Showing posts with label sinis. Show all posts
Showing posts with label sinis. Show all posts

Wednesday, October 16, 2024

GELAGAT SESETENGAH ORANG.

Bila diminta buah fikiran, dia jawab, "Banyak lagi yang cerdik pandai dalam kampung ni"

Bila disuruh buat kerja, dia jawab, "Banyak lagi yang muda-muda dalam kampung ni"

Tapi bila ada kambing golek kat masjid, sanggup pulak dia beratur. Tak pulak dijawabnya, "Banyak lagi orang yang belum dapat dalam kampung ni".

Saturday, September 16, 2023

TELADAN YANG BAIK.


Tepi jalan sambil berdiri pun boleh.

Setelah berhari-hari menonton gambar dan video Kembara Kenali Borneo, saya merasakan bahawa raja2 berupaya menyatupadukan seluruh rakyat. Syaratnya raja2 hendaklah tidak memihak kepada mana2 parti politik kerana jika mereka berbuat demikian, rakyat akan hilang hormat kepada mereka.  Kekallah berkecuali sampai bila-bila untuk memastikan kelangsungan institusi raja berperlembagaan di negara kita. Cukuplah orang2 politik memecah belahkan rakyat selama ini.

Di samping itu raja2 juga hendaklah sentiasa bersikap merendah diri dan mesra rakyat seperti yang telah ditunjukkan oleh Sultan Abdullah dan keluarga baginda dalam menyantuni seluruh rakyat jelata yang mereka temui di sepanjang perjalanan dari Tawau hingga ke Telok Melano.

Daulat Tuanku.

# Selamat Menyambut Hari Malaysia.

Thursday, October 14, 2021

LABANG SEPANG.


 Gambar hiasan hasil carian Google. 

Orang kita lebih suka panggil airport dari lapangan terbang.

Saya rasa ia kerana perkataan itu lebih mudah disebut dan pendek ejaannya. Bukannya sebab orang kita tak cintakan Bahasa Melayu. Kalau banyak lapangan terbang, lagi panjang ejaannya sebab kita kena tulis dua kali. Dulu2 sebelum sistem ejaan baru,  kita boleh letak angka dua untuk perkataan berganda. 

Kalau perkataan lapangan terbang ini ingin diringkaskan, apakah perkataan yang sesuai?

Saya cadangkan perkataan "labang" ok tak ? 


Sunday, December 6, 2020

JANGAN KISAH ORANG LAIN BELI KUIH APA.

Saya ibaratkan berpolitik ni macam nak beli kuih untuk minum petang. Belilah kuih yang sesuai dengan tekak sendiri.  Kalau tak suka,  tak usah beli. Selesai masalah.  Jangan pula dicaci maki penjualnya atau kuihnya.

Dan satu lagi,  kalau orang lain beli kuih yang tak serupa dengan kuih yang awak beli,  jangan pulak pergi serang orang tu dengan kata2 yang kesat dan kotor.  Biarlah dia nak beli kuih apa pun.  Selera manusia tak sama.  Yang nak makan dia,  bukannya awak.  Dia beli pun bukannya minta duit awak.

Tuesday, July 14, 2020

INI PARLIMEN KE?

Semalam sekerat hari saya ikuti persidangan Parlimen.  Saya tidak gembira melihat apa yang terjadi.  Terpekik terlolong di sana sini. Tetapi bukanlah semua MP berkelakuan begitu.  Cuma beberapa kerat sahaja. 

Kenapa ini terjadi?

Saya simpulkan sebabnya dengan dua perkataan, iaitu "BALAS DENDAM".

Begini. 

Masa BN memerintah dulu, persepsi umum mengatakan speaker lebih memihak kepada MP dari BN.  Masa itu MP dari PH simpan sahaja rasa marah,  tak puas hati,  geram dsb. Bila PH pula memerintah, mereka balas dendam.  Kali ini MP dari BN pula merasakan apa yang dirasakan oleh MP dari PH dahulu. Mungkin dalam hati mereka berkata,  "nantilah bila kami memerintah semula,  tahulah nasib engkau".

