Wednesday, December 28, 2016

KINI MASANYA SUDAH TIBA.

Semalam saya buat sebuah entri menjemput dan mengharap penyertaan dari anda semua pembaca blog ini. Setelah lebih dari satu hari satu malam, hanya dua orang sahaja iaitu Normah Kumin dan Zino yang sudi turut serta. Maka sedarlah dan mengertilah saya bahawa sudah sampai masanya untuk saya mengundurkan diri dari dunia blogging.

Maka dengan itu, saya buat keputusan untuk berhenti berblog, walau pun agak berat rasanya, berkuatkuasa mulai hari ini.

Terima kasih atas segala sokongan anda selama ini. Saya memohon maaf jika ada tulisan saya yang telah menyinggung perasaan anda semua.

Semoga berjumpa lagi di tahun hadapan. Insyaallah.
  

Terima kasih Normah Kumin dan Zino.  
                 








Tuesday, December 27, 2016

MARI KITA MAIN SMS 11 - SPAD.


Kali terakhir kita bermain SMS adalah pada 19 Disember 2013 dengan akronim PTPTN.  Entrinya di sini. Diam tak diam rupanya sudah lebih 3 tahun kita tidak bermain permainan ini

Semua penyertaan adalah menarik hati seperti berikut :


Pergi Tengok Pelajar Tidur Nun

Pakcik
Tak
Pandai
Tengok
Nombor!

Pelajaran Tanpa Pengalaman Tiada Nikmatnya...

Paling
Tak
Penting
Tapi
Nak

Pengantin Tua Pandang Tak Nampak.....huhuhu

Pantang Tengok Perempuan Tinggi Nafsu

Eh? Sukalah akronim yg ini! Hahahahahah!

Pakcik....sy try!

P - Pui!
T - Tak
P - Patut
T - Tempah
N - Nahas!

Kali ini sekali lagi saya ingin mencabar minda anda untuk memberi akronim SPAD pula. Saya tahu semua orang tahu SPAD (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat). Seperti biasa saya mulakan dulu.


SPAD=  SIAPA POTONG AKU DEBIK.

Sekarang anda sambung pula, jika sudi dan ada idea. Kalau tak ada idea, pergi cari idea dulu. Nanti datang balik bila sudah ada idea ! hehe.


Monday, December 26, 2016

TERKENANG SEMASA DULU - 93 : MELAWAT LOBANG.

Ini adalah sambungan dari entri ini.

Kami perlu menggunakan khidmat seorang 'guide' dengan bayaran RM5 seorang untuk memasuki Lobang Jepang ini. Apa yang saya tulis adalah berdasarkan pemerhatian dan  ingatan saya seperti yang dikatakan oleh guide kami yang bercakap cukup laju kerana agaknya ingin mengejar trip. 


Lubang Jepang ini dibina oleh buruh paksa Jepun yang bukan terdiri dari orang tempatan tetapi sebaliknya dari Pulau Jawa, selama pemerintahan mereka kira-kira 3 setengah tahun di Indonesia. Katanya lubang ini dijadikan pusat pentadbiran tentera Jepun untuk memerintah seluruh Indonesia. Panjang keseluruhan lubang ini lebih dari 1 kilometer.

Satu sahaja kebimbangan saya semasa memasuki lubang ini ialah kemungkinan berlaku gempa bumi dan kami terperangkap di dalamnya. Tetapi setelah diyakinkan oleh guide kami bahawa tempat ini selamat kerana sudah berpuluh kali gempa bumi melanda Indonesia, lobang ini masih tak apa-apa, saya pun  bersetuju untuk memasukinya.

Terlalu banyak kisah duka, sedih dan pilu di sepanjang pembinaan dan operasi lubang ini. Tidak terhitung berapa banyak nyawa telah terkorban di sepanjang pembinaan lobang ini. Dan kalau mengikut logik seorang menteri kita dulu semasa mempertahankan tindakan meroboh penjara Pudu, lobang ini patut dikambus sahaja kerana ia meninggalkan kesan yang tidak perlu dikenang.


Gambar 1: Berlatarbelakangkan tulisan yang mengalu-alukan kedatangan parawisata (pelancong).


Gambar 2: Pelan dalam lubang Jepang.


Gambar 3: Tangga yang menurun menuju masuk ke dalam lobang.


