Showing posts with label terkenang semasa dulu. Show all posts
Showing posts with label terkenang semasa dulu. Show all posts

Thursday, February 4, 2021

EK 2: MENEMPUH PEPERIKSAAN.


Tangkap layar dari wall fesbuk saya.


Pusat peperiksaan bagi calon STPM daerah Kuala Pilah adalah di Sekolah Tuanku Muhammad.  Ia tak jauh dari sekolah Menengah Za'ba, tempat saya belajar semasa di tingkatan 6. Pelajar yang ambil peperiksaan digabungkan dengan calon persendirian, kebanyakannya guru sekolah lulusan maktab perguruan. 

Sepanjang tempoh peperiksaan, saya tak ingat berapa lama, saya menumpang di rumah Mak Cik saya di Kampung Serting Hilir,  kira-kira 20 km dari sekolah. Semuanya berjalan lancar kecuali pada hari peperiksaan Kertas Am, bas dari Bahau ke Kuala Pilah, telah terlewat dari biasa.  Kertas Am adalah subjek yang sangat penting, kerana ia wajib lulus sebagai syarat untuk masuk Universiti. Saya sangat gelisah semasa menunggunya. Akhirnya bila bas sampai,  saya melompat naik untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Pilah. Terasa bas berjalan sangat perlahan. Mahu saja rasanya saya menyuruh pemandu bas bawa laju dan jangan berhenti mengambil atau menurunkan penumpang.  Nasib baik bas yang saya naiki tidak mengalami kerosakan di tengah jalan. Kalau tidak tak taulah apa nak jadi. 

Dari stesyen bas untuk sampai ke pusat peperiksaan,  saya perlu berjalan kaki yang jaraknya lebih kurang 1.5 km. Semasa saya berjalan laju menuju tempat peperiksaan,  saya kerap memandang ke belakang, dengan harapan ada orang yg sudi menumpangkan. Kira-kira satu pertiga perjalanan,  tetiba ada sebuah Vespa yg ditunggang seorang lelaki berhenti dan bertanya arah tujuan saya.  Setelah diterangkan,  dia pun mempelawa saya menaiki motornya. Apa lagi terus saya memboncengnya. Sesampainya ke pusat peperiksaan, masa telah berlalu lebih setengah jam. Sebaik turun dari motor yang saya bonceng,  saya pun berlari menuju ke bilik peperiksaan di tingkat satu.  Nasib baik penyelia membenarkan saya masuk. Tanpa berlengah dengan nafas yang termengah2, saya pun mula menjawab soalan secepat yang boleh sehingga masa tamat. Saya akui bahawa saya tidak dapat menjawab semua soalan dengan baik. Tulisan sendiri pun mungkin susah atau tak dapat saya baca. Redha dan berserah sahajalah. Apa lagi yang boleh dibuat. 

Adakah saya lulus percubaan pertama saya mengambil peperiksaan STPM,  tunggu episod seterusnya. 


.. bersambung.

Friday, January 22, 2021

EK 1: MASUK KELAS LANJUTAN.



 Tangkap layar dari wall fesbuk saya.


Saya cuma dapat Gred 3 dalam peperiksaan SPM pada tahun 1971. Hendak masuk ke tingkatan 6 di sekolah Kerajaan, tidak layak. Hendak masuk ke maktab perguruan atau maktab lain yang setaraf juga tidak layak kerana kelayakan minimum sekurang2nya mesti dapat Gred 2. Tambahan pula ada subjek teras saya hanya setakat lulus sahaja. Mahu tak mahu saya cuba-cuba cari kerja. Setelah beberapa bulan berusaha namun masih tidak berjaya. Bukan senang nak dapat kerja pada masa itu.