Itulah yang terjadi semalam. Banyak perkataan yang tak sesuai diucapkan,  lawak hambar di samping tidak menghormati peraturan dewan.

Perbuatan atau sikap ini tidak baik.  Ia lebih teruk dari program debat masa saya bersekolah menengah dahulu. 

Bilakah agaknya mereka akan berubah?



Nota kaki: Saya tidak menyebelahi mana2 pihak.

Friday, May 8, 2020

MARI KITA BOIKOT.

Kisah ini berlaku pada tahun 50an mengenai sebuah kedai runcit di sebuah kg Melayu tradisional yg jauh di pendalaman. Pemiliknya bukan seorg Melayu tulin. Pada masa itu, hanya itulah satu2nya kedai runcit yg ada dlm kampung tersebut.  Kedai runcit lain yg terdekat adalah kira-kira 8 batu jauhnya di sebuah kg yg lain.

Pada suatu hari, entah mcm mana mungkin kerana terlalu marah, taukeh kedai runcit itu telah mengeluarkan kata2 yg disifatkan sebagai menghina org Melayu. Oleh kerana terlalu marah dgn kata2 taukeh tersebut,  penduduk kg pun berpakat utk memboikot kedai berkenaan.

Dgn semangat yg berkobar2, masing2 pun beralih membeli barang keperluan dari kedai runcit milik Melayu di kg yg berjiran. Dipendekkan cerita, selang 5-6 hari mulalah masing2 tawar hati kerana kedai Melayu tersebut terletak jauh dan harga barang2 pula umumnya lebih mahal. Utk ke kedai tersebut sgt meletihkan kerana terpaksa berjalan kaki atau mengayuh basikal.  Maka akhirnya mereka bersetuju utk membeli semula barang2 keperluan dari kedai runcit di kg mereka. Sebelum itu diputuskan seorg drp mereka berjumpa taukeh kedai tersebut utk memberi amaran. Beginilah kata2 wakil tersebut,

"Saya sebagai wakil penduduk kampung ini ingin beri amaran kepada kamu,  jika sekali lagi kamu cakap mcm itu,  kita akan boikot terus kedai awak.  Ingat.  Ini adalah amaran terakhir yang pertama"

Taukeh kedai tersebut dgn nada kesal telah berjanji utk tidak mengulangi kata2 yg pernah diucapkan sebelum ini.

Nota kaki.  Ini bukan kisah benar. Ia ada kena mengena dgn yg masih hidup atau pun yg telah mati.


Gambar berikut sekadar hiasan.


Wednesday, April 8, 2020

BERI BETIS NAKKAN BERAS WANGI.


Walaupun ada betulnya peribahasa "beggars can't be choosers" itu,  tetapi ingatlah sebagai pemberi hendaklah kita beri apa yang terbaik. Janganlah beri benda yang dah rosak, yang tamat tempoh, yang tidak berkualiti dan seumpamanya.

Di pihak penerima juga janganlah mengada-ngada.  Orang dah beri beras tempatan Cap Ayam, ambil sahajalah.  Jangan pulak tanya,
"Beras Jasmine Sunwhite AAA Special Fragrance tak ada ke? "


Saturday, March 28, 2020

BERLAKU ADIL JUGALAH KEPADA ORANG KAYA.



KALAU ada orang kampung yang bervideo dekat rumahnya yang buruk dan usang, sambil berpesan kepada penonton supaya duduk di rumah, saya percaya tak ada orang yang akan cakap kat dia jangan nak menunjuk-nunjuk.

Tapi BILA ada orang kaya yang berbuat demikian dekat rumah dia,  pasti ada yang kata  tak usahlah nak menunjuk-nunjuk. Nak buat macamana. Itu kan rumah dia. Habis tu memang orang kaya tak boleh tunjuk rumah mereka ke? Takkan dia nak pergi bervideo dekat rumah orang lain yang buruk pulak.