Gambar 4: Terowong dalam lubang ini agas luas dan tinggi untuk kami lalui dengan selesa.


Gambar 5: Teater mini yang boleh memuatkan 20 orang penonton masih belum beroperasi.


Gambar 6: Ruang sidang ini adalah untuk bersidang .. hehe.


Gambar 7: Pemandangan sebahagian Ngarai Sianok (mirip Grand Canyon seperti terdapat di USA) yang jelas kelihatan dari atas lubang Jepang. Hasil tangkapan jurukamera amatur.


Gambar 8: Pandangan dari sebuah 'tingkap' yang dikatakan digunakan untuk keluar membuang air.


Gambar 9: Kita keluar ikut pintu sini. Kalau nak masuk melalui pintu ini juga boleh.

Menurut guide kami, sehingga kini masih lagi tidak diketahui kemanakah dibuangkan tanah-tanah yang telah digali. Begitu juga masih tidak diketahui kemanakah mayat-mayat pekerja yang telah mati  ditanam. Misteri ini masih lagi belum terungkai pada masa lawatan kami. Tak tahulah sekarang macamana.


Gambar Ngarai Sianok hasil tangkapan kamera profesional yang saya jumpa dalam internet untuk tatapan anda yang belum pernah sampai ke sana.




Sunday, December 25, 2016

A.K.U K.E.L.I.R.U - 34 : SAYA DIINTIP OLEH ORANG AMERIKA DAN PUTRAJAYA ?

Saya tidak pasti adakah anda mengalami fenomena yang serupa dengan saya. Ada masa-masa tertentu, pelawat yang terakam dalam gajet mengesan mereka datang dari sesebuah negara tertentu secara berrtalu-talu. Misalnya dalam cetakan skrin seperti di bawah, semua pelawat yang berkunjung ke blog saya dalam masa kurang dari 18 minit adalah dari United States kecuali satu dari Putrajaya.



Cuba perhatikan semua pelawat kecuali seorang adalah dari United States.
 Apakah maknanya semua ini ?


Ia menjadi misteri yang tidak dapat saya rungkaikan. Kadang-kadang itu timbul rasa seram juga. Harap ada blogger yang arif tentang fenomena ini yang sudi beri sedikit pencerahan agar kegusaran saya dapat dihapuskan atau dikurangkan.



Saturday, December 24, 2016

BAHASA MELAYU TIDAK PELIK # 9: PAYUNG TERJUN.


Bulan lepas (20/11) saya dan isteri menghadiri majlis malam mesra AAJ (Anak-Anak Jelebu) di sebuah hotel di Bangi. Walaupun saya bukan orang Jelebu, saya dijemput kerana saya pernah jatuh cinta bersekolah di Jelebu. Tetamu kehormatnya adalah Tan Sri Rais Yatim, yang rasanya tidak perlu kepada pengenalan lagi. Dalam ucapannya, antara lain dia melahirkann rasa kekecewaannya kepada nasib tulisan Jawi dan Bahasa Melayu yang sudah caca marba (caca marba - perkataan penulis) dan terpinggir.



Tan Sri Rais Yatim sedang menyampaikan ucapannya (maaf tak dapat nak zoom sebab guna mode selfie. Silalah zoom sendiri)

Dia menyebut  beberapa perkataan baru yang terasa asing. Antara perkataan yang saya ingat ialah sintaksis. Menurut beliau pihak yang memperkenal dan menggunakan perkataan ini mengambilnya dari perkataan Inggeris iaitu "syntax" lalu diMelayukan untuk disesuaikan dengan lidah Melayu. Ianya dibuat oleh cerdik pandai Melayu juga. Alasannya ialah kerana ia lebih tepat untuk menerangkan maksud yang ingin disampaikan kerana tiada istilah dalam bahasa Melayu yang sesuai dan menepati maknanya. Alasan itu memang boleh diterima.

Akan tetapi bagi saya kalau kita cipta satu perkataan baru dalam bahasa Melayu untuk istilah dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain, dan kita biasakan dan ulang-ulang penggunaanya; lambat laun ia akan menjadi satu istilah dalam bahasa Melayu yang sempurna dan sebati dengan kita. Sehubungan dengan itu, saya percaya tak lama lagi perkataan "kesipuan" (embarass) akan digunakakan secara meluas.