Selepas beberapa bulan menganggur, saya diberi tahu ada kelas petang (kelas lanjutan) untuk tingkatan 6 akan dibuka di Sekolah Menengah Za'ba, di Kuala Pilah. Atas galakkan keluarga, saya pun mendaftar sebagai pelajar di sekolah tersebut. Kelas itu adalah atas usaha pertubuhan GPMS yang menyediakan dan menanggung elaun guru yang mengajar. Kami hanya dikenakan sedikit bayaran iaitu sebanyak RM4 sebulan untuk diberi kepada sekolah kerana menggunakan air dan letrik sekolah tersebut. Oleh kerana bilangan pelajar yang agak ramai, dua kelas telah dibuka. Hanya di situlah di daerah Kuala Pilah satu-satunya tempat untuk mereka yang tidak dapat masuk ke tingkatan 6 di sekolah kerajaan, menyambung pelajaran. Saya tidak ingat jumlah sebenar pelajar tapi kalau tak silap saya lebih kurang 80 orang kesemuanya.

Saya menyewa sebuah rumah dengan dua orang kawan kira-kira 3 km dari sekolah tersebut, setelah beberapa kali saya berpindah menyewa rumah. Rumah sewa kami ini besar, selesa dan cantik, lengkap dengan segala perabot dan peralatan dapur. Sewanya pun murah sahaja kerana tuan rumahnya tidak mahu rumahnya terbiar kosong kerana dia bekerja di daerah lain. Untuk makan kami berkongsi masak. Kerap juga makcik sebelah rumah hantar lauk kepada kami. Kami bertiga berbahagi tugas. Seorg memasak, seorang membasuh pinggan dan mengemas rumah dan saya membeli dan menyediakan keperluan dapur.

Kami bertiga berjalan kaki untuk ke sekolah. Jika ada cerita bagus di pawagam di pekan Kuala Pilah, bilangan murid dalam kelas akan merosot, terutamanya pelajar lelaki. Tiada disiplin yang ketat ditetapkan. Pakaian ikut suka. Kehadiran terserah kepada empunya diri. Setelah 2 tahun belajar dengan susah payahnya saya pun mengambil peperiksaan STPM buat pertama kalinya pada tahun 1973.

... bersambung.



Nota Kaki. 

Kisah ini telah saya poskan di wall fesbuk saya. Mulanya secara suka2 tapi bila ada yang minta untuk saya sambung, saya lanjutkan penulisan hingga 36 episod.



.

Wednesday, December 30, 2020

TERKENANG SEMASA DULU - 103: BAU-BAU HOLLYWOOD - 1984.

Selepas habis mesyuarat di Los Angeles, kami berempat telah ambil peluang bersiar-siar sekitar Beverly Hill dan Hollywood menggunakan kereta yg disediakan pihak hotel untuk menghantar kami ke airport. Sempat jugalah kami melihat rumah mewah selebriti2 terkenal serta bergambar kat "Walk of Fame" di mana diabadikan nama2 besar dalam dunia hiburan di laluan pejalan kaki. Merasa juga menaiki limo yang dipandu Mat Salleh merangkap pemandu pelancong sementara.

Cuma rasa sedikit terkilan kerana kami tidak bergambar dengan berlatarbelakangkan perkataan Hollywood yang terpampang di lereng bukit tu. Entah kenapa tidak ada seorang pun dari kami yang teringat untuk berbuat begitu.





Sunday, November 8, 2020

TERKENANG SEMASA DULU - 102 : WATER FRONT.

 Berlatarbelakangkan pasar terapung.


Di kalangan kawan-kawan, kami panggil tempat ini Water Front - tempat kami beli ikan, udang, ketam dll.  Ia tak jauh dari White House. Jualan dibuat dari dalam bot.  Bila air pasang senang sikit nak beli sebab bot terapung sama aras dengan tebing.  Bila air surut, kita kena membongkok sikit nak pilih ikan atau nak buat bayaran. Yang menariknya selain guna wang tunai, kita boleh guna kad kredit atau chek untuk buat bayaran. Semua hasil lautnya masih fresh,  bahkan ketamnya masih merangkak2 lagi. Kalau nak siang ikan,  ada gerai khusus sediakan khidmat menyiang ikan. Orang yang jual ikan tak buat kerja itu macam kat Malaysia. Sudah tentu ada bayarannya.  Tapi saya tak pernah guna khidmat tersebut kerana lebih suka siang sendiri. 

Gambar diambil pada tahun 1981.

Friday, January 3, 2020

KISAH SCRAMBLER TENAGA PENGAJAR KENA CLAMP.

Kisah Benar.