Dalam pada itu saya juga sedar memang ada orang kaya yang suka menunjuk-nunjuk. Saya pun tak selesa dengan perangai mereka,  tapi saya tak pernah pun kecam dia. Pokok dek diolah asalkan dia tak ganggu hidup saya.




Thursday, August 30, 2018

YANG MANA MANALAH ..



Yang mana ikhlas yang mana curang,
Yang mana padi yang mana lalang,
Yang mana cerdik yang mana bangang,
Yang mana lurus yang mana pincang,
Yang mana damai yang mana perang,
Yang mana dayus yang mana pejuang,
Yang mana mentah yang mana matang,
Yang mana dukun yang mana jembalang,
Yang mana kukuh yang mana goyang,
Yang mana samar yang mana terang,
Yang mana sesumpah yang mana orang,
Yang mana macai yang mana hulubalang,
Yana mana bendul yang mana tiang,
Yang mana sebarau yang mana seluang,
Yang mana kecut yang mana kembang,
Yang mana bernas yang mana sambang,
Yang mana terus yang mana simpang,
Yang mana kendur yang mana tegang,
Yang mana pipit yang mana enggang,
Yang mana ungkit yang mana ulang,
Yang mana angkut yang mana tumpang,
Yang mana risau yang mana sayang,
Yang mana pangkas yang mana tebang,
Yang mana balun yang mana pantang,
Yang mana geram yang mana berang,
Yang mana curah yang mana tuang,
Yang mana gatal yang mana jalang,
Yang mana usap yang mana pegang,
Yang mana sepak yang mana terajang,
Yang mana tunggul yang mana tunjang,
Yang genggam yang mana pegang,
Yang mana umpat yang mana bincang,
Yang mana serang yang mana perang,
Yang mana kuyu yang mana buntang,
Yang mana pinjam yang mana hutang.





Sunday, July 29, 2018

KATA-KATA PENYOKONG UMNO DAN PKR SELEPAS PRK.


Calon-calon PRK Sungai Kandis.


Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis nanti natijahnya samada UMNO atau PKR akan menang. Komen-komen seumpama ini dijangka akan diucapkan oleh penyokong kedua-dua belah pihak.

1. Kalau UMNO menang. 

Penyokong UMNO - Ini petanda jelas bahawa rakyat sudah menolak PKR dan kerajaan PH kerana bersikap munafik dengan mempermain2kan mereka dengan janji2 palsu semasa PRU yang lepas.

Penyokong PKR - Kita sudah menjangka akan kalah kerana biasanya pengundi tidak kisah sangat untuk keluar mengundi dalam PRK. Mereka tahu samada kalah atau menang, PH tetap akan memerintah Selangor.

2. Kalau PKR menang.

Penyokong UMNO - Dalam PRK jarang pembangkang boleh menang kerana kerajaan akan menumpukan seluruh jenteranya ke kawasan PRK. Kita tidak kisah pun kalah kerana yang penting kita nak tunjukkan bahawa UMNO masih lagi utuh dan tidak hancur seperti dakwaan macai-macai PH.

Penyokong PKR - Ini bukti jelas bahawa pengundi lebih mengutamakan integriti dan ketelusan mengatasi benda-benda remeh temeh seperti panghapusan tol, GST, PTPTN, menurunkan harga minyak dan sebagainya.

Kita tidak tau siapa yang akan menang. Masing-masing pihak yakin akan menang. Bagaimana pun saya sendiri kuat menjangka PKR akan menang.




Friday, July 27, 2018

BEZA CALON DAN MACAI.