Saya ambil contoh perkataan payung terjun. Ia berasal dari perkataan Inggeris iaitu parachute.  Bagi yang pertama kali mendengar perkataan 'payung terjun' tentu terpinga-pinga membayangkan rupa bentuk dan cara penggunaannya.  Kita memang tidak ada istilah itu dalam bahasa Melayu sejak zaman dulu kala. Ia memang tidak dicipta oleh orang kita dan saya tidak pernah terbaca Hang Tuah pernah menggunakannya. 


Cerita lanjut mengenai orang terjun payung ini ada di sini. 

Sekarang ini perkataan itu sudah tidak asing lagi dan dapat difahami oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Kenapa kita atau DBP tidak mengubah ejaannya untuk disesuaikan dengan lidah Melayu menjadi PARACUT? Saya fikir kalau istilah itu digunakan sekarang, tentu lebih ramai orang Malaysia yang merasa pelik mendengar atau membacanya. Bahasa Melayu tidak pelik, tetapi bijak pandai kita mejadikan ia pelik. Contohnya perkataan sintaksis seperti yang sebutkan pada permulaan entri ini amat pelik bunyinya kepada orang-orang kampung seperti saya.

Oh ya .. ada banyak lagi perkataan-perkataan yang pelik tetapi ia mungkin digunakan dalam kelompok golongan orang yang terpelajar. Agaknya anda pun pernah terjumpa perkataan-perkataan seumpama itu dalam Bahasa Melayu ?




Friday, December 23, 2016

TERLUPA TUTUP KE TIDAK PINTU PAGAR.

Tadi Makngahnya telefon dari surau suruh saya tengok pintu pagar; dah bertutup ke tidak. Saya pun jengah dari dalam rumah dan nampak dah bertutup.

Entah apalah yang difikirkannya semasa menutup pintu pagar itu tadi.





BALIK-BALIK NASI ARAB.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Sejak akhir-akhir ini, saya perhatikan orang kita suka komplen. Orang dulu-dulu, maksudnya zaman nenek moyang saya dulu, tidak begitu. Mereka buka hutan buat sawah. Mereka gotong royong buat empangan, buat tali air dan sebagainnya. Mereka mencangkul guna tulang empat kerat.  Mereka membaja tanpa baja subsidi, mereka jual padi tanpa harga subsidi dan sebagainya. Mereka  kuat semangat dan tinggi harga diri tak macam orang sekarang. Semuanya kalau boleh nak percuma atau diberikan bantuan (subsidi).

Sekarang ni masing-masing berbalas-balas komplen. Tak perlu pergi jauh, tengoklah kat blog, fesbuk, wasap dan sebagainya:

Makmum komplen imam.
Imam komplen makmum.
Penduduk kampung komplen ketua kampung.
Pemain komplen pengadil.
Murid komplen cikgu.
Kerani komplen pegawai.
Penumpang teksi komplen pemandu.
Pemerintah komplen pembangkang.
Pembangkan komplen pemerintah.
Orang naik kereta komplen orang naik motorsikal.
Orang naik motorsikal komplen orang naik kereta.
Kadang-kadang anak pun komplen mak ayah. Dulu-dulu nak lalu depan ayah pun takut.


Berikut beberapa contoh komplen jemaah surau:

Kenapa pembesar suara tak kuat?
Kenapa imam lama sangat baca doa?
Kenapa ustaz tu asyik-asyik ulang cerita itu?
Kenapa air kecik sangat?
Kenapa airkon tak sejuk?
Kenapa parking tak cukup?
Kenapa karpet berdebu?
Kenapa balik2 nasi Arab?

Tak habis-habis komplen.


Thursday, December 22, 2016

HENFON JUGA YANG SALAH.

Budak-budak dulu tak tengok muka ayah masa bercakap, sebab takut  bertentang mata.

Budak-budak sekarang juga tak tengok muka ayah masa bercakap sebab mata asyik tengok henfon.

Wednesday, December 21, 2016

SELEPAS LEBIH EMPAT TAHUN BARU SAYA DAPAT MEMBERI PENGHARGAAN KEPADA NIDA.