Tak lama lepas graduasi,  saya telah ditawarkan menjadi Pengajar (tutor) di Jabatan Antropologi dan Sosiologi,  UM. Bila dapat gaji pertama saya terus beli motor scrambler.  Entah kenapa saya tak terfikir nak beli kereta masa itu.  Dipendekkan cerita,  satu hari saya letak motor saya di tempat berbumbung untuk tenaga  pengajar akademik. Bila saya nak ambil motor kemudiannya, saya tengok motor saya sudah kena kunci (clamp). Saya pun pergi ke bahagian keselamatan minta dibukakan. Beginilah lebih kurang dialog saya dengan seorang petugas,

Saya: "Minta maaf encik, motor saya kena kunci. Boleh tak tolong bukakan"

Petugas: "Awak letak kat mana?".

Saya pun beritahu di mana saya letak motor.  Mendengarnya terus muka petugas berkerut seraya berkata,

"Patutlah kena kunci.  Situ tempat letak kenderaan tenaga pengajar"

Segera saya menjawab sambil menghulurkan Kad Kampus saya,

"Saya pun tenaga pengajar juga .."

Petugas segera mencapai kad tersebut dan memerhatikan muka saya serta gambar dalam kad berkenaan.  Saya perhatikan dia agak terperanjat,  lantas berkata,

"Jom saya bukakan .. "

Siapakah yang silap di sini?



Inilah rupanya Kad Kampus saya yang saya maksudkan.

Friday, January 18, 2019

TERKENANG SEMASA DULU - 101: CERITA SAYA BERSEKOLAH DI SEKOLAH MENENGAH RENDAH TERIANG HILIR.

Dari tahun 1967 hingga 1969, saya bersekolah di Sekolah Menengah Teriang Hilir, Jelebu, Negeri Sembilan dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Saya tinggal di Kampung Bukit Gajah, Pelangai, Pahang. Saya berulang alik bersama-sama 5-6 orang kawan satu sekolah sejauh kira-kira 34 kilometer setiap hari dengan menaiki basikal kerana pada masa itu hanya sekolah ini sahajalah yang paling hampir dengan rumah saya. Maknanya saya keluar negeri setiap hari untuk bersekolah. Walaupun jarak itu adalah agak jauh dengan menaiki basikal, lebih-lebih lagi bagi kami yang masih lagi dianggap budak-budak namun kita tak pernah merasa penat walaupun hari-hari hanya makan nasi tanpa sebarang suplemen.

Bila hari hujan, akan lambatlah kami sampai ke sekolah. Tetapi cikgu faham dan tidak memarahi kami pelajar-pelajar luar negeri yang terlewat datang. Cuma rugilah kerana terlepas beberapa mata pelajaran. Duit belanja selalunya cuma 20 sen sehari, jika tidak ada kelas petang. Kalau ada kelas petang, lebihlah sedikit. Dapatlah beli 2 biji kueh, atau se piring mee goreng untuk mengalas perut sementara sampai ke rumah balik dari sekolah sebelah petang nanti. Sayangnya tidak banyak gambar yang ada dalam simpanan saya kerana tidak ada murid yang memiliki kamera pada masa itu. Cuma bila kena ambil gambar ramai atau ada acara seperti sukan, akan ada jurugambar dari luar datang mengambil gambar. Sudah tentulah kita kena bayar kalau hendakan gambar tersebut. Berikut adalah 3 keping gambar hitam putih yang masih ada dalam simpanan saya.


Gambar 1: Bersama guru kelas di tingkatan 1, Dato' Hassan bin Malek yang pernah jadi Menteri dan Duta di Kemboja. Saya duduk depan di kanan sekali. Murid lelaki yang di kiri sekali adalah ketua darjah kami. Saya tidak tahu dan tidak ingat kenapa saya kena duduk depan walhal saya tidak memegang apa-apa jawatan samada ketua darjah atau pengawas atau sebagainya. Nak kata saya jahat, rasanya tidaklah jahat sangat.


Gambar 2: Di hari sukan sekolah. Saya dah lupa nama rumah saya. Dua orang dewasa yang berkaca mata hitam itu adalah guru-guru kami.