Calon 1: "Terserahlah kepada para pengundi untuk memilih siapakah calon yang dirasakan dapat memberi khidmat yang terbaik kepada mereka kerana demokrasi memberi hak kepada mereka untuk membuat pilihan"

Calon 2: "Betul tu .. kita kena terima dengan berlapang dada sesiapa sahaja yang jadi pilihan pengundi kerana pengundi sekarang adalah bijak dan berpengetahuan belaka.

Macai 1: "Orang yang bangang je yang mengundi UMNO"

Macai 2:  "Kalau nak  kena kencing lagi, teruskanlah pilih PKR"


Tuesday, April 17, 2018

SONYUM SOKOJAP # 88: PKS, PAB DAN PSM ?

Gambar hiasan hasil carian Google.

Pada satu petang, sambil mengeteh di port biasa, Che Ngang, Che Ngok dan Che Wel, sembang-sembang tentang minat politik masing-masing.

Che Ngang: "Aku minat parti PKS".

Che Ngok: "PKS tu parti apa?"

Che Ngang: "Parti Kitar Semula. He he he.  Engkau pulak minat parti mana?"

Che Ngok: "Aku minat Parti PAB .."

Che Ngang: "PAB tu apa?"

Che Ngok: "Parti Anak Beranak. He he he".

Che Wel: "Aku pulak minat parti PSM". 

"Parti apa pulak tu?", soal Che Ngang dan Che Ngok serentak.

Che Wel: "Parti Sepanjang Malam".

Kemudian mereka bertiga ketawa berjemaah.




Monday, March 12, 2018

RIMAS KALAU SEMUA TAK KENA.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Saya rimas jika membaca komen-komen di laman sosial yang meremehkan pencapaian rakyat atau negara kita. Misalnya ..

1. Bila jadi johan nyanyian di Zimbawe, depa kata "alah .. kat Zimbabwe je bukan Amerika pun". Tetapi bila jadi johan nyanyi kat Amerika, depa kata "apa nak heran .. orang kita memang suka hiburan".

2. Bila jadi johan lumba basikal dekat sukan SEA, depa kata "sukan SEA je, bukannya olimpik". Tetapi bila jadi johan kat olimpik, depa kata, "lumba basikal bolehlah, bukannya F1".

3. Bila Presiden Sri Langka lawat Malaysia,  depa kata "Sri Langka je, bukannya Amerika". Tetapi bila presiden Amerika lawat, depa kata, "buat apa bersekongkol dengan penyokong Yahudi tu".

4. Bila Malaysia muncul sebagai pengekspot minyak sawit terbesar di dunia, depa kata "ala .. minyak sawit je, bukannya kapalterbang". Tetapi jika takdirnya nanti Malaysia jadi pengekspot utama kapalterbang, depa kata, "eleh .. orang lain dah beratus tahun jadi pengeksport".

Kalau awak tak suka kepada pemimpin atau tokoh tertentu, saya tak kisah. Sedangkan Nabi Muhammad pun ramai yang tak suka. Tapi janganlah memanjang memandang rendah kepada pencapaian orang kita atau negara kita. Yang awak tu, hebat sangat ke ?




Friday, March 9, 2018

GODAAN SYAITAN ITU BENAR.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Dia sudah siap berjubah, berserban, berselimpang, berkopiah, berwangi-wangian sambil memegang tasbih di tangan untuk pergi solat Maghrib di surau berhampiran dengan rumahnya.

Kemudian dengan sangat tertibnya dia keluar rumah dengan menghulur kaki kiri dahulu sambil membaca Bismillah. Selanjutnya dia memakai selipar dengan mendahulukan kaki kanan sambil membaca Bismillah.


Sampai di surau dia menghulur kaki kanan memasuki surau dan terus menuju di saf pertama. Sementara menunggu masuk waktu Maghrib, dia berzikir.


Selesai azan Maghrib dia pun bangun menunaikan sunat Qabliah Maghrib dan berdoa. 


Semasa solat Maghrib dia berdiri betul-betul di belakang imam. Selesai solat fardhu Maghrib dia berwirid dan berzikir bersama dengan jemaah lain diikuti dengan solat sunat Ba'diah Maghrib.

