".

Lalu saya serahkan kepada tuan/pun untuk mengadili saya.

1. Salahkah saya menegur pemilik blog tersebut?

2. Salahkan perkataan atau ayat yang saya gunakan?

3. Salahkah perkara yang saya tegurkan itu?

4. Betulkah jawapan yang diberikan oleh Anne itu?

5. Patutkah saya biarkan sahaja, dan usah menyibuk?

Untuk makluman semua, saya sendiri pernah menggugurkan dua entri saya sebelum ini; pertama mengenai jenaka seorang suami yang nak kawin lagi satu yang ditegur oleh KLCitizen dan yang kedua mengenai orang cacat yang ditegur oleh Maiyah. Walaupun kedua2 entri saya itu lebih ramai yang berpendapat tiada salahnya, tetapi saya berpendapat kebenaran itu tidak sentiasa berpihak kepada yang ramai.

Sekian, berilah pandangan ikhlas tuan/puan dan setiap pandangan akan saya hargai dan saya dahului dengan ucapan terima kasih. Sekian.

Friday, September 11, 2009

KISAH SEORANG PEMECAH BATU DI ZAMAN DAHULU KALA ...!


Gambar Ihsan - Google

“Al-kisah tersebutlah sebuah cerita mengenai sekumpulan pemecah batu yang bekerja memecahkan batu di kaki gunung untuk di jual. Salah seorang daripada mereka tidak puas hati dengan kerjanya. Mana tidaknya, pendapatan yang diterima sudahlah sedikit, kerjanya pula bermandi peluh, panas dibakar sang matahari. Si pemecah batu yang seorang ini mencemburui sang matahari yang kerjanya hanya menyinarkan cahayanya. Dia pun bercita-cita ingin menjadi matahari, lantas berdoa pada sang dewata. Doanya dimakbulkan dan jadilah si pemecah batu tadi matahari. Maka bergumbiralah dia menyinarkan cahaya kepada semua makhluk di bumi. Tambah-tambah lagi bila melihat ada manusia yang mengeluh dan menangis kepanasan. Tiba-tiba datang awan menghalang pancarannya. Dia geram, kecewa dan merasa tidak puas hati kerana tidak boleh berbuat apa-apa. Maka sekali lagi memintalah akan dia pada sang dewata, supaya dia ditukarkan menjadi awan pula. Sekali lagi doanya dimakbulkan dan bertukarlah dia menjadi awan. Maka bergumbiralah dia kerana berupaya menghalang pancaran matahari dari menyinari bumi.

Dalam keasyikannya menghalang sinaran matahari, tiba-tiba dia ditolak ke sana ke mari oleh sang angin. Apalagi dia pun merasa geram, kecewa dan tidak puas hati kerana tak dapat berbuat apa-apa. Dia pun berhasrat untuk menjadi angin pula, agar dia dapat mempermain-mainkan sang awan. Lantas dia pun berdoa kepada sang dewata agar dia ditukarkan menjadi angin pula. Kali ini doanya dimakbulkan juga. Maka bergumbiralah dia dapat menunda sang awan ke mana dia suka. Dalam pada bergumbira menolak awan ke sini sana, pergerakannya tiba-tiba terhalang pula oleh sebuah gunung. Sebagai angin dia tak berupaya untuk menolak gunung sepertimana yang dapat diperlakukannya kepada sang awan. Bila sahaja terlanggar gunung badannya akan hancur berkecai. Tersangatlah kecewa sang angin itu kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Dia seperti selalunya tidak puas hati atas sifat kejadiannya dan bercita-cita pula untuk menjadi gunung dan terus berdoa kepada sang dewata agar dirinya dijelmakan menjadi gunung. Kali ini pun doanya dimakbulkan dan menjadilah akan dia gunung pula.

Gumbira tak terkata sang gunung bila mana mendapati sang angin tak dapat mengalahkannya. Tiupan sang angin bagaimana kuat sekalipun, tidak boleh mencacatkannya bahkan habis di tepisnya. Tiba-tiba dia terasa kakinya sakit bagai di gigit oleh sesuatu. Bila dia melihat ke bawah terlihat olehnya akan sekumpulan pemecah batu sedang bernyanyi-nyanyi sambil bekerja memecahkan batu. Dia berasa geram dan sakit hati kepada pemecah batu kerana jasadnya sedikit demi sedikit terhakis oleh pemecah batu tadi. Dia tidak puas hati dengan dirinya yang walaupun gagah tidak dapat berbuat apa-apa terhadap pemecah batu tersebut. Dia juga khuatir satu hari nanti jasadnya akan habis begitu sahaja. Cemburunya juga bertambah apabila melihat pemecah-pemecah batu tersebut bekerja dengan penuh gumbira sambil bernyanyi-nyanyi. Akhirnya dia memohon kepada sang dewata untuk menjadi sebagai pemecah batu semula. Dan sebagaimana biasa, doanya tetap dimakbulkan oleh sang dewata, dan menjadilah dia pemecah batu semula". Sekian adanya.

*di adaptasi dari buku cerita semasa kecil2 dulu berasaskan saki baki ingatan. Tajuk bukunya pun dah lupa.