Gambar 3: Gambar ini saya sudah lupa tahunnya secara tepat dan saya berada di tingkatan berapa. Yang pasti tahunnya kalau tidak 1968 adalah tahun 1969.


Tadi saya kata saya berulang alik dari Kampung Bukit Gajah, Pahang ke Sekolah Menengah Teriang Hilir, Negeri Sembilan sejauh 34 kilometer sehari. Jarak itu disahkan oleh oleh Google Map seperti di bawah sebagai bukti. Sekarang ini kalau tak ada bukti orang tak percaya atau susah nak percaya.




Gambar 4: Cetakan skrin dari Google Map yang menunjukan jarak dan masa diambil jika berkereta selama 19 minit. Kalau naik basikal hampir sejam baru sampai, itupun jika tidak berlaku kesesakan jalan raya.

Selepas menduduki peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran) setaraf  PT3 pada masa ini, bilangan pelajar yang lulus adalah tidak ramai. Kalau tidak silap saya cuma 16 orang sahaja. Oleh kerana bilangan yang sedikit itu maka tingkatan 4 di sekolah kesayangan kami tidak dapat dijalankan. Tentulah ia atas arahan Jabatan Pelajaran dengan alasan yang wajar. Maka kami terpaksa berpisah dan berpindah ke sekolah pilihan masing-masing untuk ke tingkatan 4 dan seterusnya. Apa nak buat. Itulah tadkir yang telah direncanakanNya. Saya memiliha untuk bertukar ke Sekolah Menengah Bandar Tinggi, Jelebu bersama-sama dengan 4 orang kawan yang lain. Selanjutnya mungkin saya akan cerita dalam entri yang lain pulak. Insyaallah.


Monday, December 24, 2018

TERKENANG SEMASA DULU - 100: GILA BERMAIAN SALJI 4.

Sambungan dari entri ini.

Hari ini (22hb. Disember) sudah mula masuk musim sejuk di negara-negara hemisfera utara. Barangkali ini adalah entri terakhir saya bercerita dan menunjukkan gambar-gambar salji semasa saya bertugas di USA dulu sebab stok gambar yang sesuai dipaparkan, sudah habis, kecuali terjumpa gambar baru. Manalah tau kok ada kawan-kawan yang sama-sama bertugas di sana dulu ada simpan pulak.


Gambar: 32: Entah ada ke tidak lagi lagi pokok sebatang di hadapan rumah sewa saya ini.


Gambar 33. Salji tengah tebal di hadapan kediaman seorang kawan.


Gambar 34: Saya rasa ini gambar pada peringkat awal saya tinggal di USA kerana masih lagi memakai seluar 'bell bottom'.


Gambar 35: Tempat beli ikan, udang, sotong dan ketam. Nampak tak ada tulis 'crabs' kat belakang tu.


Gambar 36: Kelihatan di belakang kami orang main ski atas air batu yang asli. Masa tu tak teringin pulak nak main. Sekarang dah terlewat pulak.


Gambar 37: Sepasang ejen FBI muda yang mesra. 


Gambar 38: Kalau tak silap ini adalah bangunan Library of Congress.


Gambar 39: Bangunan yang sama seperti gambar 38 di atas. 

Demikianlah coretan saya mengenai salji dan cuaca sejuk semasa bertugas di USA dari tahun 1981 hingga 1984. Kini hanya tinggal kenang-kenangan yang semakin hari semakin hilang dari ingatan. Hajat nak ke sana lagi tu ada, tapi memikirkan jarak perjalanan yang mengambil masa yang lama, terpaksalah di lupakan. Buat masa ini saya dah tak larat lagi nak duduk lama-lama. Lainlah kalu ada orang sponsor tiket kelas pertama, boleh tidur baring. Hehe.


Wednesday, November 14, 2018

WW # 167 : BOSRA, SYRIA - 2006.

 
.






Wednesday, June 27, 2018

WW # 164 BERCANDA DI PANTAI SAMILA, THAILAND - 29.4.2018

.











Monday, May 21, 2018

TERKENANG SEMASA DULU - 99 : PENGALAMAN SINGKAT BERSAMA DS ANWAR IBRAHIM.