Usai solat sunat Maghrib dia keluar surau dengan mendahulukan kaki kiri serta selanjutnya memakai selipar dengan mendahulukan kaki kanan dan bergegas ke keretanya agar segera sampai ke rumah sebab dia  tidak mahu terlepas menonton berita di tv. Kebetulan pula malam itu tiada tiada kuliah Maghrib kerana ustaz ada jemputan di luar daerah. 


Sesampainya dia di keretanya dia dapati ada orang parking kereta betul-betul di belakang kereta dia yang menyebabkan keretanya terhalang untuk keluar. Lantas terkeluar kata-kata ini dari bibirnya,


"Sial punya dreba, parking kereta macam gampang .. masa kecik tak nak mampus .. dah besar menyusahkan orang".

Pengajarannya: Semakin seseorang itu berusaha merapatkan diri kepada Allah semakin kuat godaan iblis.

* Tiada kena mengena secara khusus kepada mana-mana-mana individu samada yang hidup atau yang sudah mati. 



Thursday, February 1, 2018

PERIBAHASA BERKAITAN KERBAU, NILA DAN AYAM.

 
 Gambar hiasan hasil carian Google.

Kadang-kadang secara tidak serius, melihat situasi semasa masyarakat kita, saya terfikir juga untuk membuat peribahasa versi baru berasaskan peribahasa lama pusaka nenek moyang kita,  seperti berikut:

1. Asal:  Seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit.
Versi baru: Banyak kerbau membawa lumpur, yang seekor pun turut terpalit. 

Maksudnya: Kalau kita seorang tak buat salah dan ramai orang yang buat salah, pasti kita akan turut terlibat sama.

2. Asal. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. 
Versi baru:  Kerana nila secerek rosak susu sebelanga. 

Maksudnya: Kalau ramai yang buat masalah, tentulah habis orang lain pun terlibat sama.

3. Asal: Kalau seekor ayam tidak berkokok, hari siang juga.
Versi baru: Kalau semua ayam tak berkokok, hari siang juga. 

Maksudnya: Kalau semua orang tak buat perkara itu, perkara itu tetap terjadi juga.

Cukuplah tiga dahulu. Bila ada idea, saya sambung lagi.


Tuesday, January 9, 2018

JANGAN UKUR BAJU KAT BADAN ORANG.

Ilustrasi hiasan hasil carian Google.

Kata orang tua-tua, ukur baju di badan sendiri. Pilihan sentiasa ada yang bersesuaian dengan kemampuan kita. 


Tak mampu beli kereta, naik bas.

Tak mampu masuk hospital swasta, pergi hospital kerajaan.


Tak mampu masuk Tadika Smart Reader, masuk tadika KEMAS.


Tak mampu melancong ke Switzerland, melancong ke Langkawi.


Tak mampu makan nasi kandar Line Clear, makan nasi bajet.


Tak mampu beli kasut Adidas, beli kasut BATA.


Tak mampu mancing kat kolam berbayar, mancing kat lombong tinggal.


Tak mampu pakai gelang Habib, pakai gelang Zhulian.


Tak mampu tengok ASTRO, tengok tv percuma.


Tak mampu pakai Samsung Galaxy 8, pakai Samsung J1.


Tak mampu beli beras wangai cap Naga Mutiara, beli beras biasa cap Rambutan.


Masalah timbul bila kita nak juga beli benda yang kita tak mampu walaupun ada pilihan lain yang membolehkan kita terus bernafas. Jadi jangan merungut kalau hidup sentiasa tertekan kerana kesempitan.




Wednesday, November 22, 2017

KALAU NAK BERBEZA PENDAPAT BOLEH SAJA.



 Gambar hiasan hasil carian Google.