Ini bukan entri mengangkat diri tapi sebuah entri penghargaan kepada Nida Muhammadon yang tanpa saya sedari telah membuat satu entri yang didedikasikan khusus kepada saya.  Entri beliau sangat komprehensif sehinggakan ada di antara kandungan fakta dalam entrinya yang saya sendiripun pun sudah tidak ingat lagi di samping sarat dengan kata-kata yang enak didengar tentang diri saya.

Saya terjumpa entri Nida ini bila mahu mencari sesuatu dari blog saya dengan bantuan Google. Saya print screen hasilnya seperti di bawah di mana detik bermulanya saya terjumpa entri Nida ini.




Nida menulis tentang saya untuk sebuah kontes bertajuk Giveaway Kenanganku & Blog yang disertainya. Saya pun tidak tahu samada dia menang atau tidak dalam kontes tersebut. Inilah intro dalam entrinya mengenai diri saya.


Saya sangat terharu dan juga terkilan dengan entri Nida mengenai diri saya ini. Terharu kerana mendapat penghargaan yang sangat tinggi darinya. Alhamdulillah. Terkilan kerana tidak memberi ucapan terima kasih kepada dia semasa entri ini diposkan pada 19 March, 2012 dahulu kerana saya langsung tidak menyedari akan penerbitannya. Terima kasih Nida. Sesungguhnya Pak Ngah sangat menghargai usaha Nida itu. Tidak sangka Nida memilih blog Pak Ngah untuk dijadikan bahan kenangan dalam kontes tersebut. Ia suatu penghargaan yang sangat mengharukan. Tapi kenapa Nida tak beritahu Pak Ngah masa buat entri ini dulu ?

Entri Nida yang dimaksudkan itu ada saya berikan linknya di bawah.  Tetapi sebelum ada yang membacanya, saya nak beritahu bahawa Nida membuat entri ini khusus untuk saya. Puji-pujiannya mungkin membuatkan anda terbayang saya ini ibarat merak kayangan sedangkan pada hakikatnya saya ini hanyalah gagak di rimba.  Jadi kalau anda malas nak baca pun tidak mengapa. Saya faham. Tapi kalau nak baca juga, silalah klik link kat bawah. Terima kasih.

http://alongnidar.blogspot.my/2012/03/giveaway-kenanganku-blog.html?m=1


.


Tuesday, December 20, 2016

BABI NI KENA PERCAYA.

Babi ni kena percaya.
Sebenarnya saya nak tulis - bab ini kena percaya.
Tapi tersilap taip.
Nasib baik saya terperasan sebelum post.
Kalau tidak, ada orang yang kesipuan.


Moral cerita.


1. Semak dahulu apa-apa yang kita tulis sebelum dihantar.


2. Jika kita terima mesej atau komen yang pelik-pelik, jangan cepat melenting. Mungkin penghantar tak perasan dia dah tersalah tulis/taip macam kes saya itu.


*********************************

Sub-entry - Penghargaan.

Semalam saya menerima 2,115 kunjungann. Rasanya yang tertinggi pernah saya terima sejak berblog. Terima kasih atas kunjungan anda. Lepas ini saya akan berusaha untuk membuat entri dengan lebihh kerap lagi. Insyaallah.

. 

Monday, December 19, 2016

KEMUDAHAN YANG MEMBAWA MASALAH.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Biasanya kemudahan yang kita nikmati datang dengan potensi masalah.

Misalnya kipas siling yang ada remote control. Ia memang mudah dan menyenangkan. Kita tak perlu bangun untuk tukar kelajuan atau nak tutup kipas. Tetapi kalaulah remote control itu hilang, rosak atau tak ada bateri, bermulalah masalah. Kita boleh "on"kan suisnya kat dinding secara manual dan kipas akan berpusing tapi kita tak boleh kawal kelajuannya. Itu sangat mengecewakan kerana dia tak mahu ikut kehendak kita.  Dan kalau kita nak tutup kipas pulak, kena juga bangun dan pergi kat suis untuk melakukannya.

Satu lagi contoh ialah kereta automatik.  Mudah memang mudah. Misalnya, kalau  jalan sesak, tak adalah lengoh kaki tekan "clutch" tapi kalau baterinya habis atau bermasalah, kita tak boleh tolak untuk hidupkann injin macam kereta manual. Terpaksalah tinggalkan kereta untuk pergi beli bateri baru atau kalau di waktu lewat malam kenalah panggil kawan untuk jemput. Itupun kalau kawan dekat. Kalau tidak, tidurlah dalam kereta sementara menanti siang atau pun ditarik ke bengkel atau R & R  yang berhampiran. 