Menemani orang tak takut. (Gambar kitar semula dengan diberi frame baru)


Pernah satu ketika di awal tahun 80an,  saya ditugaskan oleh jabatan saya mengiringi DS Anwar dan isterinya melawat beberapa tempat untuk bertemu dengan pelajar-pelajar dan juga pemimpin gerakan Islam di USA selama beberapa hari.  Masa itu dia baru sahaja dilantik menjadi Timbalan Menteri. Saya pula berkhidmat di Kedutaan Besar Malaysia di Washington D.C, USA.


Dipendekkan cerita, pada suatu hari semasa pertemuan dengan pelajar-pelajar di Universiti Harvard dan lain-lain universiti yang berdekatan di Boston; saya dipanggilnya naik ke atas pentas untuk duduk di sebelahnya. Antara lain dia kata kat saya "kalau ada soalan yang saya tak boleh jawab, minta you bantu". Saya pun mahu tak mahu terpaksa naik. Tuhan sahajalah yang tahu betapa takutnya saya bila dipanggil duduk disebelahnya. Peluh sejuk mercik di dahi. Jantung seolah-olah berhenti berdegup. Kaki terasa sangat berat untuk melangkah. Dalam hati berdoa janganlah hendaknya ada pelajar menanyakan soalan berkaitan jabatan saya.

Di sepanjang pertemuan itu, memang ada soalan yang sepatutnya saya jawab, tetapi dia sendiri memilih untuk menjawabnya. Secara kasar saya masih lagi ingat beberapa soalan dan juga jawapan darinya yang sungguh hebat yang tidak mungkin saya dapat menjawab sebaiknya. Mungkin dikesempatan lain saya buat entri khusus tentangnya. Otak dia memang bergeliga. Jujurnya kalau dia suruh saya jawab, mungkin saya terus pitam atau buat-buat pitam. Maklumlah pelajar Harvard semuanya bijak-bijak belaka selain ada pelajar Master dan PhD termasuklah sultan Perak sekarang. Sebelum ini juga saya pernah melihat beberapa orang Menteri di tempat lain yang terkedu bila disoal pelajar. Tak perlulah rasanya saya sebut nama menteri-menteri tersebut. Saya amat terhutang budi dan berterima kasih kepada DS Anwar kerana telah menyelamatkan saya dari situasi yang boleh memalukan saya. Saya percaya dia tahu saya takut untuk jawab bila dia melihat kecemasan di air muka saya.

Satu lagi sikapnya yang saya harus berikan pujian ialah dia seorang yang berani kerana dia sendiri telah meminta untuk bertemu dengan pelajar-pelajar di universiti yang diketahui anti kerajaan. Ada menteri yang memilih jalan selamat dengan meminta dibawa ke universiti yang menjadi kubu kuat penyokong kerajaan. Saya rasa pada masa itu ada dasar kerajaan yang menetapkan mana-mana menteri atau timbalan menteri yang pergi ke luar negeri, walaupun untuk bercuti agar pergi menemui pelajar-pelajar Malaysia sekurang-kurangnya di sebuah universiti.

Pengalaman menemani beliau yang cuma beberapa hari tertanam dalam ingatan saya. Sayangnya cuma ada sekeping gambar sahaja bersamanya.  Itu pun entah siapa yang beri kepada saya. Mahu tak mahu terpaksalah gambar itu dikitar semula.


Nota kaki: Entri ini barangkali berkaitan. Ada banyak gambar lama yang menarik untuk ditatapi. 


Saturday, December 23, 2017

TERKENANG SEMASA DULU - 98: GILA BERMAIN SALJI 3.


Hari ini (22hb. Disember) bermulalah musim sejuk di negara-negara hemisfera utara. Ramai petani-petani mereka yang kaya raya akan melarikan diri ke tempat-tempat yang bercuaca panas. Manakala orang yang dari negeri bercuaca panas pula, ramai yang bercuti kesana. Begitulah resam manusia, sentiasa ingin merasa apa yang mereka belum rasa atau yang tak ada pada mereka.

Saya rasa, dalam banyak-banyak gambar dalam simpanan saya, gambar bersama salji adalah paling banyak kerana bila jumpa sahaja salji, tak kira dekat rumah,  pejabat, kompleks beli belah, lapangan terbang, tepi jalan dsb, pasti akan bergambar. Al-maklumlah kat Jempol mana pernah ada salji. Begitu juga kat kampung Makngahnya di Perlis. Tapi tak tahulah masa akan datang. Itu semua kuasa Allah. Jadi jangan jemu kalau melihat gambar orang kampung gila berjumpa salji.


Gambar 24: Buka je pintu dah berlonggok salji. Tak perlu pergi jauh-jauh.

 

Gambar 25: Tengok tu .. salji dah beku berjuntaian dari cucur atap.


Gambar 26: Saya datang ke sini atas tugasan menguruskan pelajar Malaysia yang hadapi masalah gangguan jiwa.


Gambar 27. Tepi jalan pun jadi juga ambil gambar.


Gambar 28: Di Andrew Airport Base, Maryland bersama kawan-kawan sepejabat menyambut ketibaan Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia pada masa itu.


Gambar 29. Bergambar di sebelah kereta sapa ntah, janji nampak salji.


Gambar 30: Di belakang tu kelihatan rumah perahu tempat orang jual ikan segar. Ketamnya masih hidup lagi. Di sinilah saya mendapat bekalan hasil laut yang segar dan murah berbanding di pasar raya.


Gambar 31. Bergaya memegang gumpalan salji yang terkumpul di bumi. Lalu teringat air batu kepal kat Malaysia, tinggal bubuh sirap je.


Akan ada lagi saki baki gambar berkaitan salji dalam simpanan saya yang akan saya siarkan. Insyaallah. Entri tentang perkara yang sama yang pernah tersiar ada di sini dan di sini.



Thursday, December 21, 2017

KISAH SAYA DENGAN CIKGU MOHD NOH.

Gambar hiasan hasil carian Google.

Pada tahun 1966, semasa saya berada dalam darjah 6, nama saya tersenarai sebagai calon ujian untuk memasuki sekolah berasrama penuh. Masa itu kalau tidak silap saya, hanya ada 3 buah sekolah berasrama penuh untuk murid lelaki iaitu MCKK, STAR dan SDAR. Memasuki salah satu sekolah tersebut merupakan cita-cita setiap murid dan harapan keluarga termasuk guru-guru sekolah kerana ia boleh menaikan nama sekolah mereka.

Saya masih teringat kepada jasa arwah cikgu Mohd Noh, guru kelas saya yang berusaha keras membantu saya menghadapi ujian itu. Dia membawa saya ke rumahnya selepas habis kelas setiap hari dengan membonceng motor Vespanya untuk diberi tuisyen peribadi pada sebelah malamnya.  Di rumahnyalah saya makan, tidur dan belajar. Besoknya saya ikut dia pergi sekolah semula. Begitulah rutin saya untuk beberapa hari hingga ke tarikh saya ambil peperiksaan itu di Bentong. Dia jugalah yang uruskan pemergian saya ke Bentong.

Dia tidak minta satu sen pun bayaran dari keluarga saya untuk itu semua kerana dia tahu kalau dia minta pun, keluarga saya tidak mampu membayarnya.

Namun nasib saya tidak begitu baik. Saya ditakdirkan gagal ujian masuk asrama penuh kerana rupanya ada murid-murid lain yang lebih pandai dari saya. Namun begitu, budi baik dan pengorbanan arwah cikgu Mohd Noh akan tetap saya kenang hingga ke akhir hayat saya nanti. Mohon kawan-kawan sedekahkan bacaan Fatihah kepada arwah Cikgu Mohd Noh. Semoga rohnya tenang di sana bersama-sama roh orang-orang yang beriman. Al Fatihah. Terima kasih.




Sunday, November 19, 2017

NAMA DAN GAMBAR KELUAR SURAT KHABAR.

Pernah juga beberapa kali nama dan gambar saya masuk surat khabar baik semasa masih berkhidmat dengan kerajaan mau pun sesudah bersara. Kadang-kadang saya sempat gunting dan simpan, kadang-kadang tidak.  Kadang-kadang langsung tak sedar bila ia keluar. Tetapi yang telah digunting satu pun tak jumpa lagi sebab saya terlalu pandai menyimpan.
 
Pertama kali nama saya masuk surat khabar adalah masa lulus peperiksaan STPM tahun 1972. Kenapa pulak sampai keluar surat khabar ? Pada masa itu jika kita seorang calon persendirian, nama kita masuk surat khabar kalau lulus periksa. Rasanya cuma surat khabar Strait Times atau NST saja yang menyiarkannya.  Itu pun saya tumpang tengok surat khabar di rumah orang.

Gambar yang ada seperti di bawah hanyalah gambar-gambar saya selepas bersara dari perkhidmatan dengan kerajaan. Mujur gambar ini telah pernah masukkan dalam entri di blog saya. Dapat jugalah dirujuk. Inilah salah satu kebaikan kita berblog. Terima kasih tuan blogspot.


Digambar semasa menerima tetamu dan bertukar cenderhati di beranda surau saya. Pada masa itu saya menjadi pengerusi RT taman perumahan saya. Tahun bila dah lupa. (Ini gambar kitar semula)


Yang ini satu lagi. Cuma gambar sahaja keluar. Nama tak sebut. Tapi dari bentuk perut lelaki bertopi itu, saya percaya dia adalah saya. Yang ini tarikhnya saya ingat iaitu pada 16.2.2008.


 Yang ini pulak gambar saya sedang ditemuramah oleh seorang pemberita wanita dari sebuah akhbar CNN semasa berlangsungnya hari keluarga taman perumahan saya. Saya dah lupa nama akhbarnya dan keratan berkenaan  program hari keluarga itu pun tidak lagi dapat dikesan. Tak kisahlah. Bukannya penting sangat pun.


Pada masa ini barangkali tidak ada lagi kemungkinan nama dan gambar saya masuk surat khabar atas sebab-sebab yang murni. Semoga dijauhkan Allah jika sebaliknya.

Nota kaki: Perasan tak saya guna perkataan 'keluar' dan 'masuk' surat khabar silih berganti ?  Walaupun kebiasaanya perkataan keluar dan masuk itu adalah perkataan yang berlawanan maksudnya tetapi dalam konteks ini, ia merujuk kepada hal yang sama. Saya pernah buat entri tentang ini  kira-kira 7 tahun dulu.


Tuesday, October 31, 2017

TERKENANG SEMASA DULU - 97: PENGALAMAN PERGI LONDON DENGAN BEKAS TUNANG.

Pernah sekali pada tahun 2006, saya pergi ke London atas urusan rasmi membawa bekas tunang saya.  Tambang dan makan minum dia, saya yang tanggung. Tempat tinggal adalah percuma kerana dia menumpang di bilik saya. Saya tak ingat berapa lama kami pergi,  tapi kalau tak silap rasanya hampir dua minggu.

Di masa senggang sempat juga kita curi-curi melawat tempat-tempat menarik di sekitar London yang biasa dilawati orang. Sebenarnya dah banyak keluar gambar tersebut dalam entri-entri sebelum ini. Kali ini saya cuba masukkan gamba-gambar yang saya rasa belum tersiar. Kalau berulang, maaflah. Saya sangat teruk dalam membuat indeks penyimpanan gambar. Saya tak ingat susunan tarikh tapi saya susun ikut baju yang Makngahnya pakai. Ada gambar yang sengaja saya kaburkan muka kami kerana mahu anda fokus kepada subjek cerita.


Seterusnya saya nak cerita lawatan kami berdasarkan gambar-gambar terpilih seperti di bawah. Kalau anda malas baca apa yang saya tulis di bawah gambar-gambar tersebut, maka tak tahulah apa ceritanya.


Gambar 1: Selesa nampaknya bekas tunang saya (Makngahnya) dapat tempat duduk kelas perniagaan ni.


Gambar 2: Di London kami duduk di apartment milik orang Malaysia. Cukup selesa.  Kalau nak jimat belanja boleh masak sendiri kerana ada dapur yang lengkap. Ia terletak bersebelahan dengan masjid. Saya sempat sembahyang Jumaat di masjid ini. Kerana terlalu ramai jemaah, sembahyang terpaksa dibuat dua kali.