Saya tiada masalah kalau kita berlainan pendapat. Tiada hak saya untuk melarang sesiapa beri pendapat yang berbeza dengan pendapat saya. Cuma dalam memberi hujah, saya mohon gunalah kayu ukur yang sama. Seperti kata omputih, jangan "double standard" .

Contoh: Kalau orang yang kita benci guna lorong kecemasan di
lebuhraya, kita kata perangai dia buruk. Siap sumpah seranah lagi. Tapi bila orang yang kita suka, buat macam itu, kita keluarkan macam-macam 'hadis' untuk membela perbuatannya.  Itu contoh je.

Saya bukannya marah, cuma minta tolong dari orang yang berkaitan.


Monday, May 8, 2017

KITA KAN DAH DEWASA !

Gambar hiasan hasil carian Google.


Masing-masing rasa dia dah dewasa,
masing-masing kata dia sudah boleh berfikir sendiri,
masing-masing kata dia sudah boleh berusaha sendiri,
masing-masing kata mahu jadi seperti rakyat di negara maju,
tapi bila subsidi ditarik, habis riuh rendah satu Malaya macam dunia sudah terbalik.

Masing-masing kata dia benci rasuah,
masing-masing kata dia benci kronisme,
masing-masing kata dia benci pilih kasih,
tapi bila kena saman, kenapa coba 'berunding' sama pak polisi,
bila minta projek kenapa tak mahu masuk tender tapi mahu dianugerahi terus,
bila anak minta kerja kenapa melilau cari 'orang dalam'.

Rakyat negara maju macam itu kah ?




Thursday, April 27, 2017

KAU SIAPA ?



 Bukanlah niat saya nak single out dia seorang sahaja. Namun begitu ia adalah berkaitan dengan entri ini.

Kerap kali saya terjumpa orang beri komen yang mengutuk atau menilai orang lain yang pada fikirannya berperangai atau bersikap negatif.  Seolah-olah dia tak terlibat langsung dengan isu atau perkara yang dia komen itu dan dia macam bukan sebangsa dengan orang yang dia komen. Contohnya seperti di atas. Komennya seolah-olah dia bukan orang Melayu. Tapi saya tahu dia orang Melayu.

Antara komen-komen tipikal yang lain yang saya pernah jumpa adalah lebih kurang seperti berikut:

Melayu memang mudah lupa - adakah dia bermaksud hanya dia seorang sahaja yang tidak mudah lupa?

Melayu mudah kena beli - adakah maknanya hanya dia seorang sahaja yang tidak mudah kena beli?

 Melayu memang pemalas - adakah ini bermakna hanya dia seorang sahaja yang rajin?

Orang Malaysia memang tiada kesedaran sivik - adakah maknanya hanya dia seorang sahaja yang ada kesedaran sivik?

Orang Malaysia memang pentingkan dunia - adakah ini bermakna hanya dia seorang sahaja yang sangat mementingkan akhirat?

Adakah begitu ? Jangan asyik nak menilai orang jer kerjanya. Sesekali cubalah nilai diri sendiri pulak.

* Peringatan kepada diri sendiri.





Friday, March 3, 2017

LOBAI SALLEH PART 9: BIDAAH.


Gambar hiasan hasil carian Google.


Perbualan antara Lobai Salleh dengan seorang pemuda berjanggut di tempat letak motor surau selepas usai solat Isyak.

Lobai Salleh: "Awak tak pergi kenduri tahlil ke?"

Pemuda: "Tak .. itu semua bidaah"

Lobai Salleh: "Kalau solat tahajud, sedekah atau puasa sunat Isnin dan Khamis tu bidaah juga ke?"

Pemuda: "Yang itu semua adalah digalakkan kerana ada nasnya".

Lobai Salleh: "Kalau begitu tentu awak tak pernah tinggal solat tahajud, banyak bersedekah dan lazim berpuasa sunat kan?".

Pemuda: "err err err ..."
Nota kaki:

Profil Lobai Salleh di sini.