Begitulah kehidupan ini. Setiap kesenangan dan kemudahan, ada harga yang perlu dibayar.



Sunday, December 18, 2016

LOBAI SALLEH PART 7: NASI LEMAK ANAK DARA.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Lobai Salleh: "Nasi lemak ada lagi tak?"

Anak dara: "Ada .."

Lobai Salleh: "Lauk apa ada?"

Anak dara: "Macam-macam ada .. telur ada, ayam ada, paru ada, ikan bilis ada, sotong ada, daging ada .."

Lobai Salleh: "Ikan sardin ada tak?"

Anak dara: "Lauk ikan sadin pun ada".

Lobai Salleh: "Kalau begitu .. bagi saya roti bakarlah".



p/s: Siapa dia Lobai Salleh ? Kalau nak tahu boleh baca sini.

Friday, December 16, 2016

DARI GRUP WASAP # 1: JANGAN SIBUKKAN HAL ORANG !


Saya lihat ada rakan-kita kita yang terlalu ghairah membicarakan siapa yang berdosa dan bakal masuk neraka dalam grup ini.  Saya fikir daripada kita ghairah berbicara tentang dosa dan pahala orang lain, lebih baik kita hisab diri kita sendiri dahulu.

1. Adakah solat kita sudah sempurna dari sudut khusyuk dan ikhlasnya?

2. Adakah solat berjemaah kita sentiasa cukup 5 kali sehari semalam?

3. Berapa kalikah kita khatam Quran dalam setahun?

4. Banyak manakah ibadah-ibadah sunat seperti tahajjud, tasbih, dhuha, puasa-puasa sunat dsb yang telah kita kerjakan?

5. Cukupkah kita berinfak dan berwakaf jika dinisbahkan kepada jumlah harta kita yang ada?

6. Terlepaskah kita dari sifat2 mazmumah seperti hasad, 'ujub, riak, takabbur, mengumpat, memfitnah, mengadu domba, buruk sangka dsb?

7. Bebaskah kita dalam hidup seharian dari membuat perkara-perkara yang sia-sia atau tidak berfaedah?

8. Dari manakah sumber harta kita dan ke mana ia dibelanjakan ?

Kalaulah saya menilai diri sendiri, saya rasa saya gagal. Hanyasanya keampunan dan kerahmatan Allah jua yang dpt menyelamatkan saya dari siksa azab nerakaNya.

Nota Kaki.

Mulai hari ini saya akan buat satu label baru dalam blog saya, bertajuk "Dari Grup Wasap" yang mana kandungannya saya adaptasi untuk disesuaikan dengan bahasa blog dari post saya di pelbagai grup wasap yang mana saya jadi ahli. Semoga ada manfaatnya.





Thursday, December 15, 2016

APA MASALAHNYA BERJIRAN DENGAN ORANG YANG BELA ANJING ?


Gambar hiasan hasil carian Google.

Kadang-kadang kita berada dalam situasi yang kita tidak gemar tetapi kita tidak dapat keluar atau mengelak dari berada dalam situasi tersebut. Contohnya, kita tidak sukakan anjing tetapi kita ditakdirkan terpaksa berjiran dengan rumah yang pemiliknya ada membela anjing. Banyak ekor pulak tu dan ada pelbagai saiz dari saiz S hingga XXL. Apa nak buat ?

Ini yang sedang berlaku kepada diri saya. Jiran saya berketurunan Cina dan dia ada bela banyak anjing. Mungkin ada orang tidak suka dengar salakannya. Saya pun mula-mula tak suka dan rasa sangat terganggu. Tetapi takkan saya nak pindah rumah pulak dek kerananya. Letih sudah saya berpindah randah sebelum ini.

Agar saya tidak hidup bermuram durja sampai ke tua, maka saya ambil tindakan mengubah mindset saya dalam melihat satu-satu perkara yang tidak menyenangkan dengan cuba melihat sisi atau sudut positifnya. Tentu ada. Saya cuba fikirkan untung atau kebaikan berjiran dengan orang yang bela anjing.

Pertama saya berkata pada diri saya bahawa memang anjing tabi'inya menyalak. Takkan dia nak berkokok pulak.