Gambar 3: Di hadapan istana Buckingham yang merupakan salah satu tempat wajib di lawati.


Gambar 4: Gambar istana dari jarak yang lebih jauh. Lapang sungguh kawasan di depannya. Boleh pasang khemah buat kenduri kahwin.



Gambar 5:  Orang perempuan tak boleh tengok bunga, mesti nak bergambar punya. Layan je la !


Video 1: Depan istana Buckhingam yang sentiasa meriah dengan pelancong.


Gambar 6: Terasa dunia ini kecil bila terjumpa kenalan dari Malaysia di Oxford Street tempat ramai orang membeli belah. Adapun saya tiada dalam gambar ini kerana ditugaskan untuk mengambil gambar mereka.


Gambar 7: Kami ke hulu ke hilir menaiki keretapi atau bas atau menapak. Tempat menunggu basnya tak sama macam kat tempat kita. Kat Malaysia kita duduk mengadap jalan tapi di sini sebaliknya. Kenapa entah ?


Gambar 8: Nampak tak perkataan MARA kat belakang tu. Kita makan tengah hari kat sini.


Gambar 9: Sedang menunggu keretapi dalam salah sebuah stesyen keretapi bawah tanah.

 
Gambar 10:  Kelihatan gedung membeli belah Harrod di belakang tu. Kami masuklah juga, tapi sekadar untuk menjamu mata sahaja kerana tak ada barang yang kami betul-betul berkenan.


Gambar 11:  Kita shopping kat Liverpool Street je iaitu tempat membeli belah golongan marhaen.


Gambar 12: Di pintu masuk bangunan Madam Tussauds, muzium patung lilin orang-orang terkenal di seluruh dunia.


Gambar 13:  Tak dapat bergambar dengan selebriti yang sebenar, dapat bergambar dengan patungnya pun jadilah.

 
Video 2: Menyelusuri Sungai Thames. Kelihatan Tower Bridge di belakang sana yang sering orang keliru ingatkan itu London Bridge.

 

Gambar 14: Di sini ada cerita menarik sedikit. Kita naik keretapi berlainan koc. Ada seorang kawan tak turun masa kita ramai-ramai turun di sini. Bila keretapi jalan, baru kita nampak dia kat koc belakang. Terpaksalah kami duduk melepak sini sementara menunggu dia pataih balik.



Gambar 15: Kami sempat membuat persembahan singgah bergambar di hadapan Royal Albert Hall dalam perjalanan ke airport untuk balik ke tanah tumpah darah yang tercinta. Kalau tak silap saya di dewan ini pernah arwah Sudir dan CT buat persembahan suatu masa dulu.

Sungguh cantik perigi orang,
Cantik lagi perigi saya;
Sungguh cantik negeri orang.
 Cantik lagi negeri saya.


Gambar 16: Sebuah cenderamata Tower Bridge untuk kenang-kenangan. Saya perhatikan ramai yang terkeliru (termasuk saya sendiri sebelum kena tegur ) kerana menyangka ini adalah London Bridge.

Perhatian: Saya teringat bagaimana beg tangan Makngahnya kena curi. Sampai bila-bila pun saya tak boleh lupa bagaimana liciknya perbuatan si pencuri itu.  Ceritanya begini.  Pada satu pagi kami satu grup minum kat sebuah restoran tak jauh dari Marble Arch. Oleh kerana meja sempit, Makngahnya meletakkan beg tangannya di bawah meja di celah-celah kaki kami seramai 7-8 orang. 

Bila dah habis makan dan nak beredar, dia pun membongkok untuk mengambil begnya di bawah meja. Tetiba mukanya berubah kerana mendapati begnya sudah tiada. Saya dan lengkawan yang lain turut membongkok melihat ke bawah meja. Ternyata ia sudah ghaib. Langsung tak perasaan masa bila beg tersebut dicuri. Lepas insiden itu kami sangat beringat. Sesungguhnya musibah yang kecil itu sebagai peringatan untuk elakkan musibah yang lebih besar. Mujurlah yang hilang hanya beg, duit pound dan henfon. Passport tinggal kat bilik. Kalau pasport hilang, lagi berat masalahnya.