Dari segi keselamatan adalah bagus kerana dia hanya salak orang yang dia tak kenal. Deria baunya sangat kuat. Bahkan orang yang hantar gas sekali sekala pun dia cam baunya dan tidak disalaknya kerana sudah ada dalam daftar baunya. Oleh itu saya boleh tidur dengan lebih tenang kerana menyedari mereka ada berkawal sepanjang masa tanpa saya perlu mengeluarkan satu sen pun belanja.

Cuma kadang2 kalau dia menyalak masa saya nak tidur, susah sikit saya  nak lena. Tapi bila dah lena, harimau mengaum pun saya dah tak sedar.

Akhirnya saya buat kesimpulan - apa salahnya berjiran dengan orang yang di rumahnya ada bela anjing.




Wednesday, December 14, 2016

WW #144: TERIMA KASIH KERANA BERKUNJUNG RAMAI-RAMAI WALAUPUN TAK KOMEN.




Monday, December 12, 2016

DARI FESBUK # 8: USAH BERKIRA SANGAT UNTUK BERSELAWAT.

Allah menyuruh kita solat tapi Dia sendiri tak solat. Allah suruh kita berpuasa tapi Dia sendiri tak puasa. Allah suruh kita berzakat tapi Dia sendiri tak berzakat dan Allah suruh kita buat haji tapi Dia sendiri tak buat haji.  Berbeza dengan berselawat kepada nabi Muhammad. Allah suruh kita berselawat, Dia sendiri turut berselawat. Itulah kelebihan berselawat. Kalau Allah sendiri berselawat kepada nabi takkanlah kita nak berkira sangat untuk berselawat kepadanya.

Salam Maulidul Rasul.

Wednesday, December 7, 2016

WW # 143 : YE LAH, SEMUA ORANG BODOH KECUALI KAU SEORANG.


Friday, December 2, 2016

MENUTUP AURAT


سُوۡرَةُ الاٴحزَاب
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزۡوَٲجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَآءِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ يُدۡنِينَ عَلَيۡہِنَّ مِن جَلَـٰبِيبِهِنَّۚ ذَٲلِكَ أَدۡنَىٰٓ أَن يُعۡرَفۡنَ فَلَا يُؤۡذَيۡنَۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورً۬ا رَّحِيمً۬ا (٥٩) ۞

Surah Al-Ahzab


"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". 59

Ayat perintah yang sangat jelas (muhkamat) dari Allah SWT tentang kewajipan menutup aurat bagi kaum perempuan.

Akan tetapi janganlah pula apabila kita sudah menutup aurat, kita merasa seolah-olah macam sudah ada lesen untuk mengumpat, mengata apalagi menfitnah orang lain serta memandang hina orang yang tidak menutup aurat. Jangan pula kita terlalak-lalak atau terkinja-kinja di konsert-konsert hiburan misalnya. Tunjukkanlah akhlak yang mulia agar sesuai dengan penampilan, mudah-mudahan boleh menarik hati orang lain untuk mencontohinya.

Ingatlah dosa menutup aurat adalah dosa antara kita dengan Allah.  Jika mereka yang tidak menutup aurat itu nanti insaf dan memohon ampun dari Allah, pengakuan Allah seperti di hujung ayat di atas ialah "Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Sedangkan dosa mereka yang mengumpat atau memfitnah orang lain hanya dapat terhapus dengan mereka meminta maaf dan dimaafkan oleh orang yang diumpat atau difitnah. 

Dan bagi mereka yang sudah berakhlak mulia tapi masih belum menutup aurat, sempurnakanlah perintah Allah itu tanpa berdalih atau bertangguh kerana kita tidak tahu entah esok atau lusa Allah akan mencabut nyawa kita dan apakah alasan yang hendak kita beri di sana nanti.

Namun begitu saya sendiri secara peribadi lebih menghormati orang yang tidak menutup aurat terus menerus tetapi berakhlak mulia, dari orang yang kadang-kadang tutup, kadang-kadang buka kerana mereka mengelirukan saya di samping mereka seolah-olah mempermainkan hukum dan perintah Allah SWT. Mohon ampun jika ada pembaca yang tidak senang atau terasa hati dengan tulisan saya ini. 

Allahua'